Friday, January 28, 2011

Pesan ayah


Anak-anakku
Berfikir seribukali pada sahabat
tetapi berfikir sekali sahaja pada musuh
kerana sahabat itu bisa menikam belakangmu
manakala musuh itu telah kau maklumi bengisnya

Berfikir seribukali pada manisnya janji
tetapi berfikir sekali sahaja pada pahitnya jadam
kerana manisnya janji itu bisa memakan dirimu
manakala pahitnya jadam itu jadi ubat akhirnya

Berfikir seribukali pada dosa
tetapi berfikir sekali sahaja pada pahala
kerana dosa itu akan menghumbanmu ke neraka
manakala pahala akan mengiringimu sampai ke syurga

Berfikir seribukali pada kemewahan
tetapi berfikir sekali sahaja pada kesederhanaan
kerana kemewahan itu membawa kehancuran
manakala kesederhanaan itu membawa ketenangan

Berfikir seribukali pada khayalan
tetapi berfikir sekali sahaja pada kenyataan
kerana khayalan itu belum tentu menjanjikan kemenangan
manakala kenyataan itu memang telah menjadi milikmu

Berfikir seribukali pada wang
tetapi berfikir sekali sahaja pada ilmu
kerana wang itu bisa habis apabila dibelanja
manakala ilmu itu akan bertambah jika diguna

Berfikir seribukali pada teman lelakimu
tetapi berfikir sekali sahaja pada ibu bapa
kerana teman lelaki itu belum tentu menjadi milikmu
manakala ibu bapa itu teman dekatmu tatkala kesunyian

Berfikir seribukali pada pengkhianatan
tetapi berfikir sekali sahaja pada kebaktian
kerana pengkhianatan itu telah diketahui azabnya
manakala kebaktian itu melorongkan jalan tatkala di akhirat

Oleh itu
Jauhi sahabat jika ia menggugat
Hindari janji jika ia mengikat
Banyakkan solat hidupmu pasti berkat
Amalkan kesederhanaan tetapi jangan sampai merempat
Jauhi khayalan tetapi biar bertempat
Cintai ilmu ia pasti pengubat
Doakan ibu bapa dunia akhirat
Berbaktilah pasti itu mendatangkan seribu rahmat