Sunday, January 13, 2013

Ajaib, logik, taksub, lucu, ujub, hairan dan gerun

Apa kata
bintang kepada bulan
aku paling berjaya dari kalian
kerna membolehkan semua hidupan
tersedar dan bertenaga dengan aktiviti harian
dengan lapang dadaku
insan beroleh ilham
namaku diguna untuk menanda pusat penginapan

Kata bulan kepada bintang
aku lebih berjaya
kerana menyebabkan aku dirindui pungguk
sedang yang lain memujiku
membolehkan semua berehat dalam kegelapan
ajaib
aku sabit aku purnama
sedangkan kau tetap serupa

Apa kata
api kepada angin
aku lebih berkuasa dari kalian
kerna mampu memusnahkan sekelip mata
tanpa belas kasihan
aku digeruni segenap ruang

Kata angin kepada api
aku lebih berkuasa
kerana mampu menghentikan bahangmu
dengan sekelip mata
membolehkan semua berasa nyaman
logik

Apa kata
pintu kepada tingkap
aku lebih berfungsi dari kamu
tuanku keluar masuk melaluiku
saizku lebih besar dari kamu
aku mengahalang pencerobohan
aku tempat menghulur salam

Kata tingkap kepada pintu
aku lebih berfungsi
jika kemiskinan masuk melaluimu
cinta akan terjun melaluiku
hairan

Apa kata
jejaka kepada wanita
aku lebih berupaya dari kalian
kerna mampu menghasilkan zuriat berpanjangan
tanpa ku kamu pasti kesunyian
aku penghulu dan pengemudi kehidupan

Kata wanita kepada jejaka
aku lebih berupaya
kerana mampu mengandungkan zuriatmu
menyedia santapan umpama kafeteria pembekal sepanjang zaman
perlukah kau nafikan
taksub

Apa kata
sapi kepada lembu
aku paling bermanfaat dari kamu
susuku dijual merata-rata
kulitku menjadi gendang bergema
dagingku mendapat gred ternama

Kata lembu kepada sapi
kita serupa
cuma berbeza nama
berkaki empat bertanduk dua
makan dedaun yang sama
hanya telinga sedikit berbeza
lucu

Apa kata
kaki kepada tangan
aku paling berguna dari kamu
tanpaku tuanku tidak upaya ke mana-mana
sama ada mencari reziki
mahupun berhibur hati

Kata tangan kepada kaki
fungsi kita sama saja
jangan ujub
tanpaku engkau tetap kotor
bila tuanku membawa kita ke lumpur
bila tuanku bermohon
aku dihulur selebarnya
mohon restu dari ilahi

Allah maha berkuasa
diciptakan benda serba dua
saling memerlu sesamanya
saling bersatu
mendambakan padaNya
tapi kenapa tiada gerun di hati manusia
masihkah mendustakan kuasaNya