Thursday, October 27, 2011

Syarat ke-7. Menonton TV secara berhemah


Bulan ini saya hanya akan kongsikan syarat terpenting iaitu kawalan menonton Televisyen. Adalah menjadi tugas yang maha berat untuk menghalang anak dari menonton TV, sedangkan mereka mempunyai minat yang agak tinggi terhadap beberapa siri yang ditayangkan terutamanya masa puncak seperti siri kartoon. Akan tetapi ia akan berjaya jika kita mendapat kerjasama suami dan isteri. Apa yang saya lakukan ialah merakam siri kegemaran mereka untuk ditonton pada hujung minggu (menonton TV pada hari Sabtu dan Ahad tidak dihalang).

Saya tidak bermaksud untuk tidak membenarkan mereka menonton, tetapi mendidik mereka menonton TV secara berhemah iaitu menonton pada waktu petang kecuali ketika solat, akan tetapi membuat undang-undang tidak ada siaran TV selepas jam 8.00 malam kerana waktu itu diperuntukkan untuk mentelaah pelajaran. Disiplin ini mensti dipatuhi oleh semua ahli keluarga. Jangan pula anak-anak dihalang menonton, sebaliknya ibu bapa masuk ke bilik tidur untuk menonton.

Syarat ini memang agak janggal dan sudah tentu akan mendapat tentangan habis-habisan dari anak-anak. Tetapi jangan mengalah, ia berlaku hanya sementara. Pada awalnya anak-anak akan memberontak dan kedua ibu dan bapa tidak menjadi popular, tetapi apabila ia telah menjadi undang-undang lama-kelamaan ia akan  dipatuhi. Kita tidak perlu lagi memberi arahan, mereka akan menutup TV apabila jarum menghala ke jam 8.00 malam tepat.

Memang agak perit untuk mendisiplinkan anak-anak agar menjauhkan diri dari menonton TV. Peringkat awalnya, saya pernah membawa anak-anak keluar memerhatikan apa anak-anak jiran buat selepas jam 8.00 malam. Saya bernasib baik, ketika pemantauan ke rumah jiran-jiran, kesemua anak-anak jiran saya berada di meja belajar. Ini saya lakukan setelah membuat beberapa intipan dari jauh ke rumah jiran. Akhirnya saya yakinkan kepada anak-anak bahawa semua ibu bapa mengarahkan anak mereka belajar sebelah malam, bukan berseronok menonton TV. Akhirnya adalah menjadi kebiasaan kepada mereka untuk menutup sendiri TV apabila jam dinding tepat pukul  lapan.

Fasa ketika anak mentelaah pelajaran pula, ibu bapa hendaklah duduk bersama-sama anak-anak, untuk membantu menyelesaikan masalah berkaitan dengan pelajaran. Jika tiada apa-apa pertanyaan dari anak-anak, bacalah sesuatu seperti akhbar atau buku-buku agama untuk menambah pengetahuan. 

Percaya atau tidak, ketika dua orang anak saya telah menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah, yang sulong di tahun ke-2 yang kedua di tahun pertama, saya masih menyembunyikan kad astro (membawa kad astro ke pejabat) bagi menghadkan mereka dari menonton, kerana saya beranggapan TV adalah racun jika ia menjadi habitat kepada mereka. Saya gunakan slogan “Korbankan sebahagian keseronokkan jika anda ingin berjaya”.

Meminimumkan masa bermain saya belajar daripada ayah saya. Ayah saya pernah bercerita, ketika kecilnya, beliau kerap bermain layang-layang di waktu petang (permainan terkenal di zaman kanak-kanak tahun 40-an). Suatu petang, ketika hendak makan, beliau membuka tudung saji (zaman itu makanan ditutup dengan tudung saji untuk mengelak dari lalat). Beliau meraung sehingga menitiskan air mata apabila mendapati layang-layang diletak di dalam tudung saji bukannya nasi dan lauk-pauk seperti kebiasaannya. Fahamlah beliau bahawa bapanya menegahnya dari bermain sehingga melampaui batas.

Sebenarnya walaupun datuk saya tidak pernah mendapat pendidikan formal, ayah saya belajar sehingga tahun 5 di sebuah sekolah di pekan Papar (tiada darjah enam ketika itu). Bersama rakan sekampungnya, mereka ke sekolah menaiki kerbau kerana tiada kemudahan jalan raya antara kampung dengan pekan Papar. Kerbau ditambat berdekatan dengan padang ragut dekat sekolah mereka. Setelah tamat sekolah, bapa saya pernah ditawarkan untuk berkhidmat dengan kerajaan ketika itu, tetapi mendapat tentangan hebat dari nenek saya. Kalau tidak silap saya, imam Haji Daud di Kota Kinabalu adalah antara rakan sekelas bapa saya suatu ketika dulu.

Nah, sekarang apa hasilnya. Mereka merupakan anak-anak yang tidak pernah menganggur. Anak pertama saya telah diambil mengajar kelas tuisyen sebelah malam ketika di tahun akhir pengajiannya manakala anak ke-2 mengajar kelas tuisyen di tahun ke-2 lagi, kerana kebolehan mereka diakui oleh pemilik sekolah tuisyen berkenaan.

Anak sulong saya ditawarkan menjadi Pembantu Kerani sebelum konvo lagi, dan sempat bekerja selama 5 bulan di sebuah pusat tuisyen sebelum mendapat tawaran kerja tetap. Anak ke-2 pula sempat bekerja 9 bulan di kolej swasta sebagai keranai dan guru tuisyen sebelum mendapat tawaran kerja tetap. Akhirnya anak sulong dan anak ke-2 telah mempunyai simpanan RM6,000.00 tiap seorang sebelum dilantik sebagai  penjawat awam.

Hari ini, kedua-dua anak saya sangat-sangat menghargai benda berharga yang dinamakan WANG, kerana mereka berdua pernah menjadi pekerja swasta yang memerlukan komitment yang agak tinggi tetapi memperoleh upah yang tidak seberapa (tidak sampai RM1,000.00). Pengalaman berharga tersebut menjadikan mereka lebih dewasa dan bersemangat kental.

Petunjuk kemajuan
1.Anak-anak mematikan suiz TV tepat jam 8.00malam
2.Menonton TV sebelum waktu belajar (petang untuk kartoon)
3.Anak-anak menghargai nikmat bekerja ikut kelayakan yang setimpal
4.Bergaji besar tetapi tidak melupai kedua ibu dan bapa (mereka menabung RM400.00 tiap seorang dalam simpanan khas untuk keluarga)

Mesyuarat MKSP BTPN Sabah di Kundasang 24-25/10/2011

Jam 11.30 rombongan Pasukan Kualiti BTPN Sabah meninggalkan pejabat dengan menaiki tiga buah van menuju ke Kundasang.

Rombongan singgah sekejap di pekan Nabalu bagi meluruskan urat saraf dan membeli sedikit keperluan untuk santapan di Hotel Perkasa Kundasang.

Setelah mendaftar masuk di bilik 309, mesyuarat Kajian Semula Pengurusan BTPN dimulakan dengan beberapa usul yang memanaskan punggung. Tidak terasa mesyuarat terlajak sehingga ke jam 5.30 petang.

Malamnya, mesyuarat telah dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah.

Seawal jam 6.00 pagi, 25 Oktober, saya meronda sekitar perkarangan Hotel Kundasang untuk menikmati panorama pagi yang tidak ada tolok bandingnya. Sempat merakam foto yang boleh dijadikan oleh-oleh yang tidak ternilai kepada saya. Mesyuarat pengurusan berakhir jam 12.30 tengah hari.

Setelah solat jamak, rombongan bertolak balik ke Kota Kinabalu. Sempat singgah di simpang Pekan Nabalu untuk memborong kobis, bunga kobis, lada merah, lada hijau yang segar bugar dan daun kekacang untuk dibawa balik ke rumah. Rombongan singgah sekali lagi di Pekan Nabalu untuk membeli pisang tembaga dan pisang kuning.

Kepala ada sedikit pusing kerana jalan turun yang simpang siur dan hujan sedikit lebat.

Alhamdu Lillah tiba di rumah hampir jam 5.00 petang.