Tuesday, November 17, 2015

PERKONGSIAN PENGALAMAN HAJI 2015

Assalamu Alaikum,

Aku bukan pelukis yang mahir untuk mencalit warna bagi menukar kanvas putih menjadi pelangi berwarna, dan aku juga bukan penyair yang mampu melagukan bait-bait indah yang boleh mengusik jiwa, dan..aku..bukan siapa-siapa. Aku sekadar insan kerdil yang hanya mampu berkongsi sekelumit pengalaman menunaikan ibadah haji. Aku juga tidak bermaksud menunjuk-nunjuk, jauh sekali berlaku ujub. Tujuan utamaku ialah melorong jalan agar pembaca akan mengerjakan haji dengan cara terbaik. Sebahagian moment aku simpul sendiri di benak ini, risau dikatakan sengaja untuk menonjol diri yang masih jauh lebih kerdil di sisi-Nya. Semoga ini akan menjadi iktibar kepada anda, di luar sana dan moga ia menjadi dakhwah kecil buat bekalku di alam akhirat nanti.

Firman Allah Taala :


وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً

Maksudnya : "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya."

[Surah Ali-Imran : 97]

1.Doaku sebelum ke Mekah
2.Setelah mendapat jemputan Allah
3. Misi yang perlu kucapai
4. Menjaga lisan.
5. Tidak mengaibkan Tanah Suci
6. Lain-lain perkara yang aku lakukan
7.Peta perjalananku

1.Doaku sebelum ke Mekah

Tahun pemergian hajiku ialah 2019, tetapi aku berhasrat untuk menjadi tetamu Allah lebih awal kerana ingin menikmati cuti dalam perkhidmatan kerajaan (40 hari), lagipun aku berfikir, aku tahu tarikh bila aku dilahirkan akan tetapi tarikh kematian seseorang insan itu adalah rahsia Allah. Tiga tahun aku menghantar surat rayuan haji dan dua tahun berturut-turut, aku dan isteri mengikuti kursus haji (17 siri) anjuran Tabung Haji Sabah. Selama dua tahun juga setiap selepas solat aku memanjatkan doa berikut “Ya Allah, jemputlah aku sebagai tetamu haji-Mu pada tahun ini, andaikata tahun ini merupakan tahun terbaik untuk aku dan isteri menunaikannya. Andai kata aku dijemput, pertemukan aku dengan rakan-rakan sebilik yang terbaik untukku dan isteriku,”

Aku berusaha untuk menunaikan fardu haji  dengan menghantar sendiri passportku dan passport isteriku serta semua dokumen yang diperlukan ke Ibu Pejabat Imigresen Putra Jaya pada 6 September 2014 untuk diuruskan oleh Puan Kamariah (pengurus haji bagi kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia). Akan tetapi, kami tidak berjaya memperoleh jemputan Allah pada tahun berkenaan. Kami tetap pasrah kerana mungkin tahun itu  bukan  tahun terbaik untuk kami menunaikan fardu haji.

30 Mei - 9 Jun 2015, kami 5 sekeluarga bersama seorang menantu,  menyahut jemputan Allah untuk menunaikan ibadah umrah dengan menyertai rombongan pengendali umrah Nurmultazam, Sembulan Kota Kinabalu.  Rombongan diiringi oleh Tuan Samsul suami puan Siti Sulhayati (Pemilik NurMultazam). Ziarah juga disertai oleh keluarga besar Prof. Dr. Humin (UMS lebih dari 10 orang), keluarga Mohd. Ali Ghani (5 orang), keluarga Haji Ishak Ag. Besar (Membakut - 4 orang), keluarga Haji Salimi Maralim (Kimanis) serta menantu , keluarga Datuk Raiman (IPG Kent), keluarga Cikgu Norbayah Musa (Sipitang - 4 orang), keluarga pensyarah UiTM Sabah (4 orang) dan anak buah yang mengiringi  ibu saudaranya dari Kota Belud. Kami disambut oleh Puan Hayati di Hotel Mubarak Silver Madinah.

Sepanjang sepuluh hari berada di Tanah Suci, tiap kali menapak ke Raudah,  ketika solat di belakang Mutazam dan ketika berada di Hijir Ismail, doa kupanjatkan kepada Allah  agar menjemput kami untuk berhaji pada tahun berkenaan. Aku percaya anak dan menantuku juga melakukan perkara yang sama. Sempat ziarah ke Masjid Quba, Ladang Kurma, Bukit Uhud, Kilang Percetakan Al-Quran Madinah di samping ziarah-ziarah dalam. Di sana kami berkenalan dengan seorang mutawif  pengiring berasal dari Madura Indonesia bernama Tuan Haji Abdul Basid yang bermastautin di Jeddah. 

Lawatan ke Muzium Mekah 2015


Demam denggi

Semenjak aku mendapat perkhabaran yang Tabung Haji telah memulakan penerbangannya ke Tanah Suci, hati ini tidak keruan kerana masih belum memperoleh surat panggilan haji. Sehinggalah penerbangan terakhir dari Kota Kinabalu berlepas,  kami masih gagal memperoleh jemputan Allah, akan tetapi aku tetap belum mengalah, masih berdoa dan terus berdoa. Kekadang aku menghubungi sahabatku di Jeddah (Mutawif Ustaz Haji Abdul Basid) memohon beliau berdoa atas kami berdua.

Pada 18 Ogos 2015, aku balik awal dari pejabat kerana merasa kurang sihat. Isteriku mengajak aku ke klinik Inanam untuk mendapatkan surat suntikan vaksin untuk tujuan haji dan pada petangnya menghantar passport (3 orang - aku, isteri dan kakak ipar) melalui seorang pegawai Imigresen untuk diserahkan kepada Puan Kamairah (Pejabat Imigresen Putra Jaya). Pegawai tersebut kebetulan menjadi wakil Imigresen Sabah menghadiri mesyuarat di Ibu Pejabat Imigresen Putra Jaya.  Tengah hari, 18 Ogos, aku disahkan mengidap demam denggi dan dikuarintin di rumah sehingga 23 Ogos 2015. Semasa berkurung di rumah (kuarintin) hatiku dihambat resah dan bimbang, terlepas peluang berhaji di tahun 2015. Aku diuji dengan demam teruk, yang menyebabkan terpaksa merangka ke tandas untuk berwuduk dan solat dalam keadaan berbaring. Setiap hari juga aku mengunjungi Permai Poliklinik Kota Kinabalu untuk diambil smpel darah untuk urusan makmal. Tiap hari aku dihidangkan dengan soup rebusan ketam dan minum air rebusan pucuk daun betik.

2.Setelah mendapat jemputan Allah

Aku mendapat panggilan menjadi tetamu Allah melalui anakku pada jam 3.45 petang Jumaat 11 September (12 hari sebelum wukuf - seminggu selepas sembuh sepenuhnya dari demam denggi) ketika sedang mempengerusikan mesyuarat Laporan Tahunan BTPN Sabah. Lidah ku kelu, tergamam dan terdiam sejenak dengan air mata bergenang menjawab panggilan tersebut.  Pada hari yang sama juga,  Kren gergasi Mekah jatuh menghempap dinding Masjidil Haram. Aku menangguh mesyuarat seketika untuk turun ke surau pejabat dan melakukan sujud syukur. Aku sedar bahawa jemputan Allah ini adalah juga berkat doa anak-anak dan para sahabatku dan atas perkenan-Nya. Menyambung semula mesyuarat dengan menjawab beberapa soalan dari kalangan ahli mesyuarat mengenai panggilan hajiku. Masih berpakaian baju Melayu, aku tidak terus balik ke rumah, tetapi bertemu isteri di Klinik Dr. Bahrin Sembulan untuk pemeriksaan kesihatan (RM170.00 untuk dua orang) dan memperoleh buku rekod rawatan jemaah haji.

Menyedari perjalanan haji adalah perjalanan ibadah, empat hari tidak terbuang begitu saja. Aku mengisikannya dengan melakukan persiapan rapi dan terbaik untuk kami berdua. Kalau sebelum ini aku menghadap kiblat (Ka’bah) lima kali sehari dari jarak jauh, namun dalam beberapa hari lagi, kami bakal melihat Ka’bah dengan mata kepala sendiri. Perkara pertama yang aku lakukan, membetulkan niat ke Mekah semata-mata kerana Allah. 

Sabtu 12 September (sepatutnya hari cuti). Kami mengunjungi Pejabat Tabung Haji Jalan Sembulan untuk urusan mengemaskini buku akaun, mengisi borang jawapan dan beberapa urusan lain. Kami terjumpa dengan dua orang pelajar talaqi Al-Quran Cahaya Kasih (Pn. Zaleha dan Pn. Saimie) dan guru kami Ustaz Janis Abdullah atas urusan yang sama.

Ahad 13 Sept, aku mengunjungi rumah abangku di kampung untuk menyampaikan berita panggilan haji. Mereka tergamam mendengarkan berkhabaran tersebut. Sempat berkongsi cerita gembira bersama dua orang kakak sepupu dengan genangan air mata, sambil kami bermaaf-maafan antara satu sama lain.

14 September, aku datang ke pejabat untuk menghantar borang permohonan cuti haji dan sempat mendapatkan bantuan Ustazah Junndiah Majid (sedang mempengerusikan mesyuarat EKSA) dan En. Saliudin Hj Salleh (sedang mempengerusikan mesyuarat unit)  untuk memohon tandatangan bagi sesuatu borang yang amat penting untuk anakku Wan Dianah yang akan memulakan kuliah ijazah sarjana di Universiti Malaysia Sabah pada hari tersebut (14 September 2015). Bergegas ke Jabatan Hasil untuk mendapatkan Stem Duti (perjanjian Universiti) anakku.

“Aku datang menyahut seruan-Mu. Aku pohon dipermudahkan perjalananku. Terimalah daku andai ia keikhlasan yang Kau terima. Ampunilah dosa-dosa ku, dosa kedua ibu bapaku, dosa anak isteriku, doa adik-beradikku, dosa guru-guru ku, dosa mereka yang pernah berjasa padaku dan aku mohon berada dalam rahmat dan kasih-sayang-Mu”.

Beberapa hari sebelum keberangkatan, dengan inisatif seorang kenalan serta guru talaqi kami (Ustaz Janis Abdullah), kami berkumpul di Dewan Kuliah Usia pada sebelah malam untuk mendengar taklimat manasik haji dari Ustazah Hajah Saadiah salah seorang penceramah haji Tabung Haji Sabah serta pemilik Tadika Hadanah Semplang. Beberapa persoalan yang bermain di minda bakal tetamu Allah dapat dileraikan sejelasnya. Sekurang-kurangnya boleh mengurangkan kegusaran di hati masing-masing.

3.Aku menetapkan beberapa misi yang hendak kucapai sepanjang berada di tanah suci iaitu :

a)Memperoleh Haji Mabrur
b)Memohon dimasukkan ke Syurga tanpa dihisab
c)Hatam Al-Quran di Tanah Suci
d)Berzikir dengan target tertentu
e)Berselawat dengan target tertentu
f)Bersedekah
g)Beriktikaf setiap kali masuk ke masjid
h) Menggandakan umrah
i) Tawaf setiap hari
j) Berdoa di Multazam dan Hijir Ismail
k) Berazam untuk mengucup Hajrul Aswad
l) Topup solat
m) Puasa sunat
n) Berdoa di Raudah

a)Memperoleh Haji Mabrur

Memohon Allah menganugerahi Haji Marbur adalah menjadi tujuan utama semua tetamu Allah yang menunaikan fardu haji, kerana peluang menunaikan haji adalah sekali bagi kebanyakkan orang barangkali berulang kali kepada sebilangan kecil orang. Oleh itu, aku perlu melakukan amalan terbaik setelah memperoleh jemputan Allah.

Antara perkara yang perlu dititikberatkan ialah memanfaatkan pengisian masa dengan melipatgandakan ibadah ketika berada di bumi Arafah, terutama selepas gelincir matahari ketika wukuf, menggandakan ibadah ketika di Mina, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi Madinah.

Semasa berkhemah di Arafah dan Mina, jemaah dikehendaki memperbanyakkan doa, zikir, selawat, solat taubat, solat Dhuaa, solat Tahajud, solat witir dan membaca Al-Quran. Jika anda mendapati jemaah bersembang kosong, carilah ruang kosong di luar khemah atau berlindung di balik pokok untuk membaca Al-Quran, berzikir dan berdoa. Andaikata anda hadir ke sana bersama pasangan, ajaklah pasangan anda untuk melakukan ritual tersebut. Ketahuilah, selepas gelincir matahari hingga menjelang maghrib, Allah membuka pintu langit untuk tetamunya memohon doa. Ambillh peluang untuk berdoa sepuasnya, moga Allah akan memakbulkan doa anda.

b)Memohon dimasukkan ke Syurga tanpa dihisab

Setiap kali selepas solat ketika berada di Tanah Suci, jangan rasa malu-malu untuk berdoa. Sebelum berdoa, aku mulakan dengan beristigfar, membaca selawat dan membaca surat Al Fatihah.  Adab berdoa yang aku amalkan, mendahulukan doa-doa memohon ampun dosa yang bertimbun, memanjatkan rasa sejuta syukur kerana dijemput menjadi tetamu Allah untuk menunaikan haji, memohon agar diterima haji sebagai haji yang mabrur, memohon diterima masuk ke Syurga Allah tanpa dihisab, mohon dihimpunkan bersama kedua ibu bapa anak isteri cucu cicit, keluarga, sahabat handai, jiran-jiran dan guru-guruku di Syurga dan berdoa agar  dijemput menjadi tetamu Allah pada kunjungan yang akan datang. Diikuti dengan doa pribadi yang lain-lain.

Sekadar mencontohi dan mengubahsuai doa yang dibaca oleh Nabi Ibrahim di Juzuk 13 ayat 41 Surah Ibrahim, "Wahai Tuhan kami, Ampunkanlah daku, kedua-dua ibu bapaku serta orang-orang yang beriman, pada hari berlakunya hitungan amal dan pembalasan."

c)Hatam Al-Quran di Tanah Suci

Dalam Juz 25 Surah Al Jaatsiyah (berlutut) ayat 20 Allah berfirman, "Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini."

Adalah menjadi hasratku untuk hatam Al-Quran ketika berada di tanah suci. Aku memohon sepenuh harap, moga-moga Allah memberikan pedoman padaku, menurunkan rahmat-Nya ke atas aku, isteriku serta keluargaku dan memberi ku petunjuk yang  nyata. Aku bawa Al-Quran yang ada terjemahan  bagi memudahkan melunaskan misi ini, kerana boleh dibaca tanpa wuduk. Syugia diperingatkan ketika berada di bumi Arafah dan Mina penggunaan tandas adalah cukup terhad. Cara pelaksanaan yang aku lakukan ialah, membacanya ketika berada di masjid, mahupun di bilik penginapan, keluar dari khemah untuk mencari ruang terbuka dan di bawah pokok ketika berada di Arafah. 

Semasa berada di khemah Mina, aku gunakan peluang membaca Al-Quran selepas solat, kerana tiada ruang terbuka seperti Arafah. Ketika berada ke Mekah, marathon membaca Al-Quran kuteruskan. Cara pelaksanaan yang aku lakukan ialah bergabung dengan jemaah dari negara lain seperti Pakistan, India atau Bangladesh kerana ketika bersama mereka tidak banyak kata sembang yang dibualkan, masing-masing membawa haluan sendiri (pengajaran yang aku peroleh melalui buku Travelog Haji tulisan Prof. Dr. Muhd Kamil). Sembang ringkas yang biasanya ialah, “Saya India, awak dari mana”. Jika kita memilih ruang jemaah Malaysia dan Indonesia, sudah pasti sembang kita akan berpanjangan. Kita akan mendepani pelbagai soalan lazim seperti, datang dengan pesawat mana, tinggal di hotel mana, dari negeri mana, mendarat di mana dan pelbagai soalan yang kesemuanya memerlukan jawapan pasti. Saya bersyukur pabila dapat menghatam akhirnya, iaitu ketika berada di Madinah.

d)Berzikir dengan target tertentu

Terjemahan ayat 41 dan 42 Surah Al Ahzaab (juzuk 22), "Hai orang-orang yang beriman, bezikirlah menyebut nama Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya."

"Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pahi dan petang."

Sebaik-baik saja pesawat mendarat di Jeddah, aku memulakan misi zikir dengan target tertentu. Cara pelaksanaan yang aku lakukan ialah berzikir ketika ada kesempatan seperti dalam perjalanan dari hotel ke masjid, selepas solat, sementara menunggu isteri membeli-belah, dan di bilik hotel ketika hendak tidur.

Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda : Barangsiapa banyak berzikir kepada Allah, sesungguhnya dia akan terhindar dari sifat munafik.

(HR Tabrani, Jami' Saghir)

Maksud zikir ialah membaca " Tasbih, Tahmid dan Takbir."

e)Berselawat dengan target tertentu

Sebaik-baik saja menaiki bas menuju ke Madinah, aku menukar dari zikir kepada selawat dengan target tertentu. Cara pelaksanaan yang aku lakukan ialah berselawat di sepanjang perjalanan dari Mekah ke Madidnah. Selawat kuteruskan ketika ada kesempatan seperti dalam perjalanan dari hotel ke masjid, selepas solat, sementara menunggu isteri membeli-belah, di bilik hotel ketika hendak tidur dan pada sebarang kesempatan dan peluang.

f)Berinfaq (sedekah)

Daripada Abu Said al-Khudri daripada Nabi, Baginda bersabda, “Sedekah yang tersembunyi itu memadamkan kemurkaan Tuhan. Silaturahim menambahkan keberkatan umur. Perbuatan baik dapat memelihara daripada bencana keburukan.”

Semenjak dari rumah kediaman, aku telah membawa beberapa babat wang Malaysia untuk tujuan berinfaq di tanah suci. Setelah wang Malaysia habis, aku menggunakan Rial Arab Saudi dengan melaksanakan misi menukar duit SR 10 kepada SR 1 dengan pembersih yang memakai uniform hijau dengan lisan berikut. “Saya mahu menukar SR10 kepada SR1, saya bagi kamu SR10 tetapi kamu hanya perlu bagi saya SR 9.” Bermaksud kita sedekahkan SR1 kepada orang yang kita buat tukaran wang tadi.

g)Beriktikaf setiap kali masuk ke masjid

Bagi saya, adalah satu kerugian kepada kita jika kita masuk ke masjid tanpa niat iktikaf. Bacalah doa masuk masjid “Ya Allah. Ampunkan dosaku bukakan bagiku pintu rahmat-Mu untukku”.  "Allahumatahli Afwaba Rohmatik, Wamaq firratik."

Akan tetapi jika kita hafal niat memasuki masjid, nescaya niat iktikaf akan datang secara automatis sepertimana lazimnya kita menghafal niat ketika hendak masuk ke tandas, niat sebelum makan, niat selepas makan, niat selepas sebelum tidur, niat selepas bangun tidur dan niat sebelum memulakan perjalanan.

Setiap kali sebelum meninggalkan hotel menuju ke masjid, bacalah doa berikut, “Ya Allah, aku ingin beriktikaf di masjid-Mu. Selamatkanlah aku dalam perjalanan ini, jagalah lisanku dan peliharalah kebersihan pakaian dan badanku.” Tambahkanlah doa seperti berikut jika berhajat “Ya Allah, permudahkanlah aku untuk memasuki Raudah-Mu....... Ya Allah, permudahkanlah untuk aku memasuki Hijir-Mu” Sekadar contoh. 

h)Menggandakan umrah

Sepanjang berada di Mekah, buatlah umrah sekerap mungkin. Kumpullah seberapa banyak jemaah untuk menaiki teksi atau van. Kos sebuah teksi biasanya SR 100 sebuah untuk pergi ke Tanaim dan balik ke Masjidil Haram, ataupun SR 10 seorang bagi kos pengangkutan pergi balik menaiki van. Bawalah ke Tanah Suci dua pasang kain ihram agar boleh dicuci dan dipakai silih berganti. Niatkanlah umrah tersebut untuk keluarga kita yang telah pergi terlebih dahulu dari kita, terutama ibu bapa kita.

i) Tawaf setiap hari

Dua tiga hari selepas hari tasyrik, sememangnya situasi di dataran Kaabah begitu sesak, akan tetapi yakinlah sebagai tetamu Allah pasti kita akan beroleh tempat untuk melakukan tawaf. Andai dataran Kaabah sesak, kita masih mempunyai pilihan lain untuk bertawaf, sama ada di lingkungan bulatan Mataaf bertingkat (Ring) atau di bangunan Masjid mahupun di atas masjid kawasan yang tidak berbumbung (Roof Top). Janganlah berkira dengan Allah, hanya ingin bertawaf di kawasan yang dekat sahaja. Carilah pengalaman bertawaf di kawasan lain, kerana selama ini Allah tidak pernah berkira melabuh kurnianya kepada kita.

Allah berfirman bermaksud “barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sungguh akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik …. “

(An-Nahl : 97)

j) Berdoa di Multazam dan Hijir Ismail

Hijir Ismail adalah kawasan sempit tempat makbul doa yang mempunyai dua laluan masuk akan tetapi hanya satu pintu keluar masuk digunakan oleh untuk jemah. Sebelum tawaf, lakukanlah solat hajat terlebih dahulu untuk memohon dipermudahkan perlaksanaan tawaf dan berdoalah agar Allah memberi peluang kepada kita untuk memasuki Hijir Ismail. Setiap kali melintasii Rukun Yamani, angkatlah tangan dengan doa berikut, “Ya Allah ampun dosa-dosaku, berilah aku kesejahteraan hidup dunia dan keselamatan di hari akhirat serta sesungguhnya aku ingin memasuki Hijir Ismail pada hari ini. Bantulah aku Ya Allah, aku ini insan kerdil yang tiada apa-apa. Segala kekuatan hanya milikmu, Ya Allah.” Selepas tawaf, di pusingan kelapan cubalah merapatlah sedekat-dekatnya dengan Hijir Ismail seterusnya menyelit masuk ke dalamnya. Berdoalah sahaja andaikata tetamu Allah begitu ramai dan sesak, solat sunatlah jika situasi mengizinkan untuk anda melakukannya.


Susana padat, namun yakinlah kita mampu
mengerjakan tawaf bersama jutaan jemaah 

k) Berazam untuk mengucup Hajrul Aswad

Adalah menjadi cita-cita untuk setiap tetamu Allah untuk mengucup Hajrul Awad, akan tetapi jika situasi tidak mengizinkan, kuburkan sahaja hasrat tersebut. Suasana di kawasan tersebut di musim haji amatlah padat.

l) Topup solat

Lipatgandakan solat anda ketika berada di Mekah . Oleh kerana di sana tiada waktu tahrim (larangan bersolat), manfaatkan solat anda. Perbanyakkan solat taubat, solat hajat, solat dhuaa, solat tahajud, solat witir, solat jenazah, solat sunat awabin, solat qadha dan solat tasbih jika mampu. Tidak terburu-buru melakukan solat sunat baadiah selepas setiap solat fardu. Nantikan iqamat untuk solat jenazah. Ikutlah solat jenazah untuk mendapat satu qiraat pahala. Satu qiraat bersaman dengan panjangnya Bukit Uhud (bukit sepanjang 7 kilometer). Apalah gunanya solat sunat yang terburu-buru dan sudah tentu hati fikiran kita terganggu sehingga bersolat tidak khyusuk, andaikata ketika solat sunat tiba-tiba muazim melaungkan iqamat untuk solat jenazah. Usahakan juga untuk melipatgandakan solat ketika berada di Madinah.

Daripada Abu Hurairah R.A katanya, Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Perbaharuilah iman kamu. Para sahabat bertanya ; Wahai Rasulullah SAW bagaimana kami memperbaharui iman kami? Baginda bersabda : Perbanyakkanlah mengucap kalimah La illaha illallah.

(H.R Ahmad, Tabrani, dan At-Targhib)

Akhirkan setiap solat dengan ucapan kalimah di atas.

m)Puasa sunat

Lakukanlah puasa sunat Isnin dan Khamis jika mampu berbuat demikian. Berpuasalah selepas selesai mengerjakan haji, jangan berpuasa sebelum selesai mengerjakan haji kerana kita hendak menggumpul tenaga dan menjaga kesihatan sebelum berukuf.

n) Berdoa di Raudah

Raudah adalah kawasan sempit tempat makbul doa. Kawasan karpet hijau ini adalah merupakan taman-taman Syurga. Jika kena dengan caranya, amat mudah memasuki kawasan tersebut. Sekitar jam 2.00 pagi kawasan tersebut mudah untuk dirapati. Jika selepas zohor, bersedialah di kawasan kanan Raudah. Lakukanlah solat hajat terlebih dahulu untuk memohon dipermudahkan memasukinya. Insya Allah, Allah akan membuka ruang untuk anda. 

Raudah, ruang karpet hijau di Masjid Nabawi Madinah

Setelah berada di dalamnya, solat dan berdoalah selepas solat taubat dan solat sunat yang lainnya. Akhiri bacaan doa dengan pengharapan berikut, “Ya Allah, janganlah engkau jadikan kunjungan ini buat yang terakhir untukku, jemputlah aku dan keluargaku sebagai tetamu-Mu untuk kunjungan yang berikut-berikutnya. Himpunkanlah aku, kedua ibu bapaku, anak isteriku dan keluargaku di Syurga-Mu. Terimalah hajiku sebagai haji yang mabrur”

4. Menjaga lisan

Juzuk 21 Surah Luqman terjemahan ayat 19 bermaksud, "Dan sederhanakanlah langkahmu tatkala berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai."

Semasa di Tanah Suci, jemaah perlu menjaga lisan kerana lidah itu lebih tajam dari pedang. Ini adalah untuk menjaga hubungan sesama jemaah. Di sana, akan muncul beberapa ustaz yang kurang bertauliah. Jika menghadapi sebarang masalah, berjumpalah dengan ustaz yang bertugas sebagai pembimbing haji. 

5. Tidak mengaibkan Tanah Suci (Pesanan Habib Ali - Mutawif Indonesia yang bermastautin di Mekah)

Terjemahan Surah Ali Imran ayat ke 29 berbunyi, “Katakanlah: Jika kamu menyembunyikan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahui, Allah maha mengetahui apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi. Dan, Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Ini bererti, Allah amat luas pegetahuannya hinggakan sehelai daun yang gugur ke bumi pun ada dalam pengetahuannya. Oleh itu, usah ditegur, usah disapa dan usah disimpan sebarang perlakuan yang tidak kena di hati kita sepanjang berada di sana.

Oleh yang demikian, semasa berada di Tanah Suci dan selepas balik ke tanah air, kawallah lisan kita dari menceritakan keburukan atau kelemahan di dua kota suci Islam kepada orang lain. Menceritakan apa-apa kelemahan membawa maksud kita mengaibkan kota suci tersebut. Biarlah kelemahan itu menjadi rahsia masing-masing. Ia perlu dipertahankan sampai bila-bila. Sesungguhnya, keistimewaan berada di dua kota suci itu melebihi segala-galanya.

6. Lain-lain perkara yang aku lakukan ketika di tanah suci ialah

a)Bersangka baik terhadap ALLAH dalam semua situasi yang kita hadapi semasa berada di Tanah Suci.

Terjemahan Surah Al Ahzaab ayat 54, "Jika kamu melahirkan sesuatu atau menyembunyikannya, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala sesuatu."

Kasih sayang Allah mendahului kemurkaan-Nya. Allah terlalu menyayangi hamba-hamba-Nya, lihat saja bacaan Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penayayang. Sesuatu yang berlaku di tanah suci adalah dengan kehendak-Nya, oleh itu kita perlu bersangka baik dengan Allah. Andai kita ditimpa penyakit sekali pun, berkemungkinan ada rahmatnya. Mungkin Allah ingin mengurangkan dosa kita. Oleh itu, andai anda sakit berdoalah, “Ya Allah, aku mohon semoga engkau kurangkanlah dosa-dosaku dengan penyakit yang kualami ini, “ bukan berdoa, “Ya Allah, aku mohon sembuhkanlah penyakitku ini.” Solat taubat adalah pengubat segala penyakit. Lakukanlah solat tersebut sekerap yang termampu.

b)Ikutilah ceramah anjuran pihak Tabung Haji kerana ia banyak membantu.

Sepanjang berada di Madinah dan Mekah, Tabung Haji sering mengadakan ceramah dan taklimat, jangan ketinggalan untuk menghadiri taklimat tersebut. Daripada kita berseliweran tidak tentu arah, lebih baik kita luangkan masa untuk mendengar ceramah. Ceramah biasanya mengenai manasik haji dan lain-lain yang berkaitan seperti tawaf, saie, tahalul, miqat, ukuf, jamrah, ziarah Rasululah dan taklimat wida serta taklimat perjalanan.

c)Semasa naik teksi, pastikan lelaki masuk dahulu manakala ketika keluar teksi pula lelaki keluar kemudian.

Nasihat dari hasil pembacaanku dari buku lain, ialah menjadikan amalan ini ketika menaiki teksi di tanah suci. Bukan syak wasangka, tetapi kita hendaklah beringat dengan pesanan orang yang terdahulu. Rata-rata pemandu teksi di sana adalah bukan warga Arab, tetapi mereka yang datang dari Bangladesh dan lain-lain Negara.

d)Banyakkan istigfar dan solat taubat, terutama pabila kita merasakan telah melakukan sesuatu kesilapan sepanjang berada di sana.

Ketika di tanah suci, lakukanlah solat yang jarang-jarang kita lakukan di tanah air seperti solat taubat, solat kabliah dan ba'adiah, solat hajat, tasbih, solat dhuaa, tahajud, witir, solat wuduk dan solat-solat lain. Beristigfarlah seberapa yang terdaya dan lakukan setiap selepas sesuatu solat.

e)Lebihkan masa berada di masjid dari lepak di bilik hotel (perkongsian Prof. Kamil Ibrahim).

Jika kita berada di bilik hotel, saya yakin kebanyakan masa kita gunakan untuk bersembang. Andai rakan sebilik kita memahami situasi kita, kadangkala kita dikunjungi oleh tetamu dari bilik lain. Jika kita tidak melayan mereka, nanti lain pula ceritanya. Oleh itu, lebih baik kita mengambil jalan selamat iaitu melebihkan masa berada di masjid (berlama di masjid). Antara kerenah rakan sebilik yang biasa kita lalui ialah membanding harga antara barangan yang dibeli, menyusun barang setiap kali melakukan pembelian dan menyemak senarai nama keluarga yang hendak dihadiahi buah tangan. 

Akan tetapi ini tidak berlaku kepada rakan sebilik saya sama ada ketika di Mekah mahupun di Madinah. Mereka merupakan rakan yang terbaik buat saya. Sesungguhnya Allah memakbulkan doa saya semenjak di tanah air iaitu mohon dipertemukan dengan rakan sebilik yang terbaik

f)Jika hendak tidur di masjid, pastikan berdekatan dengan tempat berwuduk bagi memudahkan pergerakan.

Sukacita dimaklumkan, di musim haji bilangan tetamu Allah terlalu ramai. Jika kita berada jauh dengan kedudukan tandas, pergerakan kita untuk pergi dan kembali dari tandas mengambil masa yang agak lama. Oleh itu, jika ini berlaku, kita terpaksa akur untuk solat di luar masjid.

g)Sebelum menunaikan hajat, pastikan tandas mempunyai air

Perkara ini berkaitan dengan penggunaan tandas di tengah perjalanan. Penyelesaian berkesan ialah membawa sebotol air (bukan air zam-zam) ke mana-mana sahaja kita pergi.

h)Jika masuk ke tandas samaada di Mekah atau Madinah, pilihlah kawasan tandas tingkat paling bawah, pasti banyak yang kosong

Adalah menjadi lumrah manusia untuk memilih jalan mudah iaitu memilih kawasan dekat sedangkan ada lagi kawasan lain yang tidak perlu menunggu giliran yang agak lama. Tandas di Mekah dan Madinah mencukupi untuk melayan keperluan tetamu Allah dan tetamu Rasulullah.

i)Mengunjungi Masjid Quba

Jangan sia-siakan peluang yang terbuka ketika lapan hari berada di Madinah. Isikan masa anda untuk mengunjungi Masjid Quba setiap hari kerana pahala bersolat di dalamnya sama dengan nilai pahala sekali umrah. Carilah rakan seteksi atau van untuk ke sana dengan kadar SR 10 seorang. Berwuduk di hotel dan lakukan solat tahiyat, solat dhuaa, solat taubat dan solat hajat, sebelum kembali ke hotel.

Mudahnya memperoleh pahala

Betapa letihnya menyempurnakan umrah. Kita berbelanja untuk miqad ke Masjid Aiysah Tanaim,
berpantang semasa dalam ihram serta bersesak melakukan tawaf sambil menjaga wuduk. Letih berulang alik antara Safa dan Marwah. Akan tetapi betapa mudahnya, hanya dengan pergi ke Quba dalam keadaan berwuduk. Menuaikan solat sunat di sana, kita diganjari dengan pahala sekali umrah. 

j)Sikap dan mentaliti

Berada di bumi yang diberkati ini memerlukan kita fokus dalam ibadah seharian. Diantara sikap dan mentaliti yang utama yang perlu kita terapkan adalah sifat sabar dalam banyak perkara terutama hubungan dengan tetamu Allah kerana di sinilah kita akan berjumpa dengan sekalian manusia dari seluruh pelusuk dunia dengan pelbagai ragam menurut adat serta peradaban mereka.

Telan pil sabar sekerapnya

Di juzuk 22, Surah Saba (Kaum Saba) ayat 2, "Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi, apa yang ke luar daripadanya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan Dialah yang Maha Penyayang lagi maha Pengampun."

Sifat sabar ini merangkumi semua aspek terutamanya apabila kita mula menjejakkan kaki kita di Lapangan Terbang Jeddah atau Madinah, cara layanan kaunter Imigresen dan kastam yang ketat, makanan yang kita makan, sikap masyarakat Arab yang kadangkalanya kasar dan kadangkalanya sombong, adab-adab di dalam masjid yang kadangkala menguji kesabaran kita. Jika kita meluat melihat tingkahlaku orang lain, mungkin juga orang lain meluat dengan sikap kita. Jauhilah sikap suka merungut akan sesuatu yang berlaku ketika berebut menaiki lif hotel, ketika di Hijir dan tika di Raudah. Anggaplah ia sebagai ujian dari Allah SWT yang mahu melihat akan tahap kesabaran kita. Sekiranya kita tersedar dari perkara-perkara ini, berisgtifarlah dan memohon keampunan dari-Nya dan menyegerakan solat taubat.

Surah Ali Imran ayat ke 200 berbunyi, “Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiapsiaga dan bertawakallah kepada Allah supaya kamu beruntung.”

Insaflah, kesukaran yang kita tempuhi tidak sampaipun sepuluh peratus jika dibandingkan bagaimana kesusahan Rasulullah dan rombongannya menempuh pelbagai rintangan bergerak selama dua belas hari dari Madinah menuju ke Mekah, semata-mata kerana Allah.

7. Peta perjalananku (16 September  2015- Sambutan Hari Malaysia)
(31 hari bermukim di Mekah 8 hari di Madinah - 16 September - 26 Oktober 2015 / Dzulhijjah 1436 H)

Walaupun penerbangan ke Tanah Suci masih samar-samar (masih belum bertarikh), kami berenam, saya, isteri, Pn. Zaleha, Pn. Saimie, Hjh Halimah dan Ustaz Janis Abdullah nekaberlepas ke Kuala Lumpur pada petang Hari Malaysia (16 Sept 2015). Nun jauh di sanubari kami, kami yakin Allah akan menjemput kami berhaji pada tahun itu.

Sebelum berlepas dengan pesawat Air Asia AK 5133, ke Kuala Lumpur pada 6.30 petang 16 September (5 hari selepas menerima surat tawaran haji), aku menunaikan solat musafir di kediaman kami di Tanjung Aru. Sebelum meninggalkan rumah, aku himpunkan dua orang permata hatiku dan isteriku kecuali yang sulung sedang berkursus di Kuala Lumpur, untuk berdoa, Subhanaladzi sakhara lana hadza wa ma kunna lahu muqrinin wa inna illarobbina lamunqolibun. “Segala puji bagi Allah yang telah memudahkan kami (padahal) kami tidak sanggup mengendalikannya. Sesungguhnya kami akan kembali kepada Allah.” (QS. Al-Zukhruf: 14)

 “Ya Allah, selamatkanlah aku, isteriku dan rakan-rakanku dalam perjalanan ini, dekatkanlah kami dari kejauhannya. Peliharalah kesihatan kami di sepanjang perjalanan, sihat semasa berada di Tanah Suci dan sihat selepas balik dari Tanah Suci serta engkau pelihara dan lindungilah keselamatan anak-anak dan harta benda yang aku tinggalkan. Ya Allah, anugerahi kami dengan haji yang mabrur.” 

Anak-anak sepakat menghulurkan Rial Saudi kepadaku dan ibu mereka (SR 1,025.00 dan SR 1,000.00). Usai menyerahkan RM1,050.00 untuk tiket penerbangan Kota Kinabalu - Kuala Lumpur kepada anak Puan Zaleha, aku dan isteri mengikuti barisan panjang dengan perasaan teruja. 

Foto di KKIA pada petang 16 September 2015

Isteriku sempat menyantuni kakitangan sepejabatnya yang kebetulan dalam penerbangan yang sama untuk bertugas di Kuala Lumpur. Sebelum berlepas, kami bersalaman dengan ipar duai dan anak-anak buah dengan perasaan sebak. Kukucup kening kedua-dua anakku dengan rasa sebak yang tertahan-tahan, risau andai anak-anak terasa akan ketiadaan kami berdua dengan pesanan agar mereka tidak meninggalkan solat lima waktu dan mengiringi kami dengan doa. Di dada pesawat, aku duduk di kerusi 19F manakala isteriku di kerusi 19E. Tanpa perasaan gundah gulana, aku begitu fokus berdoa agar perjalanan haji kami licin dan mendapat redha-Nya.

Jemaah haji pergi ke tanah suci  Mekkah dan Madinah  hanya berbekal barang-barang terbatas. Di tanah air masing-masing mereka memiliki keluarga, rumah, kendaraan, kebun, ladang dan sebagainya. Tetapi, ketika berhaji, semua itu ditinggalkan. Mereka pergi dengan hanya berbekal beberapa helai pakaian dan keperluan tertentu. Ini gambaran kecil bahwa ketika meninggalkan alam ini, manusia juga tidak membawa apa-apa. Meninggalkan sanak saudara dan kesemuanya kecuali amal ibadat, anak soleh, sedekah dan ilmu yang dimanfaatkan.

Kami berenam (saya, isteri, Pn. Zaleha, Pn. Saimie, Hjh Halimah dan Ustaz Janis Abdullah) disambut oleh keluarga Pn. Zaleha di KLIA. 

"Assalamu Alaikum puan." Isteriku dihubungi oleh Pegawai Imigresen Putra Jaya.

"Waalaikum salam."

"Puan berada di mana sekarang?"

"Kami di Lapangan Terbang Kuala Lumpur."

"Minta maaf puan, sepatutnya  saya diwakilkan oleh Puan Kamariah untuk menyambut puan dan keluarga. Tetapi saya terlibat dalam mesyuarat penting."

"Tidak mengapa puan, kami diuruskan oleh rakan kami yang menunggu kami di Airport. Terima kasih puan." Isteriku mengakhiri perbualan.

Suami Puan Zaleha dan anak lelaki suaminya, membawa kami  ke Kompleks Haji Kelana Jaya dengan dua buah kereta. Sepanjang perjalanan, suami Pn Zaleha berkongsi banyak maklumat pribadinya yang mencuit hati kami, termasuk pengalaman beliau ketika menunaikan haji. Saya cuma mendengar dengan tekun, dan sekali-sekala menyantuni beberapa pertanyaan dari beliau. Sebenarnya, ada disediakan perkhidmatan pengangkutan (bas) untuk membawa jemaah dari KLIA ke Kelana Jaya.  Allah mempertemukan kami dengan insan terbaik yang memudahkan segala urusan kami berenam. Suami puan Zaleha menemui urussetia Tabung Haji Kelana Jaya yang bertugas tanpa mengira waktu.

Keadaan di Kompleks Haji Kelana Jaya dipenuhi oleh jemaah serta keluarga mereka yang sedang menunggu keberangkatan ke Tanah Suci. Khemah tambahan di laman kompleks haji juga dipadati oleh jemaah. 

"Assalamu alaikum, tuan berada di mana? Kedengaran suara di hujung talian.

"Waalaikum salam. Saya berada di Kompleks Haji Kelana Jaya, " Balasku.

"Syukur Alhamdulillah,  tuan bertiga akan berlepas ke Mekah esok. Tuan diminta untuk melapor diri di Kompleks Haji Kelana Jaya pada jam 8.30 pagi esok."

"Alhamdulillah. Syukur Ya Allah. Terima kasih". Aku mengakhiri pebualan tersebut.

Lebih kurang jam 11.15 malam, kami mendapat perkhabaran (panggilan telefon) untuk berlepas dengan KT 68 keesokkan harinya. (17 September).

Perkhabaran mengembirakan itu menyebabkan hati ini berdebar, mata berkaca dan aku diterjah rasa begitu sebak. Hati berbunga-bunga kerana memperoleh jemputan Allah. Rakan-rakan lainnya juga beroleh perkhabaran yang sama.

Dua buah kereta yang kami naiki meninggalkan Kompleks Kelana Jaya ke hotel penginapan yang berdekatan. Aku  menginap di bilik 111 bersama Ustaz Janis Abdullah, manakala isteriku bersama kakak  ipar dan Pn. Saimie menginap di bilik lain di hotel yang sama. Kami keluar untuk makan malam di lokasi yang berdekatan. 

Foto kenangan bersama suami Puan Zaleha

17 Sept 2015. (Khamis) Berlepas dari KLIA 6 hari sebelum Wukuf

Seawal jam 8.30 pagi semua tetamu Allah berhimpun di Kompleks Haji Kelana Jaya bagi mendapatkan tiket penerbangan, lencana, passport, beg sandang, beg galas yang mengandungi (sejadah kuning sumbangan Maybank, tikar hijau, minyak angin, vitamin, ubat rekahan kaki serta beberapa buku panduan) dan gelang.  Pada lencanaku terdapat catatan nombor bas nombor 7, nama hotel di Mekah dan nombor biliknya sekali serta catatan Maktab 94.  Alhamdulillah, setelah menyemak belakang lencanaku, aku  memanjatkan setinggi rasa syukur kerana ditakdirkan oleh Allah aku menginap di aras yang sama dengan isteriku dan dengan kedudukan bilik yang berdekatan 1508 dan 1509. Kami juga diberi beberapa pelekat (stiker) yang tercatat nama, nombor maktab, nombor bas dan nombor bilik di Mekah untuk dilekat ke beberapa beg masing-masing. Makan tengah hari kami diuruskan oleh keluarga Hajah Zaleha tanpa berkira. 

Hebatnya jemputan Allah

Kami dipertemukan dengan suami isteri kenalan kami dari Tuaran, saudara Yusri, yang tiba pada pagi 17 September. Beliau menceritakan yang mereka mengambil penerbangan kelas perniagaan dari Kota Kinabalu seawal pagi  setelah memperoleh tarikh perlepasan ke Mekah. Menurut beliau, beberapa minggu sebelum memperoleh surat tawaran haji, beliau berusaha ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu untuk mengirimkan passport ke Tabung Haji Kuala Lumpur. Allah pertemukan beliau dengan insan terpilih, iaitu seorangg pensyarah Universiti Malaysia Sabah yang tidak menolak membantu menghantar passport mereka ke Tabung Haji Kuala Lumpur.

Bersama Tuan Haji Yusri (Tuaran)
di lorong khemah Mina 

Sebelum penerbangan, aku bergerak ke surau untuk memakai kain ihram, dua helai kain putih yang tidak berjahit yang dipanggil IZAR yang menutup bahagian bawah dan RIDA' di bahagian atas. Sempat menunaikan solat sunat ihram dan jamak Zohor Asar. 

Hati bergetar, sungguh bergetar semasa memakai dua helai kain putih (ihram) yang tidak berjahit. Tergambar situasi ketika kita berada di Padang Masyar nanti. Tiada yang membezakan taraf kita, berpangkat mahupun berdarjat, semuanya serupa. Aku pergi ke kaunter TH buat kali ke-2 untuk menukar gelang yang kurang selesa yang aku dapat sebelum ini.

Kami bersama bagasi masing-masing, diiringi berbaris menuju ke kaunter pendaftaran di Kompleks Tabung Haji untuk mendapatkan pas berlepas. Di kiri kanan laluan ke kaunter TH, dipenuhi oleh ratusan keluarga jemaah yang memberikan lambaian terakhir. Pada tiket penerbanganku jelas tertera aku duduk sebaris dengan isteriku 49 H dan 49 G. Kakitangan Tabung Haji (TH) memeriksa kad kesihatan dan lencana kesemua tetamu Allah. 

Usai melalui pemeriksaan keselamatan dan penyerahan bagasi, kami diiringi oleh petugas TH ke dalam bas yang disediakan. Semua urusan berjalan dengan lancar lantaran kecekapan petugas TH Malaysia yang diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia. Aku lantunkan kalimat,  “Labbaika Allahumma labik, labaika laa syaariikalaka labbaik,” dengan perlahan agar tidak mengganggu jemaah lain bermaksud: “Ya Allah, aku datang kepada-Mu Ya Allah, aku datang kepada-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu.”

Jam 3.20 petang, deretan beberapa buah bas membawa jemaah berlepas ke Lapangan Terbang dengan diiringi oleh polis trafik tanpa berhenti waima melalui lampu trafik. Hati mula terdetik betapa kami disantuni dengan begitu hormat, kerana bas kami menyusuri terus ke Lapangan Terbang Antara Bangsa Kuala Lumpur. Aku memerhatikan, di setiap lampu trafik, ada kalangan warga yang menaiki pelbagai kenderaan serta pejalan kaki melambai-lambaikan  ke arah kami. Hati ini begitu tersentuh dan dapat mengagak yang mereka bukan setakat melambai malah jauh dari itu, mereka mendoakan akan keselamatan kami. Di laluan dalam landasan, aku sempat memerhati beberapa pesawat yang bersaiz besar menghiasi landasan terbang tersebut. 

Penerbangan kedua terakhir kouta tambahan KT 68 

Jam 5.38 petang, kami  melabuhkan punggung kami di kerusi masing-masing di dalam pesawat. Jam 6.25 petang, pesawat Airbus 380-800 MH 8098 yang membawa 489 tetamu Allah berlepas meninggalkan Kuala Lumpur. Tidak banyak ungkapan lisan semasa di dada pesawat, melainkan membelek-belek buku panduan haji dan sesekali membetulkan kain ihram yang aku pakai. Kami berdua hanya membuka peta perjalanan (GPS) pergerakan pesawat dari Kuala Lumpur ke Jeddah, walhal di LCD pesawat, tersedia aplikasi dan telenovela menarik untuk ditonton (Prof Dr. Haji Mohd Kamil). Aku sekadar tidur-tidur ayam dan sukar untuk melelapkan mata. Beberapa kali, aku mengesat mata yang masuk habuk, hiba betul hati ini tatkala mendapat jemputan Allah. Kolam air mataku  tetiris juga akhirnya. Tarbiah dibaca antara dengar dan tidak (berbisik), risau andai menganggu jemaah lain. 

“Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah! Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu…”.

Minuman dan makanan diedarkan silih berganti, namun seleraku masih terbatas. Berulang kali dihidangkan makan dan minum oleh paramugara bernama Jesrin yang sungguh ramah dan prihatin. Dari celoteh riangnya, beliau mengatakan yang sepatutnya mereka berehat, tetapi merasa bertuah apabila diarah bertugas untuk menyantuni tetamu Allah menunaikan Rukun Islam ke-5.

Setelah pesawat mendekati Qarnul Manaazil – Lebih kurang 94 KM dari Mekkah atau lebih kurang setengah jam perjalanan sebelum kapal terbang mendarat di Jeddah, aku mendengar pengumuman meminta semua jemaah berniat umrah bagi mereka yang mengerjakan Haji Tammatu' dan berniat haji bagi mereka yang mengerjakan Haji Ifrad. Miqat ini adalah untuk jemaah yang terus ke Mekkah. Aku berniat umrah manakala isteriku berniat haji. Rukun  umrah ada 5 iaitu,   berniat di Miqat, Tawaf, Saie, Tahalul  dan Tertib, manakala Rukun Haji pula ada 6 iaitu, berniat di Miqat,Wukuf di Arafah, Tawaf, Saie, Tahalul  dan Tertib

Aku menguis lengan isteriku untuk berniat.

"Sahaja aku menunaikan umrah dan aku berihram dengannya, kerana Allah taala."

Aku menekuni niat yang dibaca oleh isteriku.

"Sahaja aku menunaikan haji dan aku berihram dengannya, kerana Allah taala."

Selepas berniat,  kini aku terikat dengan 13 pantang larangan ketika dalam ihram seperti berikut:1.Tidak boleh menutup kepala bagi lelaki. 2.Lelaki tidak boleh memakai pakaian berjahit. 3.Tidak boleh menutup muka bagi wanita. 4.Tidak boleh memakai sarung tangan (lelaki dan wanita). 5.Tidak boleh memakai minyak wangi  atau bau-bauan sama ada di badan atau pakaian atau pada makanan, minuman atau menghidunya (Lelaki dan wanita). 6.Tidak boleh memakai minyak rambut (lelaki dan wanita) atau janggut. 7.Tidak boleh menangggalkan rambut / bulu (lelaki dan wanita). 8.Tidak boleh mengerat kuku (lelaki dan wanita). 9.Tidak boleh mencabut tanam-tanaman (lelaki dan wanita). 10.Tidak boleh memburu (lelaki dan wanita). 11.Tidak boleh bercumbu (melakukan pendahuluan persetubuhan). 12.Tidak boleh bersetubuh. 13.Tidak  boleh berkahwin, mengahwinkan atau menjadi wakil kahwin. 

Hati ini berbunga-bunga, terasa diri yang banyak dosa ini dengan izin-Nya, atas jemputan-Nya, dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Atas izin Allah, jam 10.00 malam Waktu Saudi, pesawat mendarat dengan selamat  di Lapangan Terbang Haji di Jeddah. Nama Jeddah dalam bahasa  Melayu ialah nenek. Ini kerana adalah dipercayai di situlah tempat persemadian jasad nenek manusia yang pertama iaitu Hawa. Aku segera memutarkan jarum jam tanganku mengikut waktu Arab Saudi. (lewat 5 jam dari waktu di tanah air). Kami diarah bergerak ke kaunter Imigresen tanpa menghiraukan bagasi yang diurus oleh kakitangan Tabung Haji. 

Dalam barisan yang panjang, aku dan isteri berjaya melepasi pemeriksaan Imigresen Arab Saudi jam 1.05 pagi.  Aku mencari lokasi tandas untuk berwuduk bagi menunaikan qada solat yang tertinggal dan sujud syukur di surau airport Jeddah. Tetamu Allah diurus oleh petugas Tabung Haji, dihimpunkan di suatu kawasan dan diatur mengikut nombor bas. Rata-rata tetamu Allah begitu teruja waima dalam keletihan kerana penerbangan jauh. Lantaran tidak dapat melawan rasa mengantuk, aku menghamparkan tikar plastik hijau yang dibekalkan oleh Tabung Haji dan merebahkan badan untuk tidur seketika.

Pagi 18 September (Jumaat - Tiba di Mekah 5 hari sebelum Wukuf)

Usai selesai urusan di Airpot Jeddah, tetamu Allah KT 68 disantuni menggunakan pembesar suara oleh petugas Tabung Haji untuk menaiki bas mengikut giliran masing-masing. Beg yang bersaiz besar diangkat oleh warga Afrika yang telahpun diupah oleh Tabung Haji.  Aku melihat mereka menaikkan beg tersebut ke atas bas yang akan kami naiki.  Bas meninggalkan Jeddah mengikut gilirannya. Ya Allah, aku sungguh kagum dengan kecekapan pengurusan Tabung Haji. Jam 5.05 pagi (lebih 7 jam di Lapangan Terbang), bas no 7 yang kami naiki, bergerak meninggalkan Jeddah menuju ke kota suci Mekah. 

Hasrat di hati hendak melihat sendiri kehebatan bendera yang tertinggi di dunia dan pancutan air yang tertinggi di dunia yang terdapat di Jeddah  tidak kesampaian kerana hari masih gelap atau berkemungkinan bas kami tidak melalui kawasan berkenaan.

Asbab menerima hidayah

Masih terbayang-bayang akan keunikan Masjid Terapung (Jeddah), kedai makan Mang Oedin Si Raja Bakso, Toko Ali Murah dan Supermarket Cornice. Ada kisah unik terjadi di Supermarket Cornice yang menjadi asbab kepada seorang penulis buku Allah Loves Me (Jerry D. Gray) mengucap syahadah (memeluk Islam). Kerika Jerry berada di sebuah kedai emas berkira-kira untuk membeli hadiah buat ibunya, azan dilaungkan yang menyebabkan hampir kesemua pekerja di kedai sekitar supermarket meninggalkan kedai mereka menuju ke surau tanpa menutup premis perniagaan mereka. Jerry yang kebingungan, beredar meninggalkan kedai emas dan menunggu di luar dengan seribu persoalan. Pekedai yang datang semula selepas solat bertanyakan kepada Jerry, mengapa beliau memilih untuk berada di luar kedai yang panas, tidak menunggu di kedai yang berhawa dingin. Jerry yang bertugas sebagai juruteknik pesawat milik keluarga Raja Saudi, risau dituduh mencuri andai berada di dalam kedai. Dengan selamba si pekedai mengatakan bahawa beliau tidak risau barang berharganya dicuri orang, kerana Allah nampak apa yang hambanya lakukan. Lagi pula, pekedai menjelaskan bahawa semua barang dagangannya bukan miliknya tetapi milik Allah. Hal tersebut menyebabkan Jerry berazam untuk mendalami Islam dan akhirnya membawa kepada beliau melafazkan syahadah.

Nikmat air Zam-zam

Surah Ar-Rahman berulan-ulang kali ungkapan ini disebut, “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”

Jam 6.05 pagi, kami diberhentikan di suatu hentian yang dipenuhi dengan puluhan bas yang membawa tetamu Allah. Petugas haji mengedarkan bungkusan berisi kurma, makanan ringan dan sebotol air zam-zam. Itulahlah air zam-zam yang pertama melalui tekakku. Kami diberhentikan di pos pemeriksaan kedua pada jam 6.22 pagi. Hentian ini juga dipenuhi dengan puluhan bas yang membawa tetamu Allah. Petugas Tabung Haji menghitung bilangan jemaah dan menguruskan tetamu Allah dengan senyuman. Hati bergetar kerana sebentar saja lagi, kami akan tiba di Kota Mekah yang sarat dengan sejarah dan merupakan kota yang unik, kota penuh emosi dan kota yang dikatakan tidak pernah tidur. Di sinilah terdapatnya rumah kelahiran insan agung Nabi Muhammad Rasulullah SAW, terdapat Baitullah, kiblat umat Islam seluruh dunia, bukit bersejarah Jabal Tsur, Jabal Nur dan Jabar Rahmah, Padang Arafah, Mudzalifah, Mina yang sinonim dengan ritual perlaksanaan haji, terdapat Hudaibiah, Ji'Ranah dan permakaman Ma'ala,  Kota ini juga sinonim dengan Air Zam-zamnya dan yang paling utama di Kota Mekahlah tempat turunnya sebahagian ayat-ayat  suci Al-Quran Al Karim. 

Di Mekah juga terdapat beberapa masjid ternama seperti Masjid Jin, Masjid Pokok, Masjid Aiysah, Tanaim (tempat bermiqad terdekat) dan Masjid unik bernama Masjid Namirah di Arafah. Masjid Namirah hanya digunakan oleh jemaah setahun sekali iaitu ketika musim haji. Masjid ini juga unik kerana sebahagian masjidnya berada di tanah haram dan bahagian lainny terletak di tanah halal.

Cantiknya Masjid Namirah

Kesesakan membataskan kami untuk tiba awal di hotel penginapan di mana akhirnya pada jam 9.00 pagi (hampir 3 jam perjalanan dalam jarak 75 kilometer), kami tiba di  Hotel Burj Al-Haram (Maktab 94). Aku dimaklumkan, terdapat beberapa jemaah haji pakej Maktab 94 menginap di hotel yang berlainan. Bas yang kami naiki terpaksa mengundur sejauh lebih 100 meter kerana melalui jalan berlawanan arus kerana tidak boleh memasuki kawasan hotel akibat banyak laluan (ditutup) tidak boleh dilalui sebarang kenderaan. 

Aku adalah antara ribuan tetamu Allah yang beruntung dan bersyukur atas kecekapan pengurusan Tabung Haji kerana pengurusan yang teramat cekap. Tidak hairanlah seluruh dunia mengagumi pengurusan mereka yang  menjadi teladan kepada negara-negara lain. Kami disambut ramah oleh petugas Tabung Haji yang begitu prihatin. Usai turun bas, aku melihat situasi keliling dan aku dapat melihat dengan jelas menara jam Mekah yang tersergam di depan mataku. Hotel kami dihuni oleh seramai hampir 3,000 orang tetamu Allah  Maktab 94. Ini bermakna telah ramai jemaah haji menduduki  Hotel Burj Al-Haram sebelum kedatangan kami. Mereka adalah kalangan penumpang pesawat KT 66 dan KT 67.

Syukur dan sangat bersyukur kerana jarak hotel ke Masjidil Haram tidaklah terlalu jauh waima kami adalah dari Muasasah. Kami boleh memilih jalan biasa yang sedikit menurun ketika ke masjid dan sedikit menaik ketika balik ke hotel atau melalui terowong yang jalan keluarnya betul-betul di hadapan Kompleks Safwah.

Urusan penyerahan kunci tidak diperlukan kerana kami telah dimaklumkan yang kunci bilik ada pintu di bilik masing-masing. Aku dan isteri sepakat untuk naik ke tingkat 15 untuk mencari bilik masing-masing. Bilik isteriku  1509 di kedudukan dekat lif, bertiga dengan  Hjh Halimah dan isteri Hj Malek Trengganu. Aku orang yang pertama memasuki bilik (1508) dan memilih katil sebelah kiri. Kami berkongsi tandas dengan penghuni bilik sebelah (1507). Rakan kami yang lain seperti  Ustaz Janis,  Pn Saimie dan Pn Zaleha menginap di aras yang berbeza.

Bilik kami dilengkapi dengan tiga buah katil, alam pendingin hawa dan peti ais besar. Aku sujud syukur di bilikku dengan mata bergenang dan pipi berlinang dengan air jernih yang jatuh menitis tanpa dipinta. Ruang jendela bilik terhalang oleh hotel lain.

Dua rakan sebilik ku (1508) ialah  jemaah Tawau Haji Munir Conde dan seorang yang bernama Haji Majullah bin Malahum (berkemungkinan berada di bilik lain kerana tidak bersama kami sehingga kami ziarah ke Madinah).  Empat jemaah penghuni bilik 1507 Haji Abd. Malek Amat (Taman Semarak Binjai, Chukai Kemaman, Trengganu) Haji Ikhsan Ahmad (Jalan Kolam, Kg. Expo Kamunting, Perak) Haji Saiban Abd. Rahman (Felda Palong 8, Gemas, Negeri Sembilan) dan Haji Matjri Aris (Kg. Tebuan Melayu, Kucing, Sarawak).

Aku menuntut bagasi kami yang disusun di depan pintu lif. Perkara yang pertama yang aku lakukan ialah menyusun barangan dan membuka pemanas air serta minuman 3+1`yang aku bawa (Oligo Coklat Malt, Milo, Ali Tea dan Nescafe Clasic) . Beg besar aku letakkan di bawah katil. Selepas berkenalan dengan rakan di  bilik berdekatan, aku turun ke lobi hotel untuk membeli dua kad sim untuk memudahkan perhubungan kami suami isteri sepanjang sebulan berada di Tanah Suci. Kami menghubungi keluarga di kampung terutama anak kesayangan memberitakan kami telah selamat tiba di Mekah. Aku juga menghubungi rakanku di Jeddah yang merupakan mantan mutawif  kami iaitu Haji Abdul Basid dan Haji Sakdukdin. Mereka tumpang gembira dan mendoakan agar kami memperoleh haji yang mabrur.

Aku berbual panjang  bersama rakan sebilik dan rakan bilik sebelah. Haji Abd. Malek Amat (berhaji bersama isteri) Haji Ikhsan Ahmad (berhaji bersama isteri) Haji Saiban Abd. Rahman (berhaji bersama isteri) dan Haji Matjri Aris (berhaji bersama isteri dan kakak), manakala rakan sebilik berhaji bersama 11 orang jemaah dari Tawau.

Tetamu Allah tidak dibenarkan keluar solat Jumaat di Masjidil Haram kerana situasi yang begitu padat. Aku berehat di lobi hotel bersama isteri sambil membaca beberapa maklumat penting yang dilekatkan di papan kenyataan termasuk bayaran dam. Lobi hotel kami dilengkapi dengan Papan Informasi, kaunter telefon TM, pejabat Tabung Haji (yang tidak pernah kosong - sering ada petugas Tabung Haji mengisi pejabat tersebut), pejabat pengeluaran wang yang dibuka mengikut tarikh yang dicatatkan, Televisyen (berita tempatn dari Malaysia),  Pos Laju Malaysia, tandas dan 3 buah lif.. Hotel kami juga ada kemudahan Klinik Tabung Haji di Tingkat 6, Kafeteria di tingkat 4,  surau di tingkat 1 dan Bilik Barakah yang tidak aku ketahui di tingkat berapa. 

Aku dan isteri berkunjung ke Kafeteria di tingkat 4,  untuk mengambil makanan dalam barisan yang agak panjang. Selepas makan, aku ke surau  hotel dan dapat memerhati melalui jendela surau  tetamu Allah berbondon-bondon menuju ke masjid. Aku mula melakukan misi yang keduaku iaitu membaca Al-Quran selepas solat dzohor.

Jam 3.26 petang, aku menemui pegawai akaun Tabung Haji untuk membayar Dam Haji Tamattu' SR 445.000 (RM431.65), ketika pejabat lengang, namun petugas Tabung Haji berada di beberapa lokasi untuk menyantuni tetamu Allah. 

Jam 4.30 petang, jemaah KT 68 (lebih 400 orang) dibawa ke masjid dengan diiringi oleh pembimbing haji  dan beberapa petugas haji yang memakai baju T berwarna merah serta pembawa nombor Maktab 94 yang mengepelai rombongan kami. Sebelum bergerak, aku membaca doa berikut di pintu bilik, “Ya Allah, permudahkanlah perlaksanaan tawafku, jagalah lisanku dan jagalah wudukku sehingga aku selesai bertahalul nanti.” 

Di kawasan luar masjid aku berdoa, "Allhumaf tahli abwabba  rohmatik", "Ya Allah, bukakanlah bagiku pintu-pintu Rahmat-Mu."

Nikmatnya sujud di Masjidil Haram

Oleh kerana kami tiba dengan jumlah yang ramai, petugas masjid tidak membenarkan kami ke kawasan dataran Kaabah, melainkan mengarahkan kami ke lantai atas (roof top) yang tidak beratap melalui pintu 91. Aku membungkus seliparku dengan plastik dan memasukkannya ke dalam beg sandang merah. Kami diarah bergerak ke roof top menaiki eskalator. Oleh sebab kepadatan tetamu Allah, kami tidak boleh merapat ke kawasan berpagar. Kerana berada di lokasi yang agak terkebelakang, kelibat Baitullah tidak dapat kami lihat.

Situasi di Roof Top sesak dengan tetamu Allah. Kami memilih kawasan di belakang kubah bulat yang agak longgar sedikit.  Isteriku berada bersama-sama jemaah wanita di belakang terpisah dengan jemaah lelaki. Aku menunaikan solat Tahaitul Masjid. Di sujud pertamaku, seluruh jiwa ragaku terasa diresapi oleh sesuatu perasaan lain yang belum pernah kurasakan sebelum ini, tenang, damai, syahdu dan begitu mengharukan.  Selepas sujud syukur, aku mendepakan kedua tanganku mendongk ke langit terbuka tanpa hijab untuk ritual doa yang agak panjang.  Situasi di kala itu begitu mengesankan. Mata bergenang, air mata kesyukuran menitis tanpa diminta. 

Surah An Najm (bintang) ayat 43, terjemahannya bermaksud, "Dan bahawa sesungguhnya, Dia yang menyebabkan orang tertawa dan menyebabkan menangis."

Usai solat maghrib, aku bergabung dengan isteri sambil menoleh ke belakang, memerhatikan laluan turun yang dikawal rapi oleh petugas masjid. Aku mengimbau hasil bacaanku dalam buku Travelog Haji nukilan Prof Hj. Mohd. Kamil Ibrahim. Hasil dari pemerhatianku sendiri, aku membuat kesimpulan, andai ada jemaah yang menuju ke laluan untuk turun tangga dalam bilangan yang agak ramai, petugas akan menghalang tetapi jika jemaah yang ke laluan turun dalam bilangan yang kecil, mereka tiada halangan. 

Foto di Roof Top Masjidil Haram
sebelum turun ke dataran untuk tawaf

Dada berombak mendepani Kaabah

Dalam Surah Al Mu'min terjemahan ayat 19, Allah berfirman, "Dia mengetahui mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati."

Dalam situasi yang berbelah bagi, risau dikatakan mementing diri sendiri, aku berdoa dan membulatkan tekad lantas menemui isteriku serta mengajak isteriku untuk berpisah dengan kelompok KT 68 yang ramai lalu turun ke dataran Kaabah berdua. 

Alhamdulillah, dengan izin-Nya, kami melepasi petugas tanpa mendapat halangan. Dalam kesesakan, kami berjaya menyelinap ke dataran Kaabah. Aku terkedu tanpa kata menatap Kaabah di depan mata, tanpa menyedari air jernih menitis laju membasahi papi kami berdua.

Mengikut Sejarah, Kaabah dibangunkan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Tingginya 9 hasta, Jarak dari Rukun Hajrul ke Iraqi 12.84 meter (m), Rukun Iraqi ke Syamsi 11.28 m, Rukun Syamsi ke Yamani 12.11 m, Rukun Yamani ke Hajrul 11.52 m. Pintu Kaabah 280 kilo emas dibuat 1399H. Setelah mendepani bangunan hitam itu di depan mata, mataku berkaca dan dadaku berombak. 

"Syukur Ya Allah atas kesudian-Mu meperkenan kami berdua menunaikan Rukun Kelima."

Aku menghantar isteriku ke ruang solat wanita. Aku menetapkan tempat pertemuan di lokasi lampu hijau untuk tawaf selepas solat Isyak. Aku mendepani Baitullah di depan mata ketika Solat Isyak pertamaku di musim haji. Usai solat Isyak, dalam kepayahan yang padat oleh para Dyufurahman, akhirnya aku bertemu dengan isteriku di lokasi yang dijanjikan. 

Tawaf yang menyentap

Aku dan isteri menyelit  memulai tawaf di lautan manusia dalam situasi yang amat sesak dan linangan air mata. Aku menyelak kain ihram sebelah kanan untuk memperlihatkan bahu kanan  untuk memeperoleh pahala sunat ketika tawaf. Perlakuan ini hanya untuk tiga pusingan, di pusingan keempat hingga ketujuh, bahu itu bolehlah ditutup semula. 

Di lokasi mendekati lampu hijau, aku berniat tawaf umrah manakala isteriku berniat tawaf Qudum. Dalam kesesakan, di  pepenjuru lampu hijau kami beristilam dengan menghadapkan tapak tangan kanan ke arah Hajrul Awsad sambil membaca, "Bismillahi Allahu Akbar, Wallillah Hilhamd" kemudian mengucup tangan tersebut.  

Di lautan manusia, aku dan isteriku adalah antara tetamu Allah yang bertawaf dengan penuh khyusuk. Lisanku tidak putus-putus menyebut kalimah   "Subahanallah, walhamdulillah, Allahu Akbar" di sepanjang tujuh pusingan tawaf sambil mata yang berkaca-kaca ini tidak lekang dari memandang ke arah Baitullah Al Haram.

Umpama bulan madu

Di Surah Al Hujuraat (Kamar-kamar) terjemahan ayat 18, bermaksud "Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ghaib di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan."

Allahu Akbar …….. Sebelah kanan tanganku di paut kemas oleh isteriku tanpa melepaskannya. Betapa hebatnya kasih sayang antara suami dan isteri ketika mendepani Kaabah, seolah-olah kami sedang dilamun ombak bulan madu. Sekejap badan kami dihayun ke kiri, kekadang ke kanan, akan tetapi kami tetap tenang mendepani situasi sesak itu  atas perkenan-Nya. Di samping itu kami tetap menjaga agar bahu kiri kami sentiasa menghadap ke arah Baitullah serta memelihara wuduk. Aku terbius, terasa seolah-olah Allah sedang memerhatikan gelagat semua tetamu-Nya.

Setiap kali melintasi Maqam Ibrahim, aku membayangkan betapa sukarnya nabi Allah itu menyusun batu-batuan untuk membina Kaabah.  Maqam Ibrahim,  ialah binaan kaca di mana terdapat batu bekas pijakan kaki Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah. Lantaran kepadatan jemaah bertawaf, kami tidak dapat merapat mendekatinya, malahan kami lencongkan laluan kami ke arah yang lebih longgar. Pelbagai bangsa dan warna kulit bersatu dengan tujuan yang satu iaitu melakukan tawaf. Hampir kesemua jemaah memakai kain ihram tergambar suasana di Padang Masyar. 

Sejarah Kaabah

Kaabah dibangun semula oleh dua beranak Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Nabi Ibrahim, seorang Yahudi berbangsa Kaldani dari negara Iraq. Bercakap mengguna bahasa Ibrani (Hibro), manakala Nabi Ismail yang menetap di Mekah, berkahwin dengan wanita bangsa Qahtan dari suku Arab Jurhum II. Kaabah yang asal, merupakan bangunan terbuka, dibinakan atap dan diletakkan Pancur Emas ketika Nabi Muhammad berusia 35 tahun. (Buku Tempat Bersejarah Mekah Madinah - terbitan 1987)

Setiap kali melintasi pintu Kaabah, aku tidak melepas pandanganku ke arahnya. Aku kagum dengan pintu yang dikatakan diperbuat dari  280 kilo emas dengan nilai dikatakan USD 3.5 juta. Aku meneka-neka di manakah agaknya pintu yang pernah digunakan oleh Rasulullah ketika dapat menyelesaikan pertikaian siapa yang lebih layak antara empat pembesar yang bertelagah meletakkan Hajrul Aswad. Peristiwa penting berkenaan terjadi pada tahun 16 sebelum Hijrah (606 Masehi) iaitu ketika suku Quraisy melakukan pengubahsuaian Kaabah. Pada ketika itu hampir saja terjadi pertumpahan darah apabila empat kabilah dalam suku Quraisy bertegang leher mempertahankan pendapat masing-masing dalam perselisihan tentang siapa yang berhak meletakkan batu Ajrul Aswad pada tempatnya.

Tatkala suasana teramat sesak, aku membaca doa Nabi Yunus

"Laillaha illa anta subhanaka inni kuntu minal Dzalimin."

Tiap kali berada di sudut Hijr Ismail (tempat makbul doa), aku tidak melepaskan untuk membaca doa yang agak panjang. Doa yang kubaca berbeza-beza antara setiap pusingan. Hijir dikandung dengan binaan tembok marmar setinggi 1.5 meter berbentuk separa bulat. Di situlah tempat tinggalnya Nabi Ismail seterusnya tempat beliau disemadikan bersama ibunya (Siti Hajar isteri ke-2 Nabi Ibrahim). Di atas Hijr Ismail terdapat pancuran emas.

Setiap kali tiba di sudut Rukun Yamani menuju ke Hajrul Aswad, doa keselamatan di dunia dan kesejehteraan di akhirat tidak putus-putus dilisankan. 

"Rabbana atinaa fiddunia hassanah, waafil akirati hassanah, Wa Qinaa  azaabanar.....". "Ya Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharakanlah kami dari siksa neraka."
Setiap kali tiba di pepenjuru Hajrul Aswad, kami beristilam dengan menghadapkan tapak tangan kanan ke arah Hajrul Aswad sambil membaca, "Bismillahi Allahu Akbar, Wallillah Hilhamd" kemudian mengucup tangan tersebut.  

Apa yang berlaku pada saat tawaf adalah gambaran kecil daripada keadaan yang akan ditempuh ketika berada di akhirat nanti. Pada saat itu, manusia tidak dapat bergantung kepada orang lain. Hanya amal dan pertolongan daripada Allah dan syafaat Rasulullah yang dapat membantu.  Berdiri bulu romaku kerana jalan mengelilingi Baitullah ini pernah dijejaki oleh kekasih Allah dengan tujuan yang sama. Mataku tidak terlepas dari memandang bangunan Baitullah.  

Tidak terasa kami telah menghabiskan 7 keliling tawaf sambil diisi dengan zikir dan doa yang tidak putus-putus memohon keampunan dari Allah yang esa. Air jernih membasahi pipi insan kerdil serta pendosa ini, tapi atas perkenan-Nya masih diberi ruang untuk berhaji. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dapat menghabiskan tawaf tersebut waima dalam pusingan yang agak jauh serta pergerakan  yang amat terbatas lantaran kepadatan para Duyufurahman.


Kami berundur ke Multazam dan mencari sudut yang sesuai untuk solat sunat tawaf dan solat sunat syukur. Kami berada agak lama di situ kerana marathon doa yang agak panjang. Dalam situasi mata berkaca, doa utamaku ialah memanjatkan sejuta kesyukuran kerana izin-Nya, kami berdua memperoleh perkenan-Nya untuk melengkapkan Rukun Kelima. Selepas berdoa dalam keadaan berhimpit di Multazam, kami mencari tong zam-zam untuk membasahi tekak. Kemudian kami beredar ke kawasan Saie.  

Jarak antara kedua bukit tersebut ialah lebih kurang 420 meter. Semasa menuju ke permulaan tawaf (Bukit Safwa), aku dan isteriku berdoa:“Bismillahirrohmaanirrohiim. Innas safaa walmarwata min sya’aairillah. Faman hajjal baita awi’tamara falaajunaaha ‘alaihi ayyatawaafa bihimaa wamantatawwa’akhairan fa innallaaha syaakirun ‘aliim”. (Ayat 158, Surah Al- Baqarah), dengan maksud, "Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Safa dan Marwah sebagian dari syiar tanda kebesaran Allah. Maka barang siapa yang beribadah haji dan umrah ke Baitullah maka tidak ada dosa baginya mengerjakan sai di antara keduanya. Dan barang siapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaan hati, maka sesungguhnya Allah Maha Penerima Kebaikan lagi Maha mengetahui." Doa itu kami ulang baca ketika sebelum tiba di Marwah dan Safa.

Situasi di kawasan Saie juga dipadati oleh tetamu Allah.  Kami memulakan Saie di Safa dengan membaca niat.

"Sahaja aku mengerjakan saie, tujuh ulang alik antara Safa Marwah kerana Allah Taala."
Kami menghadapkan tapak tangan kanan ke arah Hajrul Awsad sambil membaca, "Bismillahi Allahu Akbar, Wallillah Hilhamd" kemudian mengucup tangan tersebut.  

Kami bergerak menuju ke Marwah dalam keadaan yang sendat. Setibanya di Marwah, kami menghadapkan tapak tangan kanan ke arah Hajrul Awsad sambil membaca, "Bismillahi Allahu Akbar, Wallillah Hilhamd" kemudian mengucup tangan tersebut. 

Dzikir, (Tahmid, Tahlil dan Takbir) serta selawat tidak lekang di lisan kami sepanjang 7 kali ulang alik Safa dengan Marwah. Di kawasan lampu hijau, aku berlari-lari anak dalam keadaan yang agak terbatas. 

"Rabiqfirli  Warham ....... "

Suasana di kawasan Saie amat selesa kerana dilengkapi dengan pendingin hawa. Waima menapak agak jauh, kami tidak terasa lantaran begitu fokus melaksanakannya. 

Alhamdu lillah, dengan rahmat Allah, aku dapat menyelesaikan saie umrah manakala isteriku melunaskan saie hajinya dalam suasana yang amat padat dan pergerakan yang agak perlahan. Hanya aku seorang sahaja yang bertahalul kerana suriku memilih Haji Ifrad. Kini aku tidak terikat dengan 13 larangan ihram. 

Dalam suasana yang sesak dengan tetamu Allah, kami yang sekecil saiz Asia menyelit bergerak menuju ke Kompleks Safwah untuk bergerak balik ke hotel sambil berpegangan tangan. Di sepanjang laluan perjalanan kami dipenuhi oleh tetamu Allah sama ada yang balik ke hotel penginapan, mahupun yang bergerak ke masjid. Limpahan lampu limpah di sepanjang jalan seolah-olah hari masih siang. Betullah seperti apa yang dikatakan orang, Kota Mekah adalah kota yang tidak pernah tidur. 

Di laluan balik, aku menghafal hotel yang bakal kami lalui selama lebih sebulan seperti Hotel Safwah Orchid, Hotel Al Massa, Hotel Le Meredian,  Hotel Saraya Ajyad, Hotel Anwar Deyafah, Mira Mall, Hotel Malak Ajyad, Mawadah Dallah dan Ajyad Golden. Hotel Luqluq di penghujung jalan sebelum ke kanan menapak ke Hotel Bakur Hassan Hubhub  dan selekoh ke kiri memanjat sedikit melalui Hotel Awttad Makkah dan hotel penginapan kami Burj Al-Haram Maktab 94. Kami tiba di hotel jam 9.48 malam. Usai terlepas dari 13 larangan ihram, aku membersihkan diri dan mengenakan pakaian biasa. Rakan sebilikku belum berada di bilik, berkemungkinan masih berusaha untuk melakukan tawaf. Aku melelapkan mata dengan membasahkan lisanku dengan maraton doa dan zikir.

19 September Sabtu (tawaf sunat pertama - 4 hari sebelum wukuf )

Jam 2.00 pagi, aku dikejutkan oleh rakan sebilik yang belum sempat menyempurnakan tawaf dan Saie mereka.  Rupa-rupanya rakan sebilikku tidur dengan kain ihram. Walaupun diarah berhimpun jam 3 pagi di lobi hotel, tetapi aku mengajak beberapa tetamu Allah (sembilan orang) dari Tawau dan beberapa orang jemaah lain untuk tidak menunggu jemaah lain. Aku meminta agar kami tidak terpisah selama mengerjakan tawaf dengan berpaut sesama jemaah yang aku bawa. Kami bergerak ke masjid setelah membaca sedikit doa agar perjalanan kami dipermudahkan.

Di laluan sepanjang perjalanan, aku bergerak sambil menunjukkan pandu arah pulang dari Masjidil Haram ke hotel penginapan. Aku menunjukkan Jam Besar Mekah sebagai penanda untuk balik ke hotel. Semasa berada di dataran luar Masjidil Haram, aku menunjukkan arah kedudukan jam kecil dan belok ke kiri dan menjadikan hotel Le Meridian sebagai jalan pulang melalui Jalan Ajjyad untuk balik ke Hotel penginapan kami Burj Al-Haram.  Di penghujung jalan pulang, ada Lulox Hotel sebagai penanda akhir sebelum memanjat sedikit bukit belok ke kiri dan terdapatnya hotel Awttad Mekah.

Setelah berada di dataran Kaabah, aku membungkus seliparku dengan plastik dan memasukkannya ke dalam beg sandang merah. Rakan-rakan lain juga berbuat demikian. Aku fikir, kunjungan keduaku untuk bertawaf tidak mendatangkan perasaan hiba. Sangkaanku meleset, kerana sebaik saja kiblat seluruh umat Islam berada di depan mata, air mataku tidak dapat ditahan-tahan. Aku terus menangis, seperti anak-anak kecil yang menangis, kerana dahsyatnya keagungan dan kharisma Ka’bah. Betapa mulianya Baitullah itu dan sungguh penuh keagungan. Perasaan dekat dengan Allah setiap saat, nescaya akan menjadikan tangis sebagai melahirkan kebahagiaan dan kemerdekaan dari lumuran dosa. Sebelum lampu hijau, kami sama-sama membaca niat tawaf dan beristilam dengan menghadapkan tapak kanan ke arah Hajrul Awsad sambil membaca, "Bismillahi Allahu Akbar, Wallillah Hilhamd" kemudian mengucup tangan tersebut. Begitulah yang kami lakukan setiap kali berada di kedudukan lampu hijau. 

Aku berniat tawaf sunat manakala jemaah yang kubawa berniat tawaf umrah. Tetamu Allah yang aku iringi menangis teresak-esak di belakangku tanpa rasa malu, begitu juga orang yang ada di sekeliling kami. Esak tangis seorang hamba di depan Ka’bah mendorong untuk meninggalkan hal-hal yang dapat meracuni akidah dan akhlaknya. Sukar menukilkan rasa yang terpendam nun jauh di sanubari hamba-Mu yang berdosa ini. Aku kini berada di tengah-tengah dataran Masjidil Haram. Aku dapat merasakan betapa Allah begitu dekat denganku dan sedang memerhatikan setiap inci perilakuku. Dengan izin-Nya, kami dapat menghabiskan tawaf tujuh keliling waima dalam situasi sesak. Usai melengkapkan tujuh pusingan, aku menghimpunkan rombongan kecil jemaah untuk solat sunat tawaf di kawasan Multazam dan berdoa selepas itu. Aku menunggu mereka bagi memberi peluang untuk membaca doa yang panjang.

Aku tidak dapat menyertai mereka untuk bersaie, hanya sekadar menunjuk arah dan membawa mereka ke Safa dan memberi sedikit panduan. Setelah memimpin doa untuk bersaie, aku beredar ke dataran Kaabah untuk menunggu solat subuh.

Usai subuh, setelah berbalas SMS dengan isteri, kami bertemu di lokasi jam kecil dekat tandas wanita dan bergerak ke kompleks Safwah untuk sarapan pagi di restoran D'Saji milik kerajaan Malaysia.  Kami berbagi tugas, aku mencari meja kosong manakala isteriku menyertai barisan yang agak panjang bagi membeli sarapan pagi. Al maklum, kos sara hidup di Mekah  sedikit tinggi tetapi tetap berakoh. SR 5 untuk secangkir teh, SR 15 untuk sepinggan mee dikongsi berdua kerana sepinggan mee tidak mampu untuk dihabiskan oleh seorang. Aku juga membeli roti manis buat sarapan pagi keesokan harinya.

Di perjalanan balik ke hotel, aku singgah menukar duit RM500.00  dapat SR cuma 425.00. Kami tidak memasuki deretan  kedai di setiap bangunan hotel kerana hati ini belum terdetik untuk membuat pembelian selagi misi untuk menunaikan haji belum terlaksana.

Kami tidak dibenarkan ke Masjid selepas zohor, kerana  ada taklimat penting mengenai pergerakan tetamu Allah ke Arafah, Mudzalifah dan Mina. sehingglah ke Asar. Usai Asar di surau di hotel, aku bersama Haji Abdullah (Kg. Sungai Padang, Papar - kenalan pertamaku dari daerah yang sama) bertolak  ke masjid untuk solat maghrib. Waima dalam kepayahan, Allah izinkan kami untuk masuk ke dalam masjid tetapi diarah ke lantai atas yang tidak berbumbung. Semasa membaca beberapa lembaran Quran, kepalaku tersasa sedikit tidak selesa. Aku mengajak Haji Abudullah untuk balik sebelum Isyak. Kami menyelit turun dalam keadaan sendat. Sebaik tiba di hotel, aku ke klinik Tabung Haji  tingkat 6 untuk mendapatkan rawatan. Waima doktor bertugas ketika itu sedang berehat, namun beliau tetap memberi layanan sebaiknya kepada aku. Aku dibekali dengan beberapa jenis ubat-ubatan.

20 September  Ahad (3 hari sebelum Wukuf -  taklimat)

Setelah terjaga, aku membaca doa, "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur,"  "Segala puji hanya layak bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan." Amalan semenjak aku berada di tanah air diteruskan di tanah suci.

Seawal pagi aku telah memasak air panas. Kebetulan aku membawa pemanas air dari rumah. Sementara menunggu air mendidih aku membersihkan diri, mengejutkan rakan sebilik dan rakan bilik sebelah untuk bersarapan.  Jemaah dinasihatkan untuk solat subuh di surau hotel kerana kesesakan di Masjidil Haram, tetapi keterujaan mengatasi segala-galanya. Pagi itu aku memaksa diriku untuk solat subuh di Masjidil Haram. Aku membawa beg sandang Tabung Haji berwarna merah yang berisi Quran Terjemahan (Quran dan terjemahan boleh dibaca tanpa wuduk), botol air isian semula dan plastik bagi mengisi selipar dan mengalungkan tag nama di leherku.

Setibanya mendekati Masjidil Haram, jemaah haji melaut ramainya. Aku dihalang masuk ke masjid oleh petugas masjid. Nasib baik aku berbekal sejadah sumbangan May Bank yang berwarna hitam  kuning. Aku solat subuh berjemaah di hamparan sejadah di atas jalan raya bersama-sama jemaah yang datang dari seluruh pelusok dunia.

Sebelah pagi aku menemui isteriku di loby hotel. Kami berdua naik ke kafe berbaris untuk mendapatkan sarapan pagi. Barulah perasan yang Tabung Haji hanya menyediakan makan tengah hari dan makan malam. Sarapan adalah atas biaya sendiri. Al-maklumlah, kami jemaah pendatang baru yang menginap di Hotel Burj Al-Haram.

Jam 9.00 pagi, jemaah KT 68 diberi taklimat wukuf. Antara penerangan terpenting ialah jemaah dinasihatkan untuk memakai Tag Nama sepanjang masa dan akan bergerak mengikut nombor bas yang disediakan. Jemaah diminta bertenang serta bersabar menunggu di aras masing-masing dan turun setelah diberi arahan oleh petugas Tabung Haji. Bas akan bergerak ke Arafah pada 22 September (Selasa). Melihat kepada senarai nama yang diedarkan, aku dan isteri diletakkan di bas nombor 15. Di Arafah, aku  ditempatkan di khemah E, manakala di Mina kami ditempatkan di khemah yang ada lambang-lambang perkakasan elektrik seperti mesin basuh, starika, kipas dan lain-lain. Kami dimaklumkan, masuknya waktu ukuf ialah setelah gelincir matahari pada 23 Disember bersamaan dengan 9 Dzulhijjah. Semasa ukuf, para jemaah dinasihatkan untuk tidak melakukan aktivti lain selain dari berdoa, berdoa dan terus berdoa bermunajat kepada Allah. Jemaah dinasihatkan agar bijak dalam menggunakan tandas ketika di Arafah dan Mina, kerana 2,300 jemaah diperuntukkan 10 buah tandas lelaki dan 10 tandas wanita.

Selepas maghrib 9 Dzulhijah, jemaah akan meninggalkan Arafah untuk mabit di Mudzalifah. Selepas tengah malamnya, jemaah akan bergerak ke Mina. 10 Dzulhijah, jemaah melakukan wajib haji iaitu melontar Jamrah Aqbah (Qubra). Semasa hendak melontar, para jemaah dinasihatkan untuk keluar melontar bersama-sama rombongan Maktab 94 bagi mengelak kekeliruaan megenalpasti Jamrah sebab Jamratul Qubra terletak di hujung sekali. Pada 11, 12 dan 13 Dzulhijah, jemaah haji akan melakukan lontaran di ketiga-tiga Jamrah (Ula, Wusata dan Qubra). Kandungan taklimat tersebut aku hadzamkan di mindaku.

Jam 11.05 tengah hari selepas taklimat,  aku merakam foto di hadapan terowong yang menghubungkan hotel penginapan kami dengan Masjidil Haram ketika dalam perjalanan ke dobby untuk mencuci kain ihram. 

Merakam kenangan di luar Hotel Burj Al Haram.
Di belakang, terdapat terowong penghubung antara
hotel dengan masjidil Haram

Disantuni secara terhormat atas kehendak-Nya

Hari tersebut, sahabat sebilikku menjemput rakannya tuan Haji Syarifuddin (Tawau) yang kurang sihat untuk bergabung sebilik dengan kami menjadikan jumlah ahli di bilikku genap tiga orang. Haji Syarifuddin menceritakan bagaimana mereka sejumlah sebelas orang jemaah dari Tawau disantuni oleh pegawai Imigresen Tawau yang bekerja sehingga lewat petang (6 petang) semata-mata untuk memproses Passport mereka.

Usai makan tengah hari, aku dan isteri menapak ke Masjidil Haram untuk solat dzohor dan berada di masjid sehingglah isyak. Kami berjanji untuk bertemu di jam kecil dekat tandas selepas solat Isyak. Lebih kurang lapan jam di haram, silih berganti antara solat taubat, solat hajat, dzikir, berdoa dan membaca Al-Quran. Sesekali aku menghantar SMS menghubungi isteriku, kerana kami berada di lokasi berbeza.

Selepas Solat, dalam kesesakan, aku berusaha ke lokasi pertemuan kami iaitu di jam kecil dekat tandas. Sebaik melihat kelibat isteri, aku melambai-lambai tangan sambil berpaut kepada tiang jam. Di musim haji, majoriti tetamu Allah datang dari negara seperti Indonesia, Asia Selatan (Pakistan / India / Bangladesh), Mesir dan Negeria diikuti oleh Iran, Turki dan negara Arab lain mewarnai landskap kota Mekah. Mereka merupakan tetamu Allah dari penduduk Islam teramai di dunia. Apabila melalui kawasan mereka, diri ini begitu kerdil lantaran saiz Asia yang kebiasaannya kecil molek. Akan tetapi lain dengan jemaah Negara China, waima berbadan kecil, mereka ini cergas dan kerap menyelit di celah-celah jemaah yang berbadan sasa. 

Jam kecil di laluan ke Kompleks Safwah

Kami menapak santai beriringan sambil bergelungan tangan balik ke hotel penginapan. Memanjat naik anak bukit dan merenggan otot sebentar di lobby hotel. Singgah makan di kafe hotel sebelum bergerak ke bilik masing-masing.  Aku menyantuni rakan sebilik dengan cerita masing-masing, kerana rakanku Haji Munir bergabung dengan rakan-rakan haji bilik sebelah semasa solat di masjid. Selepas mandi, aku melabuhkan tirai malam dengan membaca doa sebelum tidur, Bismika Allah huma ahya ....., membaca Qualhu Allahhu ahad, Al-Falaq, An-Nas, bersyahadat, berselawat dan diakhiri dengan membaca ayat kursi.

21 September (Isnin) 2 hari sebelum ukuf - majlis bacaan Yassin

Sebaik saja terjaga, aku membaca doa yang sering kubaca, "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur,"  "Segala puji hanya layak bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan."

Seawal pagi aku telah memasak air panas, mandi, mengejutkan rakan-rakan dan memanggil isteriku untuk bersarapan, kemudian bergerak ke surau hotel. Tetamu Allah Maktab 94, menghadiri kuliah subuh oleh pembimbing haji Ustaz Haji Ramli. Terubat rindu di hati setelah beberapa kali solat subuh tanpa doa Qunut. Dalam kuliahnya beliau menyebut bahawa, Allah melihat apa usaha yang kita lakukan untuk tiba di Mekah bagi mengerjakan haji. Dalam amalan haji, kita perlu menyingkap sejarah Nabi Ibrahim, Siti Hadjar dan sejarah melontar.

Sebelum menghadiri majlis bacaan Yassin, jam 8.37 pagi aku menerima pesanan SMS dari anak ke-2 yang berpesan agar aku meminum Yogurt untuk mengelakkan sembelit. Jam 9.00 pagi, jemaah Maktab 94 menghadiri bacaan Yassin di loby hotel dan berdoa minta dipermudahkan perjalanan ke Arafah keesokan harinya. Semasa doa dibacakan, rata-rata tetamu Allah dan tetamu Rasulullah mengalirkan air mata pengharapan (termasuk pembimbing haji Maktab 94, Ustaz Haji Ramli), memohon agar beroleh haji yang mabrur dan memohon keampunan segala dosa-dosa yang dilakukan sejak sekian lama. Beliau dalam ucapan sebaknya menyatakan dan menganggap semua jemaah Maktab 94 sebagai ibu bapa beliau sendiri.

Usai majlis bacaan yassin, rombongan Timbalan Menteri Dato Dr. Asyraf Wajdi Dato Dusuki, Ketua Rombongan Haji Tuan Syed Salleh, bersama KRU RTM telah berkunjung ke hotel penginapan kami. Sejuta syukur Ya Allah, aku dan Haji Daud dari Segamat Johor adalah antara tetamu Allah yang ditemuramah oleh Juruhebah RTM saudara Shahril Sarapudin untuk siaran  Televisyen Malaysia (saksikan minit 6.58) (https://www.youtube.com/watch?v=ySpzlHuQclc). Aku menghubungi akan-anakku melalui pesanan SMS jam 12.08 pagi agar  menonton Salam Baitullah pada malam tersebut. Kebetulan anak sulungku dan suaminya cuti semester dan berkumpul di rumah.

Pembimbing Maktab 94 Ustaz Haji Ramli

Kami dzohor dan asar di hotel kerana menunggu siaran Salam Baitullah terbitan RTM.  Akan tetapi rupa-rupanya, rakaman pagi itu disiarkan di Berita Perdana. Sebelum bergerak ke masjid untuk solat maghrib dan isyak, isteriku berjumpa dengan Ustaz Haji Ramli untuk menyerahkan duit korban. 

Aku dan isteri mengalungkan tag nama di leher masing-masing dan membawa beg sandang Tabung Haji berwarna merah  berisi Quran Terjemahan, botol isian semula untuk air zam-zam dan plastik bagi mengisi selipar.

Pergerakan menuju ke masjid petang itu amat padat, kerana tinggal beberapa  hari lagi jemaah akan bergerak untuk ukuf ke Arafah. Kami bergerak ke arah lantai satu masjid. Isteriku memilih ruang solat wanita, manakala aku memilih ruang yang agak ke depan sedikit. Azan yang mendamaikan menyusuk kalbu, membuatkan diri ini begitu kerdil di sisi-Nya. Usai solat  Isyak, kami bertemu di lokasi yang dijanjikan. Kami bergerak balik menyelit di kalangan jemaah yang bepuluh ribu orang. Dzikir tidak lekang di bibir sambil memerhatikan suasana sekeliling.

Sebelum tidur, aku memasukkan barang keperluan ukuf sekadar yang cukup seperti sejadah, kurta, baju lengan pendek, seluar dalam, seluar, berus gigi, ubat gigi, tasbih digital, telefon bimbit  power bank, Quran, buku doa, tikar hijau, beberapa botol air mineral dan buku panduan haji dan sedikit bekalan ubat-ubatan, dan dimuatkan ke dalam beg berwarna kuning yang berkapisiti 5 kilogram.  

22 September 8 Dzulhijah  (Selasa - sehari sebelum wukuf)

8 Dzulhijjah yang dipanggil Hari Tarwiyah rutin bangun awal pagi, memasak air, mandi dan minum diteruskan pada pagi ini. Mandiku pagi itu berbeza dengan mandi-mandi sebelumnya, iaitu mandi sunat ihram. Usai menyiapkan diri sendiri barulah aku kejutkan rakan sebilik ku. Di zaman nabi, hari Tarwiyah mereka menggunakannya untuk menyediakan air untuk kegunaan di Mina. Hari ini, pihak Tabung Haji membawa majoriti tetamu Allah terus ke Arafah terlebih dahulu tidak ke Mina, kerana dikhuatiri terlepas waktu wukuf.

Jam 4.05 pagi, kami berdua bergerak ke Masjidil Haram. Dengan tag nama dikalungkan di leher masing-masing dan membawa beg sandang Tabung Haji berwarna merah  berisi Quran Terjemahan, botol isian semula untuk air zam-zam dan plastik bagi mengisi selipar.

Sebelum bergerak, aku membaca doa berikut di balik pintu bilik, “Ya Allah, permudahkanlah perjalananku ke masjid-Mu, jagalah keselamatanku dan keselamatan isteriku, jagalah lisanku dan jagalah wudukku sehingga aku selesai beriktikaf di masjid-Mu. Permudahkanlah perjalanan kami ke Arafah, Mudzalifah dan Mina. Kami memohon Engkau permudahkanlah perjalanan haji kami semua. Kurniakan kepada kami haji yang mabrur.”

Sebelum memasuki perkarangan  masjid aku berdoa, "Allhumaf tahli abwabba  rohmatik" Ya Allah, bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmat-Mu." Dan berniat iktikaf. Selipar ditanggalkan dan dimasukkan ke dalam beg plastik untuk dimuatkan ke dalam beg sandang berwarna merah sebelum menapak ke dalam masjid.

Hati ini berdebar-debar kerana bakal berpindah dari hotel ke padang pasir Arafah. Kami tidak dapat membayangkan apa yang bakal kami hadapi di sana melainkan menyerahkan seratus-peratus kepada kuasa-Nya.

Usai solat subuh, kami sarapan di Kompleks Kompleks As-Safwa Tower. Kami bersegera balik ke hotel kerana tetamu Allah Maktab 94 akan bergerak ke Arafah seawal jam 9.00 pagi. Kami bergerak mengikut aras hotel dan nombor bas yang telah ditetapkan. Sementara menunggu bas, aku meneruskan misi tadarusku di bilik. Rakan sebilikku dan bilik sebelahku, telahpun berlepas ke Arafah. 

Aku menekuni 6 rukun Haji  iaitu, berniat ihram Haji,Wukuf di Arafah, Tawaf, Saie, Tahalul  dan Tertib. Wajib Haji ada 6 iaitu berniat ihram di Miqat, mematuhi 13 larangan ketika dalam ihram, Mabit di Mudzalifah, Mabit di Mina, Molantar Jamrah Qubra 10 Dzulhijah dan Melontar ke tiga-tiga Jamrah (Ula, Usta, Kubra) pada 11, 12 dan 13 Dzulhijrah.

Puncak daripada pelaksanaan haji adalah wukuf di Arafah. Arafah terletak di selatan Kota Mekah. Di tengah-tengahnya terdapat sebuah bukit yang dinamakan Jabal Rahmah (lokasi pertemuan Adam dan Hawa). Ulama bersepakat mengatakan bahwa wukuf di Arafah adalah rukun haji yang terpenting. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Haji itu adalah Arafah.” (HR. Ahmad).

Ayat  197 Surah Al-Baqarah, "Musim haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats (menimbulkan percakapan tak senonoh dan menimbulkan berahi), tidak berbuat fasik, dan tidak berbantah-bantah (bergaduh) di masa berhaji ......." kutanam dalam minda ini.

IZAR dan RIDA'

Aku menyarungkan dua helai kain ihram, yang dipanggil IZAR yang menutup bahagian bawah dan RIDA' di bahagian atas. Sempat juga menunaikan solat sunat ihram, dan solat jamak di bilik hotel. Aku dan isteri mengalungkan tag nama di leher masing-masing dan membawa beg sandang Tabung Haji berwarna merah  berisi keperluan berukuf. Tag nama ditambah dengan dua tag lagi iaitu tag nombor maktab dan tag nombor bas.

Kami bergerak  ke lobby hotel setelah mendengar panggilan melalui pembesar suara mengarahkan  penumpang bas 15 untuk bergerak ke Arafah. Aku dan isteri membawa beg kecil  berwarna kuning masing-masing yang berisi sedikit keperluan. Aku menyerahkan kunci bilik kepada pihak pengurusan. Di lobby hotel, sebak rasanyanya ketika  aku melafaz niat hajiku. "Sahaja aku menunaikan haji dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala." Sebaik-baik saja membaca niat tersebut, aku tertakluk kepada 13 larangan ketika sedang dalam ihram. Isteriku telah berniat haji di atas pesawat tempoh hari (17 September).

Dengan itu, aku telah menunaikan Rukun Haji pertama dan melunaskan wajib haji yang pertama iaitu berniat di Miqat. Hotel penginapan kami merupakan miqat kami ketika itu.

Sebelum bas bergerak meninggalkan hotel, aku mengkhabarkan kepada anak sulung melalui pesanan SMS mengenai pergerakan kami menuju ke Arafah. Bas bernombor 15 yang kami naiki bergerak menuju ke Arafah pada  jam 4.05 petang. Jarak kota suci Mekah  dengan Padang Arafah 21.9 kilometer. Pemergian kami diiringi dengan laungan “Labaik Allahumma Labaaik, labaaik Laa Syarika Laka Labaaik Inal Hamda Wal Ni’mata Laka Wal Mulkh La Syarikkalak” di sepanjang perjalanan. Suara para jemaah dilantun dengan penuh semangat. Hampir kesemua penumpang bas dilanda perasaan pilu yang tidak dapat digambarkan. Bas yang menuju ke Arafah bertali arus tetapi perjalanan tetap licin. Manik-manik jatuh membaahi pipiku. "Terima Kasih Ya Allah, Engkau sudi menjemput kami berhaji pada tahun ini."


Bersama Hj. Saiban (Gemas) dan Hj. Bujang Ali (Sarawak)
di  Khemah Arafah. Momen yang tidak akan dilupa sepanjang
hayat.

Jam 4.35 petang, bas tiba di Arafah. Jelas tertulis Maktab 94 di kawasan perkhemahan kami. Di sana telah ada petugas Tabung Haji membimbing kami sehingga ke lokasi khemah Arafah kami. Kami mengheret beg di laluan bersimen di celah-celah khemah. Aku dapat rasakan lebih dari  dua puluh buah khemah untuk dihuni oleh jemaah Maktab 94.  Aku ditempatkan di khemah E bersebelahan dengan khemah isteriku.  Khemah itu merupakan khemah sementara yang didirikan di atas padang pasir berbatu dengan permukaan yang tidak begitu rata yang dialas dengan permaidani tebal. Aku dimaklumkan bahawa khemah tersebut akan dibuka setelah selesai kerja-kerja haji. Setelah menaggalkan selipar di luar khemah, aku menyemak nama ku terpampang terikat di salah satu tiang penyokong khemah.  Tiada pilihan lokasi menghampar tikar hijau, kerana aku tiba lewat (bas 15). Rakan-rakan haji lantai 15  Hotel Burj Al-Haram juga menginap dikhemah yang sama.

Selepas menghamparkan tikar plastik hijau yang dibekalkan TH dan menyusun beg, perkara pertama yang aku lakukan ialah meninjau lokasi tandas di mana 10 buah tandas lelaki dan sebelahnya 10 buah tandas wanita yang dikongsi oleh 3,200 tetamu Allah. Ruang tidur di Khemah Arafah hanya semuat badan di mana beg sandang dijadikan bantal, bertemu kaki dengan orang barisan bersetentang. Di Arafah tiada kedai mahupun peniaga awam menjual barangan mereka.

Pertemuan atas izin-Nya

Berada di padang Arafah dalam suasana hangat dan panas terik memberi peringatan awal kepada umat Islam mengenai keadaan di padang Mahsyar di mana semua manusia tanpa mengira bangsa, pangkat atau kedudukan akan dihimpunkan untuk menerima pengadilan berdasarkan amal makruf mereka semasa di dunia. Semasa  aku berjalan memerhatikan sekitar khemah lain Maktab 94, aku ditertemukan oleh Allah dengan seorang kenalan iaitu bapa Salmah (mantan muridku di SMK Sanzac) Tuan Saini setelah hampir berpuluh tahun tidak bertemu. Kami bersalaman dan berpelukan. Beliau juga menginap di hotel yang sama dengan hotel penginapanku. Di ruang udara, sesekali terlihat olehku helikopter terbang mengelilingi ruang angkasa Arafah. Makanan dan minuman diedarkan oleh Sahabat Haji ke khemah-khemah menjelang petang.

Sebelum maghrib, kedengaran petir berdentum-dentum diikuti dengan angin yang agak kencang.  Beberapa orang duyufurrahman berlari memaut tiang tengah khemah kami agar tidak menimpa jemaah lain. Hujan rintik-rintik turun hanya sekejap tetapi tidak membasahi khemah. 

Ayat ke 63 Surah Al An'aam berbunyi, "........  Katakanlah, Siapakah yang dapat menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut, yang kamu berdoa kepada-Nya dengan rendah diri dan dengan suara yang lembut ........

Setelah situasi reda, para duyufurahman kelihatan mengangkat tangan dan berdoa.  Jelas ternampak kerisauan diganti dengan rasa teramat syukur kerana tiada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Syukur Ya Allah, kerana Engkau hanya hantarkan sekelumit dugaan agar jemaah sentias mengingati-Mu dan tidak menyibukkan diri dengan perkara-perkara remeh lain. Kelihatan para Duyufurrahman tidak sunyi dengan aktiviti masing-masing seperti berdoa, berdzikir dan tilawah Al-Quran.

Di hari Arafah inilah Allah berfirman (menyindir) kepada Malaikat, "Mereka (tetamu Allah yang berihram) adalah hamba-hamba-Ku yang datang dari seluruh pelusuk dunia dalam keadaan kusut masai berdebu. Mereka mengharap kasih sayang-Ku, berasa takut dengan seksaan-Ku, padahal mereka belum pernah melihat-Ku. Bagaimana sekiranya mereka pernah melihat-Ku?"

Sebelum masuk waktu maghrib, kami menyusun beg masing-masing ke tepi khemah. Di khemah, kami solat jamak tamam maghrib Isyak diimamkan dalam kalangan para jemaah sendiri. Maksud jamak tamam ialah menggabungkan dua solat dalam satu waktu tetapi dilakukan dengan jumlah rakaat yang sama, yakni menunaikan solat maghrib 3 rakaat dan selepas salam berdiri semula untuk solat isyak empat rakaat. Setiap khemah juga menunaikan solat seperti apa yang kami lakukan.

Usai solat sebahagian tetamu Allah merehatkan badan di dalam khemah. Ada segelintar dari tetamu Allah membaca Al-Quran dan menyemak buku panduan haji. Aku berpindah ke khemah sebelah yang kosong (khemah Jemaah Pakej) selepas solat. Aku membawa beg kuning dan beg sandang serta membentangkan tikar hijau di atas pasir berbatu. Terdapat beberapa orang lagi jemaah berpindah ke khemah tersebut. Rasa berdebar menunggu hari ukuf pada keesokan harinya. Aku tutup tirai malam dengan membaca doa sebelum tidur, Bismika Allah huma ahya ....., membaca Qualhu Allahhu ahad, Al-Falaq, An-Nas, bersyahadat, berselawat dan diakhiri dengan membaca ayat kursi. Sambil tasbih digital kutekan meneruskan bacaan zikir iaitu " Tasbih, Tahmid dan Takbir," akhirnya aku terlelap.

23 September (Rabu) 9 Dzulhijjah 1436 H (Hari Ukuf)

Hari Arafah, suatu hari yang disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Tidak ada hari yang Allah SWT membebaskan ramai hamba-hamba-Nya daripada api neraka lebih ramai dari Hari Arafah. Allah SAW hampir dengan hamba-hamba-Nya dan berbangga-banga dengan mereka kepada para malaikat dengan berfirman, "Apa yang mereka mahu?".  (HR Muslim no 1348)

Tengah malam, aku ke tandas menunaikan hajat, membersihkan diri ketka jemaah belum ramai yang bangun. Yakinlah, tandas tidak menjadi masalah jika menggunanya pada awal pagi iaitu sekitar jam 2. Mandi dan tunaikanlah hajat ketika itu,  dan berwuduk untuk solat tahajud, solat syukur, solat hajat,  solat taubat dan solat witir serta merafakkan maraton doa, dan maraton dzikir. 

Terjemahan Surah Al Israa' ayat 79 juzuk 15 bermaksud, "Dan pada sebahagian malam solat tahajudlah kamu sebagai sebagai satu ibadah tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji."

Aku berpindah semula ke khemah asalku untuk menunaikan solat subuh berjemaah. Selepas solat subuh, di pagi yang amat tenang, aku dan isteri menikmati  sarapan pagi  di luar khemah. Hidangan sarapan dibahagi-bahagikan oleh Sahabat Haji yang bertugas. Jemaah pakej mula membanjiri khemah yang aku duduki pada malam tadi. 

Jam 9.47 pagi, aku dan isteri mencari lokasi di belakang khemah dan di bawah sebatang pokok untuk meneruskan misi marathon membaca Al-quran, bersilih ganti dengan selawat, dzikir, berdoa dan bermunajat. Aku dan isteri menyisihkan diri dari khemah, bukan tujuan untuk tidak mahu bergaul sesama jemaah, tetapi kami ada misi lain yang perlu dilunaskan, sama-sama maraton doa. Di sana-sini, pasangan lain dan keluarga-keluarga lain juga bermunajat di lokasi pilihan masing-masing. Kami dikunjungi oleh anak-anak Afrika yang menolak kereta sorong yang membawa minuman kotak, minuman botol, roti kering,  dan buah-buahan infaq (percuma). Ia bukan datang sekali tetapi berkali-kali. Setiap kali ia muncul, kami bukan sekadar mengambil bahan makanan malah sempat menghulurkan Saudi Rial kepada mereka. Di wajah mereka terpancar rasa ria tatkala kami hulurkan Saudi Rial.

Usai solat jamak tamam dzohor dan asar, kami menekuni khutbah Arafah yang menjentik jiwa raga, yang membuatkan air mata kesyukuran membasahi pipi masing-masing. Rata-rata Tetamu Allah tunduk sayu mendengar Khutbah yang dilantun bersahut-sahutan dengan  khemah bersebelahan. 

Selepas khutbah, aku dan isteri keluar khemah semula mencari kawasan bawah pokok untuk berdzikir dan berdoa di mana ketika gelincir matahari, masuklah waktu wukuf. Dengan itu, kami telah menunaikan Rukun Haji ke-2 iaitu Wukuf. Air mata bergenang setiap kali mengenangkan betapa bertuahnya aku dan isteri dijemput sebagai tetamu-Nya pada tahun ini. Aku dan isteriku adalah antara jutaan tetamu Allah yang berwukuf di Padang Arafah.

Afdal wukuf ialah berada siang 9 Dzulhijjah dan sebahagian malam 10 Dzulhijjah. Wukuf menyaksikan sekumpulan lautan manusia berhimpun di kawasan lapang sambil mengharapkan keampunan Allah dengan berdoa,berzikir dan beribadah. Aku tak henti-henti  mendongak ke langit tanpa awan. Aku tahu saat itu, Allah Azzawajalla bersama ribuan para malaikat  turun ke langit dunia. Tiada rombongan yang lebih agung dari rombongan ini. 

Di terjemahan Surah Qaaf  ayat 16, bermaksud "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya."

Tiada waktu yang Allah lebih dekat dengan hamba-Nya selain hari wukuf. Allah kirimkan utusan itu (malaikat) semata-mata untuk mendengar permohonan yang merupakan doa tetamu-Nya. Ku kira, permohonan keampunanlah yang Allah akan perkenankan di hari ukuf itu, di samping permohonan yang lain-lain. 

Di lokasi belakang khemah bersama isteri bertawajuh
 (zikir, maraton doa, selawat) di waktu wukuf selepas
gelincir mantari hingga menjelang maghrib

"Segala puji bagi Allah pemilik sekalian alam. Salam dan selawat ke atas junjungan besar kami Nabi Muhammad S.A.W. Engkaulah tempat kami kembali  dan kami berlindung di bawah payung perlindungan-Mu dari siksa kubur dan azab api neraka. Ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, anak isteri kami, sahabat-sahabat kami, jiran-jiran kamu, guru-guru kami, dan dosa seluruh umat muslimin dan muslimat. Masukkanlah kami ke dalam Syurga-Mu tanpa dihisab. Terimalah haji kami sebagai haji yang mabrur," dan diikuti dengan doa-doa lain. Air jernih sering bergenang di ruang mata insan yang berdosa ini sepanjang wukuf. Di ruang udara, sesekali terdengar olehku helikopter terbang mengelilingi ruang angkasa Arafah.

Aku teringat Riwayat al-Nasa’iy dan Ibnu Majah. “Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu Allah yang agung. Jika mereka berdoa kepada-Nya, nescaya Allah akan perkenankan doa mereka. Sekiranya mereka memohon keampunan-Nya, nescaya Allah akan ampunkan.” Allah membuka pintu langit seluasnya untuk menerima doa umat-umatnya. Situasi di situ cukup tenang dengan sesekali kami didatangi oleh kereta sorong yang membahagikan minuman, buah-buahan dan biskut manis percuma. Makanan tidak menjadi masalah besar ketika itu berwukuf.

Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW, selepas solat zohor terus berwukuf, duduk di atas untanya, menghadap ke arah kiblat mengangkat kedua tangannya berdoa dengan khusyuknya sehinggakan apabila terlepas tali unta daripada tangannya, Baginda mengambilnya dengan sebelah tangannya sahaja, dan tangan yang sebelah lagi terus diangkat untuk berdoa.

Aku melalui momen yang paling sayu dalam hidupku, iaitu saat-saat terakhir pabila mantari hampir terbenam sebelum masuk waktu maghrib, kerana apabila azan dikumandangkan menadakan tamatnya waktu wukuf (tamat waktu makbul doa di hari Arafah). Peluang sebegitu hanya sekali bagi ramai orang dan berkali-kali kepada sebilangan kecil orang.

Surah Al A'raaf yat ke 23,   "Rabbana dzolamnaa Amfusanaa waillam taqfirlana watarhamanaa lana kunnanaa minal khoo siyrin,"  " .....Ya Allah Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya pasti kami termasuk orang-orana yang rugi."

Selepas jamak tamam maghrib dan isyak, jemaah dipersiapkan untuk menunggu bas shuttle  menuju ke Mudzalifah. Muzdalifah (Bahasa Arab: مزدلفة‎) adalah suatu kawasan dari kawasan yang terletak di antara Mina dan Arafah di Arab Saudi. Kawasan ini merupakan sebahagian dari Tanah Haram (Masyair Haram). Jarak antara Padang Arafah dengan Mudzalifah ialah 8 kilometer. Sebahagian tetamu Allah berjalan kaki menuju ke sana.

Firman Allah: Ayat  198 Surah Al-Baqarah

فإذا أفضتم من عرفات فاذكروا الله عند المشعر الحرام واذكروه كما هداكم

Ertinya, " Apabila kamu telah bertolak dari Arafah, berzikirlah kepada Allah di Masy'arilharam (Bukit Quzah Mudzalifah),  berzikirlah (dengan menyebut) Allah sebagaimana yang ditunjukkan-Nya kepadamu."

Perlaksanaan wajib haji seterusnya ialah mabit di Mudzalifah.  Antara tujuannya ialah bagi membolehkan jemaah haji berehat selepas seharian wukuf. Itu sebabnya disunatkan untuk tidak solat sunat di sana seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah.

Usai jamak tamam Maghrib dan Isyak, sebahagian jemaah bergerak ke Mudzalifah menikut giliran bas masing-masing. Oleh sebab giliran kami bas 15 lambat lagi, aku gunakan kesempatan memasuki tandas bagi menunaikan hajat, memberus gigi dan membersihkan diri. Kemudahan tandas tidak lagi sesesak seperti sebelumnya, kerana sebahagian jemaah telah bergerak ke Mudzilifah. Jam 8.25 malam, aku bergabung dengan isteriku menaiki bas 15 bergerak untuk mabit di Mudzalifah. Pergerakan begitu licin dan teratur dengan pengawasan petugas haji yang sungguh cekap mengendalikan tetamu Allah. Waima ada kalangan jemaah telah berumur, tetapi mereka menyantuni semua tetamu Allah. 

Kami tiba di Mudzalifah pada jam 9.05 malam. Dalam kepayahan, kami mengheret beg di laluan berpasir, berbatu dan berdebu, kerana tiada laluan bersimen seperti di Arafah. Petugas TH membantu mengangkat jemaah yang menggunakan kerusi roda. Moga pahala berganda dititipkan kepada mereka yang bertugas tanpa sedikit keluhan, malahan tergambar seribu kepuasan. Jemaah Maktab 94 dan jemaah-jemaah lain di letakkan di kawasan yang lapang tanpa khemah berdekatan dengan tandas. Isteriku dalam kerisauan kerana terpisah, kerana aku mencari lokasi sesuai untuk mengutip batu.   Aku meneruskan misi seterusnya mengutip 70 batu di bawah sinaran lampu limpah yang terang benderang untuk tujuan melontar di Mina. Aku mencari 210 biji batu untuk lontaran 3 orang iaitu aku, isteri dan kakak ipar. Di luar pagar, tetamu Allah dari negara jiran Indonesia yang berjalan kaki menyapa kami. Mereka serta tetamu Allah lain-lain negara berjalan menuju ke Mina. Jelas kelihatan di sebelah jalan terdapat  khemah-khemah Mina yang bakal kami duduki untuk melontar nanti.

Setelah berbalas SMS, kami bergabung di kawasan terbuka dekat tandas. Pemandangan yang sangat menginsafkan. Semua insan tanpa mengira pangkat, bangsa dan usia, berpakaian putih serba sederhana. Sememangnya tidur di Muzdalifah adalah salah satu amalan sunat yang digalakkan, simbolik bahawa Allah yang penyayang, memahami manusia ini adalah makhluk lemah, yang tewas kepada keletihan dan mengantuk, tidak seperti Allah yang jauh dari sifat sedemikian. Di sini sekali lagi Allah ingin menguji tahap kesabaran para tetamu-Nya. Kemudahan tandas yang terhad dan kepadatan tetamu Allah perlu dihadapi dengan tenang. Secara kebetulan Allah memberi kemudahan kepada kami yang duduk berhimpun hanya beberapa meter dari tandas. Tasbih digentel, tangan ditadah untuk marathon doa di padang terbuka.

Kerana terlalu mengantuk, aku membuka tikar hijau yang dibekalkan Tabung Haji dan dengan berbantalkan beg sandang, aku membetulkan kain ihram yang kupakai. Aku merebahkan badan buat seketika. Suasana keliling terasa tenang, bening dan nyaman dengan tiupan angin yang mendinginkan berkat perkenan-Mu Ya Rab. Terlelap juga akhirnya waima tidur di padang pasir berbatu beralaskan tikar getah hijau semuat badan dan berkelambukan langit terbuka. 

24 September (Khamis) 10 Dzulhijjah

Jam  2.30 pagi, aku sempat merakam foto  di Mudzalifah semasa menunggu giliran bas nombor 15 untuk bergerak ke Mina. Jarak antara Mudzalifah dan  Mina ialah 8 kilometer. Mina merupakan sebuah lembah padang pasir yang terletak sekitar 7 kilometer dari kota Makkah. Mina paling dikenali sebagai tempat pelaksanaan ibadat melontar jamrah dalam ibadah haji.  Ketika berada selama tiga malam di Mina, kami dinasihatkan memanfaatkan diri dengan pengisian ibadah seperti: berdoa, zikir, selawat, solat taubat, solat Dhuaa, solat qada, solat Tahajud, solat witir dan membaca Al-Quran.  

Berehat di Mudzlifah dengan berkelambukan langit

Selepas tengah malam jemaah haji diangkut keluar dari Muzdalifah menuju ke Mina. Kami dihimpunkan di kawasan berpagar mengikut giliran nombor bas. Jemaah dinasihatkan agar tidak berebut-rebut ketika menaiki bas yang disediakan. Jam 3.48 pagi (6 jam lebih berada di Mudzalifah), giliran bas shuttle 15 bergerak menuju ke Mina. Sepanjang jalan ke Mina, aku menyaksikan ribuan jemaah di kiri kanan jalan, berjalan kaki menuju ke Mina. 

Buku Kaedah Khusyuk Berhaji dan Berumrah (Prof Madya Dr. Azaharuddin Sahil) mencatatkan keberadaan di Mina dikaitkan dengan mabit atau bermalam. Waima jemaah haji telah berada di Baitullah ketika siangnya, mereka perlu kembali ke Mina pada malamnya. Kemakbulan berdoa di Mina (lokasi mustajab doa) perlu disikan dengan tilawah, munajat, solat, dzikir dan tasbih. 

Di Mina terdapat tugu jamrah, iaitu tempat pelaksanaan ibadat melontarkan batu ke arah tugu jamrah 
( Jamratul Ula (Sughra), Jamratul Wostha dan Jamratul Aqabah (Qubra)) sebagai simbolisasi tindakan Nabi Ibrahim a.s. ketika mengusir syaitan yang cuba menganggu baginda menjalankan ibadah qurban iaitu menyembelih putera kesayangannya sendiri iaitu Nabi Ismail a.s. Dari segi kedudukan Jamrah, Jamratul Ula (Sughra) terletak di depan, Jamratul Wostha di tengah-tengah manakala Jamratul Aqabah (Qubra) terletak di penghujung Jamrah. Jarak antara Jamrah Ula dengan Jamrah Wosta ialah 200 meter, manakala jarak antara Jamrah Wosta dengan Jamrah Aqabah ialah 247 meter. Jamrah Al Sughra dan Jamrah Wosta terletak di padang terbuka manakala Jamrah Aqabah hanya setengah lingkaran kerana lokasinya terletak di kaki bukit. 

Suasana di luar Maktab 94

Jam 4.08 minit pagi, kami tiba di khemah Maktab 94. Kami disantuni oleh petugas haji sehingga ke khemah kami. Khemah Mina merupakan khemah kekal yang hanya digunakan sekali setahun iaitu diguna semasa musim haji. Keseluruhan tapak khemah bersimen dan mudah bagi kami untuk mengheret beg-beg kami. 

Aku membantu membawa sebahagian barangan isteriku. Di kiri kanan laluan, aku dapat rasakan lebih dari  sepuluh buah khemah  dihuni oleh jemaah Maktab 94. Sejuta syukur Ya Allah, Engkau rezikikan perjalanan kami tanpa menghadapi sebarang masalah. 

Aku menduduki khemah yang menempatkan 236 jemaah. Setelah menaggalkan selipar di luar khemah, aku menyemak senarai nama yang terikat di salah satu tiang, aku mencari-cari ruang kosong. Syukut Ya Allah, khemah bersimen  dengan permukaan yang rata, amat selesa lebih-lebih lagi dialas dengan karpet yang empuk. Sama seperti di Arafah, kerana tiba lewat, aku  tidak mampu membuat pilihan lokasi meletakkan tikar hijau, melainkan mencari kawasan kosong semuat badan yang boleh memuatkan tikar hijauku. Ruang sempit tersebut membayangkan suasana sempit tatkala di alam kubur di suatu masa nanti. Di sebelah kiri dan kananku ialah rakan tetamu Allah dari Sarawak (Haji Bujang Ali dan Haji Bolhassan Ibrahim), manakala bersentuhan tapak kaki ketika melunjurkan kaki ialah Tuan Haji Badaruddin.  Situasi di Mina agak nyaman kerana khemah dilengkapi dengan pendingin hawa. Rakan-rakan haji lantai 15  Hotel Burj Al-Haram juga menginap dikhemah yang sama.

Perkara pertama yang aku lakukan selepas meletakkan tikar dan beg ialah mencari khemah isteri dan mencari lokasi tandas. Oleh kerana jemaah lain sibuk dan ada yang tidur lantaran keletihan, aku menggunakan peluang tersebut untuk membersihkan diri, menunaikan hajat dan berwuduk untuk solat subuh. Ketika itu tandas belum menjadi masaalah, lagipun terdapat dua kawasan tandas yang terletak tidak berapa jauh jaraknya antara satu dengan yang lain . Aku boleh memilih tandas mengikut citarasaku. 

Sebelum masuk waktu subuh, kami menyusun beg masing-masing ke tepi khemah. Kami menunaikan solat subuh dengan setiap khemah diimamkan oleh kalangan jemaah sendiri. Begitulah yang kami lakukan setiap kali hendak menunaikan solat.

Selepas sarapan pagi yang diedarkan oleh sahabat haji, aku mendapat panggilan telefon dari anakku di tanah air. Rupa-rupanya berlaku rempuhan jemaah ketika melontar. Suasana sedikit bingit apabila jemaah lain juga menerima panggilan dari keluarga masing-masing. Aku mengangkat tangan merafakkan doa kesyukuran kerana kami terhindar dari peristiwa tersebut. Kami diingatkan untuk sentiasa mengikut arahan pihak Tabung Haji untuk tidak bergerak sendirian ke tempat lontaran. Pagi itu aku dan isteri sepakat untuk melawat sekitar khemah dan melihat aneka jualan di luar khemah. Syukur Ya Allah, terowong Muassim  laluan ke tempat melontar tidak sampai 100 meter dari kawasan khemah kami.

Foto dekat tandas Maktab 94. Di belakang saya
tampak anak bukit yang terdapat binaan terowong
Muassim untuk perjalanan ke Jamrah.

Masa menunggu waktu melontar selepas isyak yang aku rasakan terlalu lama. Masa itu perasaan teruja begitu tinggi sekali tidak dapat aku bayangkan. Rasa tidak sabar-sabar dan rasa jam berdetik terlalu lambat. Aku melawat ke luar khemah dan mendapati di luar kawasan terdapat deretan kedai mini yang menjual pelbagai barang seperti kedai roti telor, kedai ais kerim, kedai runcit, kedai menjual nasi briyani, dan lain-lain kemudahan. Di tepi jalan pula, terlihat olehku kelibat peniaga jalanan menjaja pelbagai barang. Suasana di laluan menuju ke terowong muasim, jelas begitu sesak dengan tetamu Allah, bertali arus ada yang baru hendak menuju ke jamrah, manakala yang lainnya kembali ke maktab setelah membuat lontaran. Terdengar laungan laungan takbir mengiringi para jemaah. Di ruang udara perkhemah Mina, terlihat olehku helikopter terbang berlegar-legar.

Jam 7.00 malam, kami berbaris di lorong luar khemah menunggu arahan petugas haji.  Kami berbekal minuman botol,  biskut manis dan uncang batu.   Sebelum bergerak, aku membaca doa berikut, “Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami untuk melontar pada hari ini, jagalah keselamatan kami dan sempurnakanlah ibadah kami. Kurniakanlah kepada kami haji yang mabrur.” 

Jam 7.10 malam, kami bergerak untuk melontar di Jamratul Aqabah (Qubra), iaitu melaksanakan wajib haji yang berikutnya. Rombongan kami didahului dengan pembawa no Maktab 94 dan pembawa bendera Malaysia yang dijunjung tinggi agar boleh dilihat oleh ribuan jemaah Maktab 94. Manakala di belakang, kami dikawal oleh petugas Tabung haji yang berbaju T merah. Aku bergerak dengan penuh teruja di mana tangan kananku dipaut erat oleh isteriku. Pergerakan menuju ke tempat melontar cukup terkawal.
Bergerak ke Jamrah diiringi oleh petugas TH

Kami menuju ke lorong pintu Terowong Muasim dalam perjalanan yang mendaki tetapi  agak landai sehingga tidak terasa kami telah berada di lantai tiga jejambat Muasim. Pergerakan kami sedikit perlahan, lantaran begitu ramai para haji dan hajjah menuju ke suatu destinasi yang sama iaitu Jamrah. Seingatku, di sepanjang jejambat dalam perjalanan ke Jamrah, ada sahaja petugas Tabung Haji yang bertugas memastikan semua jemaah selamat ke kawasan lontaran. Agak lucu di setiap pos kawalan, pekerja dan polis pengawal memicit spray air bagi membasahi kepala dan badan kami.  Sesekali kami keluar untuk minum di pancutan pili air yang disediakan dan bersegera masuk semula ke dalam rombongan. Sepanjang perjalanan pergi dan balik, pili air untuk minuman jemaah disediakan di tepi laluan oleh kerajaan Arab Saudi. Jika penat berjalan, kita boleh memilih laluan walkalator yang dibuat di tengah-tengah laluan. Walkalator tersebut mula digunakan pada musim haji tahun 2013.

Kami hanya melintasi Jamratul Ula dan Usta untuk menuju ke Jamratul Qubra. Di Jamratul Qubra, aku berniat, "Dengan Nama Allah, Tuhan yang maha besar, aku melontar syaitan dan pengikut-pengikutnya." Tujuh biji batu dilontarkan menghala ke Jamratul Aqabah (Qubra). Aku teringat manasik haji yang disampaikan oleh pembimbing haji kami, Ustaz Ramli yang memperkatakan setiap lontaran kita juga meniatkan membuang segala sifat-sifat buruk yang bersarang di hati kita seperti sifat sombong, angkuh, ujub, tamak haloba, kedekut, panas baran, malas dan lain-lain sifat negatif kita. 

Berbotak untuk kali pertama dalam
hidup ini. Foto ketika dalam khemah Mina

Kami balik ke khemah jam 9.00 malam. Semangat kental yang kurasakan semangat Nabi Ibrahim yang meresap di setiap sanubari jemaah menyebabkan perjalanan ulang alik ke tempat melontar yang berjarak tujuh kilometer dilalui tanpa rasa lelah. Kami (jemaah lelaki) bertahalul  beramai-ramai dengan menggunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Bertahalul iaitu melengkapkan rukun haji yang ke 5 dari 6 rukun.  

Aku menyimpan 3 helai kain ihramku di dalam plastik yang kubawa dari hotel. Rata-rata jemaah berkeadaan cukup ceria kerana telah pun bertahalul awwal. Kini aku boleh memakai pakaian biasa dan terlepas dari 10 larangan ihram kecuali tiga (Tidak boleh bercumbu  atau melakukan pendahuluan persetubuhan, tidak boleh bersetubuh dan tidak  boleh berkahwin, mengahwinkan atau menjadi wakil kahwin). Semasa hendak melelapkan mata, aku menerima pesanan SMS dari anak sulungku yang mengucapkan tahniah setelah bergelar haji. Aku menitiskan air mata memalingkan muka risau dikesan oleh rakan sebelah menyebalah, kerana anak inilah yang tidak dapat melambai dan mendakapku ketika kami bertolak dari Kota Kinabalu ke KLIA, lantaran bertugas di luar Kota Kinabalu. Malam tersebut aku basahkan lisanku dengan maraton  dzikir dan doa. Aku tutup dengan membaca doa sebelum tidur, membaca Qul Huu Allah 3 kali, membaca dua kalimah sahadah, selawat dan membaca ayat kerusi.

25 September (Jumaat) 11 Dzullhijjah -   (wajib haji Mabit di Mina)

Sebaik saja terjaga, aku membaca doa seperti hari-hari sebelumnya, "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur,"  "Segala puji hanya layak bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan."

Aku keluar dari khemah pada jam 1.20 pagi dan mendapati beberapa orang jemaah sedang bercukur dekat tandas lelaki. Aku merebut peluang untuk membotakkan kepalaku. Selepas itu, aku ke tandas untuk menunaikan hajat,  membersihkan diri dan berwuduk. Kini, aku sudah boleh menggunakan sabun. Tandas tidak lagi beratur panjang kerana rata-rata jemaah masih tidur dan berehat di dalam khemah masing-masing. Seingatku, itulah pertama kali dalam hidup aku membotakkan kepalaku. 

Syukur Ya Allah, kami disantuni dengan cara yang terbaik dan menginsafkan kerana aku mendapati di kawasan tandas ada kalangan keluarga jemaah haji berkulit hitam menumpang tidur tanpa khemah. Namun di wajah mereka tampak puas, ikhlas dan tulus. Mereka juga tumpang mengguna tandas Maktab kami (94).

Sebelum subuh, aku solat tahajud, solat syukur, solat witir dan melawat ke kawasan tandas dan mendapati di semua tandas, berbelas orang menunggu giliran di luarnya. Pagi hari tersebut, aku menemui isteriku untuk sama-sama bersarapan di luar khemah.  Kami melalui beberapa lorong, termasuk melawat ke kawasan penempatan (khemah) khas yang digunakan sebagai Klinik Mina. Terdapat beberapa orang pesakit sedang menerima rawatan di khemah tersbut.

Aku menemani isteri untuk meninjau jualan di luar khemah. Suasana di kuar khemah diwarnai dengan laungan peniaga dalam bahasa Melayu "Khamsah riyal, khamsah riyal (5 riyal), mari, mari, murah, murah." Begitulah teriakan peniaga yang cuba mencuri tumpuan pelanggan. Proses tawar-menawar masih menjadi amalan waima harga jualan cukup murah, anda masih boleh bertanya kepada mereka seperti: 'Ini berapa?' Mereka dengan lantas menjawab '10 riyal' (bergantung kepada harga asal barangan yang dijual). Bahkan mereka boleh menjelaskan, 'Satu 10 riyal, dua 15 riyal'. Terdapat sebilangan kecil peniaga Malaysia (pelajar atau permastautin) juga tidak melepas peluang berniaga di sana. Aku melihat peta lokasi Mina dan terpegun betapa luasnya tempat perkhemahan tetamu Allah. Aku bersyukur pabila mendapati khemah kami berdekatan dengan terowong Muaasim.

Oleh sebab terowong Muaasim masih sesak, pihak Tabung Haji tidak membenarkan tetamu Allah Maktab 94  keluar melontar. Kami diarah untuk menunggu pengumuman yang akan dimaklumkan dari masa ke masa. Siangnya dihabiskan dengan berdzikir dan membaca Al-Quran bagi menyambung misi yang telah aku tetapkan. Setiap kali makanan diedarkan suasana sedikit hingar bangar dan diselangi dengan tawa riang. Jam 3.38 petang,  buat pertama kalinya aku merakam foto aku berbotak. 

Hari ini kami melontar tiga jamrah pada sebelah malam iaitu salah satu wajib haji (melontar ketiga-tiga jamrah pada 11,12 dan 13 Dzulhijjah).  Uncang yang berisi batu diikat kemas dan dimasukkan ke dalam beg sandang masing-masing. Kami akan melalui jarak tiga kilo meter setengah untuk tiba ke kawasan jamrah. Kami berbaris di lorong luar khemah menunggu arahan petugas haji.

Perjalanan menuju ke Jamrah

Sebelum bergerak, aku membaca doa berikut, “Ya Allah, permudahkanlah perjalananku untuk melontar pada hari ini, jagalah keselamatanku dan sempurnakanlah ibadahku.” Kami bergerak melontar jam 8.10 malam, maktab 94 keluar ke Jamrah. Kami agak lebih tenang dan dapat menyesuaikan diri dengan situasi sesak. Agak lucu apabila menyaksikan isteriku yang kepenatan, menggunakan "walkalator" yang terletak di tengah-tengah laluan menuju ke tempat melontar. Aku tidak menggunakannya kerana pergerakannya yang agak perlahan. Aku hanya menunggu isteriku di hujung Walkalator dengan sabar kerana aku cukup memahami situasi beliau. Aku memerhatikan dari lantai tiga  jejambat terowong, di aras  dua dan aras bawah jejambat kelihatan barisan panjang jemaah menuju ke kawasan lontaran, manakala di sudut lain pula, ada jemaah yang balik ke khemah selepas selesai membuat lontaran.

Laungan takbir sahut menyahut menggamatkan suasana sepanjang perjalanan menuju ke Jamrah.  Kami merapat  ke kawasan lontaran apabila suasana agak lengang. Aku berniat, "Dengan Nama Allah, Tuhan yang maha besar, aku melontar syaitan dan pengikut-pengikutnya." Kami membuat lontaran di ketiga-tiga jamrah iaitu Jamratul Ula (Sughra), Jamratul Wostha dan Jamratul Aqabah (Qubra). Lega rasanya di hati ini kerana telah membuat lontaran. Dengan santai kami bergerak balik dengan perlahan-lahan sehingga memisahkan diri dari kelompok ramai dan tiba di khemah  jam 10.53 malam.

Aku menemani isteriku untuk mencari air panas untuk membuat minuman.  Aku terkasima tatkala isteriku menadah  cawannya di kepala paip. Rupa-rupanya pili air panas disalurkan melalui paip dari dalam dapur. Kami juga menikmati Indo mee yang dibeli SR 5.00 semangkuk (agak mahal berbanding dengan harga di kota Mekah).

Dengan lilihan air mata, tiba-tiba  isteriku bersuara, "Bang, sudah berhaji pula kita ini kan?"

"Alhamdulillah, Syukur Ya Allah, dengan izin-Nya, kita dapat berada di Mekah untuk menunaikan rukun ke-5".

Aku mengiakan sambil mendakap beliau dengan air mata berjurai membasahi pipi. Sebelum balik ke khemah, kami bersantai dan melalui beberapa lorong di khemah Maktab 94. Di suatu sudut terdapat peti sejuk besar berisi air mineral. Tidak sangka, rupa-rupanya air itu percuma. Syukur Ya allah, perkhidmatan Tabung Haji memang terbaik.

Dengan  jejari-jemari menekan tasbih digital, kami berdua mengimbau perjalanan haji kami. Aku menghantar isteriku ke khemah beliau dan kembali ke khemah ku sendiri. Sebelum berlabuh, aku membaca doa sebelum tidur, Bismika Allah huma ahya ....., membaca Qualhu Allahhu ahad, Al-Falaq, An-Nas, membaca syahadat, berselawat dan diakhiri dengan membaca ayat kursi.

26 September (12 Dzullhijjah)

Aku bangun awal pagi berdoa, "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur,"  "Segala puji hanya layak bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan."

Aku menuju ke tandas untuk mandi dan menunaikan hajat. Keadaan di tandas tidak begitu sesak, aku orang ke-2 untuk memasuki tandas. Usai solat subuh, kami berkumpul di lorong luar khemah untuk bergerak menuju ke tempat lontaran 3 jamrah. Sebelum bergerak, aku membaca doa berikut, “Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami untuk melontar pada hari ini, jagalah keselamatan kami dan sempurnakanlah ibadah haji kami.”  Aku membahagikan sebahagian batu kepada isteriku untuk lontaran.

Melontar hari kedua, laluan di dalam terowong tidak begitu sesak. Tatkala mantari hampir menampakkan wajahnya, kami bergerak ke terowong Muassim mengikut rombongan maktab 94 dengan bekalan air dan uncang batu. Di setiap Jamrah, kami hanya merapat ke kawasan lontaran apabila suasana di tempat lontaran tidak padat dengan jemaah. Kami melontar di ketiga-tiga jamrah iaitu Jamratul Ula (Sughra), Jamratul Wostha dan Jamratul Aqabah (Qubra). Oleh sebab sudah agak serasi, kami bergerak sendirian berdua dan balik dengan santai. Beberapa kali kami singgah untuk membasahi tuala dan membasah tekak di tepi jalan di pili yang disediakan.


Jamrah yang kurindui

Jam 9.00 pagi, kami tiba di khemah Maktab 94. Aku berbaris hampir dua jam untuk membeli roti telur dan ais krim buat sarapan ku bersama isteri. Teh susu panas kami nikmati di tepi tembok kerana tiada ruang khas untuk bersarapan selain di dalam khemah. Jam 9.13 pagi aku membalas pesanan SMS anak ke-2, melaporkan yang kami telah selesai melontar 12 Dzulhijjah. Sepanjang hari aku gunakan untuk berzikir, sesekali membelek-belek Al-Quran dan solat sunat.

Selepas solat jamak tamam dzohor asar, aku mengemas barang-barangku.  Esok kami semua akan meninggalkan Mina. Malamnya, kami berdua berjalan-jalan sekitar khemah, kerana Mina akan kami tinggalkan pada keesokan harinya. Sedih rasanya hendak meninggalkan bumi Mina yang sudah pasti meningglkan ribuan kenangan terindah yang amat sukar untuk aku ungkapkan. Saat-saat berbaris membeli mee segera SR5 dan saat-saat mengisikan teko dengan air panas, saat-saat membasah tekak dengan ais kerim berdua, saat-saat menyaksikan jemaah berbondon-bondon menuju dan balik dari melontar, dan banyak lagi kisah manis yang meruntun jiwa raga. Kami berdua lantas beredar mencari lokasi sesuai untuk kami mengisi perut, amat indah untuk dilakarkan suasana ketika itu. Malam itu kami habiskan bersama dengan santai dengan rasa teramat syukur. Oleh sebab telah lewat malam, tandas tidak mendatang masaalah bagi kami. Aku labuhkan tirai malam dengan amalan yang sering aku lakukan seperti sebelum-sebelumnya.

27 September (Ahad) 13 Dzullhijjah meninggalkan Mina

Seawalnya aku bangun menunaikan hajat dan mandi di tandas yang boleh ku pilih-pilih lantaran bilangan jemaah yang tidak ramai. Setelah menemui isteriku di luar khemah, seawal jam 5.20 pagi, tetamu Allah Maktab 94 keluar melontar 3 jamrah. Kami berbaris di lorong luar khemah menunggu arahan petugas haji. Seperti sebelumnya, rombongan diketuai oleh pembawa bendera maktab dan pemegang bendera Jalur Gemilang. 

Sebelum bergerak aku memastikan uncang yang berisi batu diikat kemas dan dimasukkan ke dalam beg sandangku. Sebelum bergerak, aku membaca doa berikut, “Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami untuk melontar pada hari ini, jagalah keselamatan kami dan sempurnakanlah ibadah kami. Kurniakan kami haji mabrur dan masukkan kami dan keluarga kami ke Syurga-Mu tanpa dihisab.”  Tangan kananku dipaut erat oleh isteriku di sepanjang perjalanan. Apabila tiba di Jamratul Ula (Sughra), aku berniat, "Dengan Nama Allah, Tuhan yang maha besar, aku melontar syaitan dan pengikut-pengikutnya."  Tujuh biji batu di lontar masuk ke Jamrah, apabila tiba di Jamratul Wostha, tujuh batu dilontar masuk ke jamrah dan apabila tiba di Jamratul Aqabah (Qubra), tujuh biji batu yang terakhir dilontarkan masuk ke dalam jamrah.

Jam 6.16 pagi, aku merakam momen berselfie depan Jamrah usai lontaran terakhir di Jamratul Aqabah (Qubra). Aku dan isteri sengaja memisahkan diri dari kelompok besar Maktab 94 bergerak pulang ke khemah dengan santai, sambil mindaku merakam kembali memori yang masih melekat di peti minda ku. Beberapa kali kami berhenti untuk menikmati suasana pagi di jamrah.  Kami meninjau ke bawah jejambat memerhatikan barisan jemaah yang sedang bergerak meninggalkan jamrah, manakala di laluan lain terdapat jemaah yang sedang menuju ke jamrah. Gambaran keriuhan dan kesesekan serta tiap inci kenangan semasa dalam perjalanan pergi balik ke Jamrah dan semasa melontar, aku imbau dalam rasa sebak kerana dalam beberapa detik saja lagi, Mina akan kami tinggalkan. Sayu dan pilu, itulah gambaran perasaan kami berdua. Mata bergenang dengan air jernih  tetapi sengaja aku selindungkannya dari pengetauan suriku, Kukira, dia juga berperasaan begitu. Kini, ibadah haji kami hampir sampai ke penghujungnya.

Jam 7.05 pagi kami tiba di khemah dengan rasa lega kerana sebahagian rukun dan wajib haji telah kami lunaskan. Aku menghubungi anak-anakku mengatakan urusan tiga lontaran Jamrah haji kami telah dilunaskan. Aku membeli teh susu panas dan nasi serta kuah daging untuk pengalas perut. Kami bersarapan di suatu tembok pemisah antara khemah. Dalam pengumuman yang dibuat oleh Pengurus Maktab 94, bas pertama dijangkkan akan meninggalkan Mina pada jam 9.00 pagi. Pagi itu aku dan isteri bergerak mengelilingi khemah dan beberapa lorong khemah. Kami juga meninjau keluar khemah untuk memerhatikan gelagat tetamu Allah. Tawar menawar antara penjual dan pembeli cukup menggamit perasaan ini. Nun di kejauhan, tetamu Allah masih lagi bergerak ke Terowong Muasim dan tidak kurang juga ada yang keluar dari terowong kerana telah melontar. Kami perhatikan susana tersebut dalam perasaan yang cukup dalam. Itulah situasi Mina yang akan menjadi sejarah yang tidak lekang selagi hayat roh ini belum terpisah dengan jasad. Air mata bergenang kerana Mina yang mengetuk memorinya yang tersendiri akan kami tinggalkan sebentar saja lagi. Lisanku tidak lekang dari menyebut rasa bersyukur terpilih dijemput-Nya bersama-sama dengan suriku menunaikan rukun ke-5 di tahun yang amat bersejarah ini. Berkemungkinan, inilah peluang pertama dan terakhirku untuk mabit di Mina, tetapi nun jauh di lubuk hati yang paling dalam, aku berdoa ke hadrat Allah memohon untuk menunaikan haji bagi kali kedua nanti. Waima dalam situasi biasa misi tersebut adalah mustahil, akan tetapi itu semua kuasa Allah, hanya dia yang mengetahui niat di lubuk hati ini.

Sekali lagi kelebihan lewat meninggalkan khemah di Mina aku gunakan sebaiknya. Aku boleh memilih tandas mana yang aku sukai untuk mandi dan menunaikan hajat. Usai bas tiba, kami berbaris seperti budak sekolah menghadiri perhimpunan bulanan untuk menaikai bas yang disediakan. Jam 11.50 pagi  bas 15 bergerak menuju ke hotel penginapan meninggalkan nostalgia perkhemahan Mina. Aku berasa sebak meninggalkan khemah Mina kami yang sudah tentunya berbekas di hati ini. Hatiku begitu terpukul oleh situasi hiba itu. Setelah mendekati kota Mekah, pergerakan bas sedikit perlahan lantaran keadaan jalan yang agak sesak. 

Kerinduan yang membuak-buak

Kami tiba di hotel pada jam 1.45 petang. Setibanya di bilik, aku bersegera membersihkan diri sepuasnya. Selepas menunaikan solat dzohor di bilik, aku keluar membeli roti manis dan menghantar kain ihram untuk dicuci di dhoby yang berdekatan. Jam 4.05 petang, dengan pakaian jubah Malaysia (tanpa memakai kain ihram), aku dan isteri menapak ke masjid  untuk melakukan tawaf haji waima pihak Tabung Haji menasihati untuk tidak ke masjid kerana situasi yang amat padat. Kami bukannya tidak mengendahkan larangan tersebut, tetapi kerinduan yang membuak-buak di hati ini sudah tidak tertanggung untuk menatap kain hitam 'Qiswah' yang menyelimuti Baitullah yang telah kami tingalkan beberapa hari untuk wukuf, mabit dan melontar. Tawaf merupakan rukun haji yang ke 3 dan seterusnya melaksanakan rukun haji yang ke 4 iaitu Sa'ie.

Sebelum bergerak aku berdoa di muka pintu, memohon perjalanan kami mendapat restu-Nya dan beroleh lindungan-Nya. 

Di kawasan luar masjid aku menadah tangan, "Allhumaf tahli abwabba  rohmatik."  

Suasana di dalam Masjidil Haram memang padat, tetapi kami tetap yakin boleh melakukan tawaf dengan izin Allah. Di penanda lampu hijau, dalam lautan jutaan jemaah, kami berniat dan beristilam dengan menghadapkan tapak kanan ke arah Hajrul Awsad sambil membaca, "Bismillahi Allahu Akbar, Wallillah Hilhamd" kemudian mengucup tangan tersebut. Membaca doa keselamatan dunia dan kebaikan di akhirat tiap kali ke pepenjuru Rukun Yamani. Begitulah kami ulangi sebanyak 7 kali mengelilingi Baitullah.  

Memperoleh 60 rahmat ketika tawaf, 40 rahmat ketika solat di hadapannya dan memperoleh 20 rahmat ketika memandangnya (Baitullah)

Tatkala  kami tawaf, aku memandang Baitullah dengan mata batin di mana seolah-oleh kurasakan Allah sedang memerhatikan setiap geraklaku kami dan semasa tawaf itulah Allah menurunkan rahmat yang luar biasa kepada kita. Dikatakan bahawa kita akan memperoleh 60 rahmat ketika tawaf, 40 rahmat ketika solat di hadapannya dan memperoleh 20 rahmat ketika memandangnya. Tujuh pusingan yang kami lalui, seolah tidak terasa, walhal kepadatan tetamu Allah sungguh luar biasa. Tiap istilamku, nada suaraku berubah seolah-olah tersekat-sekat berbaur sebak. Air jernih menitis tanpa diminta.

 Aku mendongak ke langit terbuka sambil menadah tangan. Allahu Akbar. Aku bermonolog sendirian, "Syukur Ya Allah, kerana Engkau menjemput aku dan isteriku Rukun Ke-5. Ya Allah, aku hanyalah seorang hamba yang tak memiliki apa-apa, seorang pendosa yang kerdil di hadapan-Mu namun aku berusaha untuk menjadi yang terbaik di hadapan-Mu. Ya Allah, aku menaruh sejuta harapan agar Engkau mengampuni dan meredhai aku dan isteriku. Jadikanlah khusnul khatimah sebagai penutup nafas kami dan masukkanlah aku dan keluargaku ke dalam Syurga-Mu tanpa dihisab. Kurniakanlah kami dengan haji yang mabrur.

Selepas solat maghrib, aku saie  berseorangan kerana isteri telah melakukan saie hajinya pada hari pertama kami tiba di Mekah (18 September lalu). Kami berjanji untuk bertemu di suatu kawasan iaitu di lokasi jam kecil depan Kompleks Safwah. Laluan ulang alik antara Safa dan Marwah juga dipadati oleh tetamu Allah. Aku cuma berlari-lari kecil ketika melintasi di kawasan bawah lampu hijau.  Jemaah haji berhenti di kawasan saie ketika Iqamat Isyak dikumandangkan. Masing-masing membentuk saf dengan tersusun untuk solat Isyak. Lelaki dan wanita membentuk saf tanpa bercampur jantina. 

Jam 7.05 malam aku menyempurnakan saieku. Aku berusaha bergerak keluar meninggalkan masjid dengan menyelit dalam keadaan padat untuk bertemu dengan isteri di tempat seperti yang dijanjikan. Maka dengan itu lengkaplah hajiku, manakala isteriku anak melengkapkan hajinya setelah mengerjakan umrah wajib nanti. Di perjalanan balik, kami bergerak dengan santai manakala dzikir tetap diteruskan. Pergerakan balik ke hotel agak perlahan dalam kesesakan. Aku dapat memerhatikan dengan jelas laluan kami. Di penghujung jalan, sebelum mengambil selekoh ke kiri menuju ke hotel, dekat hotel Bakur Hassan Hubhub, tertara catatan penginapan Haji Pakej Andulasia. Waima kami dari kalangan Muasasah Tabung Haji, masih ada juga haji pakej yang menginap di hotel yang berdekatan dengan hotel kami. Syukur Ya Allah, kerana Engkau permudahkan segalanya untuk kami memenuhi panggilan-Mu Ya Rabb. Setibanya di loby hotel, kami mencari kerusi untuk duduk berehat sebentar melepas lelah kerana agak tercungap-cungap mendaki anak bukit.  Kami  makan di kafe hotel sebelum masuk tidur.

28 September  (sehari selepas meninggalkan Mina - awal ke masjid untuk lokasi stretegik)

Terbangun awal jam 1.25 pagi, dimulai dengan membaca doa yang sering kubaca, "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur,"  "Segala puji hanya layak bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan."

Aku memasak air dan membersihkan diri. Setelah selesai, aku membentang tikar plastik hijau yang dibekalkan oleh Tabung Haji di luar bilik hotel dan sarapan bersama isteriku. Sebelum bergerak, rakan sebiliku sepakat untuk tidak mengunci bilik ketika menuju ke Masjid.

Aku membaca doa berikut di balik pintu bilik, “Ya Allah, permudahkanlah perjalananku ke masjidmu, jagalah keselamatanku, jagalah lisanku dan jagalah wudukku sehingga aku selesai beriktikaf di masjid-Mu.” Setiap kali sebelum bergerak ke masjid, aku memakai sarung tangan (menjaga wuduk) bagi membolehkan aku memegang erat tangan isteriku. Jam 2.35 pagi kami memulakan tawaf sunat (tawaf tahaitul bait) di tingkat satu kawasan bulatan bertiang (ring). 

Maksud tawaf tahaitul bait, ialah tawaf yang menggantikan solat tahaiyatil masjid. Perlaksanaannya, seperti biasa : berniat sebelum lampu hijau, istilam di pepenjuru Hajrul Aswad, dilakukan tujuh pusingan dalam keadaan berwuduk. Oleh itu tiap kali ke Masjidil Haram, kita bolehlah memilih sama ada untuk solat tahaiyatil masjid atau pun tawaf sunat. Walau bagaimana pun, tidak ada salahnya andaikata kita tunaikan solat tahaiyatil masjid selepas tawaf  tahaitul bait. Lagi banyak ibadah lagi banyaklah pula pahala yang kita akan peroleh. 

Aku begitu sebak dan terbius memerhatikan tetamu Allah berbondon-bondon di kawasan dataran Kaabah. Sesekali tatkala melintasi di kawasan pancur emas, jelas kelihatan jemaah bersesak-sesak untuk memasuki Hijir Ismail. Kami menggenapkan tujuh pusingan pada jam 3.48 pagi. Kami berundur ke ruang belakang untuk solat sunat tawaf. Kami semula  merapat ke dinding kaca untuk menunaikan solat-solat sunat lain di selangi dengan marathon sementara menanti azan subuh dikumandangkan.

Selepas subuh, kami keluar sarapan ke kompleks Safwah. Kami berbahagi tugas, aku mencari meja kosong manakala isteriku berbaris membeli makanan. Jam 6.51 pagi, aku menemani isteri untuk mencari buah tangan   dan masuk semula ke masjid untuk untuk solat Dhuaa.

Jam 8.25 pagi kami sepakat untuk balik ke hotel untuk mencuci baju di doby berdekatan. Jam 9.15 pagi, aku memperoleh SMS dari anak pertama mengucapkan tahniah setelah bergelar haji dan hajah untuk kami berdua. Mataku bergenang membaca SMS tersebut. Aku juga menghubungi rakanku di Jeddah  iaitu Haji Abdul Basid dan Haji Sakdukdin untuk bertemu di Mekah, akan tetapi mereka telah balik ke Jeddah lantaran tidak diperbolehkan berada di Mekah.

Kami meninggalkan hotel penginapan pada jam 10.20 pagi untuk makan tengah hari di Kompleks Safwah. Kami menuju ke masjid, aku memilih kawasan aras paling bawah iaitu pintu 81, 82 , 83 yang berhawa dingin untuk solat dzohor dan Asar. Kawasan tersebut tidak begitu padat kerana hanya sebilangan jemaah sahaja yang mengetahuinya lantaran agak terlindung. Isteriku berada di kawasan wanita di aras yang sama.  Kawasan tersebut juga terdapat kemudahan pili air zam-zam, yang membolehkan kita memperbaharui wuduk kita andai terbatal. Oleh kerana tiada waktu tahrim, aku bersolat bersilih ganti dengan meneruskan misi membaca Al-Quran dan berzikir. Adalah menjadi rutin harianku mengisi botol air yang aku bawa dengan air zam-zam buat pembasah tekak. Cuaca panas di Mekah memerlukan kita meminum air seberapa kerap. Acapkali juga aku bertemu isteriku di kawasan tengah yang kosong untuk bersembang sambil menyandar pada tiang.

Kami balik selepas Isyak.  Di laluan balik, situasi kedai-kedai setiap bangunan, meriah dengan suasana membeli belah tetamu Allah. Setiap tetamu Allah masing-masing membimbit plastik yang berisi barang belian. Kerana situasi Masjidil Haram amat padat dengan tetamu Allah, kami tidak bercadang untuk ke Tanaim. Dua hari kami gunakan untuk mengambil sedikit rehat. Kami makan malam di Kafe hotel. Sebelum melelapkan mata, aku membaca doa sebelum tidur, Bismika Allah huma ahya ....., membaca Qualhu Allahhu ahad, Al-Falaq, An-Nas, bersyahadat, berselawat dan diakhiri dengan membaca ayat kursi.

29 September (dua hari selepas meninggalkan Mina) 

Pagi ini aku terjaga jam 2.24 pagi. Aku awali dengan membaca doa, "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur,"  "Segala puji hanya layak bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan."

Pagi itu aku mandi sunat ihram. Usai sarapan, kami bergerak ke masjid jam 3.40 pagi. Sebelum bergerak, kami mengalungkan tag nama di leher masing-masing dan membawa beg sandang Tabung Haji berwarna merah  berisi Quran Terjemahan, botol isian semula untuk air zam-zam dan plastik bagi mengisi selipar.

Aku membaca doa berikut di balik pintu bilik, “Ya Allah, permudahkanlah perjalananku ke masjidmu, jagalah keselamatanku, jagalah lisanku dan jagalah wudukku sehingga aku selesai beriktikaf di masjidmu. Hari ini, aku dan isteriku hendak ke Tanaim (Masjid Aiysah), mudahkan perjalanan kami.” 

Sebelum bergerak ke masjid, aku memakai sarung tangan (menjaga wuduk) bagi membolehkan aku memegang erat tangan isteriku. Inilah peluang untuk kami menautkan kembali kasih sayang kami berdua. 

Syukur Ya Allah, Engkau mendengar akan isi impianku. Aku dapat menyelit dalam suasana padat dan aku menunaikan solat tahaitul masjid, solat-solat sunat, zikir, marathon doa dan solat subuh hanya beberapa meter di depan Kaabah. 

Usai solat jenazah, aku tidak tawaf sunat kerana telah berjanji untuk melakukan umrah pada pagi tersebut. Sebenarnya, pihak Tabung Haji menasihatkan agar jemaah berehat dan tidak terburu-buru untuk menunaikan umrah atas alasan kawasan masjidil haram yang terlalu padat. Akan tetapi, isteri dan rakan-rakan beliau berhasrat untuk melunaskan umrah wajib mereka kerana mereka mengerjakan Haji Ifrad.

Selepas subuh, kami bertemu di suatu lokasi dan bergerak balik ke hotel untuk ke Tanaim. Kami singgah membeli makanan di luar hotel untuk sarapan seperti lempeng, mee dan pau kacang hitam yang dijaja oleh permastautin Melayu Selatan Siam yang menetap di Arab Saudi. Suasana begitu meriah, seolah-olah berada di tamu harian di negara sendiri. Hati berbunga-bunga apabila dapat merasa masakan asli Melayu.

(Miqad di Tanaim - isteriku melengkapkan hajahnya)

Setelah memakai kain ihram, dua helai kain putih yang tidak berjahit, yang dipanggil IZAR yang menutup bahagian bawah dan RIDA' di bahagian atas, jam 8.35 pagi, kami berlima bertolak ke Tanaim dengan menumpang teksi bertambang SR100 pergi balik. Amat mudah untuk memperoleh teksi di luar kediaman kami.  Adap berbagi reziki, di waktu puncak, harga teksi memang agak mahal. Aku menemankan isteri dan rakan-rakannya (Hjh Limah, Hjh Zaleha dan Hjh Saimi) bagi melunaskan umrah mereka, manakala aku merebut peluang untuk melakukan umrah.

Rakaman kenangan di lobby hotel

Aneh dan dengan Rahmat-Nya, teksi di Mekah boleh dinaiki oleh lima orang penumpang tanpa disaman oleh pasukan keselamatan.  Di Tanaim, tetamu Allah begitu ramai sehiggakan aku terpaksa solat sunat tahayatul masjid dan solat sunat ihram di kawasan laluan jemaah. Sempat berselfie di depan Masjid Tanaim jam 8. 50 pagi. Usai solat dan berniat umrah, pemandu teksi mengajak aku untuk menunggu rakan-rakan lain di luar masjid. Tanpa diminta dia meminta telefon bimbitku untuk merakam potretku di hadapan Masjid Tanaim.

Di luar Masjid Aisyah (Tanaim), kami berniat umrah. Rukun  umrah ada 5 iaitu,   berniat di Miqat, Tawaf, Saie, Tahalul  dan Tertib. Setiap kali selepas berniat umrah walau di manapun miqat kita,  kita terikat dengan 13 pantang larangan ketika dalam ihram seperti:1.Tidak boleh menutup kepala bagi lelaki. 2.Lelaki tidak boleh memakai pakaian berjahit. 3.Tidak boleh menutup muka bagi wanita. 4.Tidak boleh memakai sarung tangan (lelaki dan wanita). 5.Tidak boleh memakai minyak wangi  atau bau-bauan sama ada di badan atau pakaian atau pada makanan, minuman atau menghidunya (Lelaki dan wanita). 6.Tidak boleh memakai minyak rambut (lelaki dan wanita) atau janggut. 7.Tidak boleh menangggalkan rambut / bulu (lelaki dan wanita). 8.Tidak boleh mengerat kuku (lelaki dan wanita). 9.Tidak boleh mencabut tanam-tanaman (lelaki dan wanita). 10.Tidak boleh memburu (lelaki dan wanita). 11.Tidak boleh bercumbu (melakukan pendahuluan persetubuhan). 12.Tidak boleh bersetubuh. 13.Tidak  boleh berkahwin. Mengahwinkan atau menjadi wakil kahwin. 

Sebaik meninggalkan Tanaim, kami berlima membaca tarbiah tanpa henti di sepanjang perjalanan yang agak lancar ketika meninggalkan Tanaim tetapi semakin sesak tatkala mendekati Masjidil Haram. Perjalanan tidak selancar ketika kami bergerak ke Tanaim. Kesesakkan jalan raya adalah kerana waktu puncak di mana kebanyakkan jemaah melunaskan wajib haji untuk balik ke tanah air masing-masing.

Kami diturunkan di kawasan lain yang agak jauh sedikit dari masjid kerana kesesakan. Sememangnya teksi dan kenderaan lain dihalang untuk mendekati kawasan masjid. Kami memulakan tawaf pada (Rukum Umrah ke-2) jam 10.10 pagi di tingkat satu dalam kawasan masjid kerana semua kawasan tidak dapat dibolosi. Tetamu Allah amat ramai ketika itu. Kami menunaikan tawaf di lantai satu. Aku membetulkan kain ihram bahagian atas untuk menampakkan bahu kananku di tiga pusingan terawal bagi memperoleh pahala sunat. 

Di lampu hijau kami beristilam memulakan tawaf.  Di  pepenjuru lampu hijau kami beristilam dengan menghadapkan tapak kanan ke arah Hajrul Awsad sambil membaca, "Bismillahi Allahu Akbar, Wallillah Hilhamd" kemudian mengucup tangan tersebut. Begitulah yang kami lakukan setiap kali berada di kedudukan lampu hijau. Membaca doa keselamatan dunia dan kebaikan di akhirat tiap kali ke pepenjuru Rukun Yamani. Begitulah kami ulangi sebanyak 7 kali mengelilingi Baitullah.  Aku dan isteri tawaf bersama-sama setelah terpisah dengan rakan-rakan yang lain. Kami membaca renteten doa yang pelbagai di sepanjang tawaf. Waima tidak terkena matahari kerana terlindung oleh bangunan, tawaf mengelilingi Baitullah berjalan dengan tenang dan mendamaikan. Kejauhannya agak terasa, tetapi kepuasan di hati tidak terkira lantaran dapat melunaskan tawaf. Syukur Ya Allah, walaupun masa yang diambil untuk melengkapkan tujuh pusingan mengambil masa yang lama, akan tetapi Engkau izinkan untuk aku berdzikir, berselawat dan maraton doa yang berjela-jela panjangnya. Doaku yang utama ialah diampunkan segala dosa, memperoleh haji yang mabrur dan memohon untuk dimasukkan ke Firdaus-Nya tanpa dihisab dan dihimpun bersama kaum keluarga. 

Oleh kerana azan zohor dikemundangkan, kami tidak terus ke Safa. Selepas solat zohor, dengan pakaian ihram,  kami bergerak untuk makan tengah hari ke kompleks Safwah dan memulakan saie  (Rukun Ke-3) pada jam 2.05 petang. Jam 3.25 petang, selesai saie, kami bertahulul (Rukun ke-4) di mana aku memohon pertolongan isteriku  untuk memotong rambutku. Aku balik ke hotel berseorangan selepas asar untuk bertukar pakaian selepas menghantar isteri ke suatu lokasi agar mudah untuk bertemu selepas itu. Lega rasanya kerana isteriku telah melengkapkan umrahnya dan melengkapkan hajahnya. Sudah boleh dipanggil hajjah.

Di laluan pulang untuk bertukar ke pakaian biasa, aku menukar wang Malaysia RM500.00 duit Saudi Rial 410.00, lebih rendah dari sepuluh hari sebelumnya. Pergi semula ke masjid sebelum maghrib dan balik selepas isyak. Sebelum balik, botol air yang ku bawa diisikan sepenuhnya dengan air zam-zam. Kami bertemu di lokasi yang telah kami sepakati. Di perjalanan balik ke hotel, adalah menjadi rutin harianku untuk membeli roti manis buat sarapan keesokkan harinya. Sebelum tidur, aku membaca doa-doa harian seperti hari-hari sebalumnya.

30 September (3 hari selepas berpisah dengan Mina)

Terjaga jam 2.30 pagi,  aku membaca doa yang sering kubaca, "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur."  Rutin harianku dimulai dengan untuk memasak air dan membersihkan diri. 

Selepas sarapan di luar bilik, aku bergerak ke masjid jam 3.45 pagi tanpa disertai oleh isteriku. Sebelum bergerak, aku membaca doa berikut di balik pintu bilik, “Ya Allah, permudahkanlah perjalananku ke masjidmu, jagalah keselamatanku, jagalah lisanku dan jagalah wudukku sehingga aku selesai beriktikaf di masjidmu. Terimalah hajiku sebagai haji yang mabrur dan masukkanlah aku ke Syurga-Mu tanpa dihisab.” Aku tidak mampu melakukan tawaf sunat kerana suasana yang agak sesak, tetapi aku berpeluang solat subuh di dataran  Kaabah. Menunaikan solat-solat tahaiyatul masjid, solat sunat lain, marathon doa, zikir dan tilawah sementara sebelum solat subuh.

Semasa azan subuh dikumandangkan, aku dapat menyaksikan lampu hijau di lilitan jam Mekah memancarkan cahayanya menjulang ke angkasa. Sungguh aku terpesona menyaksikan kurniaan Allah yang tidak terdapat di mana-mana, melainkan di Masjidil Haram.

Di laluan balik selepas solat dhuaa, kelihatan bas-bas berbaris panjang di luar-luar hotel sepanjang jalan. Ini bererti sebahagian tetamu Allah mula meninggalkan Mekah untuk balik ke tanah air masing-masing. Barangan diangkat ke atas bumbung bas kerana berkemungkinan muatan bawah telah padat. Di bumi rahmat ini, mereka tidak risau barangan mereka ditimpa hujan, sebab buminya amat jarang dilimpahi hujan.

Jam 10.49 pagi, dengan kos SR 259.92, kami berdua menghantar 2 kotak barang dengan keberatan 7.8 kilo dan 7.4 kilo untuk diposkan ke Sabah. Turun ke masjid jam 2.20 petang.  Jam 4.53 petang, aku bergabung dengan tetamu Allah dari India kerana ingin menghabiskan masa di masjid dengan membaca Al-Quran. Di masjid kami sering memilih lokasi solat yang berbeza-beza demi untuk merasai kenikmatan beramal dalam pelbagai situasi. Ada kalanya aku bergabung dengan jemaah Pakistan, kadangkala India dan kadangkala Bangladesh.

Kerap bergabung dengan jemaah India dan Bangladesh

Kami bertemu di lokasi biasa untuk balik ke hotel selepas Isyak. Kami bergerak beriringan sambil berpegangan tangan, seolah-olah sedang dilanda kerinduan, walhal itulah rutin kami seharian, bergerak ke masjid, menjamu selera, beriktikaf dan balik ke hotel penginapan.

1 Oktober (Que di pejabat TH)

Bangun jam 2.42 pagi dan melakukan rutin biasa. Membaca doa, "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur,"  "Segala puji hanya layak bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan."

Memasak air panas, membersihkan badan dan menyarung pakaian. Sebelum bergerak, aku melakukan rutin biasa membaca doa di balik pintu hotel. Setiap kali sebelum bergerak ke masjid, aku memakai sarung tangan (menjaga wuduk) bagi membolehkan aku memegang erat tangan isteriku. Sukar untuk menggambarkan tautan kasih antara suami isteri ketika berada di tanah suci. Jam 3.30 kami bergerak ke masjid.

Beberapa hari ini, kami memberanikan diri untuk menggunakan jalan pintas melalui terowong ke Masjid Haram di mana jalan keluarnya betul-betul di hadapan Kompleks Safwa, memang lagi dekat dari jalan biasa. Akan tetapi menggunakan jalan biasa semasa balik ke hotel kerana laluannya yang melintasi kedai-kedai aneka barangan. Waima belum berniat untuk shopping tapi tidak melepas peluang untuk meninjau-ninjau.

Apabila  berada di kawasan  masjid aku menadah tangan, "Allhumaf tahli abwabba  rohmatik"  dan berniat iktikaf.

Pagi itu kami tawaf sunat (tawaf  tahaitul bait) di lantai atas (roof top) yang tidak berbumbung. Lantainya tidak rata kerana masih dalam proses pengubahsuaian,tidak tetapi bilangan jemaah tidak seramai di lokasi lain. Kami kerap menukar lokasi tawaf demi untuk merasai pengalaman baru. Suasana di lantai atas tidak sesak, lagi pun masih awal pagi. 

Di  pepenjuru lampu hijau kami beristilam dengan menghadapkan tapak kanan ke arah Hajrul Awsad sambil membaca, "Bismillahi Allahu Akbar, Wallillah Hilhamd" kemudian mengucup tangan tersebut. Begitulah yang kami lakukan setiap kali berada di kedudukan lampu hijau. Membaca doa keselamatan dunia dan kebaikan di akhirat tiap kali ke pepenjuru Rukun Yamani. Begitulah kami ulangi sebanyak 7 kali mengelilingi Baitullah.  Tawaf  kami berakhir jam 4.37 pagi.  

Kami berpindah ke aras bawah, memilih lokasi Multazam untuk menunaikan solat sunat tawaf. Sementara menunggu solat subuh, aku menunaikan beberapa solat-solat sunat, berzikir dan meneruskan misi membaca Quran. Suasana damai dan tenang  aku gunakan untuk menunaikan solat-solat sunat . Keadaan di dataran tidak terlalu sesak seperti sebelumnya. Di kota suci Mekah, rata-rata tetamu Allah merebut peluang untuk solat, zikir, tilawah, berdoa dan iktikaf.

Pagi ini kami sarapan di kafe kerana berhajat untuk mengeluarkan wang di pejabat TH untuk membeli tiket penerbangan balik  Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.  Lobby hotel adalah tempat berhimpun jemaah untuk pelbagai urusan. Sementara menunggu giliran dipanggil, aku isikan masa dengan dengan bacaan zikir. 

Sebelum dzohor, kami bergerak ke masjid. Sebelum bergerak, aku membaca doa berikut di balik pintu bilik, “Ya Allah, permudahkanlah perjalananku ke masjid-Mu, jagalah keselamatanku dan keselamatan isteriku, jagalah lisanku dan jagalah wudukku sehingga aku selesai beriktikaf di masjid-Mu. Kami memohon Engkau ampunkan dosa-dosa kami, dosa anak isteri kami, dosa ibu bapa kamd dan dosa seluruh kaum muslimin dan musimat.”

Sebelum memasuki perkarangan  masjid aku berdoa, "Allhumaf tahli abwabba  rohmatik" Ya Allah, bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmat-Mu." Dan berniat iktikaf.

Kadangkala hati digamit sebak tatkala berada di dataran Kaabah. Menunaikan solat tahiyatul masjid serta solat-solat sunat lain dan memperoleh peluang membaca Quran sambil mendepani Kaabah-Nya. 

Dalam kembara ibadah haji ini, hati ini kerap bergetar mengingatkan dosa-dosa yang tidak kita ketahui bila dosa itu kita lakukan, dosa yang kita lakukan tanpa sedar dan pelbagai dosa-sosa lain.  Aku mengimbau mengenai apa yang pernah ku baca. Quran memberi banyak maklumat berkenaan hati. Tidak kurang daripada 188 kali maklumat mengenai hati diulang sebut dalam kitab Al-Quran, antaranya dalam surah al-Israk, ayat 72 disebut, “Dan barang siapa di dunia ini buta hatinya, maka di akhirat juga nanti dia akan buta, dan lebih sesat lagi jalannya. " Niat di hati ini kubulatkan, membaca Quran bukan semata-mata untuk melunaskan misi, tetapi lebih kepada mensyukuri Rahmat-Nya yang memberi peluang kepadaku tadarus mendepani Baitullah-Nya.

Di perjalanan balik selepas solat Isyak, kami berselisih dengan jemaah pelbagai negara dengan pelbagai ragam berbondon-bondon menuju ke masjid. Malam ini, kami berdua singgah membeli sedikit makanan dan buah-buahan. Makan minum tidak menjadi masalah kerana setiap hari rakan sebilikku tidak jemu-jemu mengambil makanan untuk kami bertiga hampir setiap hari. Satu lagi perkara yang mengasyikkan sepanjang berada di sini ialah , suara muazim yang merdu ketika melaungkan azan. Begitu juga bacaan surah oleh imamnya, sungguh enak di halwa telinga. 

Sepanjang berada di sana, botol air dan kitab Al- Quran sering menemaniku masuk ke masjid. Apablia air habis, aku besegera mencari tong air zam-zam untuk tujuan isian semula. Dan sebelum balik meninggalkan Masjidil Haram, rutin harianku ialah memenuhkan botol airku untuk membawa air zam-zam balik ke hotel. 
Ruang tawaf aras satu dan dua di Ring (lingkaran)

2 Okt (Jumaat)

Bangun jam 2.51 untuk meneruskan rutin harian.  Membaca doa bangun tidur adalah rutin harianku. Selepas memasak air, aku menghantar segelas air panas ke bilik isteriku. Aku meninggalkan secerek air panas untuk rakan-rakan sebilikku.

Pagi tersebut kami sepakat untuk solat subuh di surau hotel untuk mendengar kuliah subuh yang menguggah jiwa. Tazkirahnya adalah merupakan apa yang dilakukan sepanjang musim haji di samping  memohon doa agar haji diterima Allah. Seperti lazimnya, kami turun ke loby hotel untuk membeli kuih Melayu Patani Siam dan permastautin Indonesia  untuk pengalas perut. Pelbagai makanan seperti bihun, nasi dagang, mee goreng, nasi kerabu, laksam juga dijual di sini.

Aku balik ke bilik untuk mendapatkan sedikit rehat sambil meneruskan marthon Al-Quran yang melepasi separuh Quran.

Jam 10.35 pagi, aku turun ke masjid untuk solat Jumaat selepas mengisi perut. Sangkaku, waktu itu masih terlalu awal. Rupa-rupanya, aku terpaksa solat Jumaat di luar masjid dengan suhu luar 45 darjah celcius. Selesai solat aku menunggu isteriku di tempat yang dijanjikan dan menuju ke kompleks Safwah untuk membeli makanan di Restoran Malaysia dan sempat membeli 2 pasang jubah. Hajatku untuk menghadiahkan jubah tersebut kepada abang kandungku dan menghadiahkan sepasang lagi untuk cucu Hajah Zaleha. Dengan bungkusan belian, aku masuk beriktikaf di dalam masjid diselang-seli dengan zikir dan bacaan Al-Quran. Kami terus berada di masjid untuk maraton iktikaf hingga selepas solat Isyak.

Mulai hari tersebut, kami tidak lagi bertemu di jam kecil malah bertemu di kedai farmasi di bawah hotel Le Meridian. Lokasi tersebut kerap menjadi tumpuan peminat ais kerim. Kami memilih lokasi pertemuan baru kerana keadaan di jam kecil begitu sesak, lagi-lagilah dengan saiz badan Asia yang kecil molek, amat sukar untuk menyusup di kalangan jemaah haji yang berbadan tegap sasa. Aku juga kerap diarah bergerak ketika berada di kawasan tersebut. Selalunya aku akan berpaut di tiang jam dan melambai-lambai tangan apabila aku terlihat kelibat isteriku, tapi mulai hari itu, aku menunggu ketibaan isteriku dengan santai sambil duduk-duduk di suatu sudut di luar kawasan farmasi.

Berjalan beriringan, kekadang singgah di kedai-kedai untuk melepaskan lelah. Setelah mendaki sedikit anak bukit, kami berhenti rehat di lobby hotel dengan nafas yang kedengaran deras lantaran kepenatan atas pendakian tersebut. Kedudukan hotel agak tinggi sedikit dari aras jalan raya berulang-alik ke masjid. Kami naik ke atas dan balik ke bilik masing-masing. Sebelum tidur, aku membersihkan diri dan meneruskan sedikit bacaan Al-Quran.

3 Okt 

Pagi ini, aku bangun agak lewat iaitu jam 3.12 pagi. Rutin harian diteruskan. Mandi seawal pagi. Selepas memasak air, aku menghantar segelas air panas ke bilik isteriku. Dzikirku hampir mencapai sasaran manakala Al-Quran telah masuk separuh.  Kami sepakat untuk melakukan tawaf sunat (tawaf  tahaitul bait) di dataran Kaabah. Sebelum penanda lampu hijau, kami melafazkan niat tawaf. Di  pepenjuru lampu hijau kami beristilam dengan menghadapkan tapak kanan ke arah Hajrul Awsad sambil membaca, "Bismillahi Allahu Akbar, Wallillah Hilhamd" kemudian mengucup tangan tersebut. 

Situasi awal pagi agak lapang sedikit bagi memudahkan melakukan tawaf tahaitul bait. Ianya akan hanya akan sedikit terhalang ketika berada di sudut Hajrul Aswad lantaran berasak-asak untuk beristilam. Tatkala mendekati Maqam Ibrahim, kami menjarakkan diri dari Kaabah untuk mengelak kesesakan. Untuk memudahkan hitungan tawaf, aku mengikut apa yang dicadangkan oleh Prof Kamil dalam buku Travelog Haji, apabila tiba di Rukun Yamani pada pusingan pertama , aku berdoa untuk diriku sendiri, pusingan ke-2 aku berdoa untuk isteriku, pusingan ketiga aku berdoa untuk anakku yang menunggu di Syurga, pusingan keempat aku berdoa untuk anakku MRSM Sandakan, pusingan kelima aku berdoa untuk anakku di Penampang, pusingan keenam aku berdoa untuk anakku juru audit dan pusingan terakhir aku berdoa untuk ibu ayah, keluarga abangku, ipar duaiku , teman sepejabat, rakan sekampung dan kenalan lain. Selesai tawaf, kami berundur ke kawasan Multazam untuk berdoa dan mencari lokasi lain untuk berzikir dan melakukan solat-solat sunat sementara menunggu solat subuh.

(Berlama di masjid - pesanan Prof Haji Mohd Kamil Ibrahim)

Selepas subuh, kami bergerak awal ke Kompoleks Safwah untuk bersarapan pagi. Seperti kebiasaannya, kami berbagi tugas di mana aku akan mencari meja kosong sementera isteriku berbaris di Restoran D'Saji. Selepas sarapan, kami masuk semula ke masjid untuk melakukan rutin seperti hari-hari sebelumnya. Mendepani Baitullah sambil memerhatikan jemaah bertawaf merupakan rutin harian kami. Kami hanya bergerak meninggalkan dataran, untuk makan tengah hari di D'Saji dan kembali semula ke dalam masjid untuk menerusi misi marathon Al-Quran, solat-solat sunat, dzikir dan doa yang pelbagai.

Kami bukanlah yang terbaik tetapi lebih suka berlama di dalam masjid dari berada di hotel penginapan. Aku melakukan pemerhatian sendiri sepanjang berada di hotel Mekah, kesabaran tinggi amat-amat diperlukan terutama apabila menaiki lif hotel yang terhad. Tetapi itu semua dapat diatasi dengan kebijaksanaan sendiri. Contohnya bertolak ke masjid seawal pagi dan balik ke hotel dengan memilih waktu yang bukan puncak. Kalau mahu balik ke hotel selepas solat subuh, tunggulah sehingga selepas solat dhuaa, masa itu suasana jalan-jalan raya agar longgar dengan tetamu Allah, oleh itu pergerakan kita tidaklah tersekat-sekat. Adakalanya kami memasak Indomee bagi mengubah selera, andai sudah tidak larat menghabiskan makanan yang disediakan oleh Tabung Haji. Buah-buahan memang mewah sehingga mampat tersimpan di dalam peti ais di bilik kami.

Selepas solat isyak, kami bertemu di kawasan Farmasi untuk balik bersama-sama ke hotel penginapan. Aku rangkul tangan isteriku sambil dengan santai bergerak balik ke hotel. Kadang-kala kami akan berhenti untuk meyinar-nyinar cenderamata jualan penjaja di kedai-kedai sepanjang jalan pulang.

4 Oktober (buat tempahan tiket penerbangan balik Kuala Lumpur - Kota Kinabalu)

Rutin harian bangun pagi, membaca doa bangun tidur, memasak air dan sarapan diteruskan. Sebelum bergerak, aku melakukan rutin biasa membaca doa di balik pintu hotel. Selepas subuh, aku dan isteri balik untuk sarapan di Kafe hotel. Untuk mengubah selera, kami membeli nasi lemak dan mee yang dijual oleh penduduk Mekah suku Melayu Siam di luar hotel. Kami berdua kemudian naik ke Kafe hotel untuk bersarapan dengan air teh susu panas. Di Mekah, teh susunya berbeza dari segi rasa dengan teh di Malaysia, kerana pernah sekali aku terlihat cara mereka membancuh teh di Felda D'Saji. Seperti terlihat oleh ku di mana, pembuat minuman membancuh susu terlebih dahulu sebelum menuangkan teh ke dalamnya.

Jam 7.51 pagi, aku membalas pesanan SMS anak ke-2 yang melaporkan yang aku tengah bersedia menunggu perkhidmatan bas shuttle untuk membeli tiket penerbangan balik dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.  Jam 8.05 pagi, van Tabung Haji yang kami naiki bergerak ke hotel Al-Jandariah untuk urusan membeli tiket penerbangan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu.

Aku menjadi wakil kepada lima lagi rakanku untuk membeli tiket. Usai membeli tiket kami menunggu van yang menghantar kami ke sana. Memang betul, kelihatan jam Mekah terlalu kecil pada pandangan mata di luar hotel Al-Jandariah. 

Sebilangan jemaah lain yang menyertai kami adalah atas urusan mengeluarkan duit. Semasa dalam perjalanan, pegawai pengiring kami menyatakan betapa jemaah Maktab 94 beruntung menginap di hotel yang begitu dekat dengan masjid dibandingkan dengan hotel-hotel lain yang letaknya agak jauh dari masjid. Beliau merakamkan kesyukuran pada Allah kerana dengan perkenan-Nya, pengurusan jemaah Maktab 94 begitu mudah. Kalau dilihat pada logik akal, kami yang tiba lewat dari tanah air, sudah semestinya akan tinggal lebih jauh kerana berkemungikanan hotel yang berdekatan masjid telah habis ditempah. Itulah urusan Allah yang di luar perkiraan kita, yang mana dengan perkenan izin-Nya kami dipermudahkan dalam beberapa urusan. Setelah tiba di hotel Al-Jandariah, kami dihimpunkan di suatu kawasan untuk mendengar taklimat ringkas dan penerangan tempat berkumpul selepas selesai semua urusan.

Dengan rahmat-Nya, urusan menempah tiket dipermudahkan berkat izin-Nya. Mengemukakan wang (SR 358.00 seorang), untuk membeli tiket penerbangan Kuala Lumpur - Kota Kinabalu.

Semasa menunggu van untuk  balik ke hotel penginapan, aku memerhatikan suasana keliling loby hotel sekiranya terjumpa dengan jemaah dari Sabah, tetapi gagal menemui mereka. Setahuku, lebih dari 10 orang jemaah dari kampungku menginap di hotel berkenaan. Terdapat juga deretan jemaah yang sedang menunggu giliran untuk mendapat perkhidmatan doktor yang disediakan di hotel terebut. Jam 9.54 pagi aku keluar dari hotel untuk merakam foto kenangan depan hotel Al-Jandariah. 

Jam 10.00 pagi, van bergerak ke hotel penginapan. Di perjalanan, pegawai Tabung Haji yang mengiringi kami menyatakan betapa bertuahnya jemaah Maktab 94 yang tinggal dekat dengan masjid jika dibandingkan dengan mereka yang menginap di hotel Al-Jandariah. 

Di laluan pergi balik, aku dapat menyaksikan tetamu Allah memenuhi jalan-jalan raya. Ada yang pergi ke masjid dan ada yang baru balik dari masjid. Ada yang berpakaian jubah dan ada yang memakai kain ihram. Hari ini kami sepakat untuk makan di kafe hotel. Usai makan tengah hari, kami suami isteri meneruskan rutin harian bergerak ke masjid dan balik selepas isyak. 

Malamnya, kami makan malam di kafe hotel. Kemanisan hari-hari yang kami lalui kerap menjadi topik harian bersama rakan sebilikku,Tuan Haji Munir. Sebelum menarik selimut, aku membaca doa sebelum tidur, Bismika Allah huma ahya ....., membaca Qualhu Allahhu ahad, Al-Falaq, An-Nas, bersyahadat, berselawat dan diakhiri dengan membaca ayat kursi.

5 Okt (iklan ziarah) 

Rutin harian bangun pagi diteruskan seperti hari-hari sebelumnya. Perkara pertama yang aku lakukan ialah membaca doa bangun tidur, "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur,"  "Segala puji hanya layak bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan."

Hari ini, ketika melalui lobby hotel, tetampal kertas kajang panjang untuk diisi dengan nama jemaah yang ingin menyertai lawatan ke Jabar Rahmah, Ladang Unta dan Masjid Ji'ranah dan lain-lain. Kami tidak  perasan sejak bila agaknya kertas itu dilekat pada dinding lobby hotel. Tetapi kami sepakat untuk tidak meyertainya, lantaran merasa sayang untuk meninggalkan iktikaf di masjid. Kami yakin, di masa akan datang Allah akan menjemput kami mendatangi tanah suci-Nya untuk kunjungan yang berikut-berikutnya.

Aku cuma membayangka Jabbar Nur yang pernah kami singgahi di kaki bukitnya ketika ibadah umrah kami pada 30 Mei hingga 9 Jun 2015 lepas. Jabbar Nur, di mana terdapat gua. Rasulullah menerima wahyu pertama melalui Malaikat Jibril pada hari Isnin 17 Ramadhan 610 Masihi di dalam gua tersebut. Ayat pertama Surah Al-Alaq (bacalah), menyebabkan baginda turun dari bukit untuk kembali ke rumah dalam keadaan gementar.

Khadijah binti Khuwailid membawa baginda ke rumah pakciknya bernama Warakaah bin Naufal seorang yang pintar lagi berilmu tinggi. Ayat Al-Quran tidak turun sekaligus, malah memakan masa selama dua puluh tiga tahun.ini kerana untuk memantapkan hati baginda menghadapi musyrikin Mekah. Ini juga bertujuan untuk mendidik pengikutnya memahami dan mengamalnya secara bertahap.

Setiap kali menerima wahyu, baginda menghafal dan memperdengarkan kepada sahabatnya untuk tujuan penulisan. Al-Quran lengkap dengan turunnya Ayat terakhir Surah An-Nas. Setiap setahun sekali, Malaikat Jibril akan mendatangi Rasulullah untuk tujuan mengulang bacaan Al-Quran, kecuali di tahun kewafatan baginda di mana Malaikat Jibril mendatangi baginda sebanyak dua kali.

Semasa ibadah umrah ziarah Mei 2015, kami juga ziarah ke Jabar Rahmah, Masjid Ji'ranah, Ladang Unta, Muzium Mekah dan miqat di Masjid Hudaibiah.

6 Oktober (Bergerak awal ke masjid untuk memilih lokasi stretegik mendepani Kaabah)

Rutin hari ini tidak banyak berubah, bangun pagi membersih diri, menyediakan sarapan untuk kami berdua serta memasak air panas untuk sarapan rakan-rakan dua bilik yang berjiran. Sebelum bergerak, aku melakukan rutin biasa membaca doa di balik pintu hotel. Sebelum bergerak ke masjid, aku memakai sarung tangan (menjaga wuduk) bagi membolehkan aku memegang erat tangan isteriku. Kasih sayang yang terjalin antara suami isteri sebelum ini seolah-olah bertaut kembali. Kami terasa seolah-olah dilamun cinta. Saling mencari, dan saling berbalas SMS dan saling ingat memperingatkan antara satu sama lain.

Kami tawaf (tawaf  tahaitul bait) di lantai satu lingkaran bulatan depan Kaabah. Di  pepenjuru lampu hijau kami beristilam dengan menghadapkan tapak kanan ke arah Hajrul Awsad sambil membaca, "Bismillahi Allahu Akbar, Wallillah Hilhamd" kemudian mengucup tangan tersebut. Begitulah kami ulangi sebanyak 7 kali mengelilingi Baitullah.  Kami membaca renteten doa yang pelbagai di sepanjang tawaf. Selepas itu, kami mencari lokasi selesa di belakang Multazam menghadap pintu Kaabah untuk solat sunat tawaf.

Makan tengah hari di Safwah dan makan malam juga di Safwah. Kami kerap sarapan di Kompleks Safwah (Restoran D' Saji milik Malaysia)  bukan kerana makanan tidak disediakan di kafe hotel, akan tetapi memikirkan masa banyak terbuang untuk berulang-alik antara masjid dan hotel. Kami kerap menghabiskan sehingga 14 jam beriktikaf di dalam masjid dan hanya balik ke hotel jam 10.20 malam. Saban malam, kerap tidur kami tidaklah sehingga mencapai 6 atau 7 jam, kekadang hanya setakat hampir 3 jam lebih.  Dengan rahmat-Nya, aku kerap terjaga sebelum jam locengku berbunyi. Tiap kali aku mengirim SMS kepada isteriku, kerap kali ia berjawab segera, seolah-olah beliau juga tidak tidur lama sepanjang malam.

Hari ini aku memilih lokasi yang rata-rata dihuni oleh jemaah haji Bangladesh. Aku kerap berkumpul dengan jemaah dari negeri lain untuk mengelak sembang kosong bagi membolehkan aku meneruskan misiku untuk hatam Al-Quran di tanah suci. Sebenarnya, rata-rata jemaah haji India, Bangladesh dan Pakistan kerap menghuni luar masjid. Kaum lelaki mereka menemani isteri mereka di luar masjid  kerana mengikut mazhab mereka, tidak membenarkan kaum wanita berada di dalam masjid. Mereka dipisahkan dengan benteng hijau agar laluan tidak terhalang.

Setelah makan malam di Restoran D'Saji, kami bergerak balik ke hotel.  Di laluan pulang, aku berselisih dengan tetamu Allah lain yang menuju ke masjid dengan pakaian ihram, walhal hari hampir larut malam. Sesungguhnya, kota Mekah adalah kota berakoh yang tidak pernah tidur.

Di pintu masuk Kompleks Safwah

Tiba di bilik, sahabat sebilikku dengan pelik bertanya, mengapa aku tidak membuat banyak pembelian ketika di Mekah, kerana acapkali apabila balik dari masjid, beliau sering membawa bungkusan plastik berisi buah tangan. Beg pakaian di bawah katil beliau hampir sarat dengan buah tangan. Aku menjelaskan yang aku hanya akan membeli buah tangan setelah berada di Madinah.. Kalau pun aku membeli barang, ianya terus kumasukkan rapi-rapi ke dalam beg di bawah katil. Sahabat hajiku Tuan Haji Munir juga membeli beberapa tong air dan dihantarkan melalui pos ke Tawau Sabah.

7 Okt

Hari ini aku bangun sekitar jam 2.30 pagi. Rutin harian bangun pagi diteruskan seperti membaca doa bangun tidur, "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur," Selepas mandi dan memasak air, kami sarapan di luar bilik  dengan beralaskan tikar plastik yang dibekalkan oleh Tabung Haji. Sememangnya tikar tersebut tidak pernah disimpan malah dilipat dan ditinggalkan di situ untuk kegunaan sepanjang berada di sana. Sebelum bergerak, kami memastikan tag nama dikalungkan leher masing-masing dan membawa beg sandang Tabung Haji berwarna merah  berisi Quran Terjemahan, botol isian semula untuk air zam-zam dan plastik bagi mengisi selipar.

Aku melakukan rutin biasa membaca doa di balik pintu hotel. Kami memulakan tawaf  tahaitul bait di bulatan atas Mataaf pada jam 3.35 pagi.  Selepas menamatkan 7 pusingan,  Kami memilih lokasi yang betul-betul menghadap pintu Baitullah.  Sayu hati ini memerhatikan haji-haji dan hajah-hajah di bawah sana melakukan tawaf tanpa mengira waktu.  Seawal pagi situasi di situ nampak padat. Kami membuca Al-Quran sehingga menjelang solat subuh.

Selepas dhuaa, jam 7.22 pagi kami balik ke hotel untuk bersarapan di kafe. Apa yang paling saya suka ialah keenakkan teh di sana berbeza dengan teh di tempat-tempat lain. 

Sempat mencuci beberapa helai pakaian. Jam 10.20 pagi, kami sepakat untuk makan di Safwah dan sempat merakam foto depan Restoran D' Saji milik Malaysia. Balik ke hotel selepas zohor untuk mengambil sedikit rehat.  Sebelum asar kami turun semula ke masjid hingga menjelang Isyak. Sesekali keluar ke tandas untuk menunaikan hajat. 

Malamnya aku dan isteri sepakat melakukan tawaf sunat di bulatan aras atas sekali.  Kami berhimpun di suatu ruang menunggu arahan petugas masjid untuk bergerak masuk ke lingkarann tawaf. Apabila lingkaran bulatan tawaf semakin kosong, barulah kumpulan kami dibenarkan untuk ke lingkaran tawaf tersebut. Sungguh indah panorama bertawaf pada malam tersebut. Kami dapat menyaksikan lautan jemaah bertawaf di lantai Kaabah dengan pelbagai bangsa bersatu mengelilingi, beristilam dan berdoa. 

Di  pepenjuru lampu hijau kami beristilam dengan menghadapkan tapak kanan ke arah Hajrul Awsad sambil membaca, "Bismillahi Allahu Akbar, Wallillah Hilhamd" kemudian mengucup tangan tersebut. Begitulah yang kami lakukan setiap kali berada di kedudukan lampu hijau. Membaca doa keselamatan dunia dan kebaikan di akhirat tiap kali ke pepenjuru Rukun Yamani. Begitulah kami ulangi sebanyak 7 kali mengelilingi Baitullah.  

Usai menyudahkan tawaf, kami mencari lokasi sesuai untuk menunaikan solat sunat tawaf dengan marathon doa. Doa yang utama sudah tentu memohon keampunan, dikurniai haji mabrur dan dikumpulkan selueuh keluarga untuk dimasukkan ke Firdaus-Nya tanpa dihisab. Jam 10. 44 malam, aku berhenti di suatu hentian di mana aku sempat menyantuni dan berbual panjang dengan sepasang jemaah Thailand. Sebelum berpisah kami berpelukan menjalin persahabatan.

Selepas berlama di masjid, kami balik ke hotel dengan santai. Di laluan balik, kami singgah memesan  dua  ketul burger daging untuk santpan malam. Hari ini lebih kurang 11 jam dihabiskan di masjid untuk aktiviti solat sunat, zikir dan maraton membaca Al-Quran. 

Balik ke bilik untuk membersih diri sebelum melabuhkan badan di atas tilam, sambil berbual-bual dengan rakan sebilik. Banyak perkara-perkara yang kami sama-sama kongsikan. Di samping masing-masing berasa amat bersyukur kerana menjadi tetamu haji pada tahun itu.

8 Okt (11 hari selepas meninggalkan Mina - umrah untuk ibuku)

Selepas mandi sunat ihram, jam 2.50 pagi, kami bergerak ke masjid.  Sebelum bergerak, aku melakukan rutin biasa membaca doa di balik pintu hotel dan memastikan tag nama dikalungkan leher masing-masing dan membawa beg sandang Tabung Haji berwarna merah  berisi Quran Terjemahan, botol isian semula untuk air zam-zam dan plastik bagi mengisi selipar.

Kami bergerak ke masjid untuk tawaf  tahaitul bait. Di  pepenjuru lampu hijau kami beristilam dengan menghadapkan tapak kanan ke arah Hajrul Awsad sambil membaca, "Bismillahi Allahu Akbar, Wallillah Hilhamd" kemudian mengucup tangan tersebut. Kami tawaf dengan santai kerana diberi rahmat oleh-Nya berada di stiuasi yang agak  selesa. Kami membaca renteten doa yang pelbagai di di Multazam sebaik-baik sahaja selesai menunaikan solat sunat tawaf.

Sementara menunggu solat subuh, aku berzikir dan meneruskan misi membaca Quran. Suasana damai dan tenang  aku gunakan untuk menunaikan solat-solat sunat. Keadaan di dataran tidak terlalu sesak seperti sebelumnya. 

Hari itu kami berjanji untuk Miqat ke Tanaim, oleh itu aku balik ke hotel lebih awal dari hari-hari sebelumnya. Aku bertemu isteriku di farmasi dekat kedai ais krim.  Kami lepak sekejap di luar bangunan hotel berdekatan sambil makan-makan ais krim. Makan airkerim seawal pagi, sesuatu yang bukan lazim dilakukan di tanah air. Aiskerim mekah, sesuatu yang akan kami rindui kerana keenakkannya.

Usai memakai kain ihram, Jam 7.20 pagi, kami ke Tanaim bertiga dengan tambang SR60.00 sebuah teksi.  Keadaan di Masjid Aaiysah Tanaim tidak lagi sesesak sebelum itu. Usai solat dan berniat umrah di Tanaim, kami segera menaiki teksi untuk masuk semula ke Masjidil Haram. Tiap selepas berniat, 13 larangan ketika dalam ihram hendaklah dipatuhi. Andai terlanggar pantang, dam akan dikenakan. Hari ini keadaan di jalan-jalan raya tidak begitu sesak, kerana mungkin sebahagian tetamu Allah telah mula meninggalkan Mekah untuk balik ke negara masing-masing.

Menyubur tautan kasih di lantai saie

Sebelum memulakan tawaf, aku menyelak kain ihram sebelah kanan untuk meperlihatkan bahu kanan untuk memperoleh pahala sunat ketika tawaf. Mengikut sejarah, perlakuan tersebut dilakukan oleh Rasulullah tatkala baginda dan pengikutnya berhaji apabila timbul tuduhan musyrikin Mekah yang mengatakan Rasul dan pengikutnya berkeadaan lemah. Bahu didedahkan untuk membuktikan kaum muslimin amat kuat ketika itu, malahan tiga pusingan pertama, baginda serta rombongan bertawaf sambil berlari-lari anak.

Kami memilih melakukan tawaf di lingkaran buatan (ring) tingkat satu. Sebelum penanda lampu hijau, kami melafazkan niat tawaf. Di  pepenjuru lampu hijau kami beristilam dengan menghadapkan tapak kanan ke arah Hajrul Awsad sambil membaca, "Bismillahi Allahu Akbar, Wallillah Hilhamd" kemudian mengucup tangan tersebut.  Kami memulakan tawaf pada jam 9.40 pagi.

Setiap kali mendepani pepenjuru lampu hijau kami beristilam dengan menghadapkan tapak kanan ke arah Hajrul Awsad kam beristilam dan mengucup tangan. Aku terpegun memerhatikan tetamu Allah nun di bawah sana dengan jelas terlihat ribuan tetamu Allah bertawaf dengan khyusuk. Setiap kali berada di sudut Rukun Yamani aku berdoa, "Rabbana Atina Fiddunia Hassanah wa fil Akhirari hassanah, waqina azabannar." Tawaf di lingkaran satu begitu licin dan tidak perlu berebut-rebut kerana kemasukkan ke ring tersebut dikawal rapi oleh petugas masjid.

Selepas mengenapkan tujuh pusingan, kami berundur ke belakang untuk mencari ruang kosong untuk menunaikan solat sunat tawaf dan membaca marathon doa.

Selepas itu, kami menuju ke ruang Safa untuk melakukan Saie. Berbeza dengan semasa bertawaf, perjalanan saie agak padat sedikit. Syukur Ya Allah engkau permudahkan kami untuk melakukan Saie pada pagi itu. Jam 10.40 pagi selesai menamatkan Saie di Marwah dan bertahalul.

Ice Creem tersedap

Sebelum balik ke hotel bertukar pakaian, jam 11 pagi, aku mengajak isteriku untuk menikmati ice cream terlebih dahulu. Al maklum, ice cream Mekah memang sedap belaka, tiada tolok bandingnya.

Santai dengan ice cream lazat, Mekah
  
Selepas menyalin jubah, aku menemui isteriku di suatu lokasi yang dijanjikan untuk makan tengah hari di Restoran Malaysia Kompleks Safwah.

Masuk semula ke masjid seawalnya sebelum zohor dan berlama di masjid bersama isteri. Sempat menunaikan solat sunat dhuaa dan beberapa solat sunat lain sebelum solat dzohor.  Masa diisikan dengan meneruskan misi membaca Quran dan diselang-selikan dengan zikir. Malam itu kami balik selepas isyak kerana ada temu janji dengan rakan Ustaz Abdul Basid untuk kiriman sijil badal umrah buat pemilik Multazam Travel. Setelah berbalas SMS, kami menemui jemaah berkenaan dan sempat mengucapkan terima kasih dan kiriman salam untuk rakanku Haji Basit.

Hari ini kami makan malam di Kafe Hotel. Kafe pada malam tersebut tidak begitu sesak. Aku fikir rata-rata jemaah makan di luar atau makan sebelum bergerak ke masjid. Ada kalangan jemaah yang saling berulang-alik antara masjid dan hotel setiap kali waktu solat. Itu terpulanglah kepada keselesaan masing-masing. Mungkin mereka ada alasan tersendiri seperti ingin mengambil sedikit rehat, dan kemungkinan masih belum membeli buah tangan yang bakal dibawa pulang.

9 Okt (Jumaat)

Rutin harian tidak banyak berubah. Hari ini aku bangun agak lewat iaitu 4.15 pagi. Sebelum bergerak, kami memastikan tag nama dikalungkan leher masing-masing dan membawa beg sandang Tabung Haji berwarna merah  berisi Quran Terjemahan, botol isian semula untuk air zam-zam dan plastik bagi mengisi selipar.

Aku solat subuh di kawasan permulaan saie di Safa, kerana kebanyakkan pintu telahpun ditutup oleh petugas masjid. Di rakaat pertama, imam membaca ayat As-Sejadah di mana selepas membaca ayat tersebut,  jemaah bersujud (Mazhab Syafiee) dan bangun berdiri semula.

Rutin bertemu janji di lokasi pintu naik ke bangunan Kompleks Safwah untuk bersarapan di situ. Kami mengambil sedikit rehat sambil dengan santai meninjau ke gerai jualan di sana.  Tatkala menemani isteri, tangan dan lisan ini di isikan dengan dikir dan takbir.

Jam 9.50 pagi, aku menuju ke pintu 91 dan solat jumaat di sana. Makan di Safwah bersama isteri dan masuk semula membaca Al-Quran seperti biasa dan memilih kawasan jemaah India, Pakistan dan Bangladesh. Bukan bertindak seperti kera sumbang, tetapi jika memilih kawasan Malaysia dan Indonesia, beberapa sembang yang sedikit menganggu misiku membaca Quran. Balik selepas isyak.

Kami berbalas WhatsApp untuk bertemu di lokasi biasa iaitu di Farmasi jalan Ajyad. Berjalan pulang dengan santai dan singgah melepas penat di lobi hotel. Ketika di lobi, kami terbaca senarai panjang lawatan ke Jabar Rahman, Muzium Mekah, Gua Hira termasuklah lawatan ke kota Jeddah. Memandangkan tidak berapa lama lagi jemaah Maktan 94 akan meninggalkan Mekah untuk ke Madinah, kami sepakat untuk tidak akan menyertai kesemua lawatan tersebut kerana sayang untuk meninggalkan solat di Masjidil Haram. Kami risau dilanda lelah setelah lawatan dan pasti solat di Masjidil Haram akan terhalang. Kami begitu sayang andai terlepas berjemaah di masjid pada kebanyakkan solat lima waktu.

10 Okt (13 hari selepas meninggalkan Mina - Umrah untuk ayahku)

Hari ini bangun agak lewat. Rutin harian bangun pagi diteruskan seperti hari-hari sebelumnya. Perkara pertama yang aku lakukan ialah membaca doa bangun tidur, "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur,"  "Segala puji hanya layak bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan."

Selepas mandi sunat ihram, jam 4.05 pagi, baru bergerak ke masjid dan balik selepas subuh. Kesemuanya dengan rahmat Allah, aku dipermudahkan menempatkan diri ini di dalam masjid kerana kawasan datarannya agak longgar disebabkan sebahagian tetamu Allah telah beransur balik ke tanah air masing-masing. Warga India, Pakistan dan Bangladesh yang sebelumnya kerap berkampung di luar masjid, kini mengubah haluan memenuhi segenap pelusok di dalam masjid. Amat terkilan dan terasa diri ini begitu kerdil apabila melihat mereka berkumpul dalam jumlah yang besar. Pagi itu kami tidak tawaf kerana memikirkan akan tawaf selepas kembali dari Masjid Aiysah Tanaim.

Miqad di Masjid Aiysah Tanaim

Kami balik ke hotel untuk bersarapan dan aku memakai kain ihram untuk ke Tanaim (Masjid Aisah). Jam 7.40 pagi  kami berdua suami isteri dan beberapa jemaah lain bergerak ke Tanaim menaiki van yang sedia menunggu di depan hotel. Beberapa van lain juga bersedia di luar hotel menunggu dipenuhi oleh jemaah yang ingin bermiqad. Perjalanan ke Tanaim tidak lagi sesesak hari sebelumnya. Setibanya di Tanaim, kami masuk ke masjid untuk solat tahaitul masjid dan solat sunat ihram serta berniat umrah selepas itu. Ternyata kebanyakkan tetamu Allah sudah mula meninggalkan Tanah Suci untuk balik menemui keluarga masing-masing kerana keadaan di Tanaim tidak lagi berapa sesak. Rukun  umrah ada 5 iaitu,   di berniat Miqat, Tawaf, Saie, Tahalul  dan Tertib. Kami sesama beringat untuk sama-sama menjaga 13 larangan ketika dalam ihram. Pagi itu, van yang kami tumpangi berhenti di kawasan Bubus Salam. Kami menapak agak jauh dan masuk ke masjid melalui pintu Marwah.

Sebaik-baik saja memasuki dataran Kaabah, kami menuju ke lampu hijau untuk berniat dan memulakan tawaf di pepenjuru lampu hijau. Beristilam seperti biasa dan mengelak kesesakan dengan menjauhi Maqam Ibrahim. Apabila mendekati Hijir, kami merapat sedikit ke batuan hitam Kaabah. Sepanjang 7 pusingan, lantunan tarbiah dilafazkan tanpa henti dan tanpa jemu. Tarbiah bertukar doa apabila melepasi antara Rukun Yamani ke Hajrul Aswad. Di pepenjuru Hajrul Aswad, kami melefazkan istilam. Terasa betapa kerdil diri ini apabila berada di dataran Kaabah. Allah Ya Alah, Engkau menyaksikan hamba dan pendosa ini memohon ampunan-Mu.

Selepas menamatkan 7 pusingan, kami berdua berundur ke Multazam untuk ritual solat sunat tawaf dan rintihan doa yang agak panjang kerana situasi tidaklah begitu sesak di awal pagi. Sebelum memulakan saie, kami meneguk air zam-zam yang disediakan di laluan masuk ke Safa. Kami berdua berniat, mengucup pepenjuru Hajrul Aswad dan memulakan saie. Setiba di lampu hijau, aku berlari-lari anak sebagai simbolisasi Hajar mendapatkan air untuk anaknya Ismail.

Lantai saie yang menggamit kenangan yang malar segar

Jam 10.45 pagi, kami selesai mengerjakan umrah dan bertahalul. Aku meminta isteriku untuk memotong rambutku sambil berdoa dengan lafaz, "Ya Allah, aku memohon semoga tiap rambut yang aku gugurkan, akan menjadi cahaya di alam akhirat nanti." Sebelum balik ke hotel, kami bergerak ke kompleks Safwah untuk menikmati sarapan  pagi  yang agak berat dari biasa. Aku sempat merakam foto di hadapan Restoran D'Saji Felda (restoran Malaysia). Aku pulang berseorangan  ke hotel untuk menukar ihram kepada jubah dan ke masjid semula. 

Selepas dzohor, kami bertemujanji di suatu lokasi untuk makan tenga hari di Restoran Malaysia di Kompleks Safwah. Dari Dzohor, Asar dan menjelang Isyak berada di lingkaran Kaabah. Solat sunat, berdoa dan membaca Al-Quran mendepani Kaabah. Kadangkala bacaanku terhalang lantaran sedu-sedan yang tidak diundang.

Usai puas berada di kawasan berkenaan, kami bergerak meninggalkan dataran masjid untuk balik ke hotel penginapan.  Kami berdua tidak begitu risau tentang makan malam. Yang pastinya, rutin rakan sebilik kami pasti menapaukan nasi untuk kami ke bilik. Tirai malam aku labuhkan dengan membaca doa sebelum tidur, Bismika Allah huma ahya ....., membaca Qualhu Allahhu ahad, Al-Falaq, An-Nas, bersyahadat, berselawat dan diakhiri dengan membaca ayat kursi.

11 Oktober (Umrah luar biasa - 14 hari selepas berpisah dengan Mina)

Rutin harian tidak banyak berubah, hanya bangun agak sedikit lewat iaitu jam 4.35 pagi. Hari itu, kami agak tergesa-gesa menapak ke masjid. Suasana hotel terlihat sepi kerana sebahagian jemaah telah berlepas ke masjid. Walhal, hotel penginapan kami menempatkan seramai 2,300 orang Maktab 94. Dengan mudah kami beroleh lif tanpa jemaah, yang kebiasaannya dipedati oleh tetamu Allah. Usai subuh, balik ke hotel untuk membersihkan diri 'mandi sunat ihram' untuk persediaan ke Tanaim. 

Sejujurnya, hari itu aku terasa sedikit letih dan keberatan untuk menemani isteriku ke Tanaim. Tetapi aku gagahkan juga kudratku. Semasa meningalkan bilik, aku menadahkan tanganku dan membaca doa berikut, “Ya Allah, sesungguhnya hari ini aku ingin mengerjakan umrah semata-mata kerana-Mu Ya Allah, semata-mata kerana-Mu Ya Allah dan semata-mata kerana-Mu Ya Allah (aku ulang sebanyak tiga kali ungkapan itu), dan selamatkan aku dan isteriku dalam perjalanan ini.” Allahu Akbar, usai membaca doa tersebut, aku diberikan kekuatan dan semangat luar biasa untuk keluar ke Tanaim. Benarlah sesungguhnya Allah menurunkan sejuta rahmat kepada hamba-Nya yang memohon kepada-Nya. 

Seawal jam 7.20 pagi, dengan mengenakan dua helai kain ihram, berbekal botol meneral dan Quran. Semasa melintasi lobby hotel, tetampal kertas kajang panjang untuk diisi dengan jemaah yang ingin menyertai lawatan ke Jabar Rahmah, Ladang Unta dan Masjid Ji'ranah. Tetapi kami  tidak meyertainya, lantaran telah membulatkan niat untuk ke Tanaim.

Deretan van berada di luar hotel menunggu jemaah untuk bermiqad. Perjalanan ke Tanaim pagi itu amat lancar. Selepas solat sunat, berniat  umrah, van bergerak semula ke haram dengan iringan dzikir dan selawat serta laungan Tarbiah beramai-ramai. Kini kami terikat dengan 13 larangan ketika ihram.

Setibanya di luar masjid, kami membasuh selipar kami dan membungkusnya dengan plastik untuk dimuatkan ke dalam beg sandang merah sumbangan Bank Islam, yang kerap  digantung pada leher sepanjang berada di masjid. Sememangnya adalah menjadi sebahagian rutin hatian, tiap kali sebelum memasuki masjid, selipar yang kami pakai, akan kami bungkus dengan plastik dan dimuat ke dalam beg sandang.


Foto kenangan terindah di dataran Kaabah

Hari ini kami bertahalul jam 10.20 pagi kerana tawaf dan Saie kami lakukan dengan santai dan tidak tergesa-gesa. Sebelum melengkapkan saie, kami sempat berehat di tengah-tengah laluan saie tanpa memperdulikan keriuhan jemaah haji yang bersaie. Berehat hampir setengah jam, sebelum meneruskan saie. Selepas tahalul, isteriku tidak balilk ke hotel. Aku menghantarnya ke suatu kawasan wanita, manakala  aku balik sendirian untuk menukarkan pakaian ihram kepada pakaian jubah biasa, mandi dan kembali semula ke masjid selepas itu.

Hari ini aku memilih lokasi lain untuk solat sunat, solat wajib dan membaca Al-Quran. Selepas dzohor kami bertemu di suatu lokasi dan bergerak ke Kompleks Safwah untuk makan tengah hari. Kami sering berbagi tugas di mana aku bertugas untuk mencari meja kosong, manakala isteriku berbaris untuk membeli makanan. Kami memilih lokasi masing-masing tatkala masuk kembali ke masjid.

Kelmarin aku dapat menyaksikan sebahagian tetamu Allah meninggalkan dataran Baitullah dengan mata bergenang. Itu petanda mereka telah melakukan tawaf Wadak dan akan meninggalkan Mekkah. Aku dapat melihat betapa sebaknya mereka ketika itu, dan terbayang di wajah mereka yang agak keberatan meninggalkan Baitullah. Aku tidak dapat menyembunyikan kesedihanku nanti tatkala Tawaf Widak. Aku juga tumpang mengalirkan air mata, kerana aku juga bakal meninggalkan Baitullah dalam beberapa hari lagi. 

Selepas isyak, setelah bertemu di Farmasi bawah Hotel Le Meridien. Kami balik ke hotel sambil bergelungan tangan. Singgah di sebuah kedai untuk membeli roti manis untuk sarapan pada keesokkan paginya.

12 Okt (taklimat Tawaf Wida)

Rutin bangun seawal pagi diteruskan. Entah kenapa jam 2.20 pagi, mata telah terbuka sedangkan jam loceng telah disetkan jam 2.30 pagi. Seolah-olah ada sesuatu yang menggerakkan untuk bersegera bangun. Meneruskan rutin harian yang jarang terlupa ialah membaca doa bangun tidur, "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur,"  "Segala puji hanya layak bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan."

Memasak air dan sarapan di luar bilik sudah sebati dengan kami. Tikar hijau hanya dilipat dan ditinggalkan di luar biliku, kerana aku tahu ia juga akan digunakan oleh pasangan suami isteri lain yang bersarapan selepas kami bertolak ke masjid. Aku mengisikan cerekku dengan air pili dan meninggalkan air mendidih bagi kegunaan rakan-rakan sebilikku.

Sebelum bergerak, aku melakukan rutin biasa membaca doa di balik pintu hotel dan memastikan tag nama dikalungkan leher masing-masing dan membawa beg sandang Tabung Haji berwarna merah  berisi Quran Terjemahan, botol isian semula untuk air zam-zam dan plastik bagi mengisi selipar. Setiap kali sebelum bergerak ke masjid, aku memakai sarung tangan (menjaga wuduk) bagi membolehkan aku memegang erat tangan isteriku.

Jam 8.00 hingga 10.00 pagi, tetamu Allah KT 86 menghadiri taklimat wida yang disampaikan oleh pembimbing Haji Ustaz Haji Ramli. Antara intipati ceramah yang penting ialah bersegera meninggalkan kawasan masjid selepas solat sunat tawaf, tidak boleh berfoto selepas itu, tidak boleh bersedekah, tidak boleh membantu mengambil foto untuk orang lain, tidak boleh membeli-belah dan bertindak mempastikan tiada batu melekat di sepatu yang kita pakai.

Kami ke masjid selepas makan di Safwah kira-kira jam 11.32 pagi. Jam 12.37 tengah hari, aku tawaf sunat bersendirian selepas solat Dzohor. Tetamu Allah begitu padat di kawasan dataran Kaabah.

Di  pepenjuru lampu hijau aku beristilam dengan menghadapkan tapak kanan ke arah Hajrul Awsad sambil membaca, "Bismillahi Allahu Akbar, Wallillah Hilhamd" kemudian mengucup tangan tersebut. Begitulah yangaku lakukan setiap kali berada di kedudukan lampu hijau. Setiap pusingan tika melintasi Rukun Yamani, aku menadah tanganku dengan doa berikut, “Ya Allah, aku ingin masuk dan berdoa di Hijir Ismail pada hari ini. Izinkanlah aku untuk memasuki kawasan tersebut. Bantulah aku Ya Allah, aku insan lemah dan hanya engkau tempat aku memohon bantuan.” Setiap pusingan aku semakin merapatkan diriku ke bangunan Kaabah. Pada akhir pusingan ke tujuh, aku meneruskan ke pusingan kelapan. Jam 1.15 tengah hari, akhirnya aku dapat memaut tembok Hijir dan perlahan-lahan aku didorong oleh jemaah lain sehinggalah aku dapat memasuki Hijir Ismail. Dengan mata bergenang, aku berdoa sepuasnya dan keluar kerana tidak mampu untuk menunaikan solat sunat di dalamnya.

Selepas itu, aku berundurlah ke Multazam untuk solat sunat tawaf dan berdoa; seperti berikut “Ya Allah, janganlah Engkau jadikan kunjungan ini buat yang terakhir untukku, jemputlah aku dan keluargaku sebagai tetamu-Mu untuk kunjungan yang berikut-berikutnya. Terimalah hajiku sebagai haji yang mabrur, dan masukkanlah aku, kedua ibu bapaku, datuk nenekku, anak isteriku, zuriat-zuriatku, keluargaku, sahabat-sahabatku, jiran-jiranku dan guru-guruku ke Syurga-Mu”. 

Aku dan isteri tidak balik ke hotel. Walaupun kami memilih kawasan yang berlainan untuk beriktikaf, tetapi kami sering berbalas Whatsapp. Usai solat isyak, aku menemui isteriku di tempat yang dijanjikan, iaitu kawasan farmasi dan balik ke hotel jam 8.20 malam. Kawasan jam seperti selalunya sudah tidak sesuai untuk pertemuan kerana tetamu Allah dari Asia kecil-kecil belaka. Sukar untuk bergerak ke kawasan tersebut.

13 Okt (Pilih lokasi stragek mendepandi Kaabah di depan mata)

Rutin harian tetap diteruskan pada hari ini. Terjaga jam 2.20 pagi dan meneruskan rutin harian. Sebaik-baik saja terjaga, doa ini kubaca, "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur,"  "Segala puji hanya layak bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan."

Aku memasak air panas dan membersihkan diri sebelum berebut dengan jemaah lain. SMS dihantar agar isteri terjaga. Membancuh air dan mengajak isteri bersarapan di atas tikar hujau di luar bilikku. 

Meninggakan bilik dengan doa yang biasa kami baca. Pergerakan lif hotel begitu licin kerana beluma ramai jemaah yang bangun. Berjalan dengan santai menuju ke masjid. Waima masih awal pagi, laluan ke masjid tidak pernah sunyi. Kami memilih lokasi selesa yang menghadap Kaabah di depan mata.

Semasa berada di dalam masjid, aku kerap mencari lokasi yang membolehkan aku melihat Kaabah tanpa ada halangan di hadapanku. Hari ini aku merenung Kaabah sepuasnya, kerana hanya tinggal beberapa hari lagi kami bakal meninggalkannya. 

Aku mengimbau cerita mutawif Indonesia yang mengatakan, "Di hari akhirat nanti, Kaabah akan diiringi oleh manusia sepertimana kita mengiringi pengantin. Semua orang yang mengiringinya adalah terdiri dari orang yang pernah bertawaf sama ada tawaf haji mahupun tawaf umrah."

Pagi ini kami meninggalkan masjid agak awal dari biasa untuk mengeluarkan wang SR500.00 simpanan Tabung Haji (canggihnya urusan Tabung Haji di mana kita tidak perlu membawa buku akaun untuk urusan pengeluaran, memadai hanya membawa tag nama). Mengambil nombor giliran dan duduk santai sambil tangan menggentel tasbih. Tetemu Allah datang satu persatu ke arah kaunter pejabat bagi mendapatkan nombor giliran yang akhirnya kesemua kerusi yang disediakan dipenuhi oleh jemaah yang setia menunggu sehingga pejabat dibuka. Hampir sejam berada di situ sebelum nombor giliran dipanggil kerana sebelum kedatangan kami ke sana, telah ada jemaah yang tiba lebih awal. Di lobby hotel, sendat diisi oleh jemaah yang ingin menyertai lawatan ke Jabar Rahmah, Ladang Unta dan Masjid Ji'ranah. Tetapi kami sepakat untuk tidak meyertainya. Kami naik semula ke bilik di lantai 15 untuk menyimpan wang.

Sebelum zohor kami bertolak ke masjid. Jam 10.15 pagi, aku merapat ke bawah Lingkaran Bulatan Bertiang untuk mendekati Kaabah ketika solat zohor. Dzikir, solat sunat, berdoa dan marathon membaca Quran mengisi masa sepanjang berada di dalam masjid. Aku dan isteri balik selepas isyak setelah bertemu di kawasan Farmasi seperti hari-hari sebelumnya.  Singgah membeli nasi di perjalanan balik ke hotel dan makan malam di luar bilik. Lebih sepuluh jam diisikan dengan zikir, solat sunat dan maraton Quran di masjid.

Tidak diselindungi lagi, hati dan perasaan ini bagai diragut-ragut, tatkala mengingatkan bahawa diri ini juga bakal meninggalkan bangunan hitam ini. Waima telah berada di Mekah agak lama, tetapi perasaan ini masih terasa belum puas untuk melihat bangunan hitam ini. Peluang terbuka atas jemputan-Nya tidak harus disia-siakan kerana mungkin kita tidak ada peluang lagi berada di haramain-Nya. Rasa bersyukur kerana kami berdua dapat berhaji ketika masih berkhidmat dalam kerajaan. Sekurang-kurangnya, kami memperoleh dan menikmati cuti 40 hari dari kerajaan.

14 Okt

Pagi ini kami bergerak ke masjid jam 4.00 pagi, jauh tersasar dari masa sepatutnya. Aku dahulukan dengan  membaca doa bangun tidur, "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur." 

Rakan sebilikku mendahuluiku, sesuatu yang jarang berlaku. Kami bergurau apabila mengimbau isu bangun pagi kerana selalunya, atas pekenan-Nya, akulah orang pertama terjaga. Memasak air, membersihkan diri dan sarapan di luar bilik, di hamparan hijau yang sememangnya jarang dilipat sepanjang berada di Mekah. Aku dimaklumkan ada juga pasangan lain turut menggunakan tikar tersebut untuk sarapan pagi. Sememangnya ada tiga lagi pasangan berkelamin tinggal di sebelah bilik kami (Haji Saiban, Haji Matrji Sarawak, Haji Malek Trengganu dan Haji Ikhsan Cikgu Ipoh).

Sebelum bergerak, aku melakukan rutin biasa membaca doa di balik pintu hotel. Sebelum bergerak, kami memastikan tag nama dikalungkan leher masing-masing dan membawa beg sandang Tabung Haji berwarna merah  berisi Quran Terjemahan, botol isian semula untuk air zam-zam dan plastik bagi mengisi selipar dan akhirnya membaca doa seperti selalunya.

Rutin biasa agak sedikit berubah. Selepas subuh, kami bersarapan di Kompleks Safwah dan menemani isteriku membeli sedikit buah tangan untuk di bawa pulang. Antaranya dua beg untuk anak-anak, perhiasan yang ada tulisan pintu Kaabah dan buah tangan. 

Oleh sebab ubat batuk bekalan klinik Tabung Haji hampir habis, aku singgah membeli ubat batuk di farmasi. Harganya agak mahal sedikit. Bayangkan, harga 24 tablet panadol SR8.85 manakala harga 14 tablet Clarinase SR 21.20 harga antibiotic SR 51.00. Itu peringatan agar tetamu Allah yang ingin mengerjakan ibadah  umrah agar membeli ubat-ubatan di Malaysia sebagai bekalan kerana masa umrah tiada perkhidmatan klinik Malaysia di sana.

Merakam kenangan di luar masjid

 Oleh kerana membawa dua beg plastik besar, aku solat dzohor di luar masjid. Aku balik ke hotel untuk menyimpan barangan kami manakala isteriku iktikaf di dalam masjid. Turun ke haram sebelum asar dan balik selepas isyak. Kami bertemu di kawasan yang telah dijanjikan. Di perjalanan balik kami singgah membeli buah dan air mineral. Membuka hamparan hijau di luar bilik untuk santapan malam.

Sebelum melabuhkan tirai malam, aku membaca doa sebelum tidur, Bismika Allah huma ahya ....., membaca Qualhu Allahhu ahad, Al-Falaq, An-Nas, bersyahadat, berselawat dan diakhiri dengan membaca ayat kursi.

15 Okt

Bangun seawal pagi, dimulai demgan membaca doa yang sering kubaca, "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur,"  "Segala puji hanya layak bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan."

 Aku  mengisi cerek untuk memasak air panas dan membersihkan diri sebelum rakan-rakan lain terjaga. Sebelum bergerak, aku mengejutkan rakan sebilikku. Hari ini, jam 4.35 pagi kami bergerak ke masjid melalui terowong. Sebelum bergerak, aku melakukan rutin biasa membaca doa di balik pintu hotel. Balik ke hotel setelah membeli makanan di luar hotel. Hari ini, aku membeli sebotol 10 liter air zam-zam SR5 dari pekerja hotel. Aku membahagi 5 liter untuk isteriku. Kami sepakat untuk mandi dengan air zam-zam sebelum meninggalkan kota suci Mekah. 

Hari ini perut rasa terganggu dan tidak makan nasi seharian. Aku terpaksa zohor di hotel kerana risau mengenai kesihatan yang sedikit terganggu, akan tetapi tetap memastikan isteriku ke masjid berteman. 
Aku menelan ubat yang dibekalkan. Dengan izin-Nya, aku sedikit pulih seperti biasa dan diberi peluang oleh-Nya untuk membca Quran di bilik.

Sebelum maghrib, aku  membeli burger ayam buat makan malam isteriku yang tidak pulang-pulang semenjak pagi. Kami bertemu di luar lingkaran di lantai satu. Kami berdua berundur ke dinding belakang yang kosong untuk membolehkan isteriku makan buger tersebut. Aku bergerak ke kawasan lain selepas memastikan isteriku dapan makan dengan selesa. Usai Isyak, kami bertemu di kawasan farmasi. Kami berjalan balik sambil berpautan tangan selepas isyak. Sebelum tidur aku sempat memakan burger sebiji yang aku beli di laluan pulang sebagai pengalas perus pada malam harinya.

16 Oktober (Jumaat terakhir di Mekah)

Jumaat terakhirku di Mekah perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Selepas mandi sunat Jumaat, aku memasak air panas untuk rakan-rakan sebilik dan rakan jiran bilik. Aku mengejutkan mereka sebelum bertolak. Walaupun agak lewat bangun, kami tetap ke masjid jam 4.15 pagi melalui jalan pintas terowong. Selepas berdoa, terus menapak ke lif hotel yang tidak begitu sesak. Loby hotel nampak kosong, berkemungkinan jemaah lain telah pergi ke masjid lebih awal dari kami berdua.

Laluan terlalu sepi, tanpa dilalui oleh sebarang kenderaan. Akan tetapi hati kami tidaklah gusar dan berserah sepenuhnya kepada-Nya. Keluar menghala ke Kompleks Safwah, melalui tandas awam dan ke dataran luar masjid. Aku menikmati lampu limpah di luar masjid dengan perasaan sayu. Sungguh indah dan sungguh mempersonakan. Sudah agar ramai jemaah berbondon-bondon memasuki masjid seawal pagi. Di dalam masjid juga agak sedikit sesak dengan jemaah. Di dataran Kaabah, jelas kelihatan suasana padat dengan jemaah yang menunaikan tawaf. Suatu suasana yang sudah semestinya akan aku rindui nanti setelah berada di tanah air. 

Suasana sesak pagi itu menyebabkan kami tidaklah bertawaf, melainkan menunaikan solat tahaiyatul masjid, diikuti dengan solat-solat lain. Amat tenang dan terasa damai tatkala mendepani Kaabah  di Haramain-Mu. Suatu suasana yang tidak mungkin aku dapat peroleh di tempat-tempat lain. Selesai solat  subah, kami bertemu di tempat biasa untuk menapak balik ke hotel. 

Rutin biasa diteruskan, cuma bergerak awal sedikit untuk solat Jumaat, kerana jika terlewat, banyak pintu akan ditutup untuk tujuan keselamatan dan mengelak kesesakan melampau.

Azan dikumandangkan begitu syahdu menyelubungi segenap pelusuk haramain. Khutbah Jumaat yang sungguh bersemangat dan kurasa penuh makna waima aku tidak memahami isi kandungnya. Selepas solat Jumaat, kami tidak terus meninggalkan perkarangan masjid kerana suasana agak padat. Membuka lembaran Al-Quran yang semakin hampir ke penghujung sementara menunggu keadaan agak reda. Suasana gerai makan di Safwah juga tidak berapa sesak kerana sebilangan jemaah telah balik ke kampung halaman masing-masing.

Aktiviti kami hari ini diperlahankan sedikit bagi menggumpul tenaga untuk mengemas barang. Sekembali ke hotel, selepas isyak, aku memadatkan beg besarku dengan isian pakaian untuk dipakai di Madinah.

17 Okt

Jam 3.00 pagi, dimulai dengan berdoa , "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur,"  "Segala puji hanya layak bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan." 

Aku bangun menuju ke bilik air mengisi cerek untuk memasak air panas lantas mandi. Seperti selalunya aku sarapan bersama isteri. Selepas subuh, kami bergerak ke Safwah untuk bersarapan. Teh susu pekat yang enak menjadi pilihan kami, acapkali bersarapan pagi. Oleh kerana esok kami akan bergerak ke Madinah, pagi itu kami luangkan masa untuk membeli barang di Kompleks Safwah. Aku membeli songkok berlambangkan Kaabah SR 20.00. Agak puas tawar menawar, namun hati peniaga itu  tidak luntur dengan pujuk rayuku. Akhirnya aku mengalah membeli jubah Haramain SR55.00. Hari tersebut, kami makan tengah hari agak awal dari biasa.

Selepas asar aku balik ke  hotel bersama isteriku. Kami dikunjungi oleh petugas haji yang membahagikan pelekat beg dan pelekat kad nama serta nombor bilik hotel di Madinah. Setelah mengetahui aku terpaksa berpisah dengan rakan sebilik dan rakan bilik sebelah, aku memeluk mereka sambil melafazkan kata-kata meminta maaf andai ada tingkah aku yang kurang menyenangkan sepanjang tempoh hampir sebulan berkongsi kemudahan semasa berada di Mekah. Aku mencapai buku notaku untuk meminta alamat serta nombor telefon semua rakan-rakan Mekahku.

Usai memastikan tiada barang yang tertinggal, jam 5.00 petang.aku menolak dua beg besar dan dua beg kuning ke dada lif diturunkan ke lobi hotel untuk dimuatkan ke dalam lori pengangkut. Kami dimaklumkan barangan kami diangkut pada sebelah malam ke hotel di Madinah dan dimaklumkan yang bagasi kami akan tiba di hotel penginapan di Madinah lebih awal dari kami. Aku mula terasa berbelah bagi ketika itu. Terasa pilu yang menebal untuk meninggalkan Baitullah dan terasa gembira kerana tidak berapa lama lagi aku akan berada di Masjid Nabawi. Sesungguhnya aku ingin berada sedekat-dekatnya dengan jasad di mana Rasulullah di semadikan. Aku ingin berdoa di sana, berdoa semoga baginda memberi syafaatnya di Padang Masyar nanti.

Aku bergerak ke haram untuk solat maghrib. Selepas maghrib, ketika sedang merenung Kaabah dalam situasi pilu yang amat dalam, aku didekati oleh seorang jemaah KT 68. Kami sama-sama menitiskan air mata apabila mengenangkan akan berpisah dengan Baitullah. Beliau menceritakan, di suatu masa nanti ketika berada di Padang Masyar, Allah akan memperlihatkan dunia ini kepada hamba-Nya. Dan, masa itu besar dunia yang pernah kita diami ini, hanyalah seluas taman permainan kanak-kanak. Mungkin ada kebenarannya dan mungkin beliau bercerita berdasarkan pembacaan atau ceramah yang pernah diikutinya atau ada fakta lain. Masa itu, kita melihat dunia ini kecil sepertimana di waktu ini kita melihat betapa kecilnya alam kita ketika kita masih di perut ibu kita. Dan sehingga saat inipun kita masih dapat menyaksikan setiap hari, ada ibu-ibu yang sarat membawa bayinya ke sana-kemari. Mengapakah kita jarang bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan. Berulang-kali Allah menyebut dalam kitab suci Al-Quran surah Ar-Rahman yang menyebut, "Nikmat Allah yang manakah yang hendak kamu dustakan." Berfikirlah secara waras wahai para bakal Duyufurrahman.

Selepas Isyak aku ke kompleks Safwah untuk membeli soup ayam dan nasi. Aku dan isteri makan di luar bilik hotel, ketika soup masih panas-panas. Sebelum tidur, kami bergabung dengan penghuni bilik sebelah (1509) untuk menghiris buah orange yang terkumpul begitu banyak dalam peti ais besar di bilik kami. Secara kebetulan bilik kami ada peti ais. Buah tersebut kami kumpul sejak beberapa hari lalu. Bukan tidak lalu makan, akan tetapi dikhuatiri akan meyebabkan batuk bertambah parah. Kami merancang untuk membahagikannya semasa perjalanan dari Mekah ke Madinah. 

18 Okt (Ahad) Sayunya meninggalkan Mekah Al-Mukaramah

Jam 2.08 pagi , aku bangun  membaca doa bangun tidur, "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur,"  "Segala puji hanya layak bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan." Seperti lazimnya aku memasak air panas untuk bersarapan pagi.

Pagi ini mandiku kuakhiri dengan siraman air zam-zam dan berdoa agar diriku dibersihkan dari segala noda dan dosa dan dari apa sahaja gejala  negatif yang bermaharaja dalam diri yang kerdil ini. Setelah sarapan di luar bilik bersama isteri, jam 2.48 pagi, kami bergerak ke masjid. Sebelum bergerak, aku melakukan rutin biasa membaca doa di balik pintu hotel. Doa ditambah dengan memohon agar perjalanan ke Madinah dipermudah dan diberi perlindungan.

Tawaf Wida

Jam 3.05 pagi kami memulakan tawaf wida di Mataaf bulatan pertama ketika ada antara pintu masuk ke masjid telahpun ditutup. Kami sepakat memilih kawasan tersebut bagi membolehkan kami menyaksikan keseluruhan masjid, mudah-mudahan bukan untuk kali yang terakhir, begitulah bisikan isi hatiku.  Sebelum tiba di lampu hijau, kami berdua melafaz niat tawaf sunat wada. Di lampu hijau, aku memandang Hajrul Aswad dengan mata berkaca. Kami serentak melafazkan istilam dengan suaraku tersekat oleh esak tangis yang datang tanpa diundang.  "Bismillahi Allahu Akbar, Wallillah Hilhamd" kemudian mengucup tangan tersebut. Begitulah yang kami lakukan setiap kali berada di kedudukan lampu hijau. Membaca doa keselamatan dunia dan kebaikan di akhirat tiap kali ke pepenjuru Rukun Yamani. Begitulah kami ulangi sebanyak 7 kali mengelilingi Baitullah.  

Semasa tawaf 7 keliling, aku tidak melepaskan pandanganku kepada  Baitullah  walaupun mataku bergenang sepanjang mengelilinginya. 

Tiap kali berada di kedudukan Maqam Ibrahim,  aku melantunkan "Subahanallah, Walhamdulillah dan Allahu Akbar".  Wirid itulah juga kulantunkan sepanjang tujuh pusingan tawaf. Tiap kali berada di sudut Hijr Ismail (tempat makbul doa), aku tidak melepaskan untuk membaca doa yang agak panjang. Doa yang kubaca berbeza-beza antara setiap pusingan.  Di sudut Rukun Yamani kutitipkan doa, "Rabbana atina fiddunia ....... ". Doa keselamatan di dunia dan kesejehtaraan di akhirat. Akhirnya kami dapat menyudahkan tawaf wida dalam situasi yang amat-amat santai, seolah-olah terasa di hati ini begitu berat untuk meninggalkan Baitullah.

Mungkinkah ini tawafku yang terakhir? Berat terasa kaki melangkah tatkala selesai bertawaf wida'. Andai ini pertemuan terakhirku dengan Baitullah, kusulam rindu ini sehingga menghadap penciptamu....iaitu Allah. Aku merenung Baitullah sepuas-puasnya. Sedih, pilu dan sayu menyelimuti seluruh perasaanku. Tidak tergamak rasanya berpisah dengan Baitullah. Dengan mata yang berkaca, aku membaca doa terakhirku diaminkan oleh isterku berbunyi, “Ya Allah, jika isteriku berdosa padaku, aku ampun dosa dia. Oleh itu ampunkanlah dosa-dosanya, ampunkan dosa-dosaku, dosa kedua ibu bapa kami, dosa anak-anak kami, dosa orang yang pernah berjasa kepada kami, dan jangan engkau jadikan kunjungan ini buat yang terakhir untuk kami. Jemputlah kami ke tanah suci-Mu bersama anak-anak kami di masa-masa akan datang.”

Solat terakhirku di Multazam merupakan kemuncak kesyahduan ku. Airmataku terus saja mengalir deras kerana tidak menyangka,  Allah mengizinkan kami untuk menjejakkan kaki ke tanah mulia tersebut untuk melengkapkan Rukun Islam ke-5. Terasa diri ini terlalu kerdil jika dibandingkan dengan keagungan Allah S.W.T dan terasa dekat diri ini kepada Allah pabila bersolat berdekatan dengan Baitullah.

Sujud terakhirku diselubungi dengan perasaan mengharap redha Allah. Tangis, ratap, rintih dan rayu bagai kemestian tatkala berada di sana. Rasa malu menahan tangisan tidak ada lagi pada sekujur tubuh insan bernama hamba. Esak tangis sudah menjadi irama yang mendamaikan. Entahkan bila lagi aku dapat merenung Baitullah seperti beberapa minggu yang telah aku lalui. Sedih, pilu dan sayu menyelimuti seluruh perasaanku tatkala hendak berpisah dengan Baitullah. Air mata jatuh menitis di lantai.

Aku dan isteri bersegera meninggalkan dataran Kaabah dengan sejuta kesedihan. Terasa dadaku yang semakin menyesak. Lambaian terakhirku terhadapnya menamatkan episod kami di Masjidil Haram. Di laluan keluar kami membasah tekak dengan air zam-zam sambil mendepano Kaabah dan menyapu muka serta seluruh kepala dengan air tersebut. Aku menoleh dan terus menoleh dalam keadaan sebak,   sambil pipi ini dibasahi dengan linangan air mata.  Isteriku juga bergenang dengan air mata. Kami terus menoleh sehingglah bangunan Kaabah tidak kelihatan lagi.  Entahkan bila lagi aku dapat merenung Kaabah seperti beberapa hari yang telah aku lalui. 

Doa terakhirku sambil diaminkan oleh isteriku,  "Syukur Ya Allah, dengan perkenan-Mu, kami telah melengkapkan  Rukun Islam kelima kami berdua. Kami memohon semoga kunjungan ini bukanlah yang terakhir buat kami. Jemputlah kami ke haram-Mu dalam masa yang terdekat. Kami memohon Engau terimalah haji kami sebagai haji yang mabrur dan masukkanlah kamu bersama kaum keluarga kami ke Firdaus-Mu tanpa dihisab."

Tatkala berada di luar bangunan Masjid,  kaki ini terasa berat dan longlai untuk terus menapak balik ke hotel penginapan. Kami bersegera meninggalkan masjid melalui terowong. Sebelum memasuki pintu terowong, dengan air mata berjuraian, kami menoleh Masjidil Haram untuk sekelian kalinya.

Di dalam terowong, kami terdengar laungan azan subuh dikumandangkan oleh muazim. Pembimbing haji Ustaz Haji Ramli menunggu di lobi hotel untuk menemubual jemaah haji. Ada antara mereka diarah  untuk mengulang tawaf wida kerana beberapa kesalahan yang mereka lakukan.  Aku dan isteri solat subuh berjemaah di surau hotel. Terubat kerinduan di hati untuk mengaminkan Qunut Subuh setelah sekian lama tidak menunaikan solat subuh di surau hotel.

Usai subuh, kami segera naik ke bilik penginapan untuk persiapan terakhir meninggalkan Mekah Al Mukaramah dan bersarapan ala kadar.  Aku merenung bilik 1508 dengan mata berkaca. Aku terkedu mengenangkan kenangan manis di bilik yang amat berjasa kepadaku, yang mana kenangan tersebut tidak akan ada ulangannya. Aku menyelongkar  peti ais yang telah kami kosongkan, merenung tilam, bantal dan selimut yang telah aku gunakan sepanjang bermukim di sana. Dan akhirnya aku menggunakan tandasnya buat yang terakhr kalinya. Aku tutup rapat-rapat pintu bilik 1508 dan meninggalkannya dengan air mata berjuraian. Aku sempat meneoleh ke sudut di mana kami hamparkan tikar hijau untu tujuan sarapan pagi bersama isteriku. Aku menemui isteriku di bilik 1509 dan mengajaknya untuk turun ke lobi.  Ku perhatikan, dia juga merasa seperti mana yang aku rasakan. 

Sama seperti semasa keberangkatan kami dari Kelana Jaya ke Airport KLIA, pemergian kami dari Jeddah ke Mekah dan dari Mekah ke Arafah, kami jemaah haji KT 68 bergerak dengan bersistem tanpa berebut-rebut. Kami berkumpul di loby hotel menunggu giliran untuk bas bergerak ke Madinah. Jam 9.08 pagi, bas no 7 yang kami naiki bergerak meninggalkan Kota Mekah menuju ke Madinah Al Munawarah. Aku mula menukarkan dzikir kepada selawat ke atas Rasulullah. Hati begitu sayu meninggalkan kota Mekah. Aku sempat menoleh hotel penginapan kami dengan sebak yang begitu dalam.

Air mata mengalir lembut

Setelah begitu jauh meninggakan kota Mekah, hati ini terpukul apabila aku melihat kelibat seorang jemaah lelaki yang agak berumur berpakaian ihram berjalan kaki menuju ke tempat penginapan yang aku jangkakan berjarak lebih dari 5 kilometer dari masjid. Mataku bergenang menyaksikan situasi itu kerana jika membandingkan diri ini yang disantuni Allah dengan sebeitu rupa, di mana jarak penginapan kami dengan Masjidil Haram tidak sampai pun 20 minit untuk menapak ke sana. Sepanjang perjalanan aku sentiasa menoleh ke menara jam Mekah, jam yang senantiasa aku renungi sepanjang berada di sana. Paling menarik ialah ketika azan dikumandangkan, lampu hijau yang melingkari jam tersebut bernyala menyebabkan ia begitu menyerlah. Kali terakhir aku dapat menyaksikannya ialah jam 9.33 pagi. Waima jahitan luka di hati ini yang masih belum pulih, namun hakikatnya aku terpaksa meninggalkan Baitullah. Entah bila lagi aku akan dapat menatapnya seperti  hari-hari sebelumnya. Cukup-cukuplah setakat ini, rasanya tidak tertanggung derita kerinduan terhadap Baitullah. Jam 9.48 pagi, aku menghantar pesanan SMS kepada anak -anak melaporkan kedudukan kami yang sedang dalam perjalanan menuju ke Madinah. Di pertengahan jalan, aku terlihat kelibat Tuan Haji Munir dari hujung bas, membawa bakul plastik membahagikan potongan buah oren seperti yang kami rancangkan. Syukur Ya Allah, kumohon dengan asbab yang cuma sedikit itu, dapat kiranya menabung pahala untuk kami penghuni bilik  1509.

Jarak antara Mekkah dengan Madinah mengikut jalan raya ialah 436.3 km. Perjalanan menggunakan kereta memakan masa selama 6 jam. Misi zikirku diteruskan ketika dalam perjalanan. Terdapat juga terlihat kawasan Wadi iaitu kawasan subur yang ditumbuhi dengan rumput menghijau di sepanjang perjalanan.  Perjalanan begitu lancar, dengan Allah hamparkan kami dengan pemandangan padang pasir yang luas terbentang. Aku dapat rasakan batuan hitam sepanjang laluan kami berdoa agar jemaah  kami tiba dengan selamat ke kota Madinah. Sesekali kelihatan nun jauh dari lebuhraya, sekawan unta tertunduk-tunduk mencari makanan.  Adakalanya terlihat juga sekawan kambing meragut rerumput di sekitar kawasan berpagar yang diawasi oleh gembalanya. Sungguh asing pemandangan itu andai dibanding dengan negara kelahiranku. Tapi hakikatnya, inilah bumi barokah.  Kadang-kala mata ini berkaca-kaca apabila mengimbau kenangan lalu, betapa sulitnya Nabi Muhammad melalui perjalanan hampir dua minggu dalam hijrah belaiu dari Mekah ke Madinah. Kebetulan pula, baginda mengambil jalan lain yang jarang dilalui bagi mengelak dijejaki oleh musyrikin Mekah yang berhajat menghambat baginda dan sahabatnya Saidina Abu Bakar. Menurut fakta sejarah, di suatu ketika, Saidina Abu Bakar menangis apabila  seorang Musyrikin Quraish bernama Suraqah bin Malik yang menunggang kuda menghampiri kedudukan mereka berdua. Nabi berdoa dan kuda tungangan Suraqah terjunam ke dalam pasir serta gagal menjejaki mereka berdua.

Mengikut fakta sejarah, ketika golongan Ansar mendengar perkhabaran hijrah Baginda Rasulullah ke Madinah,  mereka berhimpun di suatu tempat yang bernama Harah. Mereka menunggu sehingga menjelang tengah hari sebelum bersurai. Tatkala baginda tiba, 500 Ansar menunggu baginda di situ dengan penuh gembira. Baginda berjalan sehingga tiba di rumah Abu Ayub.

Insya Allah, dalam beberpa jam lagi kami akan berada di Kota Madinah, kota yang sarat dengan sejarah, Hati bergetar kerana di kota yang unik ini bersemadinya insan agung Nabi Muhammad Rasulullah di dalam masjid agung Masjid Nabawi. Masjid Nabawi adalah masjid ke-2 dibangunkan Nabi selepas Masjid Quba. Lokasi Masjid Nabawi asalnya tempat menjemur kurma dua bersaudara yang yatim Sahl dan Suhail bin Amr, tetapi telah ditebus oleh Nabi Muhammad.  "Satu kali  solat  di masjidku ini, lebih besar pahalanya dari seribu kali salat di masjid yang lain". Di situlah letaknya, Raudah yang terkenal sebagai lokasi makbul doa di Masjid Nabawi. Raudah adalah lokasi antara kamar Rasulullah dengan mimbar. Kawasannya ditandai dengan permaidani kehijauan (luas 22 X 15 m). 

Kota Suci Madinah (Yathrib) yang terletak di gunung berdataran tinggi, di persimpangan tiga lembah iaitu Lembah ‘Aql, Lembah Aqiq dan Lembah Himd.  Yang paling penting, di Kota Madinahlah tempat turunnya sebahagian ayat-ayat  suci Al-Quran Al Karim. Ibarat sebatang pokok, Madinah adalah pohon yang membuahkan peradaban besar bagi penduduk bumi Allah. Di kota ini juga terdapatnya  Masjid Quba, masjid yang pertama dibangunkan oleh Rasulullah,  Masjid Qibllatain, Masjid Tujuh, Saqifah Bani Saaidah, medan perang Jabal Uhud, Muzium Al-Quran dan beberapa tempat yang perlu diziarahi.

Mengikut buku Kisah Penghidupan 25 Rasul karangan Muhammad Abdul Wahab cetakan tahun 2011 mencatatkan bahawa, ketika Nabi Muhammad berusia enam tahun, ibunya membawa baginda ke 
Madinah untuk  diperkenalkan kepada keluraga neneknya Bani Najjar. Beliau juga dibawa mengunjungi rumah tempat merawat ayah baginda ketika sakit serta dibawa menziarahi pusara ayahnda baginda. Setelah sebulan berada di Madinah, mereka berangkat balik ke Mekah. Dalam perjalanan pulang, Aminah ibu baginda meninggal dunia dan dimakamkan di suatu tempat yang bernama Abwa'. Abwa', 23 kilometer di selatan Madinah, terletak antara Kota Madinah dan Juhfah .

Kisah kambing kurus

Bas kami berhenti rehat di suatu perhentian pada jam 11.30 tengah hari untuk solat  dzohor. Kemungkinan kami diberhentikan ditempat yang bernama Wadi Quadaid.  Lazimnya, kawasan ini disinggahi pada waktu malam. Allah rezikikan kami singgah di sini pada waktu siang. Quadaid mencatat sejarah di zaman Rasulullah, di mana baginda dan rombongan pernah singgah di sana. Beliau menemui seorang penternak bernama Aiman yang memiliki kambing yang kurus, sesetengah buku menyebut pemilik kambing kurus itu bernama Ummu Muabbad. Baginda memohon izin untuk memerah susu dari kambing kurus tersebut. Masya Allah, dengan kambing kurus tersebut, baginda memperoleh susu dengan bilangan yang cukup banyak. Kuasa Allah melampaui segala-galanya kerana hasil perahan susu kambing tersebut mampu untuk menampung rombongan Rasulullah.


Foto kenangan di masjid dalam kawsan R & R.
Singgah dan berehat di perjalanan dari Mekah
 ke Madinah.

Kawasan R & R Quadaid cukup bersih dan terkenal dengan keenakkan Nasi Arabnya. 
Setelah membasahi tekak dengan teh dan murtabak, tetamu Allah meneruskan perjalanan menuju ke Madinah.  Jam 3.10 petang, kami tiba di hentian untuk penyerahan sumbangan kerajaan Arab Saudi. dan jam 4.30 petang di pos pemeriksaan Imigresen.

Jam 5.20 petang kami tiba di Hotel Al-Haram Madinah yang mempunyai 606 bilik (lebih lapan jam dalam perjalanan). Aku mengiringi isteri ke lantai sepuluh kerana aku menginap di bilik 1013 manakala isteriku di bilik 1015. Isteriku sebilik dengan kakak ipar serta isteri dan ibu mertua Tuan Haji Abu Taib (Kajang). Aku berkenalan dengan  empat sahabatku Haji Abu Taib bin Mat (Kajang Selangor) , Haji Tuan Abdullah Tuan Yussof, Haji Ishak Safie dan Haji Baharuddin Zakaria (Precient 8, Putrajaya, K. Lumpur) kesemuanya Malaysia Barat) yang tiba lebih awal dari bas kami. Rakan hajiku Tuan Haji Munir serta jiran bilik sebelah ketika di Mekah, berada di bilik-bilik lain akan tetapi masih di aras yang sama.

Aku mencapai bagasi yang telah diletakkan di luar bilik. Begitulah kecekapan pihak Tabung Haji dalam menyantuni tetamu Allah. Kesemua rakan sebilikku  adalah rakan sekhemahku ketika di Arafah dan Mina. Syukur Ya Allah, kerana tiada pilihan, aku yang terakhir tiba di bilik ditempatkan di katil paling hujung dekat tingkap. 

Ketika berpeluk salam, salah seorang dari mereka (Tuan Haji Badarudin) berkata kepadaku, "Tuan haji tiada pilihan, hanya katil dekat tingkap sahaja yang kosong."

Aku tidak berkecil hati, malahan hati keciku berbisik, sebenarnya lokasi dekat tingkap sebegitulah  yang kerap menjadi idamanku. 

Juzuk 22 Surah Faatir (Pencipta) ayat ke 38 berbunyi, “Sesungguhnya Allah mengetahui, yang tersembunyi di langit dan  di bumi. Sesungguhnya, Dia Maha Mengetahui segala isi hati.”

Syukur Ya Allah, sesungguhnya Engkau maha mendengar isi hati umat-Mu. Keistimewan di katil hujung dekat tingkap itu membolehkan untuk aku memerhatikan suasana persekitaran luar hotel jika terjaga sebelah malam. Aku kerap melihat suasana damai Madinah melalui tingkap dan di tepi tingkap itulah tempat aku meletakkan barang pribadiku. 

Amalan baru mengenai selipar

Aku bersegera mandi untuk bersalin jubah baharu dan mengajak isteri untuk solat asar di Masjid Nabawi. Di kiri kanan lorong laluan hotel di penuhi dengan kedai-kedai menjual pelbagai barangan. Dari sekecil kunci, barangan elektrik, kurma, dan pelbagai jubah yang menarik. Pintu 25 Masjid Nabawi adalah laluan terdekat kami untuk ke masjid. Amalan memasukkan selipar ke dalam be sandang tidak lagi terpakai di Madinah kerana selipar boleh ditinggalkan di dalam rak-rak yang banyak di luar atau di dalam masjid.

Jarak antara hotel dengan masjid tidak sampai 50 meter. Selepas isyak, aku dan isteri bersegera balik ke hotel. Di laluan balik, aku melalui beberapa hotel seperti Hotel Al-Mubarak, di sebelahnya ada kedai-kedai kecil menjual pelbagai, Food Court,  Hotel Fairuz Al Satta, Hotel Al Ansar dan Hotel Dar Al Taqwa. 

Ruang berkelah di rumput hijau di belakang Food
Court Madinah

Jam 9.30 malam, selepas makan malam, kami  menghadiri taklimat ziarah dalam.  Taklimat pada malam tersebut disampaikan oleh pembimbing haji yang baru yang bertugas di Madinah. Dalam pencerahan,  beliau berkata,  "Tuan-tuan haji dan hajah tentu maklum betapa sukarnya mengerjakan umrah. Tuan haji berpantang semasa dalam ihram, keluar ke Masjid Tanaim untuk bermiqad. Bersesak melakukan tawaf. Menjaga wuduk. Letih berulang alik antara Safa dan Marwah. Akan tetapi betapa 
mudahnya ketika di Madinah, hanya dengan pergi ke Quba dalam keadaan berwuduk serta mennaikan solat sunat di sana, kita memperoleh pahala umrah. Oleh itu, jangan sia-siakan peluang yang terbuka tersebut."

Kami dinasihatkan untuk tidak melepas peluang mengunjungi Masjid Quba kerana solat 2 rakaat di sana menyamai pahala mengerjakan sekali umrah. Kami berdua berhasrat ingin merebut peluang  ke Quba pada setiap hari bagi menabung sebanyak-banyak pahala. 

19 Oktober (hari kedua di Madinah - ziarah dalam)

Jam 3.00 pagi, bangun berdoa,  "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur,"  "Segala puji hanya layak bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan." 

Diikuti dengan mandi dan memasak air panas di luar bilik dan mencari lokasi baru untuk sarapan pagi iaitu di depan lif yang tidak digunakan. Kebetulan ada sebuah meja bulat dan dua buah kerusi. Aku mengutus SMS kepada isteriku untuk ke lokasi bersarapan yang baru. Di meja bulat itulah kami bersarapan sebelum bergerak ke masjid. Allah Ya Allah,  paket minuman masih berbaki dan masih mencukupi untuk kami berdua buat sarapan. 

Sebelum bergerak,  kami memastikan tag nama dikalungkan leher masing-masing dan membawa beg sandang Tabung Haji berwarna merah  berisi Quran Terjemahan, botol isian semula untuk air zam-zam dan plastik bagi mengisi selipar. Aku membaca doa berikut di balik pintu bilik, “Ya Allah, permudahkanlah perjalananku ke masjidmu, jagalah keselamatanku dan isteriku, jagalah lisanku dan izinkan aku beriktikaf di masjid-Mu”.

Amalan di Mekah membaca doa masuk ke masjid dan doa iktikaf diteruskan ketika berada di Masjid Nabawi. 

Kami segera balik kerana pagi tersebut ada ziarah dalam. Di laluan Hotel Al-Haram, dalam suasana meriah aku menyelit di celah tetamu Rasulullah dan aku singgah membeli 10 songkok yang ada lambang Kaabah di tepinya untuk buah tangan balik ke tanah air.

Jam 6.40 pagi, ratusan tetamu Rasulullah KT 68 berkumpul di luar Hotel Al-Haram untuk bergerak ke Masjid Nabawi melalui pintu 25. Kami disantuni oleh seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Madinah. Di pagi hening, jelas terasa kesyahduan berada di kota Madinah. Sebelum bergerak masuk, kami berkumpul untuk membaca doa diketuai oleh ustaz pembimbing haji. Sekali lagi kami diiringi oleh sebilangan kecil petugas haji. Kami mendengar sedikit pencerahan dari pengiring kami. Pagi itu, selepas ziarah Rasulullah,  aku tidak terus meninggalkan Masjid Nabawi. Usai menyampaikan salam terhadap Rasulullah dan dua sahabatnya, aku bergerak memasuki pintu Bubus Salam untuk merapat ke kawasan Raudah. Usai solat tahaiyat, aku solat hajat dan membaca doa berikut, “Ya Allah, terimalah solatku dan permudahkanlah aku untuk bersolat dan berdoa di Raudah-Mu”. 


Masjid Nabawi yan berbekas di hati

Sujud di Taman-taman Syurga

Allah ya Allah, Engkau  memperkenankan hajat yang tertanam di hatiku. Aku berjaya memasuki Raudah. Solatku di pertamaku di Taman-taman Syurga pagi itu diselubungi dengan seribu rasa, gemuruh, sebak, syahdu dan pilu. Aku menunaikan solat sunat taubat, solat hajat dan solat dhuaa di dalamnya. Sungguh, Allah yang Maha Pengasih mengakui bahawa hamba-Nya banyak terkhilaf dan melakukan dosa. Lalu, berulang-ulang kali dalam al-Quran mengingatkan hamba-hamba-Nya agar memohon keampunan-Nya. Dalam surah Hud, ayat 90 Allah berfirman: "Dan mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengasihani, lagi Maha Pengasih." Aku memanjatkan mendepakan tangan lalu memohon keampunan kepada Allah agar kami dikurniakan dengan haji yang mabrur, diikuti dengan doa-doa lain untuk ketiga-tiga anakku, keluargaku, rakan sepejabatku, warga surau Pangsa Puri Tg. Aru dan rakan taulan ku serta kaum muslimin dan muslimat sekalian. Hati bagaikan disentap-sentap, sayu, sedih, syahdu dan pelbagai rasa menyelubungi seluruh jiwa dan perasaan. Hati bergetar dan sebak sukar untuk diungkap. Air mata mengalir tanda kesyukuran, kerana aku, isteri adalah antara ribuan yang sudi dijemput mengerjakan Rukun Islam ke-5 pada tahun ini. Sesungguhnya ketika itu, takungan air mata tidak dapat dipertahankan lagi. Di sebelah kananku, terdapat seorang jemaah Malaysia memegang buku doa menoleh ke arahku, kehairanan melihat aku berdoa sambil teresak-esak. Usai berdoa, aku menegurnya untuk membaca doa dalam Bahasa Melayu sahaja daripada membaca doa bahasa Arab yang belum tentu difahami isi maksudnya.

 “Syukur Ya Allah, Engkau izinkanlah aku sujud di bekas-bekas tempat sujudnya para Nabi dan para Sahabat baginda”. 

Di kawasan Taman-taman Syurga


"Syukur Ya Allah, dengan sejuta rahmat-Mu, aku telah dapat melampiaskan segunung rindu yang sekian lama berbuku terhadap kekasih-Mu. "

Aku tidak berlama di dalamnya bagi memberi peluang kepada jemaah lain untuk memasukinya. Aku mengalihkan sauh rinduku ke padang kesyukuran dan penuh berharap akan bersauh lagi di pelabuhan Taman-taman Syurga untuk hari esoknya.

Usai dari Raudah, jam 9.45 pagi, aku mengajak sahabatku Haji Munir dan Haji Ikhsan ke Kompleks Dawwod untuk meninjau buah tangan di sana. Suasana di sini jelas berbeza dengan kota Mekah. Madinah menyimpan kehidupan umat yang dibangunkan atas tiga prinsip iaitu merahmati, menghormati dan menghargai tetamunya. Kami berselisih dengan jemaah dari pelbagai negara yang mengunjungi kompleks Dawood dengan tujuan yang sama, iaitu membeli sedikit buah tangan.

Tuan Hj. Munir (Tawau) dan Tuan Hj. Ikhsan (Perak),
 rakan berkongsi kamar mandi di Mekah

Betullah seperti apa yang dikatakan oleh Pembimbing Haji Maktab 94 Mekah, Ustaz Haji Ramli yang mengatakan, barang-barang dagangan di Madinah akan menghadapi penurunan harga kerana jemaah semakin berkurangn di penghujung musim haji. Aku sempat membeli dua pasang jubah dengan tawaran 50 peratus. Bersama Haji Munir, aku mengajaknya untuk melihat ke aras lain untuk meninjau-ninjau pelbagai buah tangan untuk dibawa balik ke tanah air.

Di perjalanan balik, aku singgah di sederet kedai (Food Court) dekat Hotel Dar Al Taqwa untuk membeli sebuku roti  panjang dan mantega kacang serta sebotol mayonis.  Aku balik untuk makan tengah hari dan bergerak ke masjid bersama isteri dan balik usai solat Isyak. Di Madinah amat mudah untuk temujanji pertemuan kerana pintu 26 atau 25 yang kami lalui mudah dikenalpasti.

Hari ini sebelum naik ke bilik, aku membaca senarai penerbangan pulang jemaah KT lain yang dilekatkan di dinding hotel penginapan kami. Terbentang senarai panjang nama jemaah. Aku cuba mengintai kenalan yang kami kenali.

20 Oktober (Ziarah Luar - hari ke-3)

Rutin di Mekah diteruskan ketika berada di Madinah. Jam 3.00 pagi, aku bangun dengan membaca doa bangun tidur, "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  amaatanaa wailiahi nuusyuur,"  "Segala puji hanya layak bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan."

Aku menggunakan tandas lebih awal sebelum digunakan oleh rakan-rakan lain untuk membersihkan diri dan menyiapkan sarapan untuk kami berdua. Roti dengan sapuan mayonis menjadi sarapan pada pagi itu.  Jam 3.45 pagi, kami kalungkan tag nama di leher masing-masing dan membawa beg sandang Tabung Haji berwarna merah  berisi Quran Terjemahan, botol isian semula untuk air zam-zam dan plastik bagi mengisi selipar. Kebiasaan di Mekah seperti memasukkan selipar ke dalam beg sandang tidak terpakai lagi di Madinah kerana di Masjid Nabawi, selipar boleh diletakkan di rak pintu masuk masjid.

Kami bergerak ke masjid melalui pintu biasa 25. Sebelum itu, kami berdoa sebelum meninggalkan hotel penginapan. Usai subuh, aku menunggu isteriku di pintu 25. Kami balik ke hotel untuk sarapan dan bersedia untuk ziarah luar.

Di perkarangan Maqam Suhada Uhud

Jam 6.45 pagi, usai mengambil wuduk di hotel, bas kami bergerak ke Masjid Quba  dengan bimbingan pelajar Malaysia yang berasal dari Kelantan. Kami melintasi permakaman Baqiq di mana pemandu bas memperlahankan pergerakan bas bagi memberi peluang kepada kami utnuk membaca doa seketika. Setibanya di Masjid Quba, kami menunaikan solat tahaiyatul masjid, solat dhuaa dan solat-solat sunat yang lain serta marathon doa. Sempat merakam momen di dalam masjid Quba.

Bas bergerak ke Pasar Kurma. Suasana di pasar kurma begitu meriah dengan teriakan di sana sini, menawarkan beberapa jenis kurma, kekacang dan coklet. Usai membeli 2 kilo kurma Ajwa dan 2 kilo kurma Anbar, bas kami bergerak ke Masjid Quba. Di sana kami sempat solat dhuaa,solat hajat dan solat taubat. Aku sempat membeli empat songkok buatan Pakistan dengan kos SR30, jauh lebih murah dari tempat lain. Sempat merakam momen terpenting di Quba sebagai kenangan.

Bas kami bergerak pula ke Bukit Uhud. Di Uhud, kami mengaminkan doa yang dibacakan oleh Mutawif pengiring dan mendengar tazkirah dan sejarah perang Uhud.  Permakaman Uhud, tempat di mana Rasulullah berdepan dengan Qurais Mekah.  70 syuhada sahid dimakamkan di Uhud (perang berlaku 3 H) . Sedih dan pilu rasanya di hati ini mengimbau kisah peperangan tersebut. Selain dari pakcik Rasulullah (Saidina Hamzah), terdapat beberapa kisah pahlawan Perang Uhud yang tercatat dalam sejarah. Penglima perang bernama Abu Talhah menerima 70 kesan luka (lembing, pedang dan panahan), sanggup mendepankan  lehernya demi  melindui leher baginda dari anak panah musuh. Abu Dujanah, sanggup  menjadi perisai nabi yang dihujani dengan anak panah. Anak panah tercacak di belakang beliau dan tidak mengenai baginda. Sahabat nabi yang bernama Saab bin Al-Rabi gugur dengan 70 kesan luka. Mayatnya  dikesan hanya melalui jari-jemari beliau lantaran sukar dikenalpasti.
Sempat juga merakam momen kenangan di Permakaman Uhud.

Di perjalanan balik, kami melintasi Masjid Qiblatain (Masjid Dua Kiblat). Sejarahnya, setelah 16 atau 17 bulan Rasulullah hijrah ke Madinah, baginda memperoleh perintah Allah untuk menukar kiblat solat dari menghadap ke Baitul Muqadis ke Baitullah. Ini berkait dengan ayat Al-Quran Juzuk 2 Surah Al-Baqarah ayat 144 berbunyi, "Sungguh Kami melihat mukamu mengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya ........" 

Rindu makanan asia

Usai sampai di hotel, dan selepas menyimpan kurma di bilik, kami berdua bercadang untuk makan makanan Asia dan mencari lokasinya. Kami memohon bantuan tunjuk arah seorang pekerja Indonesia untuk mengesan lokasi restoran Asia. Beliau mengarahkan kami ke pintu 16, di mana di belakangnya terdapat Rumah Makan Indonesia yang terletak di Markaz Ilyas Center, di belakang Hotel Taiba. Restoran Indonesia itu terletak di lantai satu.  

Aku mencari ruang meja yang kosong manakala isteriku berbaris untuk memesan makanan. Suasana memang sesak tetapi kesabaran perlu diamalkan dan sifat qanaah perlu diterapkan. Makanannya memang boleh tahan, nasi putih (Saudi Rial 5), nasi uduk (Saudi Rial 5), jus minuman (SR 7),  bakso ( SR 8), soto (SR 8), teh susu (2 rial), ikan goreng (SR 5) rendang (SR 20), kari daging (SR20), daging gulai (SR 20 ), kari ayam (SR 5), mee goreng (SR 10), ikan goreng (SR 5), Kaki kambing (SR 10), soup sayur (SR 10), bubur ayam (SR 7), bubur kacang (SR 7), kebab (SR 15). Espagaty (SR 10) dan pelbagai makanan yang enak-enak belaka. Sambil makan, kamai memerhatikan gelagat jemaah di bawah yang agak ramai. Ada yang menuju ke masjid, ada yang baru balik dari masjid dan sebahagian lain berbelanja di kedai-kedai bahagian bawah bangunan sekitarnya. Inilah antara sebahagian gelagat yang akan kami rindui nanti sekembalinya ke tanah air.

Setelah makan, dalam perjalanan memasuki perkarangan masjid, kami melalui Hotel MovenPic Madinah, berangan-angan untuk bersua dengan jemaah haji Malaysia yang menginap di sana. Tiada kelibat jemaah yang  kami kenali, melainkan  teriakan yang menyebut, "Quba, Quba, Quba ....." Deretan van yang bersedia untuk perkhidmatan ziarah ke Masjid Quba.

Sama seperti situasi di Mekah,  rata-rata jemaah haji India, Bangladesh dan Pakistan menghuni ruang luar masjid. Kaum lelaki mereka menemani isteri mereka di luar masjid, tetapi di kawasan yang berbeza.  Dapat berlama di masjid pada hari itu dan balik selepas isyak, akan tetapi isteriku tidak balik kerana merebut peluang untuk ke Raudah.

Di laluan pulang, aku terpegun menyaksikan panorama kota Madinah di waktu malam. Disinari cahaya bergemerlapan. Aku singgah membeli sehelai sejadah buat hadiahku untuk Surau Al-Walid Kg. Benoni, membeli tasbih sebagai buah tangan dan jubah untuk menantuku

Suasana malam yang tenang di dataran Masjid
Nabawi Kota Madinah

Seperti kelmarin, sebelum naik ke bilik, aku membaca senarai penerbangan pulang jemaah KT lain yang dilekatkan di dinding hotel penginapan kami. Aku cuba menyelidiki kalau-kalau ada kenalan yang kami kenali dalam senarai panjang nama jemaah.

Penamat hari ini, sebelum melabuhkan tirai malam, aku membaca doa sebelum tidur, Bismika Allah huma ahya ....., membaca Qualhu Allahhu ahad, Al-Falaq, An-Nas, bersyahadat, berselawat dan diakhiri dengan membaca ayat kursi. Aku memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana dengan perkenan-Nya aku dijemput menjadi tetamu-Nya dan tetamu Rasulullah.

21 Okt

Jam 3.30 pagi, aku dikejutkan oleh isteriku untuk sarapan pagi di luar bilik hotel. Cerek berisi air panas beserta gelas, roti, gula dan susu kubawa ke ruang biasa kami bersarapan. Sebelum menapak ke masjid, kami kalungkan tag nama di leher masing-masing dan membawa beg sandang Tabung Haji berwarna merah  berisi Quran Terjemahan, botol isian semula untuk air zam-zam dan plastik bagi mengisi selipar.

Usai mandi, jam 7.00 pagi, kami berkumpul di luar hotel untuk menunggu van ke masjid Quba kerana pahala solat di sana akan diberi ganjaran seperti pahala satu umrah. Itu ilmu yang kuperoleh semasa tazkirah dari ustaz Tabung Haji. Jam 8.04 pagi, van yang kami naiki sedia untuk bergerak ke Quba.

"Di antara satu umrah kepada satu umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya dan tiada balasan bagi haji mabrur melainkan syurga,"

Kesempatan berada di bumi Madinah semestinya digunakan semaksimum mungkin. Rutin harian dimanfaatkan sepenuhnya, tunaikan solat sunat, solat hajat, solat taubat, berselawat, marathon membaca Al-Quran, berdoa di Raudah dan solat di masjid Quba.

Memilih buah terbaik di luar Masjid Quba

Di Quba, kami melakukan ritual ibadah, iaitu solat tahaitul masjid, solat Dhuaa, Solat Hajat dan solat Taubat. Usai berkumpul di lokasi yang dijanjikan, kami bergerak meninggalkan Quba. Sekembalinya dari Quba, kami berdua keluar untuk membeli-belah. Aku membeli jubah dan minyak wangi (Victory  - keluaran Al-Rehab) SR180.00 untuk dihadiahkan kepada keluarga dan rakan-rakan apabila balik nanti. Selepas isyak, kami menuju ke pintu 16 untuk makan nasi di Restoran Indonesia.

Ada beberapa waktu terluang, kami gunakan untuk membeli serban,  menambah songkok yang ada lambang Kaabah, sejadah, tasbih sebagai buah tangan.

Terjemahan Ayat 36 Surah Muhammad menyebut, "Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Dan jika kamu beriman dan bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadmu dan Dia tidak akan meminta harta-hartamu."

Beberapa kali aku lepak bersama isteri sambil makan makanan ringan di bawah payung Masjid Nabawi. Aku membayangkan yang kami umpama pasangan kekasih yang dilamun cinta. Kami akan mencari antara satu sama lain, dan sering merindui waima terpisah hanya beberapa ketika. Sering berbalas SMS andai isteriku tiada di depan mata. Dan sering berjanji untuk bertemu di pintu 25 untuk sama-sama menapak balik ke hotel Al Haram Madinah, hotel tumpangan yang hanya beberapa meter dari pintu 25.

Aku juga mengambil kesempatan merakam keindahan kawasan masjid dan merakam saat di mana payung masjid dibuka. Rutin seperti kelmarin aku teruskan, sebelum naik ke bilik, aku membaca senarai penerbangan pulang jemaah KT lain yang dilekatkan di dinding hotel penginapan kami. Mengintai kalau-kalau ada nama kenalan yang kami kenali.

22  Okt (berita duka dari tanah air)

Rutin bangun awal pagi, mandi, sarapan dan ke masjid diteruskan. Berdoa di balik pintu sebelum ke masjid sudah menjadi rutin biasa. Pagi itu kami dikejutkan oleh berita pemergian anak buah (wan Damayanti). Kami duduk tergamam di sofa luar hotel dekat ruang legar lif. Allahyarhamah sangat rapat dengan isteriku. Sudah tentu ia memberi kesan yang terlalu mendalam untuknya. Kami tergamam tanpa kata, masing-masing mengesat air mata. Allahyarhamah adalah insan yang memotivasikan kami untuk menghadiri kursus haji beberapa tahun, walaupun nama kami tidak tersenarai untuk berhaji.

Kami meninggalkan hotel dan bergerak dengan langkah perlahan menuju ke pintu 25. Selepas solat tahaitul masjid, aku khususkan doa-doaku untuk Wan Damayanti. Selepas subuh, aku singgah membeli nasi lemak. Peniaga Melayu Patani Siam dan permastautin Indonesia yang kami temui di Mekah juga kami temui berniaga di Madinah. Mereka juga menjual makanan seperti bihun, lempeng, pau kacang, nasi dagang, mee goreng, nasi kerabu, laksam dan kuih-muih Melayu. Amat beruntung kepada mereka yang bukan sehaja menetap dan mencari nafkah di tanah suci malahan boleh beribadah dan menapak ke masjid pada bila-bila masa atau sepanjang masa.

Aku dan isteri sarapan di depan lif hotel sambil mengimbau kenangan bersama allahyarhamah. Isteriku mencari Whatsapp terakhir dari beliau.  Beliaulah merupakan orang kuat kami, yang mengajak untuk menghadiri ceramah haji (17 siri) beberapa tahun sebelum panggilan haji. Beberapa hari sebelum bertolak ke Mekah, isteriku sempat menyantuni beliau tiga beranak untuk makan tengah hari di kediaman kami di Tanjung Aru.

Sebelum jam tujuh, kami berkumpul di tepi hotel menunggu van untuk solat di Masjid Quba. Laluan bas ke Quba tidak begitu sesak lantaran sebahagian tetamu Allah telah kembali ke negara masing-masing. Di laluan ke Quba, kelihatan kelibat puluhan jemaah Pakistan, Bangladesh dan India memenuhi jalan-jalan raya bergerak dari masjid Nabawi ke masjid Quba. Sungguh, mereka bukannya kurang biaya, tetapi lebih kepada untuk menggapai pahala berganda mengikut sunnah baginda rasul. Selepas solat, kami berkumpul semula untuk perjalanan balik ke kota Madinah'

Di Madinah, di kiri kanan laluan pejalan kaki di dalam hotel Al-Haram terdapat kedai menjual pelbagai barangan. Lagi-lagilah di luar hotel, di laluan pejalan kaki antara deretan hotel, lagi banyak jualan. Aku belum berhajat untuk membuat pembelian kerana masih fokus terhadap ibadah dan taddarus Quranku yang masih belum dihatamkan. 

Jam 9.24 pagi, selepas membeli sedikit sarapan pagi, aku bergabung dengan isteriku di bawah payung yang terbuka di luar Masjid Nabawi. Kami berbual sambil menikmati sedikit makanan dan teh yang aku beli di kedai bawah tanah sebelah Hotel Al Mubarak. Suasana pagi tersebut cukup damai dan tenang dengan jumlah jemaah yang tidak terlalu ramai. Kami mengimbau pengalaman menjadi tetamu haji yang kami bicarakan dengan santai. Di sudut lain di luar masjid, terdapat puluhan pasangan lain berbual-bual sambil menikmati sarapan masing-masing. Kami memerhatikan kelibat jemaah haji lain yang bertali arus pulang dan pergi ke masjid. Hati sedkit terguris duka, apabila mengenangkan dalam beberapa hari lagi kami akan meninggalkan Kota Madinah, meninggalkan tanah suci yang berbekas di hati ini. Di hati kecil ini berbisik "Entah bila lagi kami boleh bertandang ke kota suci ini." "Ya Allah, janganlah Engkau jadikan kunjungan ini adalah yang terakhir untuk kami, jemputkan kami untuk kunjungan yang berikut-berikutnya."

Pagi terindah berlatarbelakangkan Kubah Hijau

Di sana sini masih kelihatan kelibat petugas haji yang berbaju merah meninjau situasi para jemaah haji sekitar kawasan masjid dan kedai berdekatan. Sekali-sekala kami bertegur ramah dan berdakapan ketika berselilih. Mereka merupakan petugas terbaik dalam menyantuni tetamu Allah dan tetamu Rasulullah.

Petangnya aku tidak lalu makan kerana tekak terasa loya. Malamnya isteriku berusaha mencari bilik Ustaz Haji Janis untuk mendapatkan air yang dibacakan ayat As-Syifa Al-Quran sebagai penawar. Kemudian aku sendiri mengambil air tersebut di bilik Ustaz Haji Janis. Alhamdulillah, dengan izin-Nya aku berasa selesa sepanjang tidurku pada malam tersebut.

23 Oktober (Jumaat hari ke-6 di Madinah)

Aku bangun agak lewat jam 4.10 pagi.  Sebelum bergerak, kami kalungkan tag nama di leher masing-masing dan membawa beg sandang Tabung Haji berwarna merah  berisi Quran Terjemahan, botol isian semula untuk air zam-zam dan plastik bagi mengisi selipar. Kami menuju ke pintu 25 untuk solat subuh. 

Di perjalanan balik ke Hotel Al-Haram, aku  membeli sekilo jambu batu SR10 dan sekilo buah aprikot SR15. Hari ini isteriku membeli mee dan nasi lemak yang dijual di perkarangan hotel. Kami naik ke bilik untuk memasak air panas. Seperti biasa, kami bersarapan di meja luar bilik.

Jam 7.00 pagi kami menaiki van ke Masjid Quba dengan SR 5 seorang (pergi dan balik).  Di Quba, kami melakukan ritual ibadah, iaitu solat tahaitul masjid, solat Dhuaa, Solat Hajat dan solat Taubat. 

Quba, masjid yang pertama didirikan oleh Rasulullah.
Bersolat di masjid ini, pahalanya menyamai pahala
mengerjakan sekali umrah.

Jam 9.30 pagi kami menghadiri taklimat Pembimbing Haji Madinah Ustaz Haji Hishamuddin mengenai keberangkatan balik ke Tanah Air  di Kafe Hotel. Taklimat diikuti dengan ceramah agama yang menyentuh adab tetamu Allah selepas bergelar haji dan hajah. Dalam ceramahnya,beliau memohon agar pak haji dan mak hajjah memelihara kelangsungan beribadah seperti yang dilakukan semasa di Tanah Suci, menjauhi perbuatan sirik dan berperilaku yang boleh dicontohi oleh insan lain. Yang paling utama mengikut Haji Hisham ialah mengunjungi masjid untuk solat berjemaah pada setiap masa melainkan ada halangan yang tidak dapat dielakkan.

Usai taklimat, aku mengajak isteriku untuk bergerak ke pintu 16 dan makan tengah hari di restoran kegemaran kami. Kami makan nasi putih dengan soup sayur dan bakso. Selepas itu, bergerak ke masjid untuk solat Jumaat, dan beriktikaf hingga ke petang.  

Juzuk 19, terjemahan Surah An Naml (semut) ayat 2, "Untuk (Quran) menjadi petunjuk dan berita gembira untuk orang-orang yang beriman."

Hatam Al-Quran

Jam 4.27 petang, aku berjaya melangsaikan misi menghatam Al-Quran dengan menghabiskan membaca sejumlah 6236 ayat-ayat Al-Quran. Alhamdulillah, sejuta syukur Ya Allah, Engkau beri izin kepadaku untuk Khatam di Masjid Nabawi-Mu. Dan yang paling manis, aku khatam di depan Raudah. Aku membaca doa dengan air mata bergenang. Aku balik dengan rasa riang dan terasa lapang dada, sambil berazam memperbaharui ikrar untuk tidak berhenti membaca Al-Quran sekembalinya dari tanah suci. Di perjalanan balik ke hotel, aku singgah membeli lima serban bukan buatan China.

Aku kembali ke masjid sebelum Maghrib, tetapi memilih ruang saf yang belakang. Selepas solat maghrib, aku berasa sedikit keletihan, gara-gara kurang sihat kelmarin. Usai solat jenazah, jam 6.46 malam aku keluar meninggalkan masjid untuk bergabung dengan sekumpulanTetamu Rasulullah dari Bangladesh  di kawasan payung tertutup dekat tandas di luar pintu 22. Salah seorang jemaah yang seakan-akan faham akan situasi yang kuhadapi, memberi ruang serta menyuruh aku berbaring berdekatan dengan beliau.

Menyantuni rakan sesama Islam dari negara lain.

Dalam Al-Quran, Surah Al Hujarat (kamar-kamar) Sebahagian ayat 13 menyebut terjemahannya berbunyi, " ............ dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenam mengenal ...."

Beliau menyapaku dengan satu perkataan dengan isyarat ke dirinya, "Bangladesh."

Aku menjawab ringkas, "Malaysia."

Sebelum aku merebahkan badanku di lantai marmar beralas karpet merah, beliau sempat menunjukkan isyarat ibu jari menandakan bagus pada ketayap yang aku pakai. Aku terlelap seketika.

Bersama jemaah pelbagai bangsa di dalam
Masjid Nabawi

Sebelum azan Isyak, beliau mengejutkan aku dan mengisyaratkan aku untuk berwuduk. Aku lantas bangun. Sebagai  salam seiman, aku mencapai ketayap yang dipakainya menyarungkan ke kepalaku, lalu aku menyarungkan ketayap yang kupakai ke kepalanya. Pada ketayap beliau tertara buatan Bangladesh. Beliau memeluk kemas pinggangku mengangkat kedua-dua tangannya seolah-olah mendoakan ku.  

Aku pergi ke tandas dan masuk semula ke dalam masjid selepas itu untuk menunaikan solat isyak.

Allah sekali-kali tidak akan mengecawakan doa-doa umat-Nya.

Dalam kesesakan, aku balik ke hotel selepas solat Isyak. Kali ini aku melalui pintu yang ada jualan pelbagai jenis kurma.  Seperti kelmarin-kelmarinnya, sebelum naik ke bilik, aku membaca senarai penerbangan pulang jemaah KT lain yang dilekatkan di dinding hotel penginapan kami. Semasa meneliti senarai nama yang panjang,  aku terlihat nama Hajah Kamairah Mad Esa (Imigresen Putra Jaya), insan yang sangat-sangat ingin kami temui selama ini.  Semenjak di Mekah hingga ke ukuf, kami terputus hubungan. Hajah Kamariah adalah orang yang bertanggungjawab menguruskan Passport kami untuk pemergian menunaikan fardu haji. Dan beliau inilah yang hendak ditemui oleh isteriku semenjak di Arafah lagi.  

Lebih mengujakan lagi, Allah mempertemukanku dengan Hajah Kamariah dekat tangga hotel  dan berbual-bual dengan beliau sambil mendail nombor telefon isteri yang tidak berjawab. Kuasa Allah melangkau segala-galanya. Sesungguhnya Allah tidak ingin melihat kami kembali ke tanah air dengan hajat yang tidak tercapai. Agaknya Allah tidak ingin melihat tetamu-Nya, balik ke Tanah Air dengan kecewa.

Aku menghantar khabar gembira melalui SMS kepada isteriku, tetapi beliau masih menunggu peluang untuk bertawajuh di Raudah. Isteriku tidak muncul kerana berpeluang masuk ke Raudah. Aku memberi nombor bilik isteriku dan berjanji untuk bertemu beliau jam 7.00 pagi esoknya. Hampir jam 9.40 malam, barulah isteriku muncul. Kami makan di luar lif hotel seperti selalunya. Seperti lazimnya, tirai malam aku tutup dengan beberapa zikir-zikir yang sering aku amalkan.

24 Oktober (Sabtu - timbang bagasi)

Jam 4.15 pagi, kami turun ke masjid setelah melalaui rutin harian seperti biasa. Tidak lupa ia didahului dengan membaca doa bangun tidur, "Alhamdulilah hi laadzi ahyaanaa ba'damaa  am aatanaa wailiahi nuusyuur." Tag nama di kalungkan di leher masing-masing dan membawa beg sandang Tabung Haji berwarna merah  berisi botol isian semula untuk air zam-zam dan plastik bagi mengisi selipar. Beg sandang merah sedikit ringan kerana tidak lagi membawa Quran. Selipar berbungkus plastik diletakkan di rak pintu masuk masjid, tidak dimasukkan ke dalam beg sandang kerana ada kemudahan rak penyimpanan selipar di pintu masuk dan di dalam masjid.

Aku memilih masuk melalui pintu 22 yang hujung laluannya betul-betul ke depan Taman-taman Syurga. Selepas solat tahaitul masjid, minum air zam-zam, aku marathon menunaikan  solat-solat sunat,  dan diselang-selikan dengan maraton doa. Pagi itu  masjid agak lengang kerana sebahagin besar jemaah telah kembali ke tanah air masing-masing. Bayangkan jemaah haji dari Malaysia hanya berbaki beberapa penerbangan. Selepas solat jenazah aku balik ke hotel penginapan.


Merakam kenangan di loksai Jam Kecil di luar
Masjid Nabawi




Di luar hotel penginapan aku membeli 2 kilo buah aprikot SR30.00. Jam 7.05 pagi, kami bergerak ke Quba setelah bersarapan. Di perjalanan juga tidak sesibuk beberapa hari sebelumnya. Senerio sepanjang perjalanan mendekati perkarangan Masjid Quba di penuhi dengan tetamu Rasulullah yang ku kira dari Pakistan, India dan Bangladesh.  Kami tiba di Quba jam 7.34 pagi. Van yang kami tumpangi menunggu kami di lokasi luar masjid Quba. Solat tahaiyatul masjid, solat syukur, solat taubat dan solat sunat lain dengan doa yang agak panjang, sudah semestinya doa diampunkan segala dosa, dimasukkan ke Firdaus tanpa dihisab dan dianugerahi kami dengan haji yang mabrur.

Sekembali dari Quba, aku membuat tukaran wang untuk kali ketiganya, RM420 dapat SR361.00. Sempat membeli jubah putih SR50.00 untuk dipakai balik ke Sabah.

Hari ini aku temankan isteriku ke kompleks Dawood untuk mencari buah tangan. Jam 12.41 pagi, sebelum zohor kami makan di Restoran Indonesia. Hari itu, suasana ke restoran tidak lagi seramai sebelumnya. Di perjalanan menuju ke masjid, kami cuba singgah di kedai menjual aneka jubah tetapi tidak dilayan lantaran waktu solat hampir tiba.  

Balik selepas isyak dan membeli 4 kilo pelbagai kurma untuk dibawa pulang disamping sekilo kurma mentah. Kami mengambil makanan tetapi memilih untuk makan malam dekat lif tingkat 10, bukan di dalam kafeteria. Aku mengasingkan barangan untuk bagasi dan yang diangkat sendiri. Aku membeli tali pengikat beg dan mendapatkan bantuan Tuan Haji Munir bagi membalut dua beg besar kami. Aku tidur lewat kerana menunggu giliran menimbang barang dan mendapatkan pas berlepas  pesawat oleh petugas MAS. Empat beg tidak sampai 60 kilo. Satu lagi pengurusan canggih oleh pihak Tabung Haji dimana urusan menimbang barang dibuat di hotel penginapan bukan di lapangan terbang. Aku dimaklumkan, petugas bukan sekadar berada di aras kami, malahan mereka berada di setiap aras untuk menyantuni jemaah. Malam tersebut, aku labuhkan tirainya dengan zikir-zikir, selawat dan bacaan doa sebelum tidur.

25 Okt (Ahad - sehari sebelum meninggalkan Madinah)

Setelah melalui rutin biasa, dimulai dengan berdoa, membersih diri, memasak air panas, membancuh minuman dan minum bersama di luar bilik hotel, jam 3.40 pagi aku dan isteri bergerak ke Masjid Nabawi. Aku berjaya masuk ke Raudah dan keluar dari Taman-taman Syurga itu pada jam 4.20 pagi kerana membuka peluang kepada tetamu Rasulullah lain untuk solat di Raudah.

Hari ini lewat ke Quba kerana van sentiasa dipenuhi oleh tetamu Rasulullah. Kami berserta tiga jemaah lain ke Quba dengan kereta sapu dan balik jam 8.20 pagi. Kos pengangkutan hari itu dilangsaikan oleh seorang kenalan wanita kami. Moga Allah melipatgandakan pahala kepada insan mulia seperti beliau.

Di perjalanan balik ke hotel penginapan, aku mengajak isteriku untuk  berehat di bawah payung masjid. Aku  membeli makanan dan minuman di aras bawah tanah bangunan Bahauddin, dan mengajak isteriku untuk lepak umpama berkelah  di bawah payung gergasi Masjid Nabawi. Aku membuka makanan dan minuman dan makan bersama-sama. Kami umpama pasangan kekasih yang dilamun bercinta. Kami berkongsi cerita pengalaman manis masing-masing sepanjang berada di Tanah Suci dan berasa seronok memerhatikan gelagat pasangan-pasangan tetamu Allah yang keluar masuk Masjid Nabawi.  Tidak lupa, kami saling ingat memperingati untuk mensyukuri nikmat jemputan Allah ke Tanah Suci-Nya. Suasana sekitar bawah payung di luar masjid terasa lenggang kerana sebahagian besar jemaah telah meninggalkan tanah suci.

Sarapan pagi di bawah payung terbuka dataran
Masjid Nabawi

Jam 9.12 pagi aku menghantar isteriku ke kawasan solat wanita dan memerhatikan kelibatnya hingga beliau tidak lagi terlihat oleh mata kasarku. Selepas itu, aku bergerak solo ke pintu masjid bernombor 22.  Usai solat tahaitul masjid dan solat hajat di luar Raudah, Masaku diisikan dengan marathon zikir dan doa dan terus-terusan berdoa sambil diselangi dengan solat-solat sunat terutama solat hajat.

Allah rezikikan aku   untuk masuk ke Taman-taman Syurga selepas zohor (dua kali dalam satu hari). Dengan izin-Nya, kawasan Raudah tidak lagi sesesak beberapa hari yang lalu kerana sebahagian besar jemaah haji telah kembali ke negara masing-masing. Dada terasa menyempit menahan sebak. Setiap kali menyentuhkan dahi ke tempat sujud di tempat di mana Rasulullah pernah bersujud, terdetik hatiku lantas berdoa “Syukur Ya Allah, Engkau izinkanlah aku sujud di bekas-bekas tempat sujudnya para Nabi dan para Sahabatnya. "

“Ya Rasulullah, tiada apa yang boleh aku hadiahkan untuk junjunganku, melainkan selawat serta doa kesejehteraan untukmu. Aku sedar tanpamu, kami tidak mungkin dapat menyembah Allah dengan betul. Sejahtera untukmu serta seluruh umat muslimin sekalian.” 

“Ya Allah. Kurniakanlah kepada kami berdua haji yang mabrur. Anugerahkan ketenangan di sepanjang saki baki kehidupan kami di dunia ini, berilah kedamaian di alam akhirat nanti”

Jam 12.45 tengah hari, aku  meninggalkan Raudah dengan situasi yang berbelah bagi. Entah bila lagi aku berpeluang berada sedekat-dekatnya dengan maqam kekasih Allah seperti yang aku lakukan beberapa hari lalu.

Sebagai tanda perpisahan dengan rakan setingkat, malam 25 Oktober, kami berlima penghuni bilik 1013 mengumpul dana memesan nasi mandi kambing. Malam tersebut kami menjemput  rakan-rakan bilik terdekat untuk makan beramai-ramai di luar bilik. Seronok kerana kami berjaya  menyantuni rakan-rakan berhaji. Sudah pasti ianya akan meninggalkan kenangan yang berbekas di hati masing-masing.

Suasana damai sebelum maghrib di pintu
masuk nombor 25 Masjid Nabawi 

Pada jam 9.25 malam aku menemani isteriku ke masjid kerana beliau berhajat untuk ke Raudah pada malam itu. Sementara itu, aku menunggu di bawah payung masjid menikmati limpahan cahaya lampu kota Madinah yang terlalu indah pada waktu malam. Aku merenung sayu Masjid Nabawi sepuasnya sambil jejariku mengentel tasbih, namun aku masih terasa belum puas.  Hotel The Oberoi Madina yang sering kutatap setiap kali berjalan pulang dari Masjid Nabawi  ku renung begitu dalam. Aku berasa sungguh terpukul di kala itu. Jam 10.55 malam, di kejauhan aku melihat kelibat isteri ku menuju ke arahku. Kami bergerak balik ke hotel dengan bergelungan tangan. Sepanjang berada di Mekah dan Madinah, kami kerap bergelungan tangan namun wuduk tetap terjaga kerana aku kerap memakai sarung tangan.

26 Okt (Isnin) Meninggalkan Madinah 

Jam 3.28 pagi aku bergerak bersama isteri ke masjid, setelah bersarapan seperti rutin hari-hari yang sebelumnya. Apabila mendekati pagar masjid, kami membaca doa iktikaf dan doa memasuki masjid. Aku menghantar isteriku ke ruang solat kelibatnya lenyap dari pandanganku.

Allah mempermudah aku untuk memasuki Taman-taman Syurga pada pagi tersebut. Syukur Ya Allah, Engkau beri aku kesempatan masuk ke Raudah-Mu.  Di Surah Ar-Rahman berulang kali di sebut yang lebih kurang bermaksud, "Nikmat Allah yang mana yang hendak didustakan." Aku berpeluang menunaikan beberapa solat-solat sunat.  Pelbagai doa kupanjatkan tidak putus-putus buat diri ku, isteri ku, anak-anakku, arwah kedua ibu bapa ku, kaum keluarga ku, sahabat dan rakan taulan ku serta kaum muslimin dan muslimat seluruhnya.

Jam 4.05 pagi, aku  meninggalkan meninggalkan ruangan karpet hijau Raudah dengan situasi yang teramat pilu kerana  kami akan meninggalkan  kota Madinah dan berpisah dengan jasad Rasulullah. Aku memikirkan entah bila lagi aku berpeluang menatap maqam kekasih Allah seperti yang aku lakukan sepanjang berada di Madinah. Aku meninggalkan ruangan karpet hijau untuk memberi peluang kepada tetamu Rasulullah lain untuk solat di Raudah.

Seperti hari-hari sebelumnya, kami ke Quba dan balik jam 8.20 pagi. Setibanya di perkarangan hotel, aku menemani isteriku untuk membeli jubah dan aku membeli sekotak pantis sebagai buah tangan di kedai berdekatan hotel penginapan. Jam 10.36 pagi, kami sepakat untuk makan di Restoran Indonesia dan masuk ke masjid selepas makan. 

Limpahan rahmat Allah tiada batasnya, kerana dengan kasih sayang-Nya  aku berpeluang masuk ke Raudah sekali lagi pada jam 11.29 pagi (dua kali dalam satu hari). Jemaah tidak berebut-rebut dan aku menuju ke sana dengan tenang. Betapa indah dan damainya berada di Raudah di kala itu, waima dalam beberapa jam sahaja lagi kami akan bergerak ke tanah air. Ketika menyentuhkan dahi ini ke lantai, terasa wangi haruman karpet hijau Raudah itu bakal aku rindui.  Mata berkaca tanda kesyukuran, kerana aku, isteri adalah antara ribuan yang sudi dijemput menjadi tetamu haji pada tahun itu. Hati ini rasa terpukul lantaran masih sudi dijemput menjadi tetamu Allah. Tubuh bergetar terus, sukar untuk dikawal kerana ia datang tanpa diundang.  Aku meninggalkan Raudah untuk berundur ke kawasan Kanvas Pemisah untuk solat zohor.

Parut duka kerinduan berpisah dengan Baitullah belumpun sembuh, kini terbentuk luka duka baru berpisah dengan Raudah

Hari-hari terakhir di Madinah begitu menggugah jiwa ini. Setiap inci pengalaman haji, melekat terungkap nun jauh di sanubari ini. Bukan bilangan buah tangan yang aku fikirkan, tetapi sesungguhnya peluang ziarah ini meninggakan bekas yang mendalam terhadap kami. Kemesraan kami selama lebih sebulan sukar untuk diungkap, tangisan keinsafan dan tiap selawat serta dzikir kami moga menjadi taruhan kami di hari akhir nanti. Saya dapat rasakan bahawa semua tetamu Allah mengharapkan begitu.

Kedai-kedai yang menjual pelbagai barang dari kurma hingga ke jualan jubah yang ditempatkan di laluan hotel mula tidak beroperasi. Mereka menyedari bilangan tetamu Rasulullah semakin berkurangan. Di hotel Al-Haram hanya tingga dua penerbangan sahaja yang menjadi penghuninya iaitu KT 68 dan KT 69.

Ketenangan Masjid Nabawi yang sukar digarapkan

Buah tangan perpisahan dengan rakan sebilik

Usai solat asar aku ziarah wida Rasulullah. Hari terakhir di Tanah Suci aku habiskan dengan zikir dan selawat di bawah payung Masjid Nabawi. Doa ku baca tidak putus-putus agar aku dijemput kembali menjadi tetamu-Nya dalam masa terdekat.  Sebelum berpisah dengan rakan sebilik, aku meletakkan 5 helai serban yang kubeli di aras bawah hotel beberapa hari lepas untuk dipilih oleh rakan sebilik sebagai tanda kenangan. Aku yang terakhir memilih baki serban yang satu lagi. 

Kali terakhir aku mengunjungi bilik 1013, aku begitu terkesan. Mataku masuk habuk lagi. Tiap sudut bilik kurenung dengan mata berkaca. Aku mengintai Kota Madinah dengan menjenguk ke luar tingkap hotel. Hotel Al Haram memahat banyak kenangan untuk aku dan isteriku serta semua tetamu Allah.

Jam 5.00 petang, aku menghantar dua beg sandang kami  ke dalam bas nombor 7, memilih kerusi yang membolehkan aku menikmati suasana malam di Madinah sepanjang perjalanan pulang dan ke masjid untuk solat maghrib. Aku terkedu memandang beg kami begitu kenyang dengan pelbagai barangan yang baru dibeli.

Kami solat maghrib di bawah payung gergasi. Di laluan balik, aku menatap sepuasnya keunikan bangunan luar masjid Nabawi, menikmati lampu limpah yang menerangi kawasan masjid yang siangnya terbentuk payung gergasi dan menikmati sekeliling hotel yang terpacak megah di luar masjid. Aku menatap bangunan yang sering kali lalui beberapa hari lalu dengan penuh sayu dan pilu.


Di Lapangan Terbang Madinah menunggu
penerbangan balik ke tanah air

Usai maghrib, bas bergerak ke Lapangan Terbang Madinah.  Aku terus menoleh ke arah menara Masjid Nabawi sehingga ia luput dari pandanganku. Sempat solat  isyak di airport.  Dua jam lebih dalam barisan panjang untuk pemeriksaan Imigresen dan akhirnya kami ditempatkan di suatu kawasan. Aku dan isteriku, memilih satu lokasi yang agak terlindung. Tanpa berasa malu aku membuka makanan yang tidak sempat kami makan di hotel.  Sebungkus makanan kami serahkan kepada Haji Badaruddin dan keluarga. Alhamdulillah, tindakan kami membuka makanan diikuti oleh rakan-rakan haji yang lain. Jam 11.45 malam (awal 5 minit dari masa yang sepatutnya), 495 jemaah pesawat KT 68  Airbus A380 dengan nombor penerbangan MH8287 meninggalkan bumi Madinah. Alhamdullah Ya Allah, lagi sekali Engkau permudahkan perjalanan kami, di mana ketika taklimat, berkali-kali diingatkan agar jemaah bersabar andai pesawat tertangguh untuk berlepas meninggalkan tanah suci Madinah. Setelah pesawat stabil di ruang udara, aku bertukar kerusi dengan rakan untuk duduk sebaris dengan isteriku. Pada mulanya aku duduk di kerusi 48 E manakala isteriku di kerusi 47 D.

Merakam kenangan di dada pesawat.Tn. Hj. Badarudin
dan Tn. Hj. Ishak, rakan sebilik di Madinah

Walaupun bakal bertemu semula dengan anak-anakku, rasa sedih meninggalkan bumi ambia tidak dapat disembunyikan. Sempat juga berselfi sesama jemaah haji lain di dalam pesawat. Sepanjang penerbangan, kegembiraan tetamu Allah yang sudah bergelar tuan haji dan puan haji jelas terbayang. Setelah beberapa jam (hampir lapan jam) dalam pesawat, keletihan sudah tidak dapat dibendung. Di kiri kanan laluan ke tandas, rata-rata jemaah dibuai mimpi masing-masing. Tatkala melihat fajar sidiq di luar jendela pesawat, aku mengejutkan isteriku untuk solat subuh menghormati waktu.

Kami tiba di KLIA jam 1.30 petang pada 27 Oktober (Selasa). Setibanya di KLIA, aku menelefon ketiga-tiga anak-anakku. Kami berbagi tugas di mana isteriku bertugas mengesan bagasi kami manakala aku mengurus air zam-zam. Kelibat Kakak ipar dan Hajah Saimie tidak kelihatan kerana sibuk dengan agenda masing-masing, manakala Ustaz Haji Janis singgah bermalam di Kuala Lumpur. Rakan-rakan haji dari Tawau hanya akan berlepas pada keesokan paginya, dan mereka diuruskan oleh keluarga masing-masing dan rakan-kenalan yang bermastautin di Kuala Lumpur. Aku dimaklumkan bahawa, Tuan Haji Munir diuruskan oleh salah seorang anak beliau yang bekerja di Kuala Lumpur. 

Aku berbaris bagi mendapatkan dua botol air zam-zam di KLIA. Petugas Tabung Haji berada di segenap sudut KLIA untuk menunjuk arah. Bagasi kami ditolak oleh petugas haji sehingga ke kaunter pelepasan setelah mengetahui kami adalah jemaah haji dari Sabah. Jam 2.31 petang selesai urusan pendaftaran masuk dengan bantuan dua orang pemuda petugas haji tempatan yang berbaju hitam bernama Azizi manakala yang berbaju merah terlupa untuk catatan pribadi.

Lautan terima kasih kepada seluruh warga Tabung Haji yang  dengan
izin-Nya, kami suami isteri serta seluruh tetamu Allah  dapat
melunaskan rukun Islam ke-5 di tahun 1436 Hijriah

Petugas haji tempatan, bukan sekadar menunjuk arah, menolak barang, malah seorang pertugas haji meminta pas masuk kami untuk perlepasan ke Kota Kinabalu. Perkhidmatan mereka terbaik. Kalau ada lebih daripada lima bintang, sudah selayaknya mereka memperoleh bintang tersebut. Usai selesai semua urusan, kami menyalin pakaian serta mencari surau untuk sujud syukur, solat qada subuh dan jamak zohor asar. Dengan kudrat Allah, masih berkesempatan  membeli roti RM54.00 untuk dibawa balik ke Sabah. Kami menuju ke Pintu B7 seperti yang tercatat di dalam tiket kami.

MH 2640  berlepas meninggalkan Kuala Lumpur jam 4.20 petang. Aku duduk di kerusi 21F manakala isteriku di sebelahku 21E. Di sepanjang perjalanan, aku masih mengimbau suasana ketika tawaf, Saie, ukuf, melontar Jamrah dan solatku di Raudah. Kurasakan, suasana itu bagaikan mimpi yang baru saja berlalu. Kami tiba di Kota Kinabalu pada jam 7.05 malam, diberi sambutan dakapan erat, pelukan dan linangan air mata oleh  anak-anakku, keluarga abangku dan keluarga isteriku. Sempat menyantuni kaum keluarga beberapa detik ketika masih berada di Airport Kota Kinabalu. Sebelum berpisah, aku rakamkan ucapan terima kasih atas sambutan di luar jangka, terutamanya keluarga abangku yang datang dari jauh.

Penumpang-penumpang lain berasa hairan kerana tidak menyangka masih ada jemaah haji yang baru tiba dari Mekah seperti kami. Tanpa pengetahuan kami berdua, anak sulungku sengaja menempah tiket dari Sandakan semata-mata untuk bertemu dengan kami. Malam itu selepas membersihkan diri, kami berkongsi cerita ibadah haji kepada anak-anak sambil membuka barang-barang yang kami bawa. Pertamanya sudah semestinya memberi  minum air zam-zam dan makan kurma Ajwa dan kurma Anbar. Buah tangan yang dibawa untuk anak-anak dibahagikan pada malam tersebut. 

28 Oktober (Rabu) 

Seawal pagi,  kami menghantar anak sulung ke Airport untuk penerbangan balik ke Sandakan. Tengah hari, kami berdua balik ke Papar untuk menghadiri kenduri ketujuh anak buah yang telah kembali ke pangkuan Ilahi. Kami disambut dengan linangan air mata oleh keluarga kakak ipar. Aku membersihkan sekeliling halaman rumah kerana agak lama juga aku tidak berbuat demikian. Aku mencari alat penimbang dan mendapati berat badanku turun kepada 49 kilo dari 54 sebelumnya.

Sebenarnya sepeninggalan kami berhaji, ada dua anak dan menantuku bermalam sekali dua di kediaman tersebut. Malam itu, rumah kakak ipar dipenuhi dengan saudara mara dan kenalan beliau untuk tujuan bertahlil.

Sebelum meninggalkan kediaman di Papar, pagi 29 Oktober, kami membahagi-bahagikan songkok yang bertenun lambang Kaabah kepada seluruh keluarga serta anak-anak buah isteriku. 

Jumaat 30 Oktober (Jumaat)

Sebagai tanda terima kasih kepada sahabat jemaah surau BTPN Sabah yang beberapa minggu mendoakan kami, aku ke pejabat pada pagi tersebut, waima masih bercuti. Dengan berbekalkan sedikit air zam-zam dan kurma, aku melangkah ke surau pejabat untuk menyertai majlis bacaan yassin dan tahlil. Selepas doa tahlil, aku memohon izin jemaah untuk memberi tazkirah dan memberi sedikit gambaran pengalaman menunaikan haji.

Hari Ahad (1 November 2015), kami berdua berkunjung ke rumah abangku di kampung untuk membahagikan buah tangan dari tanah suci. Kami diberi sambutan air mata oleh ibu saudaraku dan dua orang kakak sepupuku. 

Perkara unik yang sukar dimengerti

Sepanjang menunaikan haji, aku mendapati beberapa perkara unik yang sukar dimengerti tetapi aku pasti Allah telah merencanakan sesuatu yang tidak kita ketahui. Perkara pertama nombor 47, 48 dan 49. Tempat duduk di pesawat seperti telah diaturkan Allah nombornya, semasa meningglkan Jeddah untuk keberangkatan balik ke KLIA, isteriku mendapat tempat duduk 47, aku  48 manakala 49 kakak ipar adalah nombor kerusi serupa seperti penerbangan kami dari KLIA ke Jeddah.

Bilik hotel tempat aku menginap di Mekah dilengkapi dengan peti ais dan tiga katil. Bilik kami kerap menjadi tumpuan rakna-rakan  bilik sebelah sebagai tempat stokis makanan dan buah-buahan. Bilik hotel kami juga tempat berkumpul rakan-rakan untuk membancuh air panas kerana kebetulan aku membawa bersama pemanas air dari tanah air.

Bilik hotel kami, agak selesa kerana kami kerap tinggal berdua di hotel kerana rakan haji yang seorang lagi kerap ditempatkan di klinik hotel dan hospital Mekah kerana kesihatan yang membataskan beliau bersama-sama kami.

Makanan kami bertiga kerap tidak pernah putus, lantaran aku jarang makan di bilik dan kadang kala aku bersama isteri terus ke  kafeteria hotel.  Sahabat sebilikku Tuan Haji Munir tidak jemu-jemu membawa makanan ke bilik waima malam mahupun tengah hari, walhal dia tahu kekadang aku tidak makan di bilik, melainkan di Kompleks Safwah atau terus ke kafeteria bersama isteri.

Ada lagi beberapa keunikan lain yang tidak akan aku kongsikan dan menjadi rahasia pribadi. Aku risau ianya akan mendatangkan riak jika dikongsikan setiap keunikan yang aku lalui semasa berhaji. Kedudukan hotel kami ketika di Mekah tidak terlalu jauh dari masjid. Begitu juga di Mina. Khemah kami tidak jauh dari Terowong Muassim.

Jutaan terima kasih

Terima kasih  yang tidak terhingga, terutama kepada isteri tercinta yang sentiasa menemani waima dalam apa situasi. Dorongan dan sokongan ampuh atas perkenan-Nya membolehkan banyak kenangan manis terpahat di minda ini. Pengalaman kita di sana merupakan saat yang terindah sepanjang perkongsian hidup kita berdua. Kepada anak-anak tersayang dan menantu, tahniah kerana terbukti anda semua mampu mendepani sebarang situasi ketika pemergian ibu dan ayah. Sudah tentu, kami amat menghargai doa kalian. Kadang-kadang tersirat rasa kerinduan kami terhadap kalian, akan tetapi demi melengkapkan rukun yang kelima, tiada lain yang dapat kami lakukan selain marathon doa-doa khas untuk kalian.

Kepada petugas Tabung Haji, khidmat lengkap serta terbaik kalian telah dapat menyempurnakan pelaksanaan haji kami tetamu Allah dan tetamu Rasulullah. Semenjak dari hari pelepasan, hingga hari ukuf, melontar, mabit, ziarah ke Madinah dan sehingga ke cek-in di KLIA untuk pelepasan ke Kota Kinabalu Allah permudahkan segalanya. Baju Merah yang anda pakai kerap berada di mana-mana. Tidak lupa juga kepada keluarga Hajah Zaleha yang membantu keberangkatan kami semenjak dari Kota Kinabalu hingga ke Kelana Jaya. Semoga kita akan dikumpulkan bersama di Syurga Allah.

Kepada orang Kampung Benoni dan Kampung Surapit, terima kasih atas doa kalian. Kepada rakan sebilik di Burj Al-Haram Mekah (bilik 1508), rakan sebilik hotel Al Haram Madinah (bilik 1013), rakan sekhemah di Arafah dan Mina, mohon maaf andai ada tingkah saya yang tidak menyenangkan kalian. Begitu juga dengan beberapa kenalan baru seperti Haji Yusri dan isteri, Haji Saini, Haji Abdullah Sungai Padang, isteri dan ibu mertua, kenalan baru dari Sandakan (Haji Semi Mad Aris) dan  Haji Bujang Ali (Kg. Pulau Salak, Sarawak), Haji Bolhassan Ibrahim (Kg. Biradi, Kucing) serta beberapa kenalan yang tidak dapat diingat nama mereka (terlalu ramai), moga ikatan muhibbah kita akan berkekalan hingga ke Syurga.

Sesungguhnya, Mekkah Al Mukaramah dan Madinah Al Munarawah mempunyai tarikan tersendiri yang sukar dimengerti. Hanya mereka yang sudah menjejakkan kaki ke sana yang mengetahui kesedihan yang bertakhta di sanubari.

Dalam kerinduan, aku mengimbas kembali memori ketika mendepani Kaabah dan berada di Masjid Nabawi, tentu sekali terus-terusan merasai kerindu terhadapnya. Alunan merdu azan dan iqamah ketika berada di Mekah dan Madinah, mengundang sebak tiap kali aku terkenang memori manis itu. Rindu untuk bertawajuh di depan Kabah dan berada sedekat mungkin dengan makam Rasulullah SAW terlalu menggamit perasaan. Terasa pilu di hati ini kerana tidak lagi dapat menatap Baitullah seperti selalunya.

Cucuran air mata saat tawaf, tiap kali menyentuhkan dahi di lantai Masjidil Haram di depan Baitullah dan tatkala berada di Raudah, bukan tanda kesedihan atau kemurungan, seperti yang terjadi dalam hidup sehari-hari. Pengalaman ketika ukuf di Arafah di mana Allah membuka langit-Nya untuk mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya, sungguh merobek jiwa raga ini. Doa memohon agar dimasukkan ke Syurga Allah tanpa dihisab dan dengan linangan air mata menadahkan tangan memohon agar dipertemukan dengan ibu bapa dan keluarga di Syurga Allah. Aura Mina dan hiruk pikuk menuju ke Jamrah masih terngiang-ngiang di telinga ini. Melontar dengan semangat untuk melengkapkan wajib haji dan membebaskan diri dari 10 dari 13 larangan, bukanlah perkara yang diperlekehkan, tetapi ia merupakan tanggung-jawab demi untuk melengkapkan rukun iman yang ke-5. Bermalam tiga malam di Mina dan melontar tiga Jamrah pada hari-hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Dzulhijah mempunyai makna yang tersirat.


Ada segilintir orang tidak tahu, apa sebab dan rahasia di balik peristiwa ini. Peristiwa ini merupakan sebuah ungkapan wajar, saat seseorang meninggalkan keangkuhan dan kesombongan, yang selama ini menyelimuti kehidupannya. Keadaan semacam ini kian menumbuhkan perasaan tunduk seseorang kepada Sang Pencipta. Jadikanlah kehadiran kita di depan Ka’bah sebagai laluan menyampaikan penyesalan atas keterlanjuran melakukan dosa-dosa, dengan harapan kiranya Allah mengampuni dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang.

Pengalaman beribadah di Mekah, Arafah, Muzdalifah dan Mina merupakan kenangan terindah yang sukar diungkap dengan kata-kata. Andainya dibuat nukilan, sekajang kertas pun belum tentu cukup bagi mencoret perincian pengalaman tersebut. Hati bergetar, sangat berdebar. Ia suasana yang sangat-sangat berbeza, hati dan perasaan. Ketika dalam keadaan berihram. Dua helai kain putih yang tidak berjahit itu membawa pelbagai perlambangan. Tergambar betapa di Padang Masyar nanti, semua manusia mempunyai darjat serupa, tidak seperti di dunia fana yang mengkategori insan dengan pelbagai pandangan.

Kepada pembaca di luar sana, hadirlah kursus haji 17 siri anjuran Tabung Haji kerana jemputan Allah datang pada bila-bila masa, waima tahun haji sebenarnya masih jauh. Ada sahabat haji saya yang tahun hajinya 2037, tetapi kuasa Allah melangkau segala-galanya. Tahun 1436 H, telah menerima jemputan Allah untuk menunaikan haji.

Perjalanan Haji bukanlah suatu perjalanan umpama perkelahan di pantai Manukan Sabah atau kita umpamakan seperti melancong ke Vietnam. Pengalaman berhaji tiada bandingannya. Haji dalam Islam memiliki nilai super, iaitu terbitnya kepuasan jiwa dan perasaan semakin dekat dengan Sang Pencipta. Perasaan dekat ini melebihi cinta pada harta, takhta, pangkat, kuasa, harta-benda, keluarga dan saudara. Bahkan ketika seorang hamba menginjakkan kaki di rumah Allah (Baitullah), ia sudah berniat untuk bebas dari belenggu yang mengikatnya, hatinya tunduk kepada Yang Maha Kuasa, sehingga ia merasa bahwa dunia dan isinya, luluh dan rapuh di hadapan-Nya. Dengan ungkapan “Labbaika Allahumma Labbaika (Aku datang memenuhi panggilan-Mu Ya Allah)”, seorang hamba telah menongkah bendera syukur atas kurnia yang melimpah-ruah. Apalah yang hendak dibebelkan, kesukaran ketika hari Wukuf hingga hari tasrik (Bermalam di bumi Arafah, mabit di Mudzalifah dan 3 malam di Mina), hanya beberapa malam dibandingkan lebih sebulan tidur di tilam empuk hotel Mekah dan Madinah. Kesukaran itu adalah tanda kita insan kerdil tidak punya kuasa apa-apa, insan yang berserah diri sepenuhnya kepada Maha Pencipta.

Sejujurnya, niatku bukanlah untuk menunjuk-nunjuk, tetapi seikhlasnya aku ingin merebut sedikit dakwah kecil kerana mungkin ada kalangan pembaca akan terkesan oleh tulisan yang seadanya ini, seperti firman Allah dalam surah Al-Ma’idah ayat 5:21 bermaksud “Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa”. Moga ianya akan menjadi dakwah kecil untukbekalku di hari akhirat nanti.

Ternyata misi kehidupan insan di dunia adalah untuk mencapai kesempurnaan hidup yang global, merangkumi kehidupan di dunia, hidup berkeluarga dan hidup bermasyarakat. Manakala visi kita pula ialah untuk memenuhi kehidupan sempurna di dunia dan mencapai kesudahan yang terbaik untuk kehidupan di alam akhirat yang kekal abadi.

Kain bergulung pabrik baldu;
Pucuk lamiding dibuat ulam,
Di relung hatiku melekat rindu;
Tidak sebanding seisi alam.

Terima kasih.

Sumber rujukan :
1.Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman (Prof. Mohd Kamil Ibrahim)
2.50 tips motivasi haji (Prof. Mohd Kamil Ibrahim)
3.Dhuyufurrahman Tetamu Allah (Mohamad Zaki Abdul Halim)
4.Rinduku pada Baitullah (Dr. Ridzuan Bakar)
5.Haji Muda (Dr. Ridzuan Bakar)
6.Panduan Haji dan Umrah (Susunan Progressive Publishing)
7.Teman Anda ke Tanah Suci (Dato’ Haji Mohd. Salleh Hj. Awang)
8.Teman Tetamu Allah – Panduan Praktis (Darul Nu’man)
9.Ibadah Umrah dan Ziarah (Tabung Haji)
10.Haji dan Umrah (Dato’ Haji Daud Che Ngah)
11.Jurnal Haji Pengubat Rindu (Intan Yaacob)
12.Agar Haji Tidak Sia-sia (Misbah Em Majidy)
13.Travelog Haji Muslimah (Sabariah Mel Udin)
14.Tiket Haji Dari Tuhan (J. Rahmat)
15.Pencarian Haji Mabrur (Abd. Ali Hassan)
16.Kembara Tetamu Allah (Ezee Rahmani)
17.Saat Menjadi Tetamu Allah (Syed Mahadzir S. Ibrahim)
18.XPDC Haji (Haji Zainal Bujang)
19.Kaedah Khyusuk Berhaji Umrah (Prof. Madya Dr. Azaharuddin)
20.Travelog Dua Tanah Suci (Hamirdin bin Ithnin)