Wednesday, May 11, 2011

Selamat Hari Ibu

GURINDAM UNTUK IBU

Tatkala aku menghuni rahimmu
aku terjah dan aku siku
aku sedar kau terasa ngilu
alamku hanya seluas itu.

Tatkala aku meninggalkan alam ku
air mata jatuh satu persatu
aku takut aku tidak mampu
sendirian tanpa dirimu.

Ketika di alam bayiku
jatuh bangunku dibantu
nangisku disuakan susu
tidurku dibuaikan lagu syahdu

Namun
tiada resah di raut wajahmu
tiada keluh kesah daripada ulas bibirmu
tiada kenal penat dirimu
tiada jemu kau mendodoi ku

Kini
segala-galanya telah berlalu
hanya rindu yang sarat di kalbu
tatkala aku mengharungi alam baharu
alasanmu rindukan cucu
aku tahu
kau rindukan peluk belai ku

Ibu
belum pun puas tanganmu kukucupi
belum pun puas kami menabur budi
terlalu cepat kau menyahut panggilan Ilahi
namun kasihmu kukuh tersimpul di hati
tidak kulupa saban hari
sejambak doa setiap hari diiringi
moga rohmu aman abadi.

09 Mei 2011

Wednesday, May 4, 2011

Syarat pertama

Bulan April 2011, saya telah berjanji ingin berkongsi cara saya sekeluarga mendidik anak ke arah cemerlang pendidikan, akhlak dan sahsiah. Bulan ini saya hanya akan kongsikan syarat pertama iaitu 1.kepentingan beberapa doa mustajab.

Sila amalkan doa-doa berikut yang anda boleh cari dalam buku-buku doa mustajab :
1.Doa sebelum bersama isteri penting sekali bagi menghasilkan zuriat yang cemerlang ilmu dan terbaik akhlaknya. Jika kita tidak membaca doa, adalah dikhuatiri syaitan akan bersama isteri kita sebelum kita bersama dengannya.

2.Doa sebelum belajar. Dibacakan bersama-sama anak sebelum memulakan sesi pembelajaran.

3.Doa sebelum makan.(penting kerana segala punca rezki hendaklah yang bersih, halal, berkhasiat dan dibacakan doa)

4.Doa ketika menghadapi peperiksaan.

5.Amalan membaca Surat Al-Rahman Al-Quran di minggu peperiksaan.

6.Doa keluar rumah menuju ke sekolah.

7.Doa ketika masuk tidur.

8.Doa ketika bangkit dari tidur sebelum Solat Subuh.

9.Doa ketika melihat diri di cermin.

10.Doa selepas solat jamaah bersama anak-isteri. (Sebut permintaan kita untuk kejayaan anak-anak dunia dan akhirat dengan jelas - contohnya ingin anak-anak mencapai 5A UPSR, 8A1 PMR, 10A1 SPM dan tamat pengajian Universiti)

Petunjuk kemajuan
1.Anak-anak akan membaca sendiri doa-doa berkenaan
2.Mereka memanggil kita jika lambat menunaikan solat
3.Terdapat peningkatan kedudukan dalam kela

Saturday, April 23, 2011

Kuala Lumpur 21-25 April



Kunjungan berharga ke K.L dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Tiket sengaja dilayar memandangkan anakanda Wan cuti peristiwa hari Khamis sempena cuti Good Friday serta sempena ulangtahun perkahwinan. Sebaik sahaja mendaftar di hotel penginapan, dengan berbekalkan 5 bungkus kuih cincin, terus saja membuat kejutan mengunjungi anak di UITM. Tergambar wajah seribu keriangan berbaur sebak dan terkejut melihat kami bertiga di depan mata. Hanya senyum tawa silih berganti yang didengari sedangkan lidah kelu tiada terkata. Kami tiba ketika azan asar berkumandang di udara. Kejutan ke-2 menghantar ucapan Hari Lahir secara serentak kepada anakanda Fendy di Tawau (Sabtu).

Sempat membawa adik bermalam dua malam di K.Lumpur.

Petang Khamis dan Jumaat membeli-belah di sekitar Jalan TAR sahaja, manakala hari Sabtu di Bukit Bintang, Low Yatt dan pasar Sabtu, memborong laksa, kuih akok, buah-buahan tempatan, nasi kerabu, jersi dan pelbagai jenis bun.

Adik balik ke UITM pagi Sabtu dengan bekalan 6 bungkusan Nasi Beriani, kerana petangnya ada ujian.

Hari Ahad tengah hari, kami berpindah ke hotel terdekat bagi membolehkan membeli kain ela untuk Hari Raya di kawasan terdekat. Seawal jam 5.30 hari Isnin, kami bertolak ke LCCT dengan menaiki teksi. Sempat solat subuh di sana sebelum berlepas ke Kota Kinabalu.

Doa dari kami semoga sukses hendaknya

Sunday, April 17, 2011

Apa yang sudah ku buat

Rasanya, setelah sedikit berjaya mendidik dua orang anak sehingga mereka bergraduasi mengikut skema yang telah direncanakan ..... (mereka merupakan penjawat awam kategori 41 ketika ini) dan sedikit berjaya membawa anak bongsu terpilih menjadi pemegang Skim Pelajar Cemerlang (iaitu menerima biasiswa tajaan .....), saya ingin berkongsi pengalaman mendidik anak-anak dengan pengikut blog ini dalam masa terdekat.

Rasa-rasanya tujuan murni ini bukanlah untuk menyatakan rasa riak, jauh sekali angkuh dengan anugerah Allah terhadap bakat mendidik anak-anak, yang mungkin boleh dikongsi dan mungkin boleh dicuba oleh ibu bapa yang lain yang ingin anak mereka sukses dalam pelajaran dan sukses dalam kehidupan.

Antara yang akan dipaparkan ialah, 1.kepentingan beberapa doa mustajab, 2.mengajar membaca seawal usia TIGA tahun, 3.menjadikan anak sulong sebagai idola adik-beradik yang lain, 4.peri pentingnya KEDAI BUKU, 5.menuruti kehendak anak bukan kehendak ibu bapa sendiri, 6.peranan beberapa jam dinding, 7.menonton TV secara berhemah, 8.target UPSR, PMR dan SPM yang ditampal di bilik tidur, 9.motivasi dengan buku bukan wang, 10.penghargaan dan tips melahirkan anak cemerlang.

TIAP TIPS HANYA AKAN SAYA MUAT NAIK PADA SETIAP 2 HARIBULAN PADA TIAP-TIAP BULAN

Terima kasih

Monday, April 11, 2011

Ulang Tahun Perkahwinan ke-28



Bulan 10 April 2011 (Ahad), sempena ulang tahun ke-28 perkahwinan, seawal pagi, saya menerima ucapan tahniah dari anak bongsuku yang sedang menuntut nun jauh di Puncak Perdana. Namun kejauhan tersebut tidak membataskan kasih sayang kami suami isteri serta adik beradiknya yang lain terhadap beliau.

Hujung bulan Mac lalu, kakaknya serta suami dari MRSM Tawau sempat berkunjung ke Shah ALam untuk bertemnu dengannya. Sekurang-kurangnya, dapat mengubat kerinduan terhadapnya.

Namun oleh kerana sebahagian anak-anak tidak berada bersama, sambutan hanya dilakukan secara sederhana iaitu makan malam di Restoran Sri Sembilan, Kompleks Harbour City, Sembulan.

O.k mesra dan bahagia sentiasa

Monday, March 21, 2011

Rezki dari Allah Yang Esa




Bulan Mac 2011 telah membawa banyak keberkatan kepada saya seisi keluarga, setelah diduga pada bulan sebelumnya. Insya Allah reziki yang diperoleh akan dimanfaatkan untuk kebaikan. Sebahagian telah diamanahkan kepada isteri manakala ketiga-tiga anak kesayanganku menerima bahagian masing-masing yang telah ditabungkan ke dalam akaun bagi keperluan menunaikan haji apabila sampai masanya

Wassalam

Tuesday, February 15, 2011

Maulidur Rasul

Tanggal 12 Rabiul Awal setiap tahun, umat Islam seluruh dunia menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. yang juga dikenali sebagai Maulidur Rasul. Dendangan selawat dan puji-pujian ke atas Baginda menghiasi halwa telinga dan cerita-cerita yang dipaparkan di media banyak mendatangkan keinsafan terhadap peranan kita sebagai umat Baginda. Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik bagi seluruh umat manusia. Sehingga ke hari ini, ribuan tokoh tampil mengagumkan kita, namun tidak dapat menandingi personaliti Rasulullah. Kebijaksanaan Baginda telah membawa perubahan kepada dunia seluruhnya sejak lebih 1,400 tahun lalu.

Firman Allah yang bermaksud:"Dan tidak Kami utus engkau wahai Muhammad, melainkan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam." (Surah al-Anbiya, ayat 107)

Sejarah yang panjang

Sejarah hidup Rasulullah melalui pelbagai perit getir. Baginda hidup yatim piatu sejak kecil lagi apabila bapanya meninggal dunia ketika Nabi di dalam kandungan ibunya. Tidak dapat merasai kasih sayang seorang bapa, ibunda yang dikasihi pula meninggal dunia ketika usia Nabi masih muda. Keperitan Baginda membesar tanpa ayah dan ibu menjadikan Baginda seorang yang berdikari, matang di bawah jagaan datuk dan bapa saudaranya, selain perlindungan daripada Allah s.w.t.

Baginda juga terkenal sebagai penggembala kambing dan peniaga yang memiliki sifat amanah, cekap, jujur, sabar dan ikhlas sehingga membawa keuntungan yang berganda untuk rombongan perniagaan Khadijah.

Pada tahun kesembilan selepas Nabi Muhammad, diangkat menjadi rasul, dua peristiwa yang menyayatkan hati berlaku ke atas diri baginda. Peristiwa pertama ialah kewafatan Abu Talib bin Abdul Mutallib dan peristiwa kedua ialah kewafatan Khadijah binti Khuwailid, isterinya.

Ganjaran berselawat

Islam memberi ganjaran lumayan kepada orang yang banyak mengucapkan selawat ke atas Rasulullah SAW kerana Baginda menjanjikan 10 kali ganda balasan rahmat daripada Allah kepada mereka yang berselawat ke atas Baginda.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan apa juga perintah yang dibawa Rasulullah SAW kepada kamu, maka terimalah serta amalkan, dan apa juga larangan daripada kamu melakukannya maka patuhilah larangannya." (Surah al-Hasyr, ayat 7)

Oleh itu, bermula dari dekat ini, marilah kita berselawat ke atas nabi seberapa banyak yang mampu selepas setiap solat. Mudah-mudahan kita adalah antara umat yang akan mendapat syafaat Baginda di hari perhitungan di Padang Masyar nanti.

Inysa Allah

Monday, January 31, 2011

Ujian dari ALLAH


Sebagai makhluk yang hanya dipinjamkan di bumi ini, manusia yang dibekalkan dengan akal harus bersyukur apabila ditimpa bala, musibah atau kegembiraan.

Antara musibah yang biasa berupa kematian, kesakitan, kemiskinan, ketakutan, kegagalan, kesedihan serta bencana, sudah ditentukan takdirnya oleh Allah SWT serta amat jelas gambarannya kepada manusia sebagaimana gambarannya menerusi al-Quran.

Sebenarnya, setiap manusia diuji dan seseorang itu harus tabah menerima segala kemungkinan yang ditimpakan kepadanya.

"Ini kerana tidak akan ditimpakan suatu perkara itu jika manusia itu sendiri tidak mampu menanggungnya sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 286. "Untuk itu, hendaklah berdoa selepas solat agar dikurangkan beban derita musibah dengan bermunajat kepada Yang Maha Esa."

Sehubungan itu, kebakaran rumah milik keluargaku di Papar pada malam Ahad lepas 30 Januari 2011, adalah antara ujian dari Allah kepada kami sekeluarga.

Saya pasrah dan redha dengan ujian tersebut. Saya yakin ada hikmahnya di sebalik ujian tersebut.

Amin.

Friday, January 28, 2011

Pesan ayah


Anak-anakku
Berfikir seribukali pada sahabat
tetapi berfikir sekali sahaja pada musuh
kerana sahabat itu bisa menikam belakangmu
manakala musuh itu telah kau maklumi bengisnya

Berfikir seribukali pada manisnya janji
tetapi berfikir sekali sahaja pada pahitnya jadam
kerana manisnya janji itu bisa memakan dirimu
manakala pahitnya jadam itu jadi ubat akhirnya

Berfikir seribukali pada dosa
tetapi berfikir sekali sahaja pada pahala
kerana dosa itu akan menghumbanmu ke neraka
manakala pahala akan mengiringimu sampai ke syurga

Berfikir seribukali pada kemewahan
tetapi berfikir sekali sahaja pada kesederhanaan
kerana kemewahan itu membawa kehancuran
manakala kesederhanaan itu membawa ketenangan

Berfikir seribukali pada khayalan
tetapi berfikir sekali sahaja pada kenyataan
kerana khayalan itu belum tentu menjanjikan kemenangan
manakala kenyataan itu memang telah menjadi milikmu

Berfikir seribukali pada wang
tetapi berfikir sekali sahaja pada ilmu
kerana wang itu bisa habis apabila dibelanja
manakala ilmu itu akan bertambah jika diguna

Berfikir seribukali pada teman lelakimu
tetapi berfikir sekali sahaja pada ibu bapa
kerana teman lelaki itu belum tentu menjadi milikmu
manakala ibu bapa itu teman dekatmu tatkala kesunyian

Berfikir seribukali pada pengkhianatan
tetapi berfikir sekali sahaja pada kebaktian
kerana pengkhianatan itu telah diketahui azabnya
manakala kebaktian itu melorongkan jalan tatkala di akhirat

Oleh itu
Jauhi sahabat jika ia menggugat
Hindari janji jika ia mengikat
Banyakkan solat hidupmu pasti berkat
Amalkan kesederhanaan tetapi jangan sampai merempat
Jauhi khayalan tetapi biar bertempat
Cintai ilmu ia pasti pengubat
Doakan ibu bapa dunia akhirat
Berbaktilah pasti itu mendatangkan seribu rahmat

Wednesday, January 5, 2011

Kenangan di ibukota


Kapal terbang yang kami naiki dari Kota Kinabalu mendarat jam 9.45 pagi di LCCT Kuala Lumpur. Naik bas ke K.L Central dan naik teksi ke tempat penginapan. Setelah mendaftar di bilik 506, 29 Disember, kami tiga beranak makan tengah hari. Selepas makan, kami hanya bergerak ke kawasan terdekat untuk membeli Putu Mayam dan buah-buahan untuk mengisi perut jika terasa lapar. Malamnya saya ke Dataran Merdeka menyertai ribuan peminat setia bola sepak menyaksikan perlawanan akhir Piala Suzuki antara Malaysia dan Indonesia pada layar gergasi yang diletakkan di Padang Merdeka. Wan dan suami tiba di Hotel jam 11 malam.

30 Disember, seawal jam 9.20 pagi, kami tiga beranak bergerak menaiki keretapi ke Nilai, Negeri Sembilan. Kemudian menaiki bas dari Nilai ke Nilai 3 dengan kadar tambang RM1.00 seorang. Rambang mata memilih barang-barang di sana. Isteri sempat membeli ayat-ayat Al-Quran yang berukuran 5 X 3 kaki. Ketika makan tengahari di sana, kami dihiburkan oleh DJ Mazlan yang berbakat (kata adik LUCU). Dalam perjalanan yang panjang ketika pulang dari Nilai 3 ke Kuala Lumpur, saya terpaksa berdiri dari Nilai ke KL Centrel, lantaran ramai orang menuju ke pusat bandar. Begitu juga perjalanan dari KL Central ke Masjid Jamek.Ini kerana hari Jumaat diumumkan sebagai cuti umum sempena kemenangan pasukan bola sepak Malaysia ke atas Indonesia dalam Piala Suzuki.

31 Disember, siangnya dihabiskan untuk membeli baju kemeja dan gitar di Kompleks Pertama untuk anakku yang belajar di UITM. Sempat juga membeli 2 pasang seluar untuk kerja dan jaket warna hitam di Campbell yang sudah terlalu lama saya idamkan. Adik diajak keluar oleh kakak dan suami ke Mega Mall sehingga ke petangnya.Wanna tiba di tempat penginapan jam 8.45. Jam 11 malam, saya dan isteri berkunjung ke Dataran Merdeka untuk menyambut perayaan Tahun Baru dan menyaksikan pertunjukan Bunga Api yang penuh warna-warni. Menyaksikan gelagat puluhan ribu warga kota menyambut ketibaan Tahun Baru, mengingatkan saya betapa kita sepatutnya bersyukur tinggal di negara yang aman damai dan merdeka. Sekumpulan pelancong asing begitu tercengang-cengang, melihat warga Malaysia bercampur-gaul tanpa mengira warna kulit, laras bahasa dan perbezaan beragama.

1 Januari 2011. Jam 10.30 pagi - bawa anak ke Shah Alam untuk menghantar barang ke asrama penginapan. Naik bas dari Puncak ke PKNS dengan kadar RM2.00 seorang. Makan tengahari di Plaza Alam Central dengan berlaukkan Soup Geerbox. Petangnya kami habiskan masa di Pasar Sabtu Jalan Tunku Abdul Rahman. Suasana sesak di jalan tersebut dengan pelbagai jualan, dari makanan, pakaian dan hasil kraftangan. Sempat membeli 2 helai baju sukan, tali pinggang dan jam tangan.

2 Januari 2011. Paginya dihabiskan untuk membawa anak ke-2 ku membeli belah di sekitar tempat penginapan. Sempat juga membeli barang yang paling berharga iaitu Al-Quran lengkap dengan tajwid dan terjemahan, harga di K.Lumpur cuma RM120.00, berbanding harga yang amat mahal jika dibeli di Kota Kinabalu.

Kedua-dua anakku dan menantu, balik ke Sabah dalam dua penerbangan yang berbeza iaitu jam 5.45 petang dan 9.45 malam, kerana sesi persekolahan bermula pada Isnin (3 Januari 2011). Anak ke-3 pula bertolak ke UITM jam 11.30 pagi.

Kami suami isteri pindah ke bilik 504 selama dua malam. 3 Januari, kami bergerak ke Berjaya Times Squere. Sempat membeli 2 pasang kasut dan makan di Bukit Bintang. 4 Januari 2011, temankan isteri membeli-belah sekitar Semua House dan pasar pakaian Jalan Tunku Abdul Rahman. Jam 2.45 bas bertolak meninggalkan K.L Central menuju ke LCCT. Sempat mendaftar pada jam 4.05 petang iaitu awal sedikit dari yang dijangkakan.

Kami selamat mendarat di Kota Kinabalu jam 7.45 malam.

Monday, December 27, 2010

Daftar Puncak Perdana

Seawal pagi 29 Disember 2010, kami berangkat dengan penerbangan Air Asia ke Kuala Lumpur untuk menghantar anak bongsuku melapor diri di UITM. Ia disertai oleh pasangan suami isteri (anak sulung) yang berlepas dari Tawau dengan penerbangan MAS. Anak ke-2 hanya menyertai kami pada petang 31 Disember 2010.

Rasa-rasanya, akan berada sedikit lama di Kuala Lumpur untuk bercuti sambil membeli-belah sakan. Barangkalai sedikit persediaan untuk menyambut Tahun 2011.

2010 meningalkan kita
2011 menjelang tiba
perbaharuilah azam kita
ke arah yang lebih berharga

Semoga berjalan lancar.

Monday, December 13, 2010

Jutaan terima kasih


Anakku selamat bernikah di Masjid Negeri Kota Kinabalu pada pagi Khamis (9/12/2010 - 3 Muhharam 1432 H). Istiadat Marhaban (berdikir) dan Majlis Berbedak diadakan pada sebelah malamnya di rumah kediaman kami di Papar. Allah telah menurunkan rahmatnya kepada kami sekeluarga apabila tidak menurunkan hujan pada malam berkenaan. Hujan turun dengan lebatnya selepas acara berbedak selesai. Terima kasih kepada empat sepupu yang sanggup bertahan sehingga tengah malam, demi untuk menginaikan kedua mempelai. Mohon seribu kemaafan kepada rakan taulan dan saudara mara yang tidak dimaklumkan akan perkara ini. Bukan apa, majlis diadakan secara tidak dirancang sedari awal, memandangkan faktor cuaca yang tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun, terima kasih kepada semua yang terus memberi kerjasama sehingga majlis berjalan dalam keadaan yang lancar.

Majlis persandingan diadakan pada 11/12/2010 (5 Muharam 1432) di Dewan Wisma Pertanian Off Jalan Maktab Gaya. Majlis juga berjalan dengan sangat lancar. Terima kasih atas kehadiran saudara mara pihak lelaki yang datang dari jauh. Begitu juga keluarga sebelah isteri yang datang dari negara Brunei Darusalam. Semoga selamat dalam perjalanan balik yang agak panjang.

Saya berpuas hati dapat menyediakan satu bilik hotel untuk penginapan dua malam untuk keluarga lelaki. Walau pun ia sekadar seadanya, diharap dapat memenuhi keperluan anda. Terima kasih tidak terhingga atas kehadiran semua tetamu yang turut sama mendoakan kebahagian kedua-dua mempelai. Kalupis dari kampong dan empat tin kuih kering (jala, rempeyek, kuih baulu dan maruku yang lazat) yang lebih dari mencukupi telah menjadi juadah, sementara menunggu majlis Marhaban tamat.

Kepada keluarga saya, sepupu dan semua saudara mara dari Kampong Benoni serta adik beradik dan saudara mara sebelah isteri saya, terima kasih atas sokongon dan bantuan bertaraf lima bintang kalian. Kalian telah membantu melicinkan majlis sehingga berjalan lancar seperti tidak ada cacat celanya.

Batang selasih bertenggak mangga
Batu belah si daun palas
Terima kasih tidak terhingga
Hanya Allah dapat membalas

Terima kasih.

Thursday, November 4, 2010

Mesyuarat MKSP di Kundasang

Mesyuarat tersebut telah diadakan di Hotel Ceyln Kundasang dari 02 hingga 04 November 2010. Perjalanan ke sana penuh mencabar dengan menaiki bas yang terpaksa berhenti dua kali untuk membaiki sedikit kerosakan. Sempat singgah sekejap di Nabalu merakam sedikit foto dan membeli pisang dan kekacang untuk bekalan di pusat penginapan. Akhirnya sampai ke destinasi hampir jam 7.00 malam. Mendaftar di bilik K18 yang pemandangannya menghadap Gunung Kinabalu. Cuaca yang dingin dengan berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu begitu menggamit rasa, ditambah pula dengan menu yang enak dan bilik yang selesa. Rombongan selamat balik ke destinasi masing-masing jam 5.30 petang setelah memborong sayur Kundasang. Tahniah kepada Urusetia Bengkel.

Thursday, October 28, 2010

Festival Filem Pendek Pendidikan

Festival tersebut akan diadakan untuk kali ke-2 Peringkat Negri Sabah. BTPN Sabah terlibat secara langsung membuat promosi, membuat liputan dan mengendalikan acara tersebut. Maka adalah dicadangkan dalam mesyuarat kali ke-2 pada 18 Oktober lalu, di mana AJK Mesyuarat bercadang untuk membuat lagu thema yang boleh digunakan setiap kali festival itu diadakan. Berikut dipaparkan secara main-main lirik festival, barangkali sesuai (Perasan sendiri).

FILEM

Berbekal imiginasi
Tumpu pada Kreativiti
Bijak mengatur situasi
Filem bernilai tinggi

Lari dari tradisi
Berkisar pada tragedi
Dengan suatu visi
Mementingkan reputasi

Kemahiran dapat dikuasai
Moga kaya inovasi
Mengangkasa filem suatu misi
Karya penuh berseni

(Lirik asli ciptaan Ag Matasan jam 10.37 pagi 29/10/2010)

Monday, October 25, 2010

Sudah lama tidak ke Ladang

Hampir sekian lama tidak menukilkan sesuatu untuk dikongsi, terasa berdosa pula. Sebenarnya ada beberapa perkara yang mengusik rasa. Daripada membawa 4 bilah pintu bilik rumah menggunakan kereta pacuan 4 roda, lantaran perlu diguna untuk semasa suatu upacara besar. Menempah sebuah khemah dengan 5 meja bulat, kemudian mengecat 4 bilah pintu. Kesemuanya memerah tenaga lagi-lagi di bulan puasa. Tetapi berbaloi juga kerana upacara berjalan dengan lancar, selamat dan sempurna.

Alhamdu Lillah.

Sunday, August 15, 2010

Puisi tradisi ....

Pimping ungat-ungat,
Ungat-ungat di karasik,
Pimping minta pukat,
Matanya mambulasit.

Cuk-cuk surapit,
Surapit daun buluh,
Mangapa tangan takapit,
Bukan aku manyuruh.

Geleng-geleng kucapi,
Babulu talinganya,
Di mana kali mati,
Di ulu martuanya.

Daup-daup papanya,
Tambayangan bakuku,
Mana sudah bapanya,
Mambawa lauk buntu.

Lul-lul mang,
Tarubuk pandai basi,
Lalai manunggu tunang,
Makan bubuk dangan nasi.

Tuesday, August 10, 2010

Ahlan wa sahlan ya Ramadan ........

Bagi memastikan Ramadan kali ini lebih bermakna, menjadi penghibur kepada mereka yang gelisah, di sini dikongsikan antara tip-tip menyambut Ramadan Al-Mubarakh.

1. Berdoa banyak agar Allah s.w.t memberikan keinginan dan semangat beribadat yang tinggi pada Ramadan kali ini (2010). Perasaan tak bersemangat beribadat boleh dirawat dengan meminta Pencipta hati iaitu Allah mendatangkan semangat. Berdoa dan berdoa, sebab doa juga adalah ibadat dan ada kuasa tersendiri.

2. Pergilah ziarah kubur di awal Ramadan dan awal Syawal kerana ia akan mengingatkan betapa kurangnya amalan kita. Dengan melihat , hanya batu nisan yang tercacak, boleh mengingatkan kita bahawa kita juga akan menyusul untuk ke sana tetapi entah bila ketikanya. Dengan keinsafan berziarah mendorong kita untuk tidak mensia-siakan peluang beramal di Ramadan kali ini.

3.Meriahkan kehadiran Ramadan dengan perbanyakkan ucapan sesama sahabat dan keluarga dengan kata-kata semangat agar bertambah ‘ghairah’ dan bermakna bulan berkat ini.

Dalam sunnah pun Nabi s.a.w selalu memberikan khabar gembira kepada kalangan sahabatnya setiap kali datang bulan Ramadan: “Telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan yang penuh berkat. Allah telah mewajibkan kepada kalian untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu surga dan menutup pintu-pintu neraka.” (Hadis riwayat Ahmad)

4. Tambah ilmu fiqah mengenai cara berpuasa Nabi Muhammmad s.a.w dan kalangan sahabat serta salfussalih serta kelebihan Ramadan dan fadilatnya dengan membaca buku ataupun menghadiri ceramah dan tazkirah Ramadan yang diadakan di pejabat dan surau masjid agar berpuasa dengan panduan ilmu, bukannya ikut adat.

5. Perbanyakkan istighfar dan taubat secara bersungguh-sungguh kerana dosa-dosa inilah yang akan memalapkan kejernihan hati agar lebih seronok dengan ibadat.

Tinggalkan dosa dan maksiat. Anggaplah Ramadan kali ini sebagai satu ‘madrasah’ dan pusat latihan yang berkesan mengubah hati, akal dan nafsu yang selama ini menjadi pak turut kepada syaitan yang menjadi seteru Allah.

Sesungguhnya Allah membuka seluas-luas peluang untuk kita menggumpul seberapa banyak pahala. Jangan lepaskan peluang ini.

Sunday, July 18, 2010

Sekalung tahniah untuk Wanna

Sekalung tahniah untuk anaknda Wanna kerana telah dilantik sebagai Guru Siswazah Terlatih DGA 41 di SMK. Bahang Penampang Sabah. Selamat menginap di Hotel Promenade Kota Kinabalu untuk taklimat penempatan dari 20 hingga 22 Julai 2010.

Doa dari kami sekeluarga ....... semoga sukses hendaknya. Tidak disangka pula, berkat doa kami semua, anda telah mendapat panggilan temuduga dari Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk tujuan pengesahan jawatan.

Tuesday, July 6, 2010

Selamat di UiTM .....

Jam 1.56 3 Julai 2010, Ayang bersama kaka Wanna, menunggu rakan dari Tobobon di KL Central. Dengan menaiki kereta ibu rakan adik, pendaftaran berjalan lancar di Puncak jam 3.20 petang. Mereka balik ke K. Lumpur jam 6.00 petang (Allah jua yang akan membalas jasa baik ibu rakan adik kerana memudahkan perjalanan pergi dan balik dari Puncak Perdana.)Terima kasih juga atas pemberian keropok leko dan keropok kering yang enak rasanya.

Hari Sabtu petang, dalam hujan gerimis kami sekeluarga merayau ke pasar Jalan TAR membeli laksa Peneng, buah nangka, kuih akok, nasi minyak, kek pisang, cendol pulut hitam dan putumayam untuk dibawa makan di tempat penginapan.

Ayang kembali ke kolej UiTM Puncak Perdana petang Ahad 4/7/2010 dengan dihantar oleh keluarga menaiki teksi pergi dan balik.

Kami tiga beranak pindah ke bilik penginapan yang lebih kecil sedikit untuk tujuan berjimat kerana menginap lagi 2 malam untuk shopping sakan.

Waduh .... terpaksa tambah berat kargo kapal menjadi 60 kilo semuanya dengan melayar semula Air Asia, takut kapal senget sebelah, dari pakaian hinggalah karpetpun dibeli borong. Apa-apa pun, hari raya yang bakal menjelang (September)tidak perlu dirisaukan sangat. Baju dan segalanya telah selesai disediakan. Jam 4.20 petang, kapal berlepas dan tiba di Kota Kinabalu jam 7.05 malam.

Ayang, teruskan belajar walaupun berada di kolej kediaman tingkat atas. Jaga kesihatan dan turunkan sedikit berat badan.