Hamba bermadah bukan sengaja,
Bukan menunjuk bukan mengata,
Tidak menyindir tidak mendada,
Bukan menunjuk bukan mengata,
Tidak menyindir tidak mendada,
Malahan bersyukur apa yang ada.
Barang yang mudah hamba coretkan,
Cerita cinta kepada Tuhan,
Supaya menjadi orang yang beriman,
Amal ibadat kita teguhkan.
Masa berlalu tak boleh putar,
Hidup di dunia tidaklah sukar,
Tiba waktu sejadah dihampar,
Kepada Allah kita bersandar.
Masa berlalu tak boleh putar,
Hidup di dunia tidaklah sukar,
Tiba waktu sejadah dihampar,
Kepada Allah kita bersandar.
Di luar sana, ribuan unggas merpati berterbangan umpama pesawat pejuang mengawasi keselamatan negara. Suasana tersebut membuatkan Qadir tercengut memikirkan situasi berkenaan, kerana mengapa di kawasan ini tidak ada pula sang unggas itu berterbangan. Ajaib, fikiran Qadir merawang sejenak.
Sang mentari berada tepat di atas kepala, tetapi aneh kerana tidak pula mendatangkan bahang yang membara, malahan setitis peluh jernih pun gagal mengalir dari tubuh yang gempal ini. Ajaib, sungguh kudus kawasan ini. Malahan, Qadir terasa selesa mencepak di kawasan tersebut sejak dari tadi sambil berzikir manakala jari jemarinya menghitung pantas meraba tasbih yang diperbuat dari pohon koka yang dibelinya ketika mabit di Madinah.
Sejak beberapa hari tiba di sini, Qadir telah beberapa kali menjengah ke kawasan gadis berkerudung hitam yang asyik mempromosikan barangan mereka. Masih terngiang-ngiang di telinga Qadir suara parau gadis-gadis berkenaan yang hanya menampakkan dua mata hitam mereka.
“Pacar-pacar”, jerit mereka sambil memerhatikan empat bucu hamparan kain mereka yang siap siaga boleh dicapai sebaik saja penguatkuasa datang untuk merampas dagangan mereka. Mereka juga mampu mengimarahkan suasana di tanah berakah ini.
Di dalam kedai, sang jurujual melontarkan suara pelat Melayu yang melucukan.
“Ibu, ibu …… mari liat-liat ibu”.
Qadir tersenyum sendiri memikirkan kelibat mereka yang bukan sahaja ingin menceri reziki yang halal, malah kelibat merekalah yang dapat menarik para pelanggan berdedai-dedai ke arah mereka. Kelangsungan hidup mesti diteruskan, demi sesuap roti. Dari sasul bahasa mereka, Qadir sudah dapat meneka, ternyata mereka ini datang dari negera seberang seperti Sudan, Yeman dan Somalia. Aneh dan melucukan kelibat mereka.
Di sebelah Qadir, seorang pemuda tersengguk-sengguk menahan sedu sedan. Kedengaran esak tangisnya dalam keadaan senyap yang kalau boleh ingin ditahan-tahan kerana malu agaknya. Di sini, tiada perasaan malu. Tetamu Allah masing-masing meratapi dosa lampau agar dapat diampuni olehNya. Sukma lara bagai disentap-sentap dan kesyahduan menyelinap ke seluruh pancaindera kita. Telinga menerima lontaran bacaan sayu kekadang tegas dari surah-surah Al-Quran yang dibacakan Pak Imam setiap waktu, mata terpaut dengan pelbagai keindahan binaan mengelilingi bongkah hitam berselimut hitam manakala minda diselubungi dengan rasa terlalu kerdilnya tetamu Allah yang mengharapkan keampunan dan memohon tempat terbaik di alam akhirat. Hati mana yang tidak terkesan dengan kebesaran Allah yang maha agung tiada tolok bandingnya.
Depan Kaabah aku tertunduk,
Mengangkat tangan penuh tawaduk,
Penuh syukur sujud dan rukuk,
Betapa puas bersolat khyusuk.
Depan Kaabah aku tertunduk,
Mengangkat tangan penuh tawaduk,
Penuh syukur sujud dan rukuk,
Betapa puas bersolat khyusuk.
Qadir bungkam sejenak memikirkan, apa yang mendorongnya bersemangat untuk mengelilingi bangunan batu hitam secara pusingan lawan jam, walhal cuaca terik dengan matahari tepat di atas kepala. Bangunan ini pernah mendapat jolokan dengan panggilan Kaabun bererti batu segi empat.
Matanya meliar memerhatikan sekeliling. Fikirannya merewang memerhatikan sekitarnya, meneka-neka di manakah agaknya tempat Abrahah bersama gajahnya ketika hendak memusnahkan Ka’abah seperti yang digambarkan dalam Al-Quran dalam Surah Al Fill. Gajah Abrahah tidak dapat memasuki Kaabah. Kuasa Allah melebihi segala-galanya.
Qadir teringat tazkirah mutawif Ustaz Khalid.
“Di sana nanti, walau dalam cuaca terik tetapi kita tetap terasa dingin dan tidak akan berpeluh”.
Itu rahmat Allah yang tidak terbilang. Qadir teringat kisah pembinaannya, di mana ketika Nabi Ismail terasa bahang matahari. Maka Allah memerintahkan malaikat membuka salah satu pintu syurga menghala ke Kaabah. Mungkinkah itu angin yang dirasakan oleh tetamu Allah sehingga ke saat ini.
“Fii sabilillah, fii sabibillah”.
Suara pemuda Arab mengejutkan lamunan Qadir sambil tangannya menyambut air botol yang dihulurkan. Rahmat Allah, mereka ini ingin melipatgandakan pahala menghulurkan bantuan tanpa diminta. Itulah ajaibnya di sini, pemberi datang tanpa diminta terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi ketika hari isnin dan khamis, ketika mana tetamu Allah ramai yang berpuasa sunat. Hamparan sefarah dibentang dari hujung ke hujung sebelum solat maghrib. Pemuda Arab datang membawa secawan kopi dan semangkuk kurma terpilih buat juadah berbuka. Suasana sama juga boleh diikuti di Masjid Nabawi Madinah.
Di luar sana, isteri Qadir menantikan kelibatnya yang belum juga muncul-muncul sejak tadi. Harifah menghulurkan SR 3.00 untuk membeli ais krim yang enak bagi menghilangkan sedikit dahaga.
“Ke mana agaknya suami aku ni, tidak silapkah tempat aku menunggu ini”. Bisiknya sendirian.
Di dalam masjid, Qadir masih meneruskan beberapa solat sunat yang disudahi dengan wirid. Air matanya tidak boleh ditahan-tahan sehingga membasahi lantai marmar.
“Terima kasih Ya Allah, dengan rahmatMu, engkau masih sudi menerimaku sebagai tetamuMu, Ya Allah”
Dada Qadir semakin menyesak, hatinya yang walang tidak dapat di tahan-tahan. Dalam sendu berselang esak tangis, masih sempat dia menadahkan tangan berdoa untuk kesejahteraan anak-anak yang ditinggalkan di kampung halaman.
Situasi sama berlaku beberapa hari lalu, ketika ziarah wida terhadap makam Rasulullah yang dilakukan sewaktu hendak meninggalkan Madinah Al Munawarah menuju ke Bir Ali. Hulu hati bagi disiat-siat sembilu membawa pelbagai rasa. Sedih, pilu, rindu, sendu, dan sebak yang menyesak dada. Kerongkong terasa tersekat dan dada beralun berombak menahan sedu-sedan. Tidak sanggup rasanya meninggalkan kekasih Allah bersemadi di bawah kubah hijau yang dikelilingi hiasan yang maha indah. Sungguh sedih, Hanya lambaian dan kucupan dari jauh mengubat rasa. Kaki terasa longlai, entah berapa kali mata menoleh kubah hijau sehingga ia lenyap dari pandangan.
Sewaktu meninggalkan Bir Ali, air jernih terus menitis membasahi kain ihram yang membaluti tubuh gempal Qadir. Badan segempal ini, cair mengenangkan kerinduan terhadap Rasulullah. Akan tetapi, sekarang ini di Mekah, susana pilunya lebih mencengkam lubuk jiwa.
Qadir teringat tazkirah mutawif,
“Jika kita tawaf kita dikurnia 60 rahmat, bersolat menghadap Kaabah kita dikurnia 40 rahmat, manakala dengan hanya memandang Kaabah dengan iman, kita akan dapat 20 rahmat”.
Fikir Qadir, 120 rahmat kesemuanya jika dia melakukan ketiga-tiga perkara tersebut. Tiba-tiba tetamu Allah datang berdedai-dedai ke arah Qadir, dia terkempa dicelah-celah mereka. Apalah adanya susuk tubuh lelaki Asia jika dibandingkan dengan warga Asia Barat. Tetamu Allah tersebut baru saja selesai menunaikan tawaf dan mereka ingin solat di kawasan Qadir berada. Multazam, menjadi rebutan para tetamu Allah untuk memanjatkan doa, kerana di sini adalah tempat makbul doa.
“Ya Allah, sesungguhnya tanah ini tanah haramMu, maka haramkanlah daging kami, darah kami dan tulang sendi kami dari api neraka”
Qadir meneruskan doanya dengan limpahan air jernih yang sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi kerana takungannya telah merekah lantaran kesyukuran mendapat rahmat Allah.
Harifah mengambil keputusan untuk balik sendirian ke rumah tumpangan setelah sekian lama menunggu. Dia akur kerana mungkin suaminya masih beribadat di dalam sana. Di sini, di bumi rahmat ini, syak wasangka sudah tidak bertempat di hati tetamu Allah.
“Bisikan syaitan itu harus dinyahkan jauh-jauh dari hati kita”. Pujuk Harifah kepada dirinya. Andai tidak dapat melawan, sudah tentu syaitan terloncat-loncat kegembiraan lantaran berjaya menawan hati-hati manusia.
Usai solat asar, barulah Qadir menjengah ke rumah tumpangan. Mereka suami isteri makan bersama sambil berkongsi beberapa cerita yang aneh dan ajaib sepanjang mereka menjadi tetamu Allah.
Selepas membersihkan diri, mereka berdua bertolak ke masjid. Usai solat isyak, Qadir dan Harifah balik dengan hati yang teramat puas. Setiap ruang waktu dipenuhi dengan solat, zikir, pelbagai doa dan membaca Al-Quran, sesuatu yang jarang dilakukannya di tanah air. Susana malam di Masjidil Haram tidak pernah sunyi dengan kunjungan tetamu Allah. Qadir melelapkan mata lebih awal kerana hajat di hati untuk bangun seawal jam 3.30 pagi untuk merebut solat di dataran Kaabah bagi mendapatkan sekalian banyak lagi rahmat kurniaan Allah.
14 Mei 2013
14 Mei 2013
2 comments:
Hi, saya terpanggil ke ruangan ini kerana perkataan Benoni. Kampung saya. :)
Post a Comment