PUISI WARGA EMAS
(Ag Matasan)
Warga Emas gelaran kita
gelaran berlapik tidak ketara
waima itu pemanis bahasa
orang tua adalah gelar sebenarnya
agar kita tidak berpura
Waima tetap sehat sejahtera
di zahir kelihatan bahagia
bisikan palsu kerana semua kekurangan tetap dirasa
kegemilangan dahulu tinggal cerita
memori manis menggetar jiwa
kulit keriput kini terasa
pentas hidup bukannya sama
terlalu ketara saling berbeza
Andai dulu jalan berkilo kakimu gagah
kini jalan mengesot termengah-mengah
andai dulu sebiji nanas boleh diratah
kini lebih sepotong membawa padah
andai dulu bila bahagia ketawa berdekah
kini senyum tawar bersusah payah
andai dulu di kenduri kahwin dendangmu menyerlah
kini hanya muzik 60-an berbalam-balam di dapur rumah
andai dulu rumah bising anak dimarah
kini sunyi anak pinak jarang ziarah
andai dulu kita bangga banglo mewah
kini membersih keliling membawa parah
andai dulu bersembur minyak wangi pakaian terserlah
kini minyak angin minyak urut rutin ditempah
Lebih malang andai pasangan lebih dahulu
dijemput pulang
dijemput pulang
risau bukan kepalang keseorangan malam menjelang
banglo ditinggal ke rumah jiran tidur menumpang
pagi sarapan hanya dinding menghias pandang
anak menantu bukan merenggang
tinggal di perantauan lantaran tinggi jawatan disandang
Tetapi bukan semua dirundung susah
yang beruntung memiliki rumah sederhana mewah
sepanjang masa tetap meriah
namun penat berganda menjadi pembantu rumah
berjaga malam matamu memerah
anak cucu membuat semangatmu mengagah
kepada mereka kasih dicurah
Hayat yang masih tersisa
rugi andai seharian menghantar Whatsapp
menutup pedih
menutup pedih
mengadu untung sesama rakan sepelatih
kupi kupi di restoran tercanggih
akhirnya minda sendiri terasa letih
beruntung andai dihabis menggentel tasbih
mindamu tenang terhindar perasaan sedih
wang simpanan terkawal dan berlebih
engkau bakal menjadi insan terpilih
rugi andai wang bertimbun memenuhi nafsu serakah
selera muda tidak berubah
pagi petang menjelang malam bertukar juadah
penyakit tiga serangkai bakal ditempah
beruntung diganda pahala andai banyak sedekah
menjelang pagi solat dhua bersujud di sejadah
di waktu dinihari solat tahajud mengantuk diredah
dan solat witir sebagai penyudah
rugi andai melancong ke kota bersejarah
ibadah bersepai tak tentu arah
ditakdir khatam pinjaman umur oleh Allah
menanti di sana balasan yang parah
beruntung andai ziarah Mekah Madinah
teratur solat dengan limpahan ibadah
ditakdir pinjaman umur berakhir sudah
dijamin Syurga oleh Allah
Mari kita bergabung tenaga
ingat mengingat sesama kita
sebelum satu demi satu berpisah akhirnya
bermaaf-maafan di usia senja
andai terdengar berita duka
jika dekat ziarah segera
andai jauh titipkan sekelumit doa