Wednesday, March 5, 2014

TRAVELOG AIR MATA MENCARI REDHA ALLAH (15 FEB-26 FEB 2014)

Assalamu Alaikum.

Saya menukil memohon perkenan-Mu, Ya Allah. Sejuta terima kasih kepada anak-anak tercinta serta menantu kerana menyokong pemergian kedua ibu bapa mereka. Begitu juga kepada isteri yang sudi menemankan kunjungan berharga ke tanah suci. Tidak lupa kepada saudara mara yang prihatin mengambil perhatian anak yang aku amanahkan. Juga kepada semua rakan sepejabat  sentiasa mendoakan saya suami isteri serta keluarga Cikgu Mulyani.

Nukilan ini sekadar ingin berkongsi pengalaman, betapa ruginya tidak bercita-cita  menunaikan umrah tatkala muda. Rugi rasanya diberi kesempatan menjadi tetamu Allah di hujung-hujung usia. Dengan pinjaman umur yang semakin suntuk, dan dengan kudrat yang tidak seberapa untuk menempuh perjalanan jauh yang agak mengugat jiwa. Pada zahirnya, yang muda dan sehat mempunyai kudrat yang lebih, berbanding dengan yang senior. Akan tetapi kesemuanya kuasa Allah. Dalam keadaan tertentu, yang muda yang akan pancit berbanding orang tua, diberi kelebihan pada kudratnya. Sememangnya kesempatan menjejakkan kaki ke Tanah Suci, pasti menjadi antara detik paling manis dan berharga serta terlalu sukar untuk diungkap dengan lisan serta coretan. Sememangnya hati kita rasa bergetar sebelum tiba di sana, apa lagi dengan timbunan dosa yang entah berapa banyaknya. Saya ingin merebut pahala atas tulisan yang tidak seberapa ini. Mudah-mudahan ia bakal menjadi ilmu yang bermanfaat dan terpakai kepada anda.

Doaku, moga pengalaman ini akan menjadi panduan kepada anda yang berhajat ke sana, seperti firman Allah dalam surah Al-Ma’idah ayat 5:21 bermaksud “Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa”.

Sejuta kesyukuran ke hadrat Allah, yang masih memberi peluang serta sudi menjemput saya dan isteri menjadi tetamuNya pada tahun 2014. Dekatnya diri ini dengan pencipta serta rindunya hati untuk ke sana, bukan rasa rindu yang dibuat-buat mahupun dipaksa-paksa. Ia melebihi kerinduan seruling untuk kembali ke perdunya, juga melebihi kerinduan buah pinang untuk kembali kepada mayangnya dan melebihi kerinduan sang kerbau untuk kembali ke kubangnya. Allah Maha mengetahui. Perjalanan lebih kurang 7,000 kilometer dari tanah air bagaikan sekejap cuma.

Setiap tahun tetamu Allah berduyun-duyun menuju ke Madinah Al Munawwarah dan Mekah Kota Suci Allah. Ada yang pergi atas dasar menziarahi makam Rasulullah, ada pula berhajat mendapat kelebihan pahala menunaikan solat di dalamnya. Janji ALLAH SWT, tidak ada hambaNya yang jatuh miskin selepas menziarahi rumahNya, yakni Kaabah, malah ziarah tersebut akan menambahkan lagi cinta hambanya kepada maha pencipta.

Kekayaan wang yang melimpah, keselesaan hidup, kelapangan masa dan kesihatan yang berkekalan bukan syarat utama untuk menjadi Tetamu ALLAH. Kebanyakan daripada kita memberi pelbagai alasan sehingga alasan itulah yang mengekang kita untuk menjadi tetamuNya. Berapa ramai yang banyak duit, sihat tubuh badan dan mempunyai masa tetapi tidak dipilih menjadi tetamu ALLAH. Berapa ramai pula yang kurang duit, tidak sihat dan teramat sibuk dengan berbagai tugasan tetapi tetap terpilih menjadi tetamuNya. Formulanya mudah mesti ada azam yang kuat melebihi 100% serta sentiasa berdoa dan selebihnya hak ALLAH SWT untuk memilih kita.

Mungkinkah ada yang gerun hendak ke sana lantaran risau dengan pembalasan Allah tika berada di sana. Nyahkan jauh-jauh syak wasangka anda terhadap Allah maha pencipta. Tempat pembalasan  di alam akhirat, bukan di sana. Seandainya anda merasakan dosa anda terbalas di sana, anda bertuah mendapat rahmat Allah. Allah telah mengurangi pembalasan anda di akhirat nanti. Sesungguhnya,  Mekah dan Madinah adalah tempat kita merayu agar semua dosa kita diampunkan dan tempat memohon beberapa hajat kita dikabulkanNya.

Mohon ampun ke hadrat Allah.

Perjalanan panjang melalui Kuala Lumpur 15 Februari 2014 (Sabtu)

“Aku datang menyahut seruan-Mu. Aku pohon dipermudahkan perjalananku. Terimalah daku andai ia keikhlasan yang Kau terima. Ampunilah dosa-dosa ku, dosa kedua ibu bapaku, dosa anak isteriku, dosa guru-guru ku, dosa mereka yang pernah menganiaya ku dan aku mohon berada dalam rahmat dan kasih-sayangMu”.

Persediaan minda dan fizikal untuk perjalanan jauh telah dipersiapkan sebulan sebelum pemergian ke Tanah Suci. Hati ini terus berkobar-kobar, tatkala menghadiri taklimat perjalanan oleh Ustazah Lilis Mulyani di Masjid Negeri Sabah pada 12 Januari 2014. Niat di hati ini telah dibulatkan  untuk mencari redha Allah dan mencari umrah yang mabrur bukan umrah mardud. Semangatku tambah berkobar-kobar apabila mula menghadiri Kursus Asas Haji di Masjid Negeri Sabah Pada 8 Februari 2014.

Usai solat Subuh, selepsa solat dhuaa, aku dan isteri menunaikan solat sunat musafir. Aku menghubungi abang kandung di kampung halaman serta 2 orang anak-anak, seorang masih belajar di UiTM Shah Alam dan seorang bertugas di MRSM Tawau. Pesanan yang dicanangkan agar tidak meninggalkan solat dan mendoakan kesihatan ayah-ibunya sepanjang perjalanan mencari redha Allah. Rombongan disertai oleh abang ipar (Haji Malai Hussin), isteri dan anak lelakinya,  isteri arwah abang ipar dengan anak lelaki bongsunya (Mak Fahmi) serta sahabatku Cikgu Mulyani Doto dan isteri. Di Lapangan terbang aku bersua dengan Hj Rahman Hj Hassan (Kg. Benoni), isteri dan anak perempuan mereka, suami isteri dari Ranau bernama Ajamain (adik kepada ibu mertua anak sulungku) dan Hjh Dg Sayalam Bujang dan anak perempuannya yang serombongan dengan kami dan sempat berkenalan dengan Tukang Jahit Pakaian Seragam Segama bernama Hidayat.

Berlepas

Menempuh jarak 1631 KM, pesawat MH 2605 berlepas ke Kuala Lumpur jam 11.00  pagi. Sebelum berlepas, aku mengambil peluang merakam gambar berkumpulan jemaah umrah Syarikat Nur Multazam milik Puan Siti Sulhayati (Tel : 0168414125). Allah memberi kesempatan kepada kami untuk menunaikan solat jamak zohor dan asar di KLIA. Syukur yang teramat syukur, di KLIA, aku secara sukarela sempat membantu Syarikat Nur Multazam mengatur masuk (Cek In) barang-barang tetamu Allah. Waima penat, tetapi di hati ini terasa puas. Rombongan tetamu Allah  meninggalkan KLIA jam 6.55 petang menggunakan pesawat Saudi Arabia. AlhamduLillah penerbangan Pesawat 747 SV2799 begitu selesa membolehkan aku berzikir sepanjang perjalanan. Di dalam pesawat, aku terjumpa dengan kenalan lama saudara Tajuddin mantan Pegawai Teknologi PKG Membakut.

Perjalanan yang panjang tidak terasa oleh semangat yang berkobar-kobar untuk tiba dengan selamat di Arab Saudi. Rindu kepada Raudah, Masjid Nabawi serta Baitullah memang tidak pernah hilang selagi kaki ini belum menapak ke sana. Tiada waktu tidur selesa untuk kami suami isteri sepanjang perjalanan, hanya tidur-tidur ayam.

Mendarat di Madinah

Rombongan 78 orang tetamu Allah mendarat di Lapangan Terbang Madinah pada jam 10.40 malam waktu Arab Saudi, disambut oleh mutawwif bertugas Ustaz Hayat Adnan yang petah bercampur lucu dari Indonesia. Aku menghubungi ketiga-tiga orang anak di tanah air. Allah maha mendengar, sebaik tiba urusan imigresen berjalan lancar. Selesai mengenalpasti bagasi, sebelum dua buah bas bergerak, mutawif memimpin tetamu Allah membaca doa dalam perjalanan dalam Bahasa Arab dan Bahasa Melayu dengan nada yang cukup syahdu.  Beliau mengetuai bacaan doa memasuki kota Madinah. Perjalanan dari Lapangan Terbang ke hotel penginapan amat lancar dengan bilangan kenderaan yang tidak begitu banyak di jalan raya di awal malam. 

Kami menginap di Hotel Mewah Concorde Madinah, kira-kira 80 meter dari Masjid Nabawi. Selepas menghantar bagasi dan menyusun sedikit barang keperluan, disertai isteri abang ipar, kami bergerak ke masjid kira-kira jam 2.00 pagi. Suasana sepanjang perjalanan amat dingin dengan tiupan angin yang menyebabkan isteriku terpaksa emaut telekung yang dipakainya.

Aku kagum memerhatikan sekeliling kota yang bermandikan cahaya. Lantas teringat akan maksud Al-Munawwarah (Kota Yang Bercahaya) melalui sedikit pembacaan sebelum bertandang ke sini. Di dataran masjid berderet tiang lampu tersusun indah, manakala payungnya hanya akan terbuka tatkala mantari menampakkan diri dari berselindung sepanjang malam. 

Selepas menghantar isteri dan kakak ipar ke ruang solat wanita, aku bergerak berseorangan ke pintu 21 untuk menyimpan sepatu di rak yang disediakan. Aku menunaikan solat tahiyatul masjid dan memasang niat iktikaf di dalam masjid. Syukur tersangat syukur, Allah maha mendengar isi hati tetamu-Nya, kerana aku tidak menunggu lama untuk masuk dan bersolat di Raudah. Selepas menunaikan pelbagai solat (tahajud, taubat, hajat dan lain-lain solat), aku memberi peluang kepada tetamu Allah lain untuk berada di Raudah. Aku berada hanya beberapa meter di sebelah kanan tempat muazim melaungkan azan dan dengan jelas dapat menyaksikannya ketika beliau berdiri untuk melaungkan azan. Usai solat subuh, aku meninggalkan masjid yang begitu indah.

Raudah ke-2 Ahad 16 Februari

Selepas sarapan, jam lapan pagi, rombongan Nur Multazam bergerak ke Masjid untuk ziarah dalam dengan bimbingan Ustaz  Habib Ali. Kami dibawa mutawif untuk mendekati kubah hijau (Qubbatul Khadra'). Kami berkumpul di suatu sudut mendengar tazkirah yang begitu menyentuh rasa. Rasulullah berjuang memartabatkan Agama Islam dengan bersusah payah, dan kalau bukan kerana-Nya mungkin kita tidak tahu siapa diri kita yang sebenar-benarnya pada hari ini.

Selepas menyampaikan salam anak-anak, menantu,  keluarga dan rakan sepejabat. Aku mengajak rakanku Cikgu Mulyani untuk menapak ke dalam masjid bagi menunaikan solat sunat tahiyatul masjid dan solat hajat agar kami berdua dipermudahkan-Nya menapak ke Raudah. Allah mengetahui gerak hati hamba-hamba-Nya kerana kami tidak menunggu lama untuk memasuki kawasan Raudah. Walaupun nampak sesak, (jam 9.30 pagi) peluang memasuki Raudah tetap ada. Pelbagai doa dibaca namun hati tetap puas waima hanya sekejap berada di sana.



Aku kini berada di taman-taman tersebut. Betapa indah dan damainya berada di Raudah di kala pagi. Walau sesukar manapun, namun aku dapat sujud menyentuh dahi ini ke lantai. Terasa wangi haruman karpet hijau Raudah. Aku betul-betul berada di Mihrab Nabi. Hati bergetar dan sebak dalam salam yang diungkap. Air mata mengalir tanda kesyukuran, kerana aku, isteri adalah antara ribuan yang sudi dijemput menjadi tetamu-Nya pada tahun ini. Hati ini rasa terpukul lantaran masih sudi dijemput menjadi tetamu Allah. Tubuh bergetar terus, sukar untuk dikawal kerana ia datang tanpa diundang. Takungan air mata sudah tidak dapat dipertahankan, setitis demi setitis, ia terus mengalir membasahi pipi. Aku bersyukur kerana Allah memberi peluang kedua kepadaku memasuki Taman-taman Syurga. Sehingga menuju ke pintu keluar esak tangisku masih kedengaran, aku dipeluk oleh suami puan Siti, dan rakan lain berjaya menenangkan.

Aku balik bersama Ustaz Ali dan memohon bantuannya untuk membeli jubah dan kain ihram buat Cikgu Mulyani dan menukar Rial Saudi SR1,100.00. Aku sempat memohon maaf kepada Ustaz Habib Ali kerana melanggar arahannya yang meminta kami tidak memasuki Raudah sewaktu puncak, sekadar menyampaikan salam dan lalu depan makam. Rupa-rupanya, rakan-rakan serombongan menunggu kami di pintu keluar untuk perjalanan balik dari masjid ke rumah penginapan. Kami bertiga bergerak ke kedai bawah tanah bernama Carnival bersebelahan dengan Hotel Fairoz Assatah yang menawarkan pelbagai jenama jubah, kain ihram dan pakaian-pakaian lain.

Membeli tasbih

Sebelum zohor, aku dan isteri makan nasi yang telah ditanak dengan lauk sardin bekalan dari Sabah kerana niat kami untuk beriktikaf lama-lama di dalam masjid. Sekitar jam 10.20 pagi, kami menapak semula ke masjid. Aku beriktikaf di belakang hamparan pemisah Raudah untuk wanita, sambil kekadang mencari tong zam-zam untuk membasah tekak. Kami hanya balik selepas solat isyak selepas bertemu di tempat yang dijanjikan (pintu 25). Di perjalanan balik aku singgah membeli lima buah tasbih tekan untuk dijadikan buah tangan. Kiri kanan laluan balik dipenuhi dengan penjaja jalanan yang memperagakan pelbagai barang dagangan.

17 Februari 2014 (Isnin)

Madinah terasa begitu sejuk kerana bulan Februari dikatakan musimnya. Mungkin tempias tiupan bayu dari Negara Eropah yang mencatat suhu di bawah tahap beku bertandang ke Madinah. Rasa dingin itu meresap ke dalam sanubari di samping tiupan bayu yang begitu mendayu menusuk ke tulang hitam, menerbit ketenangan yang maksimum serta menggamit setiap inci perasaan. Gigi terasa berlaga sesama sendiri lantaran pengaruh cuaca yang dingin. Terbit rasa syukur dan malu kepada Allah kerana hidup ini sentiasa bergelumang dengan dosa yang dilakukan tanpa sedar.

Inilah kasih sayang Allah, segala-galanya terlalu istimewa. Aku dikejutkan sejak awal pagi. Sebelum bergerak aku membuat air dan bersahur dengan buah kurma dan roti manis. Semangat mengatasi segala-galanya apabila kami meninggalkan hotel seawal 2.40 pagi waima cuaca begitu dingin dan mencokot ke tulang-temulang.  Sambil berpimpin tangan, kami berdua disertai kakak ipar memasuki pagar masjid serta berniat iktikaf. Tiupan bayu pagi itu menjadikan diri ini menggigil kedinginan. Selepas menghantar isteri ke ruang solat wanita, aku menuju ke ruang solat lelaki dan menuju sedekat-dekatnya ke ruang Raudah. Perasaan itu payah untuk dinyatakan. Inilah kasih-sayang yang sebenar-benarnya. Mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan pada tetamuNya.

Keheningan dan ketenangan berada di Masjid Nabawi tidak dapat dinukilkan dengan pena. Berada di dalamnya tenang dan sayunya tidak terungkap dengan kata-kata. Setibanya di Masjid Nabawi aku mencari air zam-zam buat penghilang dahaga dan seterusnya bersolat tahiyatul masjid.

Usahaku untuk memasuki Raudah diperkenankan Allah sekali lagi. Peluang kugunakan untuk solat tahajud, solat sunat, solat hajat dan solat taubat. Aku tidak mahu berlama-lama di situ kerana aku telah berjanji kepada diriku untuk memberi peluang kepada tetamu lain memasuki-Nya agar aku dapat peluang di kesempatan lain untuk masuk ke ruang itu. Ruan solatku segera diisi oleh tetamu Allah yang lain.

Usai solat subuh, aku balik ke hotel untuk mengikuti rombongan  ziarah luar. Rombongan tetamu Allah dibawa untuk ziarah ke beberapa tempat pagi tersebut. Mutawif telah mengingatkan agar kami berwuduk di hotel sebelum berlepas dengan bas ke Masjid Quba. Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa telah bersuci (berwudhu) di rumahnya, kemudian mendatangi Masjid Quba' lalu solat di dalamnya dua rakaat, maka baginya sama dengan pahala umrah.”(Sunan Ibn Majah). Aku sempat merakam foto kenangan beramai-ramai depan Masjid Quba.



Bas bertolak untuk ziarah luar jam 7.45 pagi, menuju ke Masjid Quba. Aku merebut peluang untuk merakam foto berkumpulan di luar masjid. Lawatan diteruskan ke ladang kurma. Kami tidak melepas peluang untuk memborong 2 kilo kurma Ajwa yang dikenali sebagi kurma Nabi. Saya menambah 2 kilo kurma biasa dan 2 kilo kekacang. Lawatan diteruskan ke Bukit Uhud. Sayu hati ini kerana terkenangkan peristiwa Saidina Hamzah dan 70 orang syahid di medan pertempuran. Kemeriahan tetamu lain yang melaram kurma, sejadah, tasbih, pacar dan buah tangan lain tidak menarik minat saya untuk menyertai mereka kerana hati ini belum terpangil dengan hal berkenaan. Aku terus terpana dengan kehebatan perjuangan Rasulullah menentang musuh. Bukit Uhud inilah tempat di mana Rasulullah menentang musuh Allah, dan dengan pekenan Allah, aku dan isteri berdiri di tempat di mana Rasulullah pernah bertempur menegakkan agama Allah. Beberapa rakaman foto kenangan mencuri lensa kameraku. Sempat berkenalan dengan saudara Haris Ahmad (Kg. Langkawit) dan anak lelaki Haji Lampoh (Taukeh satay Kg. Buang Sayang).

Rasul Allah patah empat batang gigi dengan pakaian berlumuran darah lantaran cedera tetapi berjaya dilindungi para sahabat. Begitulah setia dan kasih serta sayang mereka terhadap Rasulullah, sedangkan diri ini tiada apa yang dapat disumbangkan terhadap kekasih Allah tersebut. Aku berasa terpana dengan hal demikian, sedang untuk berselawat pun sukar untuk dilakukan. Aku mengingatkan agar mulai dari hari itu, aku berazam untuk memperbanyakkan selawat ke atas baginda. Mutawif memperingatkan kami agar tidak berlama di sana kerana rombongan akan ke kilang Quran. Kami berdua menapak ke bukit pemanah (Jabbal Rummah). Di bukit tersebutlah Rasulullah menempatkan pasukan pemanah beliau ketika pertempuran berlaku.Akhirnya aku mengalah juga kerana membeli sejadah buatan Saudi seorang satu bersama isteriku.



Lawatan diakhiri di kilang cetak Al-Quran. Di sana aku terserampak dan bersalaman dengan dua orang sepupuku (Awang Daraim dan Hajah Dayang Munah) yang umrah bersama dengan pakej lain. Aku membeli 15 buah Quran (SR255.00 - SR17.00 senaskhah) sebagai menunaikan wakaf anak sulung dan rakan sepejabat. 

Apabila balik, aku terus menapak ke Masjid dan hanya balik untuk mandi. Di perjalanan menuju masjid untuk solat maghrib, aku berasa seronok memerhatikan di kiri kanan jalan penjaja jalanan melaung-laung memanggil pelanggan. Aku membeli 4 kilo kurma untuk jemaah berbuka. Ku serahkan kurma tersebut kepada salah satu safrah (hamparan tikar plastik) yang menyediakan juadah sedangkan aku mencari ruang lain untuk berbuka. Masya Allah, deretan safrah yang berpuluh-puluh itu sukar untuk dipilih. Masyarakat Arab terkenal dengan kegiatan bersedekah dan memang gemar bersedekah. Aku berhenti di suatu kawasan safrah, pabila seorang pemuda Arab mendepakan tangannya menyuruh aku duduk di kawasan safrahnya. Selepas berbuka, aku menapak ke kawasan yang terdekat dengan Raudah, dan beriftikaf sehingga menjelang isyak.

18 Februari 2014 (Hari Ke-3 Selasa)

Lambaian Kaabah.

Hari terakhir berada di Madinah, hatiku begitu tersentuh hendak berpisah dengan kekasih Allah. Selepas mandi sunat ihram, seawal jam 3.00 pagi, kami suami isteri telah bertolak ke Masjid. Sebelum bertolak ke masjid, aku menadah tangan di muka pintu sambil diaminkan oleh isteri berdoa agar diberi kemudahan untuk bersolat di Raudah.

Pagi yang hening di Masjid Nabawi, begitu mengesankan di sanubari kami. Waima tetamu Allah begitu ramai, namun peluang ke Raudah tetap ada. Akan tetapi, isteri terpaksa ke Raudah mengikut giliran yang ditentukan oleh polis wanita Arab Saudi. Sekali lagi hajatku untuk masuk ke Raudah mendapat pekenan Allah sekitar jam 3.35 pagi. Aku berlama di dalam masjid untuk Solat Dhuaa. Selepas solat dhuaa, aku menapak balik ke hotel untuk menghantar bagasi ke lobi hotel.

Kami bersegera ke masjid untuk bersolat dzohor dan menapak ke kubah hijau untuk kunjungan wida terhadap kekasih Allah kerana sekejap saja lagi kami terpaksa meninggalkan makam baginda. Syukur Ya Allah, perkenankanlah doa ku Ya Allah, aku bertandang sebagai tetamuMu Ya Allah. Aku datang untuk memohon ampun terhadap dosa bertimbun, dosa yang aku tidak sedari serta mungkin dosa yang disengajakan. Doa terakhirku agar diperkenan bahawa kunjungan ini bukanlah untuk kali terakhir. Aku memohon akan dijemput menjadi tetamu Allah untuk sekian kalinya. Air mata jangan dihitung lagi, entah ia tumpah untuk kali keberapa, tidak mampu aku menghitungnya.

Bir Ali

Selepas kunjungan wida, aku bersegera balik ke hotel untuk memakai kain ihram. Dua helai tuala putih bersih itu adalah lambang ketulusan, kebersihan dan tanda pasrah pada Yang Maha Agung. Selepas memakainya, aku menunaikan solat sunat ihram.

Bas bergerak meninggalkan hotel jam 2.10 petang menuju ke Bir Ali. Sebelum bas bergerak, mutawif memimpin tetamu Allah membaca doa dalam perjalanan dan sedikit taklimat ringkas. Aku sempat menoleh ke arah menara Masjid Nabawi, entah untuk ke berapa kali sehingga ia lenyap dari pandanganku. Lantas aku menadahkan tangan dan berdoa agar aku dijemput menjadi tetamu Allah dalam masa terdekat. Daku tidak sedar air mataku jatuh satu persatu ke atas kain ihramku, tatkala mengimbau momen beribadah di Masjid Nabawi. Aku malu pada tetamu lain, mujurlah kami kerap duduk di kerusi paling hadapan. Hati ini diketuk oleh kerinduan yang sukar digambarkan.

Dari Bir Ali, tetamu Allah meneruskan perjalanan sejauh lebih dari 440 kilometer. Sebelum begerak, mutawif memimpin kami untuk melafazkan niat umrah. Selepas berniat,  kini aku terikat dengan 13 pantang larangan ketika dalam ihram seperti berikut:1.Tidak boleh menutup kepala bagi lelaki. 2.Lelaki tidak boleh memakai pakaian berjahit. 3.Tidak boleh menutup muka bagi wanita. 4.Tidak boleh memakai sarung tangan (lelaki dan wanita). 5.Tidak boleh memakai minyak wangi  atau bau-bauan sama ada di badan atau pakaian atau pada makanan, minuman atau menghidunya (Lelaki dan wanita). 6.Tidak boleh memakai minyak rambut (lelaki dan wanita) atau janggut. 7.Tidak boleh menangggalkan rambut / bulu (lelaki dan wanita). 8.Tidak boleh mengerat kuku (lelaki dan wanita). 9.Tidak boleh mencabut tanam-tanaman (lelaki dan wanita). 10.Tidak boleh memburu (lelaki dan wanita). 11.Tidak boleh bercumbu (melakukan pendahuluan persetubuhan). 12.Tidak boleh bersetubuh. 13.Tidak  boleh berkahwin. Mengahwinkan atau menjadi wakil kahwin. 

Di perjalanan, aku menyaksikan panorama padang pasir yang tandus, dan bercampur batu-batuan di kiri kanan jalan yang licin dan lurus. Muka bumi yang dipenuhi dengan pelbagai jenis batu kerikil serta pasir, dilukiskan dengan begitu indah sekali. Di kejauhan hanya kelihatan hamparan langit kebiruan tanpa awan.

Aku membayangkan batu-batuan kiri kanan menyambut dan mendoakan agar tetamu Allah akan selamat tiba ke destinasi yang dituju. Ia suasana yang jauh berbeza dengan tanah air yang ditumbuhi dengan pelbagai pokok kehijauan. Sekali sekala nun di kejauhan, kelihatan gelagat unta berkeliaran mencari makanan.

Pemanduan yang berhemah sekali-sekala dikejutkan dengan bunyi hon bas, menyebabkan tetamu Allah yang tidur terjaga sekejap. Aku percaya konsentrasi rakan sebas lain adalah untuk tiba dengan selamat di Mekkah dengan rahmat Allah. Aku membaca tarbiah senyap-senyap antara dengar dan tidak. Melalui informasi Ustaz Hidayat, had kelajuan maksimum 100 KM, tetapi pabila aku melirik ke papan penanda kelajuan, tenyata ia mencapai 120 KM.


Cahaya bergemarlapan jam Mekah

Kami singgah di suatu tempat untuk berehat, solat jamak maghrib Isyak, dan membasahi tekak. Setelah tiba di sempadan haram, Ustaz Hidayat memimpin tetamu Allah membaca doa memasuki kota Mekah. Sekitar jam 9.10 malam (6 jam perjalanan), kami mendaftar masuk bilik 406 Tower Wadi Ibrahim, Al Misfalah jalan Ibrahim Khalil. Kedatangan ke Mekah bukan untuk berehat di hotel tetapi untuk mengabdikan diri seratus-peratus kepada Allah. Sekali lagi, kelicinan pendaftaran masuk ke hotel oleh Nur Multazam begitu berwibawa serta memang cekap, terbaik dan hebat. Mutawif juga memainkan peranannya membantu kelicinan tersebut.

Syukur Ya Allah, kami menginap berdekatan Masjidil Haram iaitu di belakang jam besar yang bergemerlapan cahayanya. Selepas makan malam, kami berkumpul semula untuk bersegera menunaikan tawaf. Aku dan isteri hanya makan seadanya. Seenak mana pun makanan yang terhidang, ia ditewaskan oleh keinginan untuk terus menatap Baitullah secepat mungkin. Perasaan diselubungi untuk mendepani Baitullah sudah tidak dapat dibendung lagi.

Menatap Baitullah

Dengan iringan Mutawif, kami berbondon-bondon menapak ke Baitullah. Masya Allah ……. sebaik-baik sahaja memandang Kaabah, binaan kaabah itu terus meruntun hati. Mataku berpinar, badanku menggeletar, hatiku bergetar, hatiku yang gusar bersatu menjadi jitu, yang terlahir hanyalah cucuran air mata kesyukuran kerana masih diberi peluang untuk menantap Kaabah. Terasa keronggkongku seperti tersekat oleh sedu sedan yang silih berganti. Sewaktu istilam, suaraku bergetar hampir tidak terkeluar. Aku terisak-isak bagaikan anak kecil kehilangan ibunya lantaran tidak dapat menahan sebak. Sukar menukilkan rasa yang terpendam nun jauh di sanubari hamba-Mu yang berdosa ini, kini berada di tengah-tengah dataran Masjidil Haram. Bersyukur dan sangat bersyukur kerana dijemput sebagai tetamu Allah. Pada kesayuan yang begitu membelit rasa, hati ini begitu tersentuh, amat-amat tersentuh. Doa tidak putus-putus dibaca dalam getaran suara antara keluar dengan tidak, bersilih ganti dengan sedu sedan.

Kesedihanku berganda pabila mengenangkan, arwah ibuku juga pernah menjejaki dataran Kaabah ini, hasil dari sumbangan kami dua beradik. Pernah suatu ketika dulu, aku membayangkan untuk mengenggam erat tangan ibuku sambil mengelilingi Baitullah. Betapa indah kurasakan ketika itu, tetapi ia tidak kesampaian. Allah telah memanggilnya sebelum hajatku tertunai. Aku masih punya tanggungjawab untuk melunaskan haji badal untuk arwah ayahku. Di hati ini kutanamkan azam untuk berbuatnya dalam masa terdekat, sebelum aku menutup mata.

Allahu Akbar …….. Tidak terasa aku telah menghabiskan 7 keliling tawaf sambil diisi dengan zikir dan doa yang tidak putus-putus memohon keampunan dari Allah yang esa. Sebelah kiriku tanganku di paut oleh isteriku manakala kananku tempat berpaut saudara Mulyani. Mataku tidak terlepas dari memandang bangunan Baitullah. Setiap kali melintasi Maqam Ibrahim, aku membayangkan betapa sukarnya nabi Allah itu menyusun batu-batuan untuk membina Kaabah. Berdiri bulu romaku kerana jalan mengelilingi Baitullah ini pernah dijejaki oleh kekasih Allah dengan tujuan yang sama. Aku meneka-neka di manakah agaknya pintu yang pernah digunakan oleh Rasulullah ketika dapat menyelesaikan pertikaian siapa yang lebih layak antara empat pembesar yang bertelagah meletakkan Hajrul Aswad. Peristiwa penting berkenaan terjadi pada tahun 16 sebelum Hijrah (606 Masehi) iaitu ketika suku Quraisy melakukan pemugaran Kaabah. Pada ketika itu hampir saja terjadi pertumpahan darah apabila empat kabilah dalam suku Quraisy bertegang leher mempertahankan pendapat masing-masing dalam perselisihan tentang siapa yang berhak meletakkan batu Ajrul Aswad pada tempatnya.

Di sinilah tempat berlakunya peristiwa pencerobohon Abrahah terhadap Kaabah sambil diperhatikan oleh penduduk Mekah melalui Jabal Kubis. Di sinilah juga sejarah tercatat apabila gajah Abrahah gagal untuk merobohkan bangunan batu ini.

Selesai Tawaf, kami berundur ke belakang Multazam. Aku menyelit dicelah ribuan tetamu Allah untuk menunaikan solat sunat. Tangan kudepa lebar untuk memohon doa semoga amalan kami diterima Allah, dosa diampunkan dan mohon agar kami akan dipertemukan di Syurga. Aku hilang malu untuk mengalirkan air mataku. Di sebelahku, aku melihat jemaah tua yang entah semacam dari Turki atau Oman yang terus menerus meraung sambil menghadap Kaabah menambahkan lagi sayu di hati ini.

Aku memohon doa semoga anak bongsuku selamat di UiTM Shah Alam, semoga sukses dalam pelajaran di samping menjaga tatasusila seperti yang dianjurkan Islam, begitu juga doa keselamatan dan keimanan kepada anak pertama dengan suami dan doa kesejahteraan dan keimanan untuk anak ke-2. Aku juga memohon agar anak-anakku dan menantu dijemput menjadi tetamu Allah dalam masa terdekat. 

Hari pertama di Mekah 19 Februari 2014 Rabu) 
 
Kami sekumpulan kecil bergerak ke kawasan Safa untuk memulakan saie. Berulang-alik sejauh lebih kurang 2.4 kilometer dengan isteri sebelah kiriku manakala Cikgu Mulyani di sebelah kananku. Cikgu Mulyani hanya menyertai isterinya pada ulang-alik ke-3. Selepas menghabiskan saie, kami berkumpul di kawasan batu di Marwah untuk bacaan doa. Kami selamat bertahalul jam 2.40 pagi.

“Ya Allah, aku memohon semoga engkau gugurkanlah segala dosa-dosaku selama ini, seperti banyak mana rambut yang aku telah gugurkan”, itulah doaku ketika bertahalul. 

Selepas selesai menyempurnakan rukun umrah, aku segera menghubungi ketiga-tiga anak kami di tanah air. Terasa lapang di dada ini selepas  berbalas SMS. Selesai itu, kami sepakat untuk balik ke hotel menukar pakaian dan kembali semula ke masjid bagi maraton iktikaf dan solat subuh. Aku memilih kawasan dataran Kaabah di mana aku mendepaninya di sepanjang solat sunat diselang-seli dengan rentetan doa yang agak panjang dengan pelbagai permintaan dan mengadu kepada-Nya.

Betapa besarnya kuasa Allah. Semasa berada di dataran kaabah, aku teringat bagaimana Rasulullah SAW berjuang untuk menghapuskan Jahiliyah Arab dengan memusnahkan 360 berhala yang terdapat di sekeliling Kaabah. Di sinilah peristiwa itu berlaku dan aku dapat membayangkan betapa cekalnya baginda berjuang demi melunaskan perintah Allah.

Oleh kerana hari ini acara bebas. Kami berada lebih lama di dalam masjid. Aku mengajak isteriku untuk bertawaf sunat. Allahu Akbar, perasaan sayu menyelinap ke seluruh jasad ini menyaksikan fenomena itu di depan mata. Dataran Kaabah tidak pernah kosong dengan orang bertawaf. Ada yang keluar selepas menghabiskan tawaf manakala yang lain berduyun-duyun  melakukan istilam bagi memulakan tawaf. Ruang Hijir Ismail tidak pernah kosong dengan tetamu Allah. Beberapa keping foto dirakam dari sudut atas masjid untuk kenangan.

Kami begitu teruja melihat mantari yang mula memancarkan cahayanya. Kami membaca Quran dan menunaikan solat dhuaa di masjid. Hari ini kami berdua balik makan selepas dzohor menyertai rakan-rakan lain di kafe hotel. Usai mandi bagi membersihkan diri, kami bertolak ke masjid sebelum asar. Acara bebas sepanjang hari membolehkan kami berlama di masjid dan hanya balik selepas solat isyak. Peluang kugunakan untuk menghantar baju ke pusat dobi berdekatan dengan kadar SR56.00.

Hari Ke-2 di Mekah Khamis 20 Februari 2014 (lawatan luar)

Selepas bersahur jam 3.00 pagi, aku bergegas membuat minuman milo dan bersahur dengan buah tamar dan roti manis. Selepas itu, aku mengajak isteri dan kakak ipar untuk pergi solat di masjid. Seperti kebiasaan, doa dibaca dimuka pintu bilik, memohon kami diberi rahmat dan kemudahan untuk solat di dalam masjid. Sepagi begitu, tetamu Allah telah ramai memenuhi jalan raya menuju ke Haram. Allahu Akbar ……. Betapa bersemangatnya tetamu Allah. Di jalan raya, kami berselisih dengan tetamu Allah yang berpakaian ihram dalam perjalanan balik  setelah melunaskan tawaf, saie dan tahalul mereka. Di muka mereka jelas terpancar kepuasan waima tampak keletihan.

Aku teringat kata-kata Ustazah Lilis ketika kursus umrah di Masjid Negeri yang dengan tegas mengingatkan kami agar membuat ibadat yang jarang kita amalkan ketika di Tanah Air.

Doa kubaca di hadapan Kaabah, “Ya Allah, aku pohon Ya Allah…perkenankanlah hajat kami, makbulkan doa kami. Sesungguhnya Kau memiliki apa yang di langit dan apa yang di bumi. Kau yang mengetahui apa yang ada di sanubariku. Kau yang Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih. Permudahkanlah urusan kehidupanku di dunia dan akhirat.

Usai solat subuh, kami bergerak balik untuk acara ziarah luar. Rombongan berkumpul di bawah hotel untuk menunggu ketibaan dua buah bas. Kami bergerak serentak ke Jabar Tsur. Di sana kami mendengar taklimat sejarah bukit tersebut daripada Habib Haji Ali. Syahdu rasanya bagaimana baginda memanjat bukit tersebut, bersembunyi dalam gua dalam usahanya meneruskan dakwahnya ke kota Madinah. Kemudian bas bergerak ke Arafah, tempat di mana jemaah haji berukuf di musim haji. Bas menuju keJabar Rahmah. Di Jabar Rahmah, kami membaca doa kesyukuran di kaki bukit. Dari atas kami menyaksikan panorama jam mekah dari kejauhan. Syahdu rasanya berada di puncak bukit ini. Tergambar bagaimana rasanya Nabi Adam dikatakan bertemu Hawa di kawasan ini setelah berpisah beratus tahun. Doa dipanjatkan agar diri ini akan dikekalkan hidup bersama dengan isteri tercinta sehingga ke akhir hayat.

Di sana, aku dapat membayangkan betapa ramainya jemaah haji bergerak ke Mudzalifah, kemudian bergerak mabit ke Mina. Aku membayangkan bagaimana agaknya baginda telah menyembelih 63 ekor unta, setiap seekor untuk satu tahun umurnya dan baki dari jumlah 100 ekor unta yang dibawa dari Madinah dan Yaman disembelih oleh Saidina Ali R.A.

Baginda meminta untuk mengambil sepotong daging dari setiap unta tersebut lalu dimasak, maka baginda dan Saidina Ali R.A memakan dan menghirup kuahnya. Sungguh syahdu mengenangkan sejarah itu. Bas kami bergerak ke Jaranah. Di sana aku menukar pakaian biasa dengan dua helai kain ihram. Usai solat tahaitul masjid dan solat sunat ihram, kami berkumpul di suatu lokasi. Kami berniat umrah sebelum bas bertolak ke Mekah.

Menurut sumber bacaanku, bermiqat di Jaranah pahalanya bersamaan dengan enam kali umrah. Oleh sebab telah masuk waktu dzohor, bas kami terus menghantar tetamu Allah ke hotel penginapan untuk makan tengah hari dan bersolat di hotel kerana risau melawan arus bertembung dengan tetamu Allah yang balik selepas zohor di Haram.

Kira-kira jam 2.40 petang, kami bertawaf bersama isteri Mulyani. Setelah selesai tahalul jam 3.30 petang, saya bersalin pakaian dan bergerak ke kawasan jemaah lelaki, manakala isteriku dengan isteri Mulyani bergerak ke kawasan jemaah wanita. Kain ihram yang dua helai itu aku masukkan ke dalam beg sandangku, sementara menunggu waktu asar. Aku terus berada di masjid sehingga lewat petang. Apabila waktu maghrib menjelang, aku mencari-cari kawasan seferah untuk tumpang berbuka puasa. Masyarakat Arab memangnya suka bersedekah, terutama pada hari Isnin dan Khamis. Alangkah enaknya berbuka dengan kopi arab dan buah kurma, sesuatu yang tidak pernah saya rasakan di tanah air walaupun sudah berpuluh tahun berpuasa. 

Saya balik ke hotel usai solat isyak untuk makan malam setelah bergabung dengan isteriku.   

Hari Ke-3 di Mekah Jumaat 21 Februari 2014

Rutin ketika di Madinah, kami teruskan ketika berada di Mekah. Tiap awal pagi, sebelum ke masjid, nasi telah siap ditanak untuk makan tengah hari. Jam 2.00 pagi saya dan isteri bergerak ke masjid tanpa kaka ipar .

Pagi ini kami sedikit awal bertandang ke masjid. Seperti telahan kami, jemaah sudah agak ramai memenuhi tiap sudut rumah Allah ini. Kami sepakat untuk mengerjakan tawaf tahaitul bait. Usai tawaf, aku memilih lokasi dekat jejambat bulat mendepani Kaabah manakala isteri ku ke kawsan lain namun telah berjanji untuk bertemu di suatu lokasi. Aku menikmati suasana pagi itu dengan membasahkan lisanku dengan zikir sehingga menjelang solat subuh. Aku berjaya merakam beberapa keping foto untuk kenangan di bawah jejambat bulat dekat Baitullah di belakang Maqam Ibrahim. Selepas subuh kami bertemu di kawasan kedai menjual aiskrim, dan balik bersama-sama ribuan tetamu Allah lain. Di perjalanan pulang selepas solat subuh, kami singgah membeli lauk  untuk makan tengah hari (Brost SR15.00 agak mahal mingikut telahan tetapi kandungannya 4 ketul ayam makanan memadai untuk mengeyangkan dua orang Malaysia tetapi seorang Arab). 

Setelah makan, kami menapak ke masjid sekitar jam 10.30 pagi kerana khuatir terperangkap dengan kesesakan. Kali ini aku memilih di kawasan bumbung masjid (roof top) yang tidak beratap. Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari dan hari cuti bagi Arab Saudi, tidak hairanlah masjid padat dengan umat Islam yang ingin bersolat Jumaat di dalamnya. Azan dilaungkan dikuti dengan khutbah yang menyentuh rasa waima aku tidak faham bahasa Arab yang dipertuturkan tetapi hati ini terasa bergetar oleh intonasi imamnya.

Selepas solat Jumaat, aku merapat ke kawasan pagar dan memerhatikan Baitullah dikelilingi oleh tetamu Allah yang tidak putus-putus melaklukan tawaf. Sempat merakam beberapa keping foto untuk kenang-kenangan kerana kawasan di mana aku berdiri ini akan dirobohkan sedikit masa lagi. Jika ada tetamu Allah yang pernah berkunjung ke sini di masa lalu bercerita mengenai kawasan ini, dan berkunjung ke sini di masa akan datang, suasananya tidak mungkin akan sama lagi. Bentuk binaan bangunannya berkemungkinan seratus peratus akan berubah.

Selepas itu aku turun ke kawasan permulaan tawaf bulatan yang melingkari Baitullah. Aku meneruskan iktikaf di kawasan tersebut sehingga selepas isyak. Aku menanam azam untuk membawa isteriku tawaf di atas bulatan Mataaf. Kami bergabung di suatu lokasi yang dijanjikan untuk meneruskan marathon iktikaf sehingga jam 10.30 malam.

Hari Ke-4 di Mekah Sabtu 22 Februari 2014 (Lawatan Ke Ladang Unta)

Rutin harian seperti bangun seawal pagi, pulang lewat jam 10.00 malam menjadi rutin harian. Air zam-zam menjadi minuman utama di sini. Setiap kalil berkunjung ke masjid, kami membawa botol air meineral kosong untuk diisi dengan air zam-zam bagi keperluan yang dipesan kakak ipar Kampung Surapit.

Pagi hari tersebut kami lakukan tawaf tahaitul bait seperti sebelumnya. Selepas sunat solat tawaf, aku meneruskan dengan solat hajat memohon agar Allah memperkenankan aku memasuki Hijir Ismail. Doaku diperkenankan, aku hanya mampu berdoa di dalam Hijir tanpa solat sunat kerana tetamu Allah berbondon-bondon masuk ke Hijir pagi itu. Terlalu ramai dan terlalu padat untuk bersolat. Hari ini rombongan Nur Multazam memgadakan ziarah ke Muzium Mekah dan Ladang Unta dan seterusnya bermiqat di Hudaibiah. Aku dan isteri mengambil keputusan untuk tidak menyertai ziarah kerana merasa sayang untuk meninggalkan solat di dataran Baitullah. Begitu juga dengan rombongan ke Jeddah, kami telah membatalkan niat untuk tidak menyertainya.

Selepas solat dhuaa, kami berdua bergerak ke Kompleks Safwah kerana teringin merasa makanan Malaysia. Kami memesan mee SR12.00 berkongsi kerana sukar untuk menghabiskan seorang diri, milo sejuk SR8.00 dan tea panas SR3.00. Selepas itu kami membeli buah tangan seperti minyak wangi, sedozen pantis. Kami menapak ke hotel untuk menghantar buah tangan dan mengisi perut sebelum bergerak semula ke masjid.

Kami makan tengah hari di bilik sebab nasi telah kami tanak di awal dinihari sebelum bertolak ke masjid. Kami berdua menapak ke masjid  pada jam 11.20 pagi dan hanya balik ke hotel (9.30 malam) selepas isyak dan bertemu di suatu kawasan yang kami janjikan, depan pinta Bin Dawood di kedai menjual airkrim.

Ahad 23 Februari 2014

Usai mandi dan menanak nasi,  aku dan isteri melakukan tawaf 3.05 pagi. Sempat mendekati Baitullah, aku dapat melihat pintu Kaabah yang dibuat dari emas tulen, di mana sejak berabad yang lalu pintu Kaabah memang masih berbentuk lama. Pada tahu 1363 Hijrah atau tahun 1943 Masehi, pintu Kaabah telah dibaiki oleh Raja Abdul Aziz, namun tanpa menggunakan emas. Kemudian pada tahun 1977 Masehi iaitu pada zaman Raja Khalid bin Abdul Aziz mulai timbul ilham diadakannya pembauran. Ilham itu timbul pada bulan Jamadil Akhir tahun 1397 Hijrah ketika Raja Khalid bin Abdul Aziz berkunjung dan bersolat dalam Kaabah. Dengan pekenan Allah, aku dapat menyelit ke dalam Hijir sekali lagi. Aku berada betul-betul di bawah pancur emas.

Tanpa membuang masa aku mendepa tangan merintih sambil memanjatkan doa pribadi kepada Allah. Sambil menyapu air mata yang sudah tidak dipantan lagi, sesekali aku mengucup kelambu Kaabah. Wanginya. Di kiri kanan aku diapit oleh dua warga Arab yang berbadan sasa. Mereka juga kedengaran meraung dan meratap. Apabila menyedari aku tidak mampu solat di kawasan tersebut kerana sesak, aku meninggalkan Hijir dengan berendam air mata. Aku hilang malu kerana orang lain pun sama sepertiku.

Selepas dhuaa, aku mendapatkan isteri di pintu 89 dan mengajaknya tawaf sunat di bulatan atas. Jelas kelihatan manusia begitu padat memenuhi segenap inci dan seluruh sudut Kaabah. Amat syahdu memerhatikan jelas kelihatan tetamu Allah berdoa di Hijir Ismail. Abdullah bin Abbas juga meriwayatkan bahawa Hajar Aswad adalah batu yang berasal dari syurga, tidak ada sesuatu selain batu itu yang diturunkan dari syurga ke dunia ini. Riwayat-riwayat di atas disebutkan oleh Abu al-Walid Muhammad bin Abdullah bin Ahmad al-Azraki (M.224 H/837 M), seorang ahli sejarah dan penulis pertama sejarah Mekah. Aku sempat merakam foto di bulatan tersebut.

Oleh kerana tidak menyertai lawatan ke Jeddah, kami bergerak ke kompleks Safa untuk kali ke-2. Aku memilih untuk makan murtabak dan roti parata (roti canai), tetapi kuahnya terpaksa dibeli berasingan. Aku memilih kuah kari kambing SR10.00.  Selepas itu, kami menapak balik ke hotel untuk mencuci pakaian kelmarin.

Jam 11.00 pagi, kami bergerak semula ke Masjid selepas mengalas perut dengan nasi dan ayam panggang. Kali ini aku memasuki Masjidil Haram melalui pintu 91 dan mendapati pintu tersebut dekat dengan tandas lelaki. Di hadapan tandas lelaki pula merupakan ruang masuk ke Supermarket BinDawood.

Jam 9.35 malam, barulah kami balik ke hotel setelah bertemu isteri di kawasan yang dijanjikan seperti malam-malam sebelumnya. Seperti biasa, kami menapak setapak-setapak kerana tetamu Allah begitu ramai untuk pulang ke hotel masing-masing.

Isnin 24 Februari 2014

Seawal jam 2.10 pagi, aku bergegas bangun dan untuk mengajak isteri untuk pergi solat di masjid. Seperti kebiasaan, doa dibaca dimuka pintu bilik, memohon kami diberi rahmat dan kemudahan untuk solat di dalam masjid. Jam 3.12 pagi bergerak ke masjid selepas mengemas barang ke dalam tiga beg sederhana besar.

Selepas solat dhuaa, kami ke kompleks Safa kali ke-3 untuk bersarapan dan membeli buah tangan. Membeli 3 keyholder, baju bapa mertua anakku, dan sejadah untuk isterinya serta beg galas isteri. Aku bergerak ke kompleks BinDawood untuk mewakafkan dua kerusi SR70.00 (anakanda MRSM) dan meninggalkannya di ruang jemaah wanita melalui pintu 91. Jam 10.02 balik ke hotel dan mendengar ada jemaah wanita rombongan Nur Multazam (adik ipar kepada Hajah Halimah Sulaiman) yang meninggal dunia. Aku membaca papan kenyataan yang meminta jemaah berkumpul di ruang makan untuk taklimat widak dan tahlil.

Selepas asar kami balik ke hotel untuk menyertai majlis tahlil dan taklimat tawaf wida. Selepas tahlil kami bergerak ke masjid dalam kesesakan jemaah yang bertandang ke masjid. Aku naik ke ruang bumbung masjid untuk solat maghrib dan isyak, dan dapat menyaksikan panorama lampu di jam besar bertukar kehijauan apabila azan dilaungkan. Alangkah indahnya menyaksikan panorama itu di depan mata. Beberapa foto dirakamkan di situ. Dikhabarkan, cahaya hijau itu menjulang ke angkasa dan mampu dilihat dari kejauhan 15 kilometer. Kami makan malam di tingkat satu dan turun semula untuk meratah kambing aqiqah pada jam 10.20 malam. Oleh kerana tidak mampu menghabiskan daging kambing tersebut, aku membawanya balik ke bilik hotel.




Selasa 25 Februari 2014 (Hari terakhir)

Seawal jam 3.05 pagi, aku bergegas bangun dan untuk mengajak isteri bersolat di masjid. Lima beg sarat dengan pakaian dan buah tangan diletak depan pintu hotel untuk dikutip oleh pekerja hotel. Seperti kebiasaan, doa dibaca dimuka pintu bilik, memohon kami diberi rahmat dan kemudahan untuk solat di dalam masjid.

Di lokasi lampu hijau, aku dan isteri berniat tawaf sunat. Setiap pusingan, tarbiah Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar tidak putus-putus dibaca. Di setiap pusingan dikhaskan untuk diri sendiri, isteri, anakku yang menunggu di Syurga (Wan Sajidah), anak yang bertugas di MRSM serta menantu, anak ke-2 dan anak di UiTM dan terakhir untuk keluarga terdekat serta rakan taulan. Ya Allah ampunkanlah dosaku Ya Allah. Ampunkanlah dosaku kepada kedua ibu bapaku. Ampunkanlah dosaku kepada isteriku. Ampunkanlah dosaku kepada anak-anakku. Ampunkanlah dosa dosa guru-guruku Ampunkanlah dosa jiran-jiranku Ampunkanlah dosa sahabat-sahabatku Ya Allah. Itulah doa kubaca setiap kali melalui antara rukun Yamani sebelum ke lokasi Hajrul Aswad. Hati bagaikan disentap-sentap, sayu, sedih, syahdu dan pelbagai rasa menyelubungi seluruh jiwa dan perasaan. Aku dan isteri berkampung di kawasan Multazam untuk solat sunat dan berdoa dan terus berdoa. Setelah azan subuh, isteriku bergerak ke kawasan wanita, manakala aku solat subuh betul-betul di hadapan tembok Hijir Ismail.

 Aku hanya balik ke hotel selepas solat dhuaa, untuk mandi. Selepas sarapan di bilik, aku turun semula ke kedai bawah hotel untuk membeli susu tepung SR18.00 setin dan membeli bross SR15.00 serta burger ayam SR5.00. Keputusan membeli makanan tersebut dibuat kerana kami memutuskan untuk melakukan tawaf wida selepas waktu dzohor, walaupun semasa taklimat, kami diminta melakukan tawaf wida selepas asar.

Jam 10.45 kami menapak ke Masjidil Haram melalui pintu 91 di tingkat atas. Isteriku kuhantar ke kawasan wanita manakala aku ke ruang solat lelaki dan menetapkan akan bergerak ke Baitullah jam 2.20 petang. Seperti yang kami perhatikan sejak beberapa hari lalu, selepas waktu dzohor, pergerakan jemaah keluar amat padat kerana mereka hendak makan tengah hari. Kami membiarkan pergerakan tersebut reda dan menunaikan beberapa solat sunat sebelum bergerak ke Baitullah.

Meninggalkan bumi ambia

Selepas zohor, kami bedua menunaikan tawaf wida. Solat terakhirku di Multazam merupakan kemuncak kesyahduan ku. Entahkan bila lagi aku dapat merenung Baitullah seperti beberapa hari yang telah aku lalui. Aku merenung Baitullah sepuas-puasnya. Sedih, pilu dan sayu menyelimuti seluruh perasaanku. Tidak tergamak rasanya berpisah dengan Baitullah. Terlalu berat rasanya kaki ini hendak melangkah pergi. Isteriku yang memahami situasi itu bijak memujuk dengan janji untuk bertandang lagi di tahun-tahun mendatang. Air mata jatuh di lantai, dengan doa terakhir semoga aku dijemput sebagai tetamu Allah pada kunjungan berikut-berikutnya. Jangan dijadikan kunjungan itu yang terakhir buatku dan isteri. Mudah-mudahan kunjungan berikutnya adalah untuk menunaikan Haji pula.

Setelah minum air zam-zam dan menyapunya di seluruh muka, terasa dadaku yang semakin menyesak, Aku dan isteri meninggalkan dataran Kaabah. Aku menoleh dan terus menoleh sambil pipi ini dibasahi dengan linangan air mata. Aku terus menoleh sehingglah bangunan Kaabah tidak kelihatan lagi. Namun kaki ini terasa berat dan longlai untuk melangkah pantas meninggalkan Baitullah.

Rindu terhadapmu Baitullah tidak akan pernah padam. Aku akan terus merindui saat-saat manis minum Air Zam Zam di hadapan Kaabah sambil berdoa diberi kesihatan, ilmu yang bermanafaat dan rezeki yang luas.

Rindu dendam terhadap kedua kota itu membara. Maka tidak hairanlah jika ungkapan-ungkapan yang dikemukakan berkait rapat dengan rasa cinta semasa di sana dan bersambung dengan rasa rindu akibat perpisahan tersebut. Memori sepanjang berada di Mekah dan Madinah kusulam indah jauh di sanubari ini.

Hiba hati kerana terpaksa meninggalkan Tanah Suci. Semoga Allah Azzawajalla memberi peluang kepada hamba-Nya ini untuk menjadi tetamu-Nya di masa akan datang.

Seperti yang dijanjikan, kami menaiki bas kira-kira jam 5.00 petang, selepas menunaikan solat asar di bilik hotel. Semasa di dalam bas, kami dapat memerhatikan tetamu Allah dari rombongan kami yang menunaikan tawaf wida selepas asar berkejar-kejar ke hotel penginapan. Ada yang menaiki bas dengan keringat masih membasahi baju yang dipakai, tidak kurang pula yang tidak sempat menukar pakaian kerana takut terlewat.

Bas kami meninggalkan hotel pada jam 6.00 petang menuju ke Jeddah, lewat hampir sejam seperti yang dijadualkan. Bandar Jeddah adalah bandar kedua terbesar di Arab Saudi, selepas bandar raya Riyadh. Bilangan penduduk Jeddah kini berjumlah 3.4 juta orang. Jeddah dianggap sebagai pusat komersil Arab Saudi dan bandar raya paling makmur dan mewah diTimur Tengah. Jeddah diasaskan sebagai perkampungan nelayan lebih daripada 2,500 tahun yang lalu. Perkampungan tersebut hanya mendapat perhatian dalam tahun 647 Sebelum Masehi apabila Khalifah Uthman ibn Affan menggunakan pelabuhan di Jeddah sebagai pelabuhan singgah untuk jemaah haji.

Mutawif yang mengetuai rombongan kami membaca doa menaiki kenderaan dalam nada yang memilukan. Bijak beliau merobek-robek hati tetamu Allah yang sedang dalam kesayuan. Beliau memberi taklimat penerbangan dan memohon maaf bagi pihak pengurusan seandainya terdapat kepincangan sepanjang berada di Madinah dan Mekah. Bagiku taklimat itu tidak membawa makna apa-apa kerana aku sedang melayan perasaan rindu dendamku terhadap solatku di Haram, air zam-zam dan tawafku di dataran Kaabah. Aku memandang menara jam yang cahayanya menjulang ke angkasa sehingga ia tidak kelihatan.

Rombongan singgah di masjid terapung Jedah untuk Maghrib dan menunaikan solah Isyak di situ. Kami meneruskan aktiviti dengan makan malam di kawasan Masjid Terapung. Aku tidak berselera untuk makan nasi, malahan hanya makan burger yang kami beli siang tadi. Nasi, aku bawa bekal untuk di pesawat nanti.

Kami menuju ke terminal haji untuk daftar masuk. Sebaik saja bas berhenti, kami mengeluarkan barang masing-masing menuju ke kaunter masuk. Rombongan lain seperti KRS, Tabung Haji dan Andalusia dan beberapa rombongan lain berbaris untuk mendapatkan tiket masing-masing. Aku sekali lagi secara sukarela membantu memasukkan sebahagian barangan tetamu Allah. Sekali lagi lensa kameraku dapat merakamkan suasana di Terminal Haji yang dilukiskan dengan pelbagai watak dan perasaan.

Saat duka menaiki pesawat.

Ketika menaiki pesawat (Boeng 747 Saudi Arabia),  meninggalkan Jeddah jam 2.20 pagi, rasa rindu semakin menyeksa. Air mataku berderai membasahi beg sandang yang aku peluk. Betapa hibanya perasan ini, seolah-olah aku tidak sanggup berpisah dengan kekasih Allah yang disemadikan di bawah kubah hijau di Masjid Nabawi.  Ia pengalaman yang sukar digambarkan. Aku juga dapat rasakan, isteri di sebelahku  juga memendam perasaan yang sama. Hanya selepas beberapa lama di udara, barulah isteriku melayan seorang wanita yang duduk di sebelahnya. Beliau dari rombongan Tabung Haji berasal dari Negeri Johor.

Ia pengalaman terindah yang sukar diungkap dengan kata-kata. Andainya dibuat nukilan, sekajang kertas pun belum tentu cukup bagi mencoret perincian pengalaman berada di dua kota suci tersebut. Hati bergetar, sangat berdebar. Ia suasana yang sangat-sangat berbeza, hati dan perasaan. Ketika dalam keadaan berihram. Dua helai kain putih yang tidak berjahit itu membawa pelbagai perlambangan. Tergambar betapa di Padang Masyar nanti, semua manusia mempunyai darjat serupa, tidak seperti di dunia fana yang mengkategori insan dengan pelbagai pandangan.

Hati terasa hiba kerana tidak lagi boleh solat jenazah seperti selalunya kerana mengikut hadis riwayat Muslim, barang siapa menyembahyangkan jenazah maka baginya satu qirat pahala. Dan apabila beliau turut serta menyaksikan pengebumiannya, maka baginya dua qirat pahala. Pabila Rasulullah ditanya mengenai qirat. Satu qirat itu seperti besarnya Gunung Uhud.

Pesawat Saudi Arabia mendarat di KLIA jam 3.40 petang waktu tempatan. Sebaik saja memperoleh semua barang milik kami, kami bersegera mengambil wuduk untuk qada solat subuh dan solat jamak zohor asar serta sujud syukur. Tetamu Allah kelihatan keletihan, akan tetapi di wajah masing-masing tergambar rasa puas, puas beriktikaf di dua masjid suci. Aku melapor diri kepada Puan Siti Sulhayati untuk tidak menyertai penerbangan balik ke Kota Kinabalu, walau pun tiket penerbangan ada disediakan, kerana hendak singgah di Kuala Lumpur untuk bertemu anak bongsu kami. Ini merupakan kunjungan ke Kuala Lupur kali ke-2 tahun 2014. Aku menerima SMS dari anak bongsu kami, bahawa beliau telah mengurus hotel penginapan kami di ibu kota (Hotel Citin bilik 408 - RM 109.00). Hotel ini kerap menjadi pilihan keluargaku jika berada di Kuala Lumpur kerana loksainya yang amat dekat dengan Masjid India dan Masjid Jamek, disamping berdekatan dengan tempat menjamu selera di sekitarnya. Setelah menghimpun tiga beg yang kami kirimkan melalui Cikgu Mulyani, dan membawa dua lagi beg, kami bersalaman dengan teman serombongan dan segera beredar mencari lokasi bas transit ke ibu kota, untuk bermalam di Kuala Lumpur bagi menziarahi anak bongsuku di UiTM. Sedikit lucu apabila mengenangkan diri ini masih mengenakan jubah putih menaiki bas transit.

Menyantuni anak-anak (26 Februari)

Dari KL Central, kami menaiki LRT ke Masjid Jamek.  LRT agak sesak tetapi dengan izin-Nya,  ada insan-insan prihatin yang membuka ruang untuk kami memperoleh kerusi. Jam 8.05 malam, kami mendaftar masuk di  bilik 408 Hotel Citin Jalan Masjid India. Adik menyertai kami sekitar jam 9.25 malam, kami bertiga menghabiskan bross (KFC Saudi Arabia) dan nasi yang kami beli di Jeddah. Kami berkongsi kenangan manis bersama anak bongsuku. Dinihari sahabat Cikgu Mulyani menghubungiku mengenai ketibaannya di Kota Kinabalu dan mengkhabarkan yang tiga bagasi kami telah dituntut oleh anak buah isteri Wan Mohd Saufi yang tinggal di Taman Semplang Kota Kinabalu.

Keesokan harinya, 27 Februari, kami bertiga berpindah ke Hotel Orchid (bilik 404) Jalan Masjid India untuk tempoh 4 malam (RM520.00). Kami bertiga keluar membeli barang keperluan adik di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman. Alhamdulillah, dengan izin-Nya kami beroleh sedikit rehat sambil mengenang momen-momen di dua kota suci yang masih terbayang di ruang mata. Bayangan Baitullah amat sukar untuk dilupakan dari peti ingatan ini. Pagi 28 Februari, isteri dan anak bongsuku bergerak ke Shah Alam untuk membersih dan menyusun rumah sewa anakku. Aku rehat berseorangan di hotel sambil menyemak Kad Memori telefon bimbit dan kamera  SLR Nikon. Pada sebelah petangnya, kami bergabung semula. 

Jam 11.30 malam (28 Februari), aku dan isteri menjemput anak keduaku di LRT Masjid Jamek yang tiba dari Kota Kinabalu untuk menyertai percutian kami di ibu kota. Kami berempat berkongsi kenangan manis sewaktu ibadah umrah kami suami isteri.  Dengan restu-Mu Ya Allah, Engkau satukan kami setelah beberapa hari terpisah. Anak bongsu kami bergerak dengan LRT ke Shah Alam selepas maghrib 2 March untuk meneruskan kuliahnya. Beliau dibekalkan beberapa oleh-oleh dari Mekah. Kami tiga beranak  meneruskan percutian keluarga di ibu kota. Anak kedua bergerak ke KLIA (jam 5 pagi 3 March) dengan menumpang teksi kenalan kami untuk penerbangan balik ke Kota Kinabalu.

Tengah hari, 3 March, kami berdua berpindah semula ke Hotel Citin kerana telah menempah sejak sebelum berlepas ke Tanah Suci. Kami balik ke Kota Kinabalu pada 4 March setelah 6 malam berada di Kuala Lumpur.

Dalam kenangan

Aku mengimbas kembali memori berada di Masjid Nabawi, tentu sekali terus-terusan merasai kerinduan terhadapnya. Rindu untuk berada sedekat mungkin dengan makam Rasulullah SAW serta terasa amat pilu di hati ini kerana tidak lagi dapat menatap Baitullah seperti selalunya. Ramai orang begitu. Benar, ia hanya simbol hati dan perasaan, akan tetapi tidak lengkap dengan hanya merindui tanpa berusaha menggumpul dana untuk ke sana buat beberapa kalinya, selagi Allah masih meminjamkan kudrat, usia dan rahmat-Nya. Aduh ….. sungguh menusuk hati kerinduan tersebut.

Kerinduan bertawaf sambil memandang Baitullah mengetuk peti mindaku. Betapa luluhnya perasaan ini andainya kunjungan singkat itu merupakan kunjungan yang penghabisan buatku, akan tetapi di hati ini berdoa agar dijemput untuk kunjungan yang berikut-berikutnya. Aku menanam azam untuk menabung bagi membolehkan kunjungan berikut boleh disertai oleh anak-anak dan menantu.  Aku mahu mereka kelak akan menangung kerinduan seperti peritnya kerinduan yang aku alami saat ini. Aku mahu mereka berada sedekat-dekat mungkin dengan jasad kekasih Allah itu dan merasa kesyahduan bertawaf di dataran Kaabah. Apalah adanya dengan kos RM 6,950.00 yang aku belanjakan jika dibandingkan dengan pahala yang cuba kurebut seperti yang Allah janjikan tatkala berziarah ke kota suci-Nya. 

Moga-moga pertemuan ini termasuk dalam hadith: ”Tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan-Nya, antaranya dua lelaki yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah”

Kepada pemilik Nur Multazam dan rakan-rakan, jutaan terima kasih kerana berkorban menyumbang dua botol air zam-zam lantaran masaalah teknikal di KLIA. Nescaya budi kalian akan dibalas dengan keredhaan Allah jua. Kepada rakan serombongan, kami berdua memohon maaf.  Andai ada perlakuan yang tidak berkenan di hati kalian, kami memohon agar memori itu ditinggalkan di dua kota suci Allah. Moga hanya kenang-kenangan yang terindah sahaja yang kita sematkan di peti minda kita. Kepada para pembaca, nukilan ini bukan untuk membangga diri, tetapi hanya sekadar berkongsi semangat dan pengalaman manis di Tanah Suci.

Terima kasih