Friday, July 10, 2026

SELOKA ORANG PENCEN

Orang pencen jangan susah hati

usai solat subuh rancang aktiviti

keluar rumah sejak awal pagi

biar tubuhmu kena sinar matahari

senaman ringan ala-ala menari

senaman lebih-lebih terkehel jeri-jemari

kunjung ke sana kunjung ke sini

asal jangan pulangnya dinihari


Orang pencen banyakkan bersyukur

waima uban banyak berterabur

biasakan diri perlahan-lahan makan bubur

pakai kaca mata andai mata kabur

belanja berhemah asal tak kebulur

menabung sedikit banyakkan menghulur

sebelum jasadmu terbujur

ada yang belum sempat pencen dah pun tersungkur


Orang pencen rancang perjalanan

rancang masa depan rancang tabungan

dunia hanya tempat membenih tanaman

banyakkan simpanan buat hari kemudian

umrah ziarah ubati kerinduan

gandakan ibadah untuk dipersembahkan

Allah Wa Jalla itulah tujuan


Orang pencen  mesti baik hati 

acap kali masjid dikunjungi 

bergurau berguru agar tidak sunyi

bersilaturrahim dan bertalaqi

ditegur guru jangan terasa hati

gigi longgar tajuid banyak lari

baca firman Allah bekal kemudian hari

gandakan solat gandakan musabah diri

berdoa untuk keluarga dan diri sendiri

alam akhirat pasti menanti


Orang pencen mesti suka-suka hati

beli buku-buku sirah baca buku motivasi

tempah di tik-tok, kedai buku mesti peduli

duniamu mudah hanya di hujung jari

kemarin tempah tiba tanpa disedari

ilmu bermanfaat perlu dikongsi 

di media sosial mahupun di blog pribadi


Orang pencen digelar warga emas

tidak usah kerja keras

duit pencen sudah cukup pembeli beras

lebih tidur badan rasa lemas

pergi kedai mamak tanamkan rasa culas

kena teh tarik segelas

gula mendadak jangan rasa cemas

kawal makan-minum jangan malas-malas

ikuti nasihat doktor jangan banyak ulas


Orang pencen patuhi cakap doktor

berpantang bercermat mesti penuh akur

kepala botak tidak perlu bercukur

andai dahulu engkau orang tersohor

kini kuasamu hilang beransur-ansur

sebelum disumbat ke dalam lubang kubur

gandakan solat taubat, tambahkan solat syukur


Umur lanjut  anugerah Allah

jangan ujub jangan bermegah-megah

masa berkuasa bolehlah marah-marah

sudah pencen tiada rakan ziarah

jangan ibarat sokong yang membawah rebah

ikuti sifat sang lebah

madunya manis tidak diheboh-hebah

penyembuh berkesan pada yang bermasaalah


Orang-orang pencen wajah berseri-seri

jangan sesal andai pasangan dijemput ilahi

usah bersedih belajar berdikari

jika dulu bersembur minyak wangi

kini diganti minyak gosok di kanan kiri

teman-teman ramai di hitungan jari

kini menyepi berlalu pergi

hanya cucu-cicit pengubat luka hati


Akhir kalam seloka  orang pencen

Harta dunia hanya umpama bersin

esok-esok tidak bernilai waima satu sen 

ada kereta penuhkan dengan benzin

kerap-kerap senggara dengan rajin

keluar merata mesti dengan izin

sesat di mana-mana, ramai orang prihatin

kita kan berstatus orang pencen

ingatan merosot beberapa persen


Amam

26 Muharam (11 Julai 2026)

No comments: