Sunday, September 29, 2019

USAH DAN JANGAN


Usah memandang hina kepada si papa
Hanya kerana berpakaian sedikit lusuh dari apa yang membaluti tubuh kita
Sedang di sisi Allah Ya Quddus , statusnya mungkin lebih mulia dari kita

Jangan memandang Lekeh terhadap insan tidak seras dengan kita
Hanya kerana perbezaan warna kulit serta bahasa
Sedang di sisi Allah Ya Malik, Allah tidak memandang pakaian lahiriah melainkan pakaian taqwa

Usah terlalu ujub dengan kepakaran ilmu kita
Hanya kerana insan lain hanya memiliki sejengkal ilmu dan tidak seberapa
Sedangkan di sisi Allah Ya ‘Alim, belum tentu ilmu itu melambangkan keperibadian kita

Jangan memandang remeh infaq orang lain
Hanya kerana mereka hanya mampu menyumbangkan sedikit
Sedang di sisi Allah Ya Razzaq, infaq yang sedikit lebih bernilai dari langsung tidak pernah berinfaq

Usah pandang sinis terhadap isteri / suami sendiri
Hanya kerana melihat isteri / suami orang lain begitu tampak cantik bergaya
Sedang di sisi Allah Ya Kholiq, itulah pilihan terbaik untuk kita

Jangan riya dengan orang tidak punya apa-apa
Hanya kerana kita memiliki harta berjuta
Sedang di sisi Allah Ya Baasith, kekayaan itu boleh saja ditarik bila-bila masa

Usah cemburu kerana saingan kita lebih berjaya dari kita
Hanya kerana kita ketinggalan dari pesaing kita
Sedang di sisi Allah Ya Basiir, kejayaan pesaing kita itu mengajak agar kita mensyukuri akan nikmat kurnia-Nya

Jangan leka dengan janji kosong permainan dunia
Tidak semua kejayaan itu milik kita
Sedang di sisi Allah Ya ‘Adzim, gagal berjaya itu adalah reziki kurnia dari-Nya

Usah pandang serong, orang kelainan upaya
Hanya kerana kita memiliki sifat yang kurang sempurna
Sedang di sisi Allah Ya Latif, ada hikmah mengapa mereka dicipta sedemikian rupa

Jangan benci pada seteru kita
Hanya kerana mereka lebih sukses dari kita
Sedang di sisi Allah Ya Ghofur, kejayaan di akhirat tidak sebanding dengan kejayaan dunia

Usah gembira melihat orang lain gagal tetapi kita berjaya
Hanya kerana mereka terlilit hutang berpanjangan lamanya
Sedang di sisi Allah Ya Muqit, gagal jaya itu ujian terhebat-Nya

Jangan asyik memikir hal ehwal dunia
Ditakuti nanti, kita lupa bekalan akhirat kita
Sedang di sisi Allah Ya Karim, timbal balas di akhirat kekal selama-lamanya

Usah mimpi kita bakal kekal hidup di dunia selamanya
Hanya kerana kita tidak terngadah di hujung-hujung usia
Sedang di sisi Allah Ya Waduud, dunia hanya untuk sementara

Jangan lalai dengan pujian melambung tingginya
Mungkin pujian itu ada maksud sebaliknya
Sedang di sisi Allah Ya Latif, dialah yang berhak menerima pujian selayaknya

Usah berduka andai kita belum punya apa-apa
Hanya kerana rakan seangkatan kita telah menggapai segala cita-cita
Sedang di sisi Allah Ya Waliy, kejayaan akhirat sangat-sangat lebih mulia dan berharga

Jangan angkuh dengan kuasa yang kita peroleh
Hanya kerana lebih berpengaruh dari orang lain
Sedang di sisi Allah Ya Qowiy, ada lagi yang lebih agung kuasanya dari kuasa kita

Usah takbur apabila anda berada di persada puncak kerana usaha kerasmu
Hanya kerana melihat orang lain berada nun jauh di bawahmu
Sedang di sisi Allah Ya Qoyyum, jatuh bangunnya kita, kesemua di bawah pengetahuan-Nya

Jangan khayal dengan kemampuanmu memiliki tiap apa yang engkau inginkan
Sedang ada orang lain bergelut dengan kehidupan serba kekurangan
Sedang di sisi Allah Ya Maajid, Dia tidak memandang kekayaan material melainkan mengukur takwamu

Usah menganggap dirimu lebih cerdik dari segala manusia
Hanya kerana melihat orang lain berkelulusan ala kadarnya
Sedang di sisi Allah Ya Muqaddim, usaha pencarian harta duniaakan ada titik pengakhirnya

Jangan taksub mengkritik perbuatan salah insan lain
Hanya kerana berasa diri sudah cukup sempurna
Sedang di sisi Allah Ya Qodir, seluruh isi alam ini berada di dalam pengetahuan-Nya

Usah berhenti mencari ilmu akhirat kerana telah lanjut usia
Hanya kerana melihat para tahfiz, berkopiah berserban selengkapnya
Sedang di sisi Allah Ya Dzal Jalaali Wal Ikram, segala kekuasaan, kemuliaan, kesempurnaan dan kurniaan adalah milik-Nya

Jangan hanya membaca nukilan yang berestitika dengan leka
Khabarkan kepada sesiapa sahaja 
Niatku tidak untuk menjatuhkan maruah siapa-siapa
Ikhlasku, ingin menajak untuk membuka jendela minda
Aku takut terlewat sebelum sempat pesan berpesan antara kita
Mungkinkah ini ada manfaatnya buat para pembaca 
Sedang di sisi Allah Ya Muqtadir, hanya di tangan-Nya berada urusan hidup matinya manusia biasa 
Doaku, moga kita bersama-sama keluarga kita boleh dihimpun di Syurga-Nya

Amam 29/9/2019

No comments: