Friday, December 23, 2016

Nurmultazam : Travelog Umrah 3 hingga 14 Disember 2016

Perkongsian kembara ke Tanah Suci 2016 (1437 H)

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, segala puji serta syukur aku panjatkan kepada Allah, Tuhan semesta alam yang memberikan kita banyak kenikmatan, salam dan selawat kepada Rasulullah SAW beserta keluarga dan sahabat baginda. Mohon ampun kepada Allah, andai dokumentasi perkongsian ini dilihat sebagai riak, takbur mahupun ujub atau membangga diri.

Aku terpanggil untuk menulis apabila terbaca catatan Dr. Noorzila Ahmad (Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Putrajaya - Dalam buku Rumah Sakit karangan Prof Muhd Kamil) yang menulis “Saya biasa melihat pesakit nazak perlu diberi sokongan pernafasan. Pesakit mungkin bangun semula menikmati kehidupan dunia atau mata terpejam untuk pergi buat selamanya, tanpa sempat membuat pesanan terakhir.” Subhanallah … Nauzubillah. Sehubungan itu, aku bertekad untuk menitipkan sekelumit kenangan bagi membakar semangat para pembaca agar berziarah selagi roh masih belum terpisah dari jasad kita. Betapa hebatnya kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya seperti aku yang terlalu kerdil tatkala berada di hadapan Raudah-Nya, Baitullah, Safa, Marwah, Hijir Ismail, dan di Multzam.

Tangan ini bagai digaru-garu untuk berkongsi saat-saat termanis menjadi tetamu Allah (Duyufur Rahman). Aku begitu sebak dan kerap-kali hati berdebar-debar dan tangan ini terasa gementar dalam usaha ku untuk menitipkan kisah ini. Hati berbalah bagi risau dikatakan ujub / riak. Dan yang lebih penting, waima telah menunaikan ziarah, aku tidak menganggap diri ini lebih baik dari kalangan pembaca. Andai ada yang terkesan usai membaca coretan ini, Alhamdu Lillah moga sumbangan sekecil ini merupakan dakwah termampu untuk bekalku ke alam akhirat.

Terima kasih

(https://www.youtube.com/watch?v=x22ZxX_Bv4w)
(https://www.youtube.com/watch?v=XE1ziCTKmPM&t=19s)

Membuat pilihan

Banyak travel agency yang menawarkan pakej umrah, aku memilih Nurmultazam kerana beberapa sebab. Pertama kerana slogan yang digunakan “Dari Orang Sabah Untuk Orang Sabah”, kedua kedudukan pejabat mereka dekat dengan kediamanku di Tanjung Aru, ketiga kepuasan perkhidmatan yang kudengar dari mereka yang pernah menggunakan khidmat mereka sebelum ini, keempat kecemerlangan pengurusannya, kelima harga yang ditawarkan berpatutan dan keenam seterusnya sejarah pengendalian mereka sangat diyakini serta dipercayai.

Harapan

Aku sekadar berkongsi benda-benda baik, bukan untuk menunjuk baik, jauh sekali untuk merasa diri ini sudah cukup baik, tetapi berhasrat untuk mengajak anda bersama-sama menjadi yang terbaik. Aku berpegang kepada kata-kata Hassan al Basri mengungkapkan "Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bermakna aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Aku bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya akan dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan." Sebagai muhajjir, aku berfikir, hanya dengan mengunjugi tanah suci, aku dapat menggandakan amalanku yang kurasakan begitu sedikit. Aku ingin melakukan sesuatu pekerjaan yang untungnya bukan setakat untuk dikecapi di dunia malahan malar segar untuk akhirat.

Persediaan

Sesungguhnya perkara ini perlu diambil perhatian iaitu niatkan umrah semata-mata kerana Allah bukan untuk tujuan lain. Menjadi tetamu Allah ini sangat istimewa, sebab itu juga perlu lakukan solat taubat, solat hajat dan rutin doa semoga dipermudahkan segala urusan pergi dan kembali. Seboleh-bolehnya kita kena menghadkan lisan waima lintasan di dalam hati, hal-hal yang tidak baik yang biasanya menjurus pada riak (pamer) atau sombong. Perbanyaklah membaca istighfar baik dalam hati maupun di lisan. Itu antara intipati Manasik Umrah yang disampaikan oleh Ustaz Haider Ahmad Fadzil (pensyarah Agama Politeknik Kota Kinabalu) yang dijemput oleh Nurmultazam Travel. Telanlah pil sabar sebanyak-banyaknya sebelum berangkat, semasa dalam perjalanan, semasa berada di tanah suci dan ikhlaskan diri anda. Aku lakukan senaman ringkas seperti yang disebut dalam taklimat kesihatan oleh Dr. Rohizad (Klinik Jalan Pantai Kota Kinabalu) yang didatangkan khusus oleh Nurmultazam Travel ketika taklimat perjalanan umrah dan perkhidmatan suntikan vaksin di Surau Nahdatul Ilmiah, Lorong Selungsung D, Taman Semplang Sembulan pada 13 November lalu. Suatu nilai tambah terbaik yang dilakukan oleh Nurmultazam yang mungkin tidak pernah dibuat oleh agency lain.

Peta travelogku (3 hingga 14 Disember 2016)

Awal-awal lagi aku dan isteri telah berniat untuk meneruskan membaca Al-Quran di Tanah Suci bagi meneruskan misi bersama kami yang diterajui oleh Ustaz Haji Janis Abdullah yang berjaya menghimpunkan hampir 100 orang peserta dalam misi membaca Quran berserta terjemahannya dalam tempoh empat bulan (anggaran 5 helai sehari) bermula pada 11 November 2016 (11 Safar 1438 H). Aku terjaga jam 3.58 pagi. Usai membersihkan diri, kami menunaikan solat musafir (safar) sebelum solat subuh. Aku solat subuh di surau berdekatan. Aku mula membuat catatan perjalanan di mana buku kecil beserta pena kusematkan pada beg galas (hand luggage) yang aku kalungkan pada leherku.

Usai subuh, jam 6.25 pagi aku dan anakku beserta 3 beg biru menuju ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu dihantar oleh seorang sahabatku, manakala isteri dan dua anak lain menaiki kereta berasingan. Di muka pintu aku membaca Ayat Kursi, Surat al-Quraisy dan berdoa “Bismillahahi aamantu billaahi tawakaltu ‘alallaahi laa haula walaaquawwata illaa billaahil ‘aliyyil Aziim Ertinya: Dengan nama Allah aku beriman kepada Allah berserah diri kepada-Nya, tidak ada daya untuk mendapatkan manfaat dan tidak ada kekuatan untuk menolak kejahatan kecuali dengan pertolongan dari Allah yang Maha Luhur lagi Maha Agung.

Kemudian, aku membaca doa dalam perjalanan yang berbunyi ….. Subhanaladzi sakhara lana hadza wa ma kunna lahu muqrinin wa inna illarobbina lamunqolibun. “Segala puji bagi Allah yang telah memudahkan kami (padahal) kami tidak sanggup mengendalikannya. Sesungguhnya kami akan kembali kepada Allah.” (QS. Al-Zukhruf: 14). Ya Allah selamatkanlah kami dalam perjalanan ini, dekatkanlah kami dari kejauhannya. Kurniakanlah kami kesihatan semasa dalam perjalanan, sihat semasa menunaikan umrah dan sihat selepas kembali ke tanah air. Kurniakanlah kami dengan umrah yang maqbullah”

Jam 6.30 pagi, rombongan yang diketui oleh sahabat Ali Ghani, berkumpul di KKIA. Kami dipeluk salam oleh keluarga ipar duai yang menemui kami di KKIA, termasuk keluarga besar ipar Malai Mastura (kakak sulung isteri), Malai Masnah dan suami, ipar (isteri allahyarham Malai Mustapa) dan Haji Malai Hussein. Aku meringankan tulangku untuk membantu memasukkan bagasi secara sukarela, dan merakam foto kandid. Kecekapan pengurusan kemasukan bagasi cukup pantas waima hanya dibantu oleh dua orang gadis kakitangan Nurmultazam. Deretan beg biru kemas dan cantik dipandang. Sebelum berlepas, rombongan tetamu Allah (seramai 39 orang) merakam foto berkumpulan dan mengaminkan doa yang dibaca oleh wakil NurMultazam. Berbual-bual ringkas sesama rombongan yang sudahpun dikenali ketika sama-sama menghadiri kursus umrah di Surau Taman Semplang. Bertemu dengan Tuan Haji Salimi (Kimanis), saudara Matsah (Pangsa Puri Tg. Aru) dan saudara Mali Muyong dan keluarga. 

Aku memerhati gelagat rombongan sekelilingku.  Ada  kalangan mereka seolah-olah kelihatan cemas, ada yang ceria, ada yang menyendiri dan ada yang ramah. Tidak kurang ada kalangan keluarga tetamu Allah bergenang dengan air mata tatkala menuju ke balai berlepas. Usai berbalas lambaian, kami tetamu Allah NurMultazam memasuki kawasan pemeriksaan Imigresan untuk berlepas ke Brunei. 

Di balai berlepas Kota Kinabalu

Jam 8.45 pagi, burung besi (pesawat) BI 822 berlepas ke Brunei. Kami tiga beranak duduk sebaris di kerusi 46 A B C. Tiba 9.16 pagi, transit di Bandar Seri Begawan. Lantaran teringatkan hadis (HR. At-Thabrani) yang berbunyi, "Sesungguhnya di dalam Surga terdapat sebuah pintu bernama pintu Dhuha di mana apabila Kiamat telah tiba maka akan ada suara yang berseru, “Di manakah orang-orang yang semasa hidup di dunia selalu mengerjakan solat Dhuaa? Ini adalah pintu buat kalian. Masuklah dengan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala.” Lantas aku mengajak anak isteriku untuk solat Dhuaa di surau Airport Bandar Seri Begawan. Aku bergabung semula dengan anak dan isteriku untuk memakan bekalan yang dimasak di rumah kediaman kami, termasuk roti mayonis yang dibuat khas oleh anak bongsuku. Aku memerhatikan gelagat tetamu Allah. Ada yang kelihatannya ceria, ada termenung panjang dan ada yang resah gelisah, mungkin kerana perjalanan jauh yang pertama kalinya buat mereka.

Jam 10.56 pagi, pesawat BI 081 Royal Brunei Boeing 787 membelah awan meninggalkan Brunei menuju ke Jeddah. Penerbangan akan mengambil masa 9 jam 25 minit dalam jarak 8345 kilometer (jangkaan tiba jam 3.51 petang waktu Saudi). Di dalam pesawat, kebetulan aku beroleh tempat duduk sederet dengan isteri (52 E dan 52 D) manakala anakku di kerusi di hadapanku. Syukur Ya Allah, setelah pesawat stabil, aku dan isteri berpindah ke kerusi kosong yang menempatkan dua orang penumpang di bahagian belakang sebelah kanan pesawat. Aku memilih untuk membuka paparan peta pergerakan pesawat dari Brunei ke Arab Saudi. Bukannya salah atau berdosa untuk membuka pelbagai pilihan segala macam movie, drama, sitcom tetapi berfikir bahawa pemergianku adalah ke satu lokasi suci, menyahut panggilan untuk menjadi tetamu-Nya. Kurang manis andai perjalanan yang baik ini dimulakan dengan aktiviti yang tidak bermanfaat serta melalaikan.

Bacaan terbiah diulang seberapa banyak secara perlahan antara kedengaran dan tidak, takut dikatakan minta puji oleh rakan serombongan. “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah! Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu…”. Di dada pesawat, aku memulakan ritual pertamaku membaca selawat melalui kiraan tasbih digital yang aku bawa. Jam 12.29, hidangan makan tengah hari diedarkan. Jam 1.13 petang, pesawat melewati Medan Sumatera Indonesia.

Di luar pesawat, aku memerhatikan kanvas gumpalan awan ciptaan Allah dilukiskan sebegitu indah. Syukur Ya Allah, penerbangan pesawat berjalan lancar dan stabil. Cuma sedikit beralun di tengah-tengan perjalanan. Ada beberapa kali aku mengunjungi tandas pesawat sambil berjalan-jalan untuk melegakan urat di badan. Jam 6.33 petang (1.33 petang waktu Saudi) setelah melalui 7 jam penerbangan), aku melihat hamparan padang pasir dilukiskan begitu indah di bawah pesawat.  Jam 2.00 petang waktu Saudi (7 malam waktu tempatan) hidangan ke-2 diedarkan. Jam 2.45 petang waktu Saudi pesawat menurun ke Altitud 12.192 meter di tengah padang pasir antara bandar  Sanau dengan bandar Al-Khurmah. Ini bermakna tidak sampai dua jam lagi, InsyaAllah pesawat akan mendarat.

Pemeriksaan di lapangan terbang

Jam 4.30 petang waktu Saudi, burung besi mendarat dengan selamat di Lapangan terbang Jeddah (kota transit), lapangan terbang aneh yang berkongsi antara landasan dan kenderaan bermotor lain seperti bas shuttle dan lori tangki. Aku memutarkan jam tanganku mengikut waktu tempatan Arab Saudi (lewat 5 jam dari Malaysia). Kami menaiki LIMO panjang dan rendah (bas perantara) yang membawa kami ke bangunan terminal.

Usai tiba di terminal Antarabangsa Jeddah, rombangan diarah ke kawasan pemeriksaan Imigresen. Aku beserta keluarga, keluarga Tuan Mali dan keluarga Haji Salimi diarah menuju ke kaunter berasingan, manakala kumpulan Nurmutazam lain mengambil barisan lain. Dalam sedikit ngomelan yang sedikit tidak puas hati tetapi tetap bersabar, kuasa Allah mengatasi segalanya di mana akhirnya kami diarah ke kaunter lain yang baru dibuka. Syukur Ya Allah, aku antara orang yang pertama melepasi pemeriksaan Imigresen dan keluar mendapatkan barangan keluarga (hampir 50 minit dalam barisan).

Disantuni dengan bas perantara ke Lapangan Terbang Jeddah

Usai melepasi pemeriksaan, kami bergerak menuju ke bas yang bakal membawa tetamu Allah ke kota Madinah. Lantaran kesilapan maklumat, bas Nurmultazam menunggu tetamu Allah di Terminal Haji sedangkan kami diletakkan di Terminal Antarabangsa, tetapi rahmatnya, kami berpeluang solat maghrib di surau Airport. Dalam kepekatan malam, jam 7.15 waktu Saudi bas mula bergerak (hampir dua jam menunggu bas). Perjalanan selesa dengan permukaan jalan yang lurus, lebar dan rata. Dalam bas, Mutawif Haji Abdul Basid menggunakan corong pembesar suara untuk berucap, “Para tetamu Allah tetamu Rasulullah.” Berderau menyelinap darahku mendengarkan ungkapan tersebut. “Lebih kurang enam jam lagi kita akan berada di kota Madinah. Beliau kemudian memimpin bacaan doa perjalanan, dan menceritakan sedikit tentang sejarah Jeddah dan sejarah perjuangan Rasulullah. Kami diberhentikan untuk berehat di suatu kawasan yang dinamakan Sasco untuk solat jamak.  Kami bergerak untuk meneruskan perjalanan pada jam 10.25 malam. (lebih kurang satu setengan jam ke Madinah)

Selamat tiba di Kota Madinah

Pabila bas mendekati kota Madinah, mutawif mengejutkan kami dengan membimbing bacaan doa memasuki Madinah. Sebelum Islam berkembang, kota Madinah yang nama dahulunya Yatsrib, terkenal sebagai pusat perdagangan. Kemudian ketika Nabi Muhammad SAW hijrah dari Mekkah, kota ini diganti namanya menjadi Madinah sebagai pusat perkembangan Islam sehingga baginda wafat dan dimakamkan di sana.

Kami tiba di Hotel Royal Makarem (120 meter dari pintu 25 masjid) jam 12.40 malam (5 jam 25 minit dalam perjalanan). Di seberang jalan hotel penginapan terdapat Hotel Dar Alnaeem Al-Mukhtara sebaris dengan Hotel Mubarak Silver. Petunjuk jalan setelah keluar dari pintu 25 masjid Nabawi ialah Hotel Mubark Silver. Di celah bangunan hotel aku terpandang menara Masjid Nabawi yang sangat megah. Subhanallah, betapa bercahaya dan mulia kota ini, sesuai ia dinamakan Madinatur rasul, kota Rasulullah. Hatiku berbunga kagum melihat keindahanan bangunannya yang diterangi cahaya, terasa hilang segala lelah selama beberapa jam dalam pesawat dan beberapa jam di dalam bas. Alhamdulillah, jam satu pagi, kami tiga beranak masuk ke bilik 516 (3 katil, satu almari, dan ada peti sejuk dan pemanas air) cukup memadai kerana bilik hanya diperlukan untuk tidur dan mandi. Di bilik hotel kami tiga beranak membuka dan menyusun barangan kami seadanya. Berus gigi, shampoo dan sabun diletakkan di bilik air manakala aku mula membuka pemanas air, beras, minuman 3+1 dan periuk nasi yang aku bawa dari tanah air.

Hari ke-2. (4 Disember 2016- Ahad-ziarah dalam)

“Ya Allah, sesungguhnya aku tidak pernah melihat junjungan-Mu semasa hayatnya, tetapi sejuta keyukuran kerana dengan izin-Mu aku berada sedekat-dekatnya dengan jasad baginda atas jemputan-Mu.” Aku teringat blok draisyahafiz.com yang kubaca beberapa hari sebelum bertolak. Dalam  suasayang hening dininari , kilauan lampu limpah yang terang benderang yang indah menyebabkan Masjid Nabawi bergemerlapan, kami menapak ke pintu 25 masjid pada jam 3.07 pagi setelah membuka juadah yang dibekalkan di dalam bas. Sebelum bergerak di muka pintu bilik aku berdoa, “Ya Allah, kami datang semata-mata kerana-Mu Ya Allah. Selamatkan kami dalam perjalanan ini, jagalah lisan kami, kekalkanlah wuduk kami sehingga selesai beriktikaf di Masjid-Mu.” Mataku mula berkaca-kaca, sayu dan sebak tatkala menghampiri masjid Nabawi yang begitu indah terpampang di depan mata. Aku membaca doa iktikaf “Allaahummaftahlii abwaaba rahmatika bismillaahi walhamdulillaahi wassalaatu wassalaamu ‘alaa rasulillaah” doa kubaca sebelum memasuki perkarangan masjid. Subhanallah, aku terpaku seketika. Aku menghantar keluargaku ke pintu solat wanita sebelum aku sendiri memasuki pintu 21 Masjid Nabawi di mana penghujungnya adalah lokasi Raudah yang diinginkan seluruh tetamu Rasulullah, tempat mustajab doa.

Kubah Hijau Masjid Nabawi terletaknya Raudah yang sering
menjadikan tetamu Allah terpukul pabila mengenangkan
sejarah  perjuangan Rasulullah Saw

Aku teringat blok beluncasakit.blogspot.com, yang mengingatkan supaya kita perlu meletakkan tertib kita lebih tinggi apabila berada di dalam Masjid Nabawi, masjid yang dikatakan dibangunkan pada tahun 622 M. Tetamu Rasulullah dipinta menjaga adab terutamanya apabila berbual-bual. Di dalam sirah Nabi saw, perkara ini dinyatakan agar kita tidak meninggikan suara. Terasa dingin aliran darah hingga dari ubun-ubunku hingga ke kaki apabila pertama kali meletakkan dahiku di lantai Masjid Nabawi untuk sujud tahayatul masjid. Sebelum mendekati kawasan Raudah, aku solat hajat terlebih dahulu. Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, junjungan mulia. Dalam semua perintah mengerjakan ibadat, Allah SWT menyuruh hamba-Nya beribadat. Allah sendiri memulakan selawat ke atas Nabi, diikuti malaikat kemudian dianjurkan kepada Muslimin mengamalkannya. Ini bermakna membaca selawat itu lebih utama. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya.” (Surah Al-Ahzab: 56).

Bagaikan bermimpi, rupa-rupanya aku telah berada di Raudah. Aku betegur-sapa dengan Tuan Haji Jamil yang baru keluar dari Raudah. Raudhah merupakan ruang yang letaknya antara mimbar dan bilik rasulullah SAW di dalam Masjid Nabawi. Luasannya berukuran 22 x 15 m, bersebelahan dengan makam Nabi SAW, yang diimani sebagai tempat yang mustajab untuk berdoa. Seluruh kawasan ini ditandai dengan karpet yang berwarna hijau.

Rasulullah bersabda: “Antara mimbarku dan rumahku merupakan taman dari taman-taman syurga” (HR. Al Bukhari & Muslim). Saat ini Raudhah ditandai dengan karpet berwarna hijau, yang membezakannya dengan kawasan masjid Nabawi yang lain yang berkarpet merah. Di sana kita boleh bersolat sunnah atau berdoa.

Di Raudah (betul-betul di bawah tempat muazim melaungkan azan), aku melanjutkan ritual solat taubat, solat hajat dan solat tahajud. Aku dapat melihat dengan jelas di kiri Raudah apa yang dikatakan Tiang Sariq (tingkap tempat Aiysah menyikat rambut nabi), tiang ke-2 Tiang Haras/Ali (Pos kawalan untuk nabi), tiang ke-3 Tiang Wufud (tempat perjumpaan ). Selepas itu di hadapan, aku menghitung tiang yang ke-2 dari kiri adalah yang dikatakan Tiang Aisyah.

Aku terpegun menyaksikan ayat Al Quran yang diletakkan di atas dinding Makam Nabi saw. Takungan air jernih berjejeran di pipi tanpa diminta. Tangan ku tadah “Ya Allah! Bahawasanya aku bersaksi bahawa Muhammad SAW adalah pesuruh-Mu, waima aku hanya mengunjungi jasadnya akan tetapi jangan halangi aku untuk melihat baginda pada hari kiamat. Anugerahkanlah aku supaya dapat berdekatan dengannya. Matikan aku dalam agama-Mu. Berilah aku minuman dari telaganya, minuman yang segar yang tiada lagi dahaga selamanya dan sesudahnya. Sesungguhnya Dikau Maha Kuasa atas segala sesuatu. La haula Quatta Billa…. Jam 3.46 pagi, aku keluar meninggalkan Raudah bagi membuka ruang kepada tetamu Rasulullah yang lain.

Usai solat subuh dan solat jenazah, aku melangkahkan kaki keluar dari Masjid Nabawi. Aku menuju ke kafeteria untuk bergabung dengan ahli keluarga untuk menikmati sarapan pagi. Ruang makan agak sederhana dengan pelbagai agensi lain juga menggunakan kafeteria yang sama. Makan tiada masalah besar sangat bagi kami kerana menu yang dihidangkan sesuai dengan selera orang Sabah.

Agenda hari kedua kami ialah ziarah dalam. Seawal jam 7.30 pagi, kami bergerak ke lokasi maqam Rasulullah. Kami melalui bangunan Bangunan Bahaudin Al Madina, Hotel Fairuz Asatta  sebelum memasuki pintu pagar 25. Aku secara relahati merakam detik-detik perjalanan kami dari hotel ke masjid dan merakam foto berkumpulan di kawasan masjid. “Assalamu ‘alaika yaa Rasulullah wa rahmatullah wa barokatuh. Assalamu’alaika yaa Nabiyallah. Assalamu’alaika ya Habiballah“. Artinya: Salam Sejahtera atasmu wahai Rasulullah. Rahmat Allah dan berkah-Nya untukmu. Salam sejahtera atasmu wahai Nabiyullah. Salam sejahtera atasmu wahai Kekasih Allah. Aku tertarik untuk merakam foto untuk dokumentasiku sendiri dan mungkin untuk dikongsi sekembalinya kami ke Malaysia.

Usai ziarah, kami ke pintu 6 menuju  ke pasar kurma Madinah. Di perjalanan ke sana, aku terjumpa dengan sahabatku di MPG dulu iaitu Haji Awang Hussin bersama anaknya. Jam 8.55 pagi, kami  tiba di sana setelah menapak agak jauh juga. Aku membeli (3 kilo) buah tangan dan membeli sekilo kurma segar. Sekembali dari kedai kurma, aku masuk semula ke Masjid Nabawi setelah menyerahkan kurma kepada anakku untuk dibawa balik ke hotel. Baginda Rasulullah pernah bersabda, “Barang siapa yang menziarahiku sesudah wafatku, maka seolah-olah dia menziarahiku semasa aku hidup.” Pagi ini, dengan rahmat-Nya sekali lagi aku dapat menjejakkan langkahku ke Raudah (Taman-taman Syurga). Waima dalam himpitan oleh mereka yang berbadan besar dari Timur Tengah, Afghanistan, Pakistan, Chehyan, Russia, Afrika dan sebagainya.

Alhamdulillah, dengan rahmat Allah, aku berpeluang ke Raudah untuk kali ke-2. Ketika berada di Raudah, luluh rasanya jiwa raga ini, mengenangkan betapa hebatnya Rasulullah berjuang untuk agama Islam yang sehingga kini kita anuti. Aku kirimkan salam “Assalamualaika Ya Rasulullah… dari keluarga, sahabat dan rakan.” Sebenarnya aku malu. Aku malu pada diri sendiri kerana jika ditanya apakah yang aku lakukan selama ini untuk menegakkan syiar Islam? Hanya sedikit! sedikit sahaja berbanding Rasulullah dan para sahabat yang bersungguh-sunguh berjuang dan berjihad mempertahankan agama Islam. Aku sempat solat taubat, solat hajat dan solat dhuaa dengan doa, “Ya Allah. Jika reziki itu masih di langit, turunkanlah kepadaku, jika reziki itu di bumi keluarkanlah kepadaku, jika reziki itu jauh dekatkanlah kepadaku, jika reziki itu sukar mudahkan kepada aku. Andai reziki itu haram, sucikan bagi diriku. Berilah aku reziki seperti mana engkau berikan reziki kepada umat sebelumku.” Jam 10.19 pagi aku meninggalkan Raudah dalam suasana yang pilu. Di perjalanan balik ke hotel usai solat Dzohor, jam 12.58 tengah hari, aku merakam foto di kawasan menara Jam Kecil dan mendapati warna burung merpati yang seragam di kawasan tersebut. Telah terbukit apa yang aku baca melalui sebuah blog sebelum ini. Usai zohor, aku bergabung dengan keluarga untuk makan di kafeteria tingkat satu hotel penginapan dan merehatkan mata yang belum tidur semenjak meninggalkan Sabah nergeriku. Jam 2.45 Petang, kami ke masjid untuk solat asar dan balik selepas isyak dengan bekalan sekilo jambu batu dan ayam panggang SR15.00 untuk sahur nanti malam.

5 Disember 2016 hari ke-3- Isnin (Puasa Sunat)

Terjaga di awal pagi jam sekitar jam 3 untuk membancuh kopi / milo. Aku juga memasak nasi, dan bersahur. Aku teringat bab 16 (soal 16) buku Tanyalah Diri karangan Puan Roza Roslan yang pernah bermukim tiga tahun di Madinah, menyebut bangun sahur dan diteruskan dengan solat tahajud. Aku melakukan seperti yang dicontohkan oleh beliau. Usai kami bertiga lengkap bersiap, jam 3.15 pagi kami bersegera menuju ke Masjid setelah berdoa di pintu bilik penginapan. Bukan niat kami tidak mengejutkan rakan-rakan bilik lain, tetapi kekuatiran tetap ada di hati kecil kami, takut-takut tetamu Allah lain masih dalam keletihan. Cuaca waktu itu mencecah 24 darjah Celcius, tidak begitu sejuk. Aku teringat kata-kata Prof, yang menulis agar pergi ke Raudhah pada pukul dua pagi, pasti ada ruang kosong di situ. Aku memerhatikan isteri dan anakku memasuki ruang solat wanita sehingga mereka lenyap dari susuk mataku.

Usai menghantar anak dan isteriku ke ruang solat wanita, aku bergerak ke pintu utama untuk menunaikan solat tahaiyatul masjid. Pagi ini, aku mendepani suasana Raudah yang amat sesak. Sementara menunggu azan, aku meneruskan misi berselawat. Azan yang dilaungkan oleh bilal Masjid Nabawi sungguh asyik dan menusuk didengar. Begitu juga dengan bacaan surah oleh Imam Sembahyang Masjid Nabawi, sungguh enak didengar. Taranum yang hebat, suara yang lantang dan mengoncang jiwa raga kita. Jam 5.30 pagi, aku sempat berselfie di luar Raudah.

Usai subuh, aku besegera kembali ke hotel untuk bersiap-siap menyertai agenda berikutnya iaitu ziarah luar. Allah mempermudahkan urusan kami apabila bas datang relatif tepat waktu. Kami bergerak ziarah ke Masjid Quba pada jam 7.45 pagi, iaitu masjid yang pertama dibina oleh Rasululah SAW dengan dibantu oleh para sahabat, semasa peristiwa hijrah Rasulullah pada 8 Rabiulawal, tahun 1 Hijrah. Baginda sendiri turut sama mengangkat batu-batuan untuk membina masjid tersebut. Mulianya masjid ini, barangsiapa yang bersuci dari rumahnya dan kemudian datang untuk solat di sini sebanyak 2 rakaat, pahalanya adalah seperti menunaikan sekali ibadah umrah (hadith riwayat Ibnu Majah). Sempat solat dhuaa dan solat taubat di masjid ini.

Sebelum rombongan bergerak ke Ladang Kurma, aku merakam foto berkumpulan di depan Masjid Quba. Kami tiba di ladang kurma pada jam 9.08 pagi. Di ladang kurma, kami tidak membeli kurma kerana telah membeli di pasar kurma Madinah. Aku hanya merakam foto kandid beberapa jemaah untuk kenangan abadi. Jam 9.37 pagi, Rombongan dibawa ke Kilang Cetak Quran waima ia tiada dalam senarai asal, tetapi malangnya kilang Quran kehabisan stok yang dijangka memakan masa tiga bulan, tetapi Alhamdu lillah, salah seorang jemaah Nurmultazam merupakan pembeli Quran terjemahan (SR 32.00) yang terakhir di kilang Quran untuk tahun 2016 ini.

Jam 11.16 pagi, rombongan Multazam di bawa ke tapak di mana bersemadinya 70 orang syahid Uhud. Saidina Hamzah bin Abd. Mutalib, pakcik Rasulullah dipotong dan diambil jantungnya oleh Hindun dalam perang dengan musyrikin Mekah pada 23 Mac 625 Masihi. Antara yang terkorban termasuklah Hanzalah, yang baru sahaja bernikah, dan menikmati malam pertamanya tetapi tetap turut berjihad. Dikhabarkan ketika beliau ditemui, jenazahnya dalam keadaan basah, dan Rasulullah memberitahu para sahabat bahawa beliau dimandikan oleh para malaikat kerana ketika beliau datang ke medan perang, beliau dalam keadaan berjunub.

Ziarah permakaman Saidina Hamzah dan suhada yang lain


Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan adalah apabila jenazah Saidina Hamzah dan para suhada hendak dibawa pulang ke Madinah untuk disemadikan, akan tetapi diberitakan gunung Uhud bergegar kerana tidak rela jenazah itu di bawa pergi, lantas semua jenazah para syuhada disemadikan di kaki gunung Uhud atas arahan dari Rasulullah SAW.

Usai lawatan, sebaik-baik saja turun dari bas, memandangkan aku berpuasa, aku langsung menuju ke masjid dan berniat iktikaf di dalam masjid silih ganti dengan misi membaca Al-Quran serta terjemahan dan meneruskan misi awalku untuk berselawat. Selepas waktu Asar, jam 5.00 petang Ustaz Haji Abd. Basid membawa tetamu Rasulullah  ke Muzium Asmatul Husna. Hatiku terjentik mendengar penerangan betapa insan diketuk hati mereka tatkala berada di bawah pohon tertua di California, akan tetapi lalai apabila mendepani Allah yang jauh berbilion hebat dari pokok tertua di dunia itu. Aku kagum memikirkan betapa matahari yang diciptakan Allah berzikir kepada Allah sedangkan ia tidak dijanjikan Syurga mahupun Neraka, sedangkan manusia malas untuk berzikir walhal terdapat balasan akhir nanti, Syurga atau Neraka.

Usai lawatan, aku memasuki masjid semula. Aku lihat berpuluh jemaah yang bermurah hati, mula memasuki Masjid dengan membawa bersama beg-beg besar yang di dalamnya mengandungi juadah berbuka puasa. Mereka membentangkan plastik Saferah di hadapan tetamu Rasulullah untuk persediaan berbuka. Aroma Qahwah (kopi Arab) dan roti berempah (Khubz) dan laban (yogart Arab) menguasai keliling ku. Usai berbuka dengan makan kurma dan minum air zam-zam, plastik safrah ini akan dikutip oleh petugas masjid. Dan selepas itu Solat Maghrib pun didirikan. Aku balik ke hotel selepas solat Isyak. Di laluan perjalanan pulang, aku singgah membeli tasbih untuk buah tangan.

Hari keempat- (6 Disember 2016 - Selasa)

Dapat rehat secukupnya, namun bersegera bangun sekitar jam 3.00 pagi untuk membersih diri dan memasak air panas untuk sarapan sebelum bertolak ke masjid. Sebelum bertolak, di balik pintu hotel, aku berdoa sambil diaminkan oleh anak dan isteriku.

Dalam suasana dingin yang masih membaluti sekejur tubuh kerdil ini, dengan berpegangan tangan kami bergerak ke masjid pada jam 3.17 pagi dan menghantar anak serta isteriku ke ruang wanita. Sebaik-baik saja mendekati masjid, kami membaca doa dan berniat iktikaf. Ku perhatikan gelagat mereka sehingga ia tidak kelihatan dari pandanganku. Uniknya situsi di Masjid Nabawi teramat tenang sebelum solat. Akan tetapi akan dipenuhi tetamu Rasulullah ketika waktu solat. Usai solat fardhu terutama lepas subuh dan isyak, ketika jemaah berduyun keluar dari masjid, pintu masjid bertukar menjadi sesak.

Aku menuju ke pintu utama masjid (pintu 21) yang jalan penghujungnya ialah Raudah. Di belakang Raudah aku menunaikan solat tahaiyatul masjid dan solat hajat. Dada terasa sebak kerana aku berpeluang lagi untuk ke Raudah dengan rahmat-Nya. Situasi santai pagi itu, membolehkan aku meneliti sedekat-dekatnya kawasan Raudah. Kesyahduan yang membaluti diri tidak dapat dicanggah. Aku solat tahajud dan berdoa selepas itu. Doa dititip memohon keampunan-Nya dan agar umrah kami tiga beranak diterima sebagai umrah yang mabrur. Berulang kali aku menitipkan doa utamaku pagi ini agar anak bongsuku yang menduduki ujian ACCAnya (jam 9.00 pagi 6/12/2016) lulus cemerlang. Jam 4.00 tepat, aku bergerak untuk mencari lokasi lain bagi menunaikan solat sunat lain dan terus-terusan menadah tangan memanjatkan doa, mengadu sepuas-puasnya …. Kepada Allah. Aku pohon keampunan dan dipermudahkan segala urusan. Tidak ada yang dilakukan kecuali mensyukuri nikmat kesempatan berkunjung dan solat di kawsan di mana Rasulullah dan para sahabatnya pernah bersolat. Sebelum subuh, aku bergerak ke ruang antara pembahagi sempadan Raudah agar tidak terkepung oleh pembatas kawasan Raudah bagi kaum hawa. Pada jam 4.30 pagi, sebelum subuh aku telah melangsaikan misi pertamaku membaca 10,000 selawat dan yang paling manisnya aku menamatkan misi tersebut dekat Raudah. Selawat kini aku gantikan dengan zikir.

Aku tidak terus balik, malahan meneruskan maraton membaca Al-Quran di dalam masjid. Apabila tiba masa Dhuaa, aku segera solat dan berdoa selepas itu. Jam7.24 pagi aku dapat menyaksikan beberapa bumbung masjid bergerak bagi membolehkan pencahayaan dan membolehkan udara segar mengalir masuk ke dalam masjid. Usai dhuaa, aku bergabung dengan anak dan isteriku menuju ke pintu pagar masjid (pintu 16) untuk bersarapan di Restoran Makanan Indonesia. Kami bergerak masuk ke kedai bawah tanah dan ke kawasan membeli belah Bindawood selepas sarapan. Aku membeli sebotol Laban Susu ala-ala yogurt yang rasanya agak masam sedikit. Hari ini, lebih banyak masa kami habiskan dengan beriktikaf di dalam masjid, sempat juga membeli beberapa helai jubah di kedai Carnival (kawasan Diyar Intrenational Hotel) North Central Area Madinah, minyak wangi dan buah plum SR22.00.

Banyak sekali ujian kesabaran kita di Madinah. Sudah tentu aliran keluar masuk tetamu Rasulullah dan naik turun hotel menyulitkan. Tanpa kesabaran, maka kita akan diliputi oleh kekecewaan, kekesalan, emosi yang pada akhirnya menganggu kekhusyukan ibadah kita… lebih jauh lagi pada akhirnya menokok dosa. Kita hendaklah pandai-pandai membawa diri. Jika turun ke masjid seawalnya dan balik ke penginapan bukan masa puncak, segalanya boleh diatasi. Waima hotel penginapan kami dilengkapi dengan empat lif, kerap kedengaran rungutan kesesakan turun naik hotel, tetapi aku perlu membataskan lisanku.

Banyakkanlah berbuat kebaikan dalam perjalanan selain sabar dan tawakal kepada Allah SWT. Berdoalah di setiap kesempatan kerana doa orang yang sedang bepergian mustajab sebagaimana disebutkan dalam hadis: “Tiga doa yang mustajab dan tidak diragukan: doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang bepergian, dan doa orang tua kepada anaknya.” (HR. Tirmidzi)

Setakat yang aku perasan di hotel penginpan kami, setiap hari ada sahaja kumpulan jemaah yang baru sampai, dan kumpulan jemaah yang meninggalkan Madinah. Masa jemaah hendak bertolak, mahupun semasa jemaah baru tiba, lobi hotel dipenuhi dengan bagasi sehingga membataskan pergerakan kami.

Jam 10.46 pagi, di perjalanan balik aku sempat merakam momen yang jarang terlihat iaitu keluarga-keluarga Arab bersantai (umpama berkelah) di kawasan rumput hijau seluas gelanggang takrau di belakang Food Market yang menjual pelbagai barang seperti kedai ais kerim, kedai runcit, kedai Nasi Beryani dan beberapa kedai lagi. Aku singgah beli Broasted Chicken Al-Baik satu set yang berharga SAR 15 untuk kami makan tiga beranak.

Kami bertiga bertolak ke masjid untuk solat zohor selepas makan tengah hari. Selepas asar, jemaah berkumpul di Kafe hotel untuk penerangan perjalanan ke Mekah keesokkan harinya.  Tuan Haji Basid  sempat berkongsi cara pemakaian kain ihram dengan betul agar tidak terlucut. Aku merakam beberapa foto pegun semasa taklimat.

Seperti biasa kami bergerak ke masjid untuk solat maghrib. Waktu senggang di antara maghrib dan isyak, kelihatan beberapa kelompok yang membuat tazkirah . Masing-masing mendengar dengan khusyuk. Usai Isyak baru balik ke hotel untuk makan malam. Kami melabuhkan badan sambil bercerita pengalaman selama beberapa hari berada di bumi barakah.

Hari ke-5 - (7 Disember 2016 - Rabu-Hari terakhir menatap Masjidil Nabawi)

Setelah beberapa hari merasakan nikmatnya beribadah di Masjid Nabawi, akhirnya kami harus meninggalkannya. Tidak terasa hari berlalu sebegitu pantas yang memaksa aku meninggalkan di mana jasad kekasih Allah disemadikan. Rutin harian bangun seawal pagi diteruskan. Akan tetapi pagi itu agak sayu kerana ia merupakan hari terakhir kami berada di Madinah Al Munawarah. Kalau sebelumnya kami bersegera ke masjid, tetapi hari ini kami bergerak agak perlahan. Kami merenung sepuasa-puasnya apa yang ada di depan mata kami. Dari mula kami bergerak meninggalkan hotel jam 3.47 pagi. Pemergian ke masjid lewat kerana menurunkan bagasi untuk persediaan miqat dan bergerak ke Mekah. Kawasan sekitar hotel, hinggalah ke dalam masjid, semunya meninggalkan bekas yang mendalam di hati ini. Apa yang paling menyayukan hati ialah Raudah. Hati ini berbisik, bila lagi Allah berkenan untuk menjemput kami untuk ziarah ke sini. Dari dataran masjid, aku menyaksikan sepuasnya semua keindahan yang menyelimuti panorama masjid. Ku tenung dalam perasaan yang paling dalam, kubah-kubah, payung automatik dan binaan dalaman yang mengelilingi masjid. Aduh, sungguh dalam kerinduan yang bakal kubawa pulang nanti. Jam 5.40 pagi, aku sempat berbual dengan seorang kenalan bernama Abd. Latip Alip dari Putatan tatkala menunggu solat subuh. Jam 7.00 pagi bergabung dengan isteri anak untuk ke Restoran Indonesia. Jam 9.52 pagi, membuat tukaran RM1,000.00 dengan SR820.00

Alhamdulillah, usai sarapan, sebelum ziarah wida terhadap kekasih Allah, aku sempat menjenguk bekas hotel penginapan di musim haji dahulu iaitu Hotel Al Haram. Jam 10.00 pagi, menuju ke Raudah menunaikan solat Dhuaa, solat taubat dan solat hajat. Aku menerima Whatsapp dari anakku ketika sedang menunggu peluang ke Raudah yang mengatakan Prof Mohd Kamil Ibrahim juga sedang berada di Madinah. Jam 11.05 pagi aku meninggalkan Raudah dan menuju ke saf kedua, betul-betul dekat dengan ruang solat imam dan meneruskan solat sunat lain. Semasa meneguk air zam-zam di Pintu Bubus Salam, aku melihat sosok tubuh yang agak aku kenali iaitu Prof Haji Mohd Kamil Ibrahim (Bacalah bukunya yang berjudul Usahawan Akhirat tulisan Prof Kamil atau pinjamlah buku tersebut yang aku hadiahkan kepada Haji Syamsul Nurmultazam). Di pertemuan singkat itu, aku sempat berbual-bual dengan beliau waima sekejap yang mana sebelum ini kami hanya berhubungan di alam maya. Bertanya khabar dan bertukar-tukar info penerbangan ke Haram. Aku meminta izin kepada beliau untuk beredar ke kawasan lain. Sebelum beredar aku sempat meminta izin untuk berselfie dengan beliau pada jam 11.09 pagi.

Bersama Prof Kamil Ibrahim (Penulis Travelog Haji,
Usahawan Akhirat dan banyak lagi)

Usai zohor di belakang Raudah, aku balik mandi sunat ihram. Kami berkumpul di lobi hotel dan bergerak ke Bir Ali jam 2.19 petang. Aku merakam derik-detik pemergian kami ke Mekah. Tatkala bas kami mula bergerak meninggalkan kota Madinah, kutatap kubah hijau yang semakin jauh kami tinggalkan. Hanya genangan air mata mengisi ruang perjalanan kami. Hatiku bagai disiat-siat, belumpun puas aku berada sedekatnya dengan jasad baginda, aku terpaksa meninggalkannya. Sayu hati ini tidak terlakarkan. Hati ini dilanda rindu bak ombak laut yang tidak berpenghujung. Semakin jauh kubah hijau itu kami tinggalkan, semakin hatiku terbungkam menanggung kerinduan yang total. Di Bir Ali, aku sempat merakam beberapa foto kenang-kenangan bersama para tetamu Allah. Jam 3.40 bas kami meninggalkan Bir Ali.

Di dalam bas kami membaca niat umrah dipimpin oleh Mutawif Haji Abd Basid..

“Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah taala”.

Selepas berniat,  kini aku terikat dengan 13 pantang larangan ketika dalam ihram seperti berikut:1.Tidak boleh menutup kepala bagi lelaki. 2.Lelaki tidak boleh memakai pakaian berjahit. 3.Tidak boleh menutup muka bagi wanita. 4.Tidak boleh memakai sarung tangan (lelaki dan wanita). 5.Tidak boleh memakai minyak wangi  atau bau-bauan sama ada di badan atau pakaian atau pada makanan, minuman atau menghidunya (Lelaki dan wanita). 6.Tidak boleh memakai minyak rambut (lelaki dan wanita) atau janggut. 7.Tidak boleh menangggalkan rambut / bulu (lelaki dan wanita). 8.Tidak boleh mengerat kuku (lelaki dan wanita). 9.Tidak boleh mencabut tanam-tanaman (lelaki dan wanita). 10.Tidak boleh memburu (lelaki dan wanita). 11.Tidak boleh bercumbu (melakukan pendahuluan persetubuhan). 12.Tidak boleh bersetubuh. 13.Tidak  boleh berkahwin. Mengahwinkan atau menjadi wakil kahwin. 

Jarak antara Madinah dengan Mekah mengikut jalan raya ialah 436.3 km. Perjalanan menggunakan kereta memakan masa selama 6 jam. Misi zikirku diteruskan ketika dalam perjalanan. Terdapat juga terlihat kawasan Wadi iaitu kawasan subur yang ditumbuhi dengan rumput menghijau di sepanjang perjalanan. Sesekali kami berselisih dengan bas SAPTCO (Saudi Arabia Public Transport Company). Jam 6.25 malam, kami berhenti rehat di R&R bernama Wadi Quadaid. Menurut mutawif Haji Basid, Quadaid mencatat sejarah di zaman Rasulullah, di mana baginda dan rombongan pernah singgah di sana. Beliau menemui seorang penternak bernama Aiman yang memiliki kambing yang kurus. Baginda memohon izin untuk memerah susu dari kambing kurus tersebut. Masya Allah, dengan kambing kurus tersebut, baginda memperoleh susu dengan bilangan yang cukup banyak. Kuasa Allah melampaui segala-galanya. Setelah membasahi tekak dengan teh dan murtabak, tetamu Allah meneruskan perjalanan menuju ke Mekah Al-Mukaramah.

Selamat tiba di Mekah

Mekah kota suci tempat Nabi Muhammad s.a.w dan tempat turunnya wahyu Allah yang pertama untuk kesinambungan agama Islam ke dunia ini. Di Mekkah jugalah terdapatnya Kaabah yang menjadi kiblat seluruh umat Islam di planet ini, juga ada telaga zam-zam, dan masjid yang terbesar di dunia iaitu Masjidil Haram. Suhu paling sejuk di Makkah ialah 10 darjah (bulan Februari) manakala suhu paling panas ialah 52 darjah (bulan Mei - Julai). Setiap tahun seramai 15 juta umat Islam akan berziarah ke kota Mekkah. Cuaca di Mekah lebih panas berbanding cuaca di Madinah. Walaupun semasa kami menunaikan umrah itu bukan musim panas, suhu sekitar 34 C.

Apabila bas mendekati kota Mekah, mutawif membaca doa memasuki Mekah. Di kejauhan aku memerhatikan menara Abraj Al-Bait, jam tertinggi di dunia mengalahkan Big Ben di London. Aku memerhatikan jam yang menjulang angkasa itu dengan dada berombak dan mula mencongak andai sebelum ini aku hanya memandang replika Kaabah di depan sejadah ketika solat, kini dalam beberapa jam lagi lakaran Kaabah yang kupandang di sejadah akan berada di depanku. Menitis air mata memikirkannya secara nyata.

Ya Allah! Sesungguhnya Tanah Haram ini, negeri ini, ketenteraman yang ada di dalamnya dan hamba yang ada padanya, semuanya kepunyaan-Mu. Hamba-Mu ini telah datang menyahut panggilan-Mu dari negeri yang jauh dengan membawa dosa yang banyak dan amalan-amalan yang buruk, daku pohonkan kepada-Mu sebagai permohonan orang yang sangat berhajat kepada-Mu dan takut kepada azab-Mu supaya Dikau terima daku dengan limpahan kemaafan-Mu dan masukkanlah daku ke dalam syurga-Mu, Jannatun Naim. Ya Allah! Sesungguhnya ini adalah Tanah Haram-Mu maka haramkanlah dagingku, darahku dan tulangku dari api neraka .

Ya Allah! Selamatkanlah daku dan anak isteriku dari azab Dikau di hari Dikau membangkitkan hamba-hamba-Mu. Daku memohon kepada-Mu kerana Dikaulah Allah yang tiada tuhan melainkan Dikau Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani! Dikau berselawat dan mengucapkan selamat sejahtera ke atas junjungan besar kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda sebanyak-banyak, selama-lamanya.

Kami tiba di Hotel Narawat Al-Shams 1, Jalan Ibrahim Al-Khalil pada jam 9.50 malam (6 jam 10 minit dalam perjalanan). Setibanya di hotel penginapan, kami dibahagi-bahagikan kunci bilik. Aku turut mempastikan kakak ipar dan keluarga rakan anakku memperoleh bilik masing-masing. Kami menginap di hotel yang pintu keluarnya ada kedai beraneka jualan. Ada jubah, ada serban, kurma, habatus sauda, perhiasan wanita, alat permainan kanak-kanak ada macam-macamlah barangan yang diperdagangkan. Bisik hatiku, Allah memudahkan segalanya kepada tetamu-Nya. Hati ini belum teruja untuk mendekatinya kerana misi utama ialah untuk bertawajuh di depan Kaabah. Jarak hotel ke masjid lebih jauh sedikit berbanding penginapan kami di Madinah (210 meter). Barangkali, salah satu faktornya, adalah semangat yang memotivasi setiap jemaah untuk solat di Masjidil Haram. 

Kami bertiga memasuki bilik 408 dengan kemudahan empat katil (ada peti sejuk). Satu katil kami gunakan untuk menyimpan beg-beg besar kerana tiada almari. Rahmat bersabar, lantai empat tidak jauh dengan lantai dua ruang makan kami. Kami jarang turun naik menaiki lif lantaran menginap di lantai empat. Mula-mula naik ke lantai dua untuk sarapan atau makan dan meneruskan menaiki tangga ke bilik 408.

Jam 10.31 malam kami bergerak ke lantai dua untuk menikmati makan malam yang disediakan. Usai makan malam kami bergerak dalam kumpulan ke Masjidil Haram. Aku mengetuai bacaan tarbiah para Duyufurrahman Nurmultazam sepanjang perjalanan sehingga  mendekati dataran masjid. Sebelum melangkah ke dataran Kaabah, kami menunaikan solat jamak Maghrib Isyak secara berjemaah di dalam masjid. Sememangnya dalam taklimat Mutawif Tuan Haji Basid, meminta  tetamu Allah rombongan Nurmultazam agar tidak solat zamak di R&R demi merebut pahala berganda bersolat di Masjidil Haram. Pengalaman luarbiasa dan tak mungkin terlupakan seumur hidup adalah saat-saat mendepani Ka’bah di tahun 2016. Aku teringat blok yang kubaca (beluncasakit.blogspot.com) yang berkongsi bahawa Masjidil Haram dan Masjid Nabawi adalah 2 masjid tersuci pada umat Islam. Dada beralun dan hati semakin sebak. Berdebar, gembira, teruja, terharu, sedih, sayu silih berganti, umpama sebuah piring hitam yang rosak yang memainkan lagu yang sama berulangkali. Hati cukup sayu, syahdu dan lutut terasa lemah dan satu perasaan yang tenang yang tak dapat digambarkan. Terasa betapa diri ini hanya insan yang kerdil di dalam lautan ribuan manusia. Perasaan disayangi, diperhati dan dijemput oleh ALLAH menerobos sedalam-dalamnya sehingga ke temulang putihku. Secara spontan lidahku mengungkapkan “Ya Allah, ampunkan segala dosa-dosku Ya Allah,” Entah berapa kali kalimah itu ku ulang-ulang dan ulang. Aku mendongak ke langit terbuka dengan air mata yang terurai sejak tadi. Aku menyangka di tengah malam seperti itu, tiada tetamu Allah berada di sekitar Kaabah, sangkaanku meleset, tetapi situasi adalah sebaliknya. Ribuan manusia melaut memenuhi sekitar Kabah, tetamu Allah yang datang dari berbagai penjuru dunia ( Iran, Turki, Syria, Indonesia dan India) khusyuk melaksanakan tawaf. Subhanallah. Syukur tak terhingga dan rasa haru yang menyelimuti perasaan ketika mendapati diri ini benar-benar berada di sana. Laksana bermimpi, aku mendepani sebuah pemandangan yang sukar untuk dilukiskan.

Semasa dalam tawaf, sememangnya aku, keluarga dan rombongan fokus dengan apa yang dilakukan. Yang penting adalah kedudukan bahu kiri tidak terpusing dari menghala ke Kaabah. Aku teringat mentor kehidupanku iaitu kedua ibu bapa yang selayaknya mereka ini kugenggam erat tangan mereka ketika mengelilingi Baitullah. Jasa mereka membesarkanku tidak dapat dipertikaikan. Waima aku mengendong mereka berdua bertawaf, dan mengendong mereka berdua untuk bersaie namua jasa mereka belum terlunas. Di mulutku tidak lekang doa kupanjatkan kepada Allah, moga mereka diberi perlindungan yang selayaknya atas pengorbanan menjadikan aku seperti aku pada saat ini. 7 pusingan tawaf di lantai bawah aku anggarkan dalam 40-50 minit.

Setiap istilam, suaraku bergetar. Kuserap aura Nabi Ibrahim yang mendirikan Kaabah beribu-ribu tahun yang lalu. Ingin kubayangkan aku mengatur langkah 7 kali mengelilingi Rumah Allah umpama Rasulullah ada di sisi, memang cukup terkesan di hati apabila selesai melakukan tawaf. Usai Tawaf , kami melakukan solat sunat tawaf di Multazam. Itulah rokuk, sujud pertamaku di depan Baitullah Masjidil Haram.

Usai solat sunat tawaf, Mutawif membacakan doa menyebabkan air mata kami bergenang sambil menghadap kaabah. Syukur Ya Allah, aku adalah antara ratusan ribu manusia sedang bertawaf, meminta dan berharap kepada Engkau, lihatlah aku dan keluargaku Ya Allah, dengarkanlah permohonan kami. Aku hanyalah seorang hamba yang tak memiliki apa-apa, seorang hamba yang jauh dari istimewa dihadapan-Mu namun aku berusaha untuk menjadi yang terbaik di hadapan-Mu. Ya Allah, aku menaruh sejuta harapan agar Engkau mengampuni dan meredhai aku. Jadikanlah khusnul khatimah sebagai penutup nafas kami dan masukkanlah aku dan keluargaku ke dalam Syurga-Mu tanpa dihisab. Sedang mutawif Haji Abd Basid yang acap kali mengunjungi Baitullah bergetar suaranya ketika mengetuai bacaan doa, apa lagi aku yang julung-julung kali menatap Baitullah.

“Allaahumma yaa rabbal baitil’atiiq aatiq riqaabanaa wariqaaba aabaa inaa waummahaatinaa wa ikhwaaninaa wa aulaadinaa minan naari yaa zaljuudi walkaramani walfadli walmanni wal’ataai wal ihsaan”. Ya Allah yang memelihara Ka’bah ini, merdekakanlah diri kami, adik-beradikkami, ibu bapa kami, saudara-saudara, anak-anak kami, guru-guru kami dan seluruh umat Islam dari siksa neraka, Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang mempunyai kelebihan, anugerah, pemberian dan kebaikan, baikkanlah diri kami, hapuskanlah dosa kami, tinggikanlah martabat kami, perbaiki segala urusan dunia akhirat kami, bersihkanlah hati-hati kami, terangilah kuburan kami sepertimana engkau sinari bumu-Mu dengan sinar matahari-Mu dan jangan engkau sempitkan liang lahad kami.

Seterusnya tetamu Allah NurMultazam mencari lokasi air zam-zam sebelum bergerak ke Safa untuk melakukan ibadah Saie berulangalik antara Bukit Safa dan Bukit Marwah. “Allahumma inni as luka ilman naafia Warizqan waasi’a wasyifaan kulli daa” . Ya Allah,sesungguhnya aku bermohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, reziki yang luas dan penawar bagi segala penyakit.

Jarak antara kedua bukit tersebut ialah lebih kurang 420 meter. Aku berdoa: “Bismillahirrohmaan Nirrohiim. Innas safaa walmarwata min sya’aairillah. Faman hajjal baita awi’tamara falaajunaaha ‘alaihi ayyatawaafa bihimaa wamantatawwa’akhairan fa innallaaha syaakirun ‘aliim”. Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Safa dan Marwah sebagian dari syiar tanda kebesaran Allah. maka barang siapa yang beribadah haji dan umrah ke Baitullah maka tidak ada dosa baginya mengerjakan sai diantara keduanya. Dan barang siapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaan hati maka sehungguhnya Allah Maha Penerima Kebaikan lagi Maha mengetahui.

Kelihatan juga lampu hijau di mana jemaah lelaki sunat berlari anak di antara kedua lampu hijau tersebut. Doa di lampu hijau : “Rabbigfir warham wa’fu watakarram watajaawaz’ammaa ta’lam, innaka ta’lamu maalaa na’lam. Innaka antallaahul a’azzul akram”. Ya Allah ampunilah, sayangilah, maafkanlah, bermurah hatilah dan hapuskanlah apa-apa yang Engkau ketahui dari dosa kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui apa-apa yang kami sendiri tidak tahu.

Hari ke-6 - (8 Disember 2016- Khamis-hari ke-2 di Mekah) Puasa Sunat

Syukur semuanya selesai dengan sempurna dan kami akhiri dengan bergunting rambut (tahalul) pada jam 3.10 pagi. Syaratnya adalah menggugurkan rambut sekurang-kurangnya 3 helai (atau melalukan mata pisau di atas kepala jika seseorang tidak mempunyai rambut). Semasa bergunting aku mamnbaca doa berikut : “Allaahummaj’al likulli sya’ratin nuuran yaumal qiyaamah”. :Ya Allah jadikanlah untuk setiap helai rambut (yang aku gunting) cahaya pada hari kiamat. Allah Maha mengetahui segalanya di luar mahupun di dalam isi hati. Sebahagian dari jemaah bergerak pulang ke hotel untuk bertukar jubah. Isteri dan anakku mengambil keputusan untuk terus berada di Masjidil Haram. Di perjalanan balik aku bersama seorang jemaah tiga beranak singgah membeli nasi beriani Arab SR 13.00 untuk makan sahur. Usai sahur, aku ke masjid semula iaitu pada jam 4.29 pagi tatkala azan pertama dikumandangkan. Syukur Ya Allah, lantaran membaca buku karangan Prof Mohd Kamil Ibrahim mengenai puasa Isnin Khamis, serta buku-buku lain yang menyentuh mengenai ibadah puasa, aku juga telah bertekad berpuasa seperti yang disebutkan dalam buku yang aku baca.

Balik selepas subuh untuk rehat, manakala isteriku mencuci pakaian kami tiga beranak. Kami bertiga kembali ke masjid pada jam 11.25 pagi untuk meneruskan misi membaca Al-Quran, zikir dan iktikaf. Di perjalanan, aku merakam burung merpati yang seragam bulunya sebelum memasuki perkarangan masjid. Apabila mendekati maghrib, keluar ke Bindawood untuk membeli roti dan minuman berbuka. Aku memasuki pintu 83 lantai Lower Ground yang berhawa dingin. Aku diajak berbuka dengan kurma dan air zam-zam tanpa membuka bekal yang aku bawa. Di beberapa tempat, jemaah menghidangkan makanan ringan seperti roti pita, kurma, buah-buahan dan minuman panas. Memang satu pemandangan biasa di mana permastautin Mekah (orang Arab) berlumba-lumba untuk berkongsi rezeki walaupun tidak kenal siapa anda. Begitu besar pahala berganda-ganda bagi mereka yang solat dan melakukan kebaikan di dalam Masjidil Haram. Hari ini lebih kurang 8 jam dihabiskan di masjid dan balik ke hotel selepas Isyak untuk makan malam bersama keluarga. Di kafeteria, isteri dan anakku telah menghidangkan makan malam untukku.

Hari ke-7 - (9 Disember 2016- Jumaat - hari ke-3 di Mekah)

Semangat meleburkan keletihan serta azam yang kuat membolehkan kami terjaga awal pagi. Waima telefon bimbit telah disetkan, tetapi jam 2.20 pagi telah terjaga awal sepuluh minit dari masa yang disetkan. Aku meneruskan rutin biasa memasak nasi, memasak air panas dan membuat minuman manakala isteri dan anakku menyidai kain yang sudah dicuci. Masih ada tenaga di mana di dalam hati masing-masing tidak mahu melepaskan peluang yang sudah terhidang di depan mata. Membancuh minuman dan memakan sedikit roti manis bersama isteri sebelum bertolak ke masjid.  Rutin keluar seawal pagi dari hotel menuju ke masjid, beriktikaf, sesekali keluar makan di Felda D'saji Safwah Tower dan sesekali minum tea merupakan amalan sinonimku ketika ziarah.


Masjid Hudaibiyah, lokasi bermiqat umrah ke-3

Setibanya di masjid, kami bertiga memulakan tawaf sunat tepat jam 4 pagi dan menghabiskannya jam 4.48 pagi. Subuh di Masjidilharam yang cukup indah apabila aku berada betul-betul di hadapan pintu Kabah (Multazam). Di kawasan tawaf, adakalanya tidak sesak dengan orang. Dan ada masanya memang nampak sesak dan penuh dengan jemaah yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Terasa dekat sangat diri ini dengan Allah apabila dapat bersolat berdekatan dengan Kaabah, bertawajuh di bawah pintunya menjadikan diri merasa terlalu kerdil. Berbilion umat Islam bersolat dari pelbagai penjuru dunia menghadap ke Kaabah, dan aku pula bertuah bersolat betul-betul di hadapan bangunan suci ini. Aku terus berada di dataran Kaabah manakala anak dan isteriku ke kawasan solat wanita. Saat azan dikumandangkan, aku memerhatikan gelungan lampu hijau di Zam-zam Clok Tower menyala dengan cantik.

Usai solat subuh, kami bertemu di kawasan yang dijanjikan dan bergerak ke Kompleks Safwah Royal Orchid Hotel untuk sarapan di Restoran Malaysia Felda D’Saji. Di tanah suci, jemaah dilarang berlawak jenaka. Yang diutmakan ialah “amal ibadah dan perbuatan”. Para jemaah dilarang mengotori hati dengan menggosip jemaah lain. Makan tiada masalah besar sangat bagi kami kerana menu yang dihidangkan pun boleh dimakan seperti nasi, keropok, jus buahan segar, roti paun, kari lembu, dan pelbagai lagi.

Dengan sejuta limpah rahmat dan izin Allah, jam 8.45 pagi kami bergerak masuk semula ke masjid untuk beriktikaf dan solat dhuaa. Aku masih memilih pintu 83. Kami meneruskan iktikaf, zikir, selawat dan membaca Quran sehingga menjelang zohor, hanya keluar untuk makan tengah hari di kompleks Safwah. Hari ini isteriku menyerahkan duit SR50 manakala anakku SR100 untuk membeli Broest Chiken, urusan dam dan lain-lain. (3 bekas plastik sederhana untuk diisikan dengan air zam-zam)

Semasa ziarah, majoriti jemaah datang dari Indonesia, Asia Selatan (Pakistan/India/Bangladesh), Mesir, dan Nigeria, diikuti oleh Iran, Turki dan negara-negara Arab lain mewarnai landskap sekitar masjid. Mereka adalah jemaah dari penduduk Islam teramai di dunia, dan kehadiran mereka menjadikan hati ini terbungkam lantaran kita dipersatukan dengan satu matlamat, iaitu ziarah menghadap ke kiblat yang sama (Baitullah).

Waktu solat Jumaat juga kami diperingatkan supaya masuk ke dalam Masjidilharam awal beberapa jam. Kerana pada kebiasaannya memang penuh jika masuk lambat. Kami dapat merasa solat di pelbagai lokasi di masjidil haram ini. Hobiku selepas zohor menjelang asar adalah beralih-alih tempat di Masjidil Haram, di sudut dimana aku dapat melihat Kaabah secara terus. Letih berzikir, aku berjalan mencari tempat baru untuk bersolat. Alangkah seronoknya, tiada waktu tahrim atau waktu yang diharamkan solat di Masjidil Haram, waima selepas waktu subuh dan selepas Asar. Solat taubat, solat hajat, dan solat sunat lain ditunai silih berganti, dengan harapan dapat menebus kealpaanku selama hampir 60 tahun, kerana asyik mengejar dunia yang tidak berpenghujung. Balik ke hotel usai solat Isyak dengan masa iktikaf hampir 15 jam. Adalah menjadi rutin harianku mengisi botol mineral yang kubawa dengan air zam-zam sebelum meninggalkan masjid.

Hari ke-8 Sabtu -(10 Disember 2016-hari ke-4 di Mekah -  Ziarah Luar)

Terjaga jam 2.30 pagi untuk membancuh kopi buat sarapan pengalas perut kami bertiga. Aku juga memasak nasi buat persediaan makan tengan hari. Usai kami bertiga lengkap bersiap, lantas kami bersegera menuju ke Masjid. Dalam suasana cukup selesa dengan sedikit kedinginan masih membaluti sekejur tubuh kerdil ini, dengan berpegangan tangan kami bergerak ke masjid dan lantas mengesan kedudukan lampu hijau untuk memulakan tawaf sunat dalam situasi yang sedikit longgar. Namun dengan rahmat Allah, kami dapat menyelit antara kalangan ribuan tetamu Allah. Usai tawaf, kami bertiga berundur ke Multazam untuk menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa sepenuh hati. Kesyahduan yang membaluti diri tidak dapat dicanggah. Doa dititip memohon keampunan-Nya dan doa utama agar umrah ini diterima sebagai umrah yang mabrur. Sebelum subuh, kami bergerak untuk mencari lokasi lain bagi menunaikan solat sunat lain dan terus-terusan menadah tangan memanjatkan doa, mengadu sepuas-puasnya …. Kepada Allah. Aku pohon keampunan dan dipermudahkan segala urusan, serta memohon untuk dijemput sebagai tetamu-Nya dalam masa terdekat. Tidak ada yang dilakukan kecuali mensyukuri nikmat kesempatan berkunjung dan solat di depan Baitullah.

Kami balik selepas solat subuh kerana ingin menyertai ziarah luar. Di perjalanan pulang, keadaan laluan sedikit sesak oleh pedagang jalanan yang menawarkan barangan mereka dengan penuh berhati-hati. Aku turut membeli SR30.00 tasbih yang kurasakan cukup unik. Seawal jam 8.30 pagi, kami berkumpul di lobi hotel untuk bergerak Bukit Tsur. Sempat merakam detik kenangan di sana bersama tetamu Allah. Kami ke Jabar Rahmah selepas itu. Kami diberi masa selama setengah jam untuk menziarahi Jabal Rahmah, tempat bertemunya Nabi Adam dan Siti Hawa. Mula-mula aku berasa lelah untuk memanjat bukit yang agak tinggi juga, tetapi semangat mengatasi segala-galanya. Orang agak ramai dan jalan untuk ke atas agak berliku-liku dan sesak. Di pertengahan jalan kedengaran suara menyebut “Tariq-tariq” yang bererti jalan terus. Kami memanjat secara bersilang-silang sebab ramai yang sedang naik dan turun. Memang hampir 19 minit (jam 10 tepat) kami baru berada di puncak Jabal Rahmah. Di Jabal Rahmah, kita tidak perlu meniru perbuatan jemaah lain yang tidak betul. Tidak perlu tulis nama di batu untuk yang disayangi. Cukuplah kita berdoa untuk kesejahteraan, kegembiraan dan keharmonian jodoh, ukhuwah keluarga, rakan-rakan dan seluruh umat. Sempat merakam memori untuk diabadikan sebagai kenangan.

Di Jabar Rahmah, aku teringatkan dengan kisah Nabi Adam yang tercampak ke Ceylon (India) selepas dikeluarkan dari syurga kerana memakan buah larangan. Baginda menangis dan bertaubat selama bertahun-tahun. Selama bertahun-tahun juga Nabi Adam berjalan hingga akhirnya sampai ke bumi hijjaz ini, bertemu degan Siti Hawa isteri yang sangat dirinduinya. Nabi Adam berkenalan semula dengan Hawa di bumi Arafah dan mereka sememangnya saling mengenali sesama mereka. Bayangkanlah, hanya kerana satu kesalahan memakan buah larangan, Nabi Adam dan Hawa terkeluar dari syurga. Mengingaktan diri sendiri, betapa angkuhnya kita yang sering melakukan dosa tanpa memikirkan peristiwa yang menimpa Nabi Adam dan Hawa. Turun ke bawah mencari ais kerim dan seronok merakam suasana jual beli sekitar dataran Jabar Rahmah. Aku terleka membeli songkok dan seluar nipis untuk buah tangan, dan buat pertama kalinya aku menjadi orang terakhir menaiki bas tanpa sempat membeli ais kerim.

Rombongan bergerak melawat perkhemahan Mina melalui Mudzalifah. Aku teringat Bab 6 bertajuk Wukuf dalam buku Bahagia Berganda karangan Mohd Zaini Ariff dan Prof Muhd Kamil Ibrahim. Bab 6 menceritakan peristiwa Wukuf mengikut pengalaman pengarangnya. Mataku meliar mencari-cari kawasan mabit kami di Mudzalifah dan Mina ketika berhaji pada tahun 2015. Kami bergerak ke Masjid Jaranah untuk bermiqad (umrah ke-2  kuniatkan untuk ayahku). Jemaah menukar kain ihram, berniat dan solat sunat ihram. Di sana sempat berselfie bersama rombongan yang diketuai oleh Ustaz Don dan sempat menemankan Hj Matsah membeli Quran Mekah..

Bas kami meninggalkan Jaranah menuju ke Masjidil Haram untuk makan tengah hari. Kami sepakat untuk bertawaf dalam kumpulan agar lebih fokus dan kami pastikan tidak terpisah sesama  rakan serombongan lain. Kumpulan-kumpulan dari pelbagai negara turut ada yang jenis berangkai lengan, mereka tetap dengan kumpulan mereka dan tidak mahu berpisah. Cuma kita perlu pastikan bahu kiri tidak lari atau terpusing dari menghala ke Kaabah apabila berlaga bahu atau tertolak.

Kami meneruskan ritual Saie. Aku teringat melalui pembacaan suatu blogger yang bercerita mengenai Sang Guru Agama bertanya kepada muridnya yang bernama Asy-Syibli, “Apakah saat kamu melakukan saie antara Safa dan Marwah, kamu mencurahkan semua harapan untuk memperoleh rahmat Allah, dan bergetar tubuhmu karena takut akan siksaan-Nya?” Asy-Syibli menjawab, “Tidak.” “Kalau begitu, kamu belum melakukan saie kata gurunya”. Lantas aku memperlahankan langkahku untuk tidak menghabiskan saieku dengan tergesa-gesa. Sesungguhnya aku berazam untuk saie dengan fokus mengingati Allah. Kami berhenti untuk solat Asar tatkala jemaah memasuki pusingan Saie kedua. Kami berhenti untuk solat asar dan meneruskan saie selepas itu. Usai menyelesaikan tahalul, aku balik untuk menukar kain ihram kepada jubah biasa, manakala isteri dan anakku tidak kembali ke hotel penginapan. 

Hari ini aku cuba memikirkan sesuatu yang aneh di kota Madinah dan Mekkah. Kita dapat menjumpai burung merpati yang jumlah ribuan yang memiliki corak bulu yang sama. Walhal di tempat lain corak bulunya berbeza-beza. Dan tidak seekorpun dari burung tersebut yang hinggap di atas Ka’bah. Di perjalanan balik ke masjid aku merakam foto di kawasan lapang dan mendapati warna burung merpati yang seragam di kawasan tersebut sama seperti yang kualami di Madinah. 

Aku ke masjid sebelum asar dan balik selepas isyak. Semasa balik aku membeli 3 gelen air yang bakal kuisikan dengan air zam-zam buat mandian kami bertiga (Ini bukannya amalan utama, hanya sekadar mengambil peluang bersiram dengan air berkat ini selagi masih berada di Haram sebelum meninggalkan Mekah nanti). Laluan balik dipenuhi dengan jemaah yang bersesak-sesak dan terdengar laungan peniaga jalanan memperagakan jualan masing-masing.

Sebelum melelapkan mata, kami tiga beranak berkongsi momen-momen menarik pada siang tadi.

Hari ke-9 Ahad (11 Disember 2016-hari ke-5 di Mekah - Ziarah luar kedua)

Rasanya lega dan bersyukur sekali boleh menjalani ibadah dengan lancar sejak dari Madinah sampai ke Mekkah. Jam 3.27 pagi, kami bertiga bertolak ke masjid setelah terjaga seawal 2.10 pagi. Waima kami terjumpa beberapa jemaah masih di lobi hotel, tetapi kami tinggalkan mereka kerana mereka telah berjanji dengan rakan-rakan lain. Pagi ini aku bertawaf sendirian kerana anak dan isteriku teringin untuk solat di dataran Kaabah berdekatan pintu Kaabah. Mereka enggan berganjak setelah berjaya memperoleh sudut yang diinginkan. Pagi ini aku menunggu subuh sambil membaca Al-Quran di belakang Hijir Ismail. Usai solat subuh, setelah berkumpul di tempat yang dijanjikan, kami bergerak pulang kerana ingin menyertai ziarah ke ladang unta, muzium dan miqat di Hudaibiah.

Miqad di Bir Ali untuk berniat umrah

Bas bergerak pada jam 8.10 pagi. Kami melalui perjalanan yang agak panjang lantaran pemandunya kurang mengenali liku-jalan ke tempat tujuan. Akan tetapi kerisauan kami terubat oleh celoteh Haji Basid yang sering menyebabkan kami tidak kering gusi. Akhirnya kami tiba juga di Ladang Unta pada jam 10.33 pagi. Aku sempat merakam foto kandid di sana dan membeli Madu Yaman SR 30.00 sebotol dan buah tin kering setengah kilo SR15.00. 

Kami kemudian bergerak ke muzium Mekah setelah bermiqat di Masjid Hudaibiah (umrah ke-3  kuniatkan untuk ibuku). Kami tidak berlama di muzium kerana mengejar waktu.

Bas kami bergerak ke hotel untuk makan tengah hari dan berkumpul untuk tawaf. Tawaf hari ini lebih awal dari kelmarin. Jam 4.07 petang kami selesai bertahalul. Di perjalanan pulang untuk bertukar pakaian aku membeli serban buatan India SR20.00 serta tasbih yang agak bermutu sedikit. Aku juga singgah untuk membeli tiga mangkuk ais kerim yang kuletakkan di dalam peti sejuk kerana isteri dan anaku tidak balik ke hotel penginapan selepas tahalul.

Apabila berkumpul pada malamnya, kami berkongsi momen-momen menarik sepanjang ziarah kami setakat ini sambil menikmati ais kerim yang aku beli siang tadi. Sebelum tidur, kami menyusun sedikit barang belian kami ke dalam beg biru Nurmultazam. Setelah mengecas telefon bimbit, kami melelapkan mata masing-masing, waima deruan kenderaan di luar hotel di jalan raya besar masih kedengaran.

“Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya:

1. Pemimpin yang adil.

2. Pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ‘ibadah kepada Rabbnya.

3. Lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid.

4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, sehingga mereka tidak bertemu dan tidak juga berpisah kecuali kerana Allah.

5. Lelaki yang diajak (berzina) oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik lalu dia berkata, ‘Aku takut kepada Allah’.

6. Orang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi, hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.

7. Orang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sendiri hingga kedua matanya basah kerana menangis.”
(HR. Al-Bukhari no. 620 dan Muslim no. 1712)

Perkara ke-7 itulah yang sering berlaku kepada mereka yang berziarah ke Madinah dan Mekah. Aku bukan bertindak menjadi orang terbaik tetapi berusaha untuk menjadi lebih baik. Banyak sekali air mata ini tertumpah ketika ziarah ini. Apa lagi kita yang tingal jauh, sedang mutawif kita Tuan Haji Basid yang kedengaran suaranya bergetar ketika beliau membacakan doa selepas solat sunat ihram ketika kita mula-mula mendepani Kaabah walhal beliau merupakan permastautin Jeddah yang sudah acap kali mengujungi Mekah Madinah.

Hari ke-10 Isnin-(12 Disember 2016-hari ke-6 di Mekah- Sambutan Maulud Nabi)

Rutin harian diteruskan. Terjaga di awal pagi jam 1.48 untuk membancuh kopi / milo buat sarapan pengalas perut kami bertiga. Seperti rutin biasa, di belakang pintu bilik aku membaca doa ,”Ya Allah, selamatkan kami dalam perjalanan ini. Kami datang semata-mata kerana-Mu, semata-mata untuk beriadah kepada-Mu. Izinkan kami beriktikaf di dalam masjid-Mu dan kekalkan wuduk sehingga kami selesai beriktikaf.”

Jam 3.00 pagi tepat kami bertiga bertolak ke masjid dan tawaf sunat setelah mendepani Kaabah. Pagi ini aku solat di depan Hijir Ismail dan membaca Quran sementara menunggu subuh. Usai subuh aku bergerak ke Kompleks Safwah seperti yang dijanjikan bersama isteri dan anakku. Kami makan mee dan anakku makan roti perata. Kami bertiga membei-belah di kedai Arjwan (2 Floor Alsafwah Mall)  untuk memenuhi pesanan anak bongsu yang memohon dibelikan aneka coklet kegemarannya. Anakku juga membeli sebungkus Arabic Coffee (Ethiopia) 125 grm yang ada campuran  Cardamom (aroma rerempah),  3 + 1 Arabiana Nescafe  campuran  Cardamom  dan Turkish Coffee with Cardamon produced in Al-Khair Factory Jeddah KSA.  Isteriku membeli key holder yang ada lambang Jam Melah dan Kaabah untuk buah tangan kepada rakan sepejabatnya manakala aku hanya membeli sekotak kecil coklat. Usai selesai segala urusan kami sepakat balik ke hotel untuk mengambil sedikit rehat dan mengemas barang untuk dimuatkan ke dalam beg besar. Lantaran tertidur aku adalah yang terakhir meninggalkan bilik hotel kami. Aku membeli sejadah memandangkan azan zohor dikumandangkan tatkala aku bertolak ke masjid. Aku dapat membayangkan betapa nanti aku terpaksa solat di tengah jalan raya dekat pembidang Bindawood. Akan tetapi rahmat Allah mengatasi segalanya. Syukur Ya Allah, aku dapat lolos juga ke pintu masjid yang masih menerima tetamu-Nya sedang pintu lain telahpun ditutup. Rutin harian diteruskan menjelang isyak.

Sepulangku dari solat isyak, aku singgah di kedai gunting untuk dibotakkan. Sejarah tercatat 12/12/2016 aku berbotak kali keduanya setelah berbotak pertama ketika berhaji tempoh hari. Malam ini kami menghadiri taklimat wida dan aku menyampaikan tiga wakaf Al-Quran kepada Haji Basid. Apa yang aku tahu, istimewanya Tuan Haji ini ialah sebelum menyerahkan wakaf Quran ke masjid, beliau akan meminta sebarang jemaah masjid membacanya terlebih dahulu. Logiknya Quran wakaf adalah untuk bacaan para tetamu Allah. Andai tidak dibuat sedemikian, berkemungkinan Quran wakaf kita tidak akan terbaca memandangkan jumlah Quran yang begitu banyak di sekitar Masjidil Haram.

Antara perkara penting taklimat ialah menurunkan barangan sebelum subuh dan keluar berkumpul di depan Bank Al-Rajhi untuk tawaf widak bersama-sama. Beliau juga memberi penerangan iaitu tidak boleh berlama di masjid selepas wida, tidak boleh shopping, tidak boleh memberi sedekah dan tidak boleh berselfie, merakam foto atau membantu orang lain untuk berfoto.

Malam hari ini, sukar untuk aku melelapkan mata kerana mengingatkan hari itu merupakan hari terakhir kami di bumi suci para ambia. Suara hiruk pikuk di jalanan, masih kedengaran dengan tetamu Allah yang lalu-lalang pergi dan balik dari masjid, seolah-olah tiada insan yang tidur sepanjang malam. Tidak terasa hari berlalu sebegitu pantas yang memaksa aku meninggalkan Mekah Al Munawarah.

Hasbunallah wanikmal wakeel... cukuplah Allah sebaik-baik penolong... Aku memohon janganlah engkau jadikan kunjungan ini adalah yang terakhir untukku. Jemputlah aku dan keluargaku dalam masa terdekat. Dan aku memohon dikurniakan dengan umrah yang mabrur. Sebelum melelapkan mata, kami meghimpunkan lebihan barangan ke dalam tiga bakul plastik untuk disedekahkan kepada yang memerlukannya.

Hari ke-11- Selasa (13 Disember 2016) Hari terakhir menatap Baitullah.

Rutin harian bangun seawal pagi diteruskan. Akan tetapi pagi itu agak sayu kerana hari tersebut merupakan hari terakhir kami berada di Mekah. Kulihat isteriku tidak seceria sebelum itu. Begitu juga anakku. Kalau sebelumnya kami bersegera ke masjid, tetapi hari ini kami bergerak agak perlahan. Jam 3.50 pagi aku menurunkan 3 beg besar dan sebuah beg kecil untuk dimuatkan ke dalam bas. Aku juga menghantar piring-piring dan gelas minuman yang kami pinjam dari dapur hotel. Kami bertiga bertolak ke masjid pada jam 4.35 pagi selepas azan pertama dikumandangkan. Di laluan ke masjid, kami bertiga menyedekahkan lebihan barangan kami seperti beras, gelen air, sardin, mee maggi, biskut kering peanut dan sedikit minuman 3+1 kepada warga kurang upaya (peminta sedekah) yang berada di laluan kami.

Kami bertiga solat subuh di lantai atas masjid paling atas yang tidak berbumbung. Usai solat, kami turun dan berkumpul ditempat yang dijanjikan. Kami memulakan tawaf wida dalam suasana yang begitu sayu. Tiap pusingan aku tidak melepas peluang memandang Kaabah buat kali yang terakhir kalinya.

Aku merenung sepuasa-puasnya apa yang ada di depan mata kami. Dari mula kami bergerak meninggalkan hotel, kawasan sekitar hotel, hinggalah ke dalam masjid, semuanya meninggalkan bekas yang mendalam di hati ini. Apa yang paling menyayukan hati ialah Baitullah. Hati ini berbisik, bila lagi Allah berkenan untuk menjemput kami untuk ziarah ke sana. Dari dataran masjid, aku menyaksikan sepuasnya semua keindahan yang terdapat di sana. Ku tenung dalam perasaan yang paling dalam, menara Jam Mekah, kubah-kubah dan binaan dalaman yang mengelilingi Baitullah. Aduh, sungguh dalam kerinduan yang bakal kubawa pulang nanti, yang entah bolehkah kutenung untuk sekalian kalinya dalam masa mendatang.

Setibanya di depan lampu hijau, kami memulakan tawaf terakhir dalam situasi yang dipendam terlalu dalam. Kami beristilam dan bergerak tawaf dengan agak perlahan. Lampu Hijir Ismail mengingatkan aku betapa dalam kesukaran manapun, Allah tetap memberi aku peluang untuk berdoa di sana. Lambaian dan kucupan terakhirku di pusingan ke-7 pasti akan aku rindui . Insya Allah, ada rezeki akan bertandang lagi mengunjungi Baitullah-Mu.

Rasa sedih tatkala meninggalkan Kaabah begitu mendalam. Selepas ini kalau solat, aku hanya dapat memandang lakaran foto pegunnya sahaja di sejadah. Setiap sudut sekitar Kaabah ada memori tentang Nabi Ibrahim, Rasulullah, dan Nabi Imail terutamanya Hajar Aswad. Entah kenapa aku berasa iri hati melihat petugas Masjidil Haram yang berbaju hijau yang berkerja dengan bersungguh-sungguh membersih sekitar dataran Kaabah. Mereka dengan bebas boleh memasuki kawasan Hijir tanpa terhalang sepanjang tahun, sedangkan aku terpaksa berpisah dengan Baitullah pada hari ini.

Kami berkumpul dan berundur ke kawasan Multazam untuk solat. Aku memilih untuk memanjangkan sujud terakhirku, sambil berdoa, "Ya Alah, berikanlah kekuatan untuk aku memelihara solatku selepas ini, kerana aku tahu solat adalah yang pertama akan dihitung di Mahsyar kelak. Ya Rahman, janganlah Kau hilangkan nikmat solatku, umpamakan ia seperti aku melihat Kaabah di depan mata, atau merasa hadir sedekatnya dengan jasad Rasul-Mu, atau tika bersujud di Raudhah, Taman Syurga.. Ya Rahim, kurniakanlah kami umrah mabrur, yang tiada balasan baginya kecuali syurga-Mu. Ya Allah janganlah kau jadikan ini kunjunganku yang terakhir buatku. Andai ia yang terakhir, maka Kau gantikanlah ia dengan sesuatu yang lebih baik lagi iaitu SYURGA". Kami berkumpul di suatu kawasan untuk mengaminkan doa yang dibacakan oleh Haji Basid dalam suasana cukup mencengkam di hati ini.

Usai berdoa, kami dibawa untuk mencium kelambu Kaabah (Multazam). Silih berganti kami mengucup kelambu wangi itu dalam cucuran air mata. Doa terakhirku, “Ya Allah dengan Rahmat-Mu, jemputlah aku dan keluargaku untuk kunjungan yang akan datang dalam masa terdekat.” Usai mengunjungi Multazam, kami bersesak pula memasuki Hijir Ismail waima tidak mampu bersolat tetapi mampu memanjatkan seberapa banyak doa ketika berada di dalamnya.

Kami bersegera meninggalkan dataran Kaabah. Sebelum melangkah pergi aku menghimpunkan keluargaku dan berdoa, “Ya Allah, kami datang kerana-Mu Ya Allah, Andai anakku berdosa padaku, aku ampunkan dosanya. Oleh itu ampunkan dosa anak-anakku. Andai kata isteriku berdosa padaku, aku ampunkan dosa-dosanya oleh itu, ampunilah dosa isteriku. Andai kata aku berdosa Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku. Himpunkanlah kami sekeluarga dalam Syurga-Mu dan masukkanlah kami ke dalam-Nya tanpa dihisab.”

Usai tiba di hotel, kami ke bilik untuk mengemas barangan lainnya. Anakku turun ke kafe untuk mengambil sarapan buat kami bertiga. Kami mandi dengan siraman air zam-zam dan mengenakan pakaian untuk balik ke kampung halaman. Turun segera dan berkumpul di kawasan lobi hotel. Sebelum bas meninggalkan kota Mekah, Haji Shamsul menaikai bas untuk berucap. Sebelum berpisah, dengan genangan air mata beliau memeluk dan merangkul setiap jemaah lelaki Nurmultazam. Jam 9.00 pagi bas bergerak meninggalkan Mekah. Seluruh isi bas senyap sunyi melayan perasaan. Mata kami bergenang lagi, melihat menara jam yang berdekatan Masjidil Haram, semakin jauh dan semakin hilang dari pandangan. Entah bila lagi kami dapat tiba di sini lagi. Di kejauhan, aku merenung menara jam dengan kepahitan perasaan yang sungguh dalam. Tiada kekuatan kecuali dengan kekuatan dari-Nya. Hanya kepadaNya aku memohon bantuan dan panduan agar kami boleh ziarah lagi dalam masa mendatang.

Kami singgah di kawasan yang dinamakan Balad pada jam 10.48 pagi. Kami menuju ke Pasar Ali Murah untuk menjenguk barangan yang dijual di sana. Aku mengajak isteri, anak dan kakak ipar (Hjh Mastura) untuk merasa Bakso Jeddah jam 11.22 pagi. Jam 11.32 kami meninggalkan Balad menuju ke Masjid Terapung untuk solat jamak zohor Asar dan makan tengah hari jam 1.00 petang. Sempat membeli empat biji buah delima sebagai buah tangan terakhir. Kami berpisah dengan mutaif Tuan Haji Basid di situ. Aku dan isteri tidak berselera makan lantaran pukulan bakso Jeddah.

Kira-kira jam 2.13 petang, tetamu Allah tiba di Lapangan Terbang Haji Jeddah. Makanan kami yang diedarkan di Masjid Terapung disedekahkan kepada pekerja Bangla di Airport terminal Haji Jeddah. Jam 3.32 petang, kami mula berbaris untuk mendapatkan tiket penerbangan. Jam 5.16 petang kami menaiki limo ke pesawat Royal Brunei (BI 082) setelah berbaris hampir 2 jam setengah. Jam 6.02 kami menaiki pesawat dan duduk sebaris di kerusi 33 G, H dan I. Di dalam pesawat, tetamu Allah melayan kerinduan  masing-masing. Aku mengajak anakku untuk solat menghormati waktu ketika masuk waktu Maghrib dan Isyak, begitu jaga tatkala waktu subuh. Lantaran kesejukan, aku menggelungkan serban di kepalaku. Jam 9.20 malam makan malam diedarkan.

Hari ke-12- (Rabu - 14 Disember 2016) keberangkatan balik

Hari kepulangan ke tanah air meragut momen-momen berhargaku di Madinah. Ruang untuk aku bertawajuh di Raudah direntap dengan tangis kerinduan yang sangat dalam. Tiada lagi kelibat Kelambu Hitam yang sering kali kutatap sayu ketika solat di lantai Baitullah.

Namun, dengan segala kemurahan dan kasih sayang-Mu, Engkau masih memilihku ziarah di tahun 2016, Ya Rabbi. Semoga ini bukanlah kunjungan untuk yang terakhir aku dapat menatap keagungan Makkah dan Madinah.

Sekembalinya aku ke tanah air, aku ingin meningkatkan kualiti ibadah kepada yang lebih baik dari sebelum-sebelumnya, lebih bersemangat untuk mengajar ilmu agama dan terutama untuk segera mengubati segala penyakit-penyakit hati, seperti sombong, riya’, iri, dengki dan prasangka buruk. Aku berharap suatu saat nanti Allah akan memberikan kesempatan untuk anak-anakku yang lain untuk mengubat rindu ke tanah suci-Nya ini. Sesungguhnya di hati ini perasaan terus membuak-buak untuk ke sana untuk sekalian kalinya. Allah Maha Besar, Maha Pemurah.

Disantuni di Hotel Orchid Barakan Brunei Darusalam

Jam 10.12 pagi waktu tempatan Brunei, kami tiba di Lapangan Terbang Brunei. Kami meninggalkan Lapangan Terbang Bandar Seri Begawan dengan bas yang disediakan ke Hotel Orchid dekat studium Brunei dan tiba di sana kira-kira jam 11.25 pagi. Kami dibagi bilik 512 bertiga dan dibekalkan dengan tapau makan tengah hari. Selepas solat jamak Zohor Asar kami berkumpul di lobi hotel. Jam 2.00 petang, kami tiga beranak, Hj. Matsah dan isteri serta tiga orang yang lain (Hjh Susella dan ibu) serta Hj Faizal menaiki bas percuma ke kompleks membeli-belah Barakas. Kebetulan tukaran wang Brunei masih banyak berbaki kepadaku (tukar duit Brunei di Wisma Merdeka pada 1/12/16 dengan nilai 3.13 iaitu BR 200 bersamaan   RM 626.00) . Bukannya apa, selagi beroleh peluang ke negara orang, Allah bagi peluang kepada kita untuk belajar budaya masyarakat setempat. Apa yang terpuji di Negara Brunei melalui pengamatanku ialah rasa hormat pemandu kepada pengguna jalan raya. Setiap kali hendak melintasi jalan-jalan raya, pemandu di sana siap siaga memperlahankan kenderaan dan berhenti memberi laluan kepada kami. Jam 4.00 petang kami dijemput balik ke hotel penginapan. Anakku dan rakannya keluar semula untuk merakamkan momen berfoto di Stadium Brunei. Kami bertiga sempat juga mengubat mata waima sekejap. Jam 5.36 petang bas pengantara menghantar kami ke Lapangan Terbang selepas berfoto di lobi hotel. Usai solat jamak maghrib isyak,  rombongan Nurmultazam makan malam di perkarangan Surau Airport yang cantik, setanding masjid di tanah air kita. Pesawat Royal Brunei BI 829 mendarat dengan selamat di KKIA pada jam 9.52 malam. Jam 10.43 malam kami berkumpul dengan ahli keluarga dan  meninggalkan Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

Kerinduan yang mendalam

Kesempatan menjejakkan kaki ke Tanah Suci, pasti menjadi antara detik paling manis dan berharga. Travelog ke tanah suci takkan sama dengan kembara ke tempat lain. Kembara ku ke sini penuh dengan harapan yang sangat mengunung dalam melaksanakan salah satu tuntutan untuk memohon keampunan terhadap yang maha mencipta. Pengalaman spiritual yang berbekas di hati ini dan malar segar ini akan kekal terpahat di sanubari selagi hayat dikandung badan. Keinginan untuk kembali berkunjung ke sana sentiasa membuak-buak di hati kecil ini. Ayuh, mari kita fikir-fikirkan. Sebenar-benarnya, Dia menginginkan kita untuk datang kepada-Nya. Jemputan-Nya telah lama dilayangkan kepada kita, cuma kita yang tidak mahu menyahutnya.

Unik (sesuatu di luar batasan fikiran)

Sepanjang ziarah, aku memerhatikan beberapa keunikan. Pertama, warna seragam burung merpati di sana tidak seperti burung merpati di tanah air kita yang pelbagai corak dan warna tetapi tidak di Jeddah. Kedua disiplin solat, anda akan kecewa lantaran tidak dilayan untuk membeli barang di saat-saat waktu solat semakin dekat. Peniaga akan mengarahkan untuk anda bersegara ke masjid.

Keunikan berikutnya ialah pantang keluarga-keluarga Arab berjumpa dengan kawasan berumput.  Di kawasan rumput hijau seluas tiga gelanggang takrau di belakang sebaris kedai menjual pelbagai barang seperti kedai ais kerim, kedai runcit, di Madinah dijadikan tempat berkelah bagi mereka.

Keunikan berikutnya ialah kulit telur ayam yang putih seragam. Belum pernah lagi aku melihat warna kulit telur yang lain selain putih di Mekah mahupun di Madinah.

Memaknakan ziarah

Setelah beribu batu datang dari Malaysia dan membayar beribu ringgit untuk sampai ke sana, maka pergunakalah masa yang ada untuk beribadah secara total, solat berjemaah di masjid dan berikhtikaf di dalamnya kecuali ditimpa musibah seperti demam atau tidak berupaya ke masjid. Walau bagaimanapun, tiada lagi penyesalan kerana kita telah kembali ke tanah air. Andaikata kita tidak sempat membuat itu dan ini, bererti Allah ingin menjemput anda untuk kunjungan yang berikutnya.

Mengapa menangis?

Adalah lebih baik kita menangisi perpisahan kita dengan jasad di mana baginda Rasulullah dimakamkan, daripada kita menangisi perpisahan dua hero dan heroin Hindustan lantaran putus cinta dalam Cerekarama Tayangan Gambar.

Kita menangis kerana beberapa hari berada di Madinah, kita berada sedekat-dekatnya dengan jasad orang yang akan memberi syafaat di hari akhirat (Padang Masyar) nanti. Kita menangisi perpisahan tersebut. Kita menangis saat-saat pertama berdepan Baitullah, kerana masih diberi pinjaman usia oleh Allah. Andai kata nafas kita terhenti sebelum ziarah, kita tidak dapat melihatnya semasa hayat kita. Kita menangis tatkala tawaf wida kerana selepas itu kita tidak lagi mendepani Bitullah di depan mata kita seperti semasa beberapa hari di Masjidil Haram. Selepas ini, kita hanya mendepani lakaran Baitullah atas sejadah kita. Manakan sama aura mendepani Kaabah di depan mata dengan memandang lakarannya di tikar sejadah. Kita merindui saat-saat kita bertawajuh dan berwirid sambil memandang Baitullah. Dengan harapan sekembalinya kita, rutin wirid itu akan kita teruskan.

Mengapa sakit selepas kembali ke rumah

Andai anda kurang sihat selepas tiba di kampung halaman. Lihatlah perkara tersebut dari sudut positifnya. Pada saya, Allah tidak mahu melihat kita leka. Dengan batuk yang memanjang kita akan terjaga pada waktu malam. Allah menguji kita apa yang kita lakukan setelah terjaga di malam hari. Rebutlah kesempatan untuk bertahajud dan bersolat taubatlah, tidak semestinya dengan solat taubat kita di dua kota suci Allah, kesemua dosa-dosa kita telah terampun. Mohon ampunlah kepada-Nya selepas solat-solat tersebut.

Beruntung?

Beruntunglah kita andai selepas ziarah kita meneruskan rutin ibadah kita dengan mengunjungi masjid dan surau seperti yang kita lakukan berbelas hari semasa ziarah. Beruntunglah kita andai kita dapat memaknakan sepenuhnya ziarah kita. Kita bukan sekadar tawaf tujuh keliling untuk melengkapkan rukun umrah. Ketahuilah betapa kita sebenarnya menjejak jejak-jejak kaki Rasulullah, Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan lain-lain sahabat baginda. Baginda dan lain-lain sahabat juga pernah bertawaf di mana kita bertawaf. Beruntunglah kita jika kita memaknakan Saie antara Safa dan Maruah. Siti Hajar berlari tujuh kali ulang alik dengan permukaan batuan yang tidak rata dengan penuh debaran untuk mencari air sedang kita berulang-alik dengan gelak ketawa kerana pada pusingan ketujuh kita terlepas dari 13 larangan ihram setelah bertahalul. Beruntunglah kita andai selepas umrah, kita tidak segan-segan untuk solat jenazah seperti yang kita lakukan ketika umrah. Seingat saya, hanya dua kali sahaja solat jenazah tidak diadakan. Mengapa beruntung? Kita lihat saja Jabal Uhud yang sepanjang tujuh kilometer. Begitulah pahala kita andai kita turut serta melaksanakan solat jenazah di kampung halaman atau di mana saja. Dibagi bonus satu lagi pahala sepanjang Bukit Uhud andai kita turut mengiring jenazah sehingga ke liang lahad. Fikir-fikirkanlah, sekali lagi saya nyatakan, saya bukanlah orang yang terbaik antara kalian, namun ingin mengajak anda menjadi yang terbaik. Beruntunglah kita adai kita menetapkan misi umpama berselawat 10 ribu kali, berzikir 10,000 kali, bertahmid 10,0000 kali dan beristigfar serta membasahkan lisan dengan membaca Al-Quran sepanjang ziarah. Lagi beruntung andai rutin itu diteruskan sekembalinya kita ke kampung halaman.

Tempat mengadu

Hati kecil ini tidak pernah jemu-jemu mengadu kepada Allah. Dan aku yakin, Allah sentiasa mendengar rintihan kita waima di mana kita berada. Oleh itu terus-teruskanlah mengadu kepada Allah. Sesungguhnya Raudah ada di rumah kita. Bangunlah sepertiga malam, tahajud dan mengadulah kepada-Nya walaupun telah kembali ke kampung halaman. Teruskanlah solat Dhuaa dan solat taubat kita. Tidak semestinya reziki yang akan digandakan. Berkemungkinan kesihatan yang Allah berikan, atau pun rahmat lain yang Allah kurniakan waima  benda-benda yang kita hajatkan.

Jutaan terima kasih

Ucapan terima kasih kepada rakan serombongan terutama kepada keluarga Haji Mali bin Muyung (sahabatku), Dayang binti Muyong, Suseela binti Sulaiman, Haji Mahali Nurdin serta keluarga , Haji Borhan dan keluarga , Hj. Salimi Maralim dan rombongan, Hjh. Halimah Norbidin serta rakan-rakan,  Hj. Mohd. Ali Abd. Ghani serta keluarga. Begitu juga dengan kenalan lain Hajah Norazalina anak menantu, Haji Rosman bin Amit serta Haji Jamil dan isteri, Hj Fazil sekeluarga serta yang lain-lain waima nama anda tidak tersebut. Karenah kalian kerap menjadikan ziarah ini lebih bermakna. Keriuhan kalian sepanjang ziarah merupakan pemangkin roh ziarah kami sekeluarga tiga beranak.

Andai ada sebarang tingkah kami tiga beranak yang tidak menyenangkan tuan/puan, hanya sekalung maaf kami pohonkan. Maaf juga kerana kita amat jarang dapat bersua lantaran kami tiga beranak sering tidak balik ke bilik penginapan. Lebih banyak masa kami diluangkan di masjid untuk tujuan beriktikaf. Sekali lagi, kami bukannya yang terbaik namun tetap berhasrat untuk menjadi lebih baik. Permintaan saya, sebarang cerita kurang elok, tidak perlulah dipanjang-panjangkan. Andai ada yang tidak kena dengan pihak agensi, itu semua adalah takdir Allah yang ingin menguji kesabaran kita selaku tetamu-Nya. Pengurus agensi juga serupa kita, sebagai insan biasa kita semua ada kekhilafan. Sebahagian kita hanya tahu menanak dan memakan nasi tanpa melihat jeraminya, sebahagian kita hanya rakus merebut pangkat, harta dan kedudukan tanpa mengira dari mana reziki itu diturunkan. Insaflah semua itu bukannya turun umpama hujan, melainkan atas kehendak Allah yang empunya Alam.

Suntikan semangat

Sebenarnya cukup sulit menukilkan sepenuhnya pengalaman travelog ziarah ini. Dalam setiap kunjungan, ia kerap menyimpan kenangan. Bahkan, setiap kali bersolat di Masjidil Haram dan di Masjid Nabawi, aku merasai pengalaman sangat bahagia. ''Kebahagian yang tidak boleh dilukiskan''. Pada setiap ritual ibadah di sana mempunyai hikmah dan makna yang tersendiri. Aku sendiri pun belum berasa puas untuk menyampaikan kesemuanya lantaran keterbatasan masa. Sebahagian moment aku simpul sendiri di benak ini, risau dikatakan sengaja untuk menonjolkan kelebihan diri yang masih jauh lebih kerdil di sisi-Nya. Aku bersandar kepada kata kunci “Di antara satu umrah dengan umrah menjadi penghapus dosa antara keduanya, dan haji yang mabrur ganjarannya adalah Syurga” (HR Al-Bukhari).

Moga ALLAH memberi balasan syurga buat sekelompok deretan penulis seperti Prof Kamil Ibrahim, Puan Roza Roslan, Mohd Zaki Abd Halim, Haji Daud Che Ngah, Intan Yacob, Sabariah Mel Udin, J. Rahmat, Abd. Ali Hassan, Ezee Rahmani, Haji Zainal Bujang, Hamirdin Ithnin, Prof Ridzwan Bakar, Zuera Abdul Ghani dan beberapa penulis blog atas perkongsian yang dicatatkan dalam tulisan mereka yang menyuntik semangat orang lain untuk pergi umrah, ziarah dan haji. Mereka bukan sekadar penyuntik semangat malah mentransformasi seluruh kehidupan ini untuk menjadi hamba Allah yang terbaik dan lebih baik dan aku mahu semua orang di luar sana sama-sama akan merasai seperti mana yang aku rasakan tatkala berziarah ke sana dan merasakan sendiri betapa membuaknya perasaan untuk berkali-kali dan berulangkali mengunjungi Tanah Suci Allah.

Tangan ku genggam ku paut dahan
Dahan berpaut pokok melati
Rindu menggunung bukan rekaan
Memori terpahat tak lekang di hati

Burung maleo setia ke mati
Bangkurung Banggai asal usulnya
Rindu mendalam menusuk hati
Entah bila kembali ke sana

Jejak petualang di Gunung Tokala
Tempat berbubu si udang galah
Bukan kepalang ziarah ke sana
Mekah Madinah memori terserlah

Terima kasih kerana sudi membaca hingga ke noktah terakhir. Sebelum menutup kalam, jutaan maaf aku panjatkan kepada kalian pembaca. Umpamanya “Andai rambut yang panjang tidak sekata, gunting saja rambutnya bukan memotong sehingga ke pangkal lehernya”. Maksud saya, andai dokumentasi ini dilihat sebagai ego pribadi saya, maafkan saya. Yang salahnya perilaku saya bukan keseluruhan warna kehidupan saya.

Sekian.




Sunday, July 24, 2016

12 fakta menarik tentang Mekah (khususnya sekitar Kaabah dan Masjidil Haram) yang jarang kita tahu.

1. Mekah adalah kawasan yang mempunyai graviti yang sangat stabil.
2. Oleh kerana tekanan graviti sangat tinggi, di situlah berpusatnya suara – suara yang tidak dapat di dengar oleh telinga.


3. Tekanan graviti yang tinggi memberikan kesan langsung kepada sistem imun badan untuk bertindak sebagai pertahanan dari segala macam penyakit.


4. Doa akan mudah terkabul kerana situlah tempat gema atau ruang dan masa serentak.


5. Apa yang diniatkan di hati adalah gema yang tidak boleh didengar tetapi boleh dirasakan frekuensinya. Pengaruh elektron menyebabkan kekuatan dalam kembali tinggi atau penuh semangat untuk melakukan ibadah, tidak ada sifat putus asa, dan ingin terus hidup untuk menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah.


6. Teknologi satelit dan gelombang radio pun tidak dapat menangkap apa yang ada di dalam Kaabah. Kekerapan radio bahkan tidak mungkin mendengar apa – apa yang ada di dalam Kaabah kerana tekanan graviti yang tinggi.


7. Tempat yang paling tinggi tekanan gravitinya sehingga mempunyai kandungan garam dan aliran anak sungai di bawah tanah yang banyak. Itulah sebabnya jika bersembahyang di masjidil haram yang walaupun terbuka tanpa bumbung tetap terasa sejuk.


8. Tidur dengan kedudukan menghadap Kabah secara automatik otak tengah akan terangsang sangat aktif hingga tulang belakang dan menghasilkan sel darah merah.


9. Pergerakan mengelilingi Kaabah mengikut arah lawan jam membuat peredaran darah didalam tubuh meningkat. Kerana itulah kita jadi bertenaga dan rata – rata orang yang berada di Mekah sentiasa sihat dan panjang umur.


10. Angka 7 itu membawa maksud kepada bilangan tidak terhingga atau terlalu banyak. Dengan melakukan 7 kali pusingan sebenarnya kita melakukan ibadah yang tidak terhingga jumlahnya.


11. Larangan memakai topi, songkok, atau menutup kepala karana rambut dan bulu roma (lelaki) adalah ibarat antena untuk menerima gelombang yang baik selama berada di ka’bah


12. Setelah selesai semua barulah bercukur. Tujuannya untuk melepaskan diri daripada larangan – larangan di dalam ihram. Namun rahsia sebenarnya adalah untuk membersihkan “antena” kita dari segala kotoran. Agar hanya gelombang yang baik saja yg diterima oleh tubuh.


Kerana itulah selepas kita melakukan ibadah haji, kita seperti dilahirkan kembali, sebab segala yang buruk telah dibuang keluar dan di gantikan dengan nur atau cahaya yang baru.

Thursday, June 23, 2016

Puisi

PUISI WARGA EMAS
 (Ag Matasan)

Warga Emas gelaran kita 
gelaran berlapik tidak ketara
waima itu pemanis bahasa
orang tua adalah gelar sebenarnya
agar kita tidak berpura

Waima tetap sehat sejahtera 
di zahir kelihatan bahagia
bisikan palsu kerana semua kekurangan tetap dirasa
kegemilangan dahulu tinggal cerita
memori manis menggetar jiwa
kulit keriput kini terasa
pentas hidup bukannya sama
terlalu ketara saling berbeza

Andai dulu jalan berkilo kakimu gagah
kini jalan mengesot termengah-mengah
andai dulu sebiji nanas boleh diratah
kini lebih sepotong membawa padah
andai dulu bila bahagia ketawa berdekah
kini senyum tawar bersusah payah
andai dulu di kenduri kahwin dendangmu menyerlah
kini hanya muzik 60-an berbalam-balam di dapur rumah
andai dulu rumah bising anak dimarah
kini sunyi anak pinak jarang ziarah
andai dulu kita bangga banglo mewah
kini membersih keliling membawa parah
andai dulu bersembur minyak wangi pakaian terserlah
kini minyak angin minyak urut rutin ditempah

Lebih malang andai pasangan lebih dahulu 
dijemput pulang
risau bukan kepalang keseorangan malam menjelang
banglo ditinggal ke rumah jiran tidur menumpang
pagi sarapan hanya dinding menghias pandang
anak menantu bukan merenggang
tinggal di perantauan lantaran tinggi jawatan disandang

Tetapi bukan semua dirundung susah
yang beruntung memiliki rumah sederhana mewah
sepanjang masa tetap meriah
namun penat berganda menjadi pembantu rumah
berjaga malam matamu memerah
anak cucu membuat semangatmu mengagah
kepada mereka kasih dicurah

Hayat yang masih tersisa
rugi andai seharian menghantar Whatsapp
menutup pedih
mengadu untung sesama rakan sepelatih
kupi kupi di restoran tercanggih 
akhirnya minda sendiri terasa letih 
beruntung andai dihabis menggentel tasbih
mindamu tenang terhindar perasaan sedih 
wang simpanan terkawal dan berlebih
engkau bakal menjadi insan terpilih
rugi andai wang bertimbun memenuhi nafsu serakah
selera muda tidak berubah 
pagi petang menjelang malam bertukar juadah
penyakit tiga serangkai bakal ditempah
beruntung diganda pahala andai banyak sedekah
menjelang pagi solat dhua bersujud di sejadah
di waktu dinihari solat tahajud mengantuk diredah
dan solat witir sebagai penyudah
rugi andai melancong ke kota bersejarah
ibadah bersepai tak tentu arah
ditakdir khatam pinjaman umur oleh Allah
menanti di sana balasan yang parah
beruntung andai ziarah Mekah Madinah
teratur solat dengan limpahan ibadah
ditakdir pinjaman umur berakhir sudah 
dijamin Syurga oleh Allah

Mari kita bergabung tenaga
ingat mengingat sesama kita
sebelum satu demi satu berpisah akhirnya
bermaaf-maafan di usia senja
andai terdengar berita duka
jika dekat ziarah segera
andai jauh titipkan sekelumit doa

Tuesday, May 24, 2016

Tahun ke-33

Angka keramat 33
Alhamdu lillah 
aku  rasa cukup bertuah dan bahagia kerana memilikimu 
dan kuharap engkau juga begitu
keranamu rumahtangga kita terus terurus
terjaga dan terus terusan terjaga

Kita sudah diberi rezeki yang tidak putus-putus
dan rezeki tersebut tidak membebankan
waima tidak semewah mana
tetapi dapat  berbelanja dengan semampunya
kerana  berlapang dada 
kita dilimpahi rezeki yang tak dijangka

Kita sudah diberi rezeki anak,
dan kita lebih bahagia dari mendapatkan  mereka
di mana kebaktian mereka amat kita perlukan
moga mereka menjadi aset akhirat kita
syukur  …… anak-akan mampu menabung sendiri
dan lebih dari mencukupi

Kita juga punya kediaman yang lebih dari orang tidak punya
buat warisan anak-anak kita
kita tidak terpedaya dengan kurnianya
kita boleh memilih yang mana kita suka

Kita juga punya kenderaan yang tersesuai
walau tak semewah tetapi kita jarang berdepan masalah
dengan kerisauan yang melampau

Kita masih diberikan rezeki kesihatan
akan tetapi ujian adalah menjadi rahasia-Nya 
bersyukur dan bersandar sepenuhnya kepada-Nya
bersedia secukupnya

Kita  diberikan rezeki umur yang panjang
mungkin Allah beri peluang
untuk  luangkan masa yang tersisa bersama
atau ujian lainnya yang  menjadi rahasia-Nya

Bersyukur   kita dengan nikmatnya
Berusaha menutup kelemahan bersama
Bersabar berhadapan masa mendatang
Berdoa untuk dihimpunkan bersama
Bertawakal kunci utama kita

Selamat ulang tahun perkahwinan ke-33

Tuesday, May 17, 2016

Puisi Khas sempena Hari Guru 2016

 “Dulu, kini dan selamanya”
(Ag Matasan)

Dulu,
di kala papan batu
engkaulah murabbi
tiap tuturmu dipatuhi
sapamu tersemat di lubuk hati
bapa hantar setiap pagi
kata dua kepada guru diberi
pukullah andai arahanmu tidak dipatuhi
ke mana kau pergi
kau digilai gadis sunti

Dulu,
di kala mesin taip tengah berfungsi
engkau duduk bersila di ruang tamu kau dikelilingi
lima rujukan Sejarah untuk ajarmu di esok hari
pulangmu tengah hari
belumpun sempat kering peluh mengalir di dahi
dengan pena terselit di jari
menyemak buku latihan menjelang dinihari
bukan dibuli tetapi amanah tetap dipenuhi

Seketika dulu,
di kala hangat dengan IT
siang malam engkau bimbit papan kekunci
berlenggang masuk kelas yakin diri
buka komputer pasang LCD
hebatnya guru bisik di hati
ajarmu lancar berkesan dan berbekas di hati
pulangmu dicanang rasa puas hati

Kini,
Mana sudah papan batu
Masa sudah mesin taip
Mana sudah papan kekunci

Kini,
engkau masih tetap murabi
tiap katamu berhati-hati
sapamu tersemat di pagi hari tetapi menghilang di tengah hari
bas hantar setiap pagi
kata dua kepada guru tidak diberi
pulas telinga sedikit WhatsApp berkunjung sepenuh baldi
siap peguam membawa gari
diseret, entah siapa ambil peduli

Kini,
papan batu ke mana pergi
mesin taip pengalas kaki
adakah selayaknya diarkibkan di muzium negeri
atau diumpamakan basahan kain mandi
engkau duduk bersandar di sofa lebar
fikiran ligat berlegar-legar
memikir hari esok rancang mengajar
peluh tiada tetapi hati berdebar
pena tiada tetapi diganti white board marker
menyemak buku latihan pintar
konon mengguna Frog VLE yang terkini
ada anak-anak tidak ambil peduli
guru di depan teriak setengah mati
di belakang ada yang asyik menyusun jari
melayar aplikasi utube terkini

Tetapi kini,
ada anak-anak terlajak bijak
tiada angin tiada acara tetapi terus bersorak
kepada guru kias dan tempelak
tergesel sedikit terus melalak 
baju lengan panjang diselak
tetapi murabbi bersemangat liat
hebatnya guru bukan dibuat-buat
niat ikhlasnya di hati tersemat
insan luhur terus diniat
yang disebar adalah ilmu yang bermanfaat
untuk bekal di alam akhirat

Dan selamanya,
segala ilmu diperturun semua
tiada satu pun yang menjadi rahasia
apa-apa yang sekolah tidak punya
dikorban ringgit untuk melengkapkannya
LCD beralih tangan kempunan mengguna
tunggu gaji hujung bulan 
tiba-tiba ia dalam genggaman tangan
turun mu ke gelanggang 
melatih anak buah bukan jalan berlenggang
perut kosong anak didik semua diusung
bawa mewakili sekolah duit minyak sendiri tanggung
satu ribu satu kerja jarang mengeluh
waima duit gaji berbaki separuh
azammu tinggi tekad mu tetap ampuh
bukan mengharap durian runtuh
atau berhajat melebar pengaruh
cukup sekadar berpuas hati dengan titik peluh
anak didik mampu bergelar insan berpengaruh

“Guru Pembina Negara Bangsa”
UMS Kota Kinabalu
16 Mei 2016

Thursday, April 21, 2016

Fikir-fikirkanlah ....

Insan yang tidak pernah membosankan andai menatap wajahnya ialah IBU
Laungan yang tidak pernah menjengkelkan tatkala  mendengarnya ialah AZAN
Perkataan yang jangan pernah terlepas dari menyebutnya ialah ALLAHU AKBAR
Buku yang tidak pernah menjemukan andai membacanya ialah AL-QURAN
Ungkapan yang tidak pernah merugikan andai melaungkannya ialah LABAIKALLAH HUMA LABAIK Jambatan yang meremangkan bulu tatkala mengingatnya  ialah TITI SIRAT
Peristiwa yang tidak pernah kita lupakan tatkala mengenangnya ialah MATI
Hari yang tidak dapat kita bayangkan andai dinukilkan kedahsyatnya ialah KIAMAT
Perhimpunan yang tidak boleh kita pinggirkan untuk kita ingati ialah PADANG MASYAR
Perkara yang tidak boleh menjadikan kita jatuh papa kedana ialah ZAKAT
Peristiwa yang paling getir yang sering kita lupakan ialah ALAM BARZAKH
Hal yang terlalu berat untuk dilakukan andai jarang  mengamalkannya ialah SEDEKAH
Rumah yang paling kita rasa selamat untuk diduduki ialah MASJID

Masa  yang boleh membuang ego kita selagi bergelar insan ialah SOLAT

Tuesday, April 19, 2016

‌‌Ingatlah putera-puteriku


Doa IBU paling makbul
‍‌‌‌‌‍‍‍‌‍‌Restu IBU paling berkat
Misi IBU paling jauh
Visi IBU paling tepat
Harapan IBU paling tinggi
Pengorbanan IBU paling mulia
Asuhan IBU paling sempurna
Sentuhan IBU paling lembut
‍‌‌‌‌‍‍‍Belaian IBU paling romantik
Airmat IBU paling mahal
‌‍‌‌‌Nasihat  IBU paling beharga
Wajah IBU paling cantik
‍‌‌‌‌‍‍‍Masakan IBU paling sedap
Lenggang IBU paling menawan
Tatapan IBU paling menusuk
Cucian IBU paling wangi
‍‌‌‌‌‍‍‍Leter IBU paling bermakna
Pemantauan IBU paling lengkap
Senyum IBU paling bermakna
Teguran IBU paling dalam
Marah IBU paling berkesan
Permintaan IBU paling menyentuh


Amam 20/4/2016 

Wednesday, April 13, 2016

100 Tips Ziarah (Umrah)

1Mencari agensi umrah yang anda yakini dan berpengalaman
2Meminta pertolongan agensi mengenai dengan kesahihan suntikan dan menyemak pasport masih sah laku untuk memudahkan permohonan visa waima itu urusan agensi
3Membetulkan niat Umrah semata-mata kerana Allah
4Melakukan seberapa banyak solat taubat sebelum ziarah
5Memohon doa diberikan kesihatan sebelum, semasa dan selepas pemergian ke tanah suci
6Menyediakan perbelanjaan secukupnya untuk ahli keluarga yang ditinggalkan
7Menyenaraikan list keperluan sebelum berangkat
8Sediakan sedikit tukaran Rial Saudi untuk persediaan awal seperti membeli kad sim ketika di Lapangan Terbang Arab Saudi (tukaran pada 10/4/2016 SR1,000.00 = RM877.19)
9Membawa bekalan ubat-ubatan yang mencukupi
10Membawa pakaian yang perlu sahaja  (lelaki):  kain ihram, tali pinggang ihram, selipar yang terbuka depan belakang , 2 pasang jubah, seluar panjang, kain sarung. (perempuan):  3 pasang kelengkapan pakaian solat, telekung, anak tudung, kain sarung, selipar, pakaian dalam, stokin yang secukupnya, tuala mandi, sabun mandian, berus dan ubat gigi.
11Mempelajari manasik umrah secukupnya
12Menghadiri taklimat yang diberikan oleh agensi
13Membaca buku panduan
14Mempelajari dan menghafal doa-doa penting seperti doa masuk ke masjid (iktikaf), doa ketika solat jenazah dan doa-doa lain
15Menunaikan solat musafir sebelum meninggalkan tanah air
16Berdoa di halaman pintu rumah sebelum berpergian
17Membaca doa ketika menaiki kenderaan / pesawat
18Bertukar kerusi setelah pesawat stabil di udara bukan memilih kerusi untuk bersama pasangan ketika sebelum berlepas. Ini mengganggu tugasan anak-anak kapal
19Sentiasa memakai tag nama sepanjang berpergian seperti yang disediakan oleh agensi umrah
20 Gunakan masa terluang di dada pesawat untuk menyemak buku panduan atau isikan dengan zikir
21Tidak menonton wayang yang disediakan di dalam pesawat
22Solat menghormati waktu di dada pesawat
23Bersabar ketika berada di pos pemeriksaan imigresen di lapangan terbang Arab Saudi (Jeddah / Madinah)
24Bersabar ketika menunggu ketibaan bagasi
25Pastikan bagasi mencukupi dan diurus sendiri
26Qada solat setelah mendarat di lapangan terbang Arab Saudi
27Jangan lupa sujud syukur
28Tidak berebut-rebut ketika menaiki bas. Baca doa dalam perjalanan.
29Berzikir semasa dalam perjalanan
30Ketika berehat di hentian, pastikan pili air mempunyai air sebelum membuang hajat
31Gunakan peluang rehat di hentian tersebut untuk solat jamak
32Membaca doa ketika memasuki kota Madinah
33Ketika tiba di hotel penginapan, bersabar ketika menunggu kunci bilik
34Berusaha untuk mengenali rakan sebilik (jika ziarah berseorangan), bukan menanamkan bibit perkelahian sesama rakan
35Hantar pakaian ke dobi untuk mengelak tandas dipenuhi dengan kain basuhan
36Bersegera ke masjid. (Andai kunjungan pertama, hubungi mutawif yang disediakan oleh agensi untuk panduan ke masjid).
37Hadkan lisan anda, setiap gerak laku orang lain yang tidak disenangi harap disimpan di dalam hati. Mungkin itu ujian untuk kita
38Baca doa memohon keselamatan di muka pintu bilik penginapan setiap kali sebelum meninggalkan hotel untuk ke masjid
39Berniat iktikaf setiap kali sebelum masuk ke masjid
40Mengingat pintu masuk untuk keperluan keluar dari masjid ke hotel penginapan
41Tinggalkan sepatu anda di kotak(almari)  yang disediakan di  Masjid Nabawi (hafal nombor kotak) dan basuh sepatu anda terlebih dahulu sebelum memasukkannya ke dalam bakul plastik jika ingin membawa sepatu ketika berada di Masjidil Haram
42Cari lokasi air zam-zam dan minumlah air itu dengan menghadap Kiblat setiap kali berada di dalam masjid (mekah dan Madinah). Mohon disembuhkan segala penyakit zahir dan penyakit batin
43Sampaikan selawat ke atas baginda sebaik-baik sahaja tiap kali kita mendepani Maqam Baginda Rasulullah
44Perbanyakkan solat ketika berada di dalam masjid Nabawi dan Masjidil Haram
45Setiap selepas solat fardu, jangan terburu-buru untuk balik ke hotel, tunaikanlah solat jenazah terlebih dahulu
46Berusaha untuk berdoa di Raudah (tempat makbul doa). Jika keadaan sesak, tidak perlu solat di sana
47Untuk memudahkan memasuki Raudah, jangan terburu-buru balik ke hotel selepas solat Dzohor. Ketika jemaah lain berbondon-bondon balik untuk makan, bertahan seketika, pasti ada ruang kosong untuk anda
48Solat hajat terlebih dahulu dan mohon agar Allah permudahkan untuk anda memasuki kawasan Raudah
49Adab berdoa di Raudah (Masjid Nabawi).  Berdoa menghadap kiblat bukan menghadap maqam
50Bertolak seawal pagi, untuk mengelak kepadatan tetamu Allah dan tetamu Rasulullah. Raudah dan Masjidil Haram (Hijir Ismail) pasti mudah untuk dimasuki
51Setiap selepas solat subuh dan isyak, jangan terburu-buru untuk balik ke hotel kerana takut kehabisan makanan. Utamakan ibadah dari mementingkan makan minum. Kalau tidak sempat, bersabarlah dan makanan boleh dibeli di mana-mana kedai makanan.
52Andai berdepan dengan sebarang kesulitan, masalah atau ditimpa musibah, segera tunaikan solat taubat. (yakinlah, mungkin  itu ubat mujarabnya)
53Bersabar ketika menunggu giliran untuk menaiki lif hotel
54Bersabar tiap kali mendepani kesesakan di dewan makan
55Bersifat Qanaah, sentiasa berpuas hati dengan hidangan makanan yang disediakan
56Berusaha untuk puasa sunat Isnin dan Khamis, bagi membolehkan kita berlama di masjid
57Jangan terpedaya dengan ujian panas, lantas kelam-kabut balik ke hotel untuk menikmati penghawa dingin
58Lebihkan lama berada di masjid dari di bilik hotel
59Kurangkan cakap-cakap kosong sepanjang berziarah
60Lebihkan kepada tasbih, tahmid dan zikir
61Andai membuat pembelian, usah dihebahkan dengan rakan sebilik
62Hadkan barangan yang dibeli untuk mengelak membayar lebih ketika penerbangan balik
63Sentiasa membaca pengumuman yang dilekat di mana-mana
64Bersiap-siaga lebih awal andai ada lawatan
65Hubungi mutawif andai ada permasalahan umrah yang dihadapi, bukan mendapatkan pandangan rakan-rakan
66Kekalkan hubungan dengan sesiapa sahaja yang kita temui, dan hulurkan salam
67Andai berpergian bersama pasangan, kekalkan hubungan baik seperti berbimbing tangan ketika ke masjid. Andai takut terbatal, pakailah sarung tangan
68Ringankan tangan untuk menghulurkan sedekah kepada warga kurang upaya semasa ziarah
69Perbanyakkan solat ketika berada di masjidil haram. Gunakan peluang tersebut kerana di sana tiada larangan solat
70Berdoa ketika mana kita melihat Baitullah buat pertama kalinya atau setiap kali kita melihatnya
71Kesan kedudukan lampu hijau sebelum memulakan tawaf
72Pastikan kita berada di lampu hijau sebelum memulakan istilam
73Pastikan aurat ketika mengangkat tangan semasa istilam (perempuan)
74Mengekalkan mengkirikan Baitullah semasa tawaf
75Tidak menyentuh dinding Baitullah mahupun lingkaran Hijir Ismail ketika bertawaf
76Membaca doa memohon keselamatan dunia dan akhirat setiap kali  berada di Rukun Yamani semasa tawaf
77Tidak menguatkan suara ketika berdoa untuk mengelak gangguan terhadap jemaah lain
78Bawalah penunjuk bilangan tawaf seperti getah atau apa-apa sahaja agar bilangan mengelilingi Baitullah untuk bertawaf lengkap tujuh keliling. Andai ada perasaan was-was, lebihkanlah tawaf tersebut.
79Berusaha untuk tidak mendekati kawasan antara Pintu Baitullah dengan kawasan Maqam Ibrahim (kawasan ini amat padat)
80Pada pusingan ke-7, cuba untuk semakin menjauhi Baitullah untuk memudahkan kita keluar ke Multazam
81Pastikan di pusingan ke-7, kita melepasi lampu hijau sebelum ke Multazam
82Elakkan dari menyiku atau tolak menolak sesama jemaah ketika bertawaf
83Tunaikan solat sunat tawaf di Multazam dan berdoalah sepuasnya
84Doa yang utama ialah agar umrah kita diterima sebagai umrah yang mabrur dan mohon dimasukkan ke Syurga Allah tanpa dihisab
85Adab berdoa. Berdoa dengan sungguh-sungguh, bukan berdoa sambil memerhatikan situasi keliling (seperti melihat lampu yang indah ketika di Raudah ).
86Ikut arahan untuk berkumpul sebelum bergerak ke Safa untuk bersaie
87Jika berhajat untuk tidak menyertai rombongan, maklumkan kepada mutawif atau wakil agensi agar jemaah lain tidak tertunggu-tunggu. (Biasanya mutawif akan mempastikan jemaahnya mencukupi sebelum bergerak ke Safa).
88Lelaki hendaklah menutup kedua-dua bahu ketika bersaie
89Ketika berada di Lampu hijau, berlari-lari anak hanya untuk jemaah lelaki sahaja
90Membaca doa ketika bertahalul
91Jika berhajat untuk mengucup Hajrul Aswad, elakkan dari mengupah orang lain untuk mendorong anda ke sana
92Jika berada di Hijir Ismail dalam keadaan sesak, berdoalah sahaja itu lebih utama (bersolat jika situasai mengizinkan)
93Gunakan kesempatan untuk menggandakan umrah ketika berada di Mekah
94Pergilah ke Tanaim untuk berniat umrah. Kumpul rakan-rakan untuk menaiki bas atau mohon bantuan mutawif atau wakil agensi
95Umrah-umrah yang seterusnya. Niatkan untuk orang tua kita yang telah tiada
96Jika naik teksi, biarkan jemaah lelaki masuk terlebih dahulu.
97Andai keluar teksi, biarkan jemaah wanita keluar terlebih dahulu
98Jika berada di Jabar Rahmah, berdoa menghadap kiblat bukan menghadap tugu putih
99Tawaf widak sebelum meninggalkan Kaabah untuk pulang ke tanah air dan berdoa agar kunjungan kalian bukannya kunjungan terakhir, mohon dijemput menjadi tetamu Allah di masa akan datang
100Jangan menceritakan apa-apa hal yang tidak baik kepada orang lain setelah balik dari umrah (sama ada kelakuan sesama jemaah, fasiliti hotel, ketidakselesaan, kelemahan agensi, layanan di pos imigresen, hal makan-minum atau sebarang kelemahan).  Berpusahatilah kerana kesemua itu adalah ujian Allah.

Semoga anda adalah antara yang terpilih atau dibukakan hati untuk menjadi tetamu Allah di tahun 2016 ini.


AMAM. 13 April 2016