Tuesday, August 13, 2013

SELOKA SYAWAL

Tadah jemuran di atas riba,
Anau muda tiada santannya,
Kini Lebaran menjelang tiba,
Tua muda pasti ceria.

Pendekar bergaya menanak laksa,
Laksa mentah santan kelapa,
Lagu raya bergema di angkasa,
Zakat fitrah jangan dialpa.

Kuah lada santan kelapa,
Bertudung lingkup ranggi serata,
Bertuahnya jika ada ibu bapa,
Tangan dikucup ringgit diserta.

Kuah kaya di atas meja,
Meja dipesan di dalam taman,
Pesan saya kepada remaja,
Jadikan Ramadhan sempadan iman.

Dari Sabah datangnya awal,
Datang untuk tenang-tenangkan,
Eratkan muhabah sepanjang Syawal,
Hubungan sanak perlu mantapkan.

Anak gagak di Balai Raya,
Balai dipaku rumah pusaka,
Jaga akhlak semasa beraya.
Elak membazir rumah dibuka.

Datuk Hamdan beremas suasa,
Emas dibeli di Bukit China,
Sepanjang Ramadhan penuh berpuasa,
Selang sehari di bulan berikutnya.

Kota Jordan tempat menuggal,
Tuggal tebu menjelang petang,
Ramadhan ini bakal kutinggal,
Mungkinkah bertemu Ramadhan mendatang.

Anjang suasa di makam bonda,
Makam bekemas terukir susunannya,
Sepanjang puasa ibadat berganda,
Rugilah kita terlepas pahalanya.

Nasi dagang pelengkap juadah,
Juadah ditabur kerisik kelapa,
Kuih terhidang aneka juadah,
Fakir yatim jangan dilupa.

Helang berputar berpaksi tuala,
Pisau belati ubat tangkalnya,
Menjelang takbir di pagi mulia,
Pastikan yang tiada dapat bekalnya.

Zarah seni baju kebaya,
Kebaya kikir biji petula,
Ziarah pusara sebelum raya,
Yassin zikir dibekal segala.

Panglima berlumba di pekan Miri,
Datang berubat di Tanjung Bidara,
Sebelum hamba mengundur diri,
Sejuta maaf kupohon segera


1 Syawal 1434 (8 Ogos 2013)