Tuesday, April 10, 2012

Air mata tumpah tatkala pertama kali mendepani Kaabah semasa ibadah Umrah

Tanggal 27 Mac 2012 mencatat sejarah, apabila perjalanan yang panjang melalui Bandar Seri Begawan menuju ke Jeddah. Pemergian kami suami isteri tanpa pengalaman, hanya bersandarkan sedikit manasik yang ditimba semasa kursus, yang telah disampaikan oleh Ustazah Lilis Mulyani di Masjid Negeri beberapa hari sebelum berlepas. Aku terjah pemergian itu dengan meniatkan ibadah ku semata-mata kerana Allah. Sebelum itu, aku merujuk beberapa buku manasik dan mengimbau kembali apa yang pernah aku pelajari dalam subjek Agama Islam ketika menduduki Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Abdullah Munshi Pulau Pinang pada tahun 1974. Allah pertemukan kami dengan abang dan kakak ipar yang telah pernah menunaikan ibadah umrah yang juga menjadi pembakar semangat kami untuk beribadah ke dua kota suci Allah.

11 jam dalam pesawat dapat dilalui dengan tenang berkat doa anak-anak, sanak saudara dan rakan taulan. Rombongan disertai oleh abang  ipar (Haji Malai Hussin) dan isteri, kakak ipar (Malai Masnah), suami (Mohd Ali Abd. Hamid), anak sulung beliau (Wan Damayanti),  rakan sekerja isteri Saudara Karim Juman (Bongawan) serta dua beradik Habib Saipah Habib Ahmad (Benoni). Di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, aku bertemu dengan Soraya Gubin mantan Penolong Pengarah BTPN Sabah yang juga menjadi tetamu Allah bersama rombongan kami. Seawal pagi, meninggalkan Kota Kinabalu dengan pesawat Royal Brunei untuk transit di Bandar Sri Begawan. Sekitar jam 11 pagi, pesawat Royal Brunei berlepas meninggalkan bumi Brunei. Di dada pesawat, aku gelisah, gementar berbaur gembira. Tidak banyak perkara yang mampu aku lakukan melainkan berzikir dan sekali sekala membelek buku manasik umrah yang dibekalkan oleh pihak travel Gemilang Borneo. Tatkala masuk waktu zohor, kami menunaikan solat menghormati waktu di dada pesawat. 

Tatkala pesawat mendekati sesuato lokasi, berkemungkinan negara India, aku menjenguk ke luar jendela pesawat, di mana aku menyaksikan panorama bandar-bandar yang kami lalui dengan gemerlapan cahaya di kegelapan malam di waktu setempat. Pada anggapanku mungkin menjelang subuh di sekitar India dan Pakistan. Apabila pesawat mula terbang sedikit rendah, sekali lagi aku menjenguk ke luar jendela. Aku menyaksikan suatu pemandangan yang asing dan luar biasa di bumi Allah. Aku saksikan padang pasir yang luas terbentang. Aku bertegur sapa dengan bekas muridku di SMK. Sanzac (Azman Matnin Kampung Sembulan, sepupu Mohd Ishak Hj. Sulaiman) yang kebetulan berada di kerusi belakang kami. Beliau menunaikan ibadah bersama keluarga abangnya yang bernama Jamlan serta keluarga kakak beliau (isteri Daud Insun). Pada mulanya, Azman tidak mengenaliku kerana aku tidak terus berterus terang. Aku memberikan beberapa 'hint' bagi membolehkan beliau mengenaliku. Agak lama tidak bertemu, tidak sangka Allah mempertemukan kami ketika menuju ke bumi suci-Nya. 

Jam 4.31 petang bersamaan 9.31 malam waktu Malaysia,  pesawat mendarat  dengan selamat di terminal Lapangan Terbang Haji Jeddah. Sebaik saja meninggalkan pintu pesawat, bulu romaku meremang dikejutkan dengan hamparan padang pasir selaut mata memandang. Itu merupakan pengalaman pertamaku menjejakkan kaki ke padang pasir Saudi Arabia. Kami meninggalkan pesawat dengan menaiki bas perantara yang membawa kami ke terminal. Allah Ya Allah, pertama kali aku mengalami pengalaman yang aneh pada pandanganku, di mana pesawat berkongsi landasan dengan kenderaan lain seperti bas perantara, kenderaan pengangkut minyak dan lain-lain kenderaan fasiliti Airport. Waima beberapa kali berbaris ketika melalui pusat pemeriksaan (Imigresen dan kastam), hati berbunga-bunga mengatasi kepenatan tatkala melalui perjalanan yang panjang. Setelah memperoleh bagasi masing-masing, kami mencari tandas untuk membuang hajat dan berwuduk untuk solat asar, mengqada solat dzohor serta sujud syukur.  Kami bergerak keluar dari terminal dalam kumpulan yang besar.

Kami menaiki tiga buah bas mengikut tag warna yang terlekat pada lencana kami (hijau, oren dan kuning). Pemandu bas memasukkan bagasi kami ke perut bas. Jam 8 malam, dalam kedinginan malam, 3  buah bas bertolak meninggalkan terminal  Jeddah. Kami sebas dengan Puan Hayati (pemilik travel). Selepas beberapa detik meninggalkan Airport Jeddah, bas berhenti di suatu kawasan untuk membolehkan  seorang Arab menyertai rombongan kami. Pada awalnya aku begitu terpana dan menyangka, beliau warga Saudi. Selepas menyantuni tetamu Allah dengan bahasa kakak kepada Puan Hayati, baru aku sedar sebenar-benarnya beliau adalah mutawif Haji Habib Ali dari Indonesia. Sebelum berlepas, beliau membahagi-bahagikan minuman dan sekotak tapau berisikan kentang goreng dan tiga ketul ayam. Sebelum bergerak pemandu bas memasuki kawasan penumpang bas, bercakap dengan bahasa yang aku tidak fahami (bahasa Arab). Dia mengambil  beg sederhana besar yang aku letakkan di depanku dan menyimpannya di perut bas.

Di kepekatan malam, aku menikmati suasana persekitaran yang seratus-peratus asing dari bumi tanah airku. Aku melayan perasaan dalam debar yang bercampur baur.  Aku belum boleh membayangkan apa yang akan bakal aku lakukan sepanjang ziarah ku ini. Usai beberapa jam bergerak, kami diberhentikan di suatu kawasan R & R untuk membasah tekak dan solat jamak (maghrib / isyak). Kami diiringi ke kawasan tandas dan ruang wuduk. Suasana sekitar R & R sungguh dingin, sehingga gigi berlaga ketika berkumur mengambil wuduk. Di luar kawasan, beberapa orang penjual madu dan penjual cenderamata menawarkan barangan mereka. Aku belum teruja untuk berbelanja kerana hati ini bergelojak untuk menatap Masjid Nabawi. Suasana begitu asing bagiku, kerana tiada kawasan perumahan di sekitar R & R tersebut. Hanya beberapa buah kedai, surau dan sebuah stesen minyak.

Rombongan Gemilang Borneo tiba di Madinah jam 2.00 pagi (6 jam menaiki bas). Sebahagian jemaah yang berpasangan suami-isteri ditempatkan di Hotel Al-fayroz Al-Shatta, manakala rombongan lain menginap di hotel berlainan, Hotel Al-Fayroz bersebelahan dengan Food  Court, berdepan Bangunan Bahauddin yang menempatkan Souk (pusat Membeli Belah). Setelah menghantar barangan dan menghantar isteri ke bilik 812, dan memohon izin untuk menyertai rombongan ke Taman-taman Syurga.

Kami meninggalkan hotel penginapan  bersama pembimbing Ustaz Haji Habib Ali. Beberapa tetamu Rasulullah dari kalangan jejaka bergerak  ke Masjid Nabawi seawal jam 3.00 pagi melalui pintu 17, manakala jemaah wanita akan dibawa oleh Puan Yati pada keesokan harinya. Suasana sekeliling begitu dingin. Aku terpaku menyaksikan gemerlapan cahaya lampu limpah yang menerangi persekitatan Masjid Nabi sambil mendengar penerangan Haji Habib Ali. Kami berjalan dengan santai kerana suasana tenang damai tanpa ada jemaah lain lalu lalang di sekitar laluan kami.

Tiada perkataan yang boleh menggambarkan perasaan saya, hanya tersimpul kata-kata "Alhamdullillah Ya Allah, aku bersyukur di atas segala rahmat dan nikmat yang dikurniakan, nikmat reziki, nikmat kesihatan dan nikmat berpeluang mengerjakan umrah. Aku memohon agar Engkau memberi kemudahan kepada aku untuk menapak ke dalam Raudah-Mu."

Masjid Nabawi adalah masjid ke-2 dibangunkan Nabi selepas Masjid Qubah. Lokasi Masjid Nabawi asalnya tempat menjemur kurma dua bersaudara yang yatim Sahl dan Suhail bin Amr, tetapi telah ditebus oleh Nabi Muhammad.  "Satu kali  solat  di masjidku ini, lebih besar pahalanya dari seribu kali salat di masjid yang lain".

Rawannya hatiku menyaksikan Makam Nabi Muhammad SAW yang terletak di bawah kubah berwarna hijau. Di situlah letaknya, Raudah yang terkenal sebagai lokasi makbul doa di Masjid Nabawi. Raudah adalah lokasi antara kamar Rasulullah dengan mimbar. Kawasannya ditandai dengan permaidani kehijauan (luas 22 X 15 m). Di luar maqam, aku mengucap salam kepada kekasih Allah. Dengan tenang, aku mencelah mencari ruang solat di Taman-Taman Syurga. Kami fokus membawa diri masing-masing, melupai seketika hal-hal duniawi. Situasi di dalamnya yang agak longgar memudahkan untuk aku mencari lokasi terbaik bagi bermunajat kepada Allah. Menunaikan solat tahaiyatul masjid, solat hajat, solat taubat dan renteten doa yang panjang dengan air mata bergenang. Hatiku diterjah dengan pelbagai rasa, rasa haru, rasa syukur, rasa gembira dan rasa kerdil di sisi-Nya. Aku tidak berganjak di situ sehingga menjelang subuh, tanpa menghiraukan yang diri ini telah terpisah dari rakan-rakan.



Alhamdu Lillah hari pertama sempat solat 2 kali di Raudah, sekali sebelum solat subuh dan sekali lagi selepas subuh. Aku gagal mengesan seliparku dan balik ke hotel bersendirian setelah membeli selipar di kedai luar masjid. Dengan hanya berpandukan tag nama yang kukalungkan di leherku, dengan tenang aku  berusaha mengesan hotel penginapan kami. Aku bertanyakan lokasi hotel kepada peniaga kedai runcit di sana. (Rupa-rupanya lokasi hotel kami tidak jauh dari tempat aku bertanya tadi). Beliau hanya memusingkan badanku dan menunjukkan papan tanda hotel penginapan kami. Aku memeluk beliau sambil tersenyum.

Paginya, rombongan dibawa menziarahi Maqam Baginda Rasulullah. Tazkirah Habib Ali begitu menyentuh ketika ziarah maqam kekasih Allah. Kubah Hijau kurenung dengan perasaan yang amat dalam. Kami membaca doa-doa yang dipimpin oleh Habib Ali. Selepas itu, jemaah lelaki dibawa ke Permakaman Baqi manakala jemaah wanita diuruskan oleh Puan Yati ke Raudah. Aku menyaksikan mantari terbit ketika  berada di permakaman Baqi. Suasana dingin mencokok tulang dengan tiupan angin sepoi pagi, mengimbau betapa beruntung jasad-jasad yang menghuninya, termasuk jasad sahabat Rasulullah dan keluarga baginda. 

Lepas subuh hari ke-2 (28 Mac 2012), sempat solat sekali di Raudah. Seawal jam 7.33 pagi, rombongn kami telah menapak di Masjid Quba. Sebelum bergerak, kami dinasihati untuk berwuduk di hotel kerana pahala solat di Quba  menyemai dengan pahala sekali umrah. Bas bergerak perlahan ketika melalui permakaman Baqi di mana Ustaz Haji Habib Ali memimpin bacaan doa. Hati ini begitu terjentik mendengar  penerangan yang jelas lagi bermakna. Suasana di sepanjang perjalanan begitu memukau dengan latar landskap yang asing bagi diri ini.  Waima bumi Madinah padang pasir menguning, namun ia dihiasi dengan pokok-pokok kurma yang hijau subur. 

Di perjalanan, kami melintasi Masjid Jumaat tempat di mana Rasulullah  memulakan solat jumaat yang pertama.

"Syukur Ya Allah, Engkau buka selaut peluang untuk aku menikmati suasana yang tidak pernah aku bayangkan." Hati terjentik apabila mengenangkan diri pendosa ini, masih diberi izin oleh-Nya untuk ziarah ke tanah suci-Nya.

Di Masjid Quba, berkumpul di suatu kawasan untuk tujuan pengesanan dan kemudahan berkumpul semula selepas ziarah. Aku sempat solat tahaiyatul masjid, solat dhua dan solat syukur. Mata bergenang ketika bersujud di karpet masjid, mensyukuri nikmat dan kesempatan atas kurnia-Nya untuk meletakkan dahi ini di masjid yang petama didirikan oleh kekasih Allah. Kami berkumpul di suatu tempat bagi membolehkan mutawif Habib Ali menjumlah bilangan jemaah.

Kami bergerak ke Ladang Kurma. Suasana gamat dengan jeritan juru-jual yang menawarkan pelbagai jenis kurma jualan mereka. Sempat membeli 3 kilo kurma, strika kain buatan Cina, baju kameja buatan Turki, jam tangan. Walau masa untuk berada di sana dihadkan, akan tetapi rata-rata jemaah terleka dengan pembelian yang membuat rambang mata membuat pilihan.

Bas kami bergerak ke permakaman Uhud. Air mata tumpah lagi tanpa diminta ketika mendengar tazkirah di permakaman Uhud, tempat di mana Rasulullah berdepan dengan Qurais Mekah.  70 suhada sahid dimakamkan di Uhud. Suasana di dataran Uhud diserikan dengan puluhan gerai-gerai menjual pelbagai barangan.  Teriakan, "Pacar ..... pacar." menyapa telingaku. Rupanya, mereka menjual serbuk inai dan pelbagai barangan lain seperti tasbih, jubah, kurma, serban, ketayap dan pelbagai barangan lain. Aku berkesempatan untuk merakam suasana di sana dengan lensa kameraku. 

Rombongan kami dibawa ke Kilang Cetak Quran. Suasana di ruang tamu dipenuhi oleh jemaah yang berurusan untuk membeli Al-Quran. Di sana kami berdua membeli 11 naskhah Al-Quran (SR 14 senaskhah) untuk diwakafkan di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. 2 naskhah Al-Quran dibeli untuk dibawa pulang ke Sabah. Sebahagian jemaah lain berbaris untuk lawatan ke kilang cetak, manakala yang lainnya hanya menunggu di suatu tempat. Di perjalanan balik, kami hanya melintasi Masjid Qiblatain dan Masjid Tujuh lantaran tidak mahu ketinggalan untuk solat zohor di Masjid Nabawi.

Seawal pagi pada 29 Mac, aku dan isteri meninggalkan hotel penginapan ke masjid. Hari ini berkesempatan dua kali ke Raudah. Sekali awal pagi dan sekali lagi selepas solat subuh. Ruang masa yang terhad digunakan untuk membeli 6 pasang jubah, 6 helai sejadah, 5 helai serban, gelang, dan tasbih di sekitar hotel penginapan kami. Setiap hari, ketika balik ke hotel selepas subuh dan selepas isyak, hati ini tergamit dengan keriuhan penjaja jalanan menawarkan barangan mereka. Ada yang berteriak kuat "murah-murah', "5 rial, 5 rial" dan bermacam-macam cara lagi. Di celahan hotel-hotel juga dimeriahkan dengan peniaga dengan pelbagai barangan, dari sekecil-kecil tasbih, jubah, kurma. kekacang, serbuk inai (pacar), minyak wangi, jam tangan hinggalah ke barang makanan seperti eppal, anggur, buah kiwi, pisang dan bermacam-macam lagi jualan. 

Petang (29 Mac), dengan menaiki van, kami berpindah ke Hotel Fairuz Assatah. Di laluan perjalanan, aku begitu kagum dengan puluhan bangunan hotel yang berdiri megah. Di jalan-jalan raya, jemaah memenuhi jalan-jalan raya menuju ke masjid. Hotel Fairuz yang lebih dekat lagi dari Masjid Nabawi yang hanya beberapa langkah ke pintu 25. Di hadapannya terletak Bangunan Bahauddin, dan di seberang jalan terdapat Food Market. Di bawah dan di depan hotel terdapat deretan kedai yang menjual aneka barangan. Di keliling bawah hotel juga sentiasa ada penjual jalanan memperagakan barangan mereka tanpa mengira masa. Di Bangunan Bahauddin, terdapat kedai-kedai aras bawah.

Air mata sayu tumpah  di Madinah. 

Sepanjang berada di Madinah, rutin kami suami isteri ialah keluar masuk Masjid Nabawi tanpa rasa jemu. Seawal pagi, kami memasuki pintu 25, memerhatikan isteriku ke ruang solat wanita dan menuju ke pintu 21 setelah kelibat isteriku tidak kelihatan. Pagi terakhir di Madinah, aku dan isteri ziarah wada terhadap kekasih Allah. Tidak dapat disangkal, betapa sebaknya hati ini ketika ziarah tersebut. 

Jam 3.00 petang Jumaat 30 Mac 2012, bertolak ke Bir Ali untuk berniat ihram. Aku menitiskan air mata ketika memakai kain ihram di bilik hotel, kerana terpaksa berpisah dengan Kubah Hijau, tempat di mana jasad baginda dimakamkan. Ku tinggalkan ketayap hitamku di atas meja untuk diinfaq kerana aku tidak memerlukannya ketika berpakaian ihram. Kami berhenti sebentar untuk solat sunat ihram. Sebelum bas bertolak, Mutawif Habib Ali memimpin kami untuk membaca niat ihram. 

Selepas berniat,  kini aku terikat dengan 13 pantang larangan ketika dalam ihram seperti berikut:1.Tidak boleh menutup kepala bagi lelaki. 2.Lelaki tidak boleh memakai pakaian berjahit. 3.Tidak boleh menutup muka bagi perempuan. 4.Tidak boleh memakai sarung tangan (lelaki dan wanita). 5.Tidak boleh memakai minyak wangi  atau bau-bauan sama ada di badan atau pakaian atau pada makanan, minuman atau menghidunya (Lelaki dan wanita). 6.Tidak boleh memakai minyak kepala (lelaki dan wanita) atau janggut. 7.Tidak boleh menangggalkan rambut / bulu (lelaki dan wanita). 8.Tidak boleh mengerat kuku (lelaki dan wanita). 9.Tidak boleh mencabut tanam-tanaman (lelaki dan wanita). 10.Tidak boleh memburu (lelaki dan wanita). 11.Tidak boleh bercumbu (melakukan pendahuluan persetubuhan). 12.Tidak boleh bersetubuh. 13.Tidak  boleh berkahwin. Mengahwinkan atau menjadi wakil kahwin.

Bas kami menyusur padang pasir  yang tidak bertepi saujana mata memandang seolah-olah bercantum dengan awan biru pekat tanpa dihiasi walau segumpal awan. Kiri kanan jalan, dihiasi dengan batuan hitam, suatu pemandangan yang asing dari bumi kelahiranku. 

Setelah sekian lama dalam perjalanan, bas kami berhenti di kawasan rehat untuk solat jamak maghrib dan isyak. Di kegelapan malam, bas bergerak perlahan menyusuri padang pasir. Hujan rahmat turun renyai-renyai apabila bas kami mendekati kota Mekah. Menurut mutawif, bumi Mekah telah dua tahun tidak menerima hujan. Beliau memimpin bacaan doa memasuki kota Mekah dengan nada bergetar. Aku menggamit tangan isteri apabila melihat nun di kejauhan sana, aku ternampak menara Jam Mekah, ini bererti kami sedang mendekati Masjidil Haram. Menara tersebut semakin kami dekati dan debaran jantung ini semakin kuat. Jam 9.00 malam, kami  tiba di hotel penginapan (6 jam perjalanan dengan bas). Selepas mendaftar masuk di bilik 902 (Hotel Nebras Al Rashdiah), kami meninggalkan hotel jam 10.20 malam. Keluar sahaja dari pintu hotel, terpacak begitu dekat Menara Jam Mekah yang terkenal di dunia. Lokasinya tidak begitu jauh dari hotel penginapan kami ke Bubus Salam.

Jabbar Rahmah yang berbekas di hati

Dengan berpakaian  ihram, kami bergerak dalam kumpulan ke Masjidil Haram dengan iringan terbiah yang diketuai oleh Mutawif Haji Ali. Di tengah-tengah Masjidil Haram terbinanya Kaabah (Baitullah). Sebaik-baik sahaja melihat sendiri  Baitullah terpampang di depan mata, Subhanallah.. . . aku bukannya bermimpi.  Hanya Allah yang tahu sejuta rasa yang bermain di jiwa, hatiku begitu tersentuh hingga mengalirkan air mata.  Semasa melafazkan istilam, suaraku tersekat oleh esak tangis yang datang tanpa diundang. Semasa tawaf 7 keliling, aku tidak melepaskan pandanganku kepada  Baitullah  walaupun mataku bergenang sepanjang mengelilinginya. Semasa solat sunat selepas tawaf di Multazam, airmataku terus saja mengalir deras kerana tidak menyangka,  Allah mengizinkan aku untuk menjejakkan kaki ke tanah mulia tersebut. Terasa diri ini terlalu kerdil jika dibandingkan dengan keagungan Allah S.W.T dan terasa dekat diri ini kepada Allah pabila bersolat berdekatan dengan Baitullah.

3 meter ke Timur Kaabah, terletaknya Makam Ibrahim. Makam ini bukan tempat baginda disemadikan. Di dalam binaan kaca ini, terdapat batu bekas pijakan kaki Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah.  Di samping pintu Kaabah terdapat Hijr Ismail (tempat makbul doa). Ia dikandung dengan binaan tembok marmar setinggi 1.5 meter berbentuk separa bulat. Di situlah tempat tinggalnya Nabi Ismail seterusnya tempat beliau disemadikan bersama ibunya (Siti Hajar isteri ke-2 Nabi Ibrahim). Di atas Hijr Ismail terdapat pancuran emas. Hampir jam 1 pagi (31 Mac) selesai tahalul selepas tawaf dan Saie. Seawal jam 3.30 pagi, turun semula ke Masjidil Haram untuk solat subuh(solat di Masjidil Haram yang ganjaran pahalanya 100 ribu kali ganda dari solat di masjid-masjid lain).

Gua Thur (458 meter) sempat didekati (1 April), ketika progran ziarah luar. Ia terletak kira-kira 4 km ke selatan Masjidil Haram. Gua yang menyimpan perit getir Rasulullah dalam menyebarkan Agama Islam. Dalam kisah hijrah Nabi dari Mekah ke Madinah, Allah menitahkan untuk Rasulullah berhijrah di waktu malam. Pada malam 26 safar  1 Hijrah (9 September 622), Nabi Muhammad dan Sayidina Abu Bakar telah berhijrah ke Madinah, tetapi sebelum itu, baginda meminta Sayidina Ali bin Abi Talib menggantikan tempat tidur baginda untuk mengabui musuh-musuhnya. Rasulullah membaca surah Yassin, dan dengan kuasa Allah musuh Quraisy tertidur beramai-ramai bagi memberi laluan Nabi pergi ke Gua Thur dengan selamat.

Semasa 3 hari bersembunyi, 5  individu lain menyumbang tenaga untuk Rasulullah  : Abdullah bin Abu Bakar (anak Sayidina Abu Bakar) melaporkan berita harian terkini kota Mekah, Aisyah dan Asma (2 puteri Sayidina Abu Bakar) menyediakan makanan untuk Nabi dan Sayidina Abu Bakar, Abdullah  bin Ariqath berpura-pura menjadi pengembala kambing membekal perahan susu untuk Rasul dan Sayidina Abu Bakar, manakala Amir bin Fuhairah menjadi jurupandu perjalanan ke Madinah.

Berkunjung ke lembah Padang Pasir Mina (5 km dari Mekah) tempat pelaksanaan melontar Jamratul Ula, Wusta dan Aqabah (ketika musim Haji) . . . . simbolisasi ketika Nabi Allah Ibrahim mengusir syaitan tatkala hendak mengurbankan putera tersayang Ismail. Jemaah haji diwajibkan bermalam di situ ketika mengerjakan haji. Mina dikunujungi jemaah pada 8 Dzulhijah (sehari sebelum wukuf). Kemudian sesudah subuh jemaah haji berangkat ke Arafah.

Arafah (25 km ke tenggara Mekah) padang pasir yang luas tempat berwukuf antara tergelincirnya matahari 9 Dzulhijjah sehingga terbenam matahari dengan berpakaian ihram. Di sini letaknya Jabar Rahmah (tempat pertemuan semula Adam dan Hawa di muka bumi selepas 40 tahun terpisah) tidak sunyi dengan kunjungan umat Islam seluruh dunia. Aku dan isteri tidak teruja untuk memanjat hingga ke puncak Jabar Rahmah. Kami berhenti di pertengahan jalan dan mencari lokasi tempat memanjatkan doa. Daku panjatkan doa bersama isteriku dengan menadah tangan agar umur dilanjutkan, urusan dunia dipermudahkan, kesihatan dikekalkan, dosa sendiri, keluarga, ibu ayah dan keturunan diampunkan, reziki keluarga dan anak-anak dilipatgandakan.Nun di bawah bukit, dipenuhi dengan tetamu Allah dan para peniaga. Aku sempat merakam kenangan di hadapan unta berhias.

Setelah matahari terbenam (masuk 10 Dzulhijah) jemaah Haji meninggalkan Arafah ke Mudzalifah.

Bas kami berhenti di kaki bukit Jabal Nur.  Mutawif Haji Ali menyampaikan tazkirahnya. Kepayahan Khadijah memanjat bukit berbatu Jabal Nur (2,500 kaki) yang begitu tinggi untuk menghantar makanan kepada Rasulullah di Gua Hira sungguh menyentuh perasaan. Rasulullah menerima wahyu pertama melalui Malaikat Jibril pada hari Isnin 17 Ramadhan 610 Masihi. Ayat pertama Surah Al-Alaq (bacalah), menyebabkan baginda turun dari bukit untuk kembali ke rumah dalam keadaan gementar.

Khadijah binti Khuwailid membawa baginda ke rumah pakciknya bernama Warakaah bin Naufal seorang yang pintar lagi berilmu tinggi. Ayat Al-Quran tidak turun sekaligus, malah memakan masa selama dua puluh tiga tahun.ini kerana untuk memantapkan hati baginda menghadapi musyrikin Mekah. Ini juga bertujuan untuk mendidik pengikutnya memahami dan mengamalnya secara bertahap.

Setiap kali menerima wahyu, baginda menghafal dan memperdengarkan kepada sahabatnya untuk tujuan penulisan. Al-Quran lengkap dengan turunnya Ayat terakhir Surah An-Nas. Setiap setahun sekali, Malaikat Jibril akan mendatangi Rasulullah untuk tujuan mengulang bacaan Al-Quran, kecuali di tahun kewafatan baginda di mana Malaikat Jibril mendatangi baginda sebanyak dua kali.

Selepas itu, rombongan kami bergerak ke Ji'ranah untuk memakai kain ihram untuk ibadah umrah ke-2. Masjid Ji'rnah begitu meriah dengan penjaja jalanan memperagakan pelbagai barangan dan buah tangan. Kami dinasihatkan agar tidak terpisah memandangkan terlalu ramai jemaah yang bermiqad di sana. Setibanya di hotel, rombongan segera meninggalkan hotel untuk melunaskan tawaf dan saie. Hati begitu sayu ketika tawaf dan saie.

Foto di atas batuan Jabbar Rahmah

Memanfaatkan sepenuh-penuh ruang untuk beriktikaf di Masjidil Haram, dapat tawaf setiap hari. Kami sempat mengerjakan ibadah umrah 4 kali pada waktu malam. Mutawif mengiringi kami dengan menaiki van dengan kadar sewa SR 5 seorang untuk pergi dan balik.

Hanya pagi Selasa sedikit ruang diguna untuk membeli buah tangan untuk rakan dan taulan. Saya dan isteri tidak dapat menyertai rombongan lawatan ke Ladang Unta kerana perubahan jadual. Sejujurnya kami berdua jarang balik ke hotel penginapan lantaran tidak melepas peluang beriktikaf di masjid. 

Pagi Rabu (4 April - sehari), rombongan Gemilang Borneo ziarah ke Bandar Mewah Jeddah (72 kilometer dari Mekah). Rombongan telah dibawa ziarah ke Masjid Qisas (tempat melaksanakan hukum Hudud), perkuburan Hawa dan Pasar Qurnish. Aku sempat membeli setin susu tepung di Super Market Qurnish untuk bekal buah tangan. Bukan kerana apa, rasa susu tepung Mekah lain dari susu yang ada di tanah air. Kami sempat solat zohor dan makan tengah hari di masjid terapung. Makan bakso dan air jambu batu dan 11 malam baru balik ke Mekah. 

Semasa hendak ke masjid untuk solat maghrib (Khamis 5/4/2012), badan basah kuyup dek kerana hujan lebat membasahi bumi ambia. Aku dihalang dari memasuki dataran Kabah yang digenangi air hujan. Jelas terpapar di pancur emas, air mengalir deras dengan beberapa tetamu Allah menyambut air dengan mengguna bekas plastik.

Sepanjang beberapa hari di Mekah, terasa diri ini begitu dekat dengan Yang Maha Pencipta. Siang dan malam dipergunakan untuk solat wajib, solat sunat, dzikir dan pelbagai doa. Pada malamnya, rombongan kami kerap menyewa van dengan bimbingan Habib Ali untuk bermiqat di Tanaim. Semangat dan azam tinggi melebihi kepenatan yang kami alami sepanjang umrah ziarah.

Selepas subuh 7 April, kami berdua melakukan Tawaf  Wida, tawaf perpisahan. Kami bertawaf dengan langkah perlahan lantaran terlalu berat kaki ini untuk meninggalkan Baitullah, Air mata kami tumpah lagi lantaran kesyahduan bakal berpisah dengan Baitullah yang kami intai setiap hari pagi, malam dan petang. Lantai multazam basah dengan curahan air mata dengan doa yang panjang, dengan doa terakhirku yang berbunyi, "Ya Allah, jangan Engkau jadikan kunjungan ini yang terakhir untuk kami, jemputlah kami untuk kunjungan yang berikut-berikutnya." Terasa berat kaki ini untuk melangkah pergi meninggalkan Kaabah. Aku meneoleh  Kaabah entah berapa kali hingga ia lenyap dari pandanganku.

Sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Haji Jeddah, kami singgah solat dan makan tengah hari di masjid Terapung Jeddah. Di situlah tempat kami berpisah dengan mutawif Haji Ali. Beliau tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih saat-saat perpisahan ini. Beliau menoleh ke arah lain, ketika bas meninggalkan masjid terapung.

Jam 1.54 petang, kami telah berada di Lapangan Terbang Haji Jeddah untuk keberangkatan balik ke Tanah Air. Jam 4.19 petang, kami beratur menaiki pesawat Royal Brunei. Semasa di dada pesawat, hati ini bagai disiat-siat tika mengimbau kenangan berada di tanah suci. Sesekali, aku terpaksa mengelap air mata bila mengimbau memori di Mekah dan Madinah. Sukar untuk dilakarkan kenangan terindah yang aku alami sepanjang hayat ini. Syukur Ya Allah, Engkau memberi peluang untuk aku menatap Kaabah-Mu sebelum aku menutup mata.

Kami tiba di Brunei sekitar jam 9 pagi. Kami ditempatkan di sebuah resort untuk berehat kerana penerbangan ke Kota Kinabalu dijadualkan pada sebelah malam. Sementara menunggu giliran memperoleh kinci, kami disajikan dengan minuman oren dan kuih-muih pembasuh mulut.

Pengalaman yang paling indah.

Sama ada di Madinah, mahupun di Mekah, kita tidak perlu risau kerana rata-rata penduduknya tahu berbahasa Melayu. Lebih-lebih lagi para peniaganya. Pengaruh Bahasa Melayu begitu kuat di sana mungkin kerana sejak beratus-ratus tahun lampau, Bangsa Melayu telah datang ke tanah suci untuk mengerjakan Haji dan  Umrah. Bangsa Melayu yang beratus juta jumlahnya yang datang dari Indonesia, Singapura, Malaysia, Brunei dan Selatan Thailand memang terkenal dengan kemahiran pelayaran dan berniaga dengan bangsa Arab sejak beribu tahun lalu.

Kata Ibnu Abbas "Sesungguhnya ibadah Haji itu kawan seiring dengan Umrah, sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab Allah" . . .  yang ertinya "Sempurnakanlah ibadah Haji dan Umrah itu kerana Allah."

Pada tahun 2012 tukaran wang adalah RM860.00 dan SR1,000.00

Doa dan harapan

Ya Allah . . . .  doaku agar kunjungan tersebut bukanlah kunjungan terakhir buatku dan keluarga. Kami memohon kunjungan-kunjungan berikutnya . . . Sesungguhnya tempat orang Islam serata dunia berkumpul adalah kawasan yang paling indah di dunia. Saat yang paling menyedihkan ialah ketika melakukan tawaf wida. Semasa solat sunat di Multazam, dalam sujud terakhirku di tanah suci, aku melafazkan sepenuh kesyukuran kerana dipilih menjadi tetamu Allah. Terasa berat rasanya untuk mengangkat kaki ini meninggalkan Baitullah. Air mata membasahi pipi, sehingglah ketika meminum air zam-zam, aku masih tidak melepaskan peluang melihat Baitullah walau dari jarak yang begitu jauh . . . . aku dan isteri berjalan sambil menoleh entah keberapa kalinya . . . .  sehingga Baitullah tidak nampak dari pandangan kami. Air mata terus mengalir sehingga tiba di hotel penginapan dan sehingga ketika berada di pesawat Royal Brunei.

Allahu Akbar! Allahu Akbar!  Hatiku, jiwa ragaku, cintaku dan rinduku tertambat di sana. Aku pasti akan kembali menemuimu Baitullah. Itulah doaku setiap selepas solatku sekembalinya aku ke tanah airku. Moga Allah memberi keizinan kepada ku dan keluargaku untuk mengunjungi tanah suci itu . . . .  aku akan selalu merindui Baitullah .





No comments: