Monday, June 24, 2013

Air jernih menitis ketika Tawaf Wida

RAHMAT MENGATASI ANEH BIN AJAIB

Kalimah Bismillah saya mulakan,
Cerita cinta kepada Tuhan,
Contoh tauladan saya paparkan,
Jika baik jadikan pedoman.

Bukan menyindir bukan mengata,
Jauh sekali mengadu domba,
Niat di hati berkongsi cerita,
Jadi pedoman sesama kita.

Ribuan unggas merpati masih berterbangan di luar sana. Mereka seakan-akan ingin sama meraikan ketibaan mentari pagi. Suasana ini amat dinanti-natikan oleh sang unggas yang pernah menjadi peliharaan kesayangan Saidatina Khadijah di suatu ketika dulu. Di seberang sana, di bekas tapak Masjid Kucing, tetamu Allah berduyun-duyun membeli dedak jagung untuk ditabur buat sarapan merpati.

“Mula-mula saya hairan Harifah, mengapa merpati tersebut tidak menghampiri dedak yang saya taburkan.” Bisik rakannya.

“Kenapa pula?” Balas Harifah.

“Hampir saya menitiskan air mata, lalu saya pohonkan keampunan Allah, mengenai dosa yang pernah saya lakukan.” Sembang ringkas sahabatnya.

“Tiba-tiba saya terkenang, bahawa duit yang saya gunakan bagi membeli dedak tersebut, saya jumpa di pintu 45.”

Suasana tersebut mengimbau cerita rakan Harifah yang membeli dedak SR 1. Duit yang dijumpa di tengah jalan ketika menyusur pintu 45 pintu untuk kaum wanita. Ajaib, fikir Harifah. Merpati juga faham, ia bukan datang dari sumber halal.

Semalam, dia bersama suaminya menyewa sebuah van ke Tanaim untuk berniat umrah sunat. Umrah semalam itu diniatkan sebagai hadiah untuk arwah ibunya yang tersayang. Lucu, sepanjang perjalanan ke sana, pemandu van sering menekan hon vannya agar diberi laluan. Di sini, tanpa lampu trafik, pemandu amat bertimbang rasa dan memberi laluan kepada pemandu lain, lebih-lebih lagi di persimpang jalan. Ajaib, sambil memandu, tangan kanannya tidak habis-habis menggentel tasbih untuk menjumlah bilangan zikirnya terhadap Allah. Sambil menyelam minum air, fikir Harifah. Dia mencongak-congak bilangan zikir setelah meletak van di parkir tepi Masjid Tanaim.

Depan mata, Harifah menyaksikan satu kemalangan kecil antara dua buah kereta. Sebuah kereta mewah dan sebuah kereta lama buatan Korea. Kedua-dua pemandu turun untuk melihat kerosakan pada kenderaan masing-masing. Aneh, mereka bersalaman dan berpelukan serta bersegera meninggalkan lokasi kejadian.

“Kalau di Malaysia, sudah tentu ia akan menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir setengah kilometer, kerana perkara itu tidak akan dapat diselesaikan begitu mudah.” fikir Harifah sendirian.

Ia akan berakhir dengan penyelesaian orang ketiga iaitu polis trafik, atau sekurang-kurangnya pihak yang bersalah terpaksa mengeluarkan ongkos untuk biaya membaiki kerosakan yang berlaku, waima kerosakan tidak sebesar mana.

“Ibu Ibu, jalan terus ibu, jangan dodok-dodok sana.” suara lucu itu menyebabkan Harifah terjaga dari lamunannya. Rupa-rupanya, dia telah menghalang laluan tetamu Allah yang lainnya.

Di suatu sudut, wanita Indonesia menjual telekung wanita dengan SR 10. Harifah membeli 4 pasang untuk buah tangan kepada adik beradik perempuannya. Masih terngiang-ngiang di telinga Harifah suara parau gadis berkerudong yang menjaja sejadah buatan Turki yang jauh lebih murah dari di kedai biasa. SR10 sehelai, berbaloi-baloi dan memuaskan hati jika diborong buat sanak-saudara di tanah air. Agaknya inilah yang dikatakan Sejadah Isparta Turki. Baunya sungguh wangi. Ia mendapat namanya dari Bandar Isparta yang terletak di ketinggian 1,035 meter dari paras laut di Turki. Pokok bunga mawar hidup subur di bandar berkenaan.

“His! Bisikan syaitan ini harus dinyah jauh-jauh,” fikir Harifah. Aku ke sini untuk menumpukan sepenuh minda untuk beribadat. Jika diturutkan, sudah tentu syaitan akan bersorak-sorak kegembiraan menyambut kemenangan Berjaya menghasut hati tetamu Allah.

Harifah sedang menunggu kelibat Qadir suaminya yang sejak tadi belum muncul. Mereka terpisah ketika hendak menunaikan solat subuh. Lelaki dan wanita diharamkan solat di suatu ruang yang sama.

“Belakang ibu, belakang ibu.” seru petugas Masjidil Haram yang lengkap berjubah putih dan berserban merah putih mengarahkan jemaah wanita mundur ke belakang untuk ke ruang solat wanita.

Memang sejak beberapa hari lalu, mereka berdua kerap menghabiskan masa untuk tawaf sunat, sementara menantikan azan pertama subuh. Harifah dan Qadir amat bersyukur pagi tadi, kerana Allah menurunkan rahmat dan perkenannya. Mereka berdua berpeluang mengucup Hajar-Aswad. Cita-cita mereka akhirnya tercapai, setelah beberapa hari mengidamkannya. Allahu Akbar, Allahu Akbar. Harifah tersenyum puas mengingatkan saat-saat manis ketika berpeluang mengucup.

Harifah hampir tergelak teringat cerita dari suaminya. Rakan suaminya melihat ada tetamu Allah bersolat di tangga kerana iqamat telah dilaungkan. Ia bukan sesuatu yang disengajakan. Tetamu Allah tersebut tetap berusaha untuk mencari lokasi lain bagi menunaikan solat, tetapi dihalang oleh petugas masjid. Fikir rakan suami saya dalam lintasan hatinya.

“Kalau aku, pantang datuk nenek untuk solat di situ”.

Pada keesokkan harinya, rakan suami terkial-kial mencari ruang solat ketika iqamat selesai dilaungkan. Akhirnya dia terpaksa solat di tangga sahaja, kerana tiada ruang selesa untuk bersolat.

Di sana, tetamu Allah tidak boleh bercakap angkuh, ia akan kena pada diri sendiri akhirnya.

Suasana pagi ini, amat berbeza dengan pagi kelmarin. Ia amat tenang setenang-tenangnya. Kelmarin, Harifah menangis teresak-esak selepas pusingan ketujuh. Entah tiba-tiba dia teringat akan anak-anak yang ditinggalkan. Nasib baik suaminya Qadir dapat membuatkannya sedikit bertenang.

Ajaib, perasaan itu segera hilang apabila Qadir memujuk untuk menghubungi anak-anak usai solat subuh. Setelah berada di luar dekat jam depan masjid, dia dapat menghubungi anak-anak yang ditinggalkan di kampung halaman. Masa itu waktu di Malaysia, hampir tengah hari. Anak-anak sedang bersiap-siap untuk ke sekolah sidang petang. Perbualan ringkas dengan anak-anak dapat mengubati rindu yang tidak terbatas.

Semasa di Madinah, seorang rakan Harifah menceritakan dia mengalami batuk yang berpanjangan. Ia bukanlah suatu wabak, tetapi kerana kealpaan sendiri. Batuknya tiba-tiba muncul, pabila suatu pagi dia terkias dalam hatinya, apabila ternampak ada tertamu Allah yang meludah di luar pagar masjid.

Bisik hati kawan itu,. “ Dua malam di Madinah, inilah kali pertama saya ternampak orang meludah.”

Keesokkannya, ketika menuju ke Bir Ali, batuknya datang tanpa henti.

Semasa tiba di Mekah, rahmat Allah datang membantu beliau. Selepas solat taubat depan Kaabah, dia bersegera mencari air zam-zam. Dia memohon agar Allah mengampunkan dosanya dan memohon penawar dari air zam-zam yang diminumnya. Ajaib, batuknya segera lenyap dari menyesak ruang kerongkongnya.

Air mata Harifah memecahkan takungannya apabila mengimbas kembali beberapa rahmat yang Allah kurniakan kepada tetamuNya yang mabit di dua kota suci itu.

Harifah mengimbau kembali kenangan manis bergelung tangan dengan suami ketika tiga malam berturut-turut turun seawal pagi ke Masjid Nabawi. Ajaib, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh suaminya di tanah air sendiri. Entah malu atau entah apa-apa lagi, tetapi dia tidak menaruh syak terhadap suaminya. Persaan tersebut boleh meruntun pahala umrahnya.

Suami menghantarnya sehingga ke batas larangan antara lelaki dan wanita. Hatinya berbisik bangga tika suaminya memerhatikan sehingga dia memasuki pintu solat wanita.

Qadir perlu memastikan Harifah masuk dengan selamat. Lebih penting dari itu, dia risau kalau-kalau pasukan keselamatan dapat menghidu telefon bimbit Harifah yang disembunyikan di dalam stokinnya.

Qadir berpesan “Jika telefon dijumpai oleh pengawal tersebut, cepat balik dan hantar ke tempat saya. Jangan sampai dirampas.”

Suatu petang, Harifah memberanikan diri untuk bertanya suaminya ketika sama-sama menukar Ringit Malaysia kepada Saudi Riyal.

“Kenapa abang selalu gelungkan tangan ketika kita bergerak ke Masjid untuk bersolat?”

Qadir tersipu malu “Sebenarnya, abang perlu menjaga awak sepenuh hati, kerana abang terbayang saat-saat penghujung usia abang. Saat itu, siapalah yang akan menjaga abang jika kemampuan sudah terhakis selain dari Fah.”

“Kenapa cakap begitu?”

“Abang bukan muda lagi, umur kita menjangkau hampir setengah abad.”

“Oleh itu, mulai sekarang dan selamanya, abang berjanji tidak akan mempersia-siakan isteri abang yang seorang ini.”

“Selama ini pun, Fah tidak rasa dipersiakan.”


Harifah teringat doa yang diaminkannya ketika Qadir tersengut-sengut membaca doa di Jabar Rahmah, depan tugu menhghadap ke kiblat. Masih terngiang doa tersebut.

“Ya Allah, engkau perteguhkanlah ikatan suami isteri kami. Janganlah engkau pisahkan kami dalam keadaan yang tidak sempurna. Taburilah benih kasih sayang kami yang berpanjangan dan berkekalan. Engkau ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa zurita-zuriat kami. Berkatilah kehidupan keluarga kami dan pertemukanlah kami sekeluarga dalam syargaMu Ya Allah.”

Harifah meneliti bait doa dengan penuh perhatian, bimbang andai teraminkan doa yang lain pula kerana sebelum bertolak ke Jabar Rahmah, mutawif ada berpesan, “Pastikan puan-puan mengaminkan doa yang dibaca oleh suami, betul-betul doa untuk puan. Jangan amin memanjang, takut jika suami berdoa untuk bukan cawangan lagi satu.”

Mutawif berseloroh sambil diikuti gelak tawa memenuhi ruang bas yang dinaiki menuju ke Arafah untuk ziarah.

Cebur-cebur kaki di kali,
Tangan disental di roti perata,
Syahdu dan sendu menusuk hati,
Air menitis menyesak mata.

Beberapa hari lalu, Harifah dan suami sempat bersarapan di Pusat Beli Belah di dalam bangunan Hotel Al Safwah Royale Orchid, depan pintu King Abdul Aziz. Dia menempah mee goreng ayam manakala suaminya memesan kebab daging. Terkejut apabila membayar SR30 untuk dua tempahan, akan tetapi mee goreng saja tidak mampu dihabiskan oleh dua orang. Berbaloi-baloi, sepadan dengan harganya. Pengalaman tersebut mengajar mereka agar membeli makanan untuk seorang tetapi boleh dimakan oleh dua orang. Mereka juga telah pergi ke Jalan Ajyad Al Sud untuk membeli ais krim yang dikatakan lazat rasanya.

Di dalam masjid, Qadir masih meneruskan misinya untuk beritikaf lebih lama. Dia ingin menggumpul sejumlah pahala sebelum meninggalkan kota suci ini balik ke tanah air.

Harifah tidak menunggu dengan fikiran kosong. Tangannya menggentel tasbih membaca zikir yang dihadiahkan kepada ibu dan ayahnya. Harifah teringat kembali cerita mutawif beberapa hari lalu semasa dalam perjalanan meninggalkan Bir Ali.

“Peluang yang ada di tanah berakah ini jangan dipersiakan.”

“Kalau boleh, masa senggang hendaklah disikan dengan membaca zikir.” Mutawif meneruskan bicaranya.

“Hadiahkanlah zikir kepada orang yang kita sayangi yang meninggalkan kita terlebih dahulu dari kita.”

“Pada zaman sahabat Rasulullah, seorang sahabat bermimpi berjumpa dengan seorang tua yang mengutip sesuatu.”

Setelah didekati dan diajukan soalan, orang tua itu berkata ”Aku mengutip kiriman dari anakku.”

“Di mana anak tuan berada?.

“Dia berniaga di sebuah pasar di kawasan lain.”

Apabila terjaga, setelah mentari menampakkan dirinya, sahabat tersebut pun pergi ke pasar. Dia memerhatikan situasi sekeliling. Setelah puas mencari dan terus mencari, dia ternampak seorang budak yang sibuk melayan pelanggan. Apabila tiada pelanggan, mulutnya terkumat-kamit menggentel tasbih.

“Adik, adik sedang buat apa ini?”

“Saya berzikir dan memanjatkan doa untuk orang tuaku yang sudah tiada.”

Hari bertemu bulan. Setelah sekian lama, sabahat itu bermimpi berjumpa dengan orang tua yang dijumjpainya dalam mimpi sebelum itu. Tetapi aneh, budak yang pernah dijumpainya dulu ada bersama dengan bapanya.

Setelah sedar dari mimpinya, keesokkan harinya sahabat pergi ke pasar mencari budak yang dimimpikannya.

“Tuan tidak tahukah, budak tersebut telah meninggal dunia dua hari lepas.” Sampuk salah seorang peniaga di pasar berkenaan.

Akhirnya Qadir muncul di tempat yang dijanjikan. Mereka terus masuk ke dalam masjid untuk mengerjakan Tawaf Qudum, iaitu dikenali dengan tawaf selamat tinggal.

Hati bagaikan disentap-sentap, sayu, sedih, syahdu dan pelbagai rasa menyelubungi seluruh jiwa dan perasaan. Setiap pusingan, tarbiah Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar tidak putus-putus dibaca. Air mata Harifah sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Solat terakhirnya di Multazam merupakan kemuncak kesyahduan. Entahkan bila lagi dia dapat merenung Baitullah seperti beberapa hari yang telah dilaluinya. Sedih, pilu dan sayu menyelimuti seluruh perasaannya tatkala hendak berpisah dengan Baitullah. Air mata jatuh di lantai, dengan doa terakhir semoga dia dan suami dijemput sebagai tetamu Allah pada kunjungan berikut-berikutnya. Jangan dijadikan kunjungan itu yang terakhir buatnya, suami dan doanya agar kunjungan berikutnya juga disertai oleh anak-anak dan keluarga.

Setelah minum air zam-zam dan menyapunya di seluruh muka, terasa dada Harifah semakin menyesak, Harifah dan suami meninggalkan dataran Kaabah. Dia menoleh dan terus menoleh sambil pipi dibasahi dengan linangan air mata. Dia terus menoleh sehingglah bangunan Kaabah tidak kelihatan lagi. Namun kakinya terasa berat dan longlai untuk melangkah pantas meninggalkan Baitullah.

Tetamu Allah berkumpul di sekitar rumah tumpangan dan bas bergerak meninggalkan hotel pada jam 9.30 pagi untuk menempuh perjalanan sejauh 72 kilometer. Dari kejauhan, Harifah masih memerhatikan Menara Jam Besar sehingga ia lenyap dari pandangan. Rindu terhadap Baitullah. Singgah jamak Zohor dan Asar serta makan tengah hari di Masjid Terapung, Jeddah, sebelum menaiki pesawat menuju ke tanah air. Dua pasang selipar diwakafkan di Masjid Terapung sebagai kegunaan tetamu Allah. Mudah-mudahan pahala akan dikutip setiap kali ia diguna oleh tetamu Allah.

Rindu terhadap Kaabah tidak pernah padam sampai bila-bila.

25/6/2013


No comments: