Monday, September 1, 2014

SAJAK GENERASIKU

GENERASIKU

Dulu
kugores papan batu
tapi dengan sabarmu
kau ajar tulis baca tanpa jemu
kenal huruf matlamatmu
jauh sekali untuk kaut ilmu berbatu-batu
tekadmu kami tahu liku-liku

Kini
kita belajar penuh buku
buka mata sudah mula tulis baca
kala subuh dikejut seawalnya
mata mengantuk dilawan sekuatnya
jika tidak pekak telinga dengan pedasnya kata-kata
ibu hantar tadika bagai mendera
ditinggal seharian kerna tuntutan kerja
urusan mendidik diserah sepenuhnya
guru tadika mengambil tugasnya
diambil petang pulang bersegara
cuti semester disandar ke rumah nenek tua

Tetapi
aku menjadi aku di hari ini
bijak tidak berapa tetapi mampu berdikari
tahap sedar diri pada skala tertinggi
tahu mengukur sejarah
kenal nilai tinggi rendahnya pasrah
sedar kuasa mutlak Allah

Dulu
mana ada ipad segala
upih pinang mainan kita
buah gajus, jambu muda  makanan biasa
jauh sekali epal dan markisa
buah kiwi kempunanlah jawabnya
semua kekawan sama sahaja
keluar ke pekan baju kusut segala
strika elektrik mana ada

Kini
tiga jenama telefon bimbit sebagai koleksi
celik pagi bukan tasbih yang dicari
skrin telefon diraba jari jemari
laman sesawang dilayar lebih sekerat hari

lenggang bergaya ke pasaraya
dengan baju seluar kasut berjenama
57 tahun konon merdeka
ke Padang Bandaran dituju hala
sejarah Malaysia tahukah cerita?

Tetapi
negara maju dengan jaya
namun kita lupa siapa miskin siapa kaya
kita keliru mana baik mana bahaya
kita tertipu mana berkilau mana bercahaya
kita bingung mana palsu mana berguna
kita sanggah mana fakta mana auta
kita taksub mana pejuang mana penderhaka

Dulu, kini dan segalanya
andai kita lemah budaya
bangkitlah segera
negara perlu dipacu bergaya

andai kita buta sejarah
jangan wujudkan sengketa
singkirkan propaganda

andai kita terlebih berharta
pandanglah sekeliling kita
yang terpinggir perlu dibela

Jadilah pahlawan terbilang
Jadilah pendekar yang tinggi semangat juang
Jadilah cendikiawan yang tidak tinggal sembahyang
Jadilah negarawan bersuara lantang

2/9/2014 (sempena hari Malaysia)

No comments: