Wednesday, September 28, 2011

Syarat ke-6 (Peranan beberapa jam dinding)

“Masa itu emas, “ demikianlah ungkapan yang kerap saya dengari melalui corong radio. Dalam mendidik anak-anak, saya mengamalkan prinsip, kerja mesti siap mengikut waktu. Oleh itu, di peringkat awal saya rancang jadual pembelajaran anak-anak. Dan setelah mereka sudah terbiasa dengan jadual masing-masing, akhirnya saya memberi kebebasan kepada mereka untuk merancang jadual sendiri.

Kejayaan masa depan anak bukan kerana bakat atau kemampuan yang dimilikinya mahupun kecemerlangan diri sendiri tetapi ada sedikit pengaruh dari kedua ibu bapanya. Seorang ayah semestinya melukis sebaik mungkin ke atas kanvas kehidupan anak-anak. Kecantikan lukisan itu dilakar daripada kesesuaian warnanya. Paduan warna yang indah disertai adunan warna yang anggun membentuk pelangi di langit. Warna biru  membentuk kebebasan bak  air di laut lepas. Warna putih membentuk keikhlasan. Warna jingga membentuk keberanian untuk menghadapi ranjau kehidupan dan warna hijau membentuk suasana kesuburan pepohon kehidupan mendatang. Semua lukisan kreatif si ayah membentuk semua warna kehidupan si anak. Begitu juga dengan peranan si ibu yang menyokong dari belakang.

George Bernard Shaw mengatakan "Masa muda adalah masa terindah; sayang sekali orang muda suka mensia-siakannya."

Anak-anak belajar di kelas biasa di sebelah pagi, manakala ke sekolah agama di sebelah petang atau sebaliknya. Mereka akan menghabiskan kerja rumah setelah balik dari kelas, manakala sebelah malam diguna sepenuhnya untuk membuat kerja tambahan, seperti karangan, menjawab latihan lembaran kerja atau latihan lain yang saya sediakan, yang mana setiap latihan akan dibayar sebanyak 20 sen tiap satu. Sebagai ganjaran anak-anak akan saya bagi RM1.00 jika mendapat markah ujian 100% dalam mana-mana mata pelajaran. Itu yang kami suami isteri lakukan.

Saya mempunyai cerita lucu di sekolah anak saya. Suatu hari guru mata pelajaran memanggil anak saya ke bilik guru

Guru         :  Tahniah kerna awak dapat markah 100%

Anak saya : (sedikit terkejut) Terima kasih Cikgu

Guru         : Tiap kali ujian awak selalu dapat markah 100%. Bagaimana awak belajar

Anak saya : Ujian tadi Cikgu, telah pun saya buat  ketika bapa saya bagi  latihan di rumah

Semenjak itu guru tadi tidak lagi memberi ujian yang difotokopi seratus peratus dari lembaran kerja yang dibeli di kedai, sebaliknya mencampurkan beberapa soalan dari pelbagai buku untuk suatu ujian. Saya tidak menyalahkan guru  berkenaan, mungkin dia terdesak. Saya mengerti, guru mempunyai beban tugas yang melampau di sekolah-sekolah.

Saya menjadi lebih perpengalaman apabila berpeluang melawat beratus sekolah di seluruh Negeri Sabah hinggalah ke Semenanjung Malaysia. Anak-anak saya bukanlah tergolong dalam golongan yang terlalu cerdik, tetapi mereka telah menjadi cerdik apabila mendapat bimbingan yang sempurna (perasan sendiri) ditambah dengan motivasi yang berbakul-bakul banyaknya.

Ketika melawat salah sebuah sekolah di Negeri Pantai Timur Semenanjung, saya tertarik dengan slogan yang terpampang dengan skala bersaiz besar yang boleh dilihat oleh warga sekolahnya setiap waktu.

Slogannya berbunyi :

Anak biasa-biasa
Lahir dari keluarga biasa
Belajar di sekolah biasa
Jika mendapat didikan sempurna, akan mencapai keputusan yang luar biasa.

Slogan tersebut saya pegang untuk mendidik anak-anak dengan lebih bersemangat.

Ibu bapa perlu mewujudkan peraturan atau undang-undang khusus di rumah selari dengan undang-undang di sekolah sebagai pendekatan mendidik anak sedari kecil. Undang-undang di rumah perlu sebagai kesinambungan untuk membiasakan anak dengan disiplin seperti di sekolah.

Teknik mengendalikan perasaan dan emosi penting kerana ibu bapa adalah pendidik tingkah laku anak. Jika cepat marah, anak juga akan membesar dengan tingkah laku sama. Elakkan bercakap kasar kerana anak kecil masih dalam proses belajar. Gunakan kaedah bergurau untuk menegur kesilapan anak.

Ibu bapa perlu mengimbangi masa bersama anak dan kerja. Peruntukkan masa bermutu bersama anak walau sesibuk mana sekalipun dengan bertanya khabar dan memberikan nasihat kepada mereka. Bukan untuk mengajar tetapi sekadar berkongsi pengalaman.

Ibu bapa juga perlu mengetahui peribadi dan keperluan anak agar anak tidak menjauhkan diri daripada kita. Jika kita bertindak otokrasi, akhirnya anak-anak akan meluahkan masalah kepada rakan sebaya, bukan dengan ibu bapanya.

Tiada salahnya anda meyelongkar beg sekolah anak-anak. Pernahkah anda berbuat sedemikian?. Selongkar cara beradab, maksud saya, susun semula mengikut sebelum diselongkar agar mereka tidak perasaan beg mereka telah diselongkar. Cara ini berkesan kerana dengan menyelongkar buku mereka, kita boleh mengetahui aktiviti anak-anak kita, mungkin ada kerja mereka yang tidak siap atau ada ujian yang mereka sembunyikan dari kita atau ditakuti mereka membawa barang yang terlarang seperti CD lucah, senjata berbahaya, komik, rokok atau sebagainya. (Ini penting lebih-lebih lagi ditahun 2011 ke atas kerana kita tengah berhadapan dengan teknologi yang amat canggih).

Saya menghargai jam dinding ANALOG kerana ketiga-tiga anak saya belajar sifir 5 melalui jam tersebut. Mengajar sifir tidak semestinya mengikut cara konvensional iaitu dari sifir 2, 3, 4 dan seterusnya. Kita patut mendahulukan mengajar sifir yang mudah diajar dan ada alat bantuannya seperti jam dinding.

Hargailah masa berharga bersama mereka. Di sinilah kepentingannya mewujudkan beberapa jam dinding di beberapa lokasi.

1.Di bilik belajar Perlu bagi merencanakan waktu belajar mengikut jadual yang telah diatru.

2.Di ruang tamu Untuk tujuan melihat waktu berkualiti bersama keluarga, tidak menonton Telivisyen secara berlebihan kecuali hujung minggu dan tujuan bersolat. Jam di ruang tamu juga boleh mendisiplinkan anak-anak untuk merencanakan aktiviti masing-masing seperti memperuntukan masa tertentu untuk bermain dengan kawan-kawan di luar rumah.

3.Di kamar mandi Untuk mengelak dari menggunakan tandas melebihi dari waktu yang sepatutnya

4.Di dapur Untuk menlihat waktu makan terutamanya waktu makan malam. Waktu makan malam yang paling sesuai adalah jam 6.30 petang waktu Sabah / Sarawak kerana tidak elok makan malam selepas maghrib. Ini bagi membolehkan perut kita berehat awal dan memberi peluang makanan dicernakan sebelum waktu merehatkan seluruh fungsi anggota badan sebelah malamnya. Minum air putih setengah jam selepas makan adalah amalan yang terbaik, bukan minum sambil makan.

5.Di setiap bilik tidur Untuk tujuan agar tidak tidur terlalu lewat sebaliknya bangun tepat pada waktunya

Petunjuk kemajuan
1.Anak-anak menghargai masa
2.Menutup lampu sendiri apabila tiba waktunya
3.Balik ke rumah sebelum waktu maghrib selepas mereka bermain dengan kawan-kawannya di sebelah petang