Monday, December 13, 2010

Jutaan terima kasih


Anakku selamat bernikah di Masjid Negeri Kota Kinabalu pada pagi Khamis (9/12/2010 - 3 Muhharam 1432 H). Istiadat Marhaban (berdikir) dan Majlis Berbedak diadakan pada sebelah malamnya di rumah kediaman kami di Papar. Allah telah menurunkan rahmatnya kepada kami sekeluarga apabila tidak menurunkan hujan pada malam berkenaan. Hujan turun dengan lebatnya selepas acara berbedak selesai. Terima kasih kepada empat sepupu yang sanggup bertahan sehingga tengah malam, demi untuk menginaikan kedua mempelai. Mohon seribu kemaafan kepada rakan taulan dan saudara mara yang tidak dimaklumkan akan perkara ini. Bukan apa, majlis diadakan secara tidak dirancang sedari awal, memandangkan faktor cuaca yang tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun, terima kasih kepada semua yang terus memberi kerjasama sehingga majlis berjalan dalam keadaan yang lancar.

Majlis persandingan diadakan pada 11/12/2010 (5 Muharam 1432) di Dewan Wisma Pertanian Off Jalan Maktab Gaya. Majlis juga berjalan dengan sangat lancar. Terima kasih atas kehadiran saudara mara pihak lelaki yang datang dari jauh. Begitu juga keluarga sebelah isteri yang datang dari negara Brunei Darusalam. Semoga selamat dalam perjalanan balik yang agak panjang.

Saya berpuas hati dapat menyediakan satu bilik hotel untuk penginapan dua malam untuk keluarga lelaki. Walau pun ia sekadar seadanya, diharap dapat memenuhi keperluan anda. Terima kasih tidak terhingga atas kehadiran semua tetamu yang turut sama mendoakan kebahagian kedua-dua mempelai. Kalupis dari kampong dan empat tin kuih kering (jala, rempeyek, kuih baulu dan maruku yang lazat) yang lebih dari mencukupi telah menjadi juadah, sementara menunggu majlis Marhaban tamat.

Kepada keluarga saya, sepupu dan semua saudara mara dari Kampong Benoni serta adik beradik dan saudara mara sebelah isteri saya, terima kasih atas sokongon dan bantuan bertaraf lima bintang kalian. Kalian telah membantu melicinkan majlis sehingga berjalan lancar seperti tidak ada cacat celanya.

Batang selasih bertenggak mangga
Batu belah si daun palas
Terima kasih tidak terhingga
Hanya Allah dapat membalas

Terima kasih.

No comments: