Thursday, November 17, 2011

46,012 calon UPSR 2011 dapat semua A

Khamis 17 November 2011, keputusan UPSR telah diumumkan. Menyedari keputusan yang tetap tidak memihak kepada Negeri Sabah yang sentiasa uncit dalam kebanyakkan peperiksaan awam, sudah tiba masanya kita orang-orang Sabah melakukan perubahan drastik dan terancang untuk memperbaiki situasi genting ini.

Sebagai pemerhati dari luar yang hanya mampu membuat komen di dalam blog, saya melihat banyak lompangnya dalam menangani isu pendidikan negeri ini. Saya gariskan sedikit cara merubah situasi tersebut menurut kaca mata saya sendiri. Antara caranya ialah:

1.Penglibatan ibu bapa
2.Perubahan sikap pentadbir sekolah
3.Komitmen guru di sekolah.
4.Pihak atasan

1.Penglibatan ibu bapa

Ibu bapa tidak seharusnya melihat dari jauh akan perkembangan sekolah, bukan setakat datang ke sekolah ketika anak ada masalah disiplin, tetapi datang meluangkan masa ke sekolah bertanyakan khabar perkembangan pembelajaran anak-anak sekurang-kurangnya sekali sebulan. Jangan menyerahkan 100%  hal akademik kepada pihak sekolah dengan alasan guru diberi gaji untuk mendidik anak-anak. Cuba kita perhatikan, mengapa ketika sekolah mengagihkan wang bantuan dari kerajaan RM100 tiap murid, kereta berbaris hampir 2 kilometer di setiap sekolah yang mengadakan pengagihan wang tersebut, akan tetapi lengang pada hari-hari biasa. Mengapa sanggup berkorban ambil cuti rehat ketika pengagihan wang bantuan, tetapi tidak mahu bercuti di hari lain untuk tujuan mengetahui perkembangan pelajaran anak-anak? Tepuk dada tanya selera.

Saya cadangkan agar setiap ibu bapa mengetahui perkembangan anak-anak ketika di rumah dengan bertanyakan pelajaran mereka setiap hari, curi-curi selongkar buku-buku mereka ketika mereka sudah tidur, berikan kerja rumah tambahan, belikan buku-buku tambahan, buatkan jadual belajar di rumah (petang untuk buat kerja rumah dari sekolah, malam untuk kerja rumah yang diberi oleh ibu bapa).

Cubalah untuk berbelanja lebih sedikit untuk membeli keperluan pembelajaran anak-anak (buku rujukan) seperti mana anda tidak pernah terlepas membelanjakan tidak kurang dari RM30 sebulan untuk membeli topup telefon bimbit.

Ubahlah sikap menyalahkan guru seperti berbangga dan menjaja cerita di mana-mana apabila seseorang ibu bapa itu datang ke sekolah untuk memarahi guru hanya kerana kesalahan kecil seperti mencubit, mendenda mahupun menengking anak-anak. Sedarlah bahawa jika guru yang telah terluka hatinya, sudah tentu tidak akan ikhlas mengajar anak-anak kepada ibu bapa yang menguris hati mereka. Akibatnya anak-anak kita tidak akan dapat manfaat seperti yang sepatutnya.

Berhentilah menyalahkan guru apabila anak-anak tidak mencapai keputusan baik dalam mana-mana ujian tetapi sebaliknya menguar-uarkan anak-anak sendiri yang pandai jika mencapai keputusan ujian yang memuaskan.

Aturkan jadual semasa anak-anak bercuti di hujung tahun untuk persediaan menghadapi pelajaran di tahun mendatang, bukan sekadar selesa membiarkan mereka tanpa aktiviti yang terancang.

2.Perubahan sikap pentadbir sekolah

Saya berseru kepada pentadbir sekolah, agar lebih prihatin akan perkembangan setiap murid. Saya tidak  menafikan ada pentabir yang begitu komited dengan sekolahnya. Ternyata keputusan sekolahnya jauh berbeza dengan sekolah lain.

Wahai pentadbir, janganlah duduk di pejabat sahaja untuk memerhatikan guru-guru di bawahmu mengajar. Sekali sekala aturkan jadual untuk keluar memantau dan masuk kelas bagi mengetahui keadaan yang sebenarnya. Ambil inisiatif untuk mengajar mata mata pelajaran teras bukan mengajar mata pelajaran yang mudah untuk mengetahui cabaran guru.

Soalan yang perlu dijawab, mengapa dalam kegiatan ko-kurikulum sekolah Sabah boleh menjadi juara di peringkat kebangsaan? Oleh itu kita juga mampu juara di peringkat kebangsaan di bidang akademik.

Wahai pentadbir dan guru-guru, cuba praktikan untuk mengadakan kelas motivasi pelajar di awal tahun bukan di saat murid bakal menghadapi UPSR, itu sudah terlambat namanya.

3.Komitmen guru di sekolah.

Komitment guru di setiap sekolah perlu dilipatgandakan, Kalau boleh mengajar dan menghabiskan sukatan pelajaran sehigga hujung bulan Ogos tiap tahun dan menghabiskan masa dua bulan berikutnya untuk mengajar pelajaran yang akan pelajar tempuhi di tahun mendatang. Contohnya menghabiskan sukatan pelajaran tahun 5 sehingga bulan Ogos dan mula mengajar pelajaran tahun 6 dua bulan berikutnya. Jika ini dibuat berterusan, saya melihat apabila murid itu berada di tahun 6 nanti, gurunya hanya perlu mengulangkaji dan memberi latih tubi sebagai persediaan menghadapi UPSR.

4.Pihak atasan

Cuba cari jalan penyelesaian dari segi prasarana untuk menghadkan tidak lebih 35 murid di tiap kelas. Kelas yang terlalu padat menyukarkan kepada guru untuk melaksanakan pengajaran yang efisyen. Terbukti MRSM dan Sekolah Berasrama Penuh mampu mencapai keputusan cemerlang kerana bilangan murid di tiap kelas tidak lebih 35 orang.

Kesimpulannya.

Apa-apa pun itu bergantung kepda sekolah, pentadbir dan guru-guru. Saya percaya jika ada usaha yang lebih jitu, tentu kejayaan akan berada di tangan tuan-tuan. Janganlah berada di kepompong dunia yang selesa yang hanya masuk ke kelas untuk mengajar tanpa perlu membuat kerja lebih. Kerja lebih untuk murid bukan untuk guru. Guru hanya perlu mengarahkan murid untuk membuat kerja rumah dan memeriksanya pada keesokkan harinya, bukannya membiarkan murid balik ke rumah tanpa sebarang kerja.

Apa-apapun jika murid tidak mencapai 5A UPSR, itu bukan kegagalan, kerana UPSR bukan penentu segala-galanya. Kepada ibu bapa, masih ada ruang untuk memperbaiki mana yang lompang agar anak-anak lebih berjaya di PMR, SPM dan STPM nanti.