Thursday, December 22, 2011

Syarat ke-9. Motivasi dengan buku bukan dengan wang

Ibu bapa  adalah pelukis kehidupan anak-anaknya. Bahkan kejayaan hidup anak adalah berpunca daripada hasil dorongan dan peranan keduanya sebagai guru dan murabbi. Kehidupan seorang ayah dan ibu menampilkan bentuk kehidupan sebenar yang akan dimiliki anaknya pada satu masa nanti. Masa muda seorang anak adalah waktu mereka sentiasa ingin melihat perkara baru dan ingin mencubanya.

Mereka mula menapak mencari jalan hidupnya sendiri dan melakukan sesuatu yang mirip dengan apa yang dapat dilakukan oleh ayah dan ibunya. 

Contohnya ibu bapa yang menunaikan solat 5 waktu ........ anaknya akan mengikut apa yang dilakukan oleh kedua orang tuanya. Selepas solat berjamaah terpilih, contohnya selepas maghrib ... ambillah peluang tersebut untuk mengadakan tazkirah pendek. Buatlah sedikit persediaan untuk ditazkirahkan atau untuk dikongsi ketika itu.

Contoh lain ..... ibu bapa mampu memiliki lebih dari sebuah rumah mahupun lebih dari sebuah kereta. Sudah tentu anak-anak akan berusaha untuk meniru bagaimana kedua ibu bapanya boleh memperoleh kejayaan serupa itu, walhal mereka bukannya orang tua yang berkelulusan Universiti. Begitu juga dengan kekemasan ketika mengurus kebersihan rumah tangga, cara berpakaian, cara bercakap dan sebagainya.

Ibu bapa perlu bertanya sama mereka telah menjalankan fungsi mereka dengan sempurna atau sebaliknya. Jangan gantikan kehadiran kita dengan kebendaan atau perkara lain. Kemewahan boleh dibeli atau ditukar sedangkan ibu bapa tidak boleh dijual beli. Anak yang sering dihantar ke rumah pengasuh, suatu hari nanti tidak mustahil akan menghantar kedua ibu bapa mereka ke rumah orang tua pula . . . . palis-palis.

Bagi memperbaiki kualiti sebagai ibu bapa, ibu bapa memberikan perhatian kepada anak, mencatat amalan negatif yang biasa dilakukan seperti berjanji tetapi tidak dipenuhi dan catatkan cadangan untuk memperbaiki kelemahan masing-masing.

Setiap manusia memiliki lapan jenis kecerdasan iaitu bahasa, logik matematik, ruang (spatial), muzik, kinestatik, interpersonal, intrapersonal dan natural. Setiap satu boleh dipelajari, dikembangkan dan ditingkatkan bergantung kepada kemampuan masing-masing. Ibu bapa memainkan peranan untuk merangsang kebolehan anak dengan memberikan galakkan dan tidak menyekat anak melakukan sesuatu yang diminatinya

Ibu bapa ibarat guru pertama dalam kehidupan anak yang sedang membesar. Di rumah, mereka mendengar dan melihat dan belajar untuk bertutur dan memberi tindakan terhadap setiap perkara yang berlaku kepada diri mereka. Maka lebih banyak bahasa yang digunakan, lebih cepat anak menyerap dan menggunakannya sebagai alat berkomunikasi.

Dalam mendidik minat anak untuk membaca, salah salah satu cara untuk mengetahui bahan bacaan apa yang mereka minat ialah dengan membiarkan mereka memilih sendiri bahan bacaan yang diingini. Bawa mereka ke perpustakaan mahupun kedai buku untuk melakukannya secara bebas. Buku yang menarik minat mereka akan memukau hasrat anak dalam meneruskan aktiviti itu.

Selepas itu, minta maklum balas anak anda. Jadikan penilaian dan perbincangan adalah sebahagian perkara yang amat penting daripada pengalaman yang positif membaca buku. Tanya soalan seperti adakah mereka menggemari buku yang dibaca itu, mengapa, siapa watak kegemaran dan seiring dengannya. Jangan pula nanti anda yang terkejut jika mereka mahu baca semula buku yang sama sekali lagi. Ini bermakna anda melakukan tugas anda dengan baik dalam memupuk sikap membaca yang menjadi kunci kepada kejayaan akan datang kepada mereka.


Selepas mengetahui bahan bacaan yang mereka gemari, peringkat ke-2 ialah  menyediakan bahan bacaan tersebut sebagai hadiah jika anak-anak beroleh kejayaan dalam :

1.Mendapat tempat terbaik di kelas semasa ujian.

2.Dapat markah seratus peratus dalam mana-mana mata pelajaran di setiap ujian.

3.Mewakili sekolah dalam pertandingan seperti Kuiz Matematik, Kuiz Sains, Pertandingan Bercerita, Syarahan, Bercerita Kisah-kisah Islam, Pertandingan Nasyid dan sebagainya.

4.Mendapat tempat di pertandingan seperti Kuiz Matematik, Kuiz Sains, Pertandingan Bercerita, Syarahan, Bercerita Kisah-kisah Islam dan Pertandingan Nasyid.

Tips utama ialah berikan peruntukan berbentuk wang apabila kita membawa mereka ke kedai buku tetapi tiada peruntukan untuk mereka jika mereka pergi ke kedai mainan. Jika mereka membeli barang mainan, mereka terpaksa mengguna wang simpanan mereka sendiri. Akhirnya, mereka lebih gemar ke kedai buku kerana setiap kali ke kedai buku, mereka akan diberi wang. Dan perhatikanlah, suatu ketika nanti mereka akan membeli buku yang murah sedikit untuk menyimpan baki wang yang diperuntukan.

Sememangnya tugas untuk menjadikan anak-anak cemerlang bukan tugas yang mudah. Kita hendaklah bersabar dengan karenah anak-anak. Jika anda berjaya, siapa juga yang akan tersenyum lebar menantikan kedatangan anak-anak  membawa buku rekod tatkala keputusan peperiksaan diumumkan oleh pihak sekolah.

Petunjuk kemajuan
1.Pencapaian anak-anak semakin meningkat
2.Mereka lebih menghargai buku
3.Mereka meminta hadiah buku bukan wang
4.Kita boleh gantikan hadiah dengan wang tetapi bawa mereka ke kedai buku selepas itu.
5.Anak-anak anda akan pintar menabung
6.Anak-anak ada target sendiri untuk membeli barangan mainan yang dikehendaki

No comments: