Tuesday, December 5, 2023

Travelog marathon ibadah, tidak travelog riadah (10-23 Nov 2023) 26 Rabiul Akhir-07 Jamadil Awal 1445 H

 Assalamu Alaikum,


Dengan rasa rendah diri, aku membulatkan niatku untuk berkongsi sekelumit rencah pengalaman yang tidak seberapa. Aku merujuk Surah at-Taha ayat 102, Hadis Abu Said r.a berkait rapat dengan amaran Rasulullah kepada para sahabat baginda, “Bagaimana aku boleh bersenang-lenang sedangkan Malaikat Israfil (yang ditugaskan untuk meniupkan sangkakala) telah meletakkan sangkakala pada mulutnya, telinganya mendengar arahan Allah untuk meniup sangkakala tersebut ….. (peringatan betapa kiamat itu semakin dekat dan berlaku bila-bila masa sahaja). Oleh itu, di usia emasku, aku berfikir betapa masa untuk  aku melakukan ibadah semakin suntuk. Mari kita renung-renungkan, jika dihitung dengan usia sebenar, usiaku sudah mencapai tujupulahan kerana perbezaan tahun Masihi dengan Hijri iaitu 365 Masihi 354 Hijri (beza 11 hari).

 

Lantas aku bertekad mengajak suriku untuk  mengunjungi tanah suci selagi kudrat termampu, memanfaatkan reziki-Nya  dan selagi roh masih bersatu dengan jasad, dengan tujuan untuk beribadah secara maksimum tanpa gangguan.

 

Tiap usai solatku, aku melangitkan doa ini,  “Ya Rabb, janganlah Engkau jadikan kunjungan kami  ke Tanah Suci-Mu ini bukan yang terakhir kali.  Engkau jemputlah kami untuk kunjungan-kunjungan yang berikut-berikutnya.”

 

Travelog ini bukanlah yang terbaik untuk diceriterakan lantaran di luar sana, banyak lagi travelog yang paling unggul.  Ia juga bukanlah yang terhebat untuk dijadikan sandaran iktibar, juga bukan untuk ujub atau menunjuk-nunjuk, namun niatku hanya sekadar berkongsi detik-detik indah beribadah di kedua-dua kota suci-Nya. Aku hanya bersandarkan betapa besar ujian yang aku hadapi di saat-saat akhir riwayat ini sebelum dipanggil ke pangkuan-Nya.

 

Dalam travelog ini, aku tidak berniat mensensasi cerita, melainkan mengharap sepenuh redha-Nya. Pengalamanku cuma sedikit berbanding dengan ribuan pengalaman hebat di luar sana, tetapi tetap berbesar hati untuk berkongsi rencah cicah beribadah di dua kota yang menjadi dambaan jutaan manusia. Aku wakafkan travelog ini andai ada sesiapa yang ingin mengamal sebarang doa, meniru santunan mahupun mencontohi amalan kami yang tidak seberapa ini. Apa-apa yang aku lalui mungkin hanya terpakai untuk diri kami dan dengan harapan akan menjadi panduan kepada mereka yang berhajat.


Misi kami

Bertekad untuk :

1.Menunaikan ibadah yang jarang dilakukan di tanah air (pesanan Ustazah Lilis Mulyani)
2.Maraton selawat sebaik saja melabuhkan punggung di dada pesawat dan sepanjang berada di Madinah)

3.Maraton dzikir (tasbih, tahmid dan takbir) ketika di Mekah
4. Memohon keampunan segala dosa-dosa dan dihimpunkan bersama keluarga di Jannatun Naim

5. Solat syukur bila tiba di Madinah, Mekah, dan di mana-mana kesempatan.
6.Infaq
7.Puasa sunat.
8.Marathon solat-solat syukur, taubat, hajat, tahajud, witir dan dhuaa
9.Merebut peluang untuk berdoa di beberapa tempat mustajab doa.

Aku mulakan travelog ini dengan tiga rangkap pantun yang berpembayangkan bahasa ibundaku ;

Burung Pimping ekong terluka,
Luka pantan tak samana-mana;
Hati di dalam beraduk duka,
Rindu menebal untuk ke sana.

Anak punai di Padang si Bedah,
Anak karuat cucu lingsa;
Kutanam di hati menganyam ibadah,
Adakah hayatku masih bersisa?

Jaraya kampung tidak rata,
Bahabuk bapasir dalam lupaknya;
Kutinggal rakan, anak dan harta,
Setelah Dia mengutus jemputan-Nya.


Manasik umrah di dewan PPS

 

Kami hanya melakukan persiapan ala kadar, kerana tarikh 22 Disember masih terlalu jauh.  Kami juga merancang untuk mengisikan bagasi  dengan pakaian makanan ringan, sedikit ubat-ubatan, dan serba sedikit produk makanan, barang-barang infaq  (bilis mata biru, kopi Tenom, udang kering) yang kami hajatkan untuk diinfakkan kepada kenalan di Madinah dan Mekah, bukan setakat rakan permastautin, malahan kucing pun akan  memperoleh tempiasnya.

 

Hati berbunga-bunga mendengar taklimat manasik umrah yang diadakan pada Ahad 22 Oktober 2023 di Dewan PPS Sembulan. Para Duyufurrahman akan bermalam semalam di Brunei Darussalam sebelum berlepas ke Jeddah dan bermalam sekali lagi usai ibadah umrah. Di PPS aku berkenalan dengan jemaah yang juga berasal dari daerah Papar dan kenalan dari Tuaran serta menyapa rakan (Tuan Taulani) yang pernah sama-sama membuat liputan akhbar ketika masih bertugas sebagai penjawat awam.

 

Syukur Ya Allah, Engkau maha mendengar impian kami yang berhajat ziarah lebih awal dari tarikh sebenar 22 Disember setelah salah seorang permata pengarang jantung kami tidak dapat pelepasan cuti.

 

Sejuta syukur kepada Allah, kerana menggerakkan Puan Hajah  Siti Sulhayati yang berusaha menempah penerbangan untuk kami berdua waima pada dasarnya tempahan telah pun ditutup. Kami berdua pelengkap kepada jumlah Duyufurrahman 92 jemaah. Segala urusan seperti bersuntik, berfoto dan memperbaharui passport kami lakukan pada hari yang sama iaitu 10 Oktober 2023 tarikh cucunda kami menyambut hari lahirnya yang ketujuh tahun.

 

Aktiviti sebelum berlepas


Syukur Ya Allah, sempat disantuni pemuda yang menawarkan Pakej Rahmah terpaling 
Rahmah (UNTUK WARGA EMAS)  semasa bergunting di Putatan pada Khamis dua minggu sebelum berlepas. Lokasi kedai mereka, bersetentang dengan kedai Family Care sebelah Pejabat Pos Putatan. Juga  masih sempat menyantuni penceramah hebat Ustaz Muchalis dan rakan-rakan (Imam Hj. Ali Ghani dan Muazim Masjid Negeri Sabah tuan  Bilal Zin) serta beberpa rakan mereka di suatu lokasi di Kampung Air pada hari Sabtunya dua minggu sebelum berlepas. Seminggu sebelum berlepas, suriku sempat menghadiri majlis bacaan doa di rumah Tuan Guru Haji Janis. Majlis juga dihadiri oleh tiga rakan mengajinya yang sama-sama di group 10 November 2023.

Itinerari Jumaat 10 November 2023 (26 Rabiul Akhir 1445 H) (Musafir ke Brunei) 

Jumaat 10 November, Allah luangkan selaut peluang untuk aku bergerak awal untuk solat subuh di Surau  JPJ Jalan Bundusan dan menyerahkan infaq Saidul Ayam di sana. Kemudian bergegas ke Kota Kinabalu untuk membuat tukaran wang iaitu Dollar Brunei 200 bersamaanRM630.00 (E-Globex Jalan Gaya).



Semasa solat Jumaat  di Masjid As-Sobirin Putatan, aku tunaikan solat sunat hajat dan solat syukur, diikuti dengan renteten doa (mohon keampunan Allah, mohon kesihatan, mohon umrah maqbullah, memohon kemudahan dan keselamatan).

 

Di solat musafir sebelum asar, aku baca doa berikut, “Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku, dosa kedua ibubapaku, dosa anak isteriku, ampun dosa guru-guruku dan dosa seluruh umat Islam. Ya Allah, hari ini kami akan bergerak untuk penerbangan ke Brunei dan seterusnya ke Tanah Suci-Mu. Aku memohon, Engkau mudahkanlah perjalanan kami, Engkau labuhkan payung perlindungan ke atas  pemergian kami, Engkau dekatkanlah dari kejauhannya, dan pelihara kesihatan kami di dalam perjalanan, sihat ketika berada di tanah suci-Mu dan sihat selepas balik dari tanah suci serta kurniakan kami dengan umrah maqbullah. Ya Allah, aku serahkan harta benda dan anak cucu yang aku tinggalkan di bawah payung perlindungan-Mu. Aku mohon Ya Allah, Engkau bebaskanlah bumi Palastine dari pencerobohan Yahudi”

Berangkat ke Airport jam 7.06 malam, usai solat maghrib di rumah kediaman. Dengan bekalan SR seribu sumbangan puteri-puteri kami dan beberapa lagi SR yang tersisa. Anak-anak juga membekali kami dengan sedikit ubat-ubatan dan vitamin. Di dalam kereta aku berdoa, “Subhanal lazi saharalana haza wamkunna lahumukrinin Wainna illa rabbona laamungkalibun,” “Maha suci Allah, yang telah mempermudahkan kenderaan untuk kami dan kami tidak ada kesanggupan mengendalikannya, kami semua akan kembali kepada Tuhan kami nanti. Ya Allah, selamatkan kami dalam perjalanan ini ke destinasi tujuan kami. Dekatkanlah kami dari kejauhannya. Kurniai kami dengan kesihatan di dalam perjalanan, sihat semasa berada di Tanah Suci-Mu dan sihat selepas kembali ke Tanah Air. Ya Allah, aku serahkan harta benda dan anak cucu yang aku tinggalkan di bawah payung perlindungan-Mu.”

Usai pengurusan bagasi yang cekap, aku sempat menghubungi abang kandung di Papar, mengenai perjalanan ibadah ziarah kami dn sempat bercakap dengan saudaran Nurfaizal Pangsapuri Tanjung Aru. Disantuni oleh anak cucu, waima anak bongsu terpaksa bergegas dari Keningau. Masih sempat menyantuni ipar duai , suami Puan Hajah Siti dan beberapa duyufurrahman lain.

Usai melabuhkan pungguna di kerusi 42 K dan suriku di kerusi 43J, selepas melepasi pemeriksaan Imigresen. Di dada pesawat Royal Brunei (Air Bus 330-200 ) terdapat seramai 82  Duyufurrahman umrah agensi Nurmultazam (pengendali umrah milik bumiputera Sabah yang berpejabat di Grace Court Sembulan). (10 orang telah berlepas awal pagi).

 

Jam 9.16 malam, mata bergenang mengaminkan doa yang dibacakan di corong pesawat, “Allahumma anta sohibu fii saffar. Wa antal Haliffatu fiahli walmaali wall waladi ….” …Ya Allah, Engkaulah temanku dalam pelayaran. Engkaulah penggantiku, menjaga keluarga, harta, anak dan sahabat handai. …. Pesawat berlepas jam 9.30 malam.

Perlepasan ke Brunei Darussalam berjalan licin atas kehendak-Nya, waima di awal penerbangan, pesawat bergoncang kecil lantaran situasi cuaca yang berawan. Di jendela pesawat, dalam kepekatan malam, aku gagal mengintai sesuatu di luar jendela. Aku mengandaikan yang awan nun di bawah sana juga turut berdoa akan keselamatan kami serombongan. Tatkala mendekati bumi Brunei, aku melihat hamparan lampu berkelip-kelip umpama sambutan Edul Fitri, iaitu smber kekayaan dan kemakmuran negara Brunei Darusalam. Jam 9.58 malam, pesawat menginjak bumi Brunei. Di ruang  ketibaan, aku menyantuni keluarga dari Labuan dan Menumbok. 

 

Disantuni dengan tiga buah bas menuju ke Hotel Wafa di Annajat Complex Jalan Gadong. Dijamu dengan hidangan air manisan dan kuih. Jam 11.30 malam, beroleh kunci bilik 8310 (orang pertama beroleh kunci).  Kelewatan yang difahami lantaran jumlah Duyufurrahman yang ramai, akan tetapi berbaloi-baloi dengan situasi bilik yang berbulan-bintang. Cukup elegan dan selesa, kepenatan perjalanan terbayar. Usai solat Qasar Isyak, kami menyelongkar sedikit bagasi yang dibawa untuk kegunaan pribadi semasa menginap semalam di Wafa Hotel.

 

Petikan dari buku 100 Pesanan Terakhir Rasulullah. Pesanan k3-53 ialah “Sesiapa yang berwirid lalu tertidur, maka Allah mengira waktu tidurnya sebagai waktu berzikir” (betapa pemurahnya Allah). Nabi membaca 3 Qul sebelum tidur, meniup ke tapak tangan dan menyapu seluruh anggota. “Beristigfar sebelum tidur lalu mempohon ampunan-Nya, mohon keampunan kedua ibu bapa menandakan kita tidur dalam situasi hati yang bersih”

 

Aku hiasi tidur pada malam tersebut dengan meniru apa yang dilakukan oleh baginda. Aku bisikkan doa, Bimikallah Wabika Amud, Al-Ikhlas 3 kali, Al-Falaq 3 kali, Al-Nas 3 kali, membaca dua kalimah Syahadah 3 kali, doa tahayat 3 kali, membaca Ayat Kursi sekali. Memohon keampunan-Nya dan membaca dzikir hingga tertidur.

 


Itinerari Sabtu 11 November 2023 ( 27 Rabiul Akhir 1445 H)


Usai solat subuh berjemaah dengan suriku di Hotel Wafa Brunei, aku langitkan doa ini, “Ya Rabb, janganlah Engkau jadikan kunjungan kami  ke Tanah Suci-Mu ini sebagai yang terakhir.  Engkau jemputlah kami untuk kunjungan-kunjungan yang berikut-berikutnya. Dekatkanlah kami dari kejauhannya. Kurniai kami dengan kesihatan di dalam perjalanan, sihat semasa berada di Tanah Suci-Mu dan sihat selepas kembali ke Tanah Air”.

Jam 7.30 pagi, kami menuju ke lantai satu untuk sarapan pagi. Kafe telah dipadati dengan geng-geng sekufu dengan kami. Sempat berbual menyapa pasangan duyufurrahman dari Taman Semplang yang sering aku temuai minum di Pekan Tanjung Aru.

Jam 10.47 pagi, empat buah bas meninggalkan hotel menuju ke Airport.  Semasa bas mendekati Airport, aku terlihat kelibat Tuan Zainal suami kepada adik ipar yang bermukim di Brunei dengan perasaan sayu atas kesanggupannya menemui kami dalam situasi yang bukan seratus-peratus sihat. Kami disantuni dengan hormat dan bertukar-tukar buah tangan. Aku menyerahkan buah tangan kepada beliau dan memohon agar menyerahkan buah tangan untuk mana-mana masjid di Brunei. Kerana keterbatasan waktu, kami berpisah dengan pelukan dan bisikkan sesuatu pesan dengan getaran suara yang amat dalam lagi bermakna dan penuh pengharapan memohon kami doakan kesihatan dan panggilan ke tanah suci bagi beliau dan keluarga. Ada getaran suara pengharapan yang paling dalam di nada pesanannya. Beliau baru saja melepasi satu pembedahan dan akan melalui pembedahan kedua dalam masa terdekat. Aamin Ya Rab, moga beliau sihat seperti seadanya.

Usai memasuki ruang pelepasan, oleh sebab kami adalah kelompok terakhir memasuki pesawat, aku sempat memfoto barisan terakhir Jemaah Nurmultazam. Memasuki perut pesawat dengan disiplin dan akhirnya paramugara membimbing kami sehingga ke kerusi 34.

Ketika mendekati kerusi 34, kami disapa oleh suara jantan seorang bapa muda yang bernama Fahmi dari Felda Sahabat bernama Fahmi, “Boleh saya tolong.” Dengan izin Allah, bapa muda itu menolong menganjung dua bagasi kami ke ruang penyimpanan barang. Sesungguhnya itu bukan kebetulan, aku yakin itu adalan rencana hebat dari-Nya.

 

Nah, dengan redha Allah, saya yakin portolangannya yang  tulus, bukan pertolongan simpati dibayar  CASH oleh yang maha kuasa. Dua kerusi kosong sebelah beliau, melorong untuk beliau mengajak surinya untuk duduk bersama, walhal pada asalnya, mereka terpisah ruang duduk.

 

Jam 11.26 pagi, di kerusi 34D dan 34E, kami mengaminkan doa safar yang dibacakan di corong pesawat, “ Bismillahi majreaha walmursaha, innarabbi laqafurrahim ………“Dengan nama Allah di waktu berangkat dan berlabuh, sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya, padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat, dan langit digulung dengan kekuasaan-Nya. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan.”

Pesawat juga dikongsikan oleh para duyufurrahman dari negara Brunei Darussalam serta semacam ada sebilangannya jemaah dari Indonesia. Pesawat Royal  Boeng 787 yang berkapisiti 290 penumpang yang berkelajuan 776 Mph,  berlepas ke Jeddah pada Jam 11.31 pagi, dikhabarkan sejam lebih awal. Pesawat  nampak tidak penuh, dengan sedikit lintasan di hatiku, “Moga-moga dengan Rahmat-Nya, pesawat akan pantas bergerak lantaran penumpang tidak seramai seperti selayaknya”.

 

Usai pesawat meluncur tenang, aku kunci peta mindaku dari urusan dunia lalu mencapai tasbih analogku untuk mulakan misi keduaku iaitu maraton selawat. Kami hanya membuka LCD pesawat yang memaparkan pergerakan pesawat ke Jeddah, walhal kami boleh saja membuka pilihan lain seperti muzik, tayangan wayang, dan pelbagai pilahan lain. Kami bukanlah Duyufurrahman yang terbaik, tetapi mengamalkan sikap positif untuk tidak membuang waktu dengan perkara yang melalikan, lagi pula kini Jemaah menuju ke Tanah Suci Mekah Madinah.

 

Solat jammak Zohor Asar.

 

Jam 12.30 petang, hidangan pertama sedia untuk disantap seusai menunaikan solat jamak zohor asar. Usai solat, aku teringat akan pernyataan ayat ke-45 Surah Al-Ankabut (Labah-labah) “ ……. dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar ……”

 

Kami seboleh-bolehnya, tidak berniat untuk melalai-lalaikan solat seperti yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah, Rasulullah bersabda, Perumpamaan solat lima waktu bagaikan sungai yang mengalir deras di pintu rumah salah seorang daripada kamu, dia mandi dari air sungai itu setiap hari lima kali.” Aku petik dari tercatat yang terkandung dalam Al-Quran Al-Karim berserta Ensiklopedia, cetakan Percetakan Nasyrul Quran, Presint 14,  Putra Jaya Malaysia.

 

Di dada pesawat aku terkesan dengan peringatan, “Sesungguhnya amalan yang pertama kali dihisab dari seorang hamba pada hari kiamat nanti adalah solatnya. Jika solatnya baik (sempurna), maka beruntung dan selamatlah dia. Namun jika rosak, maka rugi dan celakalah dia. Jika dalam solat wajibnya ada yang kurang, maka Rabb yang Maha suci lagi Maha Mulia berkata, ‘Lihatlah, apakah hamba-Ku memiliki solat sunat.’ Jika dia memiliki solat-solat sunat, maka solat wajibnya disempurnakan oleh solat sunat tadi. Lalu dihisablah semua amalan wajibnya sebagaimana sebelumnya.” Aku menyemai azam untuk menunaikan solat wajib di Masjid Nabawi dan Majsidil Haram tanpa mangkir dan menambah pula dengan marathon solat-solat sunat, dan berdoa mudah-mudahan amalinya akan ada kesinambungannya ketika kembali ke tanah air nanti.

 

Usai makan, lampu pesawat dimalapkan, hanya dibuka kembali tatkala hidangan kedua jam 6.55 malam, waktu tempatan Brunei Darussalam. Saat-saat mendekati tanah besar Arab mengikut skrin yang terpapar di belakang kerusi, aku bergerak ke belakang mencari-cari rakan Jemaah. Aku mencapai telefon bimbitku dan memfoto beberapa duyufurrahman NurMultazam. Aku bisikkan di hatiku, niatku bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi sekadar melakarkan momen Jemaah di kerusi pesawat.

 

Mendarat dengan selamat

 

Hati kecil membisikkan rasa sejuta syukur usai pesawat mencecah Lapangan Terbang Jeddah jam 4.45 petang waktu Saudi. Aku putarkan jam mengikut waktu Saudi. "Syukur Ya Allah, Engkau buka selaut peluang untuk kami menikmati suasana yang berbeza dari suasana di tanah air." Hati terjentik apabila mengenangkan diri pendosa ini, masih diberi izin oleh-Nya untuk ziarah ke tanah suci-Nya.

 

Kaki dilumak di tanah Jeddah

Langkah dimulai dengan Bismillah

Dada berombak menyelinap darah
Masjid Nabawi terbayang indah

Tampil dengan niat ibadah
Tanpa mangkir tanpa berlengah
Ya Allah, berikan kekuatan untuk menjengah

 

Jeddah yang membawa maksud Nenek kerana di tanahnya disemadikan ibu seluruh manusia iaitu Hawa. Jeddah merupakan kota kedua terbesar di Saudi Arabia. Memiliki 37 buah masjid dan beberapa peninggalan sejarah lain.

 

Kami menyertai rombongan Duyufurrahman lain  untuk menaiki erotrain menuju ke lokasi pemeriksaan passport dan bagi tujuan menuntut bagasi. Usai melepasi pemeriksaan Imigresen dan kastam, kami menapak keluar tatkala azan maghrib dikumandangkan.


Kami menyantuni Mutawif  Haji Ali Amin sebelum naik bas berpelekat hijau  pada jam 6.12 malam. Beliau mendakap erat sambil berkata, “Ayah, bonda apa kahabar?” Serentak kami berkata, “Alhamdulillah sihat.”

 

“Ayah ibu tidak bagi tahu pun ayah mau datang ke Mekah.” Kami hanya membisu dan membalas dengan ketawa kecil. “Tapi saya ada liat kelibat ayah dan ibu masa buat live di Kota Kinabalu.” Aku hanya tunduk mengangguk menyembunyikan kelopak mata yang bergenang kerana rasa syukur ke hadrat Allah yang masih sudi untuk menjemput kami ke tanah suci-Nya. Dan yang paling penting, dapat bertemu semula dengan beliau yang  hubungannya dengan kami bukan setakat mutawif dan jemaah, malah beliau telah kami anggap sebagai keluarga rapat kami.

 

Bas bergerak meninggalkan  Airport Jeddah pada jam 6.44 malam waktu Saudi, selepas mutawif menghitung jumlah duyufurrahman. Itu bukanlah kelewatan yang disengajakan, banyak hal yang diuruskan oleh mutawif serta banyak perkara yang memerlukan penelitian pihak NurMultazam. Di sebuah bas lagi, yang berpelekat oren, para duyufurrahman disantuni oleh mutawif Ustaz Syafi.

 

Hati berbunga-bunga dengan dada ini bergelojak apabila disebut sebagai Duyufurrahman oleh mutawif ketika bas mula bergerak meninggalkan  Airport  Jeddah. Usai mengaminkan doa safar dengan dipimpin mutawif  Haji Ali,  “Subhanal lazi sahaaralana haza ….. Waaina illa rabbina laa mun kalibun.” Iaitu sebahagian ayat 13 Surah Az-Zukruf dan ayat 14 surah yang sama, yang membawa erti “Maha suci Tuhan  yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami. ……. Dan sesungguhnya, kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali.”

 

Beliau menyantuni para duyufurrahman dengan santunan penuh hormat. Mutawif memulakan bicara dengan penceritaan perjuangan kekasih Allah dan sejarahnya yang menorobos hingga ke tangkai jantung. Mata mula bergenang mengenangkan bila menyingkap diri ini yang jauh kerdil sebanding dengan baginda.



Antara yang berbekas di hatiku   ialah, lima pesan Rasulullah yang paling mengesankan dan perlu disegerakan yang disebut oleh mutawif ialah : bertaubat, menyegerakan membayar hutang, menghidangkan makanan kepada tetamu, menyegerakan pengkebumian jenazah, dan mengahwinkan anak perempuan.

 

Sejarah perjuangan Nabi Muhammad

 

Aku mengimbau sedikit mengenai Rasulullah. Muhammad  Rasulullah ketika lahirannya dibidankan oleh Asy-Syifa binti Abdul Rahman bin Auf pada subuh 12 Rabiul Awal (20 April 570 Masihi). Rumah kediamannya hanya beberapa puluh meter dari masjid.

 

Ketika dilahirkan, diceriterakan terdapat beberapa peristiwa aneh telah berlaku antaranya ialah dinding istana Qisra retak manakala menaranya roboh, api kuil penyembahan kaum Majusi di Parsi terpadam setelah menyala selama 1,000 tahun, bergoncangnya berhala di sekitar Kaabah, dan lahirnya nabi dengan tali pusatnya telah terpotong manakala kemaluannya telah disunat.

 

Kisah dakwah baginda ke Taif (Petikan buku karangan Ust. Zulramli Mohd Razali bertajuk Jangan Buat Baik, Buat Yang Terbaik), penuh tragis. Baginda ditemani oleh Zaid bin Harith dalam perjalanan mengambil masa 10 hari. Akan tetapi kembali ke Mekah setelah dihujani dengan balingan anak-anak batu oleh penduduk Taif.

 

Setelah Nabi Muhammad berdakwah selama 13 tahun di Mekah dengan hanya seratus pengikut, lalu baginda menerima perintah Allah untuk berhijrah ke Madinah. Sebelum baginda berhuijrah, ada beberapa individu dan kumpulan yang berhijrah ke Madinah secara sembunyi-sembunyi. Penghijrah pertama yang berjaya berlepas ke Kota Madinah bernama Abu Salamah, akan tetapi gagal untuk membawa surinya Umu Salamah dan si kecil Salamah.

 

Baginda bersama Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Tsur yang terletak di Selatan Mekah sedangkan Madinah terletak di Utara Mekah bagi mengelak djejaki oleh musyrikin Mekah. Mereka bermalam tiga malam di sana dan keluar ke Madinah setelah suasana tenang dari gangguan musuhnya. Musuh baginda menyangka, baginda dalam perjalanan ke Madinah, walhal baginda baru sahaja memulakan hijrahnya.

 

Rasulullah berhijrah ke Madinah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar dan jurupandu bangsa Yahudi dengan mengambil jalan yang tidak pernah dilalui orang. Jurupandu tersebut adalah insan yang pernah menumpang bahtera Nabi Noh tatkala banjir besar diturunkan olah Allah. Di Madinah, kekasih Allah menginap di rumah Saidina Khussam bin Hatam. Mereka melalui jalan yang belum pernah dilalui orang bagi mengelak dijejaki oleh Quaraisy Mekah.

Usai tazkirah, ketika membahagi-bahagikan makanan dari kerusi ke kerusi, setibanya di kerusi kami, aku hulurkan sesuatu kepada Haji Ali Amin. “Terima kasih ayah, terima kasih ibu.”

Penjual kad sim Saudi menumpang bas dengan tugasan jualan kadnya. Kami membeli 2 simkad berjumlah SR160. 

 

Singgah di R & R

 

Bas singgah di Hentian Rehat pada jam 8.50 malam untuk solat jamak maghrib Isyak. Aku membeli pisang dan sebuku  roti manis. Sambil meninjau-ninjau kawasan sekeliling aku mendekati Mutawif Ali dan bersembang ringkas.

 

 

Bas bergerak ke meninggalkan R&R  pada jam 9.30 malam, dengan pengisian tazkirah dan selawat nabi. Kemudian, lampu dimalapkan manakala  hati tergeletek tatkala Mutawif membaca, “Bismikallah wabika amud,”. Di kananku, terlihat pasangan suami isteri kenalan baru dari kampung Kuala terlintuk-lintuk seperti kami berdua lantaran perjalanan yang agak panjang dan meletihkan. Tanganku terus-terusan menggentel tasbih meneruskan kiraan selawat.



Tatkala bas kami mendekati kota Madinah, lampu dinyalakan dan kami mengaminkan doa yang dibacakan mutawif Haji Ali Amin. Aku menjengah memerhatikan tiang-tiang lampu dengan variasi berwarni-warni mewarnai panorama kota bercahaya itu. Aku kagum memerhatikan sekeliling kota yang bermandikan cahaya, lantas teringat akan maksud Al-Munawwarah (Kota Yang Bercahaya) yang sering diuar-uarkan oleh rakan-rakan bloger. Cahaya terang bersinar seakan memanggil-manggilku untuk menapak segera mendatangi Masjid Nabi.

 Itinerari Ahad 12 November 2023 ( 28 Rabiul Akhir 1445 H) hari kedua (ziarah dalam)

Sambat-sambat menanak ubi,
Ubi ditanak sampai terbelah;
Berbondon-bondon ke Masjid Nabi,
Hasrat di hati, kekasih Allah.

 

Rangkap pantun di atas menggambarkan suasana Madinah tatkala bas kami menuju ke perkarangan Hotel Rua International (dulunya dikenali sebagai Royal Makareem). Jam 1.14 pagi, kami menyusun barang di bilik  614 sebaik-baik saja tiba. Bilik dilengkapi dengan almari, empat buah katil, pendingin hawaq, peti ais dan cerek  pemanas air. Jam 3.15 pagi tidur sekejap dan terjaga jam 4 pagi untuk solat subuh bersama suriku.

 

Di muka pintu bilik, aku berdoa diaminkan oleh suriku ,  “Syukur Ya Allah, Engkau masih memberikan kami kesempatan dan kesihatan. Ampunkan segala dosa-dosa kami Ya Allah. Selamatkanlah kami dalam perjalanan ke masjid-Mu. Engkau peliharalah lisan kami, kekalkan wuduk kami sehingga kami selesai beriktikaf di masjid-Mu. Kami insan yang amat kerdil ini memohon semoga Engkau nyahkan segala keburukan kami dan Engkau berkahi kami dengan Rahmat-Mu. Janganlah hendaknya, kunjungan ini Engkau jadikan kunjungan terakhir kami. ”

 

Di dataran masjid berderet tiang lampu tersusun indah, manakala payungnya hanya akan terbuka tatkala mantari menampakkan diri dari berselindung sepanjang malam. Suasana sekeliling begitu dingin mendamaikan

Kami menuju ke pintu 338 dengan berganding tangan namun aku berlapik sarung tangan dan bertemu janji untuk balik bersama melalui pintu berkenaan. Para duyufurrahman Nurmultazam lainnya juga menyertai rombongan tersebut. Sebelum pintu 338, kami membaca doa masuk masjid dan berniat iktikaf. Aku intai suriku dengan perasaan sayu kerana ia berjalan berseorangan tanpa teman dalam suasana yang padat dengan duyufurrahman. Aku hanya bergerak setelah dia hilang dari radar penglihatanku.

 

Hati koyak di dingin pagi yang mendamaikan

 

Aku sendiri menapak ke masjid melalui pintu 22 bersama tetamu Rasulullah lain, menyimpan selipar di rak dalam (rak 300) mencari tong air zam-zam dan menunaikan solat-solat tahaiyatui masjid, taubat, syukur dan solat hajat. Ketika meletakkan dahi pendosa ini buat pertama kalinya di karpet Masjid Nabawi, air mata mula bergenang. Sukar untuk menukilkan dengan kata-kata, melainkan dirasa oleh diri ini. Aku juga boleh membayangkan rakan-rakan kainnya yang perasaan mereka sama seperti yang aku rasakan. Sebak, sayu, gementar, rasa syukur dan pelbagai rasa yang dapat aku rasakan yang tidak ternukilkan.

 

Di solat taubatku, aku memohon kepada Allah menerima taubatku, memohon ampun untuk diri sendiri, keluarga dan ibu bapaku, di solat syukurku, aku memanjatkan sejuta`kesyukuran kerana Allah menjemput kami menjadi tetamu-Nya, di solat hajatku aku memohon beberapa hajat. Aku meneruskan marathon selawatku sementara menunggu solat witir.

Usai solat subuh dan solat jenazah, aku bergerak ke pintu 338 (dahulunya pintu 25) untuk menemui suriku dan kami berdua bergerak ke lantai satu bagi menjamu selera.

 

Ziarah kekasih Allah

 

Usai sarapan pagi bersama suriku, kami bersegera balik ke bilik untuk mandi dan bersiap-siap menyertai ziarah dalam.  Aku menghiasai  beg galas belakangku dengan bahan-bahan hadiah untuk anaknda Haji Ali Amin (kain pelikat, bilis mata biru, udang kering Sabah dan serbuk kopi Tenom). Tatkala turun ke lobby bersama suriku, kami perhatikan dua orang mutawif sedang bertungkus-lumus membahagi-bahagikan earphone kepada Sembilan puluh dua orang tetamu Rasulullah. Apabila terlihat kelibat kami berdua, Haji Ali Amin segera menyerahkan earphone sedangkan duyufurrahman lain masih lagi menunggu. Aku melisankan ucapan ‘Terima Kasih’ sambil berlalu pergi kerana risau dikatakan “potong jalan.” Di lorong keluar loby hotel aku menyapa Cikgu Najib (sekolahTeknik Beaufort) rakan setugas mantan Juruteknik yang sama satu unit ketika bertugas di Bahagian Teknologi Penddikan Negeri Sabah (Unit Teknikal dan Penyiaran).

Para Duyufurrahman (tetamu Rasulullah) bergerak ke Syakibah Bani Saadah, dan tiga buah masjid yang berdekatan sebelum menuju ke Kubah Hijau di mana jasad  Rasulullah dimakamkan. Di setiap lokasi, mutawif menerangkan sejarah yang panjang yang dimulai dengan sessi berfoto. Di hadapan maqam Rasulullah, mutawif  Haji Ali Amin meminta tetamu Rasulullah meletakkan tangan kanan di jantung hati, menundukkan kepala dan mengetuai bacaan selawat dengan nada perlahan. Air mata bergenang menyampaikan  salam kepada Kekasih Allah dan sahabatnya Saidina Abu Bakar. Aku juga turut menyampaikan salam anak-pinak dan rakan-rakan.

Aku teringat artikel yang pernah kubaca di tanah air bahawa dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w telah bersabda (yang bermaksud): “Tempat yang terletak di antara rumahku dengan mimbarku merupakan suatu taman di antara taman-taman syurga, sedang mimbarku itu terletak di atas kolamku.” (Riwayat Bukhari)

 

Jam 10.05 pagi, usai menyerahkan buahtanganku, aku berserta suriku memohon izin kepada anaknda Haji Alimin (mutawif) untuk berpisah dengan kelompok ramai masuk semula ke dalam masjid untuk solat dhuaa. Di dalam masjid, suasana agak lengang, hanya kelihatan petugas beruniform hijau menukar karpet dan beberapa tentera yang berlegar di sana sini. Dimulai dengan solat tahaiyatul masjid, kesempatan berharga diguna untuk menunaikan solat syukur, hajat dan solat taubat.

 

Kami bertemu di luar pintu 338. Di perjalanan balik ke hotel, aku mengajak suriku untuk membeli roti buat sahur malam nanti.

 Telan pil sabar

Syukur Ya Allah, itinerary di hari pertama berjalan atas rahmat-Mu.  Keluar masuk masjid untuk solat zohor, asar, maghrib dan isyak. Suasana makan malam sedikit haru kerana bergabung dengan rombongan duyufurrahman dari Indonesia dan dari Semenanjung Malaysia. Beratur agak panjang untuk mengambil makanan dan mencari kerusi kosong untuk mengalas perut menjadi lumrah biasa. Tiada yang perlu dikesalkan, masing-masing memerlukan tolak ansur dan nilai kesebaran tinggi. Seandainya ada perasaan meluat kepada jemaaah lain, nyahkanlah perasaan itu jauh-jauh. Mungkin juga jemaah lain itu meluat dengan diri kita ini. Itu sebabnya, persediaan sebelum umrah ialah menelan pil sabar sebanyak-banyaknya.

 

Itinerari hari ini diakhiri dengan masuk tidur jam 8.30 malam, usai selesai membersihkan diri. Sebelum melabuhkan jasad, aku membaca doa sebelum tidur, Bimikallah Wabika Amud, Al-Ikhlas 3 kali, Al-Falaq 3 kali, Al-Nas 3 kali, membaca dua kalimah Syahadah, doa tahayat, membaca Ayat Kursi sekali. Seboleh-bolehnya, aku ingin mengikuti apa yang diamal oleh kekasih Allah, sebelum baginda tidur.

 

Itinerari Isnin 13 November 2023 ( 29 Rabiul Akhir 1445 H) hari ketiga Puasa Sunat

Jam 1.25 pagi, kami terjaga dari tidur sebelum jam loceng berdering. “Alhamdulillailazi Ahhyanaa Badamaa ….. “ Usai memasak air panas, aku bersahur dengan membuka bungkusan roti yang aku beli siang tadi. Sejuta Syukur Ya Allah, Engkau izinkan untuk aku meneruskan tidurku selepas itu.

 

Aku bukanlah yang terbaik, namun berhasrat untuk mengajak kalian berbuat yang terbaik. Tidak ingin kah anda merebut  pahala dengan hanya melakukan sehari puasa di Tanah Suci, anda akan memperoleh seribu pahala. Puasa yang kita lakukan saban tahun di kampung laman itu, belum pasti boleh menyamai puasa di tanah suci. Cabarannya juga hanya boleh dirasai andai kita telah melakukannya. Nikmat berbuka di sana tidak sebanding dengan Puasa Ramadhan yang saban tahun kita amalkan.

 

Jam 3.35 dinihari, kami segera mempersiapkan diri dan silih berganti menggunakan tandas mempersiapkan diri untuk menapak ke masjid seawalnya. Jam 4.35 pagi, aku dan suriku membaca doa di balik pintu bilik menghadap ke kiblat, “Alhamdulillah ……. Ya Allah kami mengucapkan rasa syukur kepada-Mu kerana masih sudi untuk menerima kami sebagai tetamu-Mu. Licinkanlah pergerakan kami ke masjid-Mu, jagalah lisan kami, kekalkan wuduk kami sehingga kami selesai beriktikaf. Jangan biarkan kami berkeadaan yang sama selepas kami balik ke tanah air kami. Mohon tinggalkan kelakuan, dan perangai buruk kami dan tinggalkan dosa-dosa kami di tanah suci ini.”

 

Aku paut tangan suriku, akan tetapi tetap menjaga wuduk kerana aku memakai sarung tangan. Oleh sebab pada pagi itu, jemaah lelaki mempunyai misi lain, aku berpesan kepada suriku agar terus balik ke hotel untuk sarapan pagi.

 

Di pintu 338, kami membaca doa iktikaf, “Allahum Aftahli Afwaba …… “. Aku iringi suriku sehingga ke pintu wanita dan memerhatikan kelibatnya sehingga ia tidak kelihatan lagi.

 

Masuk ke masjid dan memilih pintu 22 untuk terus ke saf depan. Meletak selipar di rak 300, rak yang tidak pernah penuh kerana rata-rata Jemaah lain meletak selipar di pintu masuk. Usai menghirup air zam-zam, sempat menunaikan solat-solat tahayyatul masjid dan solat tahajud sebelum azan kedua menghiasi ruang udara Madina Al Munawarah. Usai solat aku mencapai selipar di rak 300. Kami berkumpul di muka pintu pagar 388 untuk meneruskan perjalanan yang sederhana jauh menapak ke permakaman Baqi.

 

Sebelum tiba di pintu Baqi, kami mendengar sedikit penerangan mutawif. Berjalan santai mengelilingi permakaman tanpa mengambil foto kerana kawasan tersebut dikawal rapi oleh petugas masjid dan tentera. Masih sempat menyampaikan salam dalam lisan yang dikawal.

 

Di sana, aku berkenalan dengan Tuan Hassan, insan hebat yang sering berurusan dengan pengurusan jenazah percuma. Kami sempat berkongsi maklumat mengenai apa yang beliau lakukan. Sempat bertukar-tukar pengalaman dan berjanji untuk sering berhubungan andai diperlukan.

 

Di perjalanan balik, kami bercerita panjang bersama Mutawif Haji Ali Amin. Hanya menyampuk serba sedikit sebelum berpisah di pintu 339 serta meminta izin untuk berpisah.

Jam 7.12 pagi, aku masuk semula ke masjid untuk menunaikan beberapa solat. Solat tahaiyyat, solat dhuaa, taubat, syukur, dan solat hajat serta sempat membaca Al-Quran kerana masa untuk berkumpul tujuan mengunjungi Taman-taman Syurga (Raudah) masih panjang.

 

Sementera menunggu para Jemaah bersarapan, aku berlegar-legar di premis yang menjual pelbagai abaya dan jubbah.   Jam 8.30 pagi, diketuai oleh orang dua mutawif, kami menuju ke cek point pertama untuk ke berdoa di Taman-taman Syurga atas izin pihak muasasah. Deretan panjang para duyufurrahman menuju ke lokasi pertama ke Raudah amat mengesankan. Jam 10.21 pagi, kami berkumpul di petak terakhir setelah  Mutawif Ustaz Haji Ali menunjukkan surat izin dari pihak muasassah.

 

Kami berbondon-bondon menuju ke dalam masjid setelah diberi izin masuk. Raudah tempat tujuan utama kami adalah lokasi antara kamar Rasulullah dengan mimbar, iaitu kawasannya ditandai dengan permaidani kehijauan (luas 22 X 15 m) berbeza dengan karpet hijau sedikit pekat di luar Taman Syurga. Raudah yang terkenal sebagai lokasi makbul doa di Masjid Nabawi, oleh itu berdoalah sepuas-puasnya. Andai mampu solat di dalamnya, tunaikanlah solat. Akan tetapi lakukanlah kedua-duanya sekali dan berlamalah di sujud terakhir di setiap  sujud terakhir di setiap  rakaat untuk berdoa. Taman-taman Syurga, aku menunaikan solat tahaiyatul masjid dan solat hajat agar diberi kemudahan berdoa di Taman-taman Syurga.

 

Mindaku terbius dan terlerai sejuta kerinduan

 

Di dorong liang liuk

ternyah rasa ngantuk

tangkai jantung tertusuk

tajulumpuk  di pisuk –pisuk

Ya Allah, Ya Allah ……. daku tunduk

tangan kudepa sambil bersimpuh duduk

terpukul teruk

andai pulangku esok

langsaikan dosaku yang terjeruk

 

Aku mencelah mencari ruang kosong di dalam Raudah . Usai beroleh ruang di Taman-taman Syurga, aku fokus melupakan seketika hal-hal duniawi. Dengan jiwa yang paling tenang dapat aku rasakan, aku memulakan misiku solat taubat, solat syukur dan solat hajat. Tiap sujud terakhirku dengan air jernih membasahi karpet hijau Raudah, aku berlama memanjatkan deretan doa yang panjang. Doa mohon ampun anak-isteri, doa keampunan kedua ibu bapa, doa agar anak-anak dan menantu dijemput Allah untuk menunaikan haji dalam masa terdekat, doa untuk rakan-rakan dijemput Allah ke tanah suci dan doa esihatan sepanjang ibadah di Haramain-Nya.

 

Sebelum aku pindah ke lokasi kedua, aku hulurkan tanganku kepada seseorang yang berada di luar Raudah, lantas menariknya ke dalam Raudah sedangkan aku berpindah ke ruang lain. Syukur Ya Allah, Engkau masih memberi kesempatan kepada hamba-Mu yang kerdil ini untuk solat dan berdoa.

 

 

Di Raudah-Mu aku langitkan sejuta ampun

dosa dijeruk berkurun

kemarin aku di bumi beralun

aku terpana bangkit bangun

mindaku nyah dari racun

pulangku diampun dosa bertahun

 

 

Aku menyisip ruang kanan Raudah apabila mendapati ada lagi ruang kosong yang terpampang di depan mata. Sejuta syukur Ya allah, aku gunakan kesempatan untuk meneruskan solat dan berada agak lama di situ. Ya Allah, Engkau telah gerakkan hati-hati petugas masjid untuk membiarkan aku berada di Taman-taman Syurga-Mu tanpa gangguan mereka walhal mereka berada di situ untuk mengawasi para tetamu-Mu. Aku hanya dicuit oleh petugas setelah hanya berbaki beberapa orang duyufurrahman berada di sana. Selepas itu, Taman-taman Syurga dikosongkan kerana waktu untuk solat dzohor tinggal beberapa detik. Aku akhiri dengan melalui ruang ziarah Rasulullah dan sempat menyebut nama-nama kenalan dan para sahabat di tanah air untuk menitipkan  salam terhadap Rasulullah.

 

 “Assalamualaika ya Rasulullah. Assalamualaika ya habibullah. Selawat dan salam ke atas mu junjungan besar dan kekasih Allah. “Assalamualaika Ya Rasulullah ……..aku sampaikan kiriman salam dari anak menantu serta cucuku, salam dari ahli keluargaku, sahabat dari jemaah surau rumah pangsa dan keseluruhan penghuninya, geng masjid RTM dan rakan kenalanku.” Kemudian mengucap salam kepada Sayidina Abu Bakar as-Siddiq pula. "Assalamualaika ya Sayidina Abu Bakar as-Siddiq warahmatullahi wabaratuh." Seterusnya memberikan salam kepada Sayidina Umar al-Khattab. "Assalamualaika ya Sayidina Umar al-Khattab warahmatullahi wabaratuh."

 

Rutin yang sama dilakukan sebelum asar dan sebelum maghrib.  Usai menghantar suriku ke ruang solat wanita dan sehabis kami membaca doa iktikaf, aku bergerak ke masjid sendirian. Semasa maghrib, aku mengubah laluan ke pintu 24 untuk menyertai kawasan saferah yang menyediakan ruang untuk para Duyufurrahman berbuka. Dengan berbekalkan dua pek roti manis, aku menuju ke Bentangan plastic di hidangkan dengan minuman, kurma dan roti buat santapan berbuka. Ini adalah kawasan saferah yang terbesar di dunia di mana ribuan tetamu berbuka dalam masa yang sama. Usai berbuka, plastic yang dibentang panjang digulung dan dimasukkan ke dalam bekas untuk dibuang oleh petugas. Selepas maghrib, aku mengubah laluanku ke ruang solat biasa, iaitu penghujung pintu 22.

 

Usai solat isyak, aku menapak ke pintu 338 untuk menyertai suriku bagi balik bersama-sama menuju ke hotel penginapan. Kami bergerak perlahan sambil berpegangan tangan dalam suasana yang padat. Situasi di dewan makan masih seperti biasa, mendepani barisan dan mencari meja makan.

Balik ke bilik membersihkan diri dan berkongsi pengalaman di beberapa hari berada di Kota Madinah. Itinerari hari ini diakhiri dengan masuk tidur jam 8.30 malam, usai selesai membersihkan diri. Sebelum melabuhkan jasad, aku membaca doa sebelum tidur, Bimikallah Humaahya Wabika Amud, Al-Ikhlas 3 kali, Al-Falaq 3 kali, Al-Nas 3 kali, membaca dua kalimah Syahadah, doa tahayat, membaca Ayat Kursi sekali. Rutin ini telah aku amalkan sejak beberapa tahun.  Kadangkala aku menambah bacaan dengan membaca sebahagian dari ayat Kursi, “Wajaalna mimbaina aidihim …….. doa ketika Rasulullah menabur pasir kepada kaum musrikin ketika sebelum baginda meninggalkan rumah baginda dan meniupkan dalam bayangan keempat penjuru rumah kediaman di tanah air. Jam disetkan 3.40 pagi untuk bangkit keesokkan harinya.

 

 


Itinerari Selasa 14 November 2023 ( 30 Rabiul Akhir 1445 H) hari keempat dan ziarah luar

Jam 3.40 pagi, kami terjaga dari tidur dikejutkan oleh jam loceng yang berdering. “Alhamdulillahi lazi Ahyana …..” Syukur  ya Allah, masih diberi pinjaman untuk menghirup udara kurniaan-Nya yang tidak terhingga.

 

Usai bersiap, rutin biasa diteruskan. Dimulai dengan membaca doa dibalik pintu, kami menuju ke depan lif yang agak lenggang. Suasana pagi yang bening itu mendamaikan dan menyerap ke sanubari ini. Aku genggam erat tangan suriku sambil berjalan menuju ke pintu 338. Tangan kiriku menggentel tashih digital yang aku bawa dari rumah kediaman di Sabah.

 

Di luar 338, kami membaca doa iktikaf dan menapak dengan santai ke ruang solat wanita. Ruang itu terlindung dari pandangan Jemaah lelaki. Aku perhatikan suriku dan mengiringinya dengan ucapan salam dan bertamu janji di pintu yang sama.

 

Di pintu 22, aku masuk jauh-jauh ke ruang solat lelaki dan menyimpan di ruang kasut simpanan bernombor 300 seperti selalunya. Rak kasut Nampak kosong kerana rata-rata tetamu Rasulullah menyimpan kasut di muka pintu masjid. Sebelum memulakan solat, aku menghadap tong air zam-zam untuk mengisi botol yang aku bawa dari hotel sambil menghirup secawan bagi melegakan tekak.

 

Aku mengambil ruang sebelah kiri bagi menunaikan renteten solat-solat tahaiyatul masjid, solat tahajud, taubat, hajat dan solat syukur. Pelbagai doa dipanjatkan setiap selepas menunaikan solat sebelum akhirnya menunaikan solat witir tiga rakaat dengan sekali salam.

 

Usai solat, suriku telah menungguku dengan setia di luar pintu 338. Kami bergerak balik untuk sarapan pagi dan membuat persediaan untuk menyertai ziarah luar.

 

Quba dan lokasi masjid yang tidak perlu diistihar

Seawal jam 7.45 pagi, rombongan kami telah menapak di Masjid Quba. Sebelum bergerak, kami dinasihati untuk berwuduk di hotel kerana pahala solat di Quba menyamai dengan pahala sekali umrah.

 

“Subhanal lazi sahaaralana haza ….. Waaina illa rabbina laa mun kalibun.” Iaitu sebahagian ayat 13 Surah Az-Zukruf dan ayat 14 surah yang sama, iaitu doa sebelum memulakan perjalanan.

 

 

Di perjalanan, mutawif membuka tazkirah yang menggetarkan tangkai jantung. Aku cuba menilik-nilik lokasi Masjid Dhirar (Dekat Quba),  masjid yang didirikan oleh seorang pendeta Nasrani dari Bani Khazraj bernama Abu Amir.  Abu Amir yang tidak menyertai perang tetapi memerlukan pengiktirafan Rasulullah untuk singgah di masjid tersebut. Sepulang dari Perang Tabuk, Rasulullah yang perasaan dengan niat Abu Amir itu memerintahkan agar Malik bin Dakhsyam membakar masjid berkenaan. (masjid yang tdak perlu diistihar)

 

Mencabar diri dan tidak patuh arahan

 

Setibanya di Quba, kami ditunjukkan ke suatu lokasi untuk solat. Allah ya Allah, aku bukan setakat menunaikan solat tahaiyatul masjid, malah sempat menunaikan solat hajat, solat taubat, solat syukur dan berpeluang menunaikan dua belas rakaat solat dhuaa (langgar pantang, walhal kami dipesan untuk solat dhuaa dua rakaat). Bukan apa, kelibat Jemaah NurMultazam masih kelihatan di sana sini.

 

4 sekawan kelas Talaqi Ustaz Haji Janis  

Di solat dhuaaku, ini tambahan doa yang aku pohon, “Allah ya Allah, andaikata reziki itu masih di langit-Mu, turunkanlah kepadaku, andaikata reziki itu masih di bumi-Mu,keluarkanlah untukku, andaikata reziki itu masih jauh, dekatkanlah kepadaku, andaikata reziki itu sukar, mudahkanlah kepadaku, andaikata reziki itu haram, sucikanlah kepadaku, enugerahi aku reziki sepertimana Engkau pernah anugerahkan reziki kepada orang-orang sebelum aku.”

 


Usai berfoto di hadapan Quba, dua buah bas para duyufurrahman bergerak ke kebun kurma. Kami tiba di lading jam 11.35 pagi. Nun di kejauhan terdengar pekikan, “kurma ajwa, kurma syukari, kurma anbar, kurma nabi.” Aku dan suriku membeli 2 kilo kurma ajwa dan sekili kekacang gajus bernilar RM135.00. Aku merapat ke suatu sudut berbaris kiosk Bakso. Terdengar sapaan anaknda mutawif Haji Ali Amin dengan tiga mangkuk bakso di talam, “Ayah, ini sudah ada bakso untuk ayah dan bonda. Jom ke sana, kita kumpul dengan Kak Yati.”  Dengan sedikit rasa kebingungan, aku menyertai mereka (Hajah Yati dan anak beliau, dan kedua-dua orang  mutawif) untuk makan bakso.

 

Di satu sudut, kelihatan kucing-kucing berkeliaran di bawah pokok-pokok kurma. Aku mengeluarkan makanan kucing yang aku bawa dari tanah air dan menaburkannya di atas simen. Seronok melihat kucing-kucing itu berebut-rebut makanan, dan makan dengan lahapnya.

 

Foto kenangan bersama CEO dan 2 mutawif

Lawatan diakhiri dengan dua bas bergerak ke Bukit Uhud, bukit sepanjang tujuh kilometer  yang akan dapat dilihat di Syurga Allah di hari kemudian nanti. 

 

Di kejauhan, aku mengintai gunung berbatu kemerah-merahan, lokasi di mana berlakunya peperangan yang berlaku pada 15 Syawal 3 Hijrah (Mac 625 Masihi). Sebelum mendengar tazkirah, sessi berfoto di depan Maqam Syuhada Uhud dijadikan kenang-kenangan abadi. Bukan mudah untuk tiba di sini dan bukan semua manusia Islam boleh mendatanginya. Makan-makan ais kerim sudah menjadi kewajipan sebelum meninggalkan perkarangan Bukit Uhud.  Kelopak mata bergenang lagi tanpa diminta ketika mendengar tazkirah di permakaman Uhud, tempat di mana Rasulullah berdepan dengan Quraish Mekah. 70 suhada sahid dimakamkan di Uhud.

 

Perang Uhud dan sinonimnya Anas bin Nadir

Perang Uhud menyaksikan seramai 3,000 tentera Quarish Mekah menentang tujuh ratus tentera nabi. Rasulullah merancang meletakkan seramai lima puluh orang tentera pemanah di Bukit Pemanah dengan pesanan, apa pun yang berlaku, jangan pernah meninggalkan bukit tersebut. Akan tetapi telah tersurat seramai empat puluh tentera pemanah turun dari bukit untuk merebut harta rampasan tatkala tentera Qurish berundur. Akan tetapi, seramai dua ratus tentera berkuda Qurish mengelilingi bukit yang dipenuhi dengan tanaman kurma di sekelilingnya lantas menyerang tentera Islam. Akhirnya ramai tenteran Islam  sahid di perang Uhud.

Ada sesuatu yang sinonim rapat dengan Perang Uhud. Perang tersebut adalah ekoran kekalahan Puak Quarish di Perang Badar. Perang Badar membuatkan aku mengimbau pahlawan yang bernama Abu Qatadah yang cedera di kepalanya sehingga sebelah matanya tersembur keluar. Dengan izin Allah, mata beliau sembuh setelah Rasulullah menyapu mata pahlawan tersebut.

Antara suhadah Uhud ialah Saiyidina Hamzah bin Abu Mutalib, Mus’ab bin Umair, Amru bin Al Jamuh yang terkenal dengan pejuang tempang. Ada lagi seorang pahlawan yang bernama Anas bin Nadir yang jarang disebut. Anas tidak ikut berperang dalam Perang Badar dengan keizinan Rasulullah. Di Uhud, tatkala npara tentera musliman berundur, Anas Nadir maju ke medan perang  waima dihalang oleh Sa’ad bin Mu’az. Anas mengalami 80 luka panahan, tetakan dan tusukan senjata di seluruh badan hingga mayatnya sukar dikenali. Ia dikenali oleh adiknya melalui hujung jari Anas bin Nadir.

Suasana di dataran Uhud diserikan dengan puluhan gerai-gerai menjual pelbagai barangan. Mereka menjual serbuk inai dan pelbagai barangan lain seperti tasbih, jubah, kurma, serban, ketayap dan pelbagai barangan lain. Aku berkesempatan untuk merakam suasana di sana dengan lensa kameraku dan tidak lupa untuk menikmati ais kerim.

Masjid Qiblatain (dua kiblat)

Di laluan balik ke hotel, kami melintasi Masjid Qiblatain iaitu masjid yang ada kaitannya dengan ayat 144 Surah Al-Baqarah, di mana Allah memerintahkan Nabi Muhammad saw menukar kiblat dari berkiblatkan Baitul Muqadis ke Baitullah al-Haram.

 

Di perjalanan balik, agak mencuit hati mendengar caloteh mutawif  Haji Ali apabila melalui suatu kawasan.  Sambil menuding ke suatu lokasi beliau berseloroh, “Di situ  terdapat kompleks membeli belah Dunia Akhirat. Sebab apa dikatakan demikian, pengunjung boleh membeli belah untuk keperluan dunia dan tatkala masuk waktu solat, tetamu boleh solat di lantai lainnya di dalam kompleks berkenaan.” Sambil diiringi gelak ketawa para duyufurrahman.

 

Tiba lewat di hotel, solat  berjemaah di bilik usai makan tengah hari. Ke masjid sebelum dzohor dan balik berehat. Oleh sebab keletihan, kami berehat di bilik dan hanya ke masjid pada jam 5.27 petang tatkala azan dikumandangkan.

 

Di solat maghrib, imam membaca surah ringkas Al-Humazah dan Surah Al-Ma’un. Betapa perihatinnya imam di Masjid Nabawi yang begitu soprting membaca ayat-ayat pendek, sementelah dia tahu bahawa rata-rata para tetamu Rasulullah adalah warga emas yang berkekangan untuk berdiri agak lama dibandingkan di waktu subuh, imam membaca surah yang sedikit panjang.

 



Di pintu pagar 338, aku menyantuni suriku untuk balik bersama-sama dengan santai menuju ke ruang makan hotel.  Sebelum tiba di hotel, kami berhenti di celah-celah hotel bagi membolehkan suriku membeli dua pasang abaya untuk dirinay dan anak-anak.

 

 

Itinerari hari ini diakhiri dengan masuk tidur jam dalam jam sembilan malam, usai selesai membersihkan diri. Sebelum melabuhkan jasad, aku melibas-libas tilam dengan tuala mandi. Aku membaca doa sebelum tidur,  Bimikallah Wabika Amud, Al-Ikhlas 3 kali, Al-Falaq 3 kali, Al-Nas 3 kali, membaca dua kalimah Syahadah 3 kali, doa tahayat 3 kali, membaca Ayat Kursi sekali. Memohon keampunan-Nya dan membaca dzikir hingga tertidur.

 

 

 

Itinerari Rabu 15 November 2023 ( 01 Jamadil Awal 1445 H) hari kelima

 

Jam 3.40 dinihari, kami terjaga dari tidur apabila  jam loceng berdering. “Aku membaca doa bangun tidur, “Alhamdulillah hilazi ahayana ……….. “. Usai memasak air panas, dan membuka bungkusan roti untuk pengalas perut.

 

Jam 4.12 pagi, aku dan suriku membaca doa di balik pintu bilik menghadap ke kiblat, “Alhamdulillah ……. Ya Allah kami mengucapkan rasa syukur kepada-Mu kerana masih sudi untuk menerima kami sebagai tetamu-Mu. Licinkanlah pergerakan kami ke masjid-Mu, jagalah lisan kami, kekalkan wuduk kami sehingga kami selesai beriktikaf. Jangan biarkan kami berkeadaan yang sama selepas kami balik ke tanah air kami. Mohon tinggalkan kelakuan, dan perangai buruk kami dan tinggalkan dosa-dosa kami di tanah suci ini.”

 

Di luar 338, kami membaca doa iktikaf dan menapak dengan santai ke ruang solat wanita. Aku perhatikan suriku dan mengiringinya dengan ucapan salam dan bertamu janji di pintu yang sama.

 

Air zam-zam untuk mandian

 

Di pintu 22, seperti pagi-pagi sebelumnya, aku masuk jauh-jauh ke depan ruang solat lelaki dan menyimpan di ruang kasut simpanan bernombor 300 seperti selalunya. Aku menghadap tong air zam-zam untuk mengisi dua plastik zam-zam (1.25 liter tiap satu) yang aku bawa dari hotel sambil dibantu oleh seorang petugas beruniform hijau. Usai menyampaikan sedikit SR, aku menghirup secawan bagi melegakan tekak. Air zam-zam tersebut bakal kami gunakan sebagai siraman  penutup mandian sebelum berangkat ke Mekah.


Setelah menyimpan dua kantung plastic di tiang tepi dinding yang agak tersorok, aku mengambil ruang sebelah kiri bagi menunaikan renteten solat-solat tahaiyatul masjid, solat tahajud, taubat, hajat dan solat syukur. Pelbagai doa dipanjatkan setiap selepas menunaikan solat sebelum akhirnya menunaikan solat witir tiga rakaat dengan sekali salam.

 

Usai solat, suriku telah menungguku dengan setia di luar pintu 338. Kami bergerak balik untuk sarapan pagi dan membuat persediaan untuk keluar membeli-belah di sekitar hotel. Keluar untuk kali pertamanya, kami memilih kawasan kiri hotel menyusur ke kawasan kiosk penjaja makanan.

 

Kami singgah di suatu premis untuk membeli ZAFRON yang dipesan oleh adik isteriku. Di kawasan kioskmakanan , kami berfoto  di kawasan (Frame Foto Mega) bingkai besar. Aku tergamam dengan seseorang yang membahagi-bahagikan Al-Quran kepada tetamu Allah. Insan itu merapat ke arahku den menyerahkan sebuah Quran. Kami menuju ke Supermarket BinDawood untuk mencari pencuci muka.  Sempat ke lantai aras bawah tanah, tetapi tidak membeli apa-apa kerana berniat untuk ke masjid lebih awal pada pagi itu. Di perjalanan balik, kami singgah di premis makanan Baraka Almadina For Fast Food di Taiba Commercial Centre untuk membeli egg roll (SR 5) untuk pencuci mulut.

 Manasik umrah

Rutin keluar masuk masjid untuk solat zohor dan asar  digunapakai seperti selalunya. Akan tetapi asar hari ini, lain dari asar-asar sebelumnya kerana hari ini kami menghadiri manasik umrah yang disampaikan oleh mutawif  Haji Ali Amin. Semasa di dewan, puan Hajah Siti Sulhayati menyerahkan dua kotak comel kurma kepada suriku. Terima kasih CEO, yang bukan setakat prihatin malah amat pemurah di mata kami.

 

Jam 6.27 petang, menapak ke masjid dalam suasana sendat. Di solat maghrib, pak imam membaca surat Ad-dhuaa dan surah Al-Insyirah, juag surah yang kerap aku baca dalam solat kami tika berjemaah di rumah kediaman di Negeri Sabah.Semasa menunggu Isyak, aku membaca quran di ruang berdekatan dengan para pelajar belajar menghafaz Quraan.

 

Balik ke bilik lebih awal dari biasa untuk mengemas barang kerana keesokkan harinya, kami akan meninggalkan Madinah Al Munawarah menuju ke Mekah Al Mukaramah. Mengambil sedikit rehat kerana pada malamnya kami ada acara mengunjungi Taman-taman Syurga dengan kebenaran permit NUSUK.

 

Menemani suriku ke lobby hotel kerana permit mereka adalah jam sebelas malam dibandingkan dengan permit lelaki yang dibenarkan pada jam satu pagi. Usai melihat mereka meninggalkan perkarangan hotel, aku balik ke bilik untuk berehat kerana janji tamu kami para duyufurrahman lelaki ialah jam 11.30 malam berkumpul di lobby hotel.

 

Aku turun ke lobby pada jam 11.28 malam. Lepak di sebuah premis menjual jubbah. Sempat menyantuni suriku yang usai mereka mengunjungi Taman-taman Syurga. Begitu prihatin para mutawif, mereka mengetuk bilik para duyufurrahman agar tidak terlepas mengunjungi Taman-taman Syurga.

 

Jam 11.30 malam, kami bergerak ke pintu 338 dan menuju ke petak pemeriksaan. Syukur Ya Allah, beroleh tempat di Taman-taman Syurga berpindah menyusup sebanyak tiga kali.

 

Aku menunaikan beberapa rentetan solat-solat sunat dan berdoa, “Allah Ya Allah, Engkau ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa anak-anak kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa adik-beradik kami, dosa sahabat-sahabat kami, dosa guru-guru kami, dosa jiran-jiran kami dan dosa seluruh kaum muslimin. Engkau mudahkan urusan kami, murahkan reziki kami, kurniakan kesihatan yang berpanjangan dengan keberkatan usia, Engkau kurniakan kepada kami umrah yang maqbullah, Engkau jadikan anak-anak kami anak yang cemerlang dunia akhirat, anak yang berwawasan, anak yang senantiasa mendoakan ibu bapa, anak yang berjasa kepada agama keluarga, bangsa dan Negara. Engkau pertemukan jodoh anak-anak kami dengan insan yang boleh membawa mereka ke Syurga-Mu. Engkau jemputlah anak-anak dan menantu kami untuk menunaikan haji dalam masa terdekat. Engkau hidupkan dan matikan kami dalam keadaan Islam yang sempurna, terhindar dari fitnah dazal, terhindar dari api neraka, Engkau masukkan kami ke Jannatun Naim-Mu bersama keluarga kami tanpa dihisab. Allah Ya Rab, janganlah hendaknya Engkau jadikan kunjungan ini yang terakhir buat kami. Jemputlah kami sebagai Duyufurahman-Mu serta berilah kami kecukupan untuk kunjungan yang berikut-berikutnya. Engkau jemputlah juga anak-anak dan menantu kami, adik beradik kami, ipar-duai kami, jiran-jiran kami, sahabat Surau Al Mukminin, sahabat seagama rumah pangsa, ahli group Islam Itu Indah dan semua insan yang mengenali diri ini untuk berumrah mengunjungi dua kota suci-Mu. Engkau berikan kesihatan berpanjangan kepada anak, menantu  dan cucu tunggalku. Aku mohon beberapa mahligai di Jannatun Naim-Mu, mahligai untuk kami sekeluarga, mahligai untuk kedua ibu bapa ku, mahligai untuk ibu bapa mertuaku dan mahligai untuk sahabat-sahabatku. Ya Allah, Engkau bebaskanlah bumi Palastine dari cengkaman Yahudi Laknatullah”.

 

Di Taman-taman Syurga terdapat: 1. Tiang Sarir- (Pangkin) tempat Nabi Muhammad berehat. Terdapat pangkin tempat di mana Saidatina Aishah R.A menyikat rambut Nabi. 2. Tiang Ali / Tiang Pengawal-Tiang ini dahulu adalah tiang yang digunakan pengawal sebagai lokasi untuk mengawal rumah Nabi Muhammad S.A.W. 3. Tiang Wufud (Deligasi) -Suatu masa dahulu tiang ini digunakan oleh Nabi Muhammad untuk berjumpa dengan pemimpin deligasi luar yang datang ke Madinah. 4. Tiang Aishah - Tiang ini sangat istimewa, tempat di mana Nabi Muhammad selalu mengerjakan solat Tahajut dan solat Taubat setiap malam. Tiang ini juga turut disukai oleh Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Kalau kita masuk ke Raudhah, cubalah memohon doa sebanyaknya di sini. 5. Tiang Abu Lubabah (Tiang Taubat) tempat di mana Abu Lubabah berkata berbohong kepada Nabi Muhammad. Akibat rasa bersalah pada Nabi Muhammad, Abu Lubabah mengikat dirinya di tiang ini selama 3 hari. 6. Tiang Muhallaqah - (Tiang Wangi) Tiang ini dahulu adalah sebatang pokok kurma. Batang pokok ini menangis apabila dia ditukarkan dengan batang pokok yang baharu. Batang kurma itu berhenti menangis setelah dijanjikan akan bersama-sama dengan baginda di Syurga nanti. 7. Mehrab Nabi - (Mehrab baharu) lokasi nabi solat berjemaah bersama sahabat baginda. Andai dapat bersolat di sini, dikatakan seolah-olah kita telah bersujud di telapak kaki Nabi. Di Mehrab ini juga Saidina Umar ditikam oleh Abu Lulu'ah Al-Majusi ketika sedang mengimamkan solat subuh. Waima mempunyai sedikit pengetahuan mengenai perkara di atas, aku simpan saja di benak iuni melainkan fokus berdoa, solat dan berdoa.

 

Jam 2.55 pagi, aku meninggalkan RAUDAH dengan perasaan yang teramat sayu. Sebelum menyambung tidur, kami berdua mempersiapkan bagasi untuk meninggalkan Madinah menuju ke Mekah.. Seperti malam-malam sebelumnya, kami tutup tirainya dengan membaca doa sebelum tidur, membaca Qul Huu Allah 3 kali, Al-Falaq, An-Nas, membaca dua kalimah sahadah, selawat dan membaca ayat kerusi.

Itinerari Khamis 16 November 2023 ( 02 Jamadil Awal 1445 H) hari keenam



Kekuatan dan semangat melebihi segala-galanya apabila kami serentak bangun sedikit lewat dari biasa dengan idzin-Nya. Aku membaca doa bangun tidur, “Alhamdulillah hilazi ahayana ……….. “. 

Usai terjaga dari tidur sebelum jam loceng bordering dan membaca doa “Alhamdulillahilazi ahyanaa …….” Iaitu doa bangun tidur.

Oleh sebab hendak ke Mekah bagi menunaikan umrah, kami mandi sunat ihram di mana mandian terakhir kami, kami sirami dengan air zam-zam dengan niat di hati, “Ya  Allah, Engkau sucikanlah segala dosa-dosa ini, gugurkan segala kekotoran di badan ini. Semoga kami berpergian dengan keadaan yang suci.”

 

Sebelum bertolak, kami berdua minum 3+1 dan roti manis dan meletakkan bagasi kami di luar pintu bilik. Cuaca dingin dengan tiupan angin tidak menghalang untuk berkunjung ke Masjid Nabi. Sebelum bertolak ke masjid (jam 4.22 pagi), aku menadah tangan sambil diaminkan oleh isteri agar diberi kemudahan untuk bersolat di masjid. Kami bertolak ke masjid bersama-sama sambil berganding tangan, hanya berpisah ketika masing-masing menuju ke ruang solat wanita dan lelaki.

Usai solat subuh, kami berkumpul di dalamm pintu 338 untuk ziarah wada. Setelah berhenti di hadapan kubah hijau, di hadapan maqam Rasulullah, mutawif  Haji Ali Amin meminta tetamu Rasulullah meletakkan tangan kanan di jantung hati, menundukkan kepala dan membaca selawat dengan nada perlahan. Air mata bergenang menyampaikan  salam kepada Kekasih Allah dan sahabatnya Saidina Abu Bakar. Salam perpisahan yang paling dalam dengan linangan air mata keinsafan. Di sebelah kiriku, terdengar esak tangis  suriku. Di sekitar kami, tiada suara-suara nakal yang kedengaran, melainkan rintihan pengharapan untuk dijemput lagi ke sana buat sekalian kalinya. Dalam hati ini menyebut, “Ya Allah, jangan Engkau jadikan kunjungan ini buat yang terakhir kalinya butut kami berdua. Jemputlah kami ke sini dalam kunjungan nyang akan datang, dan kami akan berkunjung bersama-sama anak-anak dan keluarga kami.”

 

Usai balik ke bilik, kami keluar dengan berpakaian ihram. Aku memilih kerusi yang selesa di dalam bas hijau untuk perjalanan selama enam jam menuju ke Masjidil Haram. Jam 11.23 pagi, bas kami meninggalkan perkaranga hotel menuju ke Bir Ali tempat bermiqad. Sebaik-baik saja basbergerak, aku menggentel tasbih analog menukar selawat kepada Maraton dzikir (tasbih, tahmid dan takbir).  Allah ya Allah, selawatku melebihi misi yang aku target iaitu sepuluh ribu selawat.

 

 

“Subhanal lazi sahaaralana haza ….. Waaina illa rabbina laa mun kalibun.” Iaitu sebahagian ayat 13 Surah Az-Zukruf dan ayat 14 surah yang sama, iaitu doa sebelum memulakan perjalanan.

 


Miqat di Bir Ali

 

Usai solat jamak zohor asar, kami menaiki bas untuk melapazkan niat umrah. Usai melafaz niat umrah dengan bimbingan mutawif, kini kami terikat dengan 13 pantang larang. Alhamdulillah, segala puji serta berjuta rasa syukur aku panjatkan kepada Allah SWT, Tuhan semesta alam yang sudi menjemput aku, suriku, dan seisi rombongan menjadi tetamu-Nya. Ya Allah, sesungguhnya ibadahku kerana-Mu semata-mata, “Labbaika Allahumma labik, labaika laa syaariikalaka labbaik,” “Ya Allah, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala puji, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu…”.

 

Ini kami terikat dengan 13 pantang larang seperti:1.Tidak boleh menutup kepala bagi lelaki. 2.Lelaki tidak boleh memakai pakaian berjahit. 3.Tidak boleh menutup muka bagi wanita. 4.Tidak boleh memakai sarung tangan (lelaki dan wanita). 5.Tidak boleh memakai minyak wangi atau bau-bauan sama ada di badan atau pakaian atau pada makanan, minuman atau menghidunya (Lelaki dan wanita). 6.Tidak boleh memakai minyak kepala atau janggut (lelaki dan wanita). 7.Tidak boleh menangggalkan rambut / bulu (lelaki dan wanita). 8.Tidak boleh memotong kuku (lelaki dan wanita). 9.Tidak boleh mencabut tanam-tanaman (lelaki dan wanita). 10.Tidak boleh memburu (lelaki dan wanita). 11.Tidak boleh bercumbu (melakukan pendahuluan persetubuhan). 12.Tidak boleh bersetubuh. 13.Tidak boleh berkahwin, mengahwinkan atau menjadi wakil kahwin.

Bas meninggalkan Bir Ali pada jam 1.13 petang. Bas kami menyusur padang pasir yang tidak bertepi dengan laungan tarbiah beramai-ramai. Hati bagai tersiat-siat dengan mata sedikit bergenang tatkala melaungkan kalimah tersebut. Padang pasir yang saujana mata memandang seolah-olah bercantum dengan awan biru pekat tanpa dihiasi walau segumpal awan menjadi saksi keterujaan kami untuk mendepani bangunan b erkelambu hitam yang digelar Baitullah. Kiri kanan jalan, dihiasi dengan batuan hitam, suatu pemandangan yang asing dari bumi kelahiranku. Nun jauh terpacak beberapa bukit batu yang kekadang menyajikan susana sungguh asing buat diri ini. Aku membayangkan batu-batuan kiri kanan dan bukit berbatu menyambut dan mendoakan agar tetamu Allah akan selamat tiba ke destinasi yang dituju. Ia suasana yang jauh berbeza dengan tanah air yang ditumbuhi dengan pelbagai pokok kehijauan. Sekali sekala nun di kejauhan, kelihatan gelagat segerombolan unta dan kambing berkeliaran mencari makanan. Pada jam 3.17 petang, di kejauhan aku terlihat keretapi elektrik memotong. Keretapi itu membawa sebahagian nkecil duyufurrahman Nurmultazam diiringi oleh Puan Hajah Siti.

 

 

Kami singgah di suatu hentian rehat yang mempunyai tandaas yang bersih dan ruang solat yang luas untuk solat jamak maghrib dan isyak. Beberapa ekor kucing berkumpul di celah-celah bas. Aku keluarkan makanan kucing yang aku bawa dari Sabah, dan menuangkan satu bungkusan kepada mereka. Seronok melihat kucing-kucing kelaparan itu berebut-rebut makanan mereka. Bas kami meninggalkan hentian rehat tersebut pada jam 6.15 malam, usai solat jamak maghrib Isyak.

 

Jantung berdebar mendekati Mekah

Dari jauh menara Jam terserlah
Tidak sabar mendepani Baitullah
Semangat berkobar dengan zikirullah

Moga ibadah diterima Allah

 

Kota sarat emosi


Mutawif Haji Ali membaca doa msuk ke Mekah tatkala mendekati Kota Mekah. Jam 8.05 malam, kami melewati Masjid Taneem. Takungan air jernih amat perit untuk dipertahankan. Dalam beberapa minit saja lagi lakaran Kaabah yang kupandang di sejadah selama ini akan berada di depanku.

 

“Ya Allah! Sesungguhnya ini adalah Tanah HaramMu maka haramkanlah dagingku, darahku dan tulangku dari api neraka .”


Ya Allah! Selamatkanlah daku dari azab Dikau di hari Dikau membangkitkan hamba-hamba-Mu. Daku memohon dengan-Mu kerana Dikaulah Allah yang tiada tuhan melainkan Dikau Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani! Dikau berselawat dan mengucapkan selamat sejahtera ke atas junjungan besar kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda sebanyak-banyak, selama-lamanya. Itulah doa yang kami baca bersama dengan bimbingan Mutawif kami.

 

 

Menara Abraj Al-Bait

Di kejauhan aku memerhatikan menara jam Abraj Al-Bait, yang menjulang angkasa itu dengan dada berombak.  Tinggi  Abraj Al-Bait ialah 595 meter  iaitu bangunan kedua tertinggi di tanah Arab selepas Burj Khalifah (828 meter). Ia sedikit tinggi dari KLCC (452 meter). Waima ketinggian Burj Khalifah (828 meter) menjulang awan,  akan tetapi jauh kerdil jika dibandingkan dengan ketinggian bangunan Babil yang dibina semasa Namrud bin Kan’an. Ini terkandung dalam ayat 26 Surah An Nahl. Menurut Ibnu Abbas, tinggi bangunan Babil 5,000 hasta. Menurut Muqatil, tingginya ialah 2 farsakh (6 batu / 9.6 kilometer) sedangkan ketinggian Gunung Kinabalu ialah 4,097 meter. Akan tetapi bangunan hebat itu dihancurkan Allah dengan mengirimkan  angina dan gempa. Logik akal, Babil bukan dibangunkan oleh tenaga manusia biasa. Ia dibangun dengan bantuan makhluk lain selain dari manusia. Wallahu Alam.

 

“Seratus ribu pahala untuk sekali solat di Masjidil Haram bersamaan dengan solat 273 tahun. “ Itulah antara kelebihan yang dilisankan oleh mutawif. Bas bergerak dan akhirnya kami tiba di Hotel Dar Al Bait Ajyad. Kelibat warga Indonesia berada di mana-mana menjual kuih-muih.

Kami menginap di bilik 1003. Bilik tiga katil yang ada kemudahan peti ais dan peti talevisyen. Sebelum gerak ke dataran Masjidil Haram, kami mengalas perut terlebih dahulu. Usai meletakkan barang, dan bergilir memasuki tandas, aku menunaikan solat syukur dua rakaat. Doa dibaca dengan tambahan doa berikut,  “Sejuta Syukur Ya Allah, dengan rahmat-Mu kami tiba dengan selamat di Kota Suci Mekah. Kami pohonkan kelicinan dalam perjalanan ibadah umrah kami.”

Sebelumm bergerak, di balik pintu aku langitkan doa dengan diaminkan oleh suriku, “Alhamdulillah, kami telah selamat tiba di bumi Mekah. Kami pohonkan, Engkau jagalah lisan kami, permudahkan tawaf dan saie kami dan semoga kami kekal berwuduk sehingga kami selesai bertahul nanti.”

 

 

Itinerari Jumaat 17 November 2023 ( 03 Jamadil Awal 1445 H) hari ketujuh

Dengan berpakaian ihram dan mengenakan earphone di kedua-dua belah telinga, kami mendengar sedikit taklimat di loby hotel (ruang berkumpul bagi setiap aktiviti).

 

Penangan batu berselimut hitam


Jam 12.00 tengah malam, usai membentuk formasi,  yang meletakkan wanita di tengah-tengah di apit oleh lelaki di sekeliling mereka, kami bergerak dalam kumpulan ke Masjidil Haram (masjid yang terbesar di dunia). Para duyufurrahman Nurmultazam meninggalkan perkarangan hotel sambil melangitkan talbiah yang bersahut-sahutan hingga ke perkarangan dataran masjid.

 

Subhanallah… Walhamdulillah… Allahu Akbar … sebaik-baik sahaja Baitullah berada di depan mata, Subhanallah.. . . aku bukannya bermimpi, hanya Allah yang tahu sejuta rasa yang bermain di jiwa.



“Allaahumma yaa rabbal baitil’atiiq aatiq riqaabanaa wariqaaba aabaa inaa waummahaatinaa wa ikhwaaninaa wa aulaadinaa minan naari yaa zaljuudi walkaramani walfadli walmanni wal’ataai wal ihsaan”.

 

Hati terkoyak dengan  air jernih mengalir dari takungannya

Hati bergetar, jantung berdegup  deras tatkala memandang Baitullah (Kaabah) buat kali pertamanya. Masya Allah ……. sebaik-baik sahaja memandang Baitullah, binaan kaabah itu terus meruntun hati. Mataku berpinar, badanku menggeletar, hatiku bergetar, hatiku yang gusar bersatu menjadi jitu, yang terlahir hanyalah cucuran air mata kesyukuran kerana masih diberi peluang untuk menantap Kaabah. Air mata menitis lantaran mengagumi kemuliaan Baitullah dan keesaan Allah. Cucuran air mata yang terlahir lantaran gambaran kesyukuran kerana masih diberi peluang untuk menantap Baitullah. Terasa keronggkongku seperti tersekat oleh sedu sedan yang silih berganti. Amat sukar untuk mengekang rasa sebak. Doa tidak putus-putus dibaca dalam getaran suara antara keluar dengan tidak, bersilih ganti dengan sedu sedan. Aku insan paling kerdil di sisi-Nya berpeluang mengerjakan ibadah umrah di tahun 2023 ini. Syukur Ya Allah. Mulut terkumat-kamit mengikuti bacaan melihat Baitullah dan bacaa-bacaan lain yang didengari melalui earphone yang kami pakai.

 

Dalam esak tangis yang tidak tertahan, lidahku mengungkapkan “Ya Allah, ampunkan segala dosa-dosku Ya Allah, ampun dosa kedua ibu bapaku dan ampun dosa anak isteriku. Masukkanlah kami ke dalam syurga-Mu tanpa dihisab dan kurniakanlah kami dengan umrah yang mabrur. Jangan Engkau jadikan kunjungan ini buat yang terakhir kalinya, jemputlah kami berserta anak-pinak dan teman-taulan kami didlam masa terdekat”.

 

 

Sebelum lampu hijau niat dilafazkan, “Sahaja aku menunaikan tawaf umrah, tujuh keliling kerana Allah Taala.”

 

Sewaktu istilam, suaraku bergetar hampir tidak terkeluar.  Sukar menukilkan rasa yang terpendam nun jauh di sanubari hamba-Mu yang berdosa ini, kini berada di tengah-tengah dataran Masjidil Haram. Bersyukur dan sangat bersyukur kerana dijemput sebagai tetamu Allah. Pada kesayuan yang begitu membelit rasa, hati ini begitu tersentuh, amat-amat tersentuh. Doa tidak putus-putus dibaca dalam getaran suara antara keluar dengan tidak, bersilih ganti dengan sebak.

Kesedihanku berganda pabila mengenangkan, arwah ibuku juga pernah menjejaki dataran Kaabah ini untuk berhaji, hasil dari sumbangan kami dua beradik. Manakala bapaku telah kembali ke pengkuan penciptanya ketika usiaku baru mencech sebelas tahun, sebeles tahun  yang belum mengerti apa-apa, masih kosong masih kebudak-budakan. Pernah suatu ketika dulu, aku membayangkan untuk mengenggam erat tangan ibuku di kiriku dan tangan kanan untuk mengenggam erat bapaku, sambil mengelilingi Baitullah. Betapa indah kurasakan ketika itu, tetapi ia tidak kesampaian. Akan tetapi itu hanya bayangan semata-mata. Di hati ini kutanamkan azam untuk membadal umarah buat mereka berdua.

 

Allahu Akbar …….. Tidak terasa aku telah menghabiskan tujuh  keliling tawaf sambil diisi dengan zikir dan doa yang tidak putus-putus memohon keampunan dari Allah yang esa. Setiap kali melintasi Maqam Ibrahim, aku membayangkan betapa sukarnya nabi Allah itu menyusun batu-batuan untuk membina Kaabah. Berdiri bulu romaku kerana jalan mengelilingi Baitullah ini pernah dijejaki oleh kekasih Allah dengan tujuan yang sama. Aku meneka-neka di manakah agaknya pintu yang pernah digunakan oleh Rasulullah ketika dapat menyelesaikan pertikaian siapa yang lebih layak antara empat pembesar yang bertelagah meletakkan Hajrul Aswad. Peristiwa penting berkenaan terjadi pada tahun 16 sebelum Hijrah (606 Masehi) iaitu ketika suku Quraisy melakukan pemugaran Kaabah. Pada ketika itu hampir saja terjadi pertumpahan darah apabila empat kabilah dalam suku Quraisy bertegang leher mempertahankan pendapat masing-masing dalam perselisihan tentang siapa yang berhak meletakkan batu Ajrul Aswad pada tempatnya.

Di sinilah tempat berlakunya peristiwa pencerobohon Abrahah terhadap Kaabah sambil diperhatikan oleh penduduk Mekah melalui Jabal Kubis. Di sinilah juga sejarah tercatat apabila gajah Abrahah gagal untuk merobohkan bangunan batu ini.

Selesai Tawaf, kami dihimpunkan di  belakang Multazam. Aku menyelit dicelah ribuan tetamu Allah untuk menunaikan solat sunat. Tangan kudepa lebar untuk memohon doa semoga amalan kami diterima Allah, dosa diampunkan dan mohon agar kami akan dipertemukan di Syurga. Aku hilang malu untuk mengalirkan air mataku.

 

Usai solat sunat tawaf, aku mendakap erat suriku dengan kedua-dua kami dilinangi air mata, air mata kesyukuran, air mata mohan kemaafan, mohon keampunan antara kami berdua. Ketika mutawif membaca doa yang menyusuk hati, para duyufurrahman disirami air mata kesyukuran, air mata pengharapan, air mata keinsafan.

 

Ketika hendak  melaksanakan Saie,  kami di arah ke lantai atas atas kesesakan lantai-lantai lain. Allah Ya Allah, kami mulakan dengan lafaz niat, “Sahaja aku mengerjakan Saie umrah, tujuh kali ulang alik antara Safa dan Marwah kerana Allah Taala.”  Memulakan langkah menuju ke Marwah dengan zikir-zikir yang diketuai oleh mutawif Haji Ali Amin.

 

Di lokasi lampu hijau, jemaah lelaki sunat berlari anak dan berdoa : “Rabbigfir warham wa’fu watakarram watajaawaz’ammaa ta’lam, innaka ta’lamu maalaa na’lam. Innaka antallaahul a’azzul akram”. Ya Allah ampunilah, sayangilah, maafkanlah, bermurah hatilah dan hapuskanlah apa-apa yang Engkau ketahui dari dosa kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui apa-apa yang kami sendiri tidak tahu. Sesungguhnya Engkau Ya Allah Maha Tinggi dan Maha Pemurah. Dan meneruskan perjalanan ke Marwah. Begitulah yang kami lakukan sebanyak tujuh kali ulang-alik.

 

 

Di Saie keempat aku bergerak agak perlahan, jauh ketinggalan kerana al-maklum, dilanjut usia ini pergerakan agak terbatas. Di lampu hijau, aku tidak larat untuk berlari-lari kecil, melainkan bergerak seperti seadanya. Aku hanya ditemani dengan setia oleh suriku yang berada didekatku. Aku hanya membaca tasbih dan tahmid dan takbir , menghiasi pergerakan kami berdua. Akan tetapi di Saie keenam, aku beroleh kembali tenaga yang luar biasa setelah membisikkan diri ini dengan ungkapan, “Ya Allah, aku bersaie semata-mata kerana-Mu Allah.” Aku ulang sebanyak tiga kali sehingga akhirnya kami berdua boleh mendahului gerombolon duyufurrahman Multazam yang lainnya.

 

Usai tahalul, aku meminta izin kepada ustaz Ali untuk balik ke hotel. Maraton dzikir (tasbih, tahmid dan takbir) ketika dalam perjalanan balik ke hotel.

 

Belumpun sempat melalui suku perjalanan, kami melihat para duyufurrahman berbondon-bondon menuju ke dataran. Kami memutuskan untuk berpatah balik kerana masa untuk solat subuh semakin mendekat.  Aku santuni suriku ke WC 1 untuk  sesuatu sedang aku ke MC2 untuk perkara yang hampir sama.

 

Usai selesai urusan kami berpatah balik ke Masjid. Aku santuni suriku di suatu sudut sedangkan aku bergerak lebih ke dalam kerana aku masih lagi memakai ihram.  Syukur Ya Allah, usahaku yang hanya sedikit iaitu memberi sekelumit kecil manasik di dalam group yang mana terpakai untuk solat subuh di pagi itu. Ramalanku terpakai apabila di rakaat pertama, Imam memulakan bacaan Surah As-Sejadah di rakaat pertama selepas bacaan Al-Fatihah. Imam sujud diikuti oleh Jemaah, sujud dan kembali  berdiri meneruskan bacaan As-Sejadahnya hingga akhir ayat.

 

Usai solat. Aku menemui suriku di WC1 dan balik bersama-sama sambil bergendongan tangan. Kira-kira empat puluh meter mendekati hotel (Dar Al Bait), di bawah Hotel Makarem, kami memesan dua mangkuk aiskerim manga yang menyelerakan. Aiskerim Mekah yang pertama menerjah tekak kami. Kami menuju ke kafe dan menikmati sarapan pagi dengan hidangan nasi lemak yang enak selera Malaysia. Mandi dan mengambil sedikit rehat untuk persediaan solat Jumaat.

 

Ketika menuju ke masjid untuk solat Jumaat, aku mendepani kesesakkan di luar dugaan. Para duyufurrahman tertahan di bawah jejambat. Rata-rata tetamu Allah berpatah balik. Aku solat di luar Hotel Makarem bersama ribuan Tetamu Allah. Kesesakan adalah disebabkan har Jumaat merupakan hari libur Saudi Arabia.

 

Menyertai sabil

 

Usai makan tengah hari, suriku mencadangkan agar menyertai penyerahan sabil yang berupa makan tengah hari untuk fakir Mekah. Suriku berjanji untuk bergerak sendiri ke masjid tanpa menungguku seperti selalu-selalunya. Aku juga membawa dua pasang jubbah yang dibungkus kemas dalam dua plastic berasingan untuk diinfaqkan kepada sesiapa yang memerlukannya. Kami bergerak dalam satu pasukan dan mengiringi sabil sejumlah 500 lebih tapau makanan.

 

Aku kagum, dalam beberapa minit saja, satu barisan panjang lelaki dan wanita di barisan lain bersedia untuk menerima sabil. Para duyufurrahman Nurmultazam membahagi-bahagikan tapau mengikut jantina. Di samping itu, aku mengambil kesempatan menyerahkan jubahku kepada salah seorang yang sewaktu denganku (sama saiz). Aku dihambat kejutan di mana si penerima membuka bungkusan langsung memakai jubbah itu di depan khalayak.  Nasib baiklah jubbah itu telah kami cuci di Madinah dan siap berstrika. Malahan dia mengajak salah seorang dari rakannya untuk jubbah yang satu lagi. Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan kami semua.Kami keluar meninggalkan lokasi penyerahan sabil menuju ke masjid. Cikgu Najib menyertaiku ke pintu 91.

 

Usai solat Asar, balik ke hotel atas janji temu  dengan seseorang yang hanya kukenali melalui media sosial. Jam 5.05 petang, aku umumkan lokasi pertemuan kami dan menunggu kedaangabn beliau. Beliau datang dengan sebuah kenderaan bersama dua orang rakannya. Aku menyerahkan buah tangan dari Bumi di Bawah Bayu yang merupakan kopi Tenom, bilis mata biru, udang kering Sabah dan beberapa makanan dalam tin. Bang Cik, personal yang kerap muncul di TV melaporkan situasi di Mekah (Salam Baitullah) di Musim Haji beberapa tahun dulu, itulah personal yang aku maksudkan. Kami hanya berjabat salam kerana masa suntuk dan kebetulan beliau juga dalam perjalanan untuk menyampaikan sabil kiriman dari Malaysia (Aqiqah kambing).

 

Bang Cik live bersama haji


Menyusuri suasana padat ke masjid kerana waktu solat maghrib semakin dekat. Di solat maghrib, imam membaca ayat yang pendek iaitu Surah At-Tin dan Al Ma’un, ayat lazim yang hafal di lisan ini. Imam itu cukup memahami akan suasana jemaah yang bersolat dan memikirkan warga emas sebahagian makmumnya. Kalau diikut logik akal, boleh saja beliau membaca surah yang panjang kerana imam di sana, surah-surah al-Quran adalah lisanan harian mereka.


Usai solat, aku menyantuni suriku di WC3 untuk balik bersama-sama ke hotel penginapan kami. Usai makan malam, balik membersihkan diri dan bersembang mengenai apa yang kami lalui sepanjang hari  dan mengamalkan rutin biasa kami iaitu  membaca doa sebelum tidur, Bimikallah Wabika Amud, Al-Ikhlas 3 kali, Al-Falaq 3 kali, Al-Nas 3 kali, membaca dua kalimah Syahadah, doa tahayat, membaca Ayat Kursi sekali. Membaca tasbih dan tahmid dan takbir hingga terlena.

 

 

Itinerari Sabtu 18 November 2023 ( 04 Jamadil Awal 1445 H) hari kelapan (ziarah luar ke Hudaibiyah dan umrah kedua


Jam 3.12 pagi, kami terjaga dari tidur sebelum jam loceng berdering dan membaca doa “Alhamdulillahilazi ahyanaa …….” Iaitu doa bangun tidur. Kami melalui rutin biasa. Kami berbagi-bagi tugas iaitu aku membancuh minuman sementara suriku membersihkan diri. Kami mandi sunat ihram, kerana akan bermiqat di Hudaibiyah pagi itu untuk umrah kedua kami.

 

Usai bersiap, rutin biasa membaca doa di balik pintu, menambah doaku dengan ungkapan, “Ya Allah, pagi ini kami akan menunaikan umrah dengan bermiqad di Hudaibiyah. Mohon jagalah lisan kami, jaga perilaku kami dan kekalkan kebersihan pada pakaian dan tubuh badan kami sehingga kami selesai dengan bertahalul nanti.” Memakai sarung tangan untuk menjaga wuduk dan bergerak ke haramain. Ketika mendekati dataran, kami membaca doa iktikaf dan menapak dengan santai. Pagi itu kami memilih pintu 91 yang membawa kami ke Roof Top, akan tetapi kami memilih lantai 1.


Usai solat, kami bertemu janji di WC3 dan bergerak bersama ke kafe hotel untuk sarapan pagi. Sarapan dengan nasi lemak enak dengan tenang dan santai tidak seperti di Madinah. Di Hotel Dar Al Bait, kafenya tidak sesak. Terdapat dua dewan makan, duyufurrahman Nurmultazam di satu dewan manakala dewan satu lagi untuk Jemaah Indonesia.




Jam 7.70 pagi kami menaiki bas yang berpelekat hijau. Setelah menghitung jumlah duyufurrahman, mutawif memimpin bacaan doa, “Subhanal lazi sahaaralana haza ….. Waaina illa rabbina laa mun kalibun.” Iaitu sebahagian ayat 13 Surah Az-Zukruf dan ayat 14 surah yang sama, iaitu doa sebelum memulakan perjalanan.

 

Sebelum ke Hudaibiyah, kami singgah di suatu hentian yang dikenali sebagai  Wadi Berkat yang diusahakan oleh Al-Ikhwan Malaysia. Sebuah ladang yang ada unta, keldai, kambing kucing dan  ada kafe dan beberapa kemudahan lainnya.

 

Ketika duduk semeja bersama suriku menikmati minuman dan cokodok, Haji Ali Amin menyapa kami, “Ayah bonda udah order makanan?.” Aku mengangguk mengiakan. Kami didatangi oleh anaknda Mutawif Haji Ali yang membelanja kami dengan dua keping Roti Canai. Meja kami juga disertai dua orang lagi Jemaah Nurmultazam yang bersama-sama menghabiskan roti canai selera kampung.

 

Di sana, kami bertukar kepada pakaian ihram dan sempat solat dhuaa di kawasan yang disediakan. Jam 11.01 tengah hari, para duyufurrahman bergerak menaiki bas ke Hudaibiyah. Setibanya di sana, aku solat tahaiyatul masjid, solat sunat  ihram, solat syukur dan solat hajat.

 Singgah dan sejarah kayu koki

Ketika memasuki premis menjual pelbagai barang di sekitar masjid termasuk jubah, minyak wangi, sejadah dan pelbagai barang lagi, aku teringat Surah hud (ayat 37-40) kerana ada antara peniaga menawarkan tasbih yang diperbuat dari kayu koki. Asal sejarahnya ialah menurut Ibnu Kathir Nabi Noh menanam pokok al-Saj (kayu jati atau Koka) selama 100 tahun, melicinkannya 100 tahun selebihnya membina bahtera 3 aras dengan ketinggian 30 hasta. Aras pertama bahtera menenmatkan sepesis burung, tengah untuk manusia seramai 80 orang, manakala bawah untuk haiwan darat yang berpasangan. Nabi Noh membina bahtera memakan masa selama 400 tahun. Setelah banjir besar, bahtera Nabi Noh berlayar selama 80 tahun sebelum dilabuhkan Allah di atas Gunung Judiy berhadapan dengan Pulau Ibnu Omar sempadan Syria Turki di tebing sebelah timur Sungai Dajlah. Suriku sempat membeli lapan tasbih kayu kokki untuk buah tangan kepada sahabat beliau, sedangkan aku membeli sebotol ZAFRON asli.

 

Usai menaiki bas, mutawif menghitung jumlah jemaah. Beliau kemudian memimpin  lafaz niat umrah. Usai berniat umrah badal untuk untuk ibuku di Masjid Hudaibiyah, kini kami terikat dengan 13 pantang larang seperti:1.Tidak boleh menutup kepala bagi lelaki. 2.Lelaki tidak boleh memakai pakaian berjahit. 3.Tidak boleh menutup muka bagi wanita. 4.Tidak boleh memakai sarung tangan (lelaki dan wanita). 5.Tidak boleh memakai minyak wangi atau bau-bauan sama ada di badan atau pakaian atau pada makanan, minuman atau menghidunya (Lelaki dan wanita). 6.Tidak boleh memakai minyak kepala atau janggut (lelaki dan wanita). 7.Tidak boleh menangggalkan rambut / bulu (lelaki dan wanita). 8.Tidak boleh memotong kuku (lelaki dan wanita). 9.Tidak boleh mencabut tanam-tanaman (lelaki dan wanita). 10.Tidak boleh memburu (lelaki dan wanita). 11.Tidak boleh bercumbu (melakukan pendahuluan persetubuhan). 12.Tidak boleh bersetubuh. 13.Tidak boleh berkahwin, mengahwinkan atau menjadi wakil kahwin. Jam 12.03 tengah hari kami bergerak balik ke hotel untuk makan tengah hari.

 

 

Di solat dzohor, aku melaungkan iqamat untuk imam Haji Ali Amin mengimami kami semua. Petang tersebut aku menapak 2,508 (kiraan melaluii jam Digital Samsung hadiah Hari Lahiku yang ke-66 dari anak-isteri)  untuk menamatkan tawafku yang berakhir pada jam 4.50 petang.

 

Ka’bah (Baitullah)  dinamakan sebagai Bayt al ‘Atiq merupakan bangunan yang dibangunkan semula oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail atas perintah Allah SWT. Nabi Ibrahim berasal dari bangsa Kaldani Iraq. Beliau bertutur menggunakan bahasa Hibro (Ibrani).

Ketinggian binaan yang meruntun hati, dicatatkan 39 kaki setengah (Sembilan hasta), di dalamnya terbina tiga tiang dengan keluasan memuatkan 50 orang dewasa dalam satu masa. Jarak dari Hajrul Aswad ke Rukum Syamsi (22 hasta), jarak dari Rukum Yamani ke Hajrul Aswad ke (20 hasta). Beberapa meter dari sisinya terdapat telaga zam-zam, namun ia sudah dikambus.

Baitullah dipasangkan atap dan diletakkan Pancur Emas tatkala usia Nabi Muhammad 35 tahun. Dijaga oleh Syaibah bin Usman setelah bertukar tangan dari Thabit bin Ismail, Qusai bin Kilab, Usman bin Talhah.



Aku terpisah  dengan kelompok utama usai solat sunat tawaf. Aku berusaha menapak keluar meninggalkan dataran Baitullah untuk menyertai suriku yang telah berada di lantai atas yang tengah berbaris untuk membeli tiket SCOTER bagi melaksanakan saie.

 

Warga Saudi amat terpuji dalam soal menepati waktu solat, di mana ketika azan di laungkan, tanpa komperomi, kaunter jualan tiket ditutup serta merta walhal aku adalah antara orang yang kedua dalam barisan untuk urusan membeli tiket. Kami membentuk dua barisan sebelah kanan duyufurrahman lelaki dan wanita sebelah kiri untuk solat asar. Kaunter dibuka dan kami segera mendapatkan tiket dan memulakan saie dengan berscoter.

 

Di Safwa, aku memimpin suriku untuk melafazkan niat saie. Kami melafazkan istilam setiap kali tiba di Safa dan Marwah dalam setiap pusingan. Maraton dzikir (tasbih, tahmid dan takbir) dibaca sepanjang mengerjakan saie, kerana aku mengendalikan scooter sedangkan suriku membaca pelbagai doa-doa.

Usai tahalul, kami turun ke lantai bawah untuk menyertai solat maghrib. Di solat Isyak, kami berpindah ke kawasan dalam masjid dan beriringan balik ke hotel penginapan untuk makan malam dan mandi.

 Misi Hijir Ismail

Malamnya kami memakai ihram kerana dipimpin oleh kedua-dua mutawif untuk berdoa di Hijir Ismail. Hijr Ismail (tempat makbul doa). Ia dikandung dengan binaan tembok marmar setinggi 1.5 meter berbentuk separa bulat. Di situlah tempat tinggalnya Nabi Ismail seterusnya tempat beliau disemadikan bersama ibunya (Siti Hajar isteri ke-2 Nabi Ibrahim). Di atas Hijr Ismail terdapat atap pancuran emas, yang binaannya dibuat ketika Rasulullah berusia 35 tahun.

 Ketika berada di dalam dataran, aku merenung Baitullah dalam renungan yang cukup dalam. Langit terbuka menjadi saksi kami untuk berdoa di Hijir-Mu.  Hatiku berbisik “Ya Allah, permudahkan urusan kami pada malam ini.”  Suriku berada bersama-sama dengan Hajah Siti dengan misi yang sama. Dengan diketuai oleh dua orang mutawif, kami bergerak dalam satu pasukan merapat ke kelambu Baitullah di sudut Yamani. Kami membentuk tiga barisan merapat ke kelambu Baitullah. Berpeluang mencium kelambu Baitullah dan memberi ruang kepada tetamu lain untuk mencium kelambu hitam tersebut.

 

 

Itinerari Ahad 19 November 2023 ( 05 Jamadil Awal 1445 H) hari kesimbalan (ziarah Jabar Rahmah dan umrah ke-3)

Usai berbaris agak lama di tepi kelambu Baitullah di kawasan Sudut Yamani akhirnya  pada jam 12.30 malam beroleh tempat di Hijir Ismail untuk solat dan berdoa betul-betul di bawah pancur emas.  Aku terpisah dan terpaksa dijejaki oleh dua orang mutawif yang dedikasi. Akhirnya kami balik berempat ke hotel penginapan. Belumpun sempat kami menapak ke muka pintu hotel, muncul kelibat anaknda mutawif Haji Ali Amin menyerahkan dua tapau kuih (kuih lenggang dan kuih bijan- lima biji tiap tapau yang mana setiap tapau berharga SR sepuluh). Agak mahal dan inilah yang perlu ditempuh oleh warga Mekah Al Mukaramah yang mempunyai kos sara hidup yang agak tinggi.

 

Sebelum melabuhkan badan yang keletihan, kami sempat memakan kuih-muih tersebut bersama air teh panas. Kami labuhkan tirai lewat malam malam tersebut dengan  rutin biasa kami iaitu membaca doa sebelum tidur, Bimikallah Wabika Amud, Al-Ikhlas 3 kali, Al-Falaq 3 kali, Al-Nas 3 kali, membaca dua kalimah Syahadah, doa tahayat, membaca Ayat Kursi sekali, ketika jam mendakap malam jam 2.03 pagi.

 


Waima dihambat keletihan, dengan izin Allah semangat luar biasa berada di haramain menjadi asbab apabila kami terbangun seawal jam 3.40 pagi sewaktu jam loceng berdering. Kami membaca doa bangun tidur, “Alhamdulillah hilazi ahayana ……….. “. Usai mandi sunat ihram dan berbagi tugas, kami bersiap-siap hendak ke masjid.

 

Sebelum bertolak, kami berdua minum 3+1 dan roti yang masih berbaki. Sebelum bertolak ke masjid, dengan mengenakan tarung tangan agar tidak terbatal wuduk, di belakang pintu bilik, aku menadah tangan sambil diaminkan oleh isteri memohon doa agar diberi kemudahan untuk bersolat di masjid dan memohon agar Allah melicinkan proses umrah badal untuk bapaku.

 

Jam 4.40 pagi, kami bertolak ke masjid.  Sebelum kaki kami melangkah ke dataran, kami membaca doa iktikaf, “Allahum Aftahli Afwaba …… “.


Kami berjaya menapak menggunakan ekskoliter ke Roof Top melalui pintu 92 (Pintu King Fhad).  Aku memilih lokasi di dekat kubah besar. Suasana nyaman di Roof Top ketika menunaikan solat tahaiyatul masjid, solat taubat, solat hajat  dengan doa agar dipermudahkan urusan umrah pada hari tersebut. Solatku diakhiri dengan solat witir sebelum azan kedua. Solat subuh yang paling syahdu, tanpa atap dan berbumbungkan langit terbuka, seolah-olah Allah memerhatikan tingkah kami tanpa hijab yang menghalangi antara kami dengan Allah Yang Esa. Lantunan suara imam dengan pembesar suara yang gah, meremangkan bulu tengkokku. Alunan ayat Al-Quran seolah-olah disyairkan, enak didengari oleh cuping telinga. Aku terpana, terasa Allah berada di tengkok diri yang berdosa ini. Usai subuh, kami turun ke dataran dengan disiplin berbaris bagi mengelak kecelakaan.

 

Solatlah sepuasnya, tiada masa taharim (larangan solat) di Mekah

Andai kita berada di lantai Baitullah dan sekitar masjid, gunakanlah kesempatan untuk menunaikan sebarang solat tanpa ada batas waktu dan larangan. Di rumah kita, kita dilarang solat selepas asar, dilarang solat selepas subuh (Kecuali solat Qadha), tetapi ini tidak berlaku di Mekah. Waima tiada waktu taharim, solat tetap ada peraturannya. Janjinya,  asalkan solat sunat itu sesuai dengan masanya, maksudnya tidaklah solat tahajud itu kita lakukan di siang hari, tidak pula kita solat dhuaa di malam hari.

 

Umrah ketiga

Setelah berada di perut bas, Haji Ali Amin  menghitung jumlah duyufurrahman, mutawif memimpin bacaan doa, “Subhanal lazi sahaaralana haza ….. Waaina illa rabbina laa mun kalibun.” Iaitu sebahagian ayat 13 Surah Az-Zukruf dan ayat 14 surah yang sama, iaitu doa sebelum memulakan perjalanan. Bas berhenti di kaki Jabbal Tsur. Tazkirah dan sejarah hijrah nabi diterangkan dengan cukup jelas. Sempat berfoto bersama suriku di kawasan tersebut.

 

Lawatan diteruskan ke Jabbar Rahmah. Aku dan suriku tidak  itu memanjat bukit malah berlegar di kawasan berkenaan. Kami membeli songkok dan menikmati ais kerim sementara menunggu Jemaah lain menaiki bas.

 

Jabbar Rahmah

Adam yang kesunyian di Syurga memohon pasangan hidup. Lahirnya Hawa dari tulang rusuk Adam. Sebelum mencampuri Hawa, Allah perintahkan baginda membayar mahar kepada Hawa. Apa maharnya, maharnya ialah mengucap dua kalimah syahadah sebanyak tiga kali. Betapa hebatnya penama Muhammad itu di mana belum pun baginda lahir ke dunia, namanya telah disebut oleh bapa kepada seluruh umat sedunia. (Mutawif Ali Amin). Lantaran memakan buah larangan. Adam dan Hawa terbuang ke dunia. Usai berpisah bebilang tahun, akhirnya mereka dipertemukan di Jabbar Rahmah.

Foto di dataran Jabbar Rahmah


Miqat di masjid Ji’ranah

 

Bas bergerak ke Masjid Ji’ranah, bertukar pakaian. Menyertai solat dzohor dan meneruskan denga solat sunat ihram.

 

Anaknda Mutawif Ali sempat menyapaku

 

“Ayah bertukar ihram di mana?”

 

“Di sana dekat kawasan pagar.” Balasku.

 

Aku faham akan kerisauan beliau. Di masa itu, duyufurrahman tidak dibenarkan memakai kain ihram di dalam masjid disebabkan padat dengan Jemaah. Bertukar kain ihram di dalam tandas mendatangkan risiko kain ihram terkena najis. Tawaf adalah umpama solat, pakaian kita hendaklah bersih dan kita bertawaf dalam keadaan berwuduk.

 

Masya Allah, Tabarakallah, suasana di dalam tandas amat sesak. Di pintu tandas berbaris tiga empat orang menunggu giliran. Aku ke tandas untuk mengambil wuduk, membatalkan niatku untuk membuang air kecil kerana masa solat dzohor semakin suntuk.

 

Allah Ya Allah, Engkau sentiasa mudahkan urusanku untuk ke sekalian kalinya

 

Semasa menaiki tangga masjid, seorang tukang bersih masjid melambai-lambaikan tangannya ke arah aku. “Haji, haji, haji.” Setibanya di lokasi tersebut, beliau menyediakan ruang untuk aku bertukar kain ihram dengan selesa di suatu sudut pagar masjid. Beliau menolak semua selipar yang ada di situ dan menyapu lokasi tempat menukar ihram untukku, sedang duyufurrahman lainnya, masih tercari-cari lokasi yang bersesuaian.

 

Usai memakai kain ihram, aku mendatangi beliau untuk menyerahkan kurta hitamku namun ditolak dengan sopan. Aku gantikannya dengan menyerahkan sedikit hadiah Saudi Rial kepada beliau lantas bergerak ke dalam masjid yang padat. Menunaikan solat tahaiyat, solat zohor dan diakhiri dengan solat-solat syukur, taubat, dan hajat. Solatku di masjid itu ditutup dengan solat sunat ihram. Lantas keluar mencari bas kami yang berpelekat hijau.


 

Usai menaiki bas, mutawif memimpin  lafaz niat umrah. Usai berniat umrah badal untuk bapaku di Masjid Ji’ranah, kini kami terikat dengan 13 pantang larang seperti:1.Tidak boleh menutup kepala bagi lelaki. 2.Lelaki tidak boleh memakai pakaian berjahit. 3.Tidak boleh menutup muka bagi wanita. 4.Tidak boleh memakai sarung tangan (lelaki dan wanita). 5.Tidak boleh memakai minyak wangi atau bau-bauan sama ada di badan atau pakaian atau pada makanan, minuman atau menghidunya (Lelaki dan wanita). 6.Tidak boleh memakai minyak kepala atau janggut (lelaki dan wanita). 7.Tidak boleh menangggalkan rambut / bulu (lelaki dan wanita). 8.Tidak boleh memotong kuku (lelaki dan wanita). 9.Tidak boleh mencabut tanam-tanaman (lelaki dan wanita). 10.Tidak boleh memburu (lelaki dan wanita). 11.Tidak boleh bercumbu (melakukan pendahuluan persetubuhan). 12.Tidak boleh bersetubuh. 13.Tidak boleh berkahwin, mengahwinkan atau menjadi wakil kahwin. Jam 12.03 tengah hari kami bergerak balik ke hotel untuk makan tengah hari.

 

Allahu Akbar …….. Aku rasakan tawafku ketika itu tidak mengundang rasa sebak dan sayu. Telahaanku tidak tepat kerana aku tawaf diiringi denga rasa sebak. Setiap kali melintasi Maqam Ibrahim, aku membayangkan betapa sukarnya nabi Allah itu menyusun batu-batuan untuk membina Kaabah.

 

Maqam Nabi Ibrahim

 

Surah Ibrahim ayat 35-41. 7 permintaan Ibrahim kepada Allah

1.      Memohon menjadikan Mekah tampat yang aman

2.      Memohon Allah mengurniakan penduduk Mekah tauhid dan dijauhkan dari penyembahan berhala

3.      Memohon keselamatan anak isterinya yang ditinggalkan di Mekah

4.      Memohon agar memudahkan urusan anaknya (Ismail)

5.      Memohon keturunan yang terbaik

6.      Memohon doanya dimakbulkan

7.      Permohonnan ampun untuk dirinya, kedua ibu bapanya dan kaum muslimin keseluruhannya

 

 

Berdiri bulu romaku kerana jalan mengelilingi Baitullah ini pernah dijejaki oleh kekasih Allah dengan tujuan yang sama. Syukur Ya Allah, kini aku dapat menapak di jejak-jejak kaki yang pernah dijejaki oleh Kekasih –Mu dan para sahabatnya.

 

Aku meneka-neka di manakah agaknya pintu yang pernah digunakan oleh Rasulullah ketika dapat menyelesaikan pertikaian siapa yang lebih layak antara empat pembesar yang bertelagah meletakkan Hajrul Aswad. Peristiwa penting berkenaan terjadi pada tahun 16 sebelum Hijrah (606 Masehi) iaitu ketika suku Quraisy melakukan pemugaran Kaabah. Pada ketika itu hampir saja terjadi pertumpahan darah apabila empat kabilah dalam suku Quraisy bertegang leher mempertahankan pendapat masing-masing dalam perselisihan tentang siapa yang berhak meletakkan batu Ajrul Aswad pada tempatnya.

Pada pusingan tawaf terakhir, kami dibasahi dengan hujan rahmat. Terima kasih Ya Allah, Sejuta Syukur Ya Allah, situasi itu menyebabkan badan terasa nyaman. Bagi warga tempatan Arab Saudi, hujanlah perkara yang amat ditunggu-tungu oleh mereka. Mereka akan menghadang hujan untuk berdoa,  berbanding dengan kita, masa hujan itulah juga kita beriya-iya untuk menggoreng pisang atau menggoreng ikan masin untuk santapan.

Kain ihram sedikit basah, namun kami dapat berlindung ke kawasan bawah bangunan dan menuju ke kawasan air zam-zam untuk membasah tekak. Solat sunat tawaf di kawasan yang agak kering sedikit.

Aku dan surika bergerak dengan susah payahnya ke kawasan menjual tiket untuk bersaie dengan Scoter Elektrik. Aku terpukul kerana ruang membeli tiket bukan di lalun semasa ibadah umrah kedua kami. Kami berjalan agak jauh, namun tidak terasa jauh kerana perjalanan kami diisi dengan zikir.

 

Lagi sekali, kami melalui perkara yang seperti umrah kedua kami. Kaunter jualan tiket ditutup kerana azan sedang dikumandangkan. Usai menyertai solat maghrib, aku bergegas membeli tiket dan menunggu suriku untuk bersaie menggunakan Scoter. 

Di Safwa, aku memimpin suriku untuk melafazkan niat saie. “Sahaja aku mengerjakan Saie umrah tujuh kali ulang alik antara Safa dan Marwah, kerana Allah Taala,” Kami melafazkan istilam setiap kali tiba di Safa dan Marwah dalam setiap pusingan. Di lampu hijau, kami bergerak perlahan bagi membagi peluang suriku membaca marathon doa. Maraton dzikir (tasbih, tahmid dan takbir) dibaca sepanjang mengerjakan saie, kerana aku mengendalikan scooter sedangkan suriku membaca pelbagai doa-doa.

Kami bersaie dengan santai dan rasa lucu sekali-sekala memerhatikan ada kalangan pemandu scotter berlaga sesama sendiri. Di  laluan lima, kami berhenti di suatu lokasi untuk menyertai solat Isyak. Tidak terasa kain ihram yang sedikit basah pada mulanya telah kering, begitu juga stoking suriku yang mulanya basah, kini telah kering semula.


Usai memberi peluang suriku untuk bertahalul, kami balik  ke hotel penginapan. Aku singgah di kedai gunting rambut di bawah Hotel Makareem untuk berbotak dan melangsaikan kerinduan membeli ais kerim mangga.

 

Singgah di kafe untuk makan malam dan balik membersihkan diri. Sebelum melabuhkan diri, aku menstrika baju-baju kami yang akan dipakai beberapa hari lagi sebelum meninggalkan Haramain.  Aku memanjatkan doa berikut, “Ya Allah, Engkau berikan kesihatan kepada kami sekeluarga. Seperti malam-malam sebelumnya, kami tutup tirai malam dengan membaca doa sebelum tidur “Bismika ……….”, membaca Qul Huu Allah 3 kali, Al-Falaq 3 kali, An-Nas 3 kali, membaca dua kalimah sahadah, selawat dan membaca ayat kerusi.

Itinerari Isnin 20 November 2023 ( 06 Jamadil Awal 1445 H) Gagal puasa sunat


Jam 3.40 pagi, kami terjaga dari tidur semasa jam loceng berdering dan membaca doa “Alhamdulillahilazi ahyanaa …….” Iaitu doa bangun tidur. Waima hajat di hati ini untuk berpuasa, akan tetapi terpaksa dibatalkan lantaran tekak terasa pedih dan mula batuk-batuk kecil. Syukur Ya Allah, waima gagal berpuasa di Mekah, aku masih sempat untuk puasa Isnin di Madinah. Pagi itu sebahagian besar duyufurrahman Nurmultazam akan berkunjung ke Taif, akan tetapi kami tidak menyertai lawatan tersebut. Usai mandi dan berbagi tugas, aku memanaskan cerek untuk membancuh minum 3+1 dan roti.

 

 

Kami bertolak ke masjid pada jam 4.05 pagi. Sebelum bertolak ke masjid, dengan mengenakan tarung tangan agar tidak terbatal wuduk, aku menadah tangan sambil diaminkan oleh isteri agar diberi kemudahan untuk bersolat di masjid. Semasa melintasi tembok pemisah,  kami melangkah ke dataran, kami membaca doa iktikaf, “Allahum Aftahli Afwaba …… “, rutin doa yang sering kami amalkana semenjak di Madinah lagi.

 

Kali ini kami mengubah laluan iaitu ke masjid melalui jambatan. Solat tahiyatul masjid, solat taubat, solat hajat, solat syukur di akhiri dengan solat witir.

 

Usai sarapan pagi di kafe hotel, kami menapak ke kompleks membeli belah Safwah  menemankan suriku untuk membeli abaya. Aku sendiri membeli dua pasang jubbah untuk rakan-rakan di tanah air.

 

Kami tidak bercadang untuk balik ke hotel, oleh itu kami menempah minuman, martabak daging dan roti canai serta kuah dal SR 14.00.  Hari ini kami menghabiskan masa lebih dari tujuh jam di dalam masjid.

 

Menjelang solat isyak, aku menghantar pesanan ringkas kepada suriku untuk keluar ke dataran bagi mengisi air zam-zam ke dalam botol plastic yang berkandungan lima liter, walhal kami telah pun mengisi dua botol plastic yang berkandungan 1.25 liter tiap satu. 

Allah Ya Allah, Engkau sentiasa mempermudahkan urusanku

 

Allah Ya Allah, Engkau telah mudahkan urusanku, di mana ketika berbaris agak panjang, aku didatangani oleh petugas beruniform coklet muda, memohon untuk menghulurkan bantuan mengisi air tersebut. Beliau  petugas dan tiada masalah baginya untuk memotong barisan yang agak panjang. Usai penuh beliau menyerahkan kepada ku. Aku hadiahkan beliau dengan Saudi Rial dan disambut dengan tadahan tangan yang paling ikhlas yang aku perhatikan. Aku tahu niatnya adalah ikhlas untuk membantuku.

 


 

Usai solat Isyak, aku menyantuni suriku di WC3 untuk balik bersama-sama ke hotel penginapan kami. Usai makan malam, balik membersihkan diri dan mengemas bagasi. Kami bersembang mengenai apa yang kami lalui sepanjang hari  dan mengamalkan rutin biasa kami iaitu  membaca doa sebelum tidur, Bimikallah Wabika Amud, Al-Ikhlas 3 kali, Al-Falaq 3 kali, Al-Nas 3 kali, membaca dua kalimah Syahadah, doa tahayat, membaca Ayat Kursi sekali. Amat sukar untuk melelapkan mata pada malam tersebut, kerana mindaku diterjah oleh seribu rasa haru. Haru untuk meninggalkan  Baitullah yang aku tatap selama lima hari bermukim sementara di Makkah Al Mukaramah. Terlalu pahit untuk menelan keruinduan tersebut, di mana luka kerinduan terhadap Kekasih Allah belumpun sembuh, kini terbentuk pula luka-luka kerinduan yang baharu iaitu luka rindu terhadap Baitullah.

 

Itinerari Selasa 21 November 2023 (07 Jamadil Awal 1445 H) tawaf wida

 

Jam 3.05 pagi, kami terjaga dari tidur sebelum jam loceng berdering dan membaca doa “Alhamdulillahilazi ahyanaa …….” Iaitu doa bangun tidur.  Kami bergilir-gilir mandi di mana mandian terakhir kami ialah siraman air zam-zam dari hujung rambut ke hujung kaki dengan niat di hati dibersihkan diri ini dari noda dan dosa dan kembali ke tanah air dalam keadaan suci bersih. Terasa dingin siraman air zam-zam itu merimbas ke ubun-ubunku. Perkara ini bukanlah kemestian, dan bukan juga ada sunat wajibnya, aku cuma cemburu kepada arwah ibuku dab ibu mertuaku ketika hajinya, mereka sempat turun ke telaga zam-zam untuk bermandi-manda.

 

Dengan ihram, di belakang pintu hotel aku berdoa diaminkan oleh suriku, “Alhamdulillah ….. Syukur Ya Allah, Engkau telah realisasikan hajat kami untuk bertandang ke tanah suci-Mu. Kami mohon Engkau lindungi kami dalam perjalanan ke masjid-Mu. Engkau ampunkan dosa-dosa kami, dosa keluarga kami, dosa kedua ibu bapa kami serta peliharakan kesihatan kami selepas kami kembali ke tanah air kami. Engkau angkat ke langit dunia segala masaalah kami, kejahatan kami dan jangan biarkan kami balik ke tanah air dengan membawa masaalah yang sama. Ya Allah, jangan Engau jadikan kunjungan ini merupakan yang terakhir untuk kami, jemput kami untuk kunjungan yang berikut-berikutnya. Jemputlah anak menantu kami, ahli keluarga kami, sahabat-sahabat, untuk ziarah dn menunaikan ibadah umrah dalam masa terdekat”

 

Kami  bergerak ke masjid di mana suriku membawa abaya yang akan disedekahkan kepada sesiapa yang dikehendaki manakala aku membawa ikan tin  yang tidak sempat dimakan yang dibawa dari tanah air. Kami tidak menunggu lama, turun saja dari tangga hotel, kelibat warga Indonesia berada di mana-mana menjual kuih-muih. Suriku memilih salah seorang pendagang tersebut untuk menyerahkan abaya sedang  aku berjalan sedikit ke depan untuk menyerahkan makanan tin kepada pendorong kerusi yang berkumpul di suatu lokasi.

Kami menyusur pintu yang dilalui oleh duyufurrahman untuk menunaikan solat subuh. Di sujud terakhirku di Rukun Yamani, aku bersujud sedikit lama melafazkan sepenuh kesyukuran kerana kami berdua antara jutaan insan yang dipilih menjadi tetamu-Nya.

Usai solat, kami bertemu dengan Jemaah lain di pintu King Aziz. Usai berhimpun kami mendepani bangunan berselimut hitam itu dengan hati penuh syahdu, sebak usah dihitung. Aku “Allah Ya Rab, janganlah hendaknya Engkau jadikan kunjungan ini yang terakhir buatku. Jemputlah aku sebagai Duyufurahman-Mu dengan membawa ahli keluargaku serta berilah aku kecukupan untuk kunjungan yang berikut-berikutnya. Engkau jemputlah juga rakan kenalanku, adik beradikku, ipar-duaiku, sahabat Geng Surau Al Mukminin, AJK Surau Al Mukminin, ahli group Islam Itu Indah dan semua insan yang mengenali diri ini berumrah mengunjungi dua kota suci-Mu.”


Usai genap hitungan jumlah duyufurrahman Nurmultazam, kami mendekati lampu hijau untuk memulakan tawaf wida dikepelai oleh anaknda Haji Ali Amin, "Bismillah Hirrahman Nirrahim, Ya Allah, aku menunaikan tawaf wida tujuh keliling kerana Allah Taala..." Langkah dimulai dengan Istilam iaitu melaungkan Bismillahi Ya Allah Allahu Akbar sambil memulakan putaran dengan menjaga agar bahu kiri tetap menghadap Baitullah. Tersembul rasa kerdil yang tidak terungkap dengan linangan air mata sebak. Isyarat Tangan Mengucup Hajarul Aswad dan Muncul rasa ‘khauf’. Langkah longlai bermula di sudut Hajarul Aswad (Lampu Hijau) dengan sebak di dada.… tujuh pusingan yang menyiksa aku layan perasaan yang cukup dalam. Tujuh  pusingan dengan  langkah-langkah perlahan dengan mataku berpinar tidak terlepas dari memandang setiap sisi Baitullah.

 

Dalam Surah Ar-Rahman berulang-ulang kali disebut ungkapan ini (31 kali), “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”. Inilah antara rahmat yang Allah sebutkan tersebut. Betapa nikmatnya solat mendepani Kaabah dalam beberapa hari bermukim di Mekah. Allah turunkan Rahmat-Nya untuk kita menikmati suasana tawaf dalam suasana tenang, mendamaikan dan mengharukan.


Usai tamat pusingan yang ketujuh, kami berundur ke kawasan Multazam (lokasi makbul doa) untuk mengaminkan rentetan doa yang diketuai bacaannya oleh Mutawif Haji Ali Amin. Di kiri kananku terdengar isak yang tertahan-tahan. Berderai air mata tatkala berpelukan sesama duyufurrahman.

Luka kerinduan terhadap Kekasih Allah masih berbekas, ini ditambah pula dengan luka baru, luka rindu terhadap Baitullah Al Haram

Kami beredar dari Multazam menuju pintu keluar dengan mata masuk habuk. Kami sengaja memperlahankan langkah agar tepisah dari kelompok yang ramai, lantas berhenti di suatu sudut menghadap Baitullah.


Kami berdoa agak panjang sebelum meninggalkan Baitullah. Aku menadah tangan sambil diaminkan oleh suri dan anak-anakku, “Allah Ya Allah, Engkau ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa anak-anak kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa adik-beradik kami, dosa sahabat-sahabat kami, dosa seluruh kaum muslimin. Engkau mudahkan urusan kami, murahkan reziki kami, kurniakan kesihatan yang berpanjangan dengan keberkatan usia, Engkau jadikan anak-anak kami anak yang cemerlang dunia akhirat, anak yang berwawasan, anak yang senantiasa mendoakan ibu bapa, anak yang berjasa kepada agama, negara dan bangsa, hidupkan dan matikan kami dalam keadaan Islam yang sempurna, terhindar dari fitnah dajal, terhindar dari api neraka. Engkau jemput anak menanti kami untuk maengearjakan hajidalam masa terdekat. Ya Allah, Engkau pertemukan jodoh dua puteri kami dengan pasangan yang mampu membimbing mereka ke Jannatun Naim-Mu, Engkau masukkan kami ke Jannatun Naim-Mu bersama keluarga kami tanpa dihisab, Allah Ya Rab, janganlah hendaknya Engkau jadikan kunjungan ini yang terakhir buat kami. Jemputlah kami sebagai Duyufurahman-Mu serta berilah kami kecukupan untuk kunjungan yang berikut-berikutnya. Engkau jemputlah juga anak-anak dan menantu kami, adik beradik kami, ipar-duai kami, jiran-jiran kami, sahabat Surau Al Mukminin, ahli group Islam Itu Indah dan semua insan yang mengenali diri ini untuk  berhaji mengunjungi dua kota suci-Mu.” Entah berapa kali aku menoleh ke Baitullah, hingga ia hilang dari pandanganku.


Selamat tinggal Baitullah


Jam 10.12 pagi, kami melabuhkan punggung di kerusi bas. Bas bergerak meninggalkan perkarangan hotel Diar Al Bait, Royana Ground Plaza dan Makarem Ajyad melalui terowong. Semasa dalam perjalanan meninggalkan kota Mekah, di kejauhan aku mengintai kelibat bangunan Clock Tower yang berada dalam bangunan Abraj Al-Bait kerana ia satu-satunya bangunan yang dapat diintai waima kita berada begitu jauh dengan kota Mekah.

 

Royal Clock Tower ini mula di bina pada tahun 2004 dan disiapkan pada 2014 yang menelan belanja sebanyak USD 15 billion. Pemaju yang bertanggungjawab membina menara ini adalah dari Saudi Binladin Group manakala senibina rekaaan adalah dari arkitek Dar Al Handasah serta syarikat dari German iaitu SL Rasch GmbH. Aku menoleh dan terus mengintai bangunan itu dengan mata bergenang. Kali terakhir aku dapat mengintai jam Mekah ialah pada jam 10.29 pagi dengan persaan sayu yang menusuk dalam.  Bukan untuk berbangga-bangga, dzikir (tasbih, tahmid dan takbir) ketika di Mekah melebihi dari terget asalku.

 

Replika Al-Quran

 

Ketika melintasi Replika Quran Mekah dan melintasi satu lagi gerbang yang menandakan sempadan tanah haram dengan tanah halal, aku teringat akan apa yang tercatat dalam al-Quran Al-Karim berserta Ensiklopedia, cetakan Percetakan Nasyrul Quran, Presint 14,  Putra Jaya Malaysia iaitu kilang cetak Quran yang kedua terbesar di dunia selain Kilang Cetak Quran Madinah. Dalam Surah Al-Furqan ayat 33 berkait rapat dengan nama Imam al-Nasai yang telah meriwayatkan daripada Ibnu Abas yang menyatakan al-Quran diturunkan sekali gus ke langit paling bawah pada malam Al-Qadar. Kemudian diturunkan ke bumi secara berperingkat-peringkat mengambil masa selama dua puluh tiga tahun.

 

Al-Quran terdiri dari 114 surah dan  6,239 ayat. Tujuh surah yang paling panjang ialah Al-Baqarah, Ali Imran, An-Nisa, Al-Maidah, Al-Anaam, Al-Aaaraf dan Surah Yunus.

Surah Al Isyra’ paling banyak menyebut al-Quran (11 kali). Lima surah dimulai dengan kalimah Alhamdulillah iaitu surah Al-Fatrihah, Al-Khafi, Al-Anaam, Surah Saba dan Al-Fatir.

 

Kitab al-Quran yang memiliki 114 surah tetapi hanya terdapat 113 surah mencatatkan kalimah Bismillah di permulaan surahnya, kerana di Surah At-Taubah tidak dimulai dengan kalimah Bismillah. Aku bermonolog sendiri akan ilmu yang aku pelajari melalui Ustaz Harun (Likas) yang menceritakan rahsia bagaimana Allah menyembunyikan kalimah Bismillah … iaitu terdapat di Surah Al-Naml (semut) ayat 30 yang menyebut ,”Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan sesungguhnya isinya; menyebut Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.” Iaitu isi surat yang dihantar oleh Burung Hud-Hud kepada Ratu Balqis Negeri Saba dimulai dengan kalimah Bismillah. Cerita melibatkan jin yang cerdik bernama ‘Ifrit’, yang membawa singgahsana Ratu Balqis kepada Baginda Nabi Sulaiman hanya dalam sekelip mata.

 

Al-Quran yang mempunyai jutaan keistimewaan, termasuk apa yang pernah diperkatakan oleh Ustaz Sarhan Shaffie  terkait dengan ayat 130 “Waiazaa Batastum Batastum Jabbariin”  yang bermaksud Dan apabila kamu memukul atau menyeksa, kamu melakukan dengann kejam , dibaca sebanyak tiga kali lalu ditiupkan ke atas tapak tangan dan disapukan ke atas lutut sebagai penawar.

 

Begitu juga dengan akhir ayat ke-10 Surah Al-Khafi yang berbunyi , “Waa Ahyik Lana Min Amrina Rashada” bermaksud dan Engkau berikanlah kepada kami  daripada urusan kami petunjuk. Doa yang kami ijazah kepada anak-anak kami dibaca sebelum menduduki peperiksaan, malahan ada jutaan lagi mukzizat yang terkandung di dalam kitab suci itu. Juga, tatkala membaca Surah Al-Khafi, ayat ke-19, berhenti tatkala membaca “ Wal Ya Talaf “ yang membawa makna “Dan hendaklah Dia berlemah lembut”  (ulang 3 kali), niatkan apa yang kita hajatkan. Insya Allah, Allah akan ijabahkan doa-doa kita.

 

Sembilan surah dinamakan dengan nama-nama insan hebat  iaitu Surah Ali Imran, Yunus, Hud, Yusof, Ibrahim, Maryam, Luqman, Muhammad dan Surah Nuh.   Lima surah mengambil nama binatang-binatang iaitu Surah Al-Baqarah, Al-Nahl, An-Naml, Al-Ankabut dan Surah Al-Fill.



Hati terasa masih belum puas untuk mendambakan diri yang kerdil ini kepada Allah, akan tetapi aku harus meninggalkan Mekah Al Munawarah. Entahkan bila lagi aku dapat merenung Baitullah seperti beberapa hari yang telah aku lalui.


Rombongan singgah di Muzium Alamoudi. Aku hanya turun sekejap memfoto bagi menyantuni para duyufurrahman. Perjalanan diteruskan ke kawasan Al Balad. Aku dan suriku berehat di surau Kompleks Cornice sementara menunggu azan untuk menyertai solat Dzohor dan menjamaknya.


Bas bergerak ke Airport menandakan akan berakhirlah ibadah ziarah kami. Setibanya  di sana, duyufurrahman tidak dibenarkan meninggalkan bas. Hanya beberapa orang sahaja yang dibenarkan bagi mengeluarkan bagasi. Aku terpaksa membongkar bagasi untuk mengasingkan pakaian yang akan dipakai di Brunei. Bukan apa, bagasi kecil diisi dengan kain ihram yang perlu dipindahkan ke bagasi bersaiz besar.

 

Terima kasih, anaknda Haji Ali Amin yang telah memudahkan urusan kami untuk cek-in yang mana beliau tidak memberi izin untuk kami berbaris mendapatkan tiket. Kami menerima kerusi 38A dan 38B.

Jumlah bagasi berkurang berbanding semasa keberangkatan ke haramain

 

Alhamdulillah, Sejuta  Syukur Ya Allah, berat bagasi kami berkurang timbangannya kerana kami hanya membeli beberapa abaya untuk anak-anak sedang aku hanya membeli beberapa jubbah untuk rakan dan kenalan.  Dengan izin-Mu Ya Allah, kami dapat melorong seseorang untuk menumpangkan bagasinya atas namaku.  Saya yakin itu bukan kebetulan, semuanya ada dalam pengetahuan-Mu Ya Allah. Bukan apa, semasa datang dulu, bagasi kami sendat dengan bahan-bahan infaq termasuk beberapa selipar yang kami hajatkan untuk ditinggakan di Haramain-Mu. Tiga selipar ditinggalkan di hotel Dar Al-Bait, sepasang di surau Cornice dan bagasi kami berkurang kerana beberapa abaya dan jubbah kami hadiahkan kepada beberapa penduduk Mekah yang kami anggap layak untuk menerimanya. Mudah-mudahan bagasi kami bukan dipenuhi oleh cenderamata, harap-harap kami membawa pulang bagasi pahala yang melimpah-ruah. Ya Allah, Engkau perkenankan doa dan pengharapan kami Ya Rab.

Allah ya Allah, penerbangan tertangguh namun kami telah berada di perut pesawat. Betapa sabarnya para duyufurrahman yang menunggu penerbangan dengan mengamalkan sifat qanaah. Di sisi lainnya, sebenarnya rata-rata jemaah keletihan kerana sebahagiannya telah diulit mimpi-mimpi kerinduan, mimpi kesyukuran dan pelbagai mimpi-mimpi lain.

Jam 7.09 malam, masih sempat berhubungan dengan anaknda Ali yang kehairanan yang kami masih boleh berbalas WhatsApp. Beliau risau kerana masih menyimpan kunci untuk tiga bagasi kami. Aku melaporkan yang aku ada menyimpan kunci penduanya. Jam 10.01 malam, pesawat mula meninggalkan landasan setelah hampir tiga jam tergendala.

Itinerari Rabu 22 November 2023 ( 08 Jamadil Awal 1445 H) Tiba di Brunei

Di kerusi 38A dan 38B, kami membuka peta pergerakan pesawat dari Jeddah ke Brunei Darussalam. Di kerusi sebelahku (38C) ialah menantu abang iparku, Tuan Fendy yang bertukar kerusi bagi melorong untuk pasangan dari Felda Umas Tawau duduk berdekatan.

 

Pesawat bergerak dengan lancar dan hanya beberapa kali kami ke tandas yang kadang-kala untuk merenggang uraf saraf. Tarik selimut untuk merehatkan badan dan hanya terjaga ketika makanan disajikan.   Waima kami bakal bertemu dengan anak pinak, akan tetapi di hati ini terguris dengan jutaan kerinduan.

 

Ketika mendekati Sgenting Kra, aku meninjau dan memfoto keindahan Fajar Sidiq. Kami menikmati terbitnya Fajar Sidiq subuh di atas kerusi pesawat.

 

 

Pesawat mendarat dengan selamat di Brunei tiga jam lewat. Kami dibawa dengan tiga buah bas ke Wafa hotel. Memperoleh bilik 8329 yang elegan lengkap dengan sette, meja ruang tamu, telivisyen layar bersaiz besar, almari pakaian, katil besar, peti ais, ruang tandas yang luas bersambung dengan ruang dapur. Kami membuka tapau makanan untuk makan tengah hari.

 

Usai membongkar sedikit bagasi, aku menghantar WhatsApp kepada saudaraku Zainal untuk bertemu janji esok paginya atas alasan untuk berehat. Usai solat jamak dzohor, kami mencapai  selimut dan merawat diri masing-masing.

 

Pada petangnya, aku longgarkan jendela menikmati hujan petang yang menyirami bumi Brunei. Usai mandi, aku ke Lobby Hotel untuk mengambil tapau makan malam. Usai solat jamak Maghrib Isyak,  suriku memasan sepinggan mee mamak dan sepinggan mehon goreng dari café hotel (hanya BR 15.00). Kami hanya membuka mee mamak kerana melihatkan kuantiti makanan yang banyak, dan memang sedap. Mehoon goreng kami serahkan kepad Tuan Fendy yang menginap di sebelah bilik kami.


Malam tersebut kami sambung borak-borak ibadah ziarah yang tidak habis-habis untuk dikongsikan. Ada-ada sahaja perkara yang menarik minda kami. Ialah, berulang-ulang kali atau berkali-kali anada mengunjungi dua kota suci tersebut, pengalamannya tetap tidak serupa. Sebelum tidur, kami berdua menutup kalam malam dengan membaca doa sebelum tidur, membaca Qul Huu Allah 3 kali, Al-Falaq, An-Nas, membaca dua kalimah sahadah, selawat dan membaca ayat kerusi.

.



Itinerari Khamis 23 November 2023 ( 09 Jamadil Awal 1445 H) 

Usai solat subuh berjemaah di bilik, kami mandi dan menunggu masa untuk turun sarapan pagi di lantai bawah. Di kafe, kami santuni pasangan suami isteri dari Taman Semplang Sembulan.

Selepas sarapan pagi, kami keluar ke Supermarket Sim Kim Huat Trading yang berkedudukan sebelah café hotel. Sempat membeli tiga bungkus keropok kering buatan Brunei Darussalam dan beberapa tin Corned Beef (BR 44.79) sebagai buah tangan ke tanah air.

Adik ipar



Perjalanan dari lokasi kediaman adik ipar di Mentiri ke hotel kami, kami jangkakan mengambil masa 20 minit. Kami segera meninggalkan supermarket, bergegas naik ke lantai tiga. Semasa keluar dari lif hotel di lantai tiga, aku terlihat kelibat adik ipar dan mengajak berbual beberapa ketika. Sempan menyantuni beliau dengan jubbah dan Al-Quran Mekah. Kami bercerita dengan rancak hingga tidak terasa yang masa amat mencemburui kami.

Di suatu sudut, terlihat gelagat sebilangan duyufurrahman Nurmultazam menyerahkan kunci menandakan masa untuk cek-out hotel. Sempat berfoto-fotoan sebelum bersalaman dan beliau berlalu pergi dengan lambaian.

 

Usai solat jamat zohor asar, Jam satu, bas kami bergerak meninggalkan hotel menuju ke Air port. Di airport kami berbagi-bagi makanan tapau yang disediakann oleh Nurmultazam.



 

Keajaiban limpahan reziki Allah

 

Jam 2.45 petang, usai  kami berdua menikmati makan tengah hari di kerusi luar airport, kami didatangi oleh seorang bapa yang berpesonaliti kemas, menyapa kami.

 

“Kita naik Royal Brunei kah”

 

“Aauu”

 

“Dari mana bis kita”

 

“Dari Sabah”

 

“Di Sabah di mana biskita?”

 

“Di Papar.”

 

“Ooohhh, banyak dangsanak arwah mamaku di sana atu”

 

Beliau menghulurkan seratus dollar Brunei untuk aku dan seratus dollar Brunei untuk suriku. Kami yang tergamam, tanpa menduga, dan terkejut tidak sempat bertanyakan nama beliau yang segera berlalu pergi meninggalkan kami. Isnya Allah, di ibadah umrah yang berikutnya kami berazam untuk mendoakan renteten  doa buat beliau. Allah datangkan seseorang yang menghulurkan wang untuk kami.

 

Setelah memerhatikana dari jauh, jemaah Nurmultazam mula memasuki dewan pelepasan, dari luar, kami menolak bagasi masing-masing. CEO Nurmultazam melambai-lambai kami untuk khidmat memasukkan dua bagasi kami di ruang cek-in. Syukur ya Allah, Engkau sering mudahkan urusan kami. Oleh itu kami tidak perlu bersusah mengusung beg ke ruang penyuimpanan bagasi yang agak tinggi.

 Aku, suriku dan beberapa jemaah memasuki surau Airport menunggu solat maghrib. Di surau, aku memunggah komputer riba untuk memulakan penulisan travelog. Sempat disantuni oleh Tuan Affendy dan Cigku Najib. Kami solat jamak maghrib Isyak dengan berimamkan ustaz pembimbing salah satu travel agen yang bernama “Raudah Borneo.”

Jam 9.32 malam kami tiba di rumah kediaman dengan selamatnya disantuni oleh dua orang permata hati kami. Kami terpaksa bergegas, kerana keterbatasan ruang parkir yang terhad. Mohon maaf kepada para duyufurrahman yang tidak sempat bersalaman dengan kami berdua.

 

 Sabah tanah tumpahnya darahku, Mekah Madinah tanah tumpanya airmataku


Rindu terhadap Rasulullah dan Baitullah tidak akan pernah padam. Aku akan terus merindui saat-saat manis minum Air Zam Zam di hadapan Kaabah sambil berdoa diberi kesihatan, ilmu yang bermanafaat dan rezeki yang luas. Ungkapan-ungkapan rindu berkait rapat dengan rasa cinta semasa di sana dan bersambung dengan rasa rindu akibat perpisahan tersebut. Memori sepanjang berada di Mekah dan Madinah kusulam indah jauh di sanubari ini. Semoga Allah Azzawajalla memberi peluang kepada hamba-Nya ini untuk menjadi tetamu-Nya di masa akan datang.

Jiwa ini bagai ditusuk sembilu  dan hati ini sentiasa meronta-ronta hendak ke sana, jika boleh berulangkali selagi mendapat pinjaman nafas oleh-Nya. Betapa diri ini terasa teramat dekat dengan-Nya ketika berada di sana. Kini aku tidak lagi dapat menatap Baitullah seperti selalunya, apabila kaki berpijak ke Tanah Air, yang tinggal hanyalah sejuta kerinduan terhadapnya.

Kepada rakan DuyufurRahman serombongan, mohon ampun segala kesilapan kami berdua. Aku sengaja kerap mendapatkan kerusi bas yang stretegik, bukannya tercatat namaku di sana, tetapi niatku ialah untuk melicinkan pergerakan turun naik, almaklum sudah berusia. Sebagai insan biasa-biasa, kita serupa, tidak terlepas dari kesilapan. Tiada seorang insan pun di dunia ini boleh memberi jaminan bahawa ia pasti akan hidup pada keesokkan harinya tatkala ia melelapkan mata untuk tidur di malam harinya. Usia manusia hanya ada dalam pengetahuan-Nya. Oleh itu, mari kita ceria-ceriakan hidup kita yang tersisa. Mohon maaf. Sesungguhnya, keriuhan kalian sepanjang ziarah merupakan pemangkin roh ziarah kami berdua. Andai ada cerita kurang baik sepanjang ibadah ziarah, tinggalkan sahaja sebagai sejarah lampau dan bawalah balik cerita yang baik-baik sahaja.


Kepada pihak pengurusan, mohon maaf andai terkesan dengan tingkahlaku kami berdua. Terimka kasih atas segala kemudahan dan khidmat yang berbulan-bintang dalam menyantuni duyufurrahman. Semoga Allah akan merestu segala usaha terbaik kalian dalam menyantuni para Duyufurrahman. Kepada anaknda mutawif Haji Ali Amin dan Ustaz Saifuddin, jutaan terima kasih atas santunan anaknda berdua. Semoga Allah akan pertemukan kita dalam masa terdekat. Insya Allah. Akhir kalam, aku menyeru diriku sendiri dan kalian, untuk sama-sama berusaha melakukan kesinambungan ibadah seperti mana yang kita lakukan di haramain. Oleh itu, sejuta maaf aku sembahkan andai nukilan ini menguris hati kalian.

Menangislah sepuasnya

Menangislah sebanyak-banyaknya ketika berada di dua kota suci Allah. Hanya tangisan penyesalan, tangisan taubat,  dan tangisan mengimbau dosa membolehkan kita kembali ke tanah air dengan keadaaan bersih, Insya Allah. Ingatlah yang nabi Yaakub itu menangis hinggakan buta matanya, namun kita bagaimana? Nabi Yusuf menangis tika terbuang ke dalam sumur yang amat dalam dan gelap. Maryam juga menangis kerana menyisihkan diri manakala Nabi Lut menangis mengenangkan umatnya. Dan Rasulullah lagi-lagi banyak tangisannya. Namum kita bagaimana, adakah kita hanya menangis di dua kota suci dan ketawa gembira tatkala kembali ke tanah air kita.

 

Hati terkoyak ….. 1,001 momen ziarah ke dua kota suci tersebut melekat di minda ini. Aroma Mekah dan Madinah tidak pernah lekang dari mengetuk pintu hati kecil ini. Terlalu sayu rasanya mengenang ketika duduk bersimpuh di Masjid Nabawi dan di hadapan Kaabah demi bertawajuh ke hadrat Allah. Masih terasa betapa berombaknya debaran dada ini saat-saat pertama mendepani Baitullah terpampang di depan mata. Masih  terasa betapa dinginnya linangan air mata yang mengalir tanpa diminta membasahi lantai karpet dan mar-mar, dan masih terngiang di telinga ini, ungkapan istilam yang meremangkan bulu tatkala berada di pepenjuru Azrul Aswad. 

Doa dan harapan


Ya Allah . . . . doa kami  agar kunjungan tersebut bukanlah kunjungan yang terakhir kami. Kami memohon untuk kunjungan-kunjungan berikutnya disertai pula oleh kesemua jantung hatiku. Saat yang paling menyedihkan ialah ketika melakukan tawaf wida.  Terasa berat rasanya untuk mengangkat kaki ini meninggalkan Baitullah.


Waima kini aku tidak lagi dapat menatap Baitullah seperti selalunya, apabila kaki berpijak ke Tanah Air, yang tinggal hanyalah sejuta kerinduan terhadapnya. Betapa luluhnya perasaan ini andainya kunjungan singkat itu merupakan kunjungan yang penghabisan buatku, akan tetapi di hati ini tetap berdoa agar dijemput untuk kunjungan yang berikut-berikutnya. Itulah doaku setiap selepas solatku sekembalinya aku ke tanah airku. Moga Allah memberi keizinan kepada ku dan keluargaku untuk mengunjungi tanah suci itu.

Sekalung penghargaan

 

Sejuta terima kasih aku panjatkan kepada suriku yang tercinta. Ruang ini kudedekasikan khusus untuk suriku yang setia menemaniku ketika sihat, tika sakit, tika berduka dan tika menghadapi situasi getir. Engkau tidak mengeluh dan engkau tidak pernah bermalas-malas untuk aku. Dalam doaku,  aku langitkan “Ya Allah, Engkau pertemukan aku dengan suriku, kumpulkan aku bersama-samanya, bersama anak-anak dan bersama-sama kedua ibu bapaku serta adik beradik-beradik dan ipar duai dalam Jannatun Naim yang sama. Masukkanlah kami ke dalamnya tanpa dihisab.” Aku tahu, engkau juga telah melangitkan pelbagai doa untukku, dan begitu juga anak-anakku yang aku tinggalkan jauh di tanah air. Terima kasih atas segalanya.


Senarai semak ibadah di Tanah Suci


1. Solat taubat ,  solat hajat dan solat-solat sunat yang lain sebelum berlepas

2. Solat musafir di hari keberangkatan
3. Memohon doa keampunan sepanjang berada di tanah suci dan selepas balik dari Haramain-Nya
4. Menetapkan sejumlah selawat sedari meninggalkan tanah air sehingga ke Madinah
5. Menetapkan sejumlah dzikir ketika bergerak ke Mekah

6. Sujud Syukur ketika tiba di Madinah, ketika tiba di Mekah, dan ketika tiba di tanah air
7. Solat sunat wuduk dan Solat tahaiyatul masjid
8. Solat-solat wajib dan  Solat jenazah
9. Solat kabliah dan baadiah

10. Solat Qadha, Solat Taubat, Solat hajat, Solat syukur, Solat Dhuaa, Solat tasbih,  Solat tahajud, dan Solat witir
11. Puasa Isnin dan Khamis
12. Tawaf sunat
13. Tilawah al-quran
14. Infaq
15. Menapak ke masjid Nabawi dan Masjidil Haram lebih awal untuk memperoleh lokasi strategik. (lokasi depan di Madinah, lokasi mendepani Baitullah di Mekah)

16. Berdoa agar dijemput untuk kunjungan berikutnya


Sekian, Allahu Alam.

Salam dari kami yang fakir.