Friday, August 26, 2011

Syarat ke-5. Menuruti kehendak anak bukan kehendak ibu bapa sendiri

Maksud saya di sini ialah lebih mengutamakan anak-anak dari benda lain (bukan bermaksud membenarkan mereka membuli kita).

Memikul tanggungjawab sebagai sebagai ibu bapa tidaklah semudah yang disangkakan. Dalam kebanyakan masa, tentu ramai golongan ibu bapa berasa tertekan memikirkan dan memikul tanggungjawab terhadap keluarga.

Tidak rugi kita menabur pelaburan yang agak besar hari ini jika kita ingin menuai hasilnya di kemudian hari. Ibarat kata pepatah Cina “Jika kita hendakkan hasil yang banyak, kita kena buang banyak” akan tetapi jangan harap “hasil yang banyak jika kita hanya melabur sedikit sahaja.” Maksud saya, jangan segan untuk mengeluarkan duit walau pun ia amat perit demi untuk kecemerlangan anak anda.

Berkat pelaburan dan pengorbanan yang begitu besar, hari ini saya dan isteri tengah menerima habuan yang tidak diduga. Hari ini dan mungkin doakan seterusnya . . . . . dua orang anak saya yang merupakan penjawat kategori 41, telah merancang sesuatu yang sememangnya tidak pernah kami harapkan dan impikan dulu. Mereka menyambut Hari Ulangtahun saya dan isteri dengan makan di restoran ternama, menyambut Hari Ulangtahun Perkahwinan kami di Hotel Bertaraf ada bintang dan macam-macam lagi, membawa pulang pelbagai hadiah tatkala mereka berpeluang kursus di Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Inilah yang saya maksudkan sebagai Fasa Menuai Hasilnya.

Tidak dinafikan, kebanyakan ibu bapa cenderung melihat anak mereka sebagai 'tidak cukup baik'. Jangan ingat anak-anak tidak tahu tetapi mereka sebenarnya dapat merasainya. Apabila anak merasai persepsi bapanya, mereka dengan mudahnya akan 'terbentuk' seperti yang diharapkan oleh bapa mereka secara tidak langsung. Sebaliknya, apabila kemampuan mereka diakui, mereka akan menjadi lebih hebat daripada yang disangkakan.

Ibu bapa hari ini bukan lagi hanya bertanggungjawab memberi makan, pakai dan rumah kediaman semata-mata kepada ahli keluarga. Bapa perlu melindungi dan memelihara keimanan ahli keluarga supaya tidak hanyut dalam arus kehidupan bertentangan dengan fitrah kejadian manusia.
Ambil masa untuk mengenali secara khusus keunikan dan kualiti anak anda. Libatkan diri dalam dunia mereka, hadiah yang mereka sukai, apa program TV yang mereka minati, potensi pelajaran mereka, apa jenis sukan yang digemari malah impian dan cita-cita mereka.
Salah satu ciri penting dalam memupuk kebahagiaan keluarga ialah makan bersama ahli keluarga. Hari ini amalan seumpama itu semakin dilupakan dan ia dilakukan pada ketika tertentu saja. Di sebalik makan bersama, sekurang-kurangnya kita bersama keluarga dapat bertemu muka di antara satu sama lain. Alangkah indahnya si isteri menyenduk nasi ke pinggan suami dan begitu sebaliknya. Di samping itu sesekali kita suruhlaha salah seorang dari anak kita membaca doa sebelum makan secara bergilir-gilir. Ini akan menerapkan keyakinan diri kepada mereka.

Kenal pasti kebolehan anak untuk merangsang kemahiran yang dimilikinya. Jangan paksa anak lakukan sesuatu yang tidak diingini atau berjanji dengan hadiah menarik jika mereka mengikut kehendak anda kerana apa yang dilakukannya itu bukan kerana minat. Biarkan anak tonjolkan apa yang dia mahu kerana jika ibu bapa menyekat, ini bermakna anda menghalang perkembangan anak yang secara langsung menyebabkan emosinya terganggu. Secara sosial, anak juga akan terganggu dan akhirnya menjadi pasif

Anak yang berusia 0 hingga 2 tahun kerap menangis kerana itu adalah cara mereka berkomunikasi dan memberitahu apa yang diinginkan. Ibu bapa yang peka dengan keperluan anaknya tidak akan membiarkan mereka menangis. Sekiranya dibiarkan mereka akan lebih menunjukkan perasaan marah, susah dipujuk dan sedih. Ini menjadikan tangisan lambat reda. Sebaliknya anak yang dipujuk akan cepat bercakap dan tidak akan menangis sewenang-wenangnya

1.Sebagai contoh kita jangan memaksa anak kita memasuki bidang Sains selepas PMR, jika mereka lebih berminat kepada bidang Perakaunan. Atau memaksa anak kita mengambil bidang kedokotoran selepas SPM sedangkan mereka lebih berminat kepada kejuruteraan.

Sebagai contoh : Anak rakan saya yang lebih berminat kepada bidang pengurusan perniagaan dipaksa oleh ibu bapanya untuk mengambil Perakaunan. Setelah lulus ijzah pertama di Universiti, anaknya bekerja 4 tahun di sebuah bank di Kuala Lumpur. Tujuannya bekerja untuk menggumpul modal, akhirnya balik ke Sabah untuk membuka perniagaan (Andaman pengantin dan pakej perkahwinan).

2. Tanya soalan ini kepada diri anda sendiri: "Berapa banyak yang saya tahu tentang anak saya? Tahukah saya tentang inspirasi dan aspirasi mereka? Adakah saya peka terhadap siapa kawan-kawan anak saya? Andainya terdapat persoalan tentang anak yang tidak terjawab, anda sentiasa boleh bertanya. Jangan biarkan anak anda meluahkan perasaan kepada orang lain. Jika ini terjadi, kita kena cermin diri sendiri mungkin ada sesuatu yang tidak betul pada diri anda.

3. Mendengar itu membantu. Petua ini mungkin sudah terlalu biasa kedengaran. Tetapi, apa yang pasti, dengan memberi perhatian dan menjadi pendengar yang baik, anda berpeluang mengenali anak dengan lebih rapat. Ketepikan sebentar akhbar yang sering menjadi peneman, pandanglah ke arah anak apabila mereka bertanya soalan ketika mereka belajar. Ketepikan masalah , jika berdepan dengan situasi di mana anak kita sedang mentelaah pelajaran. Cuba fikirkan apa yang diperkatakan dan jika anda ingin anak mendengar cakap anda, anda perlu menjadi panduan yang baik.

Sedarlah bahawa anak mudah tersesat atau terpesong dalam arus dunia. Dengar apa yang mereka katakan dan apa yang tidak terluahkan. Tunjukkan kepada mereka bahwa mereka ‘berhak’ untuk didengari dan diberi perhatian.

4. Bapa misali sentiasa mencari peluang untuk menghabiskan masa bersama-sama dengan anak dan ahli keluarga. Sebenarnya, anak boleh menjadi penawar kepada masalah dan beban kerja yang dihadapi. Anak menjadi inspirasi kepada bapa berusaha lebih gigih dan sentiasa mengutamakan keluarga.

5.Apabila suami isteri sedang bertelingkah, pastikan bukan di hadapan anak-anak. Lazimnya kemarahan akan dilemparkan kepada anak-anak. Jadi, untuk mengelakkan masalah ini terjadi, ada baiknya anda merehatkan diri dengan teknik-teknik tertentu bagi mengurangkan perasaan marah. Ingatlah, hanya satu episod yang buruk sudah cukup untuk mengubah persepsi dan hubungan anda dengan anak-anak.

6. Beri peluang anak anda mengenali Allah dengan menunjukkan ‘keimanan’ dan amal harian anda yang selari dengan tuntutan agama. Bersolat bersama-sama dan jadi imam dalam solat lima waktu di rumah, jika tidak mampu memadailah semasa solat maghrib dan isyak sahaja. Bawalah mereka bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid. Selalu bercerita mengenai makhluk yang dicintai Allah di bumi dan langit serta lebihkan membeli buku yang bercorak keagamaan sebagai santapan rohani mereka setiap bulan.

7. Sabda Rasulullah bermaksud: “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku ialah yang terbaik daripada kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Ramai bapa mengabaikan aspek kemesraan dalam pergaulan dengan anak. Mereka menganggap itu tidak penting dalam membina kebahagiaan keluarga. Ada bapa lebih suka menunjukkan sikap bengis sebagai cara mendidik anak. Cara itu dikatakan lebih berkesan agar anak dengar kata dan tidak berani melakukan perbuatan ditegah.

Cara sedemikian mungkin berkesan ketika anak masih kecil. Anak patuh kepada larangan itu bukan atas kesedaran atau kefahaman mengapa sesuatu perlu dilakukan atau dijauhi. Sebaliknya, disebabkan takut kepada hukum.

Kita patut bertanya kepada diri sendiri
1.Adakah saya mengetahui potensi anak saya
2.Peratusan mengenali pribadi anak-anak
3.Siapa rakan rapat anak kita
4.Apa cita-cita anak-anak kita
5.Apa kebolehan mereka

Potensi

Bukan minta puji, dulu ………… guru-guru sekolah anak saya pernah melarang untuk saya menghantar anak-anak ke kelas tambahan yang dianjurkan oleh pihak sekolah dengan alas an mereka sudah tidak perlukan itu semua. Akan tetapi saya gagahkan untuk menghantar mereka ke kelas tambahan bagi memberi peluang kepada mereka untuk merasa apa itu kelas tambahan serta peluang untuk mereka akrab dengan kawan-kawannya.

Petunjuk kemajuan
1.Anak-anak tidak anak memperlekehkan kita
2.Anak-anak lebih menghormati kedua ibu bapanya
3.Anak akan mematuhi waktu solat
4. Anak mula yakin akan dirinya sendiri
5.Anak tentu lebih berbangga dengan bapa yang sentiasa berada di sisinya untuk menunjukkan contoh terbaik. Perasaan hormat dan berbangga dengan bapa adalah pengiktirafan tertinggi anak terhadap ibu bapa.

No comments: