Thursday, November 4, 2010

Mesyuarat MKSP di Kundasang

Mesyuarat tersebut telah diadakan di Hotel Ceyln Kundasang dari 02 hingga 04 November 2010. Perjalanan ke sana penuh mencabar dengan menaiki bas yang terpaksa berhenti dua kali untuk membaiki sedikit kerosakan. Sempat singgah sekejap di Nabalu merakam sedikit foto dan membeli pisang dan kekacang untuk bekalan di pusat penginapan. Akhirnya sampai ke destinasi hampir jam 7.00 malam. Mendaftar di bilik K18 yang pemandangannya menghadap Gunung Kinabalu. Cuaca yang dingin dengan berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu begitu menggamit rasa, ditambah pula dengan menu yang enak dan bilik yang selesa. Rombongan selamat balik ke destinasi masing-masing jam 5.30 petang setelah memborong sayur Kundasang. Tahniah kepada Urusetia Bengkel.

Thursday, October 28, 2010

Festival Filem Pendek Pendidikan

Festival tersebut akan diadakan untuk kali ke-2 Peringkat Negri Sabah. BTPN Sabah terlibat secara langsung membuat promosi, membuat liputan dan mengendalikan acara tersebut. Maka adalah dicadangkan dalam mesyuarat kali ke-2 pada 18 Oktober lalu, di mana AJK Mesyuarat bercadang untuk membuat lagu thema yang boleh digunakan setiap kali festival itu diadakan. Berikut dipaparkan secara main-main lirik festival, barangkali sesuai (Perasan sendiri).

FILEM

Berbekal imiginasi
Tumpu pada Kreativiti
Bijak mengatur situasi
Filem bernilai tinggi

Lari dari tradisi
Berkisar pada tragedi
Dengan suatu visi
Mementingkan reputasi

Kemahiran dapat dikuasai
Moga kaya inovasi
Mengangkasa filem suatu misi
Karya penuh berseni

(Lirik asli ciptaan Ag Matasan jam 10.37 pagi 29/10/2010)

Monday, October 25, 2010

Sudah lama tidak ke Ladang

Hampir sekian lama tidak menukilkan sesuatu untuk dikongsi, terasa berdosa pula. Sebenarnya ada beberapa perkara yang mengusik rasa. Daripada membawa 4 bilah pintu bilik rumah menggunakan kereta pacuan 4 roda, lantaran perlu diguna untuk semasa suatu upacara besar. Menempah sebuah khemah dengan 5 meja bulat, kemudian mengecat 4 bilah pintu. Kesemuanya memerah tenaga lagi-lagi di bulan puasa. Tetapi berbaloi juga kerana upacara berjalan dengan lancar, selamat dan sempurna.

Alhamdu Lillah.

Sunday, August 15, 2010

Puisi tradisi ....

Pimping ungat-ungat,
Ungat-ungat di karasik,
Pimping minta pukat,
Matanya mambulasit.

Cuk-cuk surapit,
Surapit daun buluh,
Mangapa tangan takapit,
Bukan aku manyuruh.

Geleng-geleng kucapi,
Babulu talinganya,
Di mana kali mati,
Di ulu martuanya.

Daup-daup papanya,
Tambayangan bakuku,
Mana sudah bapanya,
Mambawa lauk buntu.

Lul-lul mang,
Tarubuk pandai basi,
Lalai manunggu tunang,
Makan bubuk dangan nasi.

Tuesday, August 10, 2010

Ahlan wa sahlan ya Ramadan ........

Bagi memastikan Ramadan kali ini lebih bermakna, menjadi penghibur kepada mereka yang gelisah, di sini dikongsikan antara tip-tip menyambut Ramadan Al-Mubarakh.

1. Berdoa banyak agar Allah s.w.t memberikan keinginan dan semangat beribadat yang tinggi pada Ramadan kali ini (2010). Perasaan tak bersemangat beribadat boleh dirawat dengan meminta Pencipta hati iaitu Allah mendatangkan semangat. Berdoa dan berdoa, sebab doa juga adalah ibadat dan ada kuasa tersendiri.

2. Pergilah ziarah kubur di awal Ramadan dan awal Syawal kerana ia akan mengingatkan betapa kurangnya amalan kita. Dengan melihat , hanya batu nisan yang tercacak, boleh mengingatkan kita bahawa kita juga akan menyusul untuk ke sana tetapi entah bila ketikanya. Dengan keinsafan berziarah mendorong kita untuk tidak mensia-siakan peluang beramal di Ramadan kali ini.

3.Meriahkan kehadiran Ramadan dengan perbanyakkan ucapan sesama sahabat dan keluarga dengan kata-kata semangat agar bertambah ‘ghairah’ dan bermakna bulan berkat ini.

Dalam sunnah pun Nabi s.a.w selalu memberikan khabar gembira kepada kalangan sahabatnya setiap kali datang bulan Ramadan: “Telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan yang penuh berkat. Allah telah mewajibkan kepada kalian untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu surga dan menutup pintu-pintu neraka.” (Hadis riwayat Ahmad)

4. Tambah ilmu fiqah mengenai cara berpuasa Nabi Muhammmad s.a.w dan kalangan sahabat serta salfussalih serta kelebihan Ramadan dan fadilatnya dengan membaca buku ataupun menghadiri ceramah dan tazkirah Ramadan yang diadakan di pejabat dan surau masjid agar berpuasa dengan panduan ilmu, bukannya ikut adat.

5. Perbanyakkan istighfar dan taubat secara bersungguh-sungguh kerana dosa-dosa inilah yang akan memalapkan kejernihan hati agar lebih seronok dengan ibadat.

Tinggalkan dosa dan maksiat. Anggaplah Ramadan kali ini sebagai satu ‘madrasah’ dan pusat latihan yang berkesan mengubah hati, akal dan nafsu yang selama ini menjadi pak turut kepada syaitan yang menjadi seteru Allah.

Sesungguhnya Allah membuka seluas-luas peluang untuk kita menggumpul seberapa banyak pahala. Jangan lepaskan peluang ini.

Sunday, July 18, 2010

Sekalung tahniah untuk Wanna

Sekalung tahniah untuk anaknda Wanna kerana telah dilantik sebagai Guru Siswazah Terlatih DGA 41 di SMK. Bahang Penampang Sabah. Selamat menginap di Hotel Promenade Kota Kinabalu untuk taklimat penempatan dari 20 hingga 22 Julai 2010.

Doa dari kami sekeluarga ....... semoga sukses hendaknya. Tidak disangka pula, berkat doa kami semua, anda telah mendapat panggilan temuduga dari Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk tujuan pengesahan jawatan.

Tuesday, July 6, 2010

Selamat di UiTM .....

Jam 1.56 3 Julai 2010, Ayang bersama kaka Wanna, menunggu rakan dari Tobobon di KL Central. Dengan menaiki kereta ibu rakan adik, pendaftaran berjalan lancar di Puncak jam 3.20 petang. Mereka balik ke K. Lumpur jam 6.00 petang (Allah jua yang akan membalas jasa baik ibu rakan adik kerana memudahkan perjalanan pergi dan balik dari Puncak Perdana.)Terima kasih juga atas pemberian keropok leko dan keropok kering yang enak rasanya.

Hari Sabtu petang, dalam hujan gerimis kami sekeluarga merayau ke pasar Jalan TAR membeli laksa Peneng, buah nangka, kuih akok, nasi minyak, kek pisang, cendol pulut hitam dan putumayam untuk dibawa makan di tempat penginapan.

Ayang kembali ke kolej UiTM Puncak Perdana petang Ahad 4/7/2010 dengan dihantar oleh keluarga menaiki teksi pergi dan balik.

Kami tiga beranak pindah ke bilik penginapan yang lebih kecil sedikit untuk tujuan berjimat kerana menginap lagi 2 malam untuk shopping sakan.

Waduh .... terpaksa tambah berat kargo kapal menjadi 60 kilo semuanya dengan melayar semula Air Asia, takut kapal senget sebelah, dari pakaian hinggalah karpetpun dibeli borong. Apa-apa pun, hari raya yang bakal menjelang (September)tidak perlu dirisaukan sangat. Baju dan segalanya telah selesai disediakan. Jam 4.20 petang, kapal berlepas dan tiba di Kota Kinabalu jam 7.05 malam.

Ayang, teruskan belajar walaupun berada di kolej kediaman tingkat atas. Jaga kesihatan dan turunkan sedikit berat badan.

Thursday, July 1, 2010

Reunion di K. Lumpur 1 hingga 4 Julai 2010

1 Julai, seawal 5.45 pagi telah bertolak dari rumah untuk ke K. Lumpur bercuti selama 6 hari. Apa lagi, selesai mendaftar di hotel penginapan, merayaulah kami sehingga ke Campbell dan makan di Kompleks Pertama, memborong Putumayam yang sekian lama tidak dijamah.

Kakak Awin menyertai reunion hanya pada jam 3.42 pagi 2 Julai (baru tiba di hotel penginapan), akibat penerbangan tertangguh dari Bayan Lepas Pulau Pinang. Beliau dan rakan hanya berlepas jam 12.00 malam dan tiba di K.L jam 1.30 pagi. Dapatlah merasa kembali, jeruk buah campur yang terkenal di Pulau Mutiara. Apa-apapun, jutaan terima kasih kepada rakannya yang sanggup menghantar dari LCCT ke bilik penginapan untuk mempastikan anaknda selamat ke hotel penginapan. Beliau selamat balik ke Tawau jam 3.00 petang Ahad (4 Julai 2010).

Saya tabik kepada warga kota yang berkumpul di Padang Merdeka hingga larut malam untuk menyaksikan Piala Dunia di skrin Gergasi. Tempik sorak bergema dalam lautan manusia kecuali semasa azan dikumandangkan di Majsid Jamek. Meriah sungguh meriah. Tetapi malangnya setelah membeli jersy pasukan Perancis yang berwarrna biru tu ...... malu untuk dipakai apabila pasukan itu tersingkir di pusingan pertama.

Dipendekkan cerita, Awin sempat shopping selama 3 hari berturut-turut di MegaMall dan jalan TAR (Semua House, Kamdar, beberapa butik terkenal dan Sogo) untuk memborong beg, kasut, jam tangan, Quran dan baju raya.

Thursday, June 24, 2010

Selamat bercuti .....

Penerbangan AK 5108 yang membawa Ayang, tiba di Kota Kinabalu pada jam 4.45 petang 25 Jun 2010. Kejutannya sebaik-baik saja muncul di muka pintu, kek harijadi yang sedia terpasang dengan lilin 18 batang menanti untuk ditiup. Tup tup, tap tap, foto dirakam kanan dan kiri. Dapat hadiah istimewa dari kami, set telefon terbaru.

Kesempatan cuti beberapa hari dipergunakan sepenuhnya memasak masakan kegemaran keluarga seperti ikan rebus kunyit, terung bakar dan cili tumbuk perah asam limau. Hingga menjilat jari, keluar segala jerawat remaja dan batuk.

Selamat kembali ke pangkuan keluarga

Tuesday, June 22, 2010

Tahniah ...... Wan Syazwina

Selamat berkursus di JAWI Pulau Pinang (dari 28 Jun hingga 01 Julai), kunjungan kali ke-2 ke sana, kunjungan ke-5 ke Semenanjung Malaysia di tahun 2010 (Pertama bawa budak Tekwando, ke-2 mesyuarat ibupejabat MARA, ke-3 Kursus Induksi di JAWI, Ke-4 Kursus BTN di Kaki Bukit, Perlis). Tahniah kerana terpilih mengikuti kursus tersebut. Akan tetapi, yang merisaukan ialah tiba di LCCT jam 9.30 malam (27 Jun) seorang diri. Apa-apapun, cadangan naik bas ke KL Central cukup praktikal dan selamat. Selepas mendaftar di hotel jam 11.30 malam, barulah lega perasaan.

Pada 28 Jun, beliau beserta seorang rakan dari Tawau serta kenalan dari MRSM Kota Kinabalu, tiba di Pulau Pinang, jam 2.30 petang untuk ke JAWI.

Semoga dapat menyertai reunion keluarga di Kuala Lumpur (1 hingga 4 Julai) disamping menghantar adik ke UiTM untuk semestar baru.

Monday, June 21, 2010

Selamat Hari Ulangtahun ke-18

Syabas Ayang, terlerai sudah kekusutan yang menghambatmu. Peperiksaan UiTM telah berakhir untuk semester ini. Harap-harap dapat mengatasi pointer lepas. (Kalau 4.0 lagi baik) mungkin dapat hadiah misteri. Selamat bercuti dan kembali ke pangkuan keluarga.

Jika semester depan dapat pointer 4.00 RM XXXX.XX akan masuk ke akaun anda. Janji ..... tapi jangan sampai tertekan. Yang penting doa dan usaha .....

Monday, June 14, 2010

Banjir kilat Kg. Surapit 13/06/2010

Petang Ahad (13/06) Banjir melanda Kg. Surapit. Kami sekeluarga biasanya balik ke Kota Kinabalu selepas solat Maghrib, tetapi terpaksa disegerakan angkara banjir yang melanda. Berpeluh juga naik kereta 4X4, bimbang tergelincir ke dalam parit besar di depan rumah. Silap langkah, kereta menjunam ke parit. Allhamdu Lillah .....Mujur kami selamat sampai ke Kota Kinabalu hampir jam 7.00 malam.

Thursday, June 10, 2010

Kursus BTN... Perlis

Al kisah, kasihan anakku yang terpaksa bermalam di LCCT Kuala Lumpur kerana terpaksa mengejar flight jam 7.25 pagi (10 Jun 2010) ke Alor Star untuk mengikuti kursus BTN di Kaki Bukit Perlis. Beliau tiba di LCCT jam 1.30 malam, disertai 3 lagi rakan yang lain.

Apa-apa pun beliau selamat mendaftar jam 1.25 petang (10/6/2010) di pusat kursus.

Dan selepas bermalam di salah sebuah tempat penginapan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada petang 13/06/2010, beliau balik selasa malam 14/06/2010

Terima kasih atas hadiah Baju Polo untuk ayah dan beg tangan yang cantik untuk ibu.

Thursday, May 20, 2010

Jumaat ............ 21/05/2010 (Selamat Ulangtahun ke-23 Wan DK )

Rukun Iman ke-2.
Beriman kepada nabi dan rasul.
25 orang nabi/rasul yang wajib orang Islam ketahui ialah:
Nabi Adam a.s.
Nabi Idris a.s.
Nabi Nuh a.s.
Nabi Hud a.s.
Nabi Salih a.s.
Nabi Ibrahim a.s.
Nabi Luth a.s. (anak saudara Nabi Ibrahim a.s)
Nabi Ismail a.s. (anak Nabi Ibrahim a.s.)
Nabi Ishaq a.s. (anak Nabi Ibrahim a.s.)
Nabi Ya'akub a.s.
Nabi Yusuf a.s. (anak Nabi Ya'akub a.s.)
Nabi Ayub a.s.
Nabi Syu'aib a.s.
Nabi Musa a.s.
Nabi Harun a.s. (saudara Nabi Musa a.s.)
Nabi Zulkifli a.s.
Nabi Daud a.s.
Nabi Sulaiman a.s. (anak Nabi Daud a.s.)
Nabi Ilyas a.s.
Nabi Ilyasa’ a.s.
Nabi Yunus a.s.
Nabi Zakaria a.s.
Nabi Yahya a.s. (anak Nabi Zakaria a.s. & duapupu kepada Nabi Isa a.s)
Nabi Isa a.s.
Nabi Muhammad s.a.w.

Rukun ke-3.
Beriman kepada Malaikat.
10 Malaikat yang wajib setiap orang Islam ketahui adalah :-
Jibrail
جبرائيل/جبريل Menyampaikan wahyu Allah.
Mikail
ميكائيل Menyampaikan/membawa rezeki yang ditentukan Allah.
Israfil
إسرافيل Meniup sangkakala apabila diperintahkan Allah di hari Akhirat[1]
Izrail
عزرائيل Mencabut nyawa.
Munkar
منكر Menyoal mayat di dalam kubur.[2]
Nakir
نكير Menyoal mayat di dalam kubur.[3]
Ridhwan
رضوان Menjaga pintu syurga dan menyambut ahli syurga.
Malik
مالك Menjaga pintu neraka dan menyambut ahli neraka.
Raqib
رقيب Mencatat segala amalan baik manusia.
Atid
عتيد Mencatat segala perlakuan buruk manusia.

Rukun ke-4.
Beriman kepada kitab-kitab Allah
Kitab-kitab yang wajib diimani adalah:
Taurat: diturunkan kepada Nabi Musa a.s.
Zabur: diturunkan kepada Nabi Daud a.s.
Injil: diturunkan kepada Nabi Isa a.s.
Al-Quran: diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Rukun ke-5.
Beriman kepada Hari Kiamat
Tanda-tanda besar
Keluar sejenis binatang dari perut bumi yang digelar Dabbatul Ardhi.
Lahirnya Dajjal.
Keluar asap tebal.
Turunnya Nabi Isa a.s.
Kemunculan Imam Mahdi.
Matahari terbit dari ufuk barat.
Keluarnya suku Yakjuj dan Makjuj.

Rukun ke-6.
Beriman kepada Qada dan Qadar

Sunday, May 16, 2010

Tiada rahsia ......17/05/2010 (Sempena Hari Guru)

Di mana kau sembunyikan hajat
ditampilkan doa, dibanyakkan sunat, digandakan solat
sedih kerna tercari-cari setinggi harapan
rupanya kau hendak berikan syurga
yang di dalamnya ditemani bidadari

Di mana kau sembunyikan perasaan
dijauhkan iri, dihindarkan simpati, dinyahkan empati
pilu kerna tercari-cari simpulan janji
rupanya kau hendak hadiahkan cinta
yang buatkan aku tidak sendiri

Di mana kau sembunyikan sinaran
dibutakan mata, digelapkan dunia
sedih kerna tercari-cari di mana keindahan
rupanya kau hendak berikan kesedaran
yang buatkan aku menghargai mata

Di mana kau sembunyikan cita-cita
disertakan doa, digandakan usaha
sedih kerna tercari-cari sepenuh upaya
rupanya kau hendak berikan kejayaan
yang di dalamnya tersurat rahasia

Tetapi
ibu guru tidak sembunyikan apa-apa
tiap rahsia dibuka
ilmu dibagi sama rata
semua biji benih ditabur baja
air dicurah secara saksama
kebahagiaan 1Malaysia lebih utama


Wan Dianah ..... semoga anakku tabah menghadapi kuliah intersesi di UITM induk dari 17/5 hingga 25 Jun 2010. (6 minggu tidaklah begitu lama ..... nanti cuti bersua jua)

Wednesday, May 12, 2010

Pabila Guru Bicara ... 16/5/2010

Pabila bulan mula bicara
bergemerlapan cahaya terserlah seluruh alam maya
hati-hati yang bersimpul memaut janji setia

pabila hati mahu bicara
memujuk merayu tiada batasnya
terlerai simpulan mati di dada

pabila angin sudah bicara
hembusannya mempurak-puranda segalanya
terngadahlah hati-hati yang haloba

pabila mantari terus bicara
menitislah embun di dedaun jatuh ke rimba
terbakarlah kulit peladang jaya

pabila air bicara
kata dedaun, bermulalah episod cerita
yang bernyawa pasti tertawa

tetapi, pabila guru bicara
suaranya bisa menggegar dunia
menggoncang generasi celik upaya
mencantas peneroka pemusnah budaya
merintis hutan belantara memacak panji-panji Negara
mencanai batu pasir membentuk tugu bangsa
mengangkasa rakyat Malaysia di mata dunia

Thursday, April 29, 2010

Jika … 26/04/2010

Jika engkau tidak sanggup berkubang di bendang
engkau layak dipanggil petani yang malang
jika engkau tidak sanggup dirotan
engkau harus menerima gagalnya hatam Al-Quran
jika engkau tidak sanggup disepak terajang
engkau tidak layak dipanggil pendekar dan pejuang
jika engkau tidak sanggup menahan lelahnya membaca
engkau harus menanggung pahitnya tanpa kerja
jika engkau tidak sanggup berhutang keliling pinggang
engkau harus menerima hakikat tidak punya apa-apa barang
jika engkau tidak sanggup meredah laut bergelora
engkau tidak harus digelar laksamana
jika engkau tidak sanggup membataskan mata
engkau harus menerima keperitan seksanya neraka

Sunday, April 25, 2010

Tazkirah ....30/04/2010

Rukun Iman ada enam (6) perkara :
(1) Beriman kepada ALLAH SWT
(2) Beriman kepada Malaikat-malaikat
(3) Beriman kepada Kitab-kitab
(4) Beriman kepada Rasul-rasul
(5) Beriman kepada Hari Kiamat
(6) Beriman kepada Qada dan Qadar

a.Percaya kepada Allah 100% kepercayaan
b.Contoh kata-kata yang menggunakan kata Allah:

Allahu Akbar (الله أكبر) (Allah Maha Besar)
Bismillah (بسم الله ) (Dengan nama Allah)
Ya Allah (يا الله) (Wahai Allah)
Insya Allah (إن شاء الله) (Jika dikehendaki Allah)
Masya Allah (ما شاء الله) (Apa yang Allah kehendaki)
Subhan Allah (سبحان الله) (Maha Suci Allah)
Alhamdulillah (الحمد لله) (Pujian bagi Allah)
Allahu A`lam (الله أعلم) (Allah lebih mengetahui)
Jazaka Allahu Khairan (جزاك الله خيراً) (Semoga Allah membalas kamu dengan kebaikan)

Monday, April 19, 2010

22/04/2010 ...... Hari tarima

Ibarat seorang seniman
kau palitkan warna membentuk sesuatu ciptaan
kepuasanmu pabila karyamu dikagumi insan

Ibarat seorang hartawan
kau taburkan ringgitmu tanpa kawalan
kepuasanmu pabila mampu memiliki segala keperluan

Ibarat seorang dermawan
kau hulurkan ratusan sumbangan
kepuasanmu pabila mengubat hati-hati yang rawan

Ibarat seorang pendakwah
kau hamburkan kata-kata memujuk jiwa-jiwa yang parah
kepuasanmu pabila mereka menerima dengan pasrah

Ibarat seorang peguam berwibawa
kau gunakan kebijakanmu dengan beretika
kepuasanmu pabila kau nokhtakan pembelaan dengan jayanya

Ibarat seorang seniman
kau hasilkan sesuatu keindahan melalui bunyi-bunyian
kepuasanmu pabila orang bertepuk tangan

Ibarat seorang pahlawan
kau menangkan sesuatu peperangan
kepuasanmu pabila negaramu dilayari dengan aman

Thursday, April 15, 2010

Walau apapun .... 16/4/2010

Asam-asam kandis
walau masam ditelan jua
manis-manis tebu
walau manis dihisap jua
pahit-pahit jadam
walau pahit dihirup jua
masin-masin garam
walau masin dirasa jua
pedas-pedas lada
walau pedas dicecah jua
kelat-kelat buah pauh
walau kelat dimamah jua
keras-keras pinang
walau keras dikunyah jua