Tuesday, July 5, 2011

Syarat ke-3

Bulan April 2011, saya telah berjanji ingin berkongsi cara saya sekeluarga mendidik anak ke arah cemerlang pendidikan, akhlak dan sahsiah. Mohon maaf kerana lambat sedikit untuk memuatnaik perkongsian saya, kerana dari 29 Jun hingga 5 Julai, saya melawat anak di Shah Alam, Selangor. Bulan ini saya hanya akan kongsikan syarat ke-3 iaitu menjadikan anak sulong sebagai idola adik-beradik yang lain.
Tidakkah anda gembira apabila setiap kali ujian diadakan, sebaik-baik saja anak-anak muncul di depan pintu rumah, ungkapan pertama yang mereka luahkan ialah “Ayah, Ibu, saya dapat nombor satu”, sambil mengibarkan buku rekod mereka.

Anak sulong paling penting untuk diterapkan dan diajar sebaik mungkin, kerana dia akan menjadi idola kepada adik-adiknya. Hadiah pertama saya apabila anak sulong saya mendapat tempat pertama di ujian pertama di sekolah Tadika ialah Papan Putih “White Board”, bayangkan harganya ketika itu dengan gaji yang tidak seberapa, tetapi itu saya lakukan hanya untuk menjadikan anak sulong idola kepada adik-adiknya. Dan diikuti beberapa siri hadiah lain jika mendapat nombor satu seperti buku-buku komik, papan korum, video-game, jam tangan, beg sekolah baru, basikal, gitar KAPOK sehingglah kepada bermalam di beberapa hotel dari Lawas, Beaufort, Beringgis Resort, Borneo Paradise, Perkasa Kundasang, beberapa hotel di Kota Kinabalu (Berjaya Palace, Mandarin, Diamond Inn, Tang, Promenade, Marina dan Ruby Inn) hinggalah ke Kudat, bukan sebagai sogokan tetapi sebagai penghargaan. Ketika bermalam di hotel, saya berbekalkan beras dan periuk bagi meminimumkan kos.
Hadiah termahal ialah membawa keluarga melancong ke Kuala Lumpur sempena keputusan 5A UPSR tahun 1995 (masa itu belum ada tiket murah AIRASIA). Kami sekeluarga melawat ke beberapa lokasi menarik hingga ke Zoo Negara dan Genting Highland.

Persediaan untuk pembelajaran seperti jadual waktu, penjagaan makan minum (jauhkan makanan ringan yang tidak berkhasiat), amalan memakan sedikit buah zaitun sebelum belajar, mengamalkan pembacaan doa sebelum mula belajar adalah antara rutin yang diberikan.

Masih terpahat beberapa kenangan yang tidak dapat dilupakan, sewaktu menginap di hotel yang begitu sinonim dengan beberapa peristiwa. Peristiwa kematian Puteri Dianah (sewaktu kami sekeluarga menginap di Hotel Mandarin, Kota Kinabalu), peristiwa Sunami (ketika menginap di Hotel Lawas) dan memperoleh iklan kekosongan Guru DG41 di MRSM (ketika bermalam di Hotel Tang Kota Kinabalu sewaktu sambutan Hari Merdeka 2008).

Apa saja kebaikan yang dilakukan oleh anak akan diberi penghargaan, seperti ungkapan tahniah, terima kasih, buat lagi, cuba lagi dan ……. Akan tetapi jika mereka melakukan kesilapan, janganlah menghukum dengan perkataan seperti memang sikap kamu, memang kelemahan kamu, memang kesilapan kamu, lagi-lagi kamu, bila awak mahu berubah, kenapalah awak menyusahkan saya dan lain-lain.