Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah, segala puji serta syukur aku panjatkan kepada Allah yang khaliq. Salam dan selawat ke atas Rasulullah SAW serta keluarga dan sahabat baginda. Aku bertawakal dan berserah kepada ketentuan-Nya, serta meninggalkan segala keselesaan, anak cucu tercinta, saudara mara, taulan serta kejiranan. Aku bersandar sepenuhnya kepada Allah yang satu. Sebahagian zaman telah kita lalui, namun sebilangan anda belum melalui fasa bersara seperti aku. Sebagai pesara, aku perlu merubah pola fikiran ku. Aku menuju untuk menjadi seorang usahawan, namun bukan usahawan biasa, tetapi usahawan akhirat. Aku bukan berhasrat menjadi wartawan lokasi namun ingin berkongsi menitipkan sekelumit travelog bersandarkan kata-kata Al Imam Hassan al-Basri “Barang siapa yang melebihkan dunia dari akhirat, maka Allah akan menyeksanya dengan 6 seksaan iaitu 3 seksaan di dunia dan 3 seksaan di akhirat.” Aku mahu anda di luar sana berfikir akan makna yang tersirat melalui kata-kata tersebut.
Tak Tun tuang digendang tambur
Burung pimping di dasar paya
Beroleh pinjaman hayat ingatlah kubur
Kelak menyesal tiada upaya
Sejujurnya cukup sulit menukilkan sepenuhnya travelog ini. Kunjungan ini menyimpan kenangan terindah, bahkan aku merasai pengalaman sangat bahagia, ''Kebahagian yang cukup sulit untuk ditintakan''. Sebahagian moment aku simpul sendiri di benak ini, risau dikatakan ujub mahupun sengaja untuk menonjol diri yang masih jauh lebih kerdil di sisi-Nya. Aku berdoa agar tidak dikatakan riak dalam beribadah. Aku bersandar kepada kata kunci, “Di antara satu umrah dengan umrah menjadi penghapus dosa antara keduanya, dan haji yang mabrur ganjarannya adalah Syurga” (HR Al-Bukhari). Aku tidak berniat untuk menghebahkan diri ini hebat, tetapi seboleh-bolehnya bertindak umpama menuai padi dengan menggunakan sabit yang amat tajam namun tetap tidak melukai jari-jemari sendiri.
Moga Allah Rabbul Jalil memberi balasan syurga buat sekelompok deretan penulis seperti Pembimbing Ke Tanah Suci (Haji Wan Mohd Nor Che Mohamed), Syukur - Terapi Diri Muslim (Muhammad Naim Sadoon), Panduan Jemaah Haji dan Umrah (Jabatan percetakan, Kementerian Hal Ehwal Islam, Riyadh - terjemahan), Dhuyufur-Rahman / Tetamu Allah (Mohamad Zaki Abd. Halim), Teman Anda Ke Tanah Suci (Dato Hj. Mohd Salleh bin Hj Awang), Kaedah Khyusuk Berhaji dan Berumrah (Amantusa Enterprie), Travelog Haji (Prof Hj. Mohd. Kamil Ibrahim), Travelog Hidayah (Muhammad Rashidi), Travelog Umrah (Prof Ridzwan Bakar), Haji dan Umrah (Dato Daud Che Ngah), serta barisan penulis lain, atas perkongsian yang dicatatkan dalam tulisan mereka yang menjadi asbab untuk Allah menjemputku melakukan ziarah. Mereka melorong jalan untuk aku mentransformasi seluruh kehidupan agar berusaha menjadi hamba Allah yang lebih baik. Aku berhajat melorong para pembaca untuk sama-sama merasai sendiri betapa membuaknya perasaan untuk berkali-kali dan berulangkali mengunjungi Tanah Suci. Andai ada yang terkesan usai membaca coretan ini, Alhamdu Lillah moga sumbangan sekecil ini diharapkan menjadi dakwah termampu untuk bekalku ke alam akhirat. Moga ia menjadi ibrah kepada kalian.
Aku bukan yang terbaik, namun ingin mengajak anda melakukan yang terbaik
Firman Allah SWT: Dan sebutlah (ingatlah) nama Tuhan-Mu serta solat. Tetapi kamu lebihkan penghidupan dunia, padahal akhirat lebih baik dan lebih kekal. (al-A’la: 15-17)
Hidup ini bukan persaingan tetapi merupakan kebijaksanaan seseorang insan dalam merebut peluang memboyotkan kantung bekalan ke alam akhirat (alam penghujung / alam akhir). Aku ingin merubah presfiktif orang di luar sana agar jangan percaya bisikan halus dan momokan yang menerobos ke gegendang telinga mengenai bayaran tunai sesampainya di sana. Sesungguhnya Allah amat menyayangi umat-Nya dan jangan lekas menghukum diri sendiri dengan pelbagai alasan. Andai ada yang mengatakan banyak godaan di tanah suci, sebenarnya di sekeliling kediaman kitalah yang paling banyak godaan, bukan di sana.
Tidak inginkah anda berada sedekat-dekatnya dengan Rasulullah SAW (waima cuma jasad) iaitu orang yang akan memberikan kita syafaat ketika di alam akhirat, tidak inginkah anda menjejaki tempat-tempat yang pernah dijejaki oleh Rasulullah serta sahabat hebat baginda, jejak Nabi Ibrahim mahupun Nabi Ismail dan tempat Siti Hajar berlari-lari mencari air. Ketahuilah Jabir bin Abdullah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : Seorang muslim yang fakir (tetapi tetap beribadah) akan memasuki syurga empat puluh tahun terlebih dahulu daripada seorang muslim yang kaya. (HR Tirmzi).
Andainya, tujuan hidup kita untuk mengejar kedudukan. Akhirnya kedudukan itu menjadi beban sehingga kita alpa apa yang sepatutnya kita lakukan kepada tuhan. Boleh jadi kita bekerja keras untuk mengejar kemasyhuran sehingga kita memekakkan telinga apabila mendengar seruan-Nya melalui corong masjid. Kita merintih apabila melihat orang lain lebih sukses dari kita, tetapi siapa yang mendengar rintihan kita. Kita kesal tetapi tiada siapa yang tahu kekesalan kita, tetapi Allah maha mengetahui tiap inci perasaan kita. Merintih dan mengadulah apabila kita berada di hadapan Baitullah-Nya. Waima telah kekal ketentuannya, kita perlu tahu Qada itu ada dua iaitu Qada Mubram (ketentuan yang tidak boleh diubah) dan Qada Mu’allaq yang boleh diubah dengan doa dan ikhtiar.
Selasa 5 Disember 2017 - 16 Rabiul Awal 1439 H (Meninggalkan rumah kediaman)
Usai solat dzohor di Surau Al-Mukminin Pangsapuri Tg. Aru, aku menunaikan solat musafir (safar) dengan doa berikut : “Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu Ya Allah kerana dengan redha-Mu, aku dan isteri akan mengunjungi tanah suci-Mu. Selamatkanlah kami dalam perjalanan ini dan dekatkanlah kami dari kejauhannya. Ya Allah, kami memohon kesihatan sepanjang perjalanan, sihat semasa berada di tanah suci-Mu dan sihat selepas balik ke tanah airku. Jadikanlah jiwa-jiwa kami tenang, dan berilah kami taufik dan hidayah, terimalah umrah kami sebagai umrah yang mabrur, masukkanlah kami sekeluarga ke dalam Syurg-Mu tanpa dihisab serta akhirkanlah hidup kami dengan kesudahan yang terbaik dan kami memohon engkau lindungi anak cucu serta harta benda yang kami tinggalkan buat seketika”.
Usai melayani kunjungan abang dan kakak ipar, di muka pintu aku membaca berdoa “Bismillahahi tawakaltu ‘alallaahi laa haula walaaquawwata illaa billaahil ‘aliyyil Aziim Ertinya: Dengan nama Allah aku beriman kepada Allah berserah diri kepada-Nya, tidak ada daya untuk mendapatkan manfaat dan tidak ada kekuatan untuk menolak kejahatan kecuali dengan pertolongan-Mu yang Maha Luhur lagi Maha Agung. Kemudian, aku membaca doa dalam perjalanan sambil diaminkan oleh isteriku ….. Subhanaladzi sakhara lana hadza wa ma kunna lahu muqrinin wa inna illarobbina lamunqolibun. “Segala puji bagi Allah yang telah memudahkan kami (padahal) kami tidak sanggup mengendalikannya. Sesungguhnya kami akan kembali kepada Allah.” (QS. Al-Zukhruf: 14)
Jam 2.05 petang, kami meninggalkan kediaman menuju ke Lapangan Terbang disantuni oleh anak kedua dan anak bongsu kami. Sempat juga solat asar di surau airport. Aku mula membuat catatan travelog ziarah. Selepas selesai urusan pendaftaran masuk, rombongan Dhuyufur-Rahman (seramai 67 orang) merakam foto berkumpulan. Kami mendengar tazkirah pendek oleh Us. Hj. Romzi bin Abdur Rahman (pengiring yang juga kenalan baru) dan mengaminkan doa yang dibaca oleh wakil NurMultazam (Ustaz Syahar).
Rakaman foto berkumpulan di KKIA |
Usai melabuhkan badan di kerusi 55 K dan 55 J, jam 5.35 petang, burung besi (pesawat Airbus 320) BI 1826 berlepas ke Brunei dalam cuaca yang selesa dan damai tatkala mantari merembang ke petang. Syukur Ya Allah, aku masih berpeluang menikmati panorama alam yang Engkau lukiskan sebegitu indah mata memandang. Jam 6.15 petang kami tiba di Bandar Seri Begawan. Bersegera untuk solat jamak Maghrib Isyak dan kami berdua mengalas perut seadanya dengan bekal yang dibawa dari rumah dan membeli minuman panas di kedai airport dengan sedikit tukaran wang Brunei yang aku bawa.
Sebelum berlepas, aku mengetik kameraku di beberapa sudut menarik untuk moment bersejarah. Kami dari Boarding Group C seperti yang tercatat di dalam tiket, adalah merupakan kumpulan terakhir memasuki pesawat. Usai meletak hand luggage ditempatnya, aku duduk di kerusi 33 K di sebelah isteri 33 J beberapa baris di belakang kelas ekonomi. Selang di tepi tingkap, seorang ayah dari negara Brunei bersama anak dan isterinya yang dalam perjalanan bercuti sambil melawat anak belajar di London. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan perjalanan dimulai dengan mengaminkan doa yang dibaca melalui corong pembesar suara pesawat Royal Brunei dan tayangan tatacara keselamatan dalam penerbangan. Jam 9.05 malam, Burung besi Boeing 777 BI 097 Royal Brunei International flight membelah awan meninggalkan Brunei menuju London yang akan singgah transit di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ayam ngaram di karatahan
Anak damit dalam kuyutan
Rindu dendam bilakan bertahan
Rindu kukulum dalam balutan
Semasa di dada pesawat, aku teringatkan Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya.” (Surah Al-Ahzab: 56). Aku membasahkan lisanku dengan selawat kerana destinasi kami selepas Emiriah ialah Madinatul Almunawarah. Sejak awal lagi, aku telah menetapkan jumlah sasaran selawat dan dzikir. Sesekali aku melirik ke luar jendela pesawat waima hanya kelam pekat warna lukisannya. Kami berdua hanya membuka peta perjalanan (GPS) pergerakan pesawat dari Brunei ke UAE, walhal dalam penerbangan antarabangsa, banyak disediakan aplikasi dan telenovela menarik untuk ditonton. Akan tetapi, kami memikirkan untuk tidak menodai penglihatan ini dengan perkara-perkara yang boleh memesongkan misi asal kami. Bukannya salah atau berdosa untuk membuka pelbagai pilihan segala macam movie, drama, sitcom dan lain-lain, tetapi agak kurang manis andai perjalanan yang baik ini dimulakan dengan aktiviti yang melalaikan. Syukur Ya Allah, penerbangan pesawat berjalan lancar dan stabil.
Anak gayal tangannya cangkir
Balingkatak cicit piantung
Hidup ini pergandakan zikir
Mengingati Allah membawa untung
Kekadang aku tidak melepas peluang membaca tarbiah yang diulang seberapa banyak secara perlahan. “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah! Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu…”.
Emiriah Arab Bersatu, kami datang (Rabu 6 Disember)
Jam 12.54 dinihari waktu Emiriah (5.54 pagi waktu Malaysia), setelah 8 jam lebih mengharungi perjalanan panjang. Pesawat tiba di Lapangan Terbang Sharjah (Emiriah Sharjah). Lapangan Terbang Antarabangsa Sharjah terletak pada kedudukan Latitud N25* 19.7500', Longitud E55* 30.9667' pada ketinggian 33.83 meter dari aras laut. Itulah keberuntungan lewat memasuki pesawat, rupa-rupanya kami duduk di barisan hadapan kelas ekonimi. Aku dan isteri adalah antara yang pertama meninggalkan pesawat dalam kalangan penumpamg kelas ekonomi. Syukur Ya Allah, kemudahan tersebut kurebut dengan berjalan laju bagi membolehkan merakam momen penting tetamu Allah. Sesungguhnya Allah memahami niat sampingan di lubuk hati ini iaitu untuk merakam tiap pergerakan dan aktiviti jemaah di tanah suci.
Emiriah Arab Bersatu (United Arab Emirates - UAE) terbentuk dari tujuh Emiriah iaitu Emiriah Dubai (Emirate of Dubai), Abu Dhabi, Ajman, Ras Al Khaimah, Fujairah, Umm Quwwain dan Sharjah. Daripada kesemua Emiriah yang disebutkan di atas, Emiriah Abu Dhabi merupakan Emiriah yang terbesar dari segi kawasan geografi berbanding Emiriah yang lain. Disebabkan saiz geografi dan juga kekayaan petrolium dan gas yang dimiliki oleh Abu Dhabi, kuasa politik UAE berpusat di Abu Dhabi yang menyaksikan jawatan presiden UAE kini disandang oleh pemerintah Abu Dhabi iaitu Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan.
Secara umumnya, hampir kesemua Emiriah di dalam UAE bergantung kepada hasil petrolium sebagai sumber ekonomi, manakala Dubai mengamalkan polisi mempelbagaikan ekonomi seperti memperagakan sektor pelancongan dan perkhidmatan kewangan, Pembangunan seiring sektor hartanah dan infrastruktur yang pesat turut membantu sektor pelancongan Dubai sehingga diiktiraf sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang terkemuka di dunia. Salah satu daripada hasil kepelbagaian ekonomi Dubai adalah pembentukan pembangunan jenama ‘Emirates’, iaitu nama syarikat penerbangan yang dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Pelaburan Dubai (Dubai Investment Corporation).
Dubai ..... kami datang |
Dubai, (ibu kota Emirate of Dubai), bandar raya di tepi Teluk Arab ini hanya mula membangun dengan pesatnya dalam tempoh kurang dari 20 tahun kebelakangan ini. Dubai merupakan sebuah bandar yang tidak asing lagi dan sering mendapat perhatian dunia. Kini Dubai lebih dikenali dengan tanda mercu Menara Khalifa (Burj Khalifa), sebuah bangunan ikonik berlatarbelakang senibina Islam setinggi 830 meter yang terpacak megah di sekitar bangunan-bangunan pencakar langit yang lain di tengah-tengah bandar raya ini atau lebih dikenali sebagai Downtown Dubai. Akan tetapi bangunan pencakar langit (Burj Khalifa) hanya dapat kami saksikan melalui jendela pesawat beberapa minit sebelum pendaratan.
Jam 6.14 pagi waktu di Tanah Air, kami menaiki erotrain untuk ke destinasi pemeriksaan imigresen dan mengambil bagasi pada jam 6.53 pagi (jam Malaysia). Di lapangan terbang, aku membuat tukaran wang RM200.00 bersamaan Dirhams 152.00. Jam 1.55 pagi, kami menaiki dua buah bas perantara menuju ke Hotel Swiss Emiriah. Usai pendaftaran licin oleh pengiring (Ust Haji Romzi dengan bantuan Sahabat Arianto), jam 2.35 pagi waktu Emiriah, kami mendaftar masuk di bilik 505 Hotel Swiss. Sebelum melayan mata, aku sempat menggosok baju untuk dipakai keesokkan harinya.
Mendarat di Kota Madinah (Petang Rabu 6 Disember)
Kasukun buahnya lebat
Minyak basupa aromanya parat
Rindu bertahun bakal terubat
Moga tiba dengan selamat
Jam 5.35 pagi aku dan isteri menunaikan solat subuh setelah mandi dan bertukar pakaian. Usai sarapan (jam 6.34 pagi) kami berlegar-legar di sekitar hotel sementara penunggu bas. Tepat jam 8.00 pagi, bas tiba untuk mengangkut tetamu Allah ke airport. Kami memasukkan barang ke perut bas tanpa mengambilkira siapa pemiliknya. Di airport, aku membuat tukaran wang sekali lagi (RM150.00 Dirhams 102.00) untuk membeli baju bagi melunaskan pesanan anak keduaku. Jam 11.05 pagi kami melabuhkan punggung di kerusi 21 B dan 21 C, Air Arabia Airbus A320. Agak melucukan tayangan LCD tatacara memasang tali pinggang hingga penerangan lain, dilakonkan oleh sekumpulan kanak-kanak bawah 12 tahun, yang lazimnya di dominasikan oleh orang dewasa. Di sebelahku dekat tingkap, seorang lelaki India yang sentiasa terkumat-kamit lantaran pelepasan yang agak tidak setabil, berkemungkinan tolakan angin yang agak kuat, maklumlah padang pasir. Ketika di udara, kami tergamam melihat sepasang paramugara menolak makanan untuk dijual. Waima perut terasa berkeroncong dan waima tukaran dirham masih berbaki, tetapi demi untuk menyantuni tetamu Rasulullah kalangan rakan-rakan Nurmultazam, kami tidak tergamak untuk memesan makanan. Aku memikirkan berkemungkinan itu adalah antara ujian menjadi tetamu Allah.
Syukur Ya Allah, para dhuyufur-rahman selamat tiba di Lapangan Terbang Madinah Jam 2.38 petang waktu Saudi. Pemeriksaan kemasukan ke Arab Saudi melalui Airport Madinah, amat licin. Usai melepasi pemeriksaan, kami mengutip bagasi masing-masing. Aku adalah antara orang pertama keluar dan bertemu dengan Mutawif berbangsa Indonesia Hj. Badru Salam dan bergerak ke dua bas yang disediakan. Aku dan isteri dikumpul dalam bas bertanda hijau (32 orang) dan selebihnya bas bertanda oren. Jam 3.06 petang, bas bergerak meninggalkan airport Madinah. Di dalam bas, mutawif pengiring (Ust Haji Romzi) memimpin doa dalam perjalanan sambil diikuti oleh tetamu Rasulullah, manakala bas bertanda oren di ketuai oleh Ust Badru Salam. Perjalanan menuju ke hotel penginapan mengambil masa 35 minit.
Kami mendaftar masuk di Hotel Royal Makarem, hotel 12 tingkat (120 meter dari masjid) berdekatan dengan Hotel Holiday Villa. Hotel ini memiliki prasarana 4 lift memuatkan 12 orang satu lift. Di lobi hotel, sambil bertanya khabar, aku memeluk Habib Haji Ali yang sekian lama tidak aku temui. Bagasi dikumpulkan di tingkat lapan hotel bagi menyantuni keluar masuk jemaah lain yang melalui lobi yang tidak begitu luas. Puan Hjh. Siti, Ust. Haji Badru Salam dan Habib Haji Ali berurusan dengan pihak hotel mengatururus pendaftaran kami. Hjh Siti membahagikan bungkusan makanan, kerana kami tidak makan semenjak meninggalkan Dubai kecuali sarapan pagi.
Usai memperoleh kunci bilik 901 jam 4.23 petang, kami berdua menapak ke tingkat lapan. Rahmat mengamalkan sifat Qanaah (bersyukur sangat), waima kami antara orang terakhir memperoleh kunci bilik, tetapi sebaik-baik saja pintu lif lantai 8 dibuka, dua bagasi tersedia di pintu lif kerana jemaah lain telah mengutip beg masing-masing. Aku cuba membayangkan bagaimana seramai 65 jemaah berebut-rebut mencari beg masing-masing. Kami masuk bilik dan sujud syukur dengan linangan air jernih mengalir perlahan di pipi. Usai memunggah bagasi, aku memastikan peti ais di bilik berfungsi. Kami mengisi perut dengan sedikit makanan (tapau yang telah disediakan oleh Hjh. Siti - Multazam). Usai solat jamak zohor asar, dengan pakaian yang sedia ada, jam 5.27 petang kami berdua segera menapak ke Masjid Nabawi. Di pintu bilik hotel aku berdoa dengan diaminkan oleh isteriku, “Ya Allah, kami datang kerana-Mu Ya Allah. Lindungi kami di perjalanan menuju ke masjid-Mu, sepanjang berada di Masjid-Mu dan di perjalanan balik ke penginapan kami. Berilah kami kemudahan untuk memasuki Raudah-Mu, jagalah wuduk kami dan izinkan kami untuk berlama dan berikitkaf di masjid-Mu.”
Di padang Si Bakir naikkan dadaran
Dadaran tinggi ke ujung jungkar
Rindu ku tanggung tidak tertahan
Fikiran terbius kalbu berdebar
Sebaik sahaja melangkah meninggalkan lobi hotel, kami menuju ke pintu pagar 25. Aku terpaku terpana dengan suasana yang cukup tenang dan damai menapak di petang itu dalam cuaca dingin berangin (14 darjah Celcius mengikut bacaan di HPhone). Aku mengenakan sarung tangan demi memelihara wuduk dan menapak sambil berpegangan tangan. Selepas memastikan isteri memasuki kawasan solat wanita, aku memasuki Masjid Nabawi melalui pintu 21 yang penghujungnya ialah Raudah. Usai menyimpan selipar di almari kekotak (sambil menghafal nombor rak), aku memasang niat iktikaf dan solat tahiyatul masjid. Usai solat hajat, aku memohon kepada-Nya agar dipermudahkan memasuki Taman-taman Syurga. Kemudian aku mencari lokasi air zam-zam untuk membasah tekak. Aku teringat kenyataan seorang ulama, Ibnu Qayyim al-Jawziah “Air Zam-zam adalah panglima segala air yang di dalamnya tersimpan kemuliaan, disukai setiap jiwa, tidak ternilai harganya dan dicari setiap insan”. Itulah air zam-zam pertama melalui tekakku ketika ziarah ke bumi ambia.
Ibarat air yang menggelegak didihnya, begitulah kuatnya aura penangannya Raudah di hati ini. Lantaran teringatkan sabda Rasulullah : “Antara mimbarku dan rumahku merupakan taman dari taman-taman syurga” (HR. Al Bukhari & Muslim). Aku sedaya-upaya bertekad untuk mendekati kawasan Raudah. Luas Raudah 22X15 meter, merupakan tempat yang mustajab untuk berdoa. Akan tetapi keluasan tersebut mengecil saat berbagi dua dengan jemaah wanita pada masa-masa tertentu. Letaknya antara mimbar dan kediaman rasulullah SAW. Seluruh kawasan ini ditandai dengan karpet yang berwarna hijau. “Assalamu ‘alaika yaa Rasulullah wa rahmatullah wa barokatuh. Assalamu’alaika yaa Nabiyallah. Assalamu’alaika ya Habiballah“. Aku juga menyampaikan salam dari anak-anak, menantu dan sahabat-sahabat lain.
Setelah menunggu beberapa ketika, Allah belum memberi izin-Nya untuk aku memasuki Raudah kerana suasana yang amat padat. Aku bersama puluhan tetamu Rasulullah lain berkumpul di saf luar Raudah sambil tangan ini menggentel tasbih (berselawat) sementelah menunggu solat maghrib.
Jam 5.34 petang, hatiku begitu sebak dan terbuku pilu di saat mendengar azan maghrib dilaungkan oleh muazim Masjid Nabawi yang gemersik merdu dan menusuk. Usai solat maghrib, aku mengikut imam menunaikan solat jenazah. Aku meneruskan solat sunat selepas maghrib, solat taubat, solat hajat dan solat syukur di mana sujud terakhir aku berlama untuk memanjatkan kesyukuran kepada-Nya yang masih memberi peluang kepada kami berdua diundang sebagai tetamu-Nya.
Usai solat Isyak, solat jenazah dan rutin beberapa solat lain, aku balik ke hotel. Singgah sebentar di Food Market berdekatan hotel kami untuk membeli dua ketul ayam broast, roti manis dan minuman botol bagi santapan sahur pada malamnya. Sebelum tidur, aku menanak nasi dan membuat minuman panas. Selepas mandi, aku menggosok pakaian kami berdua yang akan digunakan pada keesokkan harinya. Jam loceng aku setkan tepat 4.00 subuh keesokan harinya. Sebelum melabuhkan tirai malam, kami menyusun pakaian di dalam almari dan membaca doa sebelum tidur, surah Al-iklas 3 kali, Al-Falaq, An-Nas dan membaca syahadat.
Hari ke-2 (7 Disember 2016- Khamis) Ziarah dalam
Terjaga seawalnya, aku membaca doa bangun tidur dan memasak air serta membuka ketulan ayam untuk bersahur dengan isteri. Usai sahur, kami meninggalkan hotel jam 3.25 pagi, dalam suasana yang hening dininari. Kilauan lampu limpah yang terang benderang dan indah menyebabkan Masjid Nabawi bergemerlapan. Di pintu bilik hotel aku berdoa dengan diaminkan oleh isteriku, “Ya Allah, sejuta kesyukuran kami panjatkan terhadap-Mu Ya Allah. Berilah kami kemudahan untuk memasuki Raudah-Mu dan izinkan kami untuk berlama dan berikitkaf di masjid-Mu. Jagalah lisan kami dan tingkah laku kami sepanjang berada di masjid-Mu dan peliharalah wuduk kami. ”
Dengan mengenakan sarung tangan bagi mengekalkan wuduk, sambil bergelungan tangan, kami menuju ke pintu 25. Kami dan tetamu Rasulullah lain, berbondon-bondon menapak ke masjid, meski pun tatkala itu, kedinginan menusuk ke temulangku. Di kiri kanan deretan kedai yang siangnya hingar bangar dengan laungan para peniaga yang mengajak kami singgah, tetapi masih belum di buka seawal pagi tersebut. Kami membaca doa “Allaahummaftahlii abwaaba rahmatika bismillaahi walhamdulillaahi wassalaatu wassalaamu ‘alaa rasulillaah” Subhanallah, aku terpaku seketika memerhatikan landskap Masjid Nabawi yang bercahaya di waktu dinihari. Aku menghantar suriku ke pintu solat wanita sebelum aku sendiri memasuki pintu utama.
Pintu yang kusauhkan nun di tambatan naluriku |
Ya Nabi Salam Alaik.. energy dalaman untuk rukuk dan sujud di masjid membuak-buak menggantikan rasa penat. Aku bagaikan terbius oleh situasi semasa memerhatikan jemaah sekelilingku khyusuk beribadah tanpa memperdulikan hal keliling. Selepas solat tahaiyatul masjid, aku solat hajat agar dipermudahkan memasuki Raudah, tetapi masih belum beroleh izin-Nya untuk berada di Raudah kerana kepadatan yang luar biasa menyukarkan untuk menapak lebih jauh. Aku meneruskan rutin selawatku selagi berada di Madinah dan akan menukar kepada zikir apabila menuju ke Mekah dalam beberapa hari lagi. Sabda Rasulullah melalui Ibnu Hibban bermaksud “Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku pada Hari Kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku. Usai solat subuh dan solat jenazah, aku menapak pulang untuk menyertai ziarah dalam.
Ziarah dalam
Jam 7.30 pagi, Kami berkumpul di luar hotel menuju ke Masjid untuk ziarah dalam. Jam 8.39 pagi, aku merakam foto berkumpulan untuk dokumentasiku sendiri dan mungkin untuk dikongsi sekembalinya kami ke Malaysia. Kurakamkan pergerakan jemaah sehingga kami mendekati Kubah Hijau. ” Syukur tersangat syukur, kami diberi tazkirah yang menerobos ke jantung hati dan menggaru-garu emosi. Ustaz Haji Habib Ali, memang hebat orangnya. Aku merakam foto berkumpulan dengan landskap kubah hijau di belakang kami. Destinasi berikutnya ialah Muzium Al-Quran di mana terhimpunnya naskhah Quran lama, Quran dari kulit kayu dan Quran yang ditulis dengan tinta emas. Di sini kami tidak dibenarkan merakam foto kerana dikhuatiri limpahan cahaya yang akan memudarkan warna cetakan pada Al-Quran.
Jam 10.23 pagi kami meneruskan ziarah ke Masjid Awan, Masjid Saidina Abu Bakar dan Masjid Saidina Omar Al-Khatab. Aku merakam foto ziarah dalam terakhir jam 10.43 pagi iaitu di laman depan Masjid Saidina Abu Bakar.
Aku dan isteri tidak terus balik. Aku menuju ke pintu Bubus Salam untuk maraton iktikaf dan menunggu solat dzohor sementara suriku ke ruang solat wanita. Usai solat tahaiyatul masjid, aku bergabung dengan tetamu Rasulullah yang majoritinya terdiri dari warga Pakistan dan India menunggu giliran memasuki kawasan karpet hijau. Jam 11.43 pagi setelah lebih setengah jam dalam gorombolan, ibarat bermimpi, rupa-rupanya Allah izinkan untuk aku berada di ruang karpet hijau Raudah untuk yang pertama kali setelah gagal di dua cubaan sebelum ini. Syukur tersangat syukur, Allah maha pengetahui lintasan hati tetamu-Nya. Aku kini berada hanya beberapa meter dari jasad Rasulullah dimakamkan. Aku ungkapkan salam ke hadrat baginda dan dua sahabatnya. Aku juga menitipkan salam dari anak-anak, keluarga dan rakan-rakanku.
Lantaran teringatkan sabda Rasulullah “Setiap anggota tubuh manusia memerlukan sedekah. Setiap bacaan tasbih adalah sedekah, setiap bacaan tahmid adalah sedekah, setiap bacaan tahlil adalah sedekah, setiap bacaan takbir adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah, dan melarang kepada kemungkaran juga adalah sedekah. Semua itu dapat dicukupi dengan dua rakaat yang dilakukan pada waktu Dhuha.” (Sahih, HR Muslim;720). Aku menunaikan solat taubat, dhuaa, solat syukur, hajat serta berdoa sepuasnya di Raudah.
Aku sauhkan tali kerinduanku di pelabuhan Raudah-Mu, lantas berdoa “Syukur Ya Allah, Engkau telah izinkanlah aku sujud di bekas-bekas tempat sujudnya para Nabi dan para Sahabat baginda. Izinkanlah aku berdoa di bekas-bekas tempat duduk mereka yang memperjuangkan agama-Mu Ya Rahman”. “Syukur Ya Allah kerana dengan sejuta rahmat-Mu, aku telah dapat melampiaskan seluruh gemala sukma rinduku terhadap kekasih-Mu.” Aku tidak berlama di dalamnya dan beredar bagi melorong tetamu Rasulullah lain mengambil giliran mereka. Aku alihkan sauh kerinduanku di pantai kesyukuran dengan harapan akan berlabuh lagi di pelabuhan Raudah untuk hari esoknya. Usai meninggalkan Raudah, aku melanjutkan ritual solat taubat, solat hajat, tilawah dan berdzikir di kawasan Bubus Salam. Jam 11.56 pagi, aku keluar bergabung dengan warga Pakistan di luar Bubus Salam untuk meneruskan misi selawatku.
Aku balik ke hotel selepas asar untuk mandi dan menukar pakaian. Di laluan pulang aku membeli dua pasang jubah Haramain, cream cheese, roti manis dan minuman jus buah untuk berbuka nanti. Aku berbuka di dalam masjid dan balik selepas isyak untuk menyertai makan malam di Royal Makarem. Alhamdulillah, progres ritual ibadah pada hari kedua ini berjalan lancar.
Rangas biabas buat pengumpil
Umpil bersama anak taripas
Selagi mata masih berkebil
Gandakan ibadah sepuas-puas
8 Disember, hari ke-3- Jumaat (bebas)
Kita hendaklah kuat dan tabah seandainya ditimpakan satu keadaan yang di luar jangkaan kita untuk dilalui, tetapi Allah lagi maha tahu akan kemampuan hamba-Nya. Andainya keimanan kita diuji dengan pelbagai ujian seperti lif sesak, bersesak ke Raudah, dewan makan sempit, situasi begini sememangnya akan kita lalui dan tetap akan dilalui. Janganlah sampai kita lalui ujian itu diiringi keluh kesah yang tiada kesudahan. Jika dituruti kehendak hati dan bisikan syaitan, sudah tentunya kita berasa nyaman bergomal dengan selimut di waktu-waktu sebegini.
Pabila kita masih berdengkur,
iblis Syaitan bergembira tidak menegur,
mengapa tidak akur,
sebelum dihimpit tanah kubur,
sebelum jasad kaku terbujur,
jemputan berziarah Allah yang atur,
gunakan kesempatan bukannya kebulur,
andai perbelanjaan banyak dihulur,
penuhi dengan rasa bersyukur.
Alhamdulillah, Allah izinkan rutin hari ke-3 ini berjalan di luar seperti yang aku rencanakan atas perkenan-Nya. Waima jam disetkan jam 3.00 pagi, namun jam 12.18 malam, aku telah terjaga. Kerana masih terlalu awal, isteriku tidak menyertaiku ke masjid. Sebelum meninggalkan rumah tumpangan, aku membaca doa, “Ya Allah, aku memanjatkan setinggi kesyukuran kepada-Mu kerana dengan izin-Mu aku masih dapat menghirup udara pagi ini. Lindungilah aku sepanjang berada di kota-Mu dan izinkan aku untuk bertawajuh di Raudah-Mu. Selamatkan aku dalam kembara ibadah ini dan jagalah lisan dan perbuatan sepanjang aku beritikaf di masjid-Mu.”
Jam 12.40 pagi, aku bergerak solo ke pintu Bubus Salam dengan keadaan tanganku menggentel tasbih bagi meneruskan maraton membaca selawat, kerana hanya pintu itu yang dibuka 24 jam bagi menyantuni tetamu Rasulullah. Menapak bersama melalui pintu 25, terdapat jemaah warga Pakistan dan Indonesia yang menuju ke destinasi serupa “Raudah”. Hampir 20 minit bergerak laju, aku tiba di pintu Bubus Salam. Di luar Raudah aku menunaikan solat tahaiyatul masjid dan solat hajat. Pagi ini, aku mendapat hadiah dari Allah apabila dengan rahmat-Nya aku dapat menjejakkan langkahku ke Raudah (Taman-taman Syurga) betul-betul di laluan keluar Raudah hanya beberapa meter dari Maqam Baginda. Setelah berlabuh di pelabuhannya, aku menunaikan deretan solat-solat hajat, solat tahajud, solat syukur, solat taubat.
Solatku di Raudah pagi itu diselubungi dengan seribu rasa, rasa teramat gemuruh, teramat sebak, syahdu dan pilu yang tidak menentu melebihi perasaan kunjungan pertamaku. Kelopak mataku bergenang namun takungannya masih dapat aku kawal. Pelbagai doa kupanjatkan tiap kali meletakkan dahiku di lantai Raudah. Pagi itu, aku berdoa agak panjang dari kebiasaannya kerana Allah mengurniakan situasi yang teramat tenang di Raudah-Nya. Aku kirimkan salam “Assalamualaika Ya Rasulullah… dari keluarga, sahabat dan rakan.” Doa utama agar aku diampunkan dari segala dosa, sama ada dosa yang aku ketahui mahupun dosa yang tersembunyi, biarpun dosa-dosa kecil, apa lagi dosa-dosa besar. Doa kupanjatkan untuk diri ku, isteri ku, anak-cucuku, arwah kedua ibu bapa ku, adik beradikku, kaum keluarga ku, sahabat, warga surau Pangsa Puri Tg. Aru dan rakan taulan ku serta kaum muslimin dan muslimat sekalian. Aku juga berdoa agar umrah yang kami buat dalam beberapa hari lagi, dianugerahkan sebagai umrah yang mabrur.
“Ya Rasulullah, tiada apa yang boleh aku bawa untuk junjunganku, melainkan selawat serta doa. Aku sedar tanpamu, kami tidak mungkin dapat beribadah sesempurnanya. Sejahtera untukmu serta seluruh umat muslimin sekalian.” Takungan air jernih hampir berjejeran di pipi tanpa diminta. Tangan ku tadah “Ya Allah! Bahawasanya aku bersaksi bahawa Muhammad SAW adalah pesuruh-Mu, waima aku hanya mengunjungi jasadnya akan tetapi jangan halangi aku untuk melihat baginda pada hari kiamat. Mudahkan urusan dunia kami dan permudahkan juga urusan akhirat kami.”
Aku memerhatikan situasi di sekelilingku, semua tetamu Allah silih berganti antara solat dan berdoa tiada hentinya. Petikan buku Ajaibnya Sedekah tulisan Muhammad Muhyidin (2013) “ Sekelompok manusia menyembah Allah kerana mahukan ganjaran. Inilah ibadah pedagang. Sekelompok yang lain menyembah Allah kerana takut. Inilah ibadah seorang hamba. Manakala sekelompok lain menyembah Allah kerana rasa syukur. Inilah ibadah orang merdeka. Aku keliru di bahagian manakah agaknya tahap ibadahku ketika itu. Semoga aku beribadah seperti seorang hamba dan mendambakan rasa syukur dan takut kepada Maha Pencipta, manakala ganjaran itu adalah milik mutlak Allahlah yang menentukannya.
Jam 1.48 dinihari, aku keluar bagi memberi ruang kepada tetamu Rasulullah lain berada sedekat-dekatnya dengan jasad Baginda. Sempat juga aku rakamkan foto di luar Taman-taman Syurga.
Piasau ampang tidak berminyak
Ada minyak dalam belukuk
Anugerah Allah terlalu banyak
Tidak sebanding semua takluk
Usai meneguk air zam-zam, jam 2.20 pagi aku balik ke hotel untuk melelapkan mata kerana berjanji dengan isteri untuk sama-sama menapak ke masjid di awal pagi. Aku terjaga kembali pada jam 3.00 pagi. Kami memasak air panas dan membancuh minuman di dalam bilik dengan sarapan ringan. Semasa azan pertama, aku dan isteri menapak ke masjid seperti rutin yang sebelum ini iaitu membaca doa di balik pintu dan membaca doa iktikaf di luar pintu pagar sebelum masuk ke masjid (pintu biasa 25).
Usai memastikan isteriku selamat memasuki kawasan solat wanita, aku bergerak ke pintu 22. Pagi itu, aku hanya beriktikaf di luar sekatan kanvas pemisah Raudah. Usai solat tahaiyatul masjid, aku meneguk air zam-zam. Suriku hari ini memutuskan untuk terus beriktikaf di dalam masjid sedangkan aku balik ke hotel selepas solat dhuaa. Hari ini aku membeli minyak wangi Victory SR 150.00 sekotak 48 biji di aras bawah Bangunan Baharuddin dan membeli jubah SR 100.00 di kedai baris belakang Hotel Royal Makarem.
Aku bergerak awal untuk mengelakkan kesesakan kerana Jumaat merupakan hari kelepasan awam di Saudi. Oleh itu warga Saudi mengambil peluang cuti umum untuk bertawajuh di dalam masjid terutamanya di Masjid Nabawi. Kesesakan berlaku semasa solat Jumaat, seperti yang pernah digambarkan melalui pembacaanku sebelum ini. Jam 1.02 petang, sempat merakam kesesakan aliran keluar masjid melalui Hand Phoneku.
Selepas solat Jumaat, aku menerima WS’app kumpulan yang memberitakan isteri salah seorang jemaah (Hj. Abd. Wahid Mohd Taha) kembali ke rahmah Allah di Negeri Sabah. Solat jenazah ghaib akan diadakan di bilik 809 selepas isyak. Namun aku tidak dapat menyertainya lantaran kekangan bilik yang sudah mampat dengan tetamu Allah. Sebelum tidur, membaca rutin bacaan sebelum tidur, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Annas serta membaca syahadah seperti lazimnya dan jam disetkan 3.00 pagi untuk bangun keesokan harinya.
Hari keempat di Madinah - (9 Disember 2016 - Sabtu)
Rutin menanak nasi, membancuh kopi / milo berjalan seperti biasa sebaik saja terjaga jam 1.00 pagi (dua jam lebih awal dari masa yang disetkan). Jam 1.45 pagi, aku mandi dan mencuci sedikit pakaian dalam. Dengan mengamalkan rutin berdoa di balik pintu, menuju ke pintu 25, melafazkan doa sebelum masuk masjid. Dalam suasana dingin yang masih membaluti sekejur tubuh kerdil ini, dengan berpegangan tangan kami bergerak ke masjid jam 2.20 pagi dan menghantar suriku ke ruang wanita. Sebaik-baik saja mendekati masjid, kami berniat iktikaf. Ku perhatikan gelagat suriku sehingga ia tidak kelihatan dari pandanganku. Uniknya situsi di Masjid Nabawi teramat tenang sebelum solat. Akan tetapi akan dipenuhi Jemaah ketika waktu solat. Usai solat fardhu terutama lepas subuh dan isyak, ketika Jemaah berduyun keluar dari masjid, ada kalanya luar pagar masjid bertukar menjadi riuh-rendah dengan para penjual memperagakan barangan jualan mereka.
Aku menuju ke pintu utama yang jalan penghujungnya ialah Raudah. Di belakang Raudah aku menunaikan solat tahaiyatul masjid dan solat hajat dan merapat ke bahagian belakang Tamn-taman Syurga. Jam 2.35 pagi, seorang warga Pakistan dalam telahaanku, tidak semena-mena menarik tanganku untuk menapak ke Raudah setelah hampir 10 minit berada betul-betul di belakang karpet hujau. Air mata mengalir lagi kerana aku berpeluang lagi untuk ke Raudah dengan rahmat-Nya. Situasi santai pagi itu, membolehkan aku meneliti sedekat-dekatnya kawasan Raudah. Kesyahduan yang membaluti diri tidak dapat dicanggah.
Allah berfirman (maksudnya):
"Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” (Surah al-Mu’min, 40: 60). Aku berdoa tidak putus-putus ketika berada di Raudah. Doa dititip memohon keampunan-Nya dan agar umrah ini diterima sebagai umrah yang mabrur. Berulang kali aku menitipkan doa utamaku pagi ini agar anak bongsuku dapat mengharungi dua semester ACCAnya dan menduduki ujian dengan lulus cemerlang, anak menantu dan cucu kami dipelihara kesihatan yang terbaik dan agar kesemua mereka menjaga solat fardu masing-masing. Silih berganti antara solat tahajud, taubat, solat syukur dan solat hajat. Setiap akhir sujudku, aku berlama bagi membaca pelbagai doa. Ketika solat hajat pula, aku mengharapkan Allah menjemput keluarga abangku, jemaah surau Al Mukminin Panga Puri dan lain-lain kenalan berziarah ke Tanah Suci. Aku pohon keampunan dan dipermudahkan segala urusan. Tidak ada yang dilakukan kecuali mensyukuri nikmat kesempatan berkunjung dan bersolat di dalam Masjid Nabawi.
Aku meninggalkan Raudah jam 2.51 pagi untuk memberi peluang tetamu lain merasai solat dan berdoa di Raudah. Sebelum subuh, aku bergerak untuk mencari lokasi lain bagi menunaikan solat sunat lain dan terus-terusan menadah tangan memanjatkan doa, mengadu sepuas-puasnya …. Kepada Allah.
Ziarah Luar
Kami berjanji untuk balik awal kerana, ingin menyertai rombongan NurMultazam ke ziarah luar. Usai subuh, aku besegera kembali ke hotel untuk bersiap-siap menyertai agenda berikutnya iaitu ziarah luar. Kami menuju ke kafe hotel untuk menikmati sarapan pagi. Jam 7.00 pagi, kami berkumpul di luar hotel bergerak ziarah luar. Cuaca di luar masjid 15 darjah celcius mengikut bacaan pada Telefon bimbitku.
Aku teringat cerita di zamam Rasulullah, puteri Zainab Al Zahra telah memberi suaminya 6 dirham untuk membeli makanan. Di tengah jalan Saidina Ali bertemu dengan seorang lelaki memohon meminjamkan 6 dirham tersebut kepada Allah. Fatimah menangis melihat Ali pulang dengan tangan kosong, “Aku meminjamkan wang itu kepada Allah”, kata Ali. Ali keluar hendak menemui Rasulullah, di tengah jalan dia bertemu seorang badwi yang ingin menjual unta dengan 100 dirham. Ali bersetuju membeli apabila diberitahu dia boleh membayar pada bila-bila masa. Setelah berjalan beberapa langkah, seorang badwi lain menawarkan unta tersebut dengan 300 dirham. Ketika Ali menemui rasulallah di masjid, Nabi Muhammad menerangkan sebenarnya badwi yang dijumpainya itu ialah jibrail dan mikail. Aku mengambil iktibar dari kisah tersebut dengan menukarkan RM kepada Saudi Riyal dengan tujuan untuk bersedekah sepanjang berda di Tanah Suci. Setiap kali bertemu petugas yang membersihkan masjid atau di jalan-jalan raya, aku menghulurkan rial saudi kepada mereka, dan setiap kali rial beralih tangan mereka menadah tangan tanda terima kasih atau mengucapkan syukran.
Jam 8.27 pagi kami berkumpul di lokasi Perjanjian Saqifah Bani Saidah. Kami diterangkan mengenai sejarah di lokasi berkenaan oleh Habib Haji Ali dan Ust Haji Romzi. Di lokasi tersebutlah berlaku perdebatan dan sedikit kemelut perlantikan pengganti nabi selepas wafatnya baginda. Saidina Abu Bakar mencadangkan Saidina Omar menjadi pengganti nabi menakala Sayidina Omar mencadangkan Saidina Abu Bakar. Akhirnya, Sayidina Abu Bakar dilantik sebagai Khalifah Islam yang pertama. Jam 9.08 minit, aku merakam foto berkumpulan di luar pembidang Bani Saidah. Kami menuju ke kawasan muzium Hasmatul Husna dan berpisah dari kumpulan besar untuk menunaikan solat Dhuaa bersama isteri selepas itu. Jam 10.20 pagi, kami menuju ke pintu 16 untuk makan di Restoran Indonesia. Pelbagai menu asia tersedia dengan pilihan perahan oren segar. Berbelanja sekitar SR 32.00 selaku makan tengan haribuat kami berdua.
Aku bukan yang terbaik, tetapi ingin mengajak kalangan ramai menjadi yang terbaik.
Kami tidak terus balik, malahan meneruskan maraton iktikaf di dalam masjid. Kami balik selepas asar untuk membersihkan diri dan mengenakan pakaian baru. Di laluan balik aku membeli sepasang jubah untuk cucuku dan baju buatan Turki. Setakat yang aku perasan di hotel penginpan kami, setiap hari ada sahaja kumpulan jemaah yang baru sampai, dan kumpulan jemaah yang meninggalkan Madinah. Masa jemaah hendak bertolak, mahupun semasa jemaah baru tiba, lobi hotel dipenuhi dengan bagasi sehingga membataskan pergerakan kami. Semasa turun untuk solat maghrib, aku terserampak dan bertegur sapa dengan suami Puan Yati, Haji Shamsul yang baru tiba bersama jemaah pelepasan 7 Disember. Tidak dapat menyantuni beliau kerana bergegas ke masjid. Selepas Isyak, aku singgah di penggurup wang terdekat membuat tukaran RM850.00 bersamaan SR 748.00.
Makan malam di bilik hotel yang dibawa oleh isteri dari dapur hotel. Rutin harian sebelum tidur, aku membaca doa, membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Nas, Syahadat, zikir dan diakhiri dengan Surah Kursi. Jam disetkan ke pukul 3.00 pagi.
Hari ke-5 - Ahad (10 Disember) ziarah luar
Aku termotivasi apabila mengingatkan kata-kata “Hiasilah malam-malam anda dengan dengan solat (tahajud, witir, taubat dan hajat), zikir, tahmid dan takbir. Bukan dihiasi dengan mimpi-mimpi indah kerana hidup ini bukan milik kita, tetapi milik Allah. Semua yang kita miliki hanyalah pinjaman-Nya.” Aku nyahkan rasa mengantukku dan sekitar 1.52 pagi, aku mengejutkan isteri di sebelahku. Rutin membancuh kopi / milo berjalan seperti biasa. Aku juga memasak nasi untuk persediaan makan tengah hari lantas membersih diri. Usai sarapan dengan roti diberi sapuan cheese. Jam 3.00 pagi, di muka pintu bilik aku menadah tangan dan berdoa, “Ya Allah, mudahkanlah perjalanan kami menuju ke Masjid-Mu, kekalkan wuduk kami sehingga kami selesai beriktikaf di masjid-Mu. Jagalah lisan dan jagalah perilaku kami dan permudahkanlah kami untuk bersolat di Raudah”.
Kami bergerak ke masjid dengan bergelungan tangan, namun wuduk tetap terjaga kerana aku menyarung sarung tangan yang dipersiapkan semenjak dari tanah air. Bukan apa, tempat berwuduk di sekitar masjid banyak, tetapi memandangkan cuaca di awal musim sejuk, nescaya kita akan mengiggil usai mengambil wuduk. Usai tiba di pintu 25, kami menuju ke Masjid selepas membaca niat iktikaf.
Aku teringat buku yang kubaca tiga bulan sebelum ziarah, buku tulisan Muhammad Naim Sadoon (Syukur - Terapi Diri Muslim) yang menggarapkan Qada itu terbahagi kepada dua, iaitu qada mubram dan qada mu’allag. Qada mubram sesuatu yang tidak dapat diubah, manakala qada mu’allag boleh diubah dengan doa dan usaha, lantas aku menadah tangan untuk bedoa, usai solat tahaiyatul masjid. Pagi itu aku direzikikan oleh Allah dengan kemudahan memasuki Taman-taman Syurga. Syukur ya Allah …… beberapa rangkaian solat sunat diselangi doa aku tunaikan ketika itu. Aku balik ke hotel selepas solat jenazah. Ku perhatikan suasana begitu padat aliran keluar jemaah meninggalkan Masjid Nabawi. Aku keluar melalui pintu yang ada jam, di mana sebelah kanannya terdapat jualan produk keluaran Madinah Al-Munawarah seperti kurma, sejadah dan cenderamata.
Ziarah luar kedua
Setelah berkumpul di lobi hotel, bas menuju ke Masjid Quba pada jam 7.32 pagi dengan disantuni oleh Mutawif Habib Haji Ali. Masjid Quba, iaitu masjid yang pertama dibina oleh Rasululah SAW dengan dibantu oleh para sahabat, semasa peristiwa hijrah Rasulullah, pada 8 Rabiulawal, tahun 1 Hijrah. Baginda sendiri turut sama mengangkat batu-batuan dalam membantu mendirikan masjid ini. Mulianya masjid ini, barangsiapa yang bersuci dari rumahnya dan kemudian datang untuk solat di sini sebanyak 2 rakaat, pahalanya adalah umpama menunaikan sekali ibadah umrah (hadith riwayat Ibnu Majah).
Bas kami tiba di Masjid Quba pada jam 8.01 pagi. Aku santuni jemaah dengan merakam pergerakan turun bas, perjalanan ke masjid dan rakaman foto berkumpulan. Usai menunaikan solat tahaitul masjid, aku menunaikan solat taubat, solat hajat, sujud syukur dan solat Dhuaa. Kesempatan berharga aku gunakan untuk memanjatkan doa-doa pribadiku dan doa untuk keluarga tercinta.
Suasana di sekitar masjid amat menyenangkan. Agak kelihatan lucu apabila memerhatikan penjaja jalanan memujuk tetamu Allah untuk membeli dagangan mereka. Masing-masing tetamu Rasulullah menghampiri dagangan seperti kurma masak, sejadah, aneka coklet, serban, sejadah dan aneka jualan lain. Aku merakam foto berkumpulan di perkarangan masjid. Aku membeli dua kilo kurma masak, sekilo kurma disedekahkan kepada jemaah sebas denganku, dua dozen ketayap buatan Pakistan dan 4 biji buah delima (SR 2.50 sebiji).
Rombongan kemudian bergerak ke Ladang Kurma. Kami tiba di sana jam 9.05 pagi. Aku merakam foto kandid beberapa jemaah untuk kenangan abadi. Hatiku terusik semasa memerhatikan gelagat jurujual yang bersahut-sahutan menawarkan dagangan mereka. Mengikut takliamat yang aku hadiri, segala perbelanjaan yang kita lakukan semasa ziarah akan digandakan oleh Allah s.w.t. Moga keberkatan dan rahmat-Nya yang akan kami peroleh ketika ziarah ini. Sempat menemankan suriku membeli kurma, coklet dan buah badam.
Ust. Hji Badrus Salam beraksi bersama Ketua rombongan |
Jam 10.06 pagi, Rombongan Multazam tiba di tapak di mana bersemadinya 70 orang syahid Uhud. Perang tersebut berlaku pada 23 Mac 625 Masihi. Di sinilah juga air mata kekasih Allah mengalir akibat syahidnya orang yang dikasihi baginda iaitu pacik Rasulullah Saidina Hamzah bin Abd. Mutalib. Tangan Saidina Hamzah dipotong dan jantungnya diambil oleh Hindun. Antara yang terkorban termasuklah Hanzalah, yang baru sahaja menikah, dan menikmati malam pertamanya tetapi tetap turut berjihad. Dikhabarkan ketika beliau ditemui, jenazahnya dalam keadaan basah, dan Rasulullah memberitahu para sahabat bahawa beliau dimandikan oleh para malaikat kerana ketika beliau datang ke medan perang, beliau dalam keadaan berjunub. Sayu hati kerana terkenangkan peristiwa Saidina Hamzah dan 70 orang syahid di medan pertempuran Uhud. Bayanganku melayang kepada kesungguhan kekasih Allah memimpin tenteranya untuk memenangi Perang Uhud. Ustaz Haji Badru Salam mengguna pembesar suara agar tazkirah beliau boleh didengari oleh 67 orang tetamu Rasulullah.
Landskap permakaman Suhada Uhud |
Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan adalah apabila jenazah Saidina Hamzah dan para suhada hendak dibawa pulang ke Madinah untuk disemadikan, akan tetapi diberitakan gunung Uhud bergegar kerana tidak rela jenazah itu di bawa pergi, lantas semua jenazah para syuhada disemadikan di kaki gunung Uhud atas arahan dari Rasulullah SAW. Sebelum menaiki bas, aku merakam foto beberapa jemaah, foto kandid jemaah menawar barang dan foto berkumpulan di perkarangan makam.
Minyak basupa rasanya parat
Belunu diperam di baldi merah
Perang Uhud sudah tersurat
Perisiwa sayid menggamit sejarah
Usai lawatan, sebaik-baik saja turun dari bas, aku menyimpan barang belian di bilik hotel dan terus mengajak isteriku ke masjid. Aku meneruskan ritual iktikaf di dalam masjid silih ganti dengan misi membaca selawat bagi meneruskan misi awalku.
Selepas asar, aku balik ke hotel untuk mendengar manasik umrah yang disampaikan oleh trio Habib Haji Ali, Ustaz Haji Romzi dan Haji Badru Salam. Aku sempat merakam foto kenangan semasa manasik tersebut. Malamnya, kami berdua mengemas dua beg besar dan mengisi dua beg galas sederhana.
Hari ke-6 - Isnin(11 Disember) ziarah wada
Pagi itu aku terjaga jam 2.02 pagi, walhal jam loceng disetkan pukul 3.00 pagi. Aku bergerak ke masjid secara solo. Aku melalui rutin biasa, membaca doa di pintu bilik, membaca doa memasuki masjid dan berniat iktikaf di dalam masjid. Usai solat tahiyatul masjid, jam 2.31 pagi aku beroleh ruang solat di Raudah. Salam kuungkap terhadap kekasih Allah dengan penuh syahdu. Berat rasanya untuk berpisah dengan kekasih Allah itu dengan doa terakhirku semoga ini bukan ziarah yang penghabisan untuk aku dan isteriku, semoga Allah menjemputku serta keluargaku untuk kunjungan yang akan datang dalam masa terdekat.
Setelah enam hari merasakan nikmatnya beribadah di Masjid Nabawi, akhirnya kami harus meninggalkannya. Tidak terasa hari berlalu sebegitu pantas yang memaksa aku meninggalkan Masjid Nabawi di mana jasad kekasih Allah disemadikan. Akan tetapi pagi itu agak sayu kerana ia merupakan hari terakhir kami berada di Madinah Al Munawarah. Kalau sebelumnya kami bersegera ke masjid, tetapi hari itu aku bergerak solo agak perlahan kerana isteriku akan menyusul kemudian. Aku merenung sepuasa-puasnya apa yang ada di depan mataku. Dari mula aku bergerak meninggalkan hotel, kawasan sekitar hotel, Bangunan Bahuddin, Hotel Fairuz As-Satah, Food Market, pintu 25 yang berbekas di hati, hinggalah ke dalam masjid, rak-rak kasut, tong-tong air zam-zam, semunya meninggalkan bekas yang mendalam di hati ini. Apa yang paling menyayukan hati ialah Raudah. Hati ini berbisik, bila lagi Allah berkenan untuk menjemput kami untuk ziarah ke sini. Dari dataran masjid, aku menyaksikan sepuasnya semua keindahan yang menyelimuti panorama masjid. Ku tenung dalam perasaan yang paling dalam, tiang-tiang indah raudah, tiang-tiang masjid, kubah-kubah, payung automatik dan binaan dalaman yang mengelilingi masjid. Sungguh dalam kerinduan yang bakal kubawa pulang nanti. Aku meninggalkan Raudah pada jam 2.50 pagi dengan perasaan sayu. Aku mengucap salam perpisahan untuk baginda kerana akan berlepas ke Mekah petangnya nanti.
Aku balik ke hotel selepas itu untuk melelapkan mata seketika tetapi terjaga semula pada jam 3.50 pagi untuk memasak air panas dan bersarapan bersama isteri. Kami menapak ke masjid semasa azan pertama dilaungkan. Aku memasuki masjid melalui pintu 22, setelah memastikan suriku menuju ke pintu wanita. Pintu 22 yang di sebelah kirinya ada dinding pemisah antara jemaah lelaki dan wanita. Ruang pejalan kaki menuju ke saf hadapan tidak dipasangkan karpet malah hanya dipasangkan tikar getah kelabu.
Jam 5.15 pagi, beberapa detik sebelum subuh, aku terasa terpukul apabila memerhatikan di sebelah kiri Masjid Nabawi masih banyak lompang (saf) kosong, sedang tetamu Rasulullah lain selesa mengambil saf di ruang belakang-belakang atau mereka berfikir tiada lagi ruang solat hadapan yang masih kosong. Aku sempat merakam foto melalui HP dan berkongsi di W’sap group Nurmultazam. Aku sedih mengenangkan begitu ramai tetamu Rasullah yang enggan ke saf hadapan (bukan jemaah NurMultazam tetapi jemaah beberapa negara lain), walhal selepas sebarang solat, mudah keluar masjid melalui pintu 22 dibandingkan andai kita melalui jalan tengah masjid yang mana usai solat, sukar untuk kita keluar lantaran jemaah masih menunaikan solat-solat lain. Aku teringat melalui pembacaan ku di buku tulisan Prof Hj. Mohd Kamil yang kerap mencari jemaah dari Malaysia dan mengajak mereka untuk solat di saf hadapan.
Usai solat subuh, aku keluar ke kedai buku untuk mencari buku (sejarah Madinah) untuk dijadikan santapan minda ketika penerbangan pulang nanti. Dalam kedinginan jam 6.24 pagi, aku sempat merakam foto dekat perhentian bas dan menghantarnya kepada sahabatku Cikgu Bani Buang (teman mengajar di SMK. Sanzac awal 80-an) yang belum sempat aku temui di Madinah sambil berharap akan bertemu di Mekah nanti. Jam 7.50 pagi, aku masuk semula ke dalam masjid untuk solat Dhuaa. Di bawah payung, aku terserampak dengan jemaah NurMultazam (Arianto - taukeh cermin mata Kota Belud), yang berkongsi cerita kesedihan meninggalkan memori manis sepanjang berada di Masjid Nabawi.Tika meletakkan dahiku di karpet masjid semasa solat dhuaa, aku rasa sebak memikirkan mungkinkah itulah solat dhuaa ku yang terakhir di Masjid Nabawi. Aku berdoa, “Ya Allah, janganlah engkau jadikan kunjungan ini sebagai kunjungan yang terakhir kali, jemputlah aku kunjung ke sini dalam masa terdekat. Andaikata reziki itu masih di langit, turunkanlah kepada aku, andaikata reziki itu masih di bumi ………….”
Pagi itu, sebelum balik ke hotel, aku sempat membuat tukaran wang RM 1,500.00 dengan SR 1,320.00. Jam 10.00 pagi, seperti yang dijanjikan, kami meletakkan beg-beg di luar bilik bagi diangkut oleh pekerja hotel untuk dimuatkan ke dalam bas. Semasa mandi sunat ihram, aku berniat membersihkan diri ini dari perkara nista yang pernah aku lakukan, baik secara sembunyi mahupun secara terang-terangan, baik disengajakan atau buat-buat tidak sengaja. Kami menapak ke masjid untuk solat jamak zohor asar. Aku bersegera balik ke hotel untuk memakai kain ihram. Dua helai tuala putih Izar kain bawah manakala Rida’ nama kain dipakai sebelah atas. Ihram adalah simbolik kepada kain kafan. Hakikat ihram itu bukan pada pakaian yang dipakai dalam jangka masa haji dan umrah sahaja, tetapi pakaian dalam seluruh kehidupan. Pakaian takwa … Hikmah pakaian ihram: lebih menonjolkan kesederhanaan diri, kesucian hati dan jiwa, rendah hati, dan tidak ada unsur sombong serta berlebihan.
Miqad di Bir Ali
Syukur Ya Allah, aku merasakan yang kami berdua terlewat menaiki bas, rupa-rupanya, kami yang terawal. Kami dengan sengaja memilih kerusi hadapan dengan niat di hati kecil ini ialah untuk memudahkan merakam memori penting pergerakan Tetamu Allah. Aku turun semula untuk merakamkan pergerakan tetamu Allah memasukkan bagasi dan semasa menaiki bas. Bas bergerak meninggalkan hotel jam 2.20 petang menuju ke Bir Ali. Aku mengintai menara masjid untuk sekian kalinya. Kadang-kadang ia terhalang apabila bas melalui hotel yang tinggi bertingkat. Aku terus mengintai entah untuk keberapa kali sehingga ia lenyap dari pandanganku. Kali terakhir aku melihatnya ialah pada pukul 2.26 petang. Kerinduanku terhadap Rasulullah semakin menebal, aku sebak apabila kubah Masjid Nabawi tidak kelihatan lagi, namun pedih di hati ini sukar untuk diubatkan. Hati ini dilanda rindu bak ombak laut yang tidak berpenghujung, waima ombak tersebut menemui pasir pantai, namun ia kembali ke lautan untuk membentuk ombak baru. Semakin jauh kota Madinah itu kami tinggalkan, semakin kuat menusuk kerinduan itu hingga hatiku terbungkam menanggung kerinduan yang total.
Siman anak kerana gauk
Siman tapai di dalam talam
Rasa rindu segenep ceruk
Rindu kutanggung semakin dalam
Di Bir Ali, aku mengetatkan kain ihram yang sedikit longgar, risau andai terlondeh di sepanjang perjalanan yang bukan calang-calang jaraknya iaitu lebih 477 kilo meter. Tetamu Allah solat tahayatul masjid dan solat sunat ihram di Bir Ali. Aku sempat merakam memori terpenting di Bir Ali (semua tetamu berfoto dengan pakaian ihram). Di perut bas, mutaif mengetuai bacaan niat umrah.
“Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah swt”, begitulah lafaz niat umrah.
Niat umrah bersyarat:-
“Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah swt, sekiranya aku terhalang oleh sesuatu, ketika itu aku menjadi halal”, niat bersyarat untuk wanita yang khuatir disantuni darah haid semasa ziarah.
Selepas berniat, kini aku terikat dengan 13 pantang larangan ketika dalam ihram seperti berikut:1.Tidak boleh menutup kepala bagi lelaki. 2.Lelaki tidak boleh memakai pakaian berjahit. 3.Tidak boleh menutup muka bagi wanita. 4.Tidak boleh memakai sarung tangan (lelaki dan wanita). 5.Tidak boleh memakai minyak wangi atau bau-bauan sama ada di badan atau pakaian atau pada makanan, minuman atau menghidunya (Lelaki dan wanita). 6.Tidak boleh memakai minyak rambut (lelaki dan wanita) atau janggut. 7.Tidak boleh menangggalkan rambut / bulu (lelaki dan wanita). 8.Tidak boleh mengerat kuku (lelaki dan wanita). 9.Tidak boleh mencabut tanam-tanaman (lelaki dan wanita). 10.Tidak boleh memburu (lelaki dan wanita). 11.Tidak boleh bercumbu (melakukan pendahuluan persetubuhan). 12.Tidak boleh bersetubuh. 13.Tidak boleh berkahwin. Mengahwinkan atau menjadi wakil kahwin.
Dari Bir Ali, aku menyaksikan panorama padang pasir yang tandus, dan bercampur batu-batuan di kiri kanan jalan yang licin dan lurus. Muka bumi yang dipenuhi dengan pelbagai jenis batu kerikil serta pasir, dilukiskan dengan begitu indah sekali. Di kejauhan hanya kelihatan hamparan langit kebiruan tanpa awan. Sesakali ternampak pokok-pokok menghijau dan ladang unta.
Di perut bas, aku membelakangkan keletihan apabila teringatkan Hadis H.R Ahmad Tabrani yang mencatat.” Rasulullah bersabda. Perbaharuilah iman kamu. Apabila sahabat bertanya: Wahai Rasulullah bagaimana caranya untuk kami berbuat demikian. Baginda menjawab : Perbanyakkanlah ungkapan kalimah La Illaha Illallah.” Lantas aku membasahkan lisanku dengan kalimah tersebut. Sesekali aku basahi lisanku dengan zikir kerana Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah bersabda : Barang siapa banyak berzikir kepada Allah, sesungguhnya dia akan terhindar dari sifat munafik. Sepanjang perjalanan, aku manfaatkan tasbih digitalku untuk tujuan tersebut. Aku menukar misi berselawat kepada zikir sesekali diselangi dengan tasbih.
Dalam situasi perjalanan yang panjang, sebahagian kecil tetamu Allah agak keletihan sedikit. Ada antaranya mengalami batuk-batuk kecil. Aku teringat di mana, Aishah meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah bersabda : Seseorang muslim yang tercucuk duri atau apa saja kesusahan atau kesakitan yang seumpamanya akan dituliskan untuknya satu darjat dan dihapuskan untuknya satu dosa. Mudah-mudahan dosa kami terampun agar timbangan pahala kami di akhirat menyebelah ke arah itu. Insya Allah.
Habib Haji Ali dan Ust. Haji Romzi |
Bas yang kami naiki singgah di suatu R&R (Wadi Qadad) untuk berehat dan melepaskan lelah dalam perjalanan jauh yang mengujakan. Tetamu Allah menunaikan solat jamak maghrib isyak. Aku sempat membeli sebotol madu asli Yaman SR 50 sekilo (di Mekah SR 150.00 sekilo). Jam 7.35 malam bas bergerak menuju ke Mekah.
Hari pertama (Tiba di Mekah)
Apabila bas mendekati kota Mekah, mutawif Habib Haji Ali membaca doa memasuki Mekah. Di kejauhan aku memerhatikan menara Abraj Al-Bait, jam yang menjulang angkasa itu dengan dada berombak. Dalam beberapa minit saja lagi lakaran Kaabah yang kupandang di sejadah selama ini betul-betul akan berada di depanku.
Ya Allah! Sesungguhnya Tanah Haram ini, negeri ini, ketenteraman yang ada di dalamnya dan hamba yang ada padanya, semuanya kepunyaan-Mu. Hamba-Mu ini datang menyahut panggilanMu dari negeri yang jauh dengan membawa dosa yang banyak dan amalan-amalan yang buruk, daku pohonkan kepada-Mu sebagai permohonan orang yang sangat berhajat kepada-Mu dan takut kepada azab-Mu agar Dikau terima daku dengan limpahan kemaafan-Mu dan masukkanlah daku ke dalam syurga-Mu, Jannatun Naim,
Ya Allah! Sesungguhnya ini adalah Tanah HaramMu maka haramkanlah dagingku, darahku dan tulangku dari api neraka .
Ya Allah! Selamatkanlah daku dari azab Dikau di hari Dikau membangkitkan hamba-hamba-Mu. Daku memohon dengan-Mu kerana Dikaulah Allah yang tiada tuhan melainkan Dikau Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani! Dikau berselawat dan mengucapkan selamat sejahtera ke atas junjungan besar kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda sebanyak-banyak, selama-lamanya. Itulah doa yang kami baca bersama dengan bimbingan Mutawif kami.
Mekah kota suci tempat Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan dan tempat turunnya wahyu Allah yang pertama untuk kesinambungan agama Islam ke dunia ini. Cuaca di Mekah jauh lebih panas berbanding cuaca di Madinah. Di Mekkah jugalah terdapatnya Kaabah yang menjadi kiblat seluruh umat Islam di planet ini. Ketinggian Kaabah yang dikatakan 39 kaki setengah, di dalamnya terbina tiga tiang dengan keluasan memuatkan 50 orang dewasa dalam satu masa, cukup menyentuh perasaan. Di sini juga ada telaga zam-zam, dan masjid yang terbesar di dunia iaitu Masjidil Haram. Suhu paling sejuk di Makkah ialah 10 darjah (bulan Februari) manakala suhu paling panas ialah 49.8 darjah (bulan Mei - Julai). Setiap tahun seramai 15 juta umat Islam akan berziarah ke kota Mekkah. Ka’bah dinamakan sebagai Bayt al ‘Atiq merupakan bangunan yang dibangunkan pada masa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail setelah Nabi Ismail berada di Mekkah atas perintah Allah SWT.
Setibanya di hotel penginapan (Diyafah Mubarak - Jalan Ibrahim Khalil), kami dibahagi-bahagikan kunci bilik. Kami disantuni untuk menjamah makan malam sebelum berkumpul semula untuk bergerak ke masjid bagi menunaikan tawaf dan Saie. Aku sujud syukur di bilik hotel (bilik 804) sebelum turun semula ke lobi hotel untuk bertawaf. Syukur Ya Allah, sama seperti di Madinah, aku mudah mengesan beg kerana kesemua barangan jemmah dikumpul di lantai 8.
Kami meninggalkan perkarangan hotel jam 11.54 malam. Laungan Labaikallah … dilantun dengan penuh semangat oleh tetamu Allah. Subhanallah… Walhamdulillah… Allahu Akbar… Setelah menatap panorama Masjidil Haram yang disuluhi oleh cahaya malam yang bersinar-sinar. Kami masuk ke masjid melalui pintu 88 yang dikhaskan untuk tetamu Allah yang berpakaian ihram. Alhamdulillah…. Alhamdulillah… Alhamdulillah… aku dapat menyaksikan sendiri keutuhan Ka’bah… Allahu Akbar… Allahu Akbar… Allahu Akbar… Masya Allah ……. Saat memandang bangunan kiblat umat Islam seluruh dunia, secara spontan lidahku mengungkapkan “Ya Allah, ampunkan segala dosa-dosku Ya Allah, ampun dosa kedua ibu bapaku dan ampun dosa anak isteriku. Masukkanlah kami ke dalam syurga-Mu tanpa dihisab dan kurniakanlah kami dengan umrah yang mabrur”. Pengalaman luar biasa dan tak mungkin terlupakan adalah saat saat mendepani Ka’bah di tahun 2017.
“Allaahumma yaa rabbal baitil’atiiq aatiq riqaabanaa wariqaaba aabaa inaa waummahaatinaa wa ikhwaaninaa wa aulaadinaa minan naari yaa zaljuudi walkaramani walfadli walmanni wal’ataai wal ihsaan”. Dengan mata berkaca aku berdoa, “Ya Allah yang memelihara Ka’bah ini, merdekakanlah diri kami, ibu bapak kami, saudara-saudara dan anak-anak kami dari siksa neraka, Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang mempunyai keutamaan dan anugerah. Sejahterakanlah diri kami, hapuskanlah dosaku, tinggikanlah darjatku, perbaiki segala urusanku, bersihkanlah hatiku, terangilah kuburku.”
Intan berkaca berkilau sinarnya
Timun benggala di para raga
Tembok air mata ku bina sekukuhnya
Namun bentengnya merekah akhirnya
Aku hilang rasa malu. Tanpa disedari kolam air mata sudah tidak dapat dipertahankan lagi tatkala mendepani Kaabah. Mujurlah aku antara yang berada di barisan hadapan sekali. Demi menyantuni keagungan Kaabah, aku tidak terniat untuk berselfi di depannya selagi belum selesai bertahalul. Dada beralun dan hati semakin sebak. Berdebar, gembira, teruja, terharu, sedih, sayu silih berganti, lantaran Allah masih memberi peluang kepadaku dan suriku untuk mendepani Baitullah-Nya. Semasa mengerjakan tawaf, sememangnya aku, dan rombongan fokus dengan apa yang dilakukan. Tiap kali melalui kawasan Maqam Ibrahim, terasa hati ini ingin sekali untuk mendekatinya. Aku membayangkan betapa sukarnya nabi Allah itu menyusun batu-batuan untuk membina Kaabah. Berdiri bulu romaku kerana jalan mengelilingi Baitullah ini pernah dijejaki oleh kekasih Allah dengan tujuan yang sama. Aku teringat blok yang kubaca yang menyatakan, dalam tawaf kegiatan berputar yang melambangkan berputarnya alam semesta, juga jumlah putaran sebanyak 'tujuh' yang melambangkan bilangan 7 hari dalam seminggu, 7 lapis langit dan bumi, dan 7 lapis surga dan neraka. Ka'bah sebagai pusat tawaf dikatakan dikelilingi puluhan ribu malaikat (sebagian riwayat menyebutkan 70.000 malaikat) yang bertawaf setiap harinya.
Aku beristilam setiap kali melintasi lokasi Hajrul Aswad, merendahkan diri sekerdil-kerdilnya di hadapan kebesaran Allah dan berdoa memohon diampunkan dosa acapkali melalui Rukun Yamani. Sewaktu istilam, suaraku hampir tidak terkeluar ditenggalami sedu-sedan yang berpanjangan. Sukar menukilkan rasa yang terpendam nun jauh di sanubari hamba-Mu yang berdosa ini. Aku terbius dengan suasana khyusuk sehingga aku tidak sedar siapa yang memaut beg gelasku dari belakang (isteriku atau tetamu lain). Aku maju tanpa menoleh dengan mengikuti lafaz dzikir yang dilantunkan oleh Habib Hji Ali. Doa tidak putus-putus dibaca dalam getaran suara antara keluar dengan tidak. Masing-masing terbius melayan perasaan dengan mata yang bergenang, sesekali aku mengesat air mata kerana air jernih itu membataskan pemandanganku.
Syukur Ya Allah, aku adalah diantara ratusan ribu manusia sedang bertawaf, meminta dan berharap kepada Engkau, lihatlah aku dan isteriku Ya Allah, dengarkanlah permohonan kami. Aku hanyalah seorang hamba yang tak memiliki apa-apa, seorang hamba yang jauh dari istimewa di hadapan-Mu namun aku berusaha untuk menjadi yang terbaik di hadapan-Mu. Ya Allah, aku menaruh sejuta harapan agar Engkau mengampuni dan meredhai aku. Jadikanlah khusnul khatimah sebagai penutup nafasku dan masukkanlah aku dan keluargaku ke dalam Syurga-Mu tanpa dihisab. Kurniakanlah kami dengan umrah yang mabrur Ya Allah. Entah berapa kali kalimah itu ku ulang-ulang dan ulang. Aku mendongak ke langit terbuka sambil menadah tangan. Allahu Akbar …….. Tidak terasa aku telah menghabiskan 7 keliling tawaf sambil diisi dengan selawat dan doa yang tidak putus-putus memohon keampunan dari Allah yang esa. Mataku tidak terlepas dari memandang bangunan Baitullah.
Usai Tawaf, kami melakukan solat sunat tawaf di Multazam. Itulah rokuk, sujud pertamaku di Masjidil Haram. Usai solat, Tetamu Allah NurMultazam mencari lokasi air zam-zam sebelum bergerak ke Safa untuk melakukan ibadah Saie. “Allahumma inni as luka ilman naafia Warizqan waasi’a wasyifaan kulli daa” . Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, reziki yang luas dan penawar bagi segala penyakit. Itulah doa yang kubaca semasa meminum air zam-zam usai solat sunat tawaf.
Sejuta kesyukuran terhadap Allah kerana meredhakan aku, dan isteri untuk mengunjungi tanah suci di tahun 2017 ini. Aku berdoa “Ya Allah, terimalah umrahku sebagai umrah yang mabrur, terimalah solat aku, amalanku, sedekahku dan jadikanlah semua itu sebagai bekalku di akhirat nanti. Masukkanlah aku dan keluargaku ke dalam Syurga-Mu tanpa dihisab Ya Allah”. Aku mendongak ke atas di mana terpampang langit yang kosong. Mudah-mudahan betul apa yang pernah aku dengar dari ilmuan agama yang mengatakan, “Di Masjidil Haram, doa akan terus sampai kepada Ilahi kerana langit kosong tiada penghadangnya, tiada langsirnya dan tiada sempadannya.”
Hari ke-2 di Mekah - (12 Disember 2017- Selasa) - Bebas
Mengikut bahasa, Saie berasal dari perkataan ‘Sa’yu’ yang membawa makna berusaha. Iaitu betapa berusahanya bonda Nabi Ismail berulang-alik antara Bukit Safa dan Bukit Marwah untuk memperoleh air. Hikmah sa'ie: lambang kasih sayang seorang ibu pada anaknya. Jema'ah umrah wajib mengambil ibrah perjuangan Siti Hajar (isteri Nabi Ibrahim as) ketika mencari air dengan berlari antara bukit Safa dan Marwah sebanyak 7 kali.
Jarak antara kedua bukit tersebut ialah lebih kurang 420 meter. Semasa menuju ke permulaan tawaf (Bukit Safwa), aku berdoa:“Bismillahirrohmaanirrohiim. Innas safaa walmarwata min sya’aairillah. Faman hajjal baita awi’tamara falaajunaaha ‘alaihi ayyatawaafa bihimaa wamantatawwa’akhairan fa innallaaha syaakirun ‘aliim”. Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Safa dan Marwah sebagian dari syiar tanda kebesaran Allah. maka barang siapa yang beribadah haji dan umrah ke Baitullah maka tidak ada dosa baginya mengerjakan sai diantara keduanya. Dan barang siapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaan hati maka sesungguhnya Allah Maha Penerima Kebaikan lagi Maha mengetahui.
Bukit Safa bukan sekadar tempat permulaan untuk ibadah saie. Antara kisah menarik di sini adalah di bukit Safa ialah
1) Di sinilah rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam yang merupakan tempat pertemuan kaum Muslimin yang pertama semasa zaman Islam disebarkan secara sembunyi. Di rumah ini jugalah tempat Saidina Umar Al-Khattab menyerah diri untuk memeluk agama Islam selepas beliau mendengar adik dan adik iparnya membaca surah Taha ayat 1 hingga 5.
2) Di sini tempat Rasulullah mengumpulkan kaum Quraisy dan bertanya, "Andai aku katakan ada musuh yang datang di balik bukit ini, bersedia untuk menyerang kamu, adakah kau percaya?". Kesemua pemimpin besar kaum Quraisy mempercayai kerana Rasulullah sememangnya terkenal sebagai Al-Amin iaitu amanah. Namun apabila Rasulullah menyeru mereka kepada Islam, mereka mencemuh dan berpaling tadah. Semasa peristiwa inilah Abu Lahab yang tersangat marah dengan seruan Rasulullah itu, mengibas-ngibaskan tangannya dek kerana terlalu benci dengan seruan itu, hingga turun ayat surah Al-Lahab yang mengutuk perbuatannya itu.
3) Pada zaman Rasullah para sahabat, merasa keberatan untuk menunaikan ibadah saie kerana dahulunya bukit Safa dan Marwah dicemari dengan berhala, hingga mereka khuatir perbuatan saie itu umpama menyamai perbuatan jahiliyyah, hinggalah Allah membenarkan ibadah ini seperti yang tertulis di dalam surah Al-Baqarah ayat 158 "Sesungguhnya Safa dan Marwah itu sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa menunaikan ibadat haji ke Baitullah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie antara kedua-duanya. Dan sesiapa suka rela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui." Itulah antara ayat-ayat yang dilantunkan oleh setiap jemaah yang berulang-alaik antara Safa dan Marwah ketika bersaie.
4) di sinilah tempat Daabatul Ard atau haiwan yang akan muncul pada akhir zaman nanti. Di riwayatkan rupanya seperti biawak tetapi boleh berdiri dengan dua kaki, dan haiwan ini akan mampu membezakan dan berkata, " Engkau Muslim, dan engkau kafir".
Di lokasi lampu hijau, jemaah lelaki sunat berlari anak dan membaca doa berikut : “Rabbigfir warham wa’fu watakarram watajaawaz’ammaa ta’lam, innaka ta’lamu maalaa na’lam. Innaka antallaahul a’azzul akram”. Ya Allah ampunilah, sayangilah, maafkanlah, bermurah hatilah dan hapuskanlah apa-apa yang Engkau ketahui dari dosa kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui apa-apa yang kami sendiri tidak tahu. Sesungguhnya Engkau Ya Allah Maha Tinggi dan Maha Pemurah. Nampak seperti mudah, tetapi ibadah saie memerlukan kekuatan fizikal terutamanya kaki. Lantai yang sejuk dan perjalanan jauh dari tanah air dalam suasana duduk di pesawat membuatkan kaki terasa lenguh. Itu sedikit pun tidak memberi kesan kepada semangat kami Tetamu Allah. Kami bergerak dengan santai sambil membaca doa-doa tertentu atau sebahagian kami hanya mengikuti tertib yang dibacakan oleh mutawif pengiring kami.
Syukur semuanya berakhir dengan baik dan kami tamatkan ritual umrah dengan bertahalul pada jam 1.58 dinihari. Semasa bergunting, aku hulurkan kepalaku kepada Habib Haji Ali sambil membaca doa berikut : “Allaahummaj’al likulli sya’ratin nuuran yaumal qiyaamah”. “Ya Allah jadikanlah untuk setiap helai rambut (yang aku gunting) cahaya pada hari kiamat.” Allah Maha mengetahui segalanya yang di luar mahupun di dalam isi hati. Tanpa aku sedari, aku meniitiskan air mata. Aku tidak mampu membendungnya, lantaran teringatkan segala dosa dan kesalahan. … . Allahumma hajjan mabruranwa sa’yan masykuran wa dzamban maghfuran wa amalan shalihan muttaqobbala, amin. Selesai tahalul, kami berhimpun di kawasan batuan Marwah untuk membaca doa. Jam 2.28 pagi, kami bergerak pulang ke hotel penginapan untuk bertukar kepada pakaian biasa menanggalkan kain ihram. Sebelum merebahkan badan, jam disetkan ke 4.20 untuk kembali ke masjid.
Jam 4.38 pagi, aku terjaga untuk mandi dan memasak air untuk mengalas perut. Rutin di Madinah diteruskan di Mekah. Kami berdoa di balik pintu sebelum meninggalkan bilik 804. Jam 5.23 pagi, kami masuk ke masjid melalui pintu 76 (ruang berhawa dingin) dan membaca doa iktikaf. Usai subuh, jam 6.21 pagi, dan solat jenazah, bermula pagi ini dan seterusnya aku bertekad dengan misi baru iaitu mengqada solat selepas solat fardu. Aku dan suriku keluar masjid melalui pintu 82 menuju ke Restoran D’Saji Kompleks Safwah.
Jam 6.50 pagi, kami masuk semula ke masjid untuk rutin solat tahaiyatul masjid sementara menunggu waktu dhua. Usai solat dhuaa, aku menunaikan solat taubat dan solat syukur. Kami meninggalkan masjid melalui pintu King Abdul Aziz. Setibanya di bilik, aku menanak nasi, mencuci sedikit pakaian dan membersihkan diri. Jam 11.21 pagi, usai makan tengah hari berlaukkan ikan tin tauchu masin yang kubekal dari tanah air, kami berdua bertolak ke masjid melalui pintu wanita.
Usai solat fardu, jenazah, solat sunat baadiah dan mengqada solat, aku dan suriku tawaf sunat di lantai dua kerana ingin merasai seperti apa yang disebut berulang-ulang dalam surah Ar-Rahman, Nikmat yang mana satukah yang dapat didustakan.” Aku bukan yang terbaik tetapi ingin mengajak anda pembaca berfkir di luar kotak kebiasaan. Aku merasakan nikmat membaca berulang-ulang perkatan, “Rabbana atina fiddunia …… hingga akhir, berulang-ulang-ulang kali ketika tiba di Rukun Yamani jika dibandingkan andai bertawaf berdekatan Baitullah yang hanya memungkinkan kita membaca ayat tersebut dua kali sahaja. Bayangkan berapa banyak ayat penting tersebut boleh dibaca andai menglilingi Baitullah sebanyak tujuh kali. Kami mengakhiri tawaf pada jam 2.43 petang (setelah 2 jam 12 minit bertawaf). Kami meneruskan maraton iktikaf di lantai satu masjid hingga melangkau ke isyak.
Jam 7.02 malam, ketika menunggu solat isyak, aku disantuni oleh Tuan Arianto dan rakan-rakan ketika sedang beriktikaf di lantai dua. Setelah berlama di masjid, usai Isyak, kami balik ke rumah penginapan dan singgah di kafe hotel, tapau makan malam bawa ke bilik. Kami mencuci sedikit pakaian dan menggosok baju yang akan dipakai hari esoknya. Membaca doa sebelum tidur, Al-Ikhlas tiga kali, Al-Falak, An-Nas dan membaca syaadah sebelum melelapkan mata. Jam ditargetkan locengnya jam 4.20 pagi.
Hari ke-3 di Mekah- (13 Disember 2017- Rabu)- Miqat di Ji’ranah
Semangat meleburkan keletihan serta azam yang kuat membolehkan kami terjaga awal pagi sebelum loceng berbunyi. Membancuh minuman dan memakan sedikit roti manis bersama isteri sebelum bertolak ke masjid pada jam 5.02 pagi setelah mandi sunat ihram. Masih ada tenaga di mana di dalam hati masing-masing tidak mahu melepaskan peluang yang sudah terhidang di depan mata kerana kelebihan berada di Masjidil Haram ialah bersolat tanpa limitasi, bermaksud tiada larangan bersolat di dalamnya. Aku bersolat tanpa mengira masa, disilih ganti dengan zikir, tahmid dan berdoa. Rutin keluar seawal pagi dari hotel menuju ke masjid, beriktikaf, sesekali keluar makan di Felda D'saji Latai dua Safwah Tower dan sesekali minum tea merupakan amalan sinonimku ketika ziarah.
Di muka pintu bilik aku menadah tangan dan berdoa, “Ya Allah, mudahkanlah perjalanan kami menuju ke Masjid-Mu, kekalkan wuduk kami sehingga kami selesai beriktikaf di masjid-Mu. Jagalah lisan dan jagalah perilaku kami dan permudahkanlah kami untuk bersolat di dekat Baitullah-Mu. Hari ini kami akan bermiqad Ya Allah, engkau sempurnakanlah umrah kami”. Setibanya di masjid, melalui pintu 81 dan keluarpun di pintu yang sama. Kami gemar menggunakan pintu tersebut kerana penjaga wanita masjid tidak menyelongkar beg sandang kaum hawa.
Jam 6.13 pagi, kami bergerak ke Restoran Felda D’ Saji untuk sarapan pagi dan balik ke hotel selepas itu. Kami sepakat untuk tidak menyertai lawatan ke Jabbar Rahmah dan bermiqad di Ji’ranah, bahkan menaiki teksi ke Tanaim. Ji’ranah merupakan tempat miqat umrah yang paling afdal bagi penduduk Makkah, juga merupakan miqat paling tinggi darajatnya dibanding miqat yang lain. Ini menurut kebanyakan pendapat para ulama. Rasulallah saw sendiri melakukan umroh dari Ji’ranah. Di sinilah juga tempat Rasulallah saw berihram untuk melakukan umrahnya yang ke tiga kalinya. Ibdu Abbas meriwayatkan bahwa bahwa Rasulallah saw melakukan umrah selama hidupnya sebanyak 4 kali, pertama umrah Hudaibiyah, kedua umrah Qadha’, ketiga umrah yang dilakukanya dari Ji’ronah sepulangnya dari perang Hunain, keempat umrah pada saat melakukan Haji wada’.
Menunggu bas untuk ziarah luar |
Usai tiba di haram jam 9.40 pagi, aku mencari air untuk membasuh selipar bagi membolehkan memasukkannya ke dalam beg sandang. Aku mengikuti jejak Habib Haji Ali yang bermastautin di Mekah di mana beliau tidak gemar membawa selipar ketika mendekati Baitullah. Menurutnya, selipar itu diserahkan saja kepada Allah, andaikata hilang, ia bukan dicuri tetapi digunakan oleh jemaah lain untuk ulang alik ke masjid. Kami menuju ke Lampu hijau untuk menunaikan Tawaf yang purata satu pusingan hanya mengambil masa 4 minit. Nikmat tawaf di sebelah pagi, ketika jemaah belum begitu ramai di lantai Baitullah, juga nikmat pengubahsuaian kawasan tawaf Masjidil Haram di mana kawasan tawaf tidak boleh dimasuki oleh jemaah yang tidak berihram.
Pabila aku teringat ungkapan, perbanyakkanlah berbuat kebaikan dalam perjalanan selain sabar dan tawakal kepada Allah SWT. Berdoalah di setiap kesempatan kerana doa orang musafir seperti aku mustajab sebagaimana disebutkan dalam hadis: “Tiga doa yang mustajab dan tidak diragukan: doa orang yang dizhalimi, doa orang yang sedang bepergian, dan doa orang tua kepada anaknya.” (HR. Tirmidzi). Sementelah aku berada di dalam Masjidil Haram, aku membasahkan lisanku dengan doa, usai solat sunat tawaf. Kami menuju ke Safwa dan memulakan saie. Usai tahalul Jam 11.25 pagi, kami bergerak ke lantai satu untuk solat zohor.
Usai solat zohor, solat jenazah, qabliah dan solat qadha, dengan berpakaian ihram, kami bergerak untuk makan tengah hari di Felda D’ Saji. Semasa makan, aku menerima kiriman W’app dari Cikgu Bani untuk bertemu di lokasi D’ Saji. Kami sempat berbual waima seketika (hampir sejam) tetapi cukup bermakna. Kuhidangkan beliau dengan secangkir teh, sambil kami bertiga mengimbau kenangan silam tatkala sama-sama bertugas di SMK. Sanzac seketika dahulu. Hampir 30 tahun tidak bertemu, akhirnya kami dipertemukan di bumi ambiya. Syukur Ya Allah, sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan tetamu-Nya pulang dengan kecewa. Hajat kami untuk bertemu di Madinah tetapi disantuni-Nya di Mekah. Aku meminta diri dari beliau kerana bergegas pulang untuk menukar kain ihram kepada jubah biasa. Di perjalanan balik, aku singgah membeli baju buat menantuku, songkok untuk pakaian pribadi dan 60 tasbih untuk kenduri cucu kami sekembalinya ke tanah air nanti.
Kami menapak sebelum solat asar dan balik selepas solat fardu isyak, solat jenazah, solat taubat dan solat qadha isyak. Usai makan malam dengan menapau makanan dari kafe hotel, kami beristirehat. Waktu dalam keadaan masih anrata sedar dan tidak, tasbih tetap digentel demi menlunaskan misi berdzikir ketika berada di Mekah menggantikan selawat.
Hari ke-4 di Mekah- (14 Disember 2017- Khamis) Miqad di Hudaibiyah
Ketika umrah Disember ini, majoriti jemaah datang dari Pakistan/India/Bangladesh dan sebilangan negara-negara Arab mewarnai landskap sekitar Masjidil Haram. Mereka adalah jemaah dari penduduk Islam teramai di dunia, dan kehadiran mereka menjadikan hati ini terbungkam lantaran kita dipersatukan dengan satu matlamat, iaitu ziarah menghadap ke kiblat yang sama (Baitullah). Biasanya kawasan luar Masjidil Haram dipenuhi oleh jemaah dari Pakistan, India dan Bangladesh.
Rutin harian diteruskan apabila terjaga seawalnya untuk memasak air (jam 3.38 pagi), menanak nasi, menghiris timun dan membuka sardin untuk bersahur dengan isteri. Sebelum sahur, kami mandi sunat ihram untuk persediaan bertawaf. Usai sahur, kami meninggalkan hotel jam 5.08 pagi, dalam suasana tenang. Kilauan lampu limpah yang terang benderang dan indah menyebabkan Masjid Haram bergemerlapan indah. Kami dan tetamu Rasulullah lain, berbondon-bondon menapak ke masjid. Kami berselilih dengan orang yang pulang dari masjid dengan berpakaian ihram. Kami sepakat untuk memasuki pintu 81 dan menapak ke dataran Baitullah.
Saat azan dikumandangkan, aku memerhatikan gelungan lampu hijau di Zam-zam Clok Tower menyala dengan cantik. Subuh di Masjidilharam yang cukup menenagkan. Terasa dekat sangat diri ini dengan Allah apabila dapat bersolat berdekatan dengan Kaabah, bertawajuh menghadapnya menjadikan diri merasa terlalu kerdil. Berbilion umat Islam bersolat dari pelbagai penjuru dunia menghadap ke Kaabah, dan aku pula disantuni-Nya bersolat betul-betul di hadapan bangunan suci ini. Kedinginan tiupan bayu di Masjidil Haram tanpa bumbung di pagi itu menyusup ke segenap roma ubun-ubunku. Ku dongak ke atas langit kosong, syukur Ya Allah, engkau pilih aku dan suriku antara ribuan yang Engkau izinkan bersolat di rumah suci-Mu.
Pagi ini, usai subuh kami tidak terus meninggalkan dataran Baitulah, malah menapak ke lantai satu merisik pintu tempat di mana Rasulullah menerima wahyu. Jam 6.41 pagi, kami duduk di tepi pagar agar tidak mengganggu jemaah yang sedang bertawaf. Di lokasi bawah dataran Kaabah, kelihatan pekerja sibuk membuat pengubahsuaian dataran Kaabah. Tangan menggentel tasbih untuk meneruskan maraton zikir. Kami berlama dan pelbagai doa aku dan isteri baca. Masing-masing terbius dengan suasana tenang damai di pagi hari. Kami hanya bergerak ketika sekumpulan pembersih menyimbah sabun untuk membersihkan lantai masjid dan kembali ke lokasi asal untuk menyambung rutin doa.
Mangga padar jagus kelat,
Baju damal bertahi lalat,
Hanya pada-Nya doa kupanjat,
Moga tercapai seantero hajat.
Pagi ini kami kembali ke hotel lebih awal kerana dijanjikan untuk berkumpul di lobi hotel bagi tawaf dan seterusnya berdoa di Hijir Ismail. Jam 8.32 pagi, kami bergerak dan berkumpul di luar Masjidil Haram, manakala jemaah wanita bergerak lebih awal dari lelaki. Kami bergerak dalam kumpulan dan mula bertawaf. Aku tidak ingat di pusingan ke berapa di mana berjaya merapat dan mefokuskan pandangan ke dalam kaca, nun kelihatan bekas tapak kaki Nabi Ibrahim yang dikatakan 27 cm panjang dan 14 cm lebar. Kami terpisah kepada dua kumpulan di mana aku bersama Ustaz Haji Badrusalam dan sekumpulan lain bersama Ustaz Haji Romzi. Istilam demi istilam, hingga tidak terasa kami melengkapkan pusingan tawaf yang membolehkan aku tidak melepaskan pandanganku ke arah batuan berkelambu hitam yang dikelilingi dengan lakaran khat indah keemasan. Usai mengenapkan pusingan ke-7, aku berada di depan dan mengisyaratkan agar rakan jemaah lain untuk memegang erat tembok Hijir Ismail dan bergerak secara perlahan. Akhirinya dalam kepadatan yang terkawal, kami menyusup masuk ke dalam Hijir. Kami mengambil ruang belakang yang sedikit longgar bagi membolehkan menunaikan solat dhuaa, solat taubat, solat syukur dan solat hajat. Antara rutin doa dibaca ialah diampunkan dosa, di masukkan ke Syurga Allah bersama keluarga tanpa dihisab, dikurnia dengan umrah yang mabrur, dimatikan dalam Khusunal Khatimah, dan memohon agar jemaah surau Al-Mukminin Pangsa Puri, keluarga abang kandung, rakan BTPN Sabah dan semua kenalan menerima jemputan Allah untuk bertandang ke Tanah Suci. Ketika kami meninggalkan Hijir, aku melihat kumpulan Haji Romzi di depan kami yang baru mencari lokasi solat. Usai keluar meninggalkan Hijir, kami mencium kelambu Kaabah dan berundur ke Multazam untuk solat sunat tawaf jam 10.18 pagi. Aku bukan yang terbaik dan aku juga tidak berniat untuk menjadi wartawan di lokasi, tetapi sekadar berkongsi pengalaman manis tika tawaf, berdoa di Hijir, mencium kelambu Kaabah dan memanjatkan doa yang panjang ketika berada di Multazam.
Aku tidak terus balik, malahan dengan pakaian ihram aku beredar ke lantai satu menghadap Kaabah untuk ritual solat-solat sunat dan berselang dengan pelbagai doa. Kami berdua bertemu di suatu lokasi dan membuat keputusan untuk tidak menyertai lawatan ke Ladang Unta, Muzium Mekah dan miqad di Hudaibiyah pada petangnya. Aku sekadar mengimbau sedikit sejarah HUdaibiyah. Hudaibiyah merupakan sebuah sumur yang terdapat di barat daya kota Mekah iaitu sekitar 22 km. Di sini termeterai Perjanjian Hudibiyah yang berlaku sekitar tahun 628 Masehi. Peristiwa ini terjadi ketika Nabi Muhammad SAW beserta rombongan kaum muslimin yang hendak melaksanakan umrah. Walaupun Nabi Muhammad SAW tahu bahwa orang-orang Quraisy akan menghalangnya, dan akan terjadi pertempuran bersenjata. Menurut riwayat imam Bukhari pada saat perjanjian Hudaibiyah kaum Muslimin membawa peralatan senjata dan peralatan perang untuk mengantisipasi penyerangan yang akan dilakukan oleh kaum musyrikin. Saat rombongan kaum muslimin berjumlah sekitar seribu empat ratus orang tiba di Dzulhulaifah, mereka melangsungkan solat serta berihram untuk melaksanakan umrah. Saat melakukan umrah rombongan juga membawa 70 ekor unta yang dijadikan sebagai hadyu. Perjanjian adalah untuk mendamaikankedua-dua seteru dan umrah pada tahun tersebut dibatalkan.
Inti isi Perjanjian Hudaibiyah adalah sebagai berikut:
1.Gencatan senjata antara Mekah dengan Madinah selama 10 tahun.
2.Warga Mekah yang menyeberang ke Madinah tanpa izin walinya harus dikembalikan ke Mekah.
3.Warga Madinah yang menyeberang ke Mekah tidak boleh kembali ke Madinah.
4.Warga selain Mekah dan Madinah, dibebaskan memilih untuk berpihak ke Mekah atau Madinah.
5.Pada saat itu, Nabi Muhammad SAW dan pengikutnya harus meninggalkan Mekah, namun diberi izin kembali lagi ke Mekah setahun setelah perjanjian itu, dan akan disantuni tinggal selama 3 hari dengan syarat hanya membawa pedang dalam sarungnya (maksudnya membawa pedang hanya untuk berjaga- jaga, bukan digunakan untuk menyerang).
Sejarah Muzium Mekah yang aku baca memaparkan (Museum Haramain), Muzium Dua Tanah Suci, yang terletak di kawasan bukit Ummul Joud, Mekkah. Muzium yang dibangun oleh Raja Fahd bin Abdul Aziz ini juga terkenal dengan The Exibithion of Two Holy Mosques Architecture. Di muzium ini kita boleh mempelajari seluk beluk dan sejarah Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. Muzium ini menyimpan banyak bahan purba bahan-bahan bersejarah dari peninggalan dua masjid Al Haram dan Masjid Nabawi, antaranya pintu Masjid Nabawi, bingkai Hajrul Aswad, tali pintal telaga Zam-zam, dan pelbagai lagi.
Usai solat dzohor dan solat qaha, aku bertemu dengan isteriku yang menunggu di laluan masuk ke Kompleks Safwah. Masih dalam pakaian ihram, aku menemankan isteri untuk membeli jubah beliau sendiri dan anak-anak. Ketika berbual panjang dengan jurujual jubah, beliau sempat bercerita mengenai kekacakkan Fatah Amin dan kecantikan Fazura. Ketika aku meragui kenyataannya, beliau segera menunjukkan bukti dengan menyeret telefon bimbitnya dan menayangkan foto selfi beliau bersama Fatah Amin. Aku beredar ke Mini Market berdekatan dan membelanjakan SR54.00 untuk pelbagai makanan untuk berbuka, choklat untuk melunaskan pesananan anak bongsu dan masuk semula ke masjid untuk solat asar. Hanya selepas solat asar kami balik ke hotel dengan ayam Broast yang dibeli di laluan pulang.
Kami bergerak ke masjid dengan bekalan untuk berbuka. Selepas berbuka, kami sepakat untuk beriktakaf di pintu 81, 82 dan 83. Usai isyak, di laluan balik aku membeli ais krim, roti dan cheesa, manakala suriku terus balik ke bilik. Kami makan di bilik dengan nasi dan ayam broast. Alhamdu Lillah rutin hari itu terlaksana dengan lancar, dengan memeriksa jumlah dzikir hampir ke sasaran. Sebelum tidur jam loceng disetkan ke pukul 4.00 pagi esoknya.
Hari ke-5 di Mekah- (15 Disember 2017- Jumaat)- Bebas
Rutin harian diteruskan apabila terjaga seawalnya untuk memasak air, menanak nasi dan bersarapan dengan roti manis. Sesekali keluar makan di D'saji dan pulang semula ke hotel lewat malam hanya untuk merehatkan badan dan membersihkan diri. Itulah antara rutin di saat-saat akhir yang berbaki beberapa hari sebelum meninggalkan bumi ambiya ini. Jam 2.11 pagi, mata ini tidak mahu meneruskan lelapnya. Usai bersiap, kami meninggalkan hotel jam 3.32 pagi, dalam suasana berbaur pelbagai rasa. Jari-jemari suriku ku genggam erat kerana aku memakai sarung tangan. Hari Jumaat merupakan cuti umum bagi kerajaan Saudi. Di pintu bilik, aku membaca doa sambil diaminkan oleh isteriku. Kilauan lampu limpah yang terang benderang dan indah membius perasaan kami dan sudah pasti suasana tersebut akan kurindui tatkala kembali ke tanah air. Di laluan ke masjid dipenuhi dengan jemaah tempatan dan jemaah berziarah. Hotel penginapan juga mula sesak dengan tempahan insan-insan yang tidak jemu-jemu datang untuk bertawajuh terhadap maha pencipta. Di laluan ke masjid, kedai-kedai terus dibuka, malahan kedai tersebut dibuka 24 jam, tidak seperti di Madinah. Kami menapak ke masjid berselilih dengan orang yang pulang dari masjid dengan berpakaian ihram. Aku membaca doa masuk ke masjid dan membaca doa iktikaf.
Batang biabas buat pengumpil
Umpil bedangan anak taripas
Selagi mata masin berkebil
Beribadahlah sehabis puas
Hobiku semasadi Mekah itu ialah beralih-alih tempat bermunajat di Masjidil Haram. Sering kami memilih sudut di mana aku dapat melihat Kaabah secara terus. Letih berzikir, aku berjalan mencari tempat baru untuk solat-solat sunat. Alangkah seronoknya, tiada waktu tahrim atau waktu yang diharamkan solat di Masjidil Haram, waima selepas waktu subuh dan selepas Asar. Solat taubat, solat hajat, dan solat sunat lain ditunai silih berganti, dengan harapan dapat menebus kealpaanku selama hampir 60 tahun, kerana asyik mengejar dunia yang tidak berpenghujung. Terasa dekat sangat diri ini dengan Allah apabila dapat bersolat berdekatan dengan Kaabah, bersujud di bawah pintunya menjadikan diri merasa terlalu kerdil. Air zam-zam menjadi minuman utama di sini. Setiap kali berkunjung ke masjid, tekak ini dibasahi dengan air zam-zam. Kadangkala, kepala dan muka juga ditapus dengan air zam-zam.
Waima dalam himpitan oleh mereka yang berbadan besar dari Timur Tengah, Afghanistan, Pakistan, Chehya, Russia, Afrika dan sebagainya, dengan rahmat-Nya kami dapat menyelit masuk ke dataran Kaabah. Sementara menunggu waktu subuh, aku sempat menunaikan solat tahajud, Qada subuh, solat taubat dan solat hajat diselang-selikan dengan doa dan meneruskan rutin dzikir. Di sini tiada siapa yang ambil kisah, masing-masing membawa haluan masing-masing. Tatkala azan subuh dimumandangkan, rata-rata jemaah mendongak ke arah lingkaran jam yang memantulkan cahaya hijau. Dikatakan cahaya itu menjulang ke angkasa dan boleh dilihat beberapa kilometer dari haram. Di rakaat pertama, tetamu Allah disantuni oleh Imam dengan membaca surah As-sajadah, ayat yang kerap di baca sewaktu solat subuh Hari Jumaat. Di Madinah, waima kami juga menjumpai hari Jumaat, tetapi kebutulan imamnya ketika itu tidak membaca surat As-Sajadah. Hati ini terbungkam tatkala sujud sajadah. Mataku bergenang kerana mensyukuri beroleh sujud sejadah di lantai haram, di dataran Kaabah hanya beberapa meter dari bangunan hitam tersebut. Usai solat subuh, kami sepakat untuk bersarapan di Restoran D’Saji Malaysia. Sempat juga singgah membeli dua helai kameja jenama Turki untuk kenang-kenangan di Super Store depan deretan kedai makan di Kompleks Safwah, dan suriku singgah membeli tudung untuk anak-anak di laluan pejalan kaki kompleks Safwah.
Pagi ini kami sepakat untuk menunaikan solat dhuaa di kawasan lapang dataran luar Masjidil Haram. Aku menyelit di celah warga Pakistan yang gemar berkampung di luar masjid. Allah Ya Allah, dalam surah Ar-Rahman, disebutkan berulang kali ungkapan, “Nikmat mana satukah yang dapat kita dustakan ……..”. Betapa insafnya kita pabila meletakkan dahi ini di lantai yang tidak dihiasi dengan karpet. Terasa menusuk ke otak kedinginan pagi itu dan betapa bergetarnya sanubari ketika itu, dapat mensyukuri nikamat diperkenan menjadi tetamu-Nya. Aku sebak tatkala melontarkan doa, “Ya Allah, andai kata reziki itu masih di langit, turunkanlah kepadaku, andai kata reziki itu masih di bumi, keluarkanlah kepadaku, andai kata reziki itu jauh, dekatkanlah kepadaku, andai kata reziki itu sukar, mudahkanlah kepada diriku, andai kata reziki itu haram, sucikanlah untukku. Engkau limpahkanlah reziki kepadaku dan keluargaku sepertimana engkau telah limpahkan reziki kepada umat-umat sebelumku ……………. “ aku sebak lagi tatkala menuturkan kata-kata seorang hamba yang kerdil, “Ya Allah, aku memohon, janganlah engkau jadikan ziarah ini merupakan yang penghabisan untuk kami bedua, jemputlah aku bersama-sama keluargaku untuk kunjungan ke haram-Mu dalam masa terdekat.” Waima suaraku hampir terdengar oleh orang lain, warga Pakistan itu manakan faham bahasa kita. Aku tidak malu kerana suriku berada selang beberapa baris dari diriku.
Kami bergerak balik jam 8.06 pagi untuk menanak nasi. Hari itu, aku tidak berminat untuk berkongsi lebih banyak kerana takut dikatakan riak dalam beribadat. Sebahagian besar apa yang aku lakukan aku simpan dalam benak ini. Allahu Alam.
Andai hidup tidak mulia di dunia
gagal menerima sanjungan dan puja
Allah kan ada bersama
andai yang lahir dengan yang batin berbeza
akhirat belum tentu setara
keikhlasan hati mohon dimakbulkan doa
beramal, bermunajat, bertawajuh sepenuh jiwa
Insya Allah, Syurga dipohon sebagai ganjarannya.
Jam 9.58 pagi, kami bergerak semula ke masjid melalui pintu 81, melaksanakan solat tahaiyatul masjid, solat taubat, solat hajat dan solat syukur sementara menunggu solat Jamaat. Kami balik usai solat Jumaat di mana di luar masjid, cuaca dicatatkan 31 darjah celsius. Masuk semula ke masjid sebelum asar dan balik selepas Isyak. Malam itu aku membeli ais kerim untuk kali yang kedua. Jam disetkan ke angka 4 pagi untuk bangun keesokannya. Sebelum tidur, aku membaca rutin doa-doa yang sering aku lakukan.
Hari ke-6 di Mekah- (16 Disember 2017- Sabtu)- Bebas
Jam 3.11, terjaga di awal pagi untuk membancuh kopi buat sarapan pengalas perut kami bedua. Usai kami berdua lengkap bersiap jam 3.59 pagi, lantas bersegera menuju ke masjid. Rutin biasa membaca doa di balik pintu, dalam suasana sederhana dingin yang masih membaluti sekejur tubuh kerdil ini, dengan berpegangan tangan kami bergerak ke masjid di cuaca 24 darjah celcius mengikut catatan di luar Al-Haram. Pagi itu, kami memilih masuk ke haram melalui pintu King Fahd. Kami meninjau ke pintu 88, waima di awal pagi, ramai tetamu Allah masuk melalui pintu tersebut, sudah semestinya untuk tawaf kerana jemaah lelakinya mengenakan dua helai kain ihram.
Pagi ini, aku sebak nyaris-nyaris menitiskan air mata mengalir tanpa diundang lantaran berpeluang bersolat di lantai beberapa meter dari Kaabah. Suriku juga berada dengan sekolompak tetamu Allah wanita, juga menghadap beberapa meter dari Kaabah. Kesyahduan yang membaluti diri tidak dapat dicanggah. Doa dititip memohon keampunan-Nya dan doa utama agar umrah ini diterima sebagai umrah yang mabrur. Selepas subuh, kami bergerak untuk mencari lokasi lain bagi menunaikan solat sunat lain dan terus-terusan menadah tangan memanjatkan doa, mengadu sepuas-puasnya …. Kepada Allah. Aku pohon keampunan dan dipermudahkan segala urusan. Tidak ada yang dilakukan kecuali mensyukuri nikmat kesempatan berkunjung dan solat di depan Baitullah.
Pagi itu, aku balik awal untuk sarapan di kafe hotel kerana ingin menyertai rakan-rakan miqad di Tanaim dengan menaiki bas awam (tambang pergi-balik jauh lebih murah). Usai sarapan, kami mandi sunat ihram. Jam 7.59 pagi kami bergerak menuju ke gate 5 berdekatan dengan Bus Stop. Oleh kerana sedikit keciciran maklumat, kami berdua menghantar W’ sap dan bergerak sendirian ke Tanaim. Kami turun ke lantai under ground, dan memperoleh teksi yang dipandu oleh warga Pakistan yang berkomunikasi dengan Bahasa Inggeris yang sama gagap dengan Bahasa Inggerisku.
Setibanya di Tanaim, kami melakukan rutin biasa iaitu solat tahaiyatul masjid, solat sunat ihram dan berkesempatan menunaikan solat dhuaa. Di Tanaim, kami berhimpun seketika bersama-sama jemaah NurMultazam. Di luar masjid, kami memasang niat umrah. Aku umarahkan untuk ibu kesayanganku. Kami bergerak ke haram selepas itu. Syukur Ya Allah, pergerakan pergi balik kami begitu pantas kerana pemandu teksi itu menggunakan laluan yang sama.
Kami memulakan tawaf pada jam 10.25 pagi dan tahalul jam 11.21 pagi. Ketika tawaf, aku memohon doa keselamatan dunia akhirat acapkali melintasi Rukun Yamani menuju ke pepenjuru Hajrul Aswad dan beristilam setiap kali melintasi lokasi Hajrul Aswad. Hati terbuai dengan seribu rasa duka yang tidak dapat dicoretkan dengan tinta. Rutin berikutnya ialah solat sunat tawaf, berdoa di Multazam, dan mengesan lokasi untuk meminum air zam-zam. Kami berdua menuju ke Bukit Safa untuk memulakan saie. Aku teringat melalui pembacaan suatu blogger yang bercerita mengenai Sang Guru Agama bertanya kepada muridnya yang bernama Asy-Syibli, “Apakah saat kamu melakukan saie antara Safa dan Marwah, kamu mencurahkan semua harapan untuk memperoleh rahmat Allah, dan bergetar tubuhmu karena takut akan siksaan-Nya?” Asy-Syibli menjawab, “Tidak.” “Kalau begitu, kamu belum melakukan saie kata gurunya”. Lantas aku memperlahankan langkahku untuk tidak menghabiskan saieku dengan tergesa-gesa. Sesungguhnya aku berazam untuk saie dengan fokus mengingati Allah.
Hari itu aku bertahalul di luar Marwah menghadap tandas awam. Di luar masjid, aku memerhatikan bekas-bekas Bukit Jabal Qubais yang sebahagiannya telah diruntuhkan. Aku mengimbau beberapa garapan peristiwa bersejarah di Jabal Qubais suatu ketika dahulu :
1) Tempat di mana Rasulullah dan Saidina Abu Bakar duduk sambil menjuntaikan kaki ke bawah, di usia masih kecil mereka.
2) Tempat di mana Hajar Aswad diturunkan dari syurga. Selepas Nabi Ibrahim mendirikan Kaabah. Jibril diperintahkan oleh Allah Subhanahu wataala untuk mengeluarkan Hajar Aswad dari bukit ini, untuk diserahkan kepada Nabi Ibrahim dan diletakkan di sisi kaabah. Akhirnya Rasulullah menyelamatkan perseteruan empat kelompok dalam perebutan puak mana yang selayaknya meletakkan Hajrul Aswad.
3) Ketika firman Allah diturunkan: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh", (al-Hajj: 25 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman"), dikatakan bahawa Nabi Ibrahim Alaihissalam telah melakukan seruan haji ini dari puncak Jabal Abi Qubais.
Peristiwa Rasulullah SAW membelah bulan juga berlaku di sini.
Usai tahalul, aku dan suriku makan di Restoran D’ Saji dan membeli 4 pasang baju cucu di lantai yang sama. Usai solat asar, aku balik dengan pakaian ihram untuk menghadiri taklimat wida, manakala suriku meneruskan iktikafnya di dalam masjid. Selepas merakam sedikit foto aku bergerak ke masjid jam 5.25 petang dengan membawa makanan yang dipesan oleh suriku. Aku berkenalan dengan Cikgu Haji Mat (SMK Weston) ketika sedang leka memerhatikan warga Pakistan menunggu agihan Al-Quran yang bukan cetakan Madinah yang diwaqafkan oleh orang ramai. Sayugia dimaklumkan, hanya Quran cetakan Madinah sahaja yang dibolehkan di waqafkan di Mekah dan Madinah. Quran lain akan dicabut keluar oleh petugas masjid. Kami berkongsi beberapa informasi yang berguna. Beliau sempat meminta no telefon KPP BTPN Sabah yang merupakan kenalan beliau semasa di UPM.
Usai isyak, kami balik singgah di kafe hotel untuk menikmati nasi mandi kambing. Usai merakam foto situasi berbaris menunggu giliran mengaut makanan, aku menapau sepinggan nasi dengan dengan kambing untuk dibawa ke bilik. Usai makan, aku keluar dan berjalan seiring dengan keluarga Tn Arianto yang menuju ke masjid sedang aku keluar untuk bergunting. Di perjalanan balik, aku disapa oleh rakan berhajiku Maktab 94 yang sekhemah di Arafah dan Mina, Tuan Haji Daud (Segamat) yang sedang dalam perjalanan ke masjid bersama isteri dan anaknya. Kami berpisah selepas agak lama bersembang dan diakhiri dengan dakapan salam.
Berbaris mengaut nasi mandy kambing |
Rutin seharian, dipenuhi dengan pelbagai perkara sukar digapai dengan akal insan biasa seperti aku tetapi berlaku atas kehendak-Nya. Berjumpa dengan seseorang kenalan baru yang berkongsi banyak perkara (Cikgu HAji Mat - Weston), dipertemukan dengan Cikgu Bani yang hampir 30 tahun tidak berjumpa dan bersua dengan rakan berhaji yang jauh di Malaya (Tn Haju Daud - Segamat) tetapi telah disantun Allah di Masjidil Haram.
Hari ke-7. Hibanya meninggalkan Baitullah (17 Disember 2017- Ahad)
Lantak dinding lagur lakap
Anak parak hitam munungnya
Hati hiba tidak terungkap
Air mata bayaran tunainya
Usai bangun jam 2.08 pagi, kami memasak air panas dan sarapan ala kadar. Usai menurunkan dua bagasi besar dan empat beg kacil, jam 2.35 pagi kami bergerak ke masjid dengan pakaian ihram untuk tawaf wida. Di pintu 88, aku membaca doa masuk ke masjid dengan perasaan yang berbelah-bagi. Pagi itu agak sayu kerana hari tersebut merupakan hari terakhir kami berada di Bumi Ambia. Kalau sebelumnya kami bersegera ke masjid, tetapi hari ini kami bergerak agak perlahan. Kami merenung sepuas-puasnya apa yang ada di depan mata kami. Dari mula kami bergerak meninggalkan hotel, kawasan sekitar hotel, melintasi Hotel Narawat, surau, deretan kedai makanan Broas, Penanda KFC, Bank Al Raji, pintu 81, pintu 88, hinggalah ke dalam masjid, semunya meninggalkan bekas yang mendalam di hati ini. Apa yang paling menyayukan hati ialah Baitullah. Hati ini berbisik, bila lagi Allah berkenan untuk menjemput kami untuk ziarah ke sana. Ku tenung dalam perasaan yang paling dalam dan sebak, menara Jam Mekah, kubah-kubah, lingkaran Hijir Ismail dan binaan dalaman yang mengelilingi Baitullah. Aduh, sungguh dalam kerinduan yang bakal kubawa pulang nanti, yang entah bolehkah kutenung untuk sekalian kalinya dalam masa mendatang. Ya Allah bagaimana aku dapat meninggalkan rumah-Mu ini untuk kembali ke tanah airku. Aku baru sahaja mula untuk menjahit sulaman zdikir dan tahlil sebagai pakaian imanku, dan beberapa hari diserap rasa bahagia ketika mendampingi Kaabah-Mu, kini terpaksa berpisah tanpa nokhta.
Aku seolah-olah tidak sanggup aku menahan rinduku terhadap Raudah dan Baitullah. Itulah perasaanku di saat-saat melakukan tawaf wida, yang menandakan perpisahan yang menyayat hati. Aku beristilam di sudut Hajrul Aswad untuk memulakan tawaf wida bersama suriku. Di setiap pepenjuru Iraqi, Syamsi dan Yamani, aku tenung khat jawi yang dilakarkan sebegitu indah. Kehijauan lampu Hijir Ismail meninggalkan bekas yang mendalam di pelusuk tangkai hati ini. Aku longgarkan sedikit putaran tawaf saat mendekati pusingan ke tujuh bagi memudahkan kami keluar ke Multazam.
Jambu Karasik dijurus basah,
Kain basahan berlumur kamah,
Rasa perit tika berpisah,
Doa kuratap digantikan hikmah.
Setelah tiba di luar, kami memeriksa selipar takut jika ada butir-butir batu halus melekat padanya dengan doa penutup, “Kurniakanlah ketenangan di sepanjang saki baki kehidupan ku di dunia ini, berilah aku kedamaian di alam akhirat nanti”. Kami meninggalkan perkarangan masjid dengan perasaan sayu.
Usai berada di dada bas jam 8.52 pagi, aku tidak melepas peluang menoleh ke arah masjid. Setelah bas bergerak, aku sentiasa memerhatikan menara jam besar yang kali terakhir aku dapat menatapnya ialah pada jam 9.07 pagi. Tidak banyak ungkapan semasa bas bergerak meninggalkan sejuta kembara ibadah yang mengguggah jiwa, merentap sanubari dan menyenangkan minda. Penerangan sejarah Mekah oleh Habib Haji Ali sudah tidak kuendahkan lagi lantaran melayan perasaan sendiri. Kami singgah di Muzium Mekah dan singgah di Ballad. Oleh kerana Bakso Pak Udin penuh dengan pelanggan, kami mencari kedai lain di lantai satu sebaris dengan Toko Ali Murah untuk makan soto dan nasi. Sempat juga membeli Baju T yang bercop Jeddah warna merah di luar Toko Ali Murah. Kami menapak ke Kompleks Beli-belah Cornice untuk solat di suraunya. Surau dipenuhi jemaah sehingga ke ruang antara lot-lot kedai di situ. Usai solat jamak dzohor asar di surau Pusat Beli-belah Cornice kami bersegera ke bas yang sedia menanti. Kami berdua memohon maaf kerana merupakan tetamu Allah yang terakhir menaiki bas. Bas yang kami naiki meluncur ke Terminal Haji Jeddah tanpa singgah di Masjid Terapung yang sedang disenggara. Jam 2.05 petang, bas kami tiba di Terminal Haji, Jeddah.
Di terminal, kami memperoleh air zam-zam dan mendaftar masuk di kaunter C, pada jam 2.58 petang. Sempat menimbang barang di alat timbang yang disediakan di Airport Jeddah yang tidak sampai pun 60 kilo untuk 2 bagasi besar dan empat beg kecil, juga sempat bertimbang (52 kilo - susut 3 kilo). Aku dan suriku adalah antara yang pertama mendaftar masuk. Usai selesai membantu urusan pendaftaran, dan mengetik kandid di beberapa lokasi, aku dan isteri mencari ruang belakang untuk membuka tapau nasi (Nurmultazam) berkongsi dengan isteri. Aku mencari pekerja airport yang kebetulannya warga Indosesia, dan menyerahkan setapau nasi yang belum dibuka dan tidak sempat kami habiskan.
Jam 4.17 petang, aku melepasi tiga pemeriksaan ketat Imigresen Arab Saudi. Usai solat jamak maghrib dan isyak di airport Jeddah (terima kasih Datin Marthiah, kerana pinjamkan sejadahnya), jam 7.50 malam, kami menaiki burung besi Royal Brunei meninggalkan Jeddah menuju ke Bandar Seri Begawan.
Jam 4.17 petang, aku melepasi tiga pemeriksaan ketat Imigresen Arab Saudi. Usai solat jamak maghrib dan isyak di airport Jeddah (terima kasih Datin Marthiah, kerana pinjamkan sejadahnya), jam 7.50 malam, kami menaiki burung besi Royal Brunei meninggalkan Jeddah menuju ke Bandar Seri Begawan.
Ikatan akrab, suasana menunggu penerbangan balik |
Rambut lebat sarang keruat,
Anak keli meronta-ronta,
Moga selamat dalam pesawat,
Kembali ke pangkuan keluarga tercinta.
Di dada pesawat, aku duduk sebaris bersama Dr. Rosni. Sempat berbual-bual sebelum masing-masing melayan keletihan yang kami alami. Jam 1.24 pagi, aku keluar untuk merakam beberapa foto sebahagian kecil tetamu Allah. Setelah menghampiri kawasan Segenting Kra, aku keluar ke depan pesawat untuk menunaikan solat subuh bergilir-gilir kerana kekangan ruang yang sempit. Usai tiba di Brunei jam 9.40 pagi waktu setempat, kami diangkut dengan dua bas untuk singgah berehat di Hotel Ground City Gadong untuk beberapa jam (bilik 133). Usai mandi dan bertukar pakaian (sempat makan tapau nasi yang disediakan oleh Nurmultazam), kami berlegar-legar di kedai berdekatan. Sempat solat jamak zohor asar sebelum meninggalkan hotel penginapan dan sempat membeli sehelai baju T dengan tukaran Dollar Brunei yang masih berbaki (jenama Victor).
Semasa pendaftaran masuk untuk penerbangan ke Kota Kinabalu, kami adalah dari group C dalam catatan tiket, adalah kalangan penumpang yang terakhir memasuki pesawat Boeng 777 (pesawat carter / sewa khas tiga agensi umrah - Nurmultazam, Al Maad dan Imtiaz). Kami disambut dengan ketawa berderai oleh rakan sejemaah kerana dengan rahmat Allah, kami duduk di depan sekali (dinding pemisah kelas ekonomi). Aku di kerusi 26 C manakala suriku kerusi 26 B. Di sebelahku, lagi sekali aku dipertemukan oleh Allah dengan Prof. Dr. Rosni (kerusi 26 A).
Penerbangan BI 825 tiba di Kota Kinabalu sebelum maghrib. Usai mendapatkan kesemua bagasi, aku meninggalkan airport kerana bergegas untuk solat maghrib. Aku memohon maaf kepada rakan sejemaah kerana tidak dapat meyantuni kalian. Walau bagaimanapun, aku dikejar dan sempat disantuni oleh Tn Arianto. Di luar Balai Ketibaan, kami disambut oleh keluarga jemaah yang sesak, almaklumlah kami terdiri dari tiga kumpulan besar yang terdiri dari Jemaah Nurmultazam, Al Maad dan Imtiaz Travel. Tidak keterlaluan kukatakan umpama sambutan menunggu kepulangan dari berhaji. Dengan mata bergenang, aku dan isteri merangkul kedua-dua anakku yang menyambut ketibaan kami.
Selamat tiba ke tanah air (18 Disember 2017- Isnin) Brunei- Sabah Malaysia
Hari kepulangan ke pangkuan keluarga
meragut momen-momen berharga
ruang untuk aku bertawajuh di Raudah dan Baitullah dengan bahagia
direntap dengan tangis kerinduan yang sukar diduga
tiada helah untuk bermuram durja
namun, dengan segala kemurahan dan kasih sayang-Mu jua
Engkau masih memilihku ziarah memperbaharui ikrar di dada
Ya Rabbi, moga ini bukanlah untuk yang terakhir kalinya
jemput aku dapat menatap keagungan Makkah dan Madinah di lain ketika
Labaik kallah huma labaik ………
Ada karan tiada bawayar,
Wayar diwilding bersalut merah,
Kerinduan padamu takmungkin terbayar,
Itu penangan Mekah Madinah.
Ibrah yang ku peroleh
Aku sering terfikir mengapa setiap rutin ibadah di tanah suci berkesan dan berbekas di hati ini, kerana …… terlalu banyak hikmah yang dapat dituai setelah melaksanakannya. Di dunia, kita hidup lebih religius, lebih mengambil tahu akan sesama insan (bukan mementingkan diri sendiri) dan berusaha untuk menjadi dermawan. Belum ada sejarah insan, yang mana meninggalnya dia, dia menggali kubur sendiri, memasuki liang lahad sendiri tanpa pertolangan hamba Allah lain, tiada yang mampu mengambus kubur sendiri jika tidak dibantu oleh insan lain. Rezeki yang diberikan Allah Swt perlu dimanfaatkan dengan baik dan digunakan untuk kepentingan sosial yang terarah bukan untuk dibazirkan. Moga di akhirat, kita akan mendapat ganjaran Surga dari Allah SWT.
Guringsing besi suasa,
Tapas parimpan atas pelana,
Kunjungan seketika rindu menyeksa,
Rindu dendam bermukim di sana.
Ibrah pertama ialah, aku ingin mendidik jantung ini untuk berfikir. Sepanjang berziarah, hal ini cuba untuk aku praktikkan. Agak janggal bunyinya bukan, yang mana kebiasaannya otak saja yang berfikir. Ini bersandarkan satu cerita seorang pengkarya seni yang juga merupakan pemuzik, penggubah dan penulis lirik. Beliau telah mendermakan organ jantungnya kepada seorang wanita. Wanita penerima tersebut telah menjadi seorang pemuzik walhal dia tidak tahu bermain muzik sepanjang hayatnya, malahan dia telah melengkapkan lirik yang tidak sempat disudahkan oleh pemilik asal jantung yang diterimanya.
Ibrah ke-2, melihat betapa gagah dan panjangnya Bukit Uhud, mengingatkan aku kepada pahala andai kita bersama-sama solat jenazah. Rasulallah bersabda, “Kita akan beroleh satu Qiraat andai ikut serta solat jenazah dan satu qiraat lagi andai kita mengiringi jenazah hingga ke tanah perkuburan.” Apabila sahabat bertanya apa itu qiraat. Baginda menjelaskan satu qiraat bersamaan pahala kita umpama sebesar Bukit Uhud. Tidakkah anda mengambil pengajaran mengenai pahala, yang mana ia menjadi rahasia Allah? Akan tetapi baginda membuka rahasia pahala hanya pada iktibar solat jenazah.
Ibrah ke-3, umrah merupakan rihlah muqaddasah (perjalanan suci) sehingga seluruh kegiatan yang dilaksanakan dalam umrah (miqat, tawaf, saie, dan tahalul) merupakan ibadah yang akan mendapat pahala dan beroleh redha Allah SWT. Itu yang kita semua harapkan.
Ibrah ke-4 ialah hikmah menyarungkn ihram yang lebih menonjolkan kesederhanaan diri, kesucian hati dan jiwa (di mana warna putih sangat diutamakan). Kita dididik mengamalkan sikap rendah hati, dan tidak ada unsur sombong serta berlebihan. Ini kerana, semua yang berumrah memakai pakaian seragam tanpa darjat, pangkat dan kebesaran.
Ibrah ke-5 ialah ketika melunaskan tawaf di mana di dalam tawaf kegiatan mengelilingi Kaabah mengikut pusingan lawan jam, melambangkan perputaran alam semesta, juga jumlah putaran sebanyak 'tujuh' yang melambangkan bilangan 7 hari, 7 lapis langit dan bumi, dan 7 lapis Surga dan Neraka. Ka'bah sebagai pusat tawaf dikelilingi puluhan ribu malaikat (sebagian riwayat menyebutkan 70.000 malaikat) yang bertawaf setiap hari. Ini bermakna, kita bertawaf menyertai mereka yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Alangkah beruntungnya kita dapat berdamping dengan para malaikat tersebut semasa bertawaf.
Kerinduan yang mendalam
Anak pertengahan dilagau buda,
Pasir dilumak dilunyak rata,
Rindu menyeksa sebak di dada,
Tidak terbayar si air mata.
Ubi sangkuang pisau belati
Ditampik dua dengan kalakati
Rindu menggunung membeku di hati
Memori terpahat ku bawa mati
“Alhamdulillah” aku, isteri dan rombongan telah selamat kembali ke tanah air. Meskipun umrah hanya ibadah sunnah, tetapi kami telah melalui saat indah beribadah secara maksima dan tenang tanpa kerisauan pada hal-hal lain yang remeh-temeh. Hanya yang tersimpul di hati ini ialah kerinduan yang teramat jauh di pendalaman nurani. Umpama yang aku ungkapkan sepanjang travelog di atas, tiada lagi penyesalan kerana kita telah kembali ke tanah air. Setelah beribu batu datang dari Malaysia namun kita telah berjaya mempergunakan masa yang ada untuk beribadah secara total, solat berjemaah di masjid, rentetan solat-solat sunat, solat qadha dan ikhtikaf di dalam dua masjid-Nya. Setiap Muslim yang telah berziarah dan sering merindukan tanah Haram, baik Makkah maupun Madinah, kerinduan ini muncul dari ruhiyah atau hubungan yang kuat antara pribadi seorang hamba dengan Sang Pencipta. Hubungan tanpa hijap (tirai) ini merupakan sebuah proses yang dilakukan secara berterusan dan penuh istiqomah. Usai bali ke tanah air, teruskanlah rutin ibadah yang kita lakukan semasa di bumi ambia seperti solat 5 waktu, solat tahajud, solat dhuaa dan solat taubat dan solat-solat qadha. Insya Allah.
Suriku bersama, Datin Marthiah dan Hjh Nurazlina
|
Jutaan terima kasih kerana sudi membaca
Sekembalinya aku ke tanah air, tingkatkan kualiti ibadah kepada yang lebih baik dari sebelum-sebelumnya, lebih bersemangat untuk memperdalami ilmu agama, dan terutama untuk segera mengubati segala penyakit-penyakit hati, seperti sombong, riya’, iri, dengki dan prasangka buruk. Aku berharap suatu saat nanti Allah akan memberikan kesempatan untuk aku anak beranak mengubat rindu ke tanah suci-Nya. Sesungguhnya di pedalaman hati ini, terbenam perasaan terus membuak-buak untuk ke sana untuk sekalian kalinya. Allah Maha Besar, Maha Pemurah.
Kesudian anda untuk membaca hingga ke noktah terakhir, terlebih dahulu dirakamkan ucapan terima kasih. Sebelum menutup kalam, jutaan maaf aku panjatkan. “Bumi mana yang tidak ditimpakan hujan”. Andai dokumentasi ini dilihat sebagai ego pribadi saya, maafkan saya. Yang salahnya perilaku saya bukan sekehendak hati saya.
Kepada rakan serombongan, karenah kalian kerap menjadikan ziarah ini lebih bermakna. Keriuhan kalian sepanjang ziarah merupakan pemangkin roh ziarah kami berdua. Andai kata kami tidak tumpang ketawa, bukan bermakna kami jelek dengan karenah anda dan andaikata ada ketika kami tumpang ketawa, itu bukan bererti kami hanya ingin menambat hati anda. Andai ada sebarang tingkah kami yang tidak menyenangkan rakan sejemaah, sekalung maaf kami pohonkan terutama kepada penumpang bas bertanda hijau. Kepada keluarga besar Hj Kifree Ab. Rahman, keluarga Hj Abd Wahid M. Taha, keluarga Hj. Jamain Sulaiman, keluarga Hj Junaidee M Yusof, keluarga Dr. Mohd Rosni Sulaiman, keluarga Hj Yamin Mahali, keluarga Hj Arianto Hasri, Hjh Nurazlina dan rakan-rakan dan semuanya waima nama anda tidak disebutkan, kami berdua memohon maaf kerana kita amat jarang dapat bersua lantaran kami sering tidak balik ke bilik penginapan bukan mengasingkan diri tidak mahu bergaul dan bukan juga kami riak dalam beribadah. Sebenarnya, kami ingin merebut peluang keemasan untuk beriktikaf di dalam masjid, bukan tidak sudi untuk menyantuni kalian. Gelas minuman (kertas) adalah kecil jika dibandingkan dengan gelas teh tarik di negara sendiri. Itu adalah satu rahmat kerana jika masih terasa haus, maknanya anda boleh meminum air zam-zam percuma waima sebanyak mana. Permintaan saya, andai ada cerita kurang baik sepanjang ziarah, tinggalkan sahaja di bumi ambia dan bawalah balik cerita yang baik-baik sahaja.
Maaf juga kerana kami berdua sering berada di kerusi hadapan bas, bukan rakus merebut lokasi strategik tetapi berniat untuk turun segera dari bas bagi membolehkan aku merakam foto kenangan. Sebahagian pembayang pantun aku puisikan dalam bahasa ibundaku, maaf andai ada kalangan pembaca yang tidak memahaminya.
Anak damit mengaul lamban
Lamban dililit akar angsana
Jiwa ragaku di kampung laman
Namun hatiku tertambat di sana
Tabur tuggal kanan dan kiri,
Nafas singkat turun ke dada,
Bila menyepi seorang diri,
Memori ziarah melambai di minda.
Asam kelumbi si buah kana
Lastik biabas selarah-larah
Hati membuak kembali ke sana
Moga mendapat jemputan Allah
Urak lampit di ruang tamu,
Bongkas laru berselimut kain,
Terbuku rindu untuk bertemu,
Moga dianugerah di kesempatan lain.
Besabau ambuyat jeruk bambangan
Aripau rumbia gugur ke tanah
Ritual ibadah tinggal kenangan
Moga pahala dibawa ke Jannah
Kuning gadong taris taripas
Garus rumbia di bawah pelana
Usah diingau memori lepas
Kumpullah dana bercita ke sana
Aku bukan yang terbaik, namun ingin mengajak kalian menjadi yang terbaik.
Sekian, Allahu Alam.