Assalam
Saya hanya insan biasa, menuntut di sekolah biasa, punya kelulusan biasa-biasa dan tiada apa-apa yang luar biasa. Dapatan diperoleh dari ceramah seorang ustaz, namun ditafsir sendirian untuk mengajak kalian berfikir bersama-sama menganalisis Kudrat, Masa dan Harta.
Di alam kanak-kanak sehingga remaja, Allah anugerahi kudrat yang luar biasa kepada kita yang bergelar insan. Tumbuh otot segalanya yang membolehkan kita mengangkat beban seberat padi penuh seguni, memanjat pokok yang tinggi, berjaga menjelang dinihari dan darah muda mengalir menjadikan kita wanita suci dan jejaka sejati. Kita diperuntukkan masa yang secukupnya untuk mencari rakan kenalan selayaknya dan seramai mungkin. Kita bebas bergerak ke destinasi yang kita suka. Kita menuntut ilmu semaksimanya kerana otak berfungsi sepenuhnya. Kita bernafsu untuk makan apa saja. Nenas muda mampu dilahap seorang diri bercecah belacan (sekadar contoh). Tugas kita menuntut sehingga menggengam ijazah yang kita idamkan, akan tetapi kita tiada wang (harta) dan kita mengharapkan bantuan ibu bapa kita atau melalui pinjaman PTPTN.
Di alam pekerjaan, kita masih mengekalkan kudrat yang sedia ada untuk menyara diri sendiri dan mencari pasangan sekufu. Kita bekerja seligatnya untuk menggumpul wang dan kita membina kehidupan berkeluarga serta mampu memiliki wang secukupnya untuk membeli keperluan seperti rumah dan kereta. Sebahagian besar kita berjaya menabung wang untuk keluarga tetapi ramai yang gagal menabung untuk alam akhirat. Ada kalangan yang sanggup berhabis kerana mementingkan kejayaan duniawi keluarga tetapi berkira untuk mencari guru Al-Quran ternama untuk keluarga. Waima kita mampu menghadiri jamuan di restoran ternama akan tetapi makan bersama keluarga lebih utama. Nafsu makan masih sama tetapi terpaksa berbagi dengan isteri dan anak-anak yang bersusun umpama anak tangga. Nenas sebiji sudah dibelah-belah untuk dibahagi kepada anak isteri secara sama rata. Ada kalangan yang sudah mula memilih rakan yang sekufu dengannya atau ada yang menyisih diri kerana tidak setara kedudukan di alam kerjaya. Akan tetapi kita sudah tiada masa untuk mengunjungi ibu bapa kita. Masa kita diragut oleh kerjaya yang menuntut kita bekerja lebih masa dan keluar daerah lantaran tugas, atau menghadiri mesyuarat yang berganda kekerapannya. Pergerakan kita sedikit terbatas kerana lebih memikir keperluan keluarga dan ingin menghabiskan masa berharga bersama mereka.atau ada yang aktivitinya penuh untuk acara entah apa-apa sekadar contoh aktiviti bermain golf, memancing dan lain-lain. .
Di usia emas, kita dikurniai dengan wang yang melimpah ruah yang sumbernya datang dari wang pencen dan sumbangan anak-anak yang berjasa. Akan tetapi, wang berjuta tidak membawa makna apa-apa lantaran memilih makanan kerana berpantang, walaupun keinginan makan masih seperti dahulu. Jangankan nenas sebiji, sehiris pun tidak mampu dirasa lantaran pantang memanjang yang tiada penghujungnya. Bahana andai terlanggar pantang, jiwa merana beberapa minggu lamanya. Ada kalangan yang asyik berbelanja untuk ubat-ubatan bukan belanja makan di restoran mewah. Andai ke jamuan mewah pun, hanya pandang dan hidu makanan semata-mata kerana sudah mula memilih makanan mengikut nasihat doktor ternama. Paling sadis, ada yang lupa membawa pelekat polident yang membataskan untuk makan lantaran takut gigi tertanggal. Al maklum ingatan sudah tidak sekuat dulu, mudah lupa.
Kita juga dibagi ruang masa yang cukup banyak kerana kita tidak lagi mengurus anak-anak yang memiliki keluarga masing-masing. Beruntunglah jika anda bijak menggunakan masa yang terluang dengan mendekatkan diri kita kepada Allah melalui pelbagai cara. Mengaji, membaca buku agama, menyebar ilmu yang bermanfaat atau umrah ziarah kepada yang masih bertenaga. Akan tetapi, berfikirlah kerana rakan kenalan sudah mula semakin menjauh. Paling tidak bertanya sekali-sekala mengenai tahap kesihatan kita melalui aplikasi WhatsApp kepada yang belum ditarik pinjaman daya penglihatannya, melalui panggilan telefon kepada mereka yang masih berupaya berkata-kata.
Namun sahabat, kudrat tidak dapat dipullihkan seperti sedia kala, ia tetap menyusut waima bukan iitu yang kita pinta. Sebahagian dari kita hanya layak duduk di kerusi roda atau bergerak dengan bantuan tongkat. Jika diajak melancong, ia sudah tidak membawa makna apa-apa kerana terpaksa menyusahkan insan lain untuk menolak kerusi roda anda. Minyak wangi yang menjadi kebangaan semasa remaja sudah berganti dengan minyak angin.
Berfikirlah dan bersedialah menghadapi itu semua. Berserahlah sepenuhnya kepada-Nya, semuanya terletak di bahu kita sendiri. Buatlah apa yang Allah redha, walaupun perkara itu dibenci insan biasa. Jangan kita terlalu sibuk mencari redha manusia hingga mengabaikan redha Allah. Jadilah usahawan akhirat bukan semata usahawan dunia.
15/2/2016
No comments:
Post a Comment