Tuesday, December 24, 2019

Travelog ibadah 07-18 Disember 2019 (10-21 Rabiul Akhir 1441 H

Rindu berganda

Rinduku berakar-umbi di sini
rindu yang kubawa pergi
rindu bangun seawal dinihari
menghirup air zam-zam percuma setiap hari
rindu malam-malamku menanti mantari
rindu berbahasa ayam itek kenalan yang baru ditemui
aku santuni waima bahasa mereka tidak kufahami
ukir senyum para duyufurRahman menyentuh hati
rindu yang tidak bernokhta di sini

Rindu mengimbau para Syuhada yang sahyid di perbatasan-Mu
hati terjentik tika ziarah ke Padang Uhud-Mu
nun jauh di Bukit Pemanah itu
terbayang keperkasaan pejuang tersungkur sahyid satu persatu
mata bergenang penuh syahdu
doa diungkap mengiringimu

Rindu berduyun-duyun menapak ke masjid-Mu
tanpa rasa jemu
rindu mengucap salam kepada kekasih-Mu
berjuta-juta rindu
rindu maraton solat di Haramain-Mu
belum puas aku menatap kubah hijau itu
aku pergi meninggalkanmu
namun memori bebekas di tangkai jantungku
rindu tika ziarah wada menikam kalbu
rindu melilit dua lembar kain putih membaluti tubuh ku
ku toleh kubah hijau hingga lenyap dari penglihatan ku
rindu melihat kilauan hitam batu-batu
sepanjang laluan ke Haramain-Mu

Tatkala pertama kali Baitullah kutatap
jantung umpama berhenti berdetap
nafas sesak tercungap-cungap
tiada bahasa dapat diucap, melainkan ratap-meratap
doa ku lantun ke langit tanpa atap
hanya syurga Firdausi yang diharap

Rindu terpahat di Mekah al Mukarammah
keinsafan mendalam dan terserlah
di pepenjuru lampu hijau kuistilam dengan pasrah
di pancur emas Hijir Ismail pipiku basah 
dari rukun Yamani ke pepenjuru Hajrul Aswad, tangan ku tadah
rindu mata bergenang mengelilingi Baitullah
air mata tumpah tika memohon keampunan Allah
insan sekerdilku tiada nilai di sisi Allah

Rindu menapak antara Safa Marwah tujuh ulangan
berlari anak di lampu hijau tanpa megenal kepenatan
simbolisasi Siti Hajar mencari air di laluan batu-batuan
air jernih menitis lagi tatkala tujuh pusingan ditamatkan
sebak memohon dosa diampunkan senilai rambut yang digugurkan
tahalul bukan penamat segala urusan
dzikir, selawat, tahalil, tahmid, takbir dan marathon solat diteruskan
selagi berpijak bersujud menghadap Baitullah yang diagungkan
rindu solat berhimpit-himpit memahat kenangan

Rindu solat mendepani Kaabah depan mata
rindu berjalan jauh, ulang-alik beberapa kilometer
rindu mengenggam tangan suriku tanpa berkira
aku bukan mengejar beratus ribu pahala
aku bukan mengharap aku bakal kaya raya
aku juga tidak mengharap puji puja insan biasa
tapi Ya Rahhman Ya Rahim, Syurga Firdausi yang aku damba

Rindu kepada dua Tanah Haramain meruntun hati.
rindu naik lif, dipadati selagi alarm tak bunyi
rindu menatap jalan raya yang tak pernah sunyi
para duyufurahman bertali arus pulang dan pergi
rindu teriakan peniaga pada urusan jual beli
rindu kelibat pembersih berpakaian hujau menyirami lantai mewangi
berjuta-juta rindu yang tidak terperi
rindu yang ku bawa pergi

Rindu melayang ke Jabbar Rahmah
memanjat anak tangga termengah-mengah
dari atas menjengah
hati terjentik mengimbau dua jasad dipertemukan sekian lama terpisah
Adam dan Hawa empunya kisah
terubat segala resah terlakar berjuta ibrah

Rindu menjawab salam dan senyuman petugas Haramain
baju hijaumu di kepalaku sering bermain-main
bertuahnya mereka setiap ketika
bukan sekadar mendekati Baitullah, tapi bertugas menyelia
menabung pahala berganda
aku berdoa moga tiada lain balasan buat mereka melainkan Syurga

Aku rindu dalam sebak
kucupan terakhir tika wada, kaki berat bergerak
mata berkaca, dada menyempit namun aku semakin menjarak
rindu luluh namun impian tetap bersemarak
doa tidak putus-putus menusuk kalbu
moga ini bukan kunjungan terakhirku

Rindu dan sebaknya bila mengimbau memori itu
hati rindu ibarat terhiris sembilu
pilu dan memanjang pilu
Allah yang satu
aku memohon bukan beribu
moga kunjungan itu bukan yang terakhir buatku dan suriku
moga istiqamah ini, hingga ke penghujung nafasku
Syurga-Mu, dengan rahmat-Mu 
tanpa hisab masuk ke situ bersama seisi keluargaku

100,00 pahala bersamaan dengan solat 55 tahun 6 bulan 22 hari

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, segala puji serta syukur aku panjatkan kepada Allah, Tuhan semesta alam yang memberikan berjuta kenikmatan, salam dan selawat ke atas Rasulullah SAW serta keluarga dan sahabat baginda. Petikan dari Al-Quran yang menyebut “Allah memberi kurnia kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.” Syukur Ya Allah, mudah-mudahan aku dipilih-Nya antara penerima kurnia tersebut.

Aku mulakan travelog ini dengan serangkap pantun (pembayangnya bahasa ibundaku);

Garus rumbia jadi aripau,
Kumpal kubal umpan dangalah;
Mabit sekejap kerindauan melampau,
Itu penangan Mekah Madinah.

“Labbaika Allahumma labik, labaika laa syaariikalaka labbaik,” bermaksud “Ya Allah, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala puji, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu…”. Aku tidak menganggap travelog ini sebagai yang terbaik antara travelog yang sedia ada. Aku tidak berniat untuk menjaja kehebatan diri, cuma mengharap redha-Nya agar mampu melorong para pembaca untuk melakukan ibadah yang lebih baik dari cerita travelog ini. Tidak semua pengalaman dapat aku kongsikan, melainkan sebahagian cerita kusimpan untuk diri sendiri.

Dalam kembara ibadah ini, aku bersandar kepada Ayat Quran Surat Al Imran ayat 97..." Padanya (Kaabah) terdapat tanda yang nyata (kekuasaan Allah ) iaitu terdapatnya Maqam Ibrahim dan sesiapa yang memasukinya adalah akan menjadi aman tenteramlah ia...". Aku memujuk dan berpesan kepada hati ini untuk untuk menjadi diriku sendiri waima kurasa aku bukanlah yang tersempurna, namun tetap berusaha untuk melakukan yang terbaik sepanjang ibadah ini.

Rata-rata usia manusia selama hidup di dunia adalah 63 tahun (sama seperti usia Rasululloh SAW). Akan tetapi itu kuasa Allah, kerana ada kalangan yang memperoleh bonus menggapai usia yang lebih dari itu. Pabila seseorang mencapai usia 63 tahun, kira- kira orang tersebut hanya memiliki 1.5 jam saja (bila diukur dengan waktu akhirat). Tidak hairan...  Kita selalu diingatkan masalah waktu, kerana …. 24 jam (1 hari) di akhirat bersamaan 1000 tahun dunia (QS As Sajdah : 5) maknanya  1 jam akhirat  bersamaan 42 tahun di dunia. Al-khattabi berkata dengan maksud: "Orang yang Allah panjangkan umurnya sehingga 60 tahun, tidak diterima lagi keuzuran sebagai alasan untuk tidak beribadah kerana Allah telah membuka peluang yang cukup lama. Ini kerana umur 60 tahun merupakan umur yang dekat dengan kematian, umur untuk kembali bertaubat, untuk khusyuk dalam solat 5 waktu dan untuk mempersiapkan diri bertemu Allah" (Tafsir al-Qurthubi). Oleh sebab memikirkan diri ini masih banyak lompangnya dalam beribadah, aku harus melakukan sesuatu. Aku berfikir bahawa, solat 1 waktu di Masjidil Haram, ganjaran pahalanya adalah 100,000 kali berbanding solat di tempat lain manakala pahala di Madinah ialah 1,000 pahala. Oleh itu  sewajarnya aku wajib merebut peluang melipatgandakan ibadah semasa ibadah ziarah ke kedua-dua kota suci itu.

Ibadah Umrahku adalah semata-mata kerana Allah

Berulang kali aku berfikir sama ada untuk berkongsi atau memeram sahaja catatan pengalaman ini kerana bimbang akan respon negatif pembaca di luar sana. Sesungguhnya aku bukan menulis untuk riak, angkuh, mahupun ujub tetapi hanya ingin berkongsi, kerana menjadi tetamu Allah tidak mustahil masing-masing mempunyai pengalaman yang berbeza-beza. Pengalaman ibadah ini adalah nikmat daripada Allah dan mudah-mudahan akan menjentik hati-hati dan memberi kekuatan pada insan lain yang membaca coretan ini untuk sama-sama berdoa dan beribadah di tempat paling tenang sepanjang perjalanan hidup ini.

Aku yakinkan diri ini untuk tidak menghitung ganjaran beribadah tetapi memohon kepada-Nya untuk digantikan dengan rasa seronok melipatgandakan ibadah. Kita kerap didedahkan dengan cerita kemakbulan berdoa di Raudah. Ambillah iktibar bagaimana ribuan Duyufurrahman berebut untuk solat di sana. Sebenar-benarnya Raudah ada di rumah kita sendiri (catatan Prof. Dr. Mohd Kamil). Tunaikanlah solat-solat tahajud di sepertiga malam, di mana ketika itu Allah turun ke langit dunia, Dia menyeru “Siapakah antara umat-Ku yang mahu memohon kepada-Ku, Aku tunaikan permohonan mereka.” Begitu jaga tatkala berada di depan Baitullah Al-Haram di mana aku seakan-akan terbuai dengan suasana keliling yang dipadati dengan orang yang malar beramal, lantaran menyuntik diri ini untuk mencontohi perlakuan para Duyufur-Rahman lain.

Sejujurnya, selepas menghadiri ceramah (manasik) ibadah umrah oleh Ustazah Lilis Mulyani di Surau Taman Semplang Sembulan pada Ahad 17/11/2019, hati ini terasa tidak sabar untuk berada sedekat-dekatnya dengan jasad kekasih Allah, jiwa ini terlalu teruja untuk mendepani Baitullah dan kaki ini bagai digaru-garu untuk menapak ke Safa Marwah.

Dalam kembara ibadah ini, aku menetapkan beberapa misi;

1.Memohon keampunan Allah atas segala dosa-dosa
2.Memohon dihimpunkan bersama keluarga di Syurga Firdaus
3.Maraton membasahi lisan dengan sejumlah zikir dan selawat
4.Maraton solat wajib, solat qadha dan diikuti maraton solat-solat sunat
5.Badal umrah
6.Infaq

Sabtu 7 Disember 2019 - 10 Rabiul Akhir 1441 H (Bermusafir meninggalkan rumah kediaman)

Mata palau meneguk jamu
Jamu ditutuk ditampi sapahnya
Aku bermanazil ke haramain-Mu
Harta dan anak kuserah pada-Nya

Jam 6.15 pagi, di muka pintu rumah kediaman, aku berdoa diaminkan oleh isteri dan dua orang permata hatiku, kebetulan anak ketigaku berada di Kota Kinabalu (cuti semenjak 04 November kerana menghadiri peperiksaan kertas terakhir ACCA Jumaat 6 Disember). Aku memohon dipermudahkan perjalanan ibadah, dikurniai dengan ibadah umrah maqbullah, memohon kesihatan sepanjang perjalanan, sihat semasa berada di Tanah Suci, sihat selepas kembali ke tanah air serta menyerahkan anak pinak dan harta benda ke bawah perlindungan-Nya. 


Foto kenangan di KKIA 

Dengan bagasi yang minimum (3 helai jubah, sepasang seluar / baju, sepasang kurta, sepasalinan kain ihram, pemanas air, periuk nasi mini, beras, minuman 3 plus one, makanan kucing (Friskies), supplement, ubat-ubatan dan bahan-bahan infaq), kami meninggalkan kediaman menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) untuk berkumpul di sana. Sempat menyantuni beberapa kenalan sesama duyufurrahman serta merakam foto untuk memori dan kenangan. Di KKIA, kami disantuni oleh petugas pengiring adik Norain Juwadi, staff Nurmultazam serta rakan-rakan setugasnya. Allah memberi  kesempatan untuk aku dan suriku ke surau KKIA untuk solat Dhuaa.

Usai mengaminkan doa yang dibaca oleh salah seorang duyufurrahman (Ustaz Azman), aku mendakap kedua-dua anakku sambil berpesan agar tidak meninggalkan solat lima waktu dan berdoa untuk ayah ibu selepas solat. Aku menyembunyikan rasa sebak ketika membalas lambaian tangan mereka berdua. Jam 8.20 pagi, aku melabuhkan punggung di kerusi 34 C, sebelah suriku, manakala kerusi sebelahku DuyufurRahman Kota Belud (Abd. Kayum Egis). Jam 8.43 pagi, pesawat Royal Brunei penerbangan BI 822 (Air Bus 320) berlepas ke Brunei Darussalam mengambil masa 25 minit. Usai tiba di Brunei jam 9.22 pagi, aku mencari lokasi premis perniagaan sekitar Airport. Di sana aku sempat membeli sebuah buku karangan Shamsul Mohd Nor bertajuk Bekalan Perjalanan Terindah, Haji Umrah dan Ziarah. Dengan perkenan-Mu Ya Allah, Engkau berikan aku peluang untuk menyantuni dan membahagi-bahagi infak pertamaku sebelum berlepas. Infaq juga diserah kepada beberapa jemaah dari negara Brunei yang sepesawat dengan kami yang ditakdirkan Allah duduk di kerusi berdekatan dengan kami di balai berlepas.

Disiplin menaiki pesawat adalah berdasarkan kelompok mengikut urutan Abjad. Aku dan suriku tergolongan yang paling akhir memasuki pesawat. Jam 10.46 pagi, kami melabuhkan badan di kerusi 37J dan suriku 37K, manakala kerusi yang satu ialah DuyufuarRahman dari Limbang untuk penerbangan ke Jeddah. Jam 11.06 pagi, pesawat Boeing 787 meninggalkan landasan. Aku mencapai tasbih analog memulakan bacaan selawat. Pada skrin LCD kami berdua, kami memilih paparan pergerakan pesawat ke destinasi Jeddah. Suriku beroleh peluang untuk menyantuni rakan yang duduk di sebelahnya. Semasa Spegeti dihidang untuk makan tengah hari, suriku sempat berbisik “kenapa bukan ayam atau daging masak kicap”. Allah Ya Allah, sesungguhnya Engkau maha mendengar kerana pada hidangan ke-2 jam 6.20 petang, kami disajikan dengan nasi daging masak kicap. Alhamdulillah, penerbangan berjalan lancar membolehkan kami membelek-belek manasik yang dibekalkan oleh agensi dalam penerbangan hampir sebelas jam. Sesekali aku menjengah ke luar jendela pesawat yang menghidangkan hamparan langit biru dengan sedikit kumpulan awan. Amat indah panorama yang Allah ciptakan.

Dengan izin Allah, pada jam 4.30 petang (waktu Saudi) 09.30 malam waktu Malaysia, kaki ini dapat menapak di Bumi Saudi yang mempunyai geografi yang agak hebat itu. Bumi para ambia Jeddah bukan hanya padang pasir, kering, tandus dan panas, tetapi ada juga kawasan yang sejuk serta dipenuhi dengan rumput menghijau. Turaift yang terletak di sempadan utara Saudi, merupakan bandar paling sejuk kerana pernah mencecah sehingga -12 C. Hail, sebuah bandar yang agak tinggi kedudukannya merupakan sebuah bandar pertanian. Suhu boleh menurun sehingga -10 C, manakala, Riyadh ibu kota negara Saudi pada musim sejuk mencecah sehingga ke 1 darjah celcius pada malam hari. 

Jam 4.55 petang, aku mula mendepani pemeriksaan Imigresan pertama. Waima melalui beberapa pemeriksaan namun pemeriksaan kemasukan ke Arab Saudi melalui Airport Jeddah, amat licin. Usai melepasi pemeriksaan jam 5.08 petang, aku menunggu suriku di luar kawasan pemeriksaan. Sementara menunggu mengutip bagasi masing-masing, suriku berkenalan dengan tiga beranak duyufurrahnan dari Kinarut. Aku turut mengesan dan menghimpun bagasi rombongan kami di suatu kawasan. Dengan mengheret bagasi masing-masing, kami bergerak meninggalkan terminal Jeddah. Usai berada di luar terminal, aku mencari lokasi musallah, tetapi tiada bekalan air disediakan untuk berwuduk. Aku niatkan untuk solat jamak kerana kami diarah untuk menyeberang jalan menuju ke lokasi bas yang sedang menunggu bagi perjalanan ke Madinah.

Kami berkenalan dengan dua orang mutawif muda dari Lombok Indonesia yang akan menyantuni kami di sepanjang ziarah. Usai menyimpan bagasi ke perut bas dengan bantuan pemandu warga Indonesia, mutawif menghitung jumlah jemaah dan memungut pasport bagi tujuan penyimpanan serta pembuktian andai diperiksa dalam perjalanan. Jam 7.15 malam, dua bas bergerak ke Madinah. Mutawif pengiring bas berlabel hijau ialah Ustaz Ahmady dari Indonesia yang mesra, petah, bijak lagi peramah dalam mengalu-alukan kehadiran apa yang disebutnya para Duyufurrahman (tetamu Allah). Bas yang berpelekat kuning di santuni oleh Mutawif Ustaz Zainudin.  Mutawif menyantuni kami dengan santunan yang mengusik jiwa duyufurrahman NurMultazam. Hati terpukul, minda terjentik, dada berombak dan mata bergenang apabila disebut sebagai Duyufurrahman. Kami dibahagi-bahagikan dengan nasi tapau berlauk ayam serta minuman botol. Hanya setapau kami kongsikan untuk dimakan bersama-sama di dalam bas manakala setapau lagi kami cadang untuk dimakan apabila tiba di hotel penginapan nanti. Kami dinasihatkan untuk berehat dalam suasana malam kelam dan perjalanan yang panjang. Hanya sebahagian lampu di dalam bas dinyalakan, bagi membolehkan untuk aku meneruskan marathon hitungan selawatku. Kadangkala hitungan selawatku terhenti tatkala terlelap.

Di perut bas, mindaku berputar mengimbau kenangan perjalanan haji datukku di tahun 60-an. Mereka dua beradik membawa bersama peralatan memasak, minyak masak, minyak tanah dan beras, berbeza dengan perjalanan dewasa ini yang hanya membawa sekadar sebuah beg dengan jumlah pakaian yang minima. Seingatku, datuk menaiki kapal Kimanis dari Kota Kinabalu. Mereka singgah di Kucing dan Singapura dan bertukar kapal Anshun di Pelabuhan Kelang. Banyak kenangan atas kapal yang dapat dikongsikannya, antaranya ialah ikan lumba-lumba berkejaran mengiringi kapal serta menyaksikan mayat jemaah yang di semadikan di lautan.

Setelah  tiga jam lebih dalam perjalanan, bas kami berhenti di kawasan R & R. Syukur Ya Allah, jemaah di persinggahan tidak terlalu ramai. Di situ terdapat beberapa buah kedai runcit, beberapa kedai makan dan stesen minyak. Kami menuju ke lokasi tandas yang kebetulan berada di sebelah sebuah surau. Oleh kerana aku masih memakai sepatu, aku meminjam selipar dari seorang pembersih tandas untuk melepas hajat dan berwuduk. Tandas begitu bersih dan aku boleh memilih tandas mengikut citarasaku. Aku hulurkan sedikit Rial Saudi kepada pembersih sebagai tanda terima kasihku. 

Usai menunaikan solat jamak maghrib Isyak, dan solat syukur, aku membeli dua botol air minuman, dua paket kerepak di kedai berdekatan. Dan membeli setengah kilo kekacang di gerai penjaja jalanan. Aku mengesan kedai minuman untuk membelikan suriku air teh susu panas.

Usai meninggalkan R & R, hati berbunga-bunga untuk segera tiba di bumi Madinah, bumi yang terdapatnya Masjid Nabawi (Masjid Nabi), dan di dalam masjid terletaknya makam baginda rasul. Masjid Nabawi dibina oleh Nabi kita sendiri bersama sahabat-sahabat Baginda dari golongan Ansar dan Muhajirin. Sejarah pembinaan Masjid Nabawi bermula ketika tibanya Baginda Nabi SAW ke Madinah. Pembinaan masjid Nabawi adalah dilakukan di tapak bertepatan dengan tempat di mana unta Baginda berhenti, ketika berhijrah dari Mekah. Tapak masjid tersebut dibeli baginda dari dua beradik yatim (Sahl dan Suhail).Tiang mihrab dibina dari susunan batu-batu dan temboknya dari bata-bata dan tanah. Bumbung masjid adalah daripada pelepah tamar manakala lantainya diratakan dengan anak-anak batu dan pasir dengan tiga pintu masuk. Ianya menjadi tempat pertemuan seluruh etnik dan kabilah yang pelbagai, dari sejak dahulu hingga kini. 

TIBA DI MADINAH

Setelah bergerak dalam kegelapan lebih dari lima jam, bas kami memasuki kota Madinah. Mutawif mencapai pembesar suara dalam bas untuk mengejutkan para duyufurrahman. Beliau memimpin bacaan doa “Ya Allah! Sesungguhnya ini adalah Tanah Haram-Mu maka haramkanlah dagingku, darahku dan tulangku dari api neraka. Ya Allah! Selamatkanlah daku dari azab Dikau di hari Dikau membangkitkan hamba-hamba-Mu. Daku memohon dengan-Mu kerana Dikaulah Allah yang tiada tuhan melainkan Dikau Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani! Dikau berselawat dan mengucapkan selamat sejahtera ke atas junjungan besar kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda sebanyak-banyak, selama-lamanya.” Mutawif muda Ahmady menyantuni para duyufurrahman bas berlabel hijau akan sirah nabi yang pernah mengatakan, "Di suatu ketika nanti, akan ada umat yang datang menyantuniku sedang mereka tidak pernah melihatku ......... mereka mencintai aku dan mereka akan beroleh syafaatku." Mindaku diterjah dengan ungkapan tersebut. Mutawif Ahmady mengetuai jemaah dengan bacaan selawat ke atas Rasulullah yang dinasyidkan. Gemersik alunan suara remajanya yang mendayu-dayu menjentik rasa menyebabkan sebahagian tetamu Rasulullah bergenang air mata malahan kedengaran isak-tangis yang perlahan tanpa ada rasa malu-malu tetapi penuh tulus ikhlas.

Di kejauhan terpapar cahaya bergemerlapan Masjid Nabawi, sekejap muncul sekejap hilang dek mata terhalang oleh hotel-hotel bertingkat sekitar kota Madinah. Terkadang pandanganku terhalang oleh genangan air mata kesyukuran yang hadirnya tanpa diminta. Tiada untaian kata yang dapat aku ungkapkan melainkan menzahirkan rasa teramat syukur beroleh jemputan-Nya ke kota Madinah untuk berada sedekat-dekatnya dengan Rasulullah. Bas kami berhenti di hadapan Hotel Mubarak Silver tetapi DuyufurRahman tidak dibenarkan meninggalkan perut bas sehinggalah memperoleh kunci bilik masing-masing. Tika lampu dinyalakan, sebahagian tetamu Rasulullah masih mengesat air mata. Aku merakam beberapa potret untuk dijadikan santapan mata kenangan apabila tiba di tanah air nanti. Usai menerima kunci bilik dari adik Norain dan semasa menuruni tangga bas, aku disantuni oleh Mutawif Ali Amin yang kukenali setahun lalu. Terasa getar di dada masing-masing ketika berdakap salam dan masing-masing bertanyakan khabar. Sejuta rasa syukur kepada Allah, kerana sering mempertemukan daku yang kerdil ini dengan insan-insan pilihan-Mu. Sudah tentu ini bukannya satu kebetulan tetapi dengan kehendak-Nya juga. Kami disantuni oleh Puan Hayati (pemilik NurMultazam), Mutawif Ali Amin serta  Haji Shamsul Baco (suami Puan Yati) yang telah berada di Madinah sejak 2 Disember mengurus lebih seratus jemaah sebelum ketibaan rombongan kami. 

Aku dengan mudah dapat mengesan beg-beg kami kerana kesemua bagasi dikumpulkan oleh pekerja hotel di lantai 9. Jam 12.25 malam aku dan suriku sujud syukur di bilik 916 dengan air mata bergenang. Bilik dilengkapi dengan dua buah katil, almari yang penuh dengan penyidai baju dan peti ais mini. Usai menyusun barang keperluan, aku bersiap dan berwuduk  sebelum menapak ke masjid.

Semenjak di tanah air lagi, aku dan suriku telah berazam untuk menikmatilah setiap saat untuk merangkul seberapa banyak pahala dengan melebihkan berada di masjid dari di bilik hotel. Sebenarnya kami ingin merasakan betapa akrabnya diri anda dengan Allah tatkala berada di masjid-Nya. Akan tetapi, pagi itu suriku menyertai tamu Rasulullah wanita yang pergi ke masjid secara berkumpulan sebelum subuh.

Sebelum meninggalkan bilik, di balik pintu aku menadahkan tangan, “Ya Allah, lindungilah aku dalam perjalanan ke masjid-Mu, jagalah lisanku, jagalah perilakuku, kekalkan wudukku hingga selesai beriktikaf di masjid-Mu dan permudahkan aku untuk berada di Taman-taman Syurga-Mu”. Aku tinggalkan suriku berseorangan di bilik kerana mereka ada agenda sesama duyufurrahman wanita untuk ke masjid dalam perjalanan yang berasingan. 

Seperti yang dijanjikan, jam 3.45 dinihari, kami (tidak sampai 20 orang) bergerak dengan santai meninggalkan Hotel Mubarak Silver sambil mata ini meliar menyaksikan sekeliling masjid yang bercahaya. Seni bina masjid Nabawi terlalu cantik untuk dinukilkan dengan mata pena. Usai menadah tangan membaca niat iktikaf di pagar masjid, mutawif muda Ustaz Ahmady dan Ustaz Zainuddin mengiringi kami ke dataran masjid dengan payung-payung gergasi masih lagi kuncup. Kami  bergerak ke pintu 4, menunggu untuk menunaikan solat subuh yang pertama bagiku di Masjid Nabawi. Dari pintu 4, jelas kelihatan pintu Bubus Salam, ruang jemaah untuk ziarah ke maqam Kekasih Allah. Aku solat tahaiyatul masjid, solat wuduk, solat tahajud, solat taubat, solat syukur dan solat hajat memohon restu-Nya dan memohon dipermudahkan untuk memasuki Taman-taman Syurga. Setiap ruang di dalam masjid mula dipenuhi oleh tetamu Rasulullah.

Usai subuh dan solat jenazah, kami bergerak menuju ke petak-petak sekatan menuju ke Taman-taman Syurga. Pergerakan kami agak terbatas dan terpaksa menunggu agak lama di petak luar yang telah dibendung. Aku teringat kenyataan mengenai adap menziarahi Makam Nabi SAW. Cara mudah untuk kaum lelaki ialah memberi salam buat mereka bertiga (Rasulullah, Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Omar). Setibanya di ruang luar Taman-taman Syurga, aku mengungkapkan kata-kata berikut “Assalamualaika ya Rasulullah. Assalamualaika ya habibullah. Selawat dan salam ke atas baginda junjungan besar dan kekasih Allah. Terima Kasih Ya Rasulullah untuk nikmat iman dan Islam, agama yang engkau ajarkan sehingga melangkau ke seantero dunia. Syafaatkan daku di akhirat nanti agar aku berpeluang menikmati air telaga Al Kausarmu. Syafaatkan daku untuk mudah memasuki Syuarga Allah.” Aku sampaikan kirimkan salam “Assalamualaika Ya Rasulullah… dari keluarga, sahabat dan rakan.” kemudian mengucap salam kepada Sayidina Abu Bakar as-Siddiq pula. "Assalamualaika ya Sayidina Abu Bakar as-Siddiq warahmatullahi wabaratuh." Seterusnya memberikan salam kepada Sayidina Umar al-Khattab pula. "Assalamualaika ya Sayidina Umar al-Khattab warahmatullahi wabaratuh." 

Alhamdulillah Ya Allah, jam 6.15 pagi, barulah kami dapat meloloskan diri ke Taman-taman Syurga, ditemani oleh Mutawif Ustaz Zainuddin sedang Mutawif Ustaz Ahmadi telah balik ke hotel terlebih dahulu bagi menguruskan tetamu Rasulullah yang akan mengadakan ziarah dalam.

Solatku di pertamaku di Taman-taman Syurga hari itu diselubungi dengan rasa sejuta bahagia.  Aku rasa bahagia kerana aku seorang Islam, bahagia kerana aku ada Rasulullah, aku boleh bersolat, aku boleh bersedekah, aku bahagia kerana semua umat Islam adalah saudaraku, dan kesemua saudaraku itu sama ada Pakistan, India, Bangladesh, Turki, Syria, Lubnan, Afrika, Amerika mahupun Asia, semuanya boleh aku temui di bumi ambia ini. Aku bahagia kerana aku punya keluarga, Allah mengurniakan aku kediaman yang lebih dari mencukupi, Allah menganugerahi aku dengan beberapa kenderaan yang membolehkan aku bergerak ke sana-sini, aku mampu memanjatkan doa, mampu berselawat, mampu berdzikir dan yang paling mendatangkan sepenuh kebahagiaan ialah, aku ada Allah. Allahu Akbar, betapa tenangnya jiwa ini tatkala berada di dekat jasad kekasih-Mu Ya Allah. Di Taman-taman Syurga aku sempat menunaikan solat taubat, syukur dan solat hajat dan rentetan doa yang beruntai-untai. Doa untuk diri sendiri, anak-isteri, ibu bapa, keluarga dan rakan kenalan agar dijemput menjadi tetamu-Nya dalam masa terdekat. Tiap kali aku sujud, di sujud akhirku, aku sujud lebih lama dari biasa. Terasa diri ini terlalu dekat dengan Sang Pencipta, Sang Pendengar yang setia dan Sang Pemakbul setiap doa. Mata bergenang, takungan air hampir mencurah dan dada menyesak.

Jam 7.40 pagi, kami meninggalkan Taman-taman Syurga, menuju ke hotel. Aku membayangkan sifat-sifat para sahabat Rasulullah. Mengikut pembacaanku, aku kagum dengan sifat lembutnya Abu Bakar, agressifnya Umar, pemalunya Othman dan beraninya Ali, kesemua mereka bersemangat patriotik yang tidak ada tolok bandingnya. Di pintu keluar aku melirik ke penanda waktu solat; Subuh (5.30 pagi - berbeza dengan Sabah sekitar 4.51 pagi), Zohor (12.13), Asar (3.14 petang - berbeza di Sabah 4.41 petang), Maghrib (5.34 malam berbeza di Sabah 6.32) dan Isyak (7.04 malam - berbeza di Sabah  7.42 malam).

Itinerari Ahad 08 Disember 2019- 11 Rabiul Akhir (hari pertama) 

Ziarah dalam

Alhamdulillah, Allah izinkan itinerari hari pertama ini berjalan atas perkenan-Nya. Usai sarapan pagi bersama suriku, para DuyufurRahman NurMultazam dibawa ke kawasan Perkampungan Saqifah Bani Sa'idah, tempat di mana berlakunya perlantikan penganti Rasulullah setelah kewafatan baginda. Di wajah masing-masing terserlah kegembiraan mengatasi keletihan.Aku secara sukarela merakamkan foto untuk memori kenangan ketika mutawif Ahmady memberikan info di kawasan berkenaan. Kawasan Saqifah Bani Sa'idah dipasang dengan kawat tidak boleh didekati kerana masih dalam proses naiktaraf. Kemudian lawatan diteruskan ke kawasan Masjid Ghammah) Awan, masjid di mana baginda Rasulullah memanjatkan doa meminta hujan kemudian beralih ke lokasi Masjid Sayidina Abu Bakar. Aku difahamkan kebanyakkan kawasan ziarah tengah diubahsuai dan ditutup kepada orang awam, termasuklah muzium Al-Quran, muzium Hasmatul Husna, Masjid Abu Bakar, dan Masjid Sayidina Ali.


Berfoto dengan berlatarkan (Saqifah Bani Sa'idah)
tempat pemilihan khalifah, selepas wafatnya Rasulullah


Di perjalanan ziarah menuju ke Maqam Rasulullah, aku hulurkan Saudi Rial kepada beberapa orang pembersih masjid yang memakai seragam hijau kerana menurut status yang pernah kubaca mengatakan, sedekah merupakan teman setia yang sedang menunggu kita di Mahsyar. Jaga sedekah setiap hari, kerana sesungguhny Allah menyukai orang yang suka bersedekah, malah malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari. Kalau boleh amalkan sedekah subuh kerana di sana Malaikat sedang menanti untuk mendoakan orang yang bersedekah di subuh hari. Percayalah Allah akan menganugerahi balasan berlipat-ganda ke atas sedekah yang dihulurkan. Aku sedikit terkilan kerana tidak dapat menyaksikan Al Quran yang ditenun dengan benang selama 32 tahun. Penyulamnya adalah seorang wanita dari Pakistan. Semasa menyerahkan Quran tersebut kepada Kerajaan Arab Saudi, beliau berusia 67 tahun. Diceritakan beliau mula menyulam pada usia sekitar 35 tahun. Beliau menyiapkan 10 jilid Al Quran yang setiap satunya mempunyai 3 juzuk. 

Air suam gaul kuih cacap
Cekur jerangau gaul pengaga
Jantung berdetap lisan mengungkap
Tujuan yang satu ke Taman Syurga

Foto kenangan di hadapan Masjid Nabawi.

Aku dan suriku memohon kepada mutawif untuk tidak mengikuti rombongan ke lokasi lawatan berikutnya. Kami memilih untuk mengisi perut di Rumah Makan Indonesia kerana ingin masuk ke Taman-taman Syurga selepas itu. Di perjalanan menuju ke pintu 16, kami menuju ke lokasi dekat Bubus Salam, untuk menunaikan solat dhuaa, solat taubat dan berdoa di bawah payung gergasi. Jelas terlihat olehku, jemah berbondon-bondon menuju ke Bubus Salam untuk menziarahi Rasulullah. Kami berada di situ beberapa ketika, sambil mata meliar memerhatikan gelagat tetamu kekasih Allah yang solat dan ada antara mereka menadahkan tangan untuk ritual doa. Suasana dingin memberikan suatu situasi damai, aman dan lapang terasa di dada ini.

Kami bergerak santai ke Rumah Makan Indonesia waima diterjah oleh peniaga yang sedia menanti di hadapan setiap kedai mereka. Tidaklah bahaya, akan tetapi andai menyinggah di kedai mereka, sukar untuk kita keluar tanpa membeli barangan mereka. Puji-puja seperti "Malaysia Bagus" menyantuni kami serta memujuk agar singgah di kedai mereka. Bukan berlagak sombong untuk tidak singgah tetapi kami memikirkan ada agenda lain yang akan kami depani selepas itu.

Di Rumah Makan Indonesia (lantai satu), aku memilih makanan kegemaranku, soup kaki kambing. Kami memilih meja sebelah tingkap berkaca bagi membolehkan kami melihat gelagat para Duyufurahman yang berkeliaran di bawah kedai-kedai sekitar kawasan tersebut. Usai makan tengah hari, kami tidak balik ke hotel, malahan meneruskan maraton iktikaf di masjid sehingga menjelang isyak. Di suasana damai lagi tenang, Allah memberi peluang kepadaku untuk marathon selawat, tilawah, solat-solat sunat dan doa yang tidak putus-putus.

Kami berjanji untuk tidak tunggu menunggu antara satu sama lain, melainkan balik terus ke hotel selepas solat isyak. Di laluan balik, aku singgah di Food Court untuk membeli sebuku roti dan cheese. Aku bergabung dengan suriku untuk santapan malam dan membersihkan diri sebelum tidur.

Semasa berada di atas tilam empuk, kami berkongsi cerita manis ketika beribadah di Masjid Nabawi di hari pertama. Aku sedih bila teringat pada baginda Rasulullah dalam hidupnya tidur hanya beralas pelepah kurma dan kain kasar, sedangkan aku tidur dengan selesa lengkap bantal empuk dan didingini oleh Aircon. Aku teringat kata-kata Mulana Syed Ahmad Khan, "Semasa kita berada jauh dari tempat Nabi (di negara sendiri), tapi dekat dengan fikiran nabi yang sentiasa risau terhadap nasib umatnya, tapi sekarang aku dekat dengan tempat Nabi tapi kita jauh dari memikir tentang risaunya Nabi". Aku berazam untuk melakukan maraton selawat, solat-solat sunat dan mengunjungi tempat-tempat yang pernah dijejaki oleh kekasih Allah.

Sebelum melabuhkan jasad, aku membaca doa sebelum tidur, Al Ikhlas, Al Falaq, An Nas, membaca syahadah, selawat dan merangka angan-angan untuk menziarahi Telaga Iziq Madinah, andai ia termasuk dalam itinerari lawatan luar. Sejarah telaga tersebut di mana suatu masa dahulu airnya teramat masin, tetapi telah ditawarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. yang airnya boleh dijadikan ubat waima kini airnya sedikit masin. Kedudukannya tidak jauh dari Masjid Quba.

Itinerari Hari ke-2 di Madinah - (9 Disember 2019 -Isnin) Ziarah Luar

Jam 3.00 dinihari aku bangun dengan membaca doa bangun tidur, “Alhamdulillah hilazi ahayana ……….. “. Sementara suriku masuk ke kamar mandi, aku menggosok baju kami berdua dan memasak air panas. Usai mandi pagi, kami mengisi perut dengan 3 keping roti tiap seorang dengan sapuan cheese sebagai sahur puasa Isnin. Pagi itu aku menyelak langsir kamar kami yang kebetulan lokasinya di sudut hotel. Aku memerhatikan ke luar jendela bagi menyaksikan panorama pagi indah sejuah mata memandang. Kebetulan hotel Mubarak berada di lokasi yang tidak terhalang oleh hotel-hotel lain. manakala kedudukan kamar kami membelakangi Masjid Nabawi. 

Usai mengenakan sarung tangan, sebelum meninggalkan bilik jam 3.45 pagi, di balik pintu kami berdoa “Ya Allah, selamatkanlah kami dalam perjalanan menuju ke masjid-Mu, jagalah lisan kami, jagalah perilaku kami dan kekalkanlah wuduk sehingga kami selesai beritikaf di masjid-Mu.” Aku seberapa boleh berhajat untuk mengikut resam Rasulullah di mana setelah hampir berlalunya setengah malam, Baginda akan bangun berwudhu’ dan mendirikan Solat Tahajjud. Apabila berbaki 1/6 malam pula, Baginda akan kembali tidur untuk merehatkan badan. Baginda akan terus tidur sehinggalah mendengar laungan azan dari Bilal radhiyallahu ‘anhu untuk solat subuh. 

Di perjalanan dari hotel ke masjid, aku genggam erat tangan suriku menuju ke pintu 25, aku dan suriku membaca doa iktikaf. Melalui lorong yang diapit hotel dan kedai-kedai yang masih belum beroperasi. Sepagi itu, telah ada DuyufurRahman yang menuju ke destinasi yang sama. Aku santuni suriku dengan menghantarnya ke ruang solat wanita dan hanya beredar apabila kelibatnya tidak terlihat olehku. 

Usai minum air zam-zam, aku menunaikan solat tahaiyatul masjid, solat wuduk. Kemudian aku merapat ke saf hadapan kanvas pemisah Taman-taman Syurga untuk solat tahajud, solat tubat, solat syukur dan solat hajat. Waima hari ini rombongan kami akan membuat lawatan luar, aku tidak terus balik ke hotel, malahan menunggu untuk solat jenazah kerana mengikut perkiraanku hanya agama Islam sahaja yang menghormati jenazah sebegitu rupa. Disempurnakan dengan mandian yang lengkap, dikafan, disolatkan sebelum di hantar ke liang lahad. Aku basahkan lisan ini dengan megamalkan istighfar setiap saat. Kerana dengan istighfar Allah akan ampun dosa kita walaupun dosa kita sebesar dunia ini, Insya Allah Allah akan ampun dosa-dosa tersebut. Hati yang penuh dengan dosa akan menyebabkan nor hidayah Allah tidak menembusi hati yang disaluti najis dosa. Jadi basuhlah hati kita dengan istighfar pasti nur hidayah Allah akan terus memancar masuk ke lubuk hati. Apabila Nur hidayah masuk maka banyaklah pertolongan akan memandu kita ke Syurga Allah. Usai selesai segalanya aku menuju ke tandas tingkat bawah Masjid Nabawi. Jam 6.20 pagi, semasa menunggu giliran melepas hajat, aku melihat kelibat orang sekampungku Tuan Haji Osman Ghani. Aku menyantuni sahabat sekampungku itu yang juga ziarah dengan agensi umrah lain.

Aku berangan untuk melawat kilang cetak al-Quran yang terbesar di dunia yang terletak di Madinah. Kompleks Percetakan Al-Quran Raja Fahd ini telah dibuka pada tahun 1985 lagi. Ia dirasmikan sendiri oleh King Fahd bin Abdul Aziz. Penghasilan terjemahan al-Quran juga telah dipergiatkan di sini. Sehingga kini, mereka telah menterjemah al-Quran kepada 39 bahasa penutur di Asia seperti Malaysia, Indonesia, Azerbaijan, Urdu, Turki dan lain-lain. 19 jenis terjemahan bahasa penutur di benua Afrika dan 16 jenis bahasa penduduk Eropah. Kilang ini mempunyai 12 buah mesin cetak utama yang mampu mencetak sebanyak 10 ribu helaian berbagai warna dalam masa sejam. 60 buah mesin lagi untuk proses penjilidan yang sangat pantas. Semuanya dilengkapi dengan teknologi terkini yang mampu mengesan kesalahan yang ada.

Usai mempersiapkan diri, kami berkumpul di luar hotel untuk ziarah luar Madinah. Semasa hayatnya, Rasulullah akan pergi ke Quba’ pada setiap hari Sabtu dan menunaikan solat di Masjid Quba’. (Menurut hadith riwayat Ibnu Majah). Mulianya masjid ini, sehingga dikatakan, barangsiapa yang bersuci dari rumahnya dan kemudian datang untuk solat di sini sebanyak 2 rakaat, pahalanya adalah umpama menunaikan sekali ibadah umrah. 

Bas kami meninggalkan hotel menuju ke Masjid Quba. Di tengah laluan, bas memperlahankan kelajuannya bagi membolehkan Tetamu Rasulullah membaca doa untuk penghuni Baqiq. Bas kami berhenti di kawasan yang agak jauh dari Masjid Quba kerana kawasan Quba yang terlalu padat. Untuk mempercepatkan ziarah, mutawif meminta agar jemaah tidak membuat urusan membeli barang di kawasan masjid tersebut. Aku sempat menunaikan solat tahaiyatul masjid, solat dhuaa, solat taubat dan solat syukur. Sementara menunggu jemaah berkumpul, aku memohon kepada kedua mutawif untuk membeli kurma masak  (fresh) bagi diinfaqkan kepada duyufurrahman di kedua-dua bas. Di sana aku terjumpa dengan sahabatku yang pernah sama-sama menabur bakti sebagai pendidik di SMK Sanzac. Kami berdakap salam sambil bertanyakan khabar masing-masing. Telaga Iziq tidak termasuk dalam senarai lawatan kerana aku faham akan terlalu padatnya duyufurrahman ketika itu, Mutawif sukar untuk mengawal jemaah.




Allah pertemukan aku dengan sahabat yang pernah sama-sama mendidik
anak-anak SMK Sanzac (Cikgu Haji Zaharuddin - Negeri Sembilan))


Lawatan diteruskan ke Ladang kurma tetapi tidak membeli sebarang buah tangan. Kami berada di situ hampir empat puluh minit bagi memberi ruang kepada jemaah untuk melaram kurma. Aku merakam beberapa foto yang menceritakan gelagat tetamu Allah yang membeli kurma, kekacang dan aneka choklet. Urusan pembeian kurma aku serahkan kepada suriku.

Bas kami bergerak ke Jabal Uhud. Di situ terdapat Bukit Pemanah yang mana di sinilah harta rampasan perang diletakkan. Nabi Muhammad SAW telah berpesan supaya jangan sesiapapun meninggalkan medan perang tanpa arahan baginda. Namun pesanan baginda tidak diendahkan. Malahan mereka sibuk mengambil harta rampasan perang. Disebabkan keingkaran mematuhi arahan baginda maka pihak musuh mengambil kesempatan ini dan mengakibatkan Islam berundur dan 70 orang suhada sayhid di pertempuran tersebut. Sempat berbelanja sehelai sejadah Raudah yang kuniatkan untuk diinfaqkan ke masjid yang akan ku pilih sekembali ke Tanah Air nanti. Sempat juga membeli beberapa songkok untuk buah tangan. Usai merakam foto berkumpulan, kami meninggalkan permakaman Uhud hampir lewat tengah hari. Lawatan tidak diteruskan ke Kilang Cetak Quran, rasanya masih belum dibuka untuk dikunjungi.




foto di Jabal Uhud

Oleh sebab berpuasa, aku langsung ke masjid manakala suriku ke ruang makan sebelum ke masjid untuk menunaikan solat dzohor. Allah Ya Allah, dengan izin-Mu aku memperoleh kesempatan untuk berada di Taman-taman Syurga jam 1.16 petang setelah menunggu di luarnya. Paling aku terkesan, aku menggenapkan hitungan selawatku mencapai 5 angka ketika bersesak-sesak di luar Taman-taman Syurga. Aku solat taubat, solat syukur, dan solat hajat di dalamnya, dan berdoa agak panjang dari biasa. Aku meninggalkan Taman-taman Syurga pada pukul 1.50 petang dengan berjuta rasa yang tidak mungkin dapat aku nukilkan dengan mata pena, berdebar, sebak, gembira, pilu dan sejuta syukur. Amat mudah untuk memasuki Taman-taman Syurga selepas zohor, ketika para duyufurrahman lain berpusu-pusu balik makan ke hotel, aku pula menyusup masuk mengintai-intai peluang ke Taman-taman Syurga. 

Usaha mendambakan diri serta menikmati kemanisan beribadah di Masjid Nabawi, aku selang-selikan dengan membaca Al-Quran, solat-solat sunat dan berdoa sementara menantikan azan. Aku terkesan dengan sesuatu yang aku baca sebelum ini yang mengungkapkan, “Lakukanlah Tilawah Al-Qur’an sebelum terbit matahari. Alangkah elok sebelum mata melihat dunia siang, mata sebaiknya disajikan dengan membaca Al-Qur’an terlebih dahulu. Paling tidak jika sesibuk apapun kita, bacalah walau beberapa ayat dengan penuh penghayatan.” Aku menyambung tilawah Al-Quran untuk dikhatamkan. Tilawah tersebut telah aku mulakan beberapa minggu sebelum bertolak ke tanah suci. Puasa memberiku ruang untuk aku beriktikaf lebih lama di dalam masjid dan hanya balik selepas asar.

Usai solat asar, aku balik ke hotel untuk mandi dan bertukar jubah dan kembali ke masjid, tatkala azan maghrib dikumandangkan. Aku melihat suatu suasana yang aku kagumi di mana kawasan berbuka begitu mengujakan dengan deretan ratusan hamparan safarah. Aku memilih suatu Safarah untuk berbuka puasa bersama-sama warga Pakistan, India, Turki, Indonesia dan warga tempatan. Menikmati minuman air zam-zam roti dan kurma tanpa memilih ras bangsa. Usai Iqamat dikumandangkan, petugas masjid berpakaian hijau menggulung plastik jernih yang digunakan untuk meletakkan makanan  dengan pantas tanpa meninggalkan sampah di atas karpet. Hari itu buat pertama kalinya aku solat Maghrib Isyak di ruang belakang-belakang.

Balik ke hotel selepas isyak dan makan malam di Lantai satu. Di saat bersabar menunggu giliran untuk menyudu makanan, aku teringat akan tentang kehidupan Nabi Muhammad saw. Nabi hidup sehari kenyang dan sehari lapar bukan kerana Nabi amalkan diet, atau Nabi muflis, tapi kerana rumah Nabi memang kadangkala tiada makanan. Oleh itu, bersyukurlah kita mendepani makanan waima berbaris agak panjang, dan jangan bersungut mengenai kualiti dan kuantiti makanan yang dihidangkan kerana Nabi pernah meletakkan batu pada keliling perutnya untuk menahan lapar. Pernah di suatu pagi ketika baginda hendak bersarapan, isteri baginda memberitahu bahawa makanan tidak ada. Maka Nabi dan isterinya buat keputusan untuk berpuasa. Mataku meliar mencari lokasi suriku, dan akhirnya menyertai nya di suatu sudut untuk makan malam bersamanya.

Sebelum tidur, usai memberdihkan diri, aku dan suriku menyusun barangan yang dibeli ke dalam beg besar. Aku berazam melangkahkan kaki ini ke masjid terlebih dahulu sebelum melangkah ke tempat lain, kerana masjid merupakan pusat keberkatan, bukan kerana panggilan muazzim tetapi panggilan Allah yang menjemput orang beriman memakmurkan masjid-Nya. Dan sesungguhnya Allah mengurniakan kemenangan dan kejayaan kepada mereka yang menambat hati mereka di masjid-masjid. Jam disetkan ke angka 3.10 pagi. Aku membaca doa sebelum tidur, Al Ikhlas, selawat dan Ayat Kerusi.

Itinerari Hari ke-3 di Madinah - (10 Disember 2019 -Selasa) Acara bebas

Sebelum loceng telefon bimbit berbunyi, kami berdua telahpun terjaga dari tidur. Aku membaca doa bangun tidur, “Alhamdulillah hilazi ahyana ……….. “. Sementara memberi ruang kepada suriku untuk penggunaan tandas bagi membersihkan diri, aku memasak air panas dan menyediakan sarapan pagi (minuman coklet keluarga untuk aku dan minuman tiga plus satu teh tarik untuk suriku) yang kami bekal dari tanah air. Usai sarapan, aku memakai sarung tangan dan membaca doa beriku di balik pintu hotel, “Ya Allah, lindungilah kami dalam perjalanan ke masjid-Mu, jagalah lisan kami, jagalah perilaku kami, kekalkan wuduk kami hingga kami selesai beriktikaf di masjid-Mu ”.

Jam 3.51 pagi, sambil menggenggam erat tangan suriku, kami menyusuri jalan di celah beberapa bangunan menuju ke Masjid Nabawi seperti Hotel As Saha, Bangunan Bahauddin, dan Hotel Fairuz Assatah. Aku menemani suriku yang menapak ke ruang solat wanita selepas melintasi pintu 25, dan memerhatikannya dari luar hingga kelibatnya hilang dari mataku. Aku menuju ke pintu 20, 21 dan 22.

Dalam perjalanan menuju ke Taman-Taman Syurga, aku teringat apa yang dikatakan oleh Abu Dzaar, “Kekasihku Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan tujuh hal padaku iaitu : Mencintai orang miskin dan dekat dengan mereka, memerintah agar melihat pada orang di bawahku (dalam hal harta) dan janganlah lihat pada orang yang berada di atasku, memerintahkan padaku untuk menyambung tali silaturahim (hubungan kerabat) walau kerabat tersebut bersikap kasar, memerintahkan padaku agar tidak meminta-minta pada seorang pun, memerintahkan untuk mengatakan yang benar walau itu pahit, memerintahkan padaku agar tidak takut terhadap celaan saat berdakwa di jalan Allah, dan memerintahkan agar memperbanyak ucapan “laa hawla wa laa quwwata illa billah” (tidak ada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah), kerana kalimat tersebut termasuk simpanan di bawah ‘Arsy.” 

Langkahku terhenti tatkala mendekati kawasan Taman-taman Syurga. Lantas lisanku mengungkapkan kata-kata selawat berikut “Assalamualaika ya Rasulullah. Assalamualaika ya habibullah. Selawat dan salam ke atas mu junjungan besar dan kekasih Allah.  “Assalamualaika Ya Rasulullah… Aku sampaikan kiriman salam dari keluarga, sahabat dan rakan.” Salamku aku teruskan untuk Saydina Abu Bakar dan Sayidina Umar Al Khattab. “Assalamualaika ya Saydina Abu Bakar. Assalamualaika ya Sayidina Umar Al Khattab. Aku merapat ke kawasan kanvas pembahagi Taman-taman Syurga tetapi memilih untuk tidak memasuki ke taman tersebut.

Aku memilih satu kawasan yang tidak berapa ramai tetamu Rasulullah dan menunaikan marathon solat di selang-selikan dengan rentetan pelbagai doa. Solatku dimulai dengan solat tahaiyatul masjid, solat wuduk dan diikuti dengan solat-solat sunat lain. Pagi ini aku tilawah agak panjang kerana hanya tinggal beberapa helai sahaja lagi untuk bakal tiba ke ayat Ad Dhuaa. Tatkala azan pertama dikumandangkan, aku merapat ke kanvas pemisah Raudah untuk solat sunat sebelum subuh. Usai subuh aku, menyusuri premis menjual barangan di laluan Jam Madinah. Di kiri kanan pintu terdapat kedai yang menjual barangan buatan Arab Saudi seperti sejadah, kurma dan cenderamata. Aku singgah di kedai bawah hotel berdekatan membeli beberapa botol minyak wangi kasturi putih, 5 tasbih panjang (500 biji) dan sebotol 1.5 gram zafron SR 20. Aku menyertai suriku di kafe hotel untuk sarpan pagi.

Jam 10.40 pagi, kami sepakat untuk keluar mencari pejabat telefon untuk mengurus masaalah telefon bimbit suriku. Kami makan di Rumah Makan Indonesia untuk kali keduanya. Di laluan balik ke masjid, aku singgah di kedai DeMark (gudang jubah Haramain), manakala suriku terus saja menyusuri laluan ke masjid. Aku tidak membeli jubah kerana pilihan warna yang tidak berkenan di hati. Selepas asar, aku balik ke hotel untuk menghadiri taklimat wada tanpa suriku yang mengambil sedikit rehat di dalam kamar kami. Aku sempat merakam beberapa rakaman foto kenangan. Taklimat wada disampaikan oleh mutawif Ustaz Ahmady. Aku dipelawa untuk duduk bersama-sama Ustaz Zainuddin di meja hadapan menghadap tetamu Rasulullah. Taklimat berkisar kepada adap ziarah wada Rasulullah, tujuk cara pemakaian ihram, soal-jawab permasalahan umrah dan penetapan masa berlepas meninggalkan kota Madinah. Usai taklimat aku menghantar kamera ke bilik dan mengajak suriku ke masjid untuk solat maghrib dan isyak. 



Taklimat wada, "Sayu rasa hati memandangkan, esoknya,
kota Madinah akan kami tinggalkan."

Aku menunggu suriku di pintu 25 untuk balik menyusuri Food Court dan beberapa baris hotel sebelum tiba di Hotel Mubarak Silver. Ketika melintasi bangunan Bahauddin, aku menyaksikan kelibat tetamu Rasulullah mengisi tiap ruang di kedai-kedai berhampiran yang berselerakan di sepanjang laluan. 

Usai makan malam, kami balik ke bilik. Aku meminta izin suriku untuk keluar mencari jubah warna anggur untuk dipakai semasa penerbangan pulang ke tanah air. Kami telah berjanji untuk memakai pakaian dengan warna yang sama ketika balik ke tanah air. Usai membeli jubah merah anggur dan membeli sejumlah songkok buatan Turki, aku balik ke bilik. Semasa melabuhkan badan di atas pembaringan, aku mengimbau cara Rasulullah berdakwah. Baginda berdakwah dalam situasi panas, letih dan lapar, berjalan puluhan kilometer ke Thaif tetapi disambut dengan lontaran anak-anak batu yang mencederakan baginda. Hari ini kita dalam keadaan kenyang dan sejuk (aircorn) tetapi dakwah entah ke mana. Baginda berdakwah dengan disambut caci maki dan hina dina, namun baginda tetap sabar. Kita beribadah semudahnya hanya bersusah-payah ketika berebut menaiki lif hotel, sudah mula membebel dan hilang sabar. Baginda terpaksa meninggalkan bumi kelahirannya dan berhijrah ke Madinah, semata-mata kerana untuk tujuan mengembangkan agama Allah, sedang kita enggan meninggalkan tanah air berdegil tidak mahu ziarah waima mempunyai biaya yang boleh dicukupkan. Aku sebak dan merasa malu kerana aku tidak mampu melakukan apa-apa melainkan hanya sedikit sahaja yang mampu aku lakukan dalam mengembangkan Islam agama kecintaan Rasulullah.

Itinerari Hari ke-4 di Madinah Rabu 11 Disember (Ziarah wada Rasulullah - Hari pertama di Mekah) 

Jam 1.30 pagi, kami terjaga dari tidur dan mula mengemaskan barang-barang untuk dimuatkan ke dalam beg. Rutin biasaku ialah memasak air dan menyediakan sarapan untuk kami berdua. Usai meletakkan dua beg besar di luar bilik, aku mandi sunat ihram. Usai mandi, jam 3.25 pagi kami bergegas ke masjid. Seperti biasa, kami membaca doa di balik pintu bilik sebelum bergerak dengan bersilang tangan dan meniatkan iktikaf di pintu pagar 25. Aku terbaca pesanan ringkas dari tanah air, adik awrah ibuku Hajjah Dayang Siti Hj Ampuan Yussuf dimasukkan ke Hospital Queen 1, Kota Kinabalu. 

Semasa ziarah wada, aku merapat ke kanvas pemisah Taman-taman Syurga dan membaca, “Assalamualaika ya Rasulullah. Assalamualaika ya habibullah. Selawat dan salam ke atas mu junjungan besar dan kekasih Allah. Salamku aku teruskan untuk Saydina Abu Bakar dan Sayidina Umar Al Khattab. “Assalamualaika ya Saydina Abu Bakar. Assalamualaika ya Sayidina Umar Al Khattab.” “ Ya Rasulullah, hari ini aku akan berangkat meninggalkan-mu, aku mohon Ya Allah, jangan Engkau jadikan kunjungan terhadap kekasih-Mu ini sebagai kunjungan terakhirku. Aku mohon Engkau jemput aku berserta keluargaku untuk kunjungan berikutnya dalam situasi sehat tubuh badan.”

Suasana di pagi hari ini diselubungi dengan rasa sedih dan pilu kerana hanya beberapa jam sahaja lagi, kami akan meninggalkan kekasih Allah dan meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Mekah. Marathon solatku malam terakhir itu ku akhiri dengan solat tasbih. Usai solat subuh dan solat jenazah selepas, aku bergerak meninggalkan masjid, menuju ke pintu 25, lokasi di mana kami bertemu janji.

Aku sepakat dengan suriku untuk bersarapan di lantai 1 hotel Mubarak Silver. Usai sarapan, kami berdua berlegar-legar ke beberapa premis di bawah hotel, bukan niat membeli tetapi sekadar menyaksikan persekitaran Kota Madinah untuk yang terakhir kalinya. Pada awalnya kami bercadang untuk meninjau ke hotel Al Haram, hotel yang pernah kami duduki sewaktu menunaikan haji dahulu. Kami melangkau ke beberapa bangunan yang agak jauh bagi menikmati suasana pagi yang damai dan menyegarkan. 

Sebelum zohor, aku mengenakan kain ihram dan bertolak ke masjid untuk solat zohor. Aku melanggar nasihat mutawif untuk tidak ke saf jauh kerana dirisaukan lewat keluar dari masjid. Dari pengamatanku, aku kerap bergerak melalui pintu 22 beberapa hari yang lalu yang mana aliran keluar jemaah begitu cepat dibandingkan dengan pintu 20 dan 21. Tambahan, aku merasa rugi andai solat tidak berada di saf-saf hadapan.Takungan air jernih hampir berjejeran. Tangan ku tadah “Ya Allah! Bahawasanya aku bersaksi bahawa Muhammad SAW pesuruh-Mu, waima aku hanya mengunjungi jasadnya akan tetapi izinkan aku untuk melihat baginda pada hari kiamat. Mudahkan urusan dunia kami dan permudahkan juga urusan akhirat kami. Dan janganlah engkau jadikan kunjungan ini berupa kunjungan terakhir buat kami berdua, jemputlah kami ke sini untuk kunjungan selanjutnya.” Usai puas bermunajat, aku mengalah dengan perasaan sayu, aku mengucap salam perpisahan untuk baginda kerana akan berlepas ke Mekah. 

Aku menemui suriku di suatu lokasi untuk merakam beberapa foto kenangan di Masjid Nabawi ketika dalam berpakaian ihram. Kami kembali ke hotel melalui lorong yang biasa kami lalui iaitu keluar dari pintu 25 menuju ke deretan hotel-hotel sebelum tiba di Mubarak Silver.

Jam 2.15 petang, dua bas Nurmultazam (bas kami REKAB 222) meninggalkan Kota Madinah menuju ke Masjid Bil Ali. Dengan rasa sayu yang menusuk, sebak dan pilu, aku mengintai menara masjid sehingga ia lenyap dari pandanganku di celahan bangunan hotel yang berdiri megah. Hati ini terasa pedih dilanda rindu bak ombak laut yang tidak berpenghujung, waima ombak tersebut menemui pasir pantai, namun ia kembali ke lautan untuk membentuk ombak baru. Semakin jauh kota Madinah itu kami tinggalkan, semakin kuat menusuk kerinduan itu hingga hatiku terbungkam menanggung kerinduan yang total. Di Bir Ali, kami diminta untuk menunaikan solat tahayatul masjid, solat sunat ihram dan aku mengambil kesempatan untuk menunaikan solat hajat dengan doa tambahan, "Ya Allah, aku memohon Engkau permudahkan perjalanan kami menuju ke Baitullah-Mu, kekalkan wuduk hingga selesai aku bertahalul di Baitullah-Mu dan aku memohon kebersihan pada pakaian dan tubuh badan kami." Sempat menghalakan lensa kameraku secara sembunyi-sembunyi dan terang-terangan untuk kenang-kenangan semua jemaah.

Di perut bas, mutaif mengetuai bacaan niat umrah. 

“Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah swt”, begitulah lafaz niatnya.

Niat umrah bersyarat bagi wanita yang khuatir disantuni darah haid semasa Ibadah Umrah :-

“Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah swt, sekiranya aku terhalang oleh sesuatu, ketika itu aku menjadi halal”.

Selepas berniat, bererti kita terikat dengan 13 pantang larang ketika dalam ihram seperti  :1.Tidak boleh menutup kepala bagi lelaki. 2.Lelaki tidak boleh memakai pakaian berjahit. 3.Tidak boleh menutup muka bagi wanita. 4.Tidak boleh memakai sarung tangan (lelaki dan wanita). 5.Tidak boleh memakai minyak wangi  atau bau-bauan sama ada di badan atau pakaian atau pada makanan, minuman atau menghidunya (Lelaki dan wanita). 6.Tidak boleh memakai minyak rambut (lelaki dan wanita) atau janggut. 7.Tidak boleh menangggalkan rambut / bulu (lelaki dan wanita). 8.Tidak boleh mengerat kuku (lelaki dan wanita). 9.Tidak boleh mencabut tanam-tanaman (lelaki dan wanita). 10.Tidak boleh memburu (lelaki dan wanita). 11.Tidak boleh bercumbu (melakukan pendahuluan persetubuhan). 12.Tidak boleh bersetubuh. 13.Tidak  boleh berkahwin. Mengahwinkan atau menjadi wakil kahwin. 

Jam 3.55 petang, bas kami bergerak menuju ke Mekah, dengan iringan, “Labbaika Allahumma labik, labaika laa syaariikalaka labbaik,” ….. mata ini bergenang meningalkan Kota Madinah, tetapi merasa tidak sabar-sabar untuk tiba segera menatap Baitullah. Selawatku diganti dengan dzikir.

Setelah hampir empat jam dalam perjalanan, bas kami berhenti di kawasan R & R. Kulihat bas yang diparkirkan di situ terlalu banyak dan menjangkakan kawasan tersebut dipenuhi dengan ramai tetamu Allah.

Usai turun dari bas, aku menuju ke tandas. Oleh sebab penggunaan tandas yang begitu terhad manakala duyufurrahman pula begitu ramai, aku membatalkan niat untuk membuang hajat dan memilih untuk menunaikan solat jamak Maghrib Isyak kerana masih dalam keadaan berwuduk. Kuperhatikan, hampir kesemua premis penjualan makanan dipenuhi oleh jemaah.

Sementara menunggu jemaah kembali ke dalam bas, aku terlihat kelibat kucing-kucing berkeliaran di hadapan gerai-gerai makanan. Aku memohon izin mutawif untuk menyantuni kucing tersebut dengan memberi makanan kucing (Friskies) yang aku bawa dari Sabah.

Bas kami bergerak dalam kepekatan malam. Aku meneruskan marathon dzikirku dalam bas yang bergerak lancar. Saat-saat bas kami memasuki kota Mekah, Mutawif Ustaz Ahmady mencapai pembesar suara dan menyantuni para duyufurahman dengan alu-aluan yang menyentuh hati.  Apabila kami semakin mendekati kota Mekah, aku melihat penempatan penduduk Mekah di kiri kanan jalan. Premis jualan berselerakan di kiri kanan jalan dengan dipenuhi oleh pembeli-pembeli lantaran awal malam baru saja bermula. Sudah tentu kedai menjual makanan menjadi tumpuan para penduduk Mekah. 

Ya Allah! Sesungguhnya Tanah Haram ini, negeri ini, ketenteraman yang ada di dalamnya dan hamba yang ada padanya, semuanya kepunyaan-Mu. Hamba-Mu ini datang menyahut panggilan-Mu dari negeri yang jauh dengan membawa dosa yang banyak dan amalan-amalan yang buruk, daku pohonkan kepada-Mu sebagai permohonan orang yang sangat berhajat kepada-Mu dan takut kepada azab-Mu agar Dikau terima daku dengan limpahan kemaafan-Mu dan masukkanlah daku ke dalam syurga-Mu, Jannatun Naim,

“Allahumma haadzaa haramu raasulika faj’alhulii wi qaayatan minannari wa amaanatan minal ‘adzaabi wa suu il hisaab”

Artinya: Ya Allah negeri ini adalah tanah haram Rasul Mu Muhammad, maka jadikanlah penjaga bagiku dari api neraka, terhindar dari siksa dan buruknya hisab.


Di kejauhan aku ternampak kelibat bangunan Clock Tower yang berada dalam bangunan Abraj Al-Bait. Royal Clock Tower ini mula di bina pada tahun 2004 dan disiapkan pada 2014 yang menelan belanja sebanyak USD 15 billion. Pemaju yang bertanggungjawab membina menara ini adalah dari Saudi Binladin Group manakala senibina rekaaan adalah dari arkitek Dar Al Handasah serta syarikat dari German iaitu SL Rasch GmbH. Di dalamnya terdapat muzium menara jam. Aku beroleh informasi bahawa kaunter tiket ada di dalam Abraj Mall di bahagian bawah tempat shopping mall. Kaunter di buka jam 2 petang. Harga tiket untuk Vip 300 riyal manakala harga tiket regular ialah 150 riyal. Informasi yang ku peroleh, di sana kita akan didedahkan dengan sistem galaksi yang berputar mengikut masa yang telah diatur oleh Allah s.w.t. Pergerakan matahari, bulan, bumi dan kesemua planet atas ketetapan masa yang dikawal oleh Pemiliknya iaitu Allah s.w.t. Semua kita dapat kaitkan. Seterusnya, kita boleh tengok sejarah jam bermula daripada zaman permulaan sehingga zaman digital, Kita boleh menyaksikan hampir keseluruhan kota Mekah.

Bas kami menyusuri Jalan Ibrahim Khalil dan melalui bangunan di sekitar Jabal Omar. Usai tiba di hadapan Hotel Narawat Sham 1, kami tidak dibenarkan meninggalkan bas selagi belum memperoleh kunci bilik masing-masing. Allah Ya Allah, kami memperoleh bilik di lantai 3 (308) yang dilengkapi dengan mini peti ais dan empat katil. Aku turun sendiri ke lobby hotel untuk mengesan tiga beg kami yang dilonggokkan di lobi. Jam 10. 00 malam, aku memohon izin kepada petugas hotel untuk mengangkat sendiri beg kami naik ke bilik.

Mendepani Ka’bah di tahun 2019.

Usai makan, kami turun berkumpul di lobby hotel. Kami dibahagi-bahagikan dengan satu set earphone setiap orang bagi membolehkan kami mendengar tiap ungkapan doa mutawif dan memudahkan kami melafazkan tiap untaian doa mutawif. Sesuatu perkembangan canggih yang terkini. Dengan  itu, mutawif tidak perlu terjerit-jerit agar Duyufurrahman yang berada di belakang mendengar apa yang dilafazkannya. Dengan laungan, ““Labbaika Allahumma labik, labaika laa syaariikalaka labbaik,” … kami bergerak ke Baitullah jam 11.35 malam. 

Laungan Labaikallah … dilantun dengan penuh semangat bercampur syahdu dan pelbagai rasa. Subhanallah… Walhamdulillah… Allahu Akbar… Aku terkedu setelah menatap panorama Masjidil Haram yang disuluhi oleh gemerlapan lampu limpah yang bersinar-sinar. Bagiku, labaikkallah yang aku lantunkan bukan sekadar meninggalkan segala larangan ihram tetapi nun jauh di lubuk sanubari, aku mahu bumi Mekah menjadi saksi dakwahnya rasulullah yang aku agungkan dan semua umat Islam agungkan. Labaikallah yang aku lakukan, andai tidak setanding sekurang-kurang mirip kepada usahanya Rasulullah s.a.w yang sentiasa kasih pada umatnya. Aku berazam untuk melakukan kebaikan sesama Dyufurahman di setiap peluang yang aku miliki bukan memilih hanya beberapa peluang.

Kami berjalan dengan langkah teruja dan perlahan disebabkan laluan ke Masjidil Haram sudah dipenuhi dan berhimpit-himpit dengan jemaah dari pelbagai pelusuk dunia. Pelbagai saiz dan warna kulit. Kami berhenti di suatu lokasi untuk mendengar taklimat ringkas mutawif ustaz Ahmady. Alhamdulillah…. Alhamdulillah… Alhamdulillah… di saat bergerak perlahan menuju ke dataran Baitullah, aku dapat menyaksikan sendiri keutuhan Ka’bah… Allahu Akbar… Allahu Akbar… Allahu Akbar… Masya Allah ……. Saat memandang bangunan kiblat umat Islam seluruh dunia, secara spontan lidahku mengungkapkan “Ya Allah, ampunkan segala dosa-dosku Ya Allah, ampun dosa kedua ibu bapaku dan ampun dosa anak isteriku. Dosa orang-orang kampungku, dosa guru-guruku dan dosa seluruh umat Islam sedunia. Masukkanlah kami ke dalam syurga-Mu tanpa dihisab dan kurniakanlah kami dengan umrah yang maqbullah”. Ketinggian Kaabah yang dikatakan 39 kaki setengah, di dalamnya terbina tiga tiang dengan keluasan memuatkan 50 orang dewasa dalam satu masa. 

Saat itu hatiku koyak diterjah dengan pelbagai rasa. Aku terkedu. Tersembul rasa kerdil yang tidak terungkap dengan linangan air mata sebak. Muncul rasa ‘khauf’ yang menusuk sehingga menggetarkan seluruh anggota badanku. Tanpa disedari kolam air mata sudah tidak dapat dipertahankan lagi tatkala mendepani Kaabah. Mujurlah aku antara yang berada di barisan belakang sekali membolehkan aku berpeluang menyembunyikan air yang tumpah dari kelopak mataku. Dada beralun dan hati semakin sebak, berdebar, gembira, teruja, terharu, sedih, sayu silih berganti, lantaran Allah masih memberi peluang kepadaku, suriku berada di Baitullah. Kami berniat tawaf dan beristilam di pepenjuru Hajrul aswad (lampu hujau). Aku gambarkan dengan kenyataan yang kubaca yang mengatakan setiap langkah akan di beri 70 ribu pahala, diampun 70 ribu dosa, diangkat 70 ribu darajat.

Aku teringat salah satu kisah dari buku yang kubaca bertajuk Kisah Sejarah Nabi Rasul karangan Salman Al Farasi, yang mengisahkan, bagaimana Nabi Daud mengenangkan dosa-dosanya. Nabi Daud  menuliskan dosa-dosa baginda di tapak tangan baginda, lantas mengenggam tapak tangan-Nya tanpa membuka sekian lama. Satu ketika, baginda meminta setengan gelas air munuman. Di saat hendak meneguk air tersebut, beliau membuka genggaman lantas ternampak renteten dosa-dosa baginda. Baginda menangis sehingga air mata-Nya memenuhi gelas terebut. Kita ini insan apa, kita menyesali dosa kelmarin dengan penuh sesal, tetapi mengulangi melakukan dosa terebut pada hari ini.

Sebelum lampu hijau, kami mengungkapkan, “Sahaja aku tawaf umrah tujah keliling kerana Lillahi Taala.” Di pepenjuru Hajar Aswad, kami melaungkan Bismillahi Ya Allah Allahu Akbar sambil memulakan putaran dengan menjaga agar bahu kiri tetap menghadap Baitullah. Semasa tawaf, aku mendongak ke arah Kaabah tanpa jemu-jemu. 

Setiap pusingan aku melintasi Maqam Ibrahim yang di dalamnya terdapat bekas telapak kaki Nabi Ibrahim sepanjang 27 CM selebar 14 CM yang dikawal rapi oleh petugas masjid bagi menghalang segelintir yang mengusap dan memeluk maqam tersebut. Perbuatan tersebut kadangkala menghalang kelicinan perjalanan pusingan tawaf.

Makam Nabi Ibrahim ini sebenarnya bukanlah perkuburan Nabi Ibrahim tetapi di sinilah tapak kaki Nabi Ibrahim dipamerkan. Kisah berlaku sewaktu Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail diperintahkan Allah untuk membina semula Kaabah. Oleh kerana tapak binaan Kaabah itu tinggi, maka Nabi Ibrahim pun menyusun naik batu-bata dan Nabi Ismail pula mengutip batu-batu yang besar. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan berkata, Wahai Tuhan kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya Engkau Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui” - Surah Al-Baqarah, ayat 127.

Dalam melaksanakan pusingan tawaf, aku tidak melepas peluang memanjatkan beberapa doa pribadi kerana masa itulah Allah menurunkan rahmat-Nya yang luar biasa dan masa itu juga beratus ribu malaikat tawaf bersama-sama dengan tetamu Allah, dengan doa utamaku “Jangan Engkau jadikan kunjungan ini merupakan yang terakhirku dan keluargaku, jemput aku, keluargaku serta sahabat-sahabatku untuk mengunjungimu. Andaikata ini merupakan kunjungan terakhir buatku, aku mohon semoga Engkau jadikanlah segala amal ibadatku di sini sebagai tabunganku menghuni Syurga-Mu nanti.”Tiap kali melalui kawasan Rukun Yamani, aku memanjatkan doa, “Ya Allah berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di Akhirat, serta hindarkanlah kami daripada seksa api Neraka”.

Usai Tawaf, kami melakukan solat sunat tawaf di Multazam. Itulah rokuk, sujud pertamaku di Masjidil Haram. Solat di belakang Maqam Nabi Ibrahim, memohon agar Allah ampunkan dosa-dosa laluku. Aku berdoa “Ya Allah, terimalah umrahku sebagai umrah yang maqbullah, terimalah solat aku, amalanku, sedekahku dan jadikanlah semua itu sebagai bekalku di akhirat nanti. Masukkanlah aku dan keluargaku ke dalam Syurga-Mu tanpa dihisab Ya Allah”. Aku mendongak ke atas di mana terpampang langit yang kosong. Mudah-mudahan betul apa yang pernah aku dengar dari ilmuan agama yang mengatakan, “Di Masjidil Haram, doa akan terus sampai kepada Ilahi kerana langit kosong tiada penghadangnya, tiada langsirnya dan tiada sempadannya.”

Mutawif ustaz Ahmady menggumpul jemaah di lokasi Multazam untuk mengaminkan doa yang dipimpin oleh beliau. Allah Ya Allah, air mata berjujuran mendengar doa yang menyentuh keinsafan semua para duyufurrahman. Ku tenung satu persatu, exspresi wajah tiap seorang dari kami menunjukkan rasa sebak apabila melihat kelibat suriku meluru mendapatkanku. Aku dakap dan aku kucup kening suriku tanpa rasa malu di hadapan jemaah NurMultazam lain. Kami berpelukan erat sambil air mata berjujuran membasahi pipi masing-masing. Haji Samsul dan rakan sejemaah bersilih ganti merakamkan foto berlatarblakangkan Kaabah. Kami beralih ke kawasan lain mencari air zam-zam buat membasahi tekak. Sambil minum aku duduk merenung tepat ke Baitullah yang terpampang di depan mata.

Saie dan Tahalul

Ketika kami mula bergerak ke Safa, kakiku begitu berat untuk meninggalkan kawasan dataran Baitullah. Jarak antara kedua bukit tersebut ialah lebih kurang 420 meter. Aku berdoa:“Bismillahirrohmaanirrohiim. Innas safaa walmarwata min sya’aairillah. Faman hajjal baita awi’tamara falaajunaaha ‘alaihi ayyatawaafa bihimaa wamantatawwa’akhairan fa innallaaha syaakirun ‘aliim”. Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Safa dan Marwah sebagian dari syiar tanda kebesaran Allah. maka barang siapa yang beribadah haji dan umrah ke Baitullah maka tidak ada dosa baginya mengerjakan saie’ di antara keduanya. Dan barang siapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaan hati maka sehungguhnya Allah Maha Penerima Kebaikan lagi Maha mengetahui.

Dari Safa kami berjalan santai sambil membaca doa-doa yang diketuai oleh Mutawif menuju ke Marwa. Apabila nampak lampu hijau kami berdoa. Sampai di Marwa kami berdoa dan kembali semula ke Safa. Begitulah perlakuan kami ulang sehingga 7 kali. Mengikut bahasa, Saie berasal dari perkataan ‘Sa’yu’ yang membawa makna berusaha. Iaitu betapa berusahanya bonda Nabi Ismail berulang-alik antara Bukit Safa dan Bukit Marwah untuk memperoleh air. Hikmah sa'ie: lambang kasih sayang seorang ibu pada anaknya. Jema'ah umrah wajib mengambil ibrah perjuangan Siti Hajar (isteri Nabi Ibrahim as) ketika mencari air dengan berlari antara bukit Safa dan Marwah sebanyak 7 kali dalam laluan batu berkelikir. Terasa penat kerana ia agak jauh iaitu kira-kira 3 km (lebih kurang 420 meter). Ketika inilah aku membayangkan kepayahan yang dialami oleh Siti Hajar semasa mencari air di tengah ketandusan padang pasir untuk anaknya Nabi Ismail a.s. Hentakan kaki Nabi Ismail a.s yang menangis kehausan itu akhirnya menyebabkan air terpancut keluar dari dalam bumi. Air ini dikenali dengan air zam-zam yang tidak kering-kering sehingga ke hari ini. Teladan yang aku pelajari dari kisah ini ialah kegigihan seorang wanita solehah dan melambangkan martabat wanita adalah tinggi dalam Islam. Akan tetapi, dewasa ini para duyufurrahman berulang-alik antara Safa dan Marwa dalam permukaan lantai rata dan sejuk berpendingin hawa, kecuali di lantai satu yang agak mendaki ketika mendekati Safa dan Marwa.

Di lokasi lampu hijau, jemaah lelaki sunat berlari anak dan berdoa : “Rabbigfir warham wa’fu watakarram watajaawaz’ammaa ta’lam, innaka ta’lamu maalaa na’lam. Innaka antallaahul a’azzul akram”. Ya Allah ampunilah, sayangilah, maafkanlah, bermurah hatilah dan hapuskanlah apa-apa yang Engkau ketahui dari dosa kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui apa-apa yang kami sendiri tidak tahu. Sesungguhnya Engkau Ya Allah Maha Tinggi dan Maha Pemurah. Nampak seperti mudah, tetapi ibadah saie memerlukan kekuatan fizikal terutamanya kaki. Kami bergerak dengan santai sambil membaca doa-doa tertentu atau sebahagian kami hanya mengikuti tertib yang dibacakan oleh mutawif pengiring kami. 

Andai dibuat hitungan, jarak perjalanan tawaf dan Saie, bolehlah kita anggarkan seperti berikut:

Jarak untuk tawaf keliling Ka'abah 7 pusingan sejauh 350-500M x 7 Pusingan sejumlah 3.5KM manakala jarak Saie dari Safa ke Marwah 450M  450M x 7 pusingan sejumlah 3.15 KM. Kesimpulannya, jarak yang kita lalui ketika ibadah umrah lebih kurang berjumlah 7KM

Usai saie di Marwah, aku bertahalul dengan berdoa, “Ya Allah, aku memohon semoga Engkau berikanlah cahaya di akhirat nanti seperti mana sejumlah rambut yang aku gugurkan,”. Aku memberikan giliran untuk suriku menggunting sedikit rambut sambil membaca doa tahalul. 2.45 pagi, selesailah umrah pertama kami. Rombongan duyufurahman Nurmultazam tidak berjaya berkumpul di batuan Marwah kerana jumlah duyufurahman yang terlalu padat. Kami beralih ke pintu keluar Marwah untuk berdoa. Usai berdoa dan menyerahkan earphone kepada Haji Shamsul, aku meminta izin kepada mutawif untuk beredar bersama isteriku. Kami tidak menyertai aktiviti seterusnya malah menyusuri laluan ke Safa untuk mencari laluan keluar untuk mencari selipar yang kami tinggalkan di salah satu pintu. Di dataran Kaabah, aku bagai terbius menyaksikan situasi ribuan jemaah berbondon-bondon mengelilingi Baitullah.

Usai memperoleh selipar masing-masing, aku dan suriku memasuki pintu aras bawah 81, 82 ,83. Aku menukar kain ihram kepada pakaian biasa (sememangnya beg silangku, kuisikan dengan sepasang kurta dan seluar dalam). Kami memilih bahagian belakang saf wanita untuk melabuhkan badan agar tidak mengganggu jemaah wanita lain. Ketika itu kawasan belakang ruang wanita masih lagi belum berpenghuni. Ia terpisah dari kawasan jemaah lelaki. Aku melabuhkan badan di sebalik tiang, tidak jauh dari lokasi suriku. Sehelai kain ihram aku jadikan bantal dan sehelai lagi aku jadikan selimut membaluti keseluruhan tubuhku (tidur di dalam Masjidil Haram). Kami berada di  kawasan tersebut hingga menjelang subuh, setelah dikejutkan dengan laungan azan pertama. Aku mengambil wuduk di kawasan pili pancutan air zam-zam lelaki.

Itinerari Hari kedua di Mekah Khamis 12 Disember (acara bebas)

Usai solat subuh dan solat jenazah, aku dan isteri bertemu di lokasi yang dijanjikan di belakang ruang wanita berhampiran tangga ke dataran luar. Dengan berpegangan tangan, kembali ke hotel menikmanti sarapan pagi bersama-sama duyufurrahman Nurmultazam. Laluan balik ke hotel sesak dengan para duyufurahman yang berpusu-pusu balik ke penginapan masing-masing. KFC dan Bank Al Radji menjadi penanda kami untuk balik ke hotel. Di kawanan lapang sebelum tiba di hotel, kami disapa oleh ribuan burung merpati yang setia menanti untuk mendapatkan habuan taburan jagung. 

Usai sarapan, kami kembali ke bilik penginapan untuk mandi dan mencuci pakaian. Sambil menggosok pakaian dengan sterika yang aku bawa dari kampung, kami berkongsi cerita dengan suriku, betapa aman, tenang dan damainya mendepani Baitullah di awal pagi. Aku teringat ungkapan yang dihantar melalui alpiksi Whatsapp yang lebih kurang berbunyi, andai bersedih carilah Allah bukan cari rakan taulan, andai bermasalah duduklah di sejadah bukan ke kelab hiburan dan andai ada masa terluang basahilah lisan kita dengan Al Quran bukan melayari Whatsapp, berSMS dan lain-lain. Hidup ini cukup indah andai kita tidak menyakiti hamba Allah lain waima kita sendiri disakiti, berpuas hati dengan apa yang kita mampu miliki bukan mengeluh pabila memikirkan tidak mampu memiliki apa yang orang lain miliki, dan biar orang lain menteladani kita jangan pula kita terikut-ikut gelagat orang lain.

Usai memasak nasi, aku membuka sardin “Taucu Ikan” keluaran Yeos bekal yang kubawa dari Sabah untuk persediaan makan tengah hari. Kami memilih untuk makan sendiri di bilik kerana ingin berlama di masjid. Kami berfikir, agak mencuri masa andai selepas zohor, kelam-kabut kembali ke hotel untuk makan tengah hari dan bergegas pula ke masjid menjelang asar. Oleh itu, usai menikmati makan tengah hari seadanya, jam 11.45 pagi kami bergerak ke masjid dengan berpegangan tangan (aku memakai sarung tangan). Amalan biasa kami ialah membaca doa di balik pintu memohon agar Allah melindungi perjalanan kami, menjaga lisan kami, memohon umrah kami diterima dan memohon agar wuduk kami terjaga sehingga selepas beriktikaf di dalam masjid. Apabila mendekati pintu masjid, kami membaca doa iktikaf. Usai solat zohor, aku mengisikan masa dengan marathon tilawah yang menghampiri ayat Ad Dhuaa.

Selepas asar, kami sepakat ke Kompleks Safwah untuk membeli cendera mata yang bakal dibawa pulang. Sebelum maghrib, kami masuk semula ke dalam masjid untuk solat Maghrib dan isyak. Kami memilih pintu yang sama iaitu 81, 82 dan 83.

Usai mengisikan sebotol plastik dengan isian air zam-zam, dan usai isyak, kami balik ke hotel dalam situasi amat padat dan berhimpit-himpit. Setibanya di hotel, kami menuju ke lantai satu untuk makan malam. Aku sempat memerhatikan gelagat sebahagian tetamu Allah dari agensi lain, berkumpul memenuhi tiap ruang yang tersedia. Berkemungkinan mereka sedang menggunakan perkhidmatan Wifi yang disediakan secara percuma oleh pihak hotel. Oleh sebab lif hotel terlalu sempit, kami lebih selesa turun naik bilik menggunakan tangga. Malam ini kami tidur awal bagi persediaan bangun seawalnya pada di keesokkan harinya.

Suatu kebiasaaan, sebelum tidur aku membaca doa sebelum tidur, membaca ayat Qul, Al Falak, An Nas, membaca tasbih, mambaca dua lkalimah syahadah dan diakhiri dengan Ayat Kursi.

Itinerari Hari ketiga di Mekah Jumaaat 13 Disember (acara bebas) 

Aku terjaga jam 1.45 dinihari, aku membaca doa bangun tidur, “Alhamdulillah hilazi ahayana ……….. “. Aku memasak air panas, mandi dan menggosok baju. Usai sarapan bersama suriku di bilik penginapan, jam 3.45 pagi kami bergerak ke masjid dengan berpegangan tangan. Rutin biasa, aku tadahkan di balik pintu berdoa agar pemergian kami berdua diredahi di dilindungi Allah. Kami berdua berhajat untuk solat di dataran Baitullah, mendepani Baitullah betul-betul di depan mata kami. Melalui pintu 81, kami menapak ke dataran Kaabah. Aku pastikan suriku berada di saf wanita bagi memudahkan aku menemuinya selepas solat.

Sebelum subuh, kami bergerak untuk mencari lokasi lain bagi menunaikan solat sunat lain (solat syukur, solat taubat, solat tahajud dan solat hajat) di sudut Rukun Yamani depan Baitullah. Aku terus-terusan menadah tangan memanjatkan doa, mengadu sepuas-puasnya …. Kepada Allah. Tidak ada yang dilakukan kecuali mensyukuri nikmat kesempatan berkunjung dan solat di depan Baitullah. Cara mendapatkan keredhaan-Nya ialah dengan bertaubat seperti taubatnya Nabi Adam a.s, meyakini hanya Allah tempat kita mengadu seperti yakinnya Hajar Alaiha salam akan perintah-Nya, membawa sifat sabar seperti sabarnya Nabi Ismail a.s tatkala dikhabarkan maksud mimpi ayahandanya, berkorban tahap tertinggi seperti mana pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan menanggung kerisauan setahap Nabi s.a.w yang membimbangi nasib umat-umat selepasnya.

Allah Ya Allah, air mata hampir menitis kerana Allah lebarkan peluang untuk aku sujud sajaddah di depan Baitullah-Mu kerana pada rakaat pertama, imam Masjidil Haram membacakan ayat sejadah pada rakaat pertama di pagi tersebut. Aku sentuhkan dahi dan hidungku rapat-rapat di atas karpet hijau yang membaluti lantai Masjidil Haram. Hati begitu tersentuh dengan bacaan imam begitu mendayu dan menusuk pada rakaat kedua, waima aku tidak faham apa maksud ayat yang dibacanya. Aku berlama di sujud terakhir dengan doa, "Ya Allah, janganlah Engkau jadikan kunjungan ke Tanah Suci-Mu ini untuk yang terakhir kalinya, jemputlah aku untuk mendatanginya untuk ke sekian kalinya di tahun-tahun mendatang bersama-sama keluargaku." Usai solat subuh dan solat jenazah, aku dan isteri bertemu di lokasi yang dijanjikan untuk kembali ke hotel menikmanti sarapan pagi bersama-sama. Usai sarapan, kami kembali ke bilik penginapan untuk merehatkan badan. 

Aku memasak nasi dan membuka sardin. Kami mencuri kesempatan untuk mencuci beberapa helai pakaian, dan disidai di dalam tandas dan di tingkap hotel. Usai makan di bilik penginapan, jam 11.15 pagi, kami bertolak awal ke masjid kerana meramalkan suasana padat di Masjidil Haram. Hari Jumaat merupakan hari kelepasan Arab Saudi di mana masa inilah warga Saudi bertumpu ke masjid untuk tujuan ibadah, iktikaf, tawaf dan marathon tilawah. Syukur Ya Allah, pada hari Jumaat yang dikatakan Saidul Ayam, ketika berada di Masjidil Haram, Engkau rezikikan aku khatam Al Quran. Niatku terlaksana kerana semenjak di tanah air lagi, aku tanamkan azam untuk hatam di Tanah Suci.

Usai asar, kami sepakat untuk balik ke hotel. Di perjalanan, aku membeli beras BasMathi Pakistan, roti buku buat sarapan pagi untuk keesokkann harinya, dua biji timun untuk dibuat ulam dan menuju ke bangunan Wadi Ibrahim untuk membeli dua gelas air tebu asli perahan mesin yang berkualiti. Di perjalanan balik ke hotel, aku singgah pula membeli ais kerim di Jalan Ibrahim Khalil. 

Kami bertolak ke masjid sebelum maghrib dan balik selepas isyak untuk makan malam di kafe hotel. Malam itu, kami berkongsi cerita masing-masing, bercerita saat manis menjadi tetamu Allah. Kesemua cerita manis itu akan kami simpan di peti simpanan kekal di hati masing-masing. Aku menyemak foto-foto dari kameraku. Membaca doa sebelum tidur, Ayat Al Ikhlas, Al Falaq, An Nas, selawat, isighfar, membaca dua kalimah sahadah dan ayatul Kursi.

Itinerari Hari keempat di Mekah Sabtu 14 Disember (Ziarah luar / Jabar Rahmah) 

Syukur Ya Allah, aku bangun jam 3.10 dinihari dengan membaca doa bangun tidur, “Alhamdulillah hilazi ahayana ……….. “. Memulakan aktiviti dengan memasak air panas, sarapan dua keping roti, dan makan buah. Kami teruskan dengan Rutin yang telah kami amalkan semenjak berpijak di Madinah, kami amalkan iaitu membaca doa di balik pintu. “Ya Allah, mudahkanlah perjalanan kami menuju ke Masjid-Mu, kekalkan wuduk kami sehingga kami selesai beriktikaf di masjid-Mu. Jagalah lisan dan jagalah perilaku kami dan permudahkanlah kami untuk bersolat di dekat Baitullah-Mu” dan bergerak dengan berpegangan tangan jam 4.00 pagi.

Apabila tiba depan pagar masjid, kami membaca doa iktikaf. Kami langsung menuju ke lantai bawah Masjidil Haram. Aku menunaikan solat sunat Tahaiyatul Masjid, Solat sunat wuduk, Solat Tahajud, solat taubat, solat syukur dan solat tasbih pertamaku di Masjidil Haram. Sementara menunggu azan kedua, aku membuka lembaran Al-Quran untuk memulakan tilawahku yang mana nanti akan ku khatamkan di tanah air. Usai solat jenazah selepas solat subah, aku menemui suriku untuk pulang ke hotel bagi menyertai ziarah luar. 

Usai mandi dan bersiap, aku masukkan kain ihram ke dalam beg sandangku. Jam 7.55 pagi, bas kami bergerak ke Gunung Tsur. Aku merakam foto kenangan secara sukarela di kawasan tersebut. Aku saksikan kelibat penduduk Arab warga Yaman yang sibuk mempromosikan foto-foto Masjid Nabawi dan foto-foto Masjidil Haram. Asyik juga melihat beberapa jemaah NurMultazam mengambil kesempatan membeli buku foto tersebut. Kami disantuni dengan tazkirah ringkas oleh Mutawif Ahmady. Lawatan diteruskan ke Jabal Rahmah. Bas kami tidak boleh parkir mendekati Jabal Rahmah. Jabal Rahmah begitu sinonim dengan kisah pertemuan Adam dan Hawa setelah terpisah selama 200 tahun. Nabi Adam dikatakan dikeluarkan dari Syurga Allah ke Bangladish (India) manakala Hawa ditempatkan Allah di Mekah. Arafah tidak pernah sunyi dengan kunjungan umat Islam seluruh dunia. Kita perlu mendaki dengan menaiki 168 anak tangga untuk tiba di atasnya. Sempat belanja aiskerim istimewa dan membeli sepasang jubah untuk menantuku.

Kami bergerak melewati Mudzalifah dan tapak perkehemhan Mina. Pemandu memperlahankan pergerakan basnya bagi membolehkan kami menyaksikan panorama luasnya tapak Mina tersebut. Aku menjenguk keluar jendela mengintai khemah Maktab 94, tempat kami menginap di musim haji tahun 2015.

Bas kami bergerak ke Ji’ranah untuk membolehkan para duyufurrahman berniat umrah kali keduanya. Ji’ranah mempunyai sejarah yang tersendiri. Rasulallah saw sendiri melakukan umrah dari Ji’ranah. Di sinilah juga tempat Rasulallah saw berihram untuk melakukan umrahnya yang ke tiga kalinya. Ibdu Abbas meriwayatkan bahwa bahwa Rasulallah saw melakukan umrah selama hidupnya sebanyak 4 kali, pertama umrah Hudaibiyah, kedua umrah Qadha’, ketiga umrah yang dilakukanya dari Ji’ranah sepulangnya dari perang Hunain, keempat umrah pada saat melakukan Haji wada’. Oleh kerana masjid Ji’ranah begitu padat dengan Duyufurrahman, kami hanya singgah di sebuah masjid kecil untuk memakai kain ihram dan solat sunat ihram. Bas kami berhenti di hadapan masjid Ji’ranah dan berniat umrah tanpa turun dari bas. Aku niatkan ibadah umrah ini untuk arwah ibuku kerana pernah membaca status yang mengatakan bahawa Syurga lelaki pada perempuan iaitu ibu. Syurga perempuan pada lelaki iaitu suami. Sehebat-hebat suami kena patuh pada ibu. Sehebat-hebat isteri kena patuh pada suami. Semasa masih hidup, anak perlukan doa ibu bapa. Setelah meninggalkan dunia, ibu bapa perlukan doa anak-anak. Di dunia nasab itu pada lelaki. Di akhirat nasab itu pada perempuan. Itu sebab mengapa ketika talkin dibacakan kita dibinkan kepada ibu kita.




Jabar Tsur, lokasi persembunyian Rasulullah 

Jam 1.25 petang, kami kembali ke hotel setelah melintasi Jabal Nur. Jabal Nur (2,500 kaki) dari paras laut. Di puncaknya terletak Gua Hira tempat Rasulullah menerima wahyu yang dibawa oleh Malaikat Jibril. Khadijah bersusah payah memanjat bukit berbatu Jabal Nur (2,500 kaki) yang begitu tinggi untuk menghantar makanan kepada Rasulullah. Kami hanya mendengar takzirah dan taklimat mutawif. Di kejauhan, tampak kelibat tetamu Allah mendaki bukit tersebut. Kelewatan bas untuk tiba di hotel ialah kerana hampir semua jalan raya ditutup untuk kegunaan duyufurrahman menunaikan solat zohor.


Foto dengan latarbelakang Jabbar Rahmah

Setibanya di hotel, kami dinasihatkan untuk makan dan menunaikan solat zohor di bilik masing-masing. Sebelum turun ke loby hotel, aku isikan beg galas DinDawood warna oren dengan sepasang kurta dan seluar dalam.  Kami turun ke loby untuk menungga jemaah berkumpul bagi memulakan tawaf. Aku faham bahawa untuk turun segera berkumpul di lobi adalah terlalu mustahil. Aku dapat bayangkan betapa sendatnya bilik hotel yang dihuni oleh empat hingga lima orang penghuni. Dengan hanya satu tandas dan ruang solat yang terhad, mana mungkin mereka boleh bersegera. Lagi-lagi andai penghuninya terdiri dari warga emas. Adalah lebih wajar andai solat dzohor dibuat berjemaah di Masjidil Haram, lebih cepat dan lebih selesa. Setelah sekian lama menunggu di loby hotel, aku memohon pekenan Mutawif untuk bergerak sendiri ke masjid.

Setibanya di masjid, aku dan suriku menuruni tangga ke pintu 83 lantai paling bawah bagi mengelak kesesakan. Au tinggalkan beg galasku di suatu kawasan dekat dereten pili air zam-zam lelaki. Jam 2.45 petang, kami memulakan tawaf dengan jumlah jemaah yang agak padat.  Kami memilih untuk tawaf dengan santai bagi menikmati suasana sekeliling. Jemaah bersahut-sahutan ketika beristilam di pepenjuru Hajrul Awsad, bersesak-sesak di kawasan Maqam Ibrahim dan berdoa di kawasan Rukun Yamani. Sungguh ...... sungguh aku merasa diri ini begitu kerdil di sisi Allah Yang Maha Perkasa.

Kami melunaskan tawaf kami ketika azan asar dikumandangkan. Aku menghantar suriku ke ruang solat wanita manakala aku memilih ruang solat lelaki yang berdekatan dengan ruang wanita tadi. Usai minum air zam-zam, kami suami isteri memilih saie di lantai paling bawah. Lantai bawah lebih selesa dan tidaklah mendaki sedikit tinggi ketika tiba di Safa dan Marwah seperti di lantai dua. Usai menyelesaikan tujuh ukang-alik, kami memilih kawasan yang agak jauh dari Marwah untuk bertahalul. Usai tahalul, kami bergerak ke arah tempat menyimpan pakaian dan meyarung pakaian biasa kerana ingin mengunjungi Kompleks Safwah. Kami bergerak ke sana untuk membeli jubah dan sempat membeli dua helai serban untuk kegunaan pribadi. Aku hadkan pembelianku bila aku teringat pada baginda Muhammad yang hanya memiliki dua helai baju seumur hidupnya.

Kembali semula ke masjid sebelum Maghrib dan balik ke penginapan selepas Isyak. Itinerari hari ini kami lengkapkan dengan merehatkan badan usai makan malam di lantai satu Hotel Narawat Sham Satu. Semasa di pembaringan, kami berkongsi beberapa memori manis sepanjang berada di haramain. Seperti malam-malam sebelumnya,  aku tutup tirainya dengan membaca doa sebelum tidur, membaca Qul Huu Allah 3 kali, Al-Falaq, An-Nas,  membaca dua kalimah sahadah, selawat dan membaca ayat kerusi.

Itinerari Hari kelima di Mekah Ahad 15 Disember (Ziarah luar / Hudaibiyah)

Jam 2.00 pagi, kami bangun dan membaca doa bangun tidur. Rutin biasa memasak nasi dan membuat air minuman panas sementara memberi peluang untuk suriku mandi sunat ihram. Hari ini kami dijangka akan membuat umrah yang ketiga. Hari ini kami berdua sepakat untuk tidak menyertai misi ziarah luar serta bermiqad di Hudaibiah, tetapi memilih untuk bermiqad di Tanaim.

Kerana tidak mahu dikatakan menunjuk-nunjuk, aku memasukkan kain ihram ke dalam beg sandang oren BinDawood. Rutin biasa membaca doa di balik pintu. Doa ditambah dengan menyebut, “Ya Allah, hari ini kami akan menunaikan umrah semata-mata kerana-mu Ya Allah, semata-mata kerana-Mu Ya Allah, semata-mata kerana-Mu Ya Allah, lindungi kami dalam perjalanan, kurniakan kami dengan umrah yang mabrur dan kekalkan wuduk kami sehingga kami selesai beriktikaf di masjid-Mu.” Dengan mengenakan pakaian biasa, kami bergerak ke masjid sambil berpegangan tangan. Wuduk tetap terjaga kerana adalah menjadi amalanku semenjak di Madinah, memakai sarung tangan tika bergerak ke mana-mana. Kami bergerak ke haram ketika azan pertama dikumandangkan

Pagi ini aku mendepani bangunan berselimut hitam itu dengan hati penuh syahdu. Aku berfikir, bilakah lagi aku beroleh peluang keemasan ini. Allah Ya Rab, janganlah hendaknya Engkau jadikan kunjungan ini yang terakhir buatku. Jemputlah aku sebagai Duyufurahman-Mu serta berilah aku kecukupan untuk kunjungan yang berikut-berikutnya. Aku mahu mengajak agar diri ini tetap dingin waima berada di cuaca panas, mendidik hati ini sentiasa tenang waima diselubungi kesibukan menggumpul harta dunia, mengajar hati ini ikhlas waima sebenarnya nun jauh di sana aku mempunyai sejarah pahit untuk dikenangi, melatih agar memaparkan wajah manis, waima hati dilanda rindu gundah gulana mengingatkan setiap pengalaman indah di tanah suci, mengajak hati bersabar waima menerima jutaan cabaran dan godaan duniawi. Aku menunaikan marathon solat sunat Tahaiyatul Masjid, diikuti dengan solat sunat Wuduk, solat tahajid, solat taubat, solat syukur dan diakhiri dengan solat witir sementara menunggu azan subuh.

Usai solat jenazah, aku dan suriku menuju ke Hotel Anjum untuk menaiki bas ke Tanaim. Kawasan menunggu bas dipenuhi oleh warga Pakistan, India dan Bangladesh. Bas berbaris panjang, akan tetapi duyufurrahman berasak-asak menaiki bas. Usai membeli tiket, jam 6.31 pagi, kami bergerak ke Tanaim dengan berpaut di tiang bas. Sepanjang perjalanan aku perhatikan suriku tidak berhenti-henti berselawat. Bas dipadati dengan warga Pakistan, India dan Bangladesh. Seingatku hanya kami berdua warga asia. Jam 6.48 pagi, kami tiba di Tanaim. Mujurlah keadaan di Tanaim tidaklah begitu ramai tetamu Allah. Aku memimpin suriku ke ruang solat wanita dan berjanji temu di kawasan tandas. Aku ke ruang solat lelaki untuk menunaikan solat tahaitul masjid, dan mengenakan kain ihram. Aku menghantar pesanan Whatsapp dalam kumpulan NurMultazam, memaklumkan yang kami suami isteri tidak menyertai lawatan ke ladang unta dan muzium. Selepas menunaikan solat ihram, aku sudahi rutinku dengan solat sunat taubat dan solat syukur. Kami tidak terlalu terburu-buru untuk balik ke haram dan masih sempat berfoto di sekitar kawasan tersebut. Di luar masjid, kami menyantuni burung-burung merpati yang berterbangan keriangan menunggu taburan jagung dalam kalangan jemaah. Kami melafazkan niat umrah yang mana umrahku kali ini adalah untuk arwah ayahku. Aku tidak berkesempatan membalas jasa ayahku kerana dia kembali ke pangkuan Ilahi ketika aku berusia sebelah tahun. Rutin hariannya, menunggang basikal seawal pagi selepas subuh untuk ke Langkawit bagi mengerjakan tanaman padi, dan kebun sayuran di Semaji atau sejauh Ambawa untuk menebas hutan di ladang getah keluarga kami. Setahuku, kunjungan ke tiga kawasan itu dibuat bergilir-gilir. Pulangnya hampir senja dengan berbekal sayur-sayuran yang dipetik dari kebunnya di Semaji. Beliau hanya sekali-sekala pergi ke pekan Papar untuk membeli keperluan kami sekeluarga.

Nota: Tunjukarah ke Stesyen Bas ke Tanaim:

Hotel Anjum terletak di hujung Jalan Ibrahim Khalil. Andai dari Hotel Narwat, kita jalan terus sehingga melintasi Hotel Jabal Omar Hyatt Regensy (kalau tak silap). Andai kita ambil jalan kanan, kita akan memasuki Masjidil Haram. Kita jalan terus ke penghujung jalan sehingga terlihat deretan bas merah (SAPTCO).

Usai membeli tiket bas, jam 7.24 pagi kami bergerak ke haram dalam keadaan yang santai tidak berebut-rebut seperti sebelumnya. Pemandu tidak mengambil penumpang yang berlebihan dan tidak membenarkan ada yang berdiri.  Keadaan jalan raya begitu lengang, akan tetapi andai ke Tanaim di waktu yang berlainan, agaknya berkumingkinan jalan raya akan sesak dengan kenderaan. Bas kami tiba di haram jam 7.42 pagi.

Usai melepas hajat di tandas kami masuk semula ke masjid untuk melangsaikan tawaf. Kami memasuki pintu 81, 82, 83   membolehkan aku meninggalkan beg berisi pakaian (sepasang kurta dan seluar dalam) di suatu sudut dekat pancutan air zam-zam lelaki. Kami bergerak santai ke lampu hijau untuk berniat tawaf umrah dan memulakan tawaf dengan istilam (mengucup Hajrul Aswad). Suasana tawaf di pagi tersebut agak longgar sedikit. 

Kami mengelilingi Baitullah dengan santai, sambil mata tidak lepas-lepas memandang Kaabah. Aku gunakan peluang sebigini kerana hanya tinggal beberapa hari lagi, aku bakal merindui suasana seindah pagi ini. Di kawasan Hijir Ismail aku berdoa untuk diri sendiri pada pusingan pertama, berdoa untuk isteri di pusingan ke-2, berdoa untuk arwah anakku di pusingan ke-3, berdoa untuk anakku di MRSM Kota Kinabalu di pusingan ke-4, berdoa untuk anakku di SMK Bahang di pusingan ke-5, berdoa untuk anakku di Putra Jaya di pusingan ke-6 dan berdoa untuk kedua ibu bapa ku serta kekawan di pusingan terakhir.

Usai tawaf, kami berundur ke Multazam untuk menunaikan solat sunat ihram  dan solat dhuaa di depan Baitullah, diikuti dengan ritual doa yang agak panjang. Doa utamaku iala memohon diampunkan dosa, dipilih Allah untuk memasuki Firdausi bersama keluarga dan dijemput sebagai tetamu-Nya pada kunjungan berikut-berikutnya.

Usai meneguk air zam-zam, kami bergerak ke Safa untuk saei umrah kami. Terima kasih Ya Allah atas peluang yang Engkau berikan dan dengan izin, pekenan dan rahmat-Mu, aku dapat menggenapkan tasbihku ke lima angka ketika saie. Kami selesai tahalul di lantai aras bawah pada jam 10.43 pagi. 

Kami bergerak ke tempat aku menyimpan beg galasku untuk memakai pakaian biasa, sebelum bergerak ke Kompleks Safwah untuk makan tengah hari. Seperti selalunya, aku pergi mendapatkan meja kosong untuk kami berdua, manakala suriku mengambil barisan untuk membeli makanan di Restoran Di Saji milik kerajaan Malaysia. Usai makan, kami turun dan aku membeli dua helai serban lelaki manakala suriku membeli sejadah Raudah mini untuk anak-anak kami. Untuk cucu kesayangan kami, kami belikan mainan motorsikal bergerak dan tikus berkunci. Kami kembali ke haram sebelum masuk waktu dzohor.

Usai solat dzohor, kami sepakat untuk balik ke hotel. Aku singgah ke Bangunan Wadi Ibrahim untuk membeli air tebu, ais kerim dan membeli roti manis ke kedai kawasan Wadi Ibrahim. Kami mengambil sedikit rehat dan menggosok baju kami berdua. Kami bergerak semula ke haram sebelum asar. Suasana di perjalanan mendekati Masjidil Haram dimeriahkan dengan para penjaja dengan pelbagai barang dagangan. Petang itu aku menyantuni mutawif Ustaz Zainuddin usai sama-sama menunaikan solat jenazah. Mutawif masih berpakaian ihram dan sedang menunggu jemaah Bas Kuning untuk menyelesaikan saie mereka.

Sebelum masuk waktu maghrib, kami sepakat menaiki Escalator pintu 91 (pintu King Fhad) untuk solat maghrib dan isyak di bumbung (roof top) Masjidil Haram. Aku menghampiri pagar masjid dan melihat para duyufurrahman menunaikan tawaf dengan hati yang sayu. Aku merapat ke sisi suriku yang sedang melengkapkan tadarusnya. Sempat merakam foto selfie di kawasan tiga kubah besar roof top Masjidil Haram. Amat tenang solat di kawasan terbuka tersebut, seolah-olah kedinginan hembusan bayu malam itu meresap ke ubun-ubun.

Usai isyak, kami langsung bergerak ke lantai satu hotel untuk menghadiri taklimat wadak, membaca doa selamat yang diketuai oleh Ustaz Ahmady dan kenduri nasi mandy kambing. Aku secara sukarela merakam foto kenangan para duyufurrahman semasa menikmati nasi mandy. 

Usai menghantar peralatan kameraku dan tapau daging kambing ke bilik, aku menghantar sekotak 'Face Mask' untuk kegunaan para duyufurrahman NurMultazam. Kemudian, aku turun ke bawah untuk bergunting pendek. Aku bergerak ke beberapa lokasi kedai peniaga sambil memerhatikan gelagat tawar menawar DuyufurRahman dari segenap pelusok dunia. Betapa rahmatnya di bumi berakah, Allah murahkan reziki tetemu-Nya untuk membeli buah tangan untuk dibawa pulang ke kampung laman. Sebelum naik ke bilik hotel, sempat membeli lapan biji telur ayam berwarna putih untuk bekalku balik ke tanah air sebagai buah tangan untuk dimakan sekeluarga dan cucunda tersayang. Aku merebus telur tersebut dan memasak nasi untuk persediaan sahur dinihari esoknya. Melabuhkan badan di katil dengan rutin membaca beberapa wirid seperti sebelumnya hingga mata terlelap.

Itinerari Hari keenam di Mekah Isnin 16 Disember (Acara bebas/puasa sunat) 

Rutin harian diteruskan apabila terjaga seawalnya iaitu jam 3.20 pagi. Usai selesai giliranku untuk membersihkan diri, aku memasak air panas dan bersahur dengan daging dan tulang kambing yang aku tapau malam sebelumnya. Kelazatannya masih terasa sehingga menjilat jari. Sebelum bergerak ke haram, seperti selalunya, di balik pintu aku dan suriku membaca doa perjalanan. Pada azan pertama, kami berdua menuju ke bumbung masjid (Roof Top). Pagi hari itu, kami memilih untuk solat di lantai bumbung lagi bagi merasakan suasana nyaman berangin di subuh hari. 

Aku menunaikan marathon beberapa solat sunat dan berdoa seperti hari-hari sebelum pagi ini. Aku merapat ke kawasan pagar dan menyaksikan para duyufurrahman tawaf mengelilingi Baitullah. Sayu, kagum dan terasa betapa kerdil diri ini di sisi-Nya tatkala mendepani situasi itu. Aku terbuai dengan mata bergenang memerhatikan gelagat tetamu Allah tawaf mengelilingi Kaabah. Ia bertali arus dengan ada yang meninggalkan dataran Kabah dan ada pula yang baru memulakan tawaf.

Usai solat subuh, kami turun meninggalkan roof top dan bergerak ke kompleks Safwah untuk bersarapan di Restoran D'Saji. Menemani suriku di beberapa aras kompleks untuk membeli sedikit keperluan untuk dibawa pulang ke tanah air.

Kami bergerak mencari lokasi tandas untuk membuang hajat dan berwuduk. Kami memilih lokasi pintu 83 untuk solat dhuaa. Kami amat menggemari pintu tersebut kerana pemeriksaan tidak begitu ketat, lagipun rata-rata petugas di situ telah mengenali kami. Pintu tersebut juga tidak terlalu sesak dengan para DuyufurRahman, berkemungkinan ada yang tidak mengetahui pintu tersebut kerana kedudukannya yang agak terlindung. Kawasannya agak lenggang dan hanya terisi setiap kali solat fardu. Yang paling istimewa, di kawasan tersebut berpendingin hawa dan terdapat dua lokasi pili air zam-zam. Satu di kawasan hadapan dan satu agak tersembunyi yang membolehkan jemaah mengambil wuduk andai terbatal. Agak mudah untuk mengisi air zam-zam untuk ditapau balik ke hotel. Dengan hanya beberapa minit bergerak ke depan, kita boleh mendepani Kaabah di kawasan sudut Rukun Yamani. Di itu juga terdapat kemudahan untuk mengecas telefon bimbit. 

Usai solat dhuaa, kami balik ke hotel penginapan untuk berehat sambil menyusun pakaian ke dalam bagasi masing-masing. Jam 11.21 pagi, aku dan suriku bergerak ke masjid. Kami berdua memilih pintu 83 untuk menunaikan solat dzohor. Aku meneruskan maraton talaqi Quran di kawasan tersebut. Usai asar, kami mengambil keputusan untuk balik ke bilik. Aku singgah di BinDawood untuk membeli bekalan berbuka. 

Usai mandi petang, kami bergerak ke haram agak lewat. Di laluan pejalan kaki menuju ke masjid dimeriahkan dengan jualan pelbagai barang dagangan. Kayu sugi, jubah, tasbih, selendang, selipar, minyak wangi, cincin dan pelbagai lagi. Petang itu kami ke masjid dengan memilih pintu yang lain pula, kerana sebahagian pintu telah ditutup. Kami diarahkan ke pintu lain yang tidak pernah kami masuki. Sewaktu azan dikumandangkan, aku menuju ke ruang safrah di sebelah kiri pintu masuk masjid dan dipelawa berbuka puasa oleh sekumpulan jemaah Pakistan. Usai duduk, mereka dengan berbesar hati membahagi-bahagikan air zam-zam, buah kurma dan cebisan roti. Begitulah lumrah saferah (berbuka puasa) di Mekah dan Madinah, di mana para Duyufurrahman berebut-rebut mengejar pahala dengan bersedekah, suatu suasana yang pasti akan aku rindui selamanya.

Kami tidak bergerak jauh. Aku pastikan suriku ke kawasan wanita sebelum aku sendiri memilih saf di kawasan lelaki. Isteri bergabung dengan salah seorang jemaah NurMultazam yang beria-ia untuk naik ke roof top. Namun beliau menolak ajakan kami kerana risaukan adik lelakinya yang tidak dapat dikesan di kawasan tersebut lantaran padat dengan jemaah. Kami membuat keputasan untuk kekal di kawasan tersebut hingga menjelang isyak. Usai isyak, kami singgah di kedai BinDawood untuk membeli buah, minuman botol kurma susu dan biskut kurma untuk dibekal pulang ke tanah air. Usai tiba di hotel, selepas makan malam, aku turun ke bawah untuk membeli selotape dan plastik strapping. Waima hampir tengah malam, suasana premis kedai di sekitar hotel masih dipenuhi dengan duyufurrahman. Itulah sebabnya mengapa Kota Mekar digelar orang sebagai kota yang tidak pernah tidur. Aku kagum memerhatikan sekitar premis yang bersahut-sahutan memancing pelanggan, manakala di jalan raya para duyufurRahman bertali arus, ada yang ke masjid dengan pakaian ihram dan ada yang balik ke penginapan masing-masing

Malam yang suram itu kami habiskan dengan mengenang memori manis ketika beribadah di kedua-dua kota suci Mekah dan Madinah. Kami mula menghimpun pakaian dan barang belian untuk dikemaskan ke dalam bagasi masing-masing. Membaca beberapa potong ayat sehingga mata terlelap sendiri, menutup tirai malam.

Itinerari Hari ketujuh di Mekah Selasa 17 Disember 2019- Tawaf wada (Hibanya meninggalkan Baitullah)

Pagi ini terjaga pada jam 1.15 pagi untuk mengemas barang. Barang dimuat ke dalam dua beg biru NurMutazam dan sebuah beg kanvas berukuran sederhana. Pagi ini aku isikan cerekku dengan telur rebus dan mengisikan periuk dengan kurma. Aku tidak memasak air kerana cerek dan periuk kubalut kemas dengan kain ihram dan disumbatkan ke dalam beg. Usai menghantar barang ke lobby hotel, aku naik membersihkan diri. Aku mengakhiri mandi pagi itu dengan menyirami kepalaku dan seluruh anggota badanku dengan air zam-zam, begitu juga dengan suriku. Ini bukanlah wajib dan bukan juga meniru-niru perlakuan insan lain, cuma inilah cara kami berdua lakukan ketika ziarah ini. Air zam-zam kutapau dari dalam masjid sejak beberapa hari lalu, sememangnya kami niatkan untuk tujuan dijadikan mandian sebelum meninggalkan tanah suci.

Hari terakhir ini, kami bergerak sedikit lewat ke haram. Di suatu lorong, aku melihat kelibat beberapa ekor kucing. Aku santuni kucing-kucing tersebut dengan baki makanan kucing yang aku bawa. Kami melalui banyak sekatan untuk memasuki kawasan dataran masjid. Kami berusaha untuk bergerak ke dataran Baitullah, di mana kami dikehendaki berkumpul untuk tawaf wida di lokasi Pintu King Aziz. Usaha kami tidak mendapat pekenan Allah di mana akhirnya kami diarahkan ke bumbung masjid tanpa atap. Aku tidak menyalahkan siapa-siapa, melainkan mengucap rasa penuh syukur kerana kami beroleh peluang menunaikan solat subuh di roof top. Sebelum menghantar suriku ke ruang solat wanita, kami berjanji untuk meninggalkan roof top sebaik-baik saja selesai solat subuh untuk mengelak kesesakan. 

Terasa damai berada di suatu lokasi tanpa bumbung. Solatku pagi itu dimulai dengan solat tahaitul masjid, solat sunat-sunat lain seperti solat hajat, solat syukur dan solat tahajud serta diakiri dengan solat witir. Semasa solat subuh, hatiku terpukul ketika mendengar imam membaca ayat pada rakaat yang kedua. Bacaannya membuai membuatkan aku terbius hingga tidak terasa air mata bergenang. Momen tersebut akan kusemat dalam jalinan album memori umrahku. Banyak kenangan yang terpahat di hati ini ketika berada di dua kota suci Allah.


Andai kita mahu bahagia, kita hendaklah membahagiakan
orang lain terlebih dahulu, waima ia  seekor binatang.
Jam 4.25 pagi, sempat menyantuni kucing Mekah


Usai solat subuh, seperti yang dijanjikan, kami dan beberapa jemaah lain dari pelbagai negara, bergegas turun untuk mengelak kesesakan jemaah kerana khuatir tertinggal dari jemaah NurMultazam yang berjanji untuk berkumpul di pintu King Aziz bagi melaksanakan tawaf wada. Kami berhenti di suatu hentian untuk menyertai solat sunat jenazah. Kami tiba di tempat yang dijanjikan tepat pada waktunya. Sementara menunggu para duyufurrahman berhimpun, aku mengambil peluang untuk menginfakkan sekotak penutup muka (50 isian) untuk dibahagi-bahagikan kepada jemaah betul-betul di sudut Rukun Yamani Baitullah. Oleh sebab mutawif Ustaz Zainuddin tiba lewat kerana banyak pintu masuk ke masjid dihalang oleh pihak pengurusan masjid, kami meminta izin untuk tawaf wida bersendirian.


Sementara menunggu untuk berkumpul untuk Tawaf Wida,
jam 6.26 pagi sempat berinfaq penutup muka

Kami mendekati lampu  hijau untuk memulakan tawaf wida "Ya Allah, aku menunaikan tawaf wida tujuh keliling kerana Allah Taala..." Langkah dimulai dengan Istilam iaitu Isyarat Tangan Mengucup Hajarul Aswad bermula di sudut Hajarul Aswad (Lampu Hijau) dengan sebak di dada.… 7 pusingan yang menyiksa, aku layan perasaan yang cukup dalam. 7 pusingan kali ini tidak selaju langkah-langkah sebelum ini. Mataku tidak terlepas dari memandang setiap sisi Baitullah. Bergenang air mata bila mengingatkan, mungkin inikah ziarahku yang terakhir ke Baitullah Al-Haram-Mu. Alangkah kerdilnya diri kami ini di saat doa dipanjatkan di hadapan Baitullah agar doa itu di terima dan di angkat oleh Allah swt... "Ya Allah, jemputlah kami serta kaumkeluarga kami ke Baitullah-Mu untuk kunjungan yang berikutnya."

Kami berundur ke Multazam setelah menggenapkan tawaf tujuh pusingan. Aku menyantuni suriku ke kawasan wantita, manakala aku beralih ke kawasan jemaah lelaki. Usai Solat Sunat Tawaf, aku  duduk dan melayani perasaan rindu-dendam sambil memandang Kaabah. Manik-manik kecil menitik tanpa diminta. Aku tidak berlama di situ tetapi sempat mengadu deretan pelbagai rintihan dan harapan kepada-Nya. Usai bertemu di suatu lokasi, aku dan suriku melihat kelibat seorang petugas masjid di hadapan kami di laluan tawaf, yang mengusung air zam-zam di belakangnya, seolah-olah seperti orang yang hendak meracun rumput. Allah Ya Allah, Engkau maha mengetahui lintasan hati hamba-Mu ini, betapa aku sedikit kehausan ketika itu. Kami sepakat untuk mendapatkan khidmat beliau, bukan setakat segelas malahan dua gelas untuk meyedap tekak. 

Sebelum meninggalkan Baitullah, aku dan suriku berundur ke suatu sudut di tangga King Fhad untuk ritual doa yang agak panjang. Doa terakhirku ialah moga Allah melipatgandakan reziki kami sekeluarga serta menjemput kami untuk umrah-umrah berikutnya selagi hayat dikandung badan dengan keadaan sehat wal afiat. Aku sematkan di sanubari yang paling dalam akan angka keramatku, angka rahasiaku (17,887). Mata bergenang dengan gerak langkah kaki yang perlahan tatkala berjalan keluar menuju ke pintu masjid. 

Di luar masjid, aku menoleh ke kiri ke Kompleks Safwah tempat di mana kami sering beratur untuk membeli makanan di Restoran D'Saji. Aku menoleh ke kanan, Hotel Anjum, tempat di mana kami menaiki bas awam untuk miqad ke Tanaim,  Allah Ya Allah sungguh dalam kerinduan yang bakal aku bawa pulang. Di kawasan Bank Al-Raji / KFC, aku menoleh Masjidil Haram buat yang terakhir kalinya. Aku menyusuri deretan hotel-hotel seperti Dar Al Tauhid, Pullman Zam-Zam, Swiss Al Maqam, menuju ke lapang sasar lokasi burung merpati, melalui deretan hotel Burj Al-Sultan, Areej Al Falah, Tharawat Diyafat Al Rahman  dan merenung ke bangunan Wadi Ibrahim lokasi aku membeli air tebu dan aiskerim dan melangkah longlai ke hotel penginapan. Terasa hari bergerak begitu pantas. Masih belum puas menatap kaabah, masih mahu terus mengungkapkan tasbih, zikir dan selawat, masih ingin maraton solat sunat, masih ingin bertadarus,  dan seperti masih terlalu banyak yang belum sempat dilakukan, namun kami akur akan meninggalkan bumi suci Mekah Madinah. Yang pastinya, bumi Mekah akan meninggalkan rindu dan kenangan nun jauh bersulam di lubuk hati. Udara Mekah yang hangat tetapi berkat kerana baju yang berkeringat tidak terbau keringatnya. Langitnya yang sentiasa cerah setulus hati para duyufurahman yang meratap di bumi-Nya. Lautan manusia yang sama taraf ketika bersatu menuju ke suatu arah (ada yang memakai ihram dan ada yang berpakaian biasa), lautan manusia yang tawaf mengelilingi Baitullah-Nya, suatu suasana yang diselubungi ibadah yang tulus mengharap balas kasih dan ampunan-Nya. Tarbiah yang dilantunkan oleh para duyufurrahman ketika berselisih pulang dari masjid tanpa mengira masa malah sepanjang masa membuatkan ia berbekas di hati ini. Allah Ya Allah, dengan rahmat dan limpah-Mu, aku dambakan sepenuh pengharapan agar ini bukan kunjungan terakhirku.  

Aku dan suriku membasah tekak dengan sarapan terakhir di kafe hotel. Suasana cafe terasa suram pagi tersebut, di mana kakitangan kafe yang menyantuni kami sejak beberapa hari ini, seakan-akan kehilangan momen keriuhan jemaah NurMultazam yang kurasa sentiasa ceria dengan pelbagai ragam yang mencuit hati. Jam 8.28 bas kami bertolak meninggalkan hotel menuju ke Jeddah. Aku memandang Jam Besar dari kejauhan. Kadang-kadang pemandanganku terhalang oleh bukit berbatu dan kadangkala terhalang oleh bangunan, namun aku tetap mengintainya dari kejauhan. Bas kami semakin menjarak di mana hampir kesemua penumpangnya memendam suatu perasaan yang tidak dapat dinukilkan dengan kata-kata. Ada kalangan kami tanpa malu, mengesat air mata. Jam 9.43 pagi, itulah kali terakhir aku dapat menyaksikan kalibat Jam Besar itu sambil mengesat air mata. Waima ia sudah lenyap dari pandanganku, namun kenangan mendepani Baitulah tidak akan terpadam dari memori terindah ini.  Di dalam bas tapau makanan diedarkan kepada setiap jemaah. Kami singgah di Muzium Al Maudi, dan sempat merakam kalibat jemaah dengan lensa kameraku. 

Jam 10.46 pagi bas kami meninggalkan muzium menuju ke Balad (salah satu kawasan pasaraya terkenal di Jeddah). Sempat juga merasa bakso semangkuk SR 15.00 semangkuk dan membeli sehelai baju T Madinah dekat Hotel Cournice. Aku menyantuni jemaah serombongan dengan merakam gambar kenangan di sekitar kedai cenderamata di kawasan tersebut. Oleh sebab masa suntuk, rombongan tidak sempat singgah ke Masjid Qisas dan lokasi permakaman bonda Hawa, lebih-lebih lagi Masjid Terapung yang sememangnya telah tidak dibenarkan.

Di perjalanan ke lapangan terbang, aku menyantuni mutawif Ustaz Ahmady dengan menyerahkan beg galas NurMultazam yang diisikan dengan sedikit cenderamata. Kami tiba di Lapangan Terbang Jeddah pada jam 1.45 petang. Kedua-dua mutawif dan Puan Siti Sulhayati menyantuni kami sehingga urusan cek-in selesai. Aku juga berpeluang membantu jemaah menguruskan penghantaran air zam-zam ke kaunter yang berasingan. Urusan cek-in jemaah NurMultazam selesai jam 3.10 petang. Aku mengajak suriku menunaikan solat jamak Dzohor Asar di Mussala Airport Jeddah. Kami makan setapau nasi berkongsi dengan suriku, manakala setapau lagi aku serahkan kepada pembersih yang bertugas di airport.  Air mata bergenang ketika mendakap Ustaz Ahmady dan Ustaz Zainuddin, dan memohon doa beliau agar aku sekeluarga dijemput Allah untuk kunjungan yang berikut-berikutnya. Lambaian tanda perpisahan di pintu perlepasan  membuatku teramat sebak apabila mengenangkan keakraban dengan mereka bertiga waima hanya bersama beberapa hari di dua kota suci.

Jam 4.24 petang aku melepasi tiga pemeriksaan pihak berkuasa Airport Jeddah. Situasi di balai pelepasan di penuhi dengan Duyufurrahman dari beberapa penerbangan. Sebilangan jemaah terpaska duduk di lantai kerana tiada kerusi kosong. Sementara menunggu panggilan pelepasan, sebilangan jemaah memesan makanan, minuman dan aiskerim. 

Jam 6.15 petang, kami melabuhkan punggung di pesawat Brunei (kerusi 46D dan 46E) untuk penerbangan yang akan mengambil masa sembilan jam lima belas minit. Di dada pesawat, aku melayan perasaan sayu mengenangkan kemanisan beribadah di dua kota suci Allah. Aku tahu, suriku juga begitu. Tatkala masuk waktu maghrib, kami solat jamak maghrib dan isyak sebagai menghormati waktu dan berniat untuk qodha tatkala tiba di Brunei. Tidak banyak pergerakkan yang aku lakukan, melainkan beberapa kali membuang hajat di tandas pesawat. Aku juga hilang minat untuk merakam kenangan foto di dalam pesawat. Usai menghadapi santapan, aku membaluti seluruh tubuhku dengan selimut dan terlelap. Aku hanya sedar apabila pesawat mendekati suatu kawasan yang ku kira kawasan Segenting Kara persempadanan Malaysia dengan Thailand, kerana ketika itu pesawat berada sedikit rendah.

Jam 8.25 pagi, pesawat tiba di Brunei Darussalam. Kami dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan kami tidak dibenarkan meninggalkan lapangan terbang kerana akan berlepas ke Kota Kinabalu pada petangnya, manakala kumpulan yang satu lagi berjumlah 12 orang akan berehat di salah sebuah hotel yang disediakan. Kumpulan ini akan berlepas ke Kota Kinabalu sebelah malamnya. 

Kami berehat di surau Airport. Suriku memilih kawasan solat khas untuk jemaah wanita. Aku berpeluang untuk Qoda solat Maghrib, Isyak dan subuh. Sempat juga solat Dhuaa dan jamak zohor asar di surau tersebut. Aku sempat menyantuni beberapa jemaah serombongan ketika berada di dalam surau, sebelum melelapkan mata. Jemaah yang lainnya masing-masing mencari lokasi mengikut citarasa masing-masing. Tiada perasaan segan untuk melabuhkan badan di mana sahaja asalkan sesuai dan selesa. Tengah harinya, petugas NurMultazam, Nurain menghantar makanan kepada jemaah. 



Menunggu pelepasan balik ke Kota Kinabalu


Brunei- Sabah “Selamat tiba ke tanah air “ (Rabu18 Disember 2019- 21 Rabiul Akhir 1441 H )

Tujuh warna kilauan bangkawat
Anak saluang di dalam kolah
Hati berdebar melihat kecilnya pesawat
Tidak sehebat debaran mendepani Baitullah

Jam 3.52 petang, lebih 40 orang Duyufurrahman menaiki bas perantara menuju ke Burung besi BI 6823 pesawat ATR T2 600. Pesawat ini berkerusi empat sederet dengan laluan di tengah-tengahnya. Pesawat tersebut tidak asing bagiku kerana kerap menaiki pesawat yang lebih kecil iaitu Fokker ketika pemantauan sekolah-sekolah di Sandakan, Lahad Datu dan Tawau suatu ketika dahulu. Aku memperoleh kerusi 11 A di tepi tingkap manakala suriku kerusi 11 B. 

Jam 4.06 petang pesawat meninggalkan bumi Brunei yang mengambil masa 45 minit untuk tiba di KKIA. Terbang rendah seolah-olah meniti di celah-celah awan dengan sekali-sekala melebarkan sayapnya ke kiri dan ke kanan mengelak gumpalan tompokan awan gelap. Allah Ya Allah, ketika menjenguk di balik jendela, Engkau hamparkan aku dengan satu panorama indah yang belum pernah aku saksikan sebelum ini. Pertembungan sinaran cahaya mantari dengan garisan langsir biru laut, memukau dan mengasyikkan. Dihidangkan dengan air oren setiap seorang satu kotak. Di bawah laut, dihamparkan samar-samar seolah-olah ada cerucuk kecil yang mengeluarkan api iaitu telaga-telaga minyak yang berselerakan menghiasi luasnya lautan. Semakin mendekat landasan Kota Kinabalu, pabila pesawat mula terbang rendah, jelas kelihatan kelibat perahu-perahu nelayan menuju jalan pulang. Jam 4.45 petang, pesawat mendarat dalam hujan renyai-renyai dengan dua hentakan lembut.

Usai memperoleh 3 bagasi dan dua kotak air zam-zam, usah berdakap salam sesama jemah. Aku dan suriku bergerak ke pintu keluar. Di luar, Haji Shamsul (suami Puan Siti Sulhayati) menyambutku dengan dakap salam sambil berbual sekejap bertanyakan khabar masing-masing. Kami disantuni oleh anak kedua kami ketika hujan renyai-renyai.

Aku bukan yang terbaik

Tak dapat hendak dicoretkan dengan tulisan pelbagai rencah rasa tika di sana, sebak, gembira, sayu, dan kagum dengan kuasa Allah. Aneka rasa kemuanya bercampur baur.

Mengatam padi dengan langgaman,
Padi dikandar berikat-ikat,
Waima berada jauh di laman,
Parut emosi masih melekat.

Anak ambutit benanang-nanang,
Benanang-nanang siring perahu,
Rasa putus hati mengenang,
Hanya Allah sahaja yang tahu.

Aku tidak mengharapkan para pembaca meletakkan beberapa bintang atas coretan tidak seberapa ini, aku hanya mengharapkan agar perkongsian ini melorong jalan kepada insan pembaca untuk menanam sekelumit niat untuk ikut serta ibadah ziarah dalam masa terdekat. Bagiku, pengalaman mengerjakan ibadah umrah amat luar biasa, berharga dan pasti menjadi antara detik berbekas di hati kerdil ini. Aktiviti kerohanian untuk menyucikan diri semasa beribadah di dua kota suci itu merupakan cerminan diriku sendiri, bagaimana kerdilnya aku di sisi Allah. Aku dapat menyaksikan suasana manusia berbagai bangsa berkejar mengunjungi masjid apabila tiba waktu solat dengan suasana pemandangan yang damai tatkala berada di dalam masjid di dua tanah suci tersebut. Di sini juga kita akan mendepani sedikit pengalaman yang biasa-biasa tetapi berbakul-bakul pengalaman yang luar biasa.

Aku hanya mengharapkan orang di luar sana menggunakan kesempatan ke tanah suci untuk mengambil ibrah seperti ibrah taubatnya Nabi Adam a.s sehinggkan baginda dipertemukan semula dengan bonda Hawa di Jabar Rahmah, menanamkan keyakinan seperti yakinnya Hajar Alaiha salam sehingga mampu dikurniakan dengan telaga zam-zam, berkorban seperti sifat pengorbanan seperti Nabi Ibrahim a.s sehingga tidak menolak untuk menyembelih putera kesayangannya pabila memperoleh perintah Allah, bersabar seperti sabarnya Nabi Ismail a.s, sehingga tidak membantah untuk disembelih ayahandanya dan membenihkan sifat risau serisau Nabi s.a.w terhadap umatnya sehingga tersebar hidayah seluas-luasnya ke seluruh alam lantaran dakwahnya. Kesemua lokasi yang bakal membawa seribu perubahan kepada anda seperti Jabar Rahmah, telaga Zam-zam, lokasi melontar tiga jamrah (Ula, Usta dan Aqabah) di Mina dan Maqam Rasulullh di Madinah serta baitullah di Mekah hanya terdapat di sana bukan di Macau, atau di Guanzou China mahupun bukannya di kota Paris Peranchis.

Ramai kalangan di luar sana mengatakan sesiapa yang Allah jemput itu mesti ada duit simpanan yang banyak atau mencukupi untuk membayar pakej. Sebenarnya bagiku, Allah jemput bukan yang mampu, tapi menjemput siapa yang mahu, Allah jemput siapa yang berazam untuk ke sana dan Allah jemput siapa yang rindu ingin ke sana.Tanamkan dalam hati, pasangkan niat dalam setiap solat, setiap doa. Tambahkan lagi keinginan dengan melakukan ibadah umrah ,  bila sudah dijemput, nescaya Allah akan menjentik hati kita untuk berasa rindu ke sana lagi, lagi, lagi dan lagi.

Percayalah, pabila sudah menapak di sana, bila ada masalah lupa segala masalah digantikan dengan jiwa yang tenang, bila di sana kita berebut menigkatkan ibadah mengejar pahala berganda, bila di sana kita yang kerdil ini terasa dekat dengan Sang Pencipta dan yang paling penting selepas pulang ke tanah air, kita akan berubah dan kita akan merindui-Nya sepanjang masa.

Kepada pihak pengurusan dan DuyufurRahman serombongan, mohon maaf kerana tidak dapat menyertai sebahagian jadual yang tersusu rapi. Tiada niat di hati kami berdua untuk memperlekahkan atur cara ziarah, mahupun berlagak pintar, lagi-lagi bersifat kera sumbang, atau menunjuk-nunjuk kamilah yang terbaik, sebenarnya kami ingin memaksimumkan peluang beribadah di dua kota suci. Allahu Allam, berdoalah agar kita dijemput-Nya untuk kunjungan yang akan datang. Keriuhan kalian sepanjang ziarah merupakan pemangkin roh ziarah kami berdua. Andai ada cerita kurang baik sepanjang ibadah ziarah, tinggalkan sahaja sebagai sejarah lampau dan bawalah balik cerita yang baik-baik sahaja.

Mohon maaf kepada DuyufurRahman serombongan yang hebat, hebat kerana kita diwarnai oleh insan seluruh pelusok daerah Negeri Sabah seperti Tawau, Kota Belud, Sandakan, Sipitang, Putatan, Keningau, Kinarut, Kota Marudu, Kunak, dan melangkau ke Lawas Sarawak. Kita sama-sama hebat kerana berjaya menjadi tetamu Allah dan tetamu Rasulullah.

Kepada kalian pembaca, kesudian anda untuk membaca hingga ke noktah akhir, terlebih dahulu dirakamkan ucapan selandasan terima kasih. Sebelum menutup kalam, maaf dipinta. “Bumi mana yang tidak ditimpakan hujan”. Andai dokumentasi ini dilihat sebagai ego pribadi saya, maafkan saya. Yang salahnya kenakalan jari-jemari saya yang secara tanpa sedar mengetuk papan kekunci komputer riba ini.


Syukur Ya Allah, rasa bertuah dan tidak menyangka yang ziarah
kami disertai oleh insan hebat (juara tilawah negeri Sabah tiga tahun
berturut-turut ...  Nur Faten Izzati Rablin.

Akhir kalam, aku menyeru diriku sendiri dan semua yang pernah menjadi tetamu Allah, marilah kita berusaha dari sekarang untuk wujudkan Taman-taman Syurga di rumah masing-masing. Kalian tentu berpengalaman bagaimana ribuan tetamu Rasulullah, berebut-rebut untuk ke suatu tujuan. Pabila berada di dalamnya, kita solat dan berdoa tanpa memperdulikan orang lain. Oleh itu, wujudkanlah taman-taman syurga di rumah masing-masing, bukannya menjadikan rumah kita umpama hotel bertaraf lima bintang, juga jangan jadikan rumah kita seperti panggung wayang, jauh sekali jangan jadikan rumah kita seumpama restoran ternama (disunting dari khutbah Jumaat di Masjid At-Taqwa RTM Jalan Kepayan pada 6/12/2019). Tanamkan dalam kalangan ahli keluarga budaya memabaca Al-Quran sekurang-kurangnya sehalaman setiap malam, berwirid selepas solat fardhu, mengamalkan solat tahajud semampu yang boleh, solat dhuaa dan lain-lain amalan yang pernah kita lakukan ketika ibadah umrah.

Senarai semak ibadah kita di Tanah Suci

1. Solat musafir sebelum perjalanan
2. Berdoa sebelum perjalanan
3. Menetapkan sejumlah selawat sedari meninggalkan tanah air sehingga meninggalkan Madinah
4. Sujud Syukur ketika tiba di Madinah
5. Menetapkan sejumlah tasbih bermula ketika mula meninggalkan Madinah
6. Sujud Syukur ketika tiba di Mekah
7. Solat tahaiyatul masjid
8. Solat wuduk
9. Solat-solat wajib
10. Solat Qadha
11. Solat kabliah dan baadiah
12. Solat Taubat
13. Solat hajat
14. Solat syukur
15. Solat Dhuaa
16. Solat tahajud
17. Solat witir
18. Solat tasbih
19. Solat jenazah
20. Puasa Isnin dan Khamis
21. Tawaf tahaiyatul bait
22. Tawaf sunat
23. Tilawah al-quran
24. Berdoa untuk dijemput untuk kunjungan berikutnya
25. Berdoa memohon ampun segala dosa
26. Infaq
27. Sujud syukur ketika tiba di tanah air

Andaikata ada sebahagian amalan yang tidak dapat dilakukan tatkala ziarah, tentu dalam lubuk hati kita rasa menyesal mengapa perkara itu tidak dapat kita lakukan. Insya Allah, itu bererti Allah akan menjemput kita pada kunjungan berikutnya. Berdoalah, berusahalah, bertawakallah, memohonlah dan menabunglah dari sekarang.

Sekian, Allahu Alam.