Thursday, June 11, 2015

TRAVELOG UMRAH NURMULTAZAM 2015.



(AKU PERINDU RAUDAH DAN BAITULLAH)

Firman Allah SWT: Dan sebutlah (ingatlah) nama Tuhan-Mu serta solat. Tetapi kamu lebihkan penghidupan dunia, padahal akhirat lebih baik dan lebih kekal. (al-A’la: 15-17)

Assalamu Alaikum.

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang. Aku memohon perkenan-Nya bagi menghasilkan nukilan ini.

Aku bukanlah ahli ilmuan, hanya insan biasa yang banyak kekurangan. Selaut kemaafan daku pohonkan, kerana nukilan ini bukan untuk membangga diri tetapi hanya sekadar ingin berkongsi sekelumit kenangan saat menjadi tetamu Allah dan tetamu Rasulullah. Aku berhajat untuk beranjak menjadi Muslim sempurna, bukan untuk menunjuk-nunjuk kelebihan biaya atau merasa istimewa. Ziarahku sekeluarga bukan untuk memuaskan spiritual peribadi, tetapi lebih kepada untuk membentuk transformasi sosial sebelum menutup mata. Aku dan keluarga serta anak-anak dan menantu ingin mengubah perspektif kehidupan, dari yang kurang baik kepada yang terbaik.

Allahu Akbar …… Yakin dan percayalah, andai bertuhankan nafsu semata, kita akan menjadi lesu, tetapi andai bertuhankan Allah, kita pasti gagah serta tidak mudah menyerah kalah. Sememangnya jika kita menabung wang ringgit, jumlahnya akan kelihatan di mata kasar, akan tetapi jika jika kita menabung pahala, ia tidak terpampang di depan mata serta tidak boleh ditotal banyaknya. Pahala hanya akan dapat kita nikmati tatkala kita menutup mata tatkala mendepani alam akhirat.

Aku mengajak anda menggali telaga berfikir secara positif. Untuk kota-kota besar seperti Paris, Tokyo, London, Amsterdam, New York dan lain-lain, memerlukan promosi untuk menarik pelancong ke sana. Akan tetapi, Mekah dan Madinah tetap menambat kunjungan jutaan manusia walhal, tiada sebarang promosi atau iklan. Unik, keuikan tersebut mengundang rasa rindu yang memanggil-manggil untuk aku bertandang ke sana.

Kekayaan wang yang melimpah, keselesaan hidup, kelapangan masa dan kesihatan yang berkekalan bukan syarat utama untuk menjadi tetamu ALLAH. Oleh itu, sentiasalah bersangka baik kepada Allah SWT dalam apa juga keadaan kerana kasih sayang-Nya mendahului kemurkaan-Nya.

Ayuh pembaca, mari kita berhenti sejenak. Berhenti dari pencarian pangkat, kekayaan, dan kuasa. Renungkan sejauhnya ke dalam diri kita sendiri. Jutawankah kita jika mempunyai wang berjuta, tetapi seolah-olah tiada biaya untuk ziarah ke rumah Allah. Bahagiakah kita andai kita boleh memiliki segalanya tetapi tidak sanggup berbagi kerana Allah. Cukup beruntungkah kita bila dihormat oleh kakitangan bawahan, tetapi belum tentu kita mulia di sisi Tuhan.

Mari kita menumpukan sepenuh tenaga untuk beramal kerana selama ini kita sudah meninggalkan-Nya, Kita telah menidakkan-Nya, kita telah membelakangi-Nya dan kita telah mengingkari-Nya. Daripada melahu ke kota-kota metropolitan lain, lebih baik berziarah untuk mengabdikan diri kita sepenuh-penuhnya terhadap Allah. Memohon ampun kerana selama ini kita telah mengabaikan tanggungjawab kita terhadap-Nya.

Andainya melalui perkongsian yang tidak seberapa ini, mampu melorong jalan untuk anda pembaca menanam tekad untuk berziarah ke Mekah Madinah. Alhamdu lillah, semoga ia menjadi dakwah kecil dan amal jariah sebagai bekalku di Alam Barzakh.

Anyam ketupat bersegi empat,
Kaut serunding bawa berkelah,
Banyak tempat ziarah tempat,
Tidak sebanding Mekah Madinah.

Mohon ampun ke hadrat Allah

Apa yang aku harapkan

Aku tetapkan sasaran peribadi untuk melakukan amalan yang jarang dilakukan di tanah air iaitu, memohon doa di Raudah setiap hari sepanjang 4 hari di Madinah, tawaf sunat sekerapnya, berdoa di Multazam, solat jenazah, berdoa di Hijir Ismail, bersedekah dan berwirid sebanyak mungkin serta ingin mengucup Hajrul Aswad. Aku juga mengharapkan agar ketiga-tiga anakku serta menantu ku memaksimakan ritual ibadah ketika berada di Bumu Haramain.

BERIKUT AKU KONGSIKAN SEDIKIT RENTETAN PETA ZIARAH KAMI SEKELUARGA KE TANAH SUCI.

Aku menghadapkan diriku sepenuhnya kepada Allah. Aku tinggalkan setiap penghalang, bertawakal, berserah kepada ketentuan-Nya. Aku tinggalkan segala keselesaan sementara dan saudara mara serta taulan tercinta. Aku bersandar sepenuhnya kepada-Mu Allah yang satu. Itulah hasratku sebelum meninggalkan kediaman ku.

Berlepas (Perjalanan melalui Brunei Darusalam 30 Mei 2015 Sabtu)

Sebelum subuh, aku menunaikan solat musafir dan membaca doa berikut :

“Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu Ya Allah kerana dengan redha-Mu, kami sekeluarga akan mengunjungi tanah suci-Mu. Selamatkanlah kami dalam perjalanan ini dan dekatkanlah kami dari kejauhannya. Ya Allah, aku memohon kesihatan sepanjang perjalanan, sihat semasa berada di tanah suci-Mu dan sihat selepas balik ke tanah airku. Jadikanlah jiwa-jiwa kami tenang, keluarga kami dalam peliharaan-Mu dan berilah kami taufik dan hidayah, terimalah umrah kami sebagai umrah yang maqbullah serta akhirkanlah hidup kami dengan kesudahan yang terbaik”.

Sabtu 30 Mei 2015 seawal jam 6.15 pagi kami (lima beranak beserta menantu)meninggalkan kediaman dengan menaiki bas sekolah rakan berbangsa Tiongha (tinggal sepangsapuri). Terima kasih kaum keluarga yang sempat bertemu di Airport. Tidak lupa kepada besanku yang datang dari jauh (Ranau). Aku sempat menghadiahkan Prof. Dr. Humin (UMS) sebuah buku "Usahawan Akhirat" untuk dibaca di dada pesawat. Di Airport, aku juga bertemu mantan pegawai teknologi BTPN Sabah, Tn. Adilai Mairat dan isteri yang sepesawat denganku untuk ziarah, tetapi mereka mengguna agensi Tabung Haji. Sebelum berlepas, aku mengambil peluang merakam gambar berkumpulan jemaah umrah Syarikat Nur Multazam milik Puan Siti Sulhayati. Royal Brunei (BI 822) berlepas ke Bandar Seri Begawan jam 8.50 pagi. Transit sekejap di Seri Begawan, sempat solat dhuaa di sana. Kami membuka bekal makanan (mee goreng) yang kami bawa dari rumah. Sempat merakam beberapa foto, keluarga, termasuk keluarga saudara Haji Ishak Awang Besar dan keluarga kenalanku saudara Ali Ghani. 

Sarapan di Restoran Felda D' Saji Mekah

Jam 11.35 pagi, rombongan tetamu Allah menaiki pesawat Royal Brunei Boeing  787  (BI 081) menuju ke Jeddah. Perjalanan 9 jam 30 minit dengan jarak 8345 kilometer seolah tidak terasakan, kerana pesona Raudah dan dan aroma Baitullah sentiasa dekat di hati ini .... Di Altitud 38,000 kaki dengan suhu di luar -52 C, tiada banyak ungkapan antara kami melainkan dengan pengisian tarbiah dan wirid sepanjang perjalanan sesekali membaca buku Terapi Solat Tahajud. Sewaktu di dada pesawat, aku mengintip melalui jendela kecil memandang panorama langit kosong dan menyaksikan ciptaan Allah terpampang di depan mata. Allahu Akbar, betapa langit yang terbuka luas dan berhiaskan awan. Mungkinkah ciptaan Allah tersebut turut berwirid bagi memastikan rombongan tetamu Allah selamat di sepanjang perjalanan. Jam 12.45 tengah hari hidangan makan disajikan setelah hidangan pertama jam 12.12 tengah hari.

Mendarat di Jeddah (SABTU) dan perjalanan ke Madinah.

Jam 16.05 petang WAKTU SAUDI (30 Mei 2015), pesawat selamat mendarat di Jeddah bandar kedua terbesar di Arab Saudi, selepas bandar raya Riyadh. Syukur ya Allah. Rombongan tetamu Rasulullah disambut oleh mutawif pengiring Ustaz Haji Abdul Basit yang menyertai kami di luar Airport Jeddah.

Jam 6.20 petang waktu tempatan bertolak menuju Madinah. Di dalam bas, mutawif pengiring Ustaz Haji Basid (Indonesia) memimpin doa dalam perjalanan sambil diikuti oleh tetamu Allah. 7.55 malam, bas berhenti di suatu hentian bagi memberi peluang tetamu Allah menunaikan solat jamak dan menunaikan hajat ke bilik air. Aku tidak melepas peluang untuk sujud syukur, dan memanjatkan doa berikut, “Allah Ya Allah, aku Awang datang menyahut seruan-Mu. Aku pohonkan dipermudahkan perjalananku serta rombongan. Terimalah daku andai ia keikhlasan yang Kau terima. Peliharalah kesihatan kami sepanjang ziarah ini. Ampunilah dosaku, dosa anak isteriku, dosa kedua ibu bapaku, dosa orang yang pernah menabur jasa kepada keluargaku, dosa guru-guru ku, dosa mereka yang pernah menganiayaku dan aku beserta keluargaku memohon berada dalam rahmat dan kasih-sayang-Mu”.

Sebelum meneruskan perjalanan, ada kalangan kami yang membasah tekak. Aku bersegera ke kedai berhampiran untuk membeli bekal (roti manis), sambil lensa kameraku bertugas merakam beberapa momen. Perjalanan diteruskan dalam kepekatan malam. Di pertengahan jalan, kami membuka bekal makanan yang diedarkan oleh Mutawif. Dua ketul ayam dengan hirisan kentang goreng .

Rasa teruja di Madinatul Munawwarah

Apabila bas kami mendekati kota Madinah, sambil mengaminkan doa yang dibacakan mutawif, aku menjengah memerhatikan variasi berwarni-warni mewarnai panorama kota bercahaya itu. Di kejauhan aku mengintai menara Masjid Nabawi yang terpacak indah. Cahaya terang bersinar seakan memanggil-manggilku untuk menapak segera. Nafasku tercungap-cungap dan hati ini sudah mula teruja untuk menapak ke masjid tempat bersemadinya kekasih Allah. Perasaan tersebut memang sudah tidak dapat dibendung lagi. Perasaan tersebut lebih hebat dari perasaan ketika berhadapan dengan Tuan Imam ketika akad nikah 32 tahun dahulu.

Kami mendaftar di Hotel Mubarak jam 12.00 malam. Aku dan menantu di bilik 401 manakala isteri dan anak-anak bilik 402. Aku sengaja meletakkan periku nasi di bilik 401 bagi memudahkanku untuk menanak nasi, manakala membawa dua set pemanas air bagi kemudahan kami sekeluarga. Ya Nabi Salam Alaik.. energy dalaman untuk rukuk dan sujud di masjid membuak-buak menggantikan rasa penat. Aku bertolak ke masjid berseorangan, di muka pintu bilik aku menadah tangan dan berdoa, “Ya Allah, mudahkanlah perjalanan ku menuju ke Masjid-Mu, kekalkan wuduk kami sehingga kami selesai beriktikaf di masjid-Mu. Jagalah lisan dan jagalah perilaku kami dan permudahkanlah kami untuk bersolat di Raudah”.

Sebaik sahaja melangkah meninggalkan lobi hotel, aku disapa dengan tiupan bayu semilir berpuput. Aku masuk melalui pintu pagar 26 menuju ke pintu 21 Masjid Nabawi. Suasana sayu dan dingin mencokok tulang cukup selesa untuk menapak di pagi itu. Aku memasang niat iktikaf dan solat tahayatul masjid dan mencari lokasi air zam-zam untuk membasak tekak. Aku teringat kenyataan seorang ulama, Ibnu Qayyim al-Jawziah “Air Zam-zam adalah panglima segala air yang di dalamnya tersimpan kemuliaan, disukai setiap jiwa, tidak ternilai harganya dan dicari setiap insan”.

Ketika hendak meneguk air zam-zam , aku teringat pesan Ibnu Abbas yang menjelaskan: “Apabila minum air zam-zam hendaklah menghadap kiblat, sebutkan nama Allah (baca Bismillah) dan bernafas di luar bijana, kemudian baru teguk lagi dan (sesudah selesai minum) ucapkan pujian kepada Allah (baca Alhamdulillah).

Selepas itu, aku menuju sedekat-dekatnya dengan kawasan Raudah. Aku sedar, di situlah pernah Rasulullah bersolat bersama sahabat dan pengikutnya. Suasana di dalam Masjid Nabawai begitu tenang namun tidak pernah sunyi dengan tetamu Allah. Setelah berjaya menapak sedekat-dekatnya dengan makam kekasih Allah, aku menyampaikan salam sahabat-sahabat, keluarga dan rakan sepejabat. Jam 2.05 pagi (31 Jun), itulah solat pertamaku di Raudah yang nampak tidak berapa ramai dengan tetamu Rasulullah.

Siapa sangka, anak kampung yang pernah bergelumang dengan air sawah yang kekuningan, anak kampung yang pernah ke sekolah berkaki ayam, anak kampung yang berbekal dosa yang bertimbun akhirnya mendapat redha-Nya bersolat di Raudah di tempat Rasulullah bersolat. Syukur tersangat syukur, Allah maha mendengar isi hati tetamu-Nya, Berada di "Taman-taman Syurga" ini keadaan hati dan perasaan sangat berlainan sekali. Solat pertamaku di Raudah diselubungi dengan seribu rasa, rasa teramat gemuruh, teramat sebak, syahdu dan pilu yang tidak menentu. Aku bersyukur kerana Allah masih sudi menjemputku sebagai tetamu-Nya.

Dada terasa menyempit menahan sebak. Setiap kali menyentuhkan dahi ke tempat sujud di tempat di mana Rasulullah pernah bersujud, terdetik hatiku lantas berdoa “Syukur Ya Allah, Engkau izinkanlah aku sujud di bekas-bekas tempat sujudnya para Nabi dan para Sahabatnya. Izinkanlah aku duduk di bekas-bekas tempat duduk mereka yang memperjuangkan agama-Mu Ya Rahman”. Pelbagai doa kupanjatkan tidak putus-putus buat diri ku, isteri ku, anak-anakku, arwah kedua ibu bapa ku, kaum keluarga ku, sahabat dan rakan taulan ku serta kaum muslimin dan muslimat sekalian.

“Ya Rasulullah, tiada apa yang boleh aku bawa untuk junjunganku, melainkan selawat serta doa. Aku sedar tanpamu, kami tidak mungkin dapat menyembah Allah dengan betul. Sejahtera untukmu serta seluruh umat muslimin sekalian.” Sepanjang berada di dalam masjid, mulut ini tidak henti-henti mengucap selawat ke atas Rasul Allah.

“Kurniakanlah ketenangan di sepanjang saki baki kehidupan ku di dunia ini, berilah aku kedamaian di alam akhirat nanti”

Ziarah Dalam pada hari pertama (Pagi Ahad 31 Mei)

Kekuatan mental mengatasi segala-galanya. Semenjak perjalanan dari Sabah, ke Brunei, Jeddah dan  Madinah, aku hanya tidur-tidur ayam ketika di dada pesawat, begitu juga ketika menaiki bas dari Jeddah ke Madinah. Oleh kerana kami sekeluarga ingin menyertai rombongan Multazam untuk ziarah dalam, aku pulang selepas subuh. Di laluan pulang, kemeriahan amat terasa dengan hiruk-pikuk dan laungan penjaja jalanan. Pelbagai barangan diniagakan. Dari tudung, sejadah, tasbih, jubah, stokin, seluar, minyak wangi dan buah-buahan dan pelbagai lagi. Namun kemeriahan tersebut masih belum mampu menawan hatiku untuk menjengah, hanya sekadar memerhatikan sedekat mungkin dan mendengar tawar menawar dalam bahasa Melayu yang sedikit pelat.

Seperti yang dijanjikan, kami bertemu di hotel untuk sarapan pagi. Aku naik ke bilik untuk menanak nasi buat makan tengah hari.

Setelah berkumpul di lobi hotel, rombongan tetamu Rasulullah bergerak ke masjid dan merapat ke Kubah Hijau.  Aku merakam foto pergerakan kami ke Maqam secara sukarela untuk dijadikan dokumentari pribadi. Di laluan menuju ke Kubah Hijau, aku teringat buku karangan Peter L. Berger mengenai budaya filantropi (bersedekah). Beliau mendakwa budaya kedermawanan telah diamalkan di Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi beliau tidak sedar bahawa semenjak zaman Rasulullah lagi budaya itu telah mekar bertapak di sanubari umat Islam. Aku melihat tetamu Allah menghuluran sedekah kepada petugas yang membersihkan masjid dan jalan raya. Tidak hairanlah persekitaran masjid sentiasa bersih sepanjang masa oleh ketekunan mereka bekerja. Aku tumpang menghulurkan Saudi Rial tanpa diminta. Kami  mendengar tazkirah mutawif pengiring diakhiri dengan bacaan doa. Rasulullah berjuang memartabatkan Agama Islam dengan bersusah payah, dan kalau bukan kerana-Nya mungkin kita tidak tahu siapa diri kita yang sebenar-benarnya pada hari ini. Aku merakam beberapa foto sepanjang ziarah dalam untuk dijadikan sumber kenangan.

Selepas ziarah, rombongan dibawa ke Pasar Kurma Madinah. Sempat berkenalan dengan Datuk Rayman (IPG Kent) dan Tn. Razak Rukunman. Selepas itu, aku mengajak menantuku untuk merapat ke Raudah selepas membeli kurma Ajwa. Allah mengetahui hajat hambanya, aku menapak ke Raudah jam 9.05 pagi. Solat dan diselang dengan doa kupanjatkan kepada-Nya. Aku terpisah dengan menantu dan balik ke hotel berseorangan.

Di perjalanan balik, aku singgah membeli ayam dan makan bersama keluarga di bilik. Kami bergerak ke masjid sebelum zohor setelah sempat lebih sejam melelapkan mata. Selepas zohor, kami tidak terus balik malahan meneruskan marathon iktikaf dengan membaca selawat apabila teringat sabda Rasulullah melalui Ibnu Hibban bermaksud “Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku pada Hari Kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” Syukur tersangat syukur, Allah maha pengetahui lintasan hati tetamu-Nya. Aku kini berada hanya beberapa meter dari jasad Rasulullah dimakamkan. Saya menunaikan beberapa solat seperti solat taubat, solat hajat dan berzikir sebelah kanan Raudah sambil menunggu peluang menapak ke dadanya. Allah ya Allah, jam 2.45 petang aku berjaya berada di Raudah. Solat kali ini dipenuhi dengan linangan airmata kesyukuran, walaupun sebelum ini, air mataku dapat ditahan-tahan. Jam 3.05 aku meninggalkan Raudah bagi memberi peluang kepada tetamu Rasulullah yang lain. Hari ini, sembilan jam berada di masjid terasa sayu dan sebak.

Buah mempelam di dalam raga,
Raga disimpan di dalam gua,
Sujudku berendam si air mata,
Kerinduan berbulan terubat jua.

1 Jun 2015 hari ke-2 (Isnin- Acara bebas dan puasa sunat)

Allah berfirman (maksudnya):

"Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina”.” (Surah al-Mu’min, 40: 60)

Jam 2.35 aku bangun untuk bersahur dengan disertai anak ke-2 ku. Jam 3.00 pagi, aku bertolak ke Masjid setelah membaca doa di muka pintu bilik penginapan. Jam 4.30 pagi, aku beroleh ruang di Raudah tetapi tidak mampu solat kerana padat. Aku berdoa dan sementara menanti peluang untuk solat. Selepas solat dhuaa di Raudah, jam 8.15 pagi aku meninggalkan Raudah, untuk membeli beras dan balik ke hotel untuk mandi dan melelapkan mata.

Sebelum zohor, aku dan menantu bergerak ke masjid. Selepas zohor, jam 1.15 petang, sempat memasuki Raudah dengan linangan air mata kesyukuran kerana dengan rahmat-Nya aku masih diberi peluang memasukinya bagi kali yang kelima. Anak-anak dan isteriku berada di Raudah sebelah perempuan.

Aku memerhatikan kelilingku, semua tetamu Allah silih berganti antara solat dan berdoa tiada hentinya. Sementara menanti solat asar, aku merapat ke kawasan  mengaji (talaqi) yang disediakan pihak pengurusan Masjid Nabawi. Sempat berguru memperbetulkan bacaan Al-Fatihah dan beberapa ayat lazim. Bersyukur kita yang dilahirkan dengan lidah asia kerana lidah Pakistan, India, Turki dan Bangladesh, selalu mendapat teguran pihak guruku.

Petikan buku Ajaibnya Sedekah tulisan Muhammad Muhyidin (2013) “ Sekelompok manusia menyembah Allah kerana mahukan ganjaran. Inilah ibadah pedagang. Sekelompok yang lain menyembah Allah kerana takut. Inilah ibadah seorang hamba. Manakala sekelompok lain menyembah Allah kerana rasa syukur. Inilah ibadah orang merdeka.”

Surah Ali Imran ayat 133-134 “Bersegeralah kamu memohon keampunan kepada Allah dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang tersedia untuk orang yang bertakwa iaitu yang menafkahkan hartanya baik pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang yang menahan marahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Sesungguhnya, Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan.”

Selepas Asar (jam 4.30) , aku keluar untuk membeli minyak wangi SR200, beg sandang Bindawood SR89.00, dua jubah SR15.00 tiap satu dan songkok borong. Masuk semula ke masjid dan marathon iktikaf setelah menghantar barang ke bilik penginapan.

Aku duduk di suatu sudut seferah yang menyediakan juadah ringkas untuk berbuka. Tertunai sudah hajatku untuk berpuasa semasa ziarah. Lepas isyak aku balik ke hotel penginapan. Sebelum melelapkan mata, sempat berkongsi pengalaman dengan menantu,  isteri dan anak-anak. Kami sekeluarga bergilir mengstrika baju untuk persediaan ziarah luar esoknya. Aku tutup tirai malam itu dengan membaca doa sebelum tidur, membaca Qul Huu Allah 3 kali, Al-Falaq, An-Nas,  membaca dua kalimah sahadah, selawat dan membaca ayat kerusi.

2 Jun 2015 (Hari Ke-3 Selasa Ziarah luar)

Inilah kasih sayang Allah, segala-galanya terlalu istimewa. Semangat mengatasi segala-galanya apabila kami meninggalkan hotel seawal 2.20 pagi setelah menanak nasi dan membuat minuman panas untuk sarapan sekeluarga. Aku menadah tangan dan berdoa, “Ya Allah, mudahkanlah perjalanan kami menuju ke Masjid-Mu. Jagalah lisan dan perilaku kami dan permudahkanlah kami untuk bersolat di Raudah, terimalah amalan kami”.

Suasana di lobi hotel lenggang semasa aku menyerahkan kunci bilik, hanya terdapat dua orang di kaunter dan beberapa orang sedang menunggu rakan untuk ke masjid. Agaknya tetamu Allah lain masih kepenatan.

Kami memasuki pagar masjid serta berniat iktikaf. Menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi sungguh hiba dan susah untuk diungkapkan dengan kata-kata. Aku menuju sedekat-dekatnya ke ruang Raudah, aku mencari air zam-zam buat penghilang dahaga dan seterusnya bersolat tahiyatul masjid. Keheningan dan ketenangan berada di Masjid Nabawi tidak dapat dinukilkan dengan pena. Berada di dalamnya tenang dan sayunya tidak terungkap dengan kata-kata. Perasaan itu payah untuk dinyatakan. Inilah kasih-sayang-Nya yang sebenar-benarnya.

Jam 4.45 pagi, akhirnya aku dapat menapak ke kawasan karpet hijau dan menunaikan beberapa solat seperti yang aku rencanakan. Kaki ku begitu berat sekali untuk meninggalkan "taman-taman syurga", tetapi lantaran ingin memberi peluang pula kepada jemaah lain merasai kenikmatan berada di "taman-taman syurga" dengan rasa rendah hati aku meninggalkan kawasan tersebut. Aku keluar dan menunggu azan subuh di kawasan muazim melaungkan azan sambil membaca ayat-ayat Al-Quran dan sesekali berzikir.

Aku balik awal kerana, ingin menyertai rombongan Multazam  ziarah luar. Setelah berkumpul di lobi hotel, bas menuju ke Masjid Quba terlebih dahulu. Di sana kami menunaikan solat Dhuaa, solat hajat dan solat taubat. Suasana di sekitar masjid amat menyenangkan dengan kehadiran ribuan pokok aneka warna dan pancutan air. Agak kelihatan lucu apabila memerhatikan penjaja jalanan memujuk tetamu Allah untuk membeli dagangan mereka. Aku merakam  foto keluarga di sekitar masjid. Sempat merakam foto kumpulan umrah Nur Multazam sebagai kenangan.

Tetamu Allah kemudiannya dibawa ke Ladang Kurma. Kami tidak tidak membeli kurma kerana telah berbelanja di Pasar Kurma Madinah yang harganya lebih berpatutan. Pasar Kurma mula dibanjiri oleh tetamu Rasulullah. Aku merakam beberapa foto, aksi tawar-menawar tetamu Rasulullah dengan peniaga.

Semasa rombongan berada di Bukit Uhud, sayu hati ini kerana terkenangkan peristiwa Saidina Hamzah dan 70 orang syahid di medan pertempuran. Suasana pagi yang hening itu tidak dapat menarik perhatianku, melainkan bayanganku melayang kepada kesungguhan kekasih Allah memimpin tenteranya untuk memenangi Perang Uhud. Di sinilah juga air mata kekasih Allah mengalir akibat syahidnya orang yang dikasihi baginda iaitu pakciknya Saidina Hamzah. Tentera Islam mengalami kekalahan akibat melanggar arahan Rasulullah. Beberapa sudut menarik dapat aku rakamkan melalui lensa kamera yang kubawa. Aku secara sukarela merakam foto berkumpulan tetamu Rasulullah.

Lawatan diakhiri di kilang cetak Al-Quran. Di sana aku membeli 9 buah Quran (SR17.00 sebuah) sebagai menunaikan wakaf anak dan rakan sepejabat. Isteriku membeli Quran besar SR75.00. Selepas itu aku tidak melepas peluang untuk memasuki kilang cetak Quran dan memperoleh Quran percuma.

Jam 12.02 tengah hari, rombngan tetamu Rasulallah balik ke hotel penginapan dan menapak ke masjid sebelum zohor selepas mengajak keluargaku makan bersama. Allah maha pemurah kerana memperkenan aku untuk memasuki Raudah sekali lagi. Solat ku kali ini betul-betul mengamit emosi. Takungan air mata tidak dapat dipertahankan lagi. setitis demi setitis, ia terus mengalir membasahi pipi. Aku terus berdoa dan berdoa apabila teringat, keutamaan berdoa ini disebut oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud: “Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka sentiasa dalam kebenaran”. Selepas solat isyak, baru aku balik untuk mendapatkan rehat yang secukupnya.

3 Jun 2015 (Hari Ke-4 Rabu Miqat )

Baginda SAW bersabda: “Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan, dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar al-Mu’allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu ditahan rezekinya disebabkan dosa yang sentiasa dilakukannya.” (Riwayat Ibn Majah dan Ahmad)

Seawal jam 2.32 pagi, aku bertolak ke masjid. Jam 3.05-4.35, sekali lagi aku berjaya berada betul-betul di tengah Raudah. Kunjungan kelapan ke sana terasa amat pilu di hati ini. Aku menitis air mata membaca doa sewaktu ziarah wada di makan rasullulah...Ya Allah limpahkanlah rahmat kepada Nabi Muhammad SAW dan keluarganya dan janganlah kau jadikan kunjungan ini sebagai kunjungan yang akhir kedatanganku kepada kekasih Allah. Hapuskanlah dosaku dengan menziarahinya dan bekalkanlah aku keselamatan dalam perjalananku serta mudahkanlah perjalanan rombongan kami ke Mekah, wahai tuhan yang maha rahmat".

Aku bukan sengaja untuk berlama di Raudah, tetapi dengan Rahmat Allah, aku tidak mampu keluar oleh himpitan tetamu lain yang berasak untuk masuk ke sana. Akhirnya aku berdiam dan meneruskan iktikaf di dalamnya. Di rakaat kedua solat subuh, aku turut menitiskan air mata pabila imam membaca surah dalam suara yang tersekat-sekat oleh isak tangis, waima aku tidak faham apa erti ayat yang dibaca.

Hari terakhir kami di Madinah begitu syahdu sehingga menerobos ke tangkai jantungku...perasaan sayu dan gembira bercampur baur, sayu mungkin ini ziarah kami yang terakhir menemuimu Ya Rasulullah...gembira kerana semakin dekat untuk menatap Baitullah. Walau hanya sempat bersolat 17 fardu di Madinah, aku berdoa akan kembali ke Madinah untuk solat Arba’in (40 waktu dalam masa 8 hari) ketika menunaikan haji nanti. Perkenankanlah doaku ya Allah.

Rambut ikal bawa berkelah,
Rambut dibawa menyelam basah,
Selamat tinggal kekasih Allah,
Kasih bertaut sukar dipisah.

Kami balik awal untuk mengangkat barang ke lobi hotel. Selepas mengemas aku keluar bersama kamera untuk merakam foto persekitaran masjid dan membeli tasbih, kalung dan kurma tambahan 2 kilo SR60.00 serta dua pasang jubah hitam, sepasang bakal kuhadiahkan kepada abangku di kampung. Kami bersegera ke masjid untuk bersolat dzohor kerana ingin memakai kain ihram untuk miqat di Bir Ali.

“Syukur Ya Allah, engkau perkenankan aku untuk bertandang sebagai tetamu-Mu Ya Allah. Aku datang untuk memohon ampun terhadap dosa bertimbun, dosa yang aku tidak sedari serta mungkin dosa yang disengajakan. Aku memohon kunjungan ini bukanlah untuk kali teraklhir. Aku memohon akan dijemput menjadi tetamu-Mu untuk sekian kalinya.”

Bir Ali dan lambaian Kaabah.

Ya Allah …. Kami datang memenuhi panggilan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu, segala puji khusus untuk-Mu, kami datang bergelumang dosa, di hadapan-Mu yang maha esa, mohon ampun segala nestapa.

Dua helai tuala putih Izar kain bawah manakala Rida’ nama kain dipakai sebelah atas adalah simbolik kepada kain kafan. Selepas memakainya, aku menunaikan solat sunat ihram.

”Hakikat ihram itu bukan pada pakaian yang dipakai dalam jangka masa haji dan umrah sahaja, tetapi pakaian dalam seluruh kehidupan. Pakaian takwa …”

Bas bergerak meninggalkan hotel jam 3.10 petang menuju ke Bir Ali. Sebelum bas bergerak, mutawif Ustaz Abdul Basit memimpin tetamu Allah membaca doa dalam perjalanan dan sedikit taklimat ringkas. Aku sempat menoleh ke arah menara Masjid Nabawi, entah untuk ke berapa kali sehingga ia lenyap dari pandanganku. Kerinduanku terhadap Rasulullah semakin menebal, air mataku bergenang sehinggalah kubah Masjid Nabawi tidak kelihatan lagi, namun pedih di hati ini sukar untuk diubatkan.

Lensa kameraku sempat mencuri beberapa foto sebagai kenangan dan koleksi peribadi semasa di Bir Ali. Di Bir Ali, mutawif  Haji Abdul Basid memimpin bacaan niat umrah. Selepas berniat,  kini aku terikat dengan 13 pantang larangan ketika dalam ihram seperti berikut:1.Tidak boleh menutup kepala bagi lelaki. 2.Lelaki tidak boleh memakai pakaian berjahit. 3.Tidak boleh menutup muka bagi wanita. 4.Tidak boleh memakai sarung tangan (lelaki dan wanita). 5.Tidak boleh memakai minyak wangi  atau bau-bauan sama ada di badan atau pakaian atau pada makanan, minuman atau menghidunya (Lelaki dan wanita). 6.Tidak boleh memakai minyak rambut (lelaki dan wanita) atau janggut. 7.Tidak boleh menangggalkan rambut / bulu (lelaki dan wanita). 8.Tidak boleh mengerat kuku (lelaki dan wanita). 9.Tidak boleh mencabut tanam-tanaman (lelaki dan wanita). 10.Tidak boleh memburu (lelaki dan wanita). 11.Tidak boleh bercumbu (melakukan pendahuluan
persetubuhan). 12.Tidak boleh bersetubuh. 13.Tidak  boleh berkahwin. Mengahwinkan atau menjadi wakil kahwin. 

Dari Bir Ali, tetamu Allah akan meneruskan Perjalanan sejauh 447 kilometer. Aku menyaksikan panorama padang pasir yang tandus, dan bercampur batu-batuan di kiri kanan jalan yang licin dan lurus. Muka bumi yang dipenuhi dengan pelbagai jenis batu kerikil serta pasir, dilukiskan dengan begitu indah sekali. Di kejauhan hanya kelihatan hamparan langit kebiruan tanpa awan.

Kami singgah di suatu tempat bernama Potet untuk berehat, solat maghrib dan membasahi tekak. Bas bergerak semula jam 8.10 malam. Perjalanan menuju ke Mekah dalam kepekatan malam. Aku mengimbau pembacaan bagaimana sejarah dakwah Rasulullah termasuk hijrahnya ke Madinah memakan masa empat belas hari dalam kesukaran, sedangkan kami hanya mengambil masa lebih kurang enam jam dalam bas yang berhawa dingin. Dalam suasana malam yang kelam, aku berwirid dan berselawat sepanjang perjalanan.

Allahu Akbar ... Rahmat Allah mengatasi segalanya. Tatkala bas mendekati kota Mekah, hujan turun renyai-renyai. Jalan dibasahi dengan air jernih yang menurut mutawif, Mekah sudah tiga tahun tidak dibasahi dengan hujan. Setelah berada di dada kota Mekah, kiri kanan jalan dipenuhi dengan bangunan. Kelihatan restoran Pak Arab dikunjungi insan pelbagai lapisan. Di kejauhan, aku mengintai Jam Besar Masjidil Haram yang menjadi mercu tanda kota Mekah. Jelas kelihatan nun di kejauhan, jam tersebut tersergam dilukiskan dengan indah dan  bergemerlapan. Itu bererti kami semakin mendekati Masjidil Haram. Hati ini terasa amat teruja sekali.

Menatap Baitullah kali pertama di tahun 2015

Jam 10.35 malam, rombongan tetamu Allah Nurmultazam mendaftar masuk di Narawat Sham.  Perancangan Allah tidak terjangkau dek akal manusia. Kami menginap di nombor bilik yang sama seperti di Madinah. Kami menginap di bilik 401, manakala anak menantuku di bilik 402. Bilik kelamin kami (401) dilengkapi dengan 4 buah katil dengan bilik mandi yang besar. Aku menyusun pemanas air, kelengkapan mandi dan periuk nasi di ruang lain di laluan ke kamar mandi.

Selepas makan malam, kami bergerak dalam satu kumpulan untuk menunaikan tawaf pada jam 11.25 malam. Perasaan teruja diselubungi rasa rindu untuk melihat Baitullah sudah tidak dapat dibendung lagi. Di perjalanan menuju Masjidil Haram begitu sesak dengan tetamu Allah pergi dan pulang Masjid.

Subhanallah… Walhamdulillah… Allahu Akbar… Aku terkedu setelah menatap panorama Masjidil Haram yang disuluhi oleh cahaya malam yang bersinar-sinar. Dan sejurus selepas melepasi pintu masuk (pintu 87) Masjidil Haram, Alhamdulillah…. Alhamdulillah… Alhamdulillah… aku dapat menyaksikan sendiri keagungan dan kemuliaan Ka’bah… Allahu Akbar… Allahu Akbar… Allahu Akbar… Masya Allah ……. Saat memandang bangunan kiblat umat Islam seluruh dunia, kalimat tarbiah kulantunkan tanpa ragu-ragu. Ketinggian Kaabah yang dikatakan 39 kaki setengah, di dalamnya terbina tiga tiang dengan keluasan memuatkan 50 orang dewasa dalam satu masa, cukup menyentuh perasaan. Sejuta kesyukuran terhadap Allah kerana meredhakan aku, isteri dan anak-anak mengunjungi tanah suci di tahun 2015 ini. Tanpa disedari dan tanpa merasa malu, air mata ini menitis ke pipi tanpa diminta apabila menyaksikan sendiri bangunan Ka’bah terpampang di depan mata. Terasa betapa dekatnya diri ini kepada Allah maha pencipta.

Aku menyebut namaku di depan Kaabah “Ya Allah, aku Awang, datang bersujud di hadapan-Mu bersama keluargaku. Ya Allah, terimalah solat aku, amalanku, sedekahku dan jadikanlah semua itu sebagai bekalku di akhirat nanti. Masukkanlah aku dan keluargaku ke dalam Syurga-Mu tanpa dihisab Ya Allah”

Aku mendongak ke atas di mana terpampang langit yang kosong. Mudah-mudahan betul apa yang pernah aku dengar dari ilmuan agama yang mengatakan, “Di Masjidil Haram, doa akan terus sampai kepada Ilahi kerana langit kosong tiada penghadangnya, tiada langsirnya dan tiada sempadannya.”

Tebar jala di kala redup,
Umpan permata jatuh berkecai,
Debar jantung laju berdegup,
Air mata jatuh berderai.

Aku beristilam setiap kali melintasi lokasi Hajrul Aswad, merendahkan diri serendah-rendahnya di hadapan kebesaran Allah. Sewaktu istilam, suaraku hampir tidak terkeluar ditenggalami sedu-sedan yang berpanjangan. Mutawif yang mengetuai doa mengelilingi Kaabah juga bersuara sebak yang terasa amat dalam. Mataku tidak terlepas dari memandang bangunan Baitullah. Aku terisak-isak bagaikan anak kecil kehilangan ibunya lantaran tidak dapat menahan sebak. Sukar menukilkan rasa yang terpendam nun jauh di sanubari hamba-Mu yang berdosa ini. Bersyukur dan sangat bersyukur kerana dijemput sebagai tetamu Allah. Pada kesayuan yang begitu membelit rasa, hati ini begitu tersentuh, amat-amat tersentuh. Doa tidak putus-putus dibaca dalam getaran suara antara keluar dengan tidak. Anak-anak dan isteriku mempunyai perasaan yang serupa denganku. Masing-masing melayan perasaan dengan mata yang bergenang, Sesekali mereka kelihatan mengesat air mata. Di sini hilang rasa malu dan segan, dan orang pernah berkata, jika tidak mengalirkan air mata, betullah orang itu tetamu yang sungguh keras hati.

Allahu Akbar …….. Tidak terasa aku telah menghabiskan 7 keliling tawaf sambil diisi dengan tasbih dan doa yang tidak putus-putus memohon keampunan dari Allah yang esa.

Selesai Tawaf, kami berundur ke belakang Multazam. Aku menyelit dicelah ribuan tetamu Allah untuk menunaikan solat sunat. Selesai soat, aku bersimpuh bertawajuh dengan tangan kudepa lebar untuk memohon doa, “Ya Allah, jadikanlah malam ini sebagai malam-Mu yang terbaik, dekatkanlah aku pada keredhaan-Mu dan jauhkan aku dari murka-Mu. Jadikanlah aku serta seluruh keluargaku sentiasa berada dalam payung perlindungan-Mu. Janganlah engkau jadikan kunjunganku ini yang terakhir, jemputlah aku untuk kunjungan yang berikut-berikutnya. semoga amalan kami diterima Allah, dosa diampunkan dan mohon agar kami akan dipertemukan di Syurga.

Mutawif Ustaz Abd. Basit, memang terbaik. Suara sebak dan mendayu-dayu ketika mengetuai bacaan doa mohon keampunan Allah menyebabkan aku dan tetamu Allah lainnya mengalirkan air mata. Suaraku tersekat-sekat membaca Amin, Amin Ya Allah. Air mataku membasahi kain ihram yang aku pakai. Di sekelilingku terdengar esak tangis tetamu-temu Allah yang serombongan denganku.


Selesai itu, kami serombongan sepakat untuk tidak balik ke hotel. Dengan berpakaian ihram kami naik ke jejambat bulat di tingkat satu. Dengan jelas aku dapat memerhatikan tetamu Allah bertawaf mengelilingi Kaabah yang akhirnya membentuk barisan bulat mengelilinginya. Kami menyertai solat subuh di atas jejambat aras satu.  Pengurusan Nur Multazam memang yang terbaik. Sebaik saja kami menapak ke restoran hotel, sarapan pagi telah tersaji.

Hari kedua di Mekah 4 Jun 2015 (Khamis – acara bebas)

Solat menyedarkan manusia akan hakikat dirinya yang sebenar sebagai hamba kepunyaan Allah SWT. Solat juga akan mengingatkan kita semula bahawa kita adalah hamba-Nya. Solat merupakan santapan bagi akidah keimanan kepada Allah yang berterusan dalam hati manusia. Segala pesona dunia dan bisikan syaitan sememangnya menjadikan manusia lupa kepada akidah, walaupun telah lama terterap di dalam hatinya nur keimanan.

Rasulullah menyatakan, “Allah menjanjikan Baitullah dikunjungi 600 ribu orang pada setiap tahun (tetapi menurut pengamatan saya, sebenarnya lebih dari itu). Sekiranya kurang, Allah memenuhkannya dengan para malaikat. Kaabah akan dibangkitkan pada hari kiamat seperti pengantin. Setiap orang yang pernah mengunjunginya akan bergantung pada tirainya. Mereka berjalan di sekelilingnya pada hari kiamat sehingga masuk ke syurga. Kemudian, mereka masuk ke syurga bersamanya.”

Jam 7.35 pagi, aku keluar mencari sepit kain dan beli air mineral botol besar. Isteriku mengambil peluang untuk mencuci kain dan menjemur di kamar mandi. Kami makan di bilik setelah tidur dan mengambil sedikit rehat. Kami berenam bertolak ke masjid jam 11.35 pagi dan tidak balik selepas zohor kerana telahpun mengisi perut tengah harinya. 

Semasa mengintai di aras tempat di mana anak-anak dan isteri kerap bermunajat, hatiku digamit sedih hingga bergenang  kelopak mataku apabila melihat dua anak gadisku tidur hadap mengadap di samping isteriku. Anak-anak ku memang akrab sesama sendiri. 

Jam 6.12 petang, Allah takdirkan untuk aku bertemu mantan muridku, Nawawi ketika berada di pintu 81. Sempat bertanyakan khabar dan bersembang sekejap. Selepas isyak kami sekeluarga bertemu di suatu tempat yang dijanjikan untuk balik bersama-sama. Sukar bergerak pantas dalam kumpulan tetamu Allah yang padat ketika menuju ke hotel penginapan.  Kami mengunjungi restoran hotel untuk menyertai rombongan Multazam untuk makan malam. Seperti malam-malam sebelumnya,  aku labuhkan tirainya dengan membaca doa sebelum tidur, membaca Qul Huu Allah 3 kali, Al-Falaq, An-Nas,  membaca dua kalimah sahadah, selawat dan membaca ayat kerusi.

Hari Ke-3 di Mekah Jumaat 5 Jun 2015 (acara bebas)

Hari ini aku terjaga jam 1.55 pagi. Selepas menanak nasi dan memasak air panas, aku mengajak keluargaku untuk minum pagi. Jam 2.36, kami lima beranak bertolak ke masjid dan memulakan tawaf jam 3.12 pagi. 3.45 pagi kami menghabiskan tawaf. Kami berpisah setelah selesai solat sunat tawaf dan berdoa di Multazam bagi membolehkan isteri dan anakku ke kawasan solat wanita.

Solat subuhku kali ini betul-betul di depan pintu Baitullah. Hati terasa sedikit puas kerana berpeluang solat subuh di depan pintu Kaabah. Jam 4.45, aku berjaya menyisip masuk ke Hijir Ismail. Lantai Hijir menjadi saksi ketika aku menyentuhkan dahiku beberapa kali untuk sujud. Betapa diri ini begitu kerdil di depan Allah.

Selepas subuh, aku menerima SMS dari isteri yang mengajak untuk sarapan di Kompleks Safa. Kami empat beranak memilih masakan Malaysia. Anak sulungku tidak menyertaiku ke Kompleks Safa. Kami empat beranak balik untuk menggumpul tenaga dan mengambil sedikit rehat bagi persediaan solat Jumaat. Jam 9.35, aku bergerak ke masjid untuk solat Jumaat dan balik makan selepas itu. Aku dan keluarga bergerak semula  ke masjid semula jam 3.05 petang. Aku  balik bersendirian selepas isyak kerana kepadatan tetamu Allah di laluan pulang menyukarkan kami bergerak secara berkumpulan dan bagi menjimatkan masa. Rahmat Allah kerana aku dapat duduk beriktiaf lebih sembilan jam di dalam masjid.

Hari Ke-4 di Mekah Sabtu 6 Jun 2015 (ziarah luar pertama)

Pagi ini kami sedikit awal bertandang ke masjid. Seperti telahan kami, jemaah sudah agak ramai memenuhi tiap sudut rumah Allah ini. Usai tawaf, jam 3.25, aku solat sunat di belakang Makam Ibrahim. Di kiriku, terdapat seorang lelaki yang tampan dan berbadan sasa dengan balutan serban kemas berwarna warni, tetapi tumpas dengan isak tangis ketika meletakan dahinya di lantai marmar.

Aku mengisikan pagi itu dengan zikir sehingga menjelang solat subuh. Hari ini kami balik awal kerana hendak menyertai rombongan untuk ziarah luar. Sebaik tiba di hotel, kami menyertai rombongan untuk sarapan pagi.

Jam 7.21, bas bergerak ke Jabal Tsur. Di lokasi kedua Jabar Rahmah, lensa kameraku merakam beberapa foto candid  untuk koleksi pribadi dan merakam foto berkumpulan. Sempat merasa ais krim Mekah yang menyelerakan di dataran Jabar Rahmah. Aliran turun naik tetamu Allah begitu padat, tetapi tetap lancar. Syahdu rasanya berada di puncak bukit ini. Tergambar bagaimana rasanya Nabi Adam dikatakan bertemu Hawa di kawasan ini setelah berpisah tiga ratus tahun. Doa dipanjatkan agar diri ini akan dikekalkan hidup bersama dengan isteri tercinta sehingga ke akhir hayat. Jam 9.05, bas bergerak melewati Mudzalifah dan Mina. Tetamu Allah menuju ke Masjid Jaranah untuk misi seterusnya. Bas tiba di hotel jam 11.35. Oleh kerana kami berdua tidak bermiqat di Jaranah, kami bersegera ke masjid tanpa menunggu makan tengah hari.

Kenangan manis bersama keluarga di depan Jabal Tsur


Selepas zohor, aku dan isteri ke Restoran Malaysia untuk makan tengah hari dan memasuki masjid semula. Sebelum asar, aku keluar ke Kopleks Dawood untuk membeli dua kerusi wakaf sahabat yang berhajat. Kami balik isyak setelah lebih tujuh jam iktikaf, dan menyertai jemaah untuk makan di restoran hotel.

Hari Ke-5 di Mekah Ahad 7 Jun 2015 (Muzium Mekah-Umrah ke-3)

Rutin ketika di Madinah, kami teruskan ketika berada di Mekah. Tiap awal pagi, sebelum ke masjid, nasi telah siap ditanak untuk makan tengah hari. Pagi ini, aku terjaga jam 1.55 dan memasak air panas serta menanak nasi. Jam 3.15 pagi kami lima beranak bergerak ke masjid, selepas sarapan dengan roti.

Kami melakukan  tawaf sunat dan berpisah selepas solat di Multazam. Selepas subuh, 4.55 pagi, Allah perkenankan untuk diri ini memasuki Hijir Ismail kali kedua. Sebaik meninggalkan Hijir aku merapat ke kelambu Kaabah. Air mata usah dihitung apabila mendakap batuan hitam yang menjadi kiblat seluruh umat Islam seantero dunia. Kami balik awal kerana ingin  menyertai rombongan lawatan ke Muzium Mekah.

Jam 7.27 pagi, tetamu Allah bergerak dengan bas ke Ladang Unta, kemudian miqat di Hudaibiah. Di Hudaibiyah aku berkesempatan menunaikan solat dhuaa, solat taubat dan solat hajat. Dengan pakaian Ihram, kami bergerak ke Muzium Mekah. Sekali lagi rombongan merakam foto berkumpulan. Jam 11.07 tengah hari, rombongan memulakan tawaf diketuai oleh Ustaz Abd. Basit dan tahalul sebelum azan Zohor. Selepas solat zohor, Jemaah lelaki kelihatan bergenang dengan air mata apabila dipeluk oleh suami Puan Yati yang secara ikhlas merakamkan ucapan tahniah atas kelicinan perjalanan umrah 2015. Aku balik ke hotel dan menyertai jemaaah Multazam makan tengah hari di Kafeteria.


Merakam kenangan di Muzium Mekah

Jam 3.21 petang, kami bergerak semula ke masjid. Aku memilih pintu 41 iaitu di kawasan yang berhawa dingan, manakala anak-anakku memilih kawasan wanita di aras lain. Selepas isyak, baru meninggalkan masjid setelah menunaikan beberapa solat sunat. Hari ini barulah aku berulang-alik ke masjid, tidak seperti hari-hari sebelumnya.

Hari Ke-6 Isnin 8 Jun 2015 (Acara bebas)

Seawal jam 2.05 pagi, aku bergegas bangun  untuk memasak nasi dan membuat  minuman panas lantas mengajak isteri untuk pergi solat di masjid. Sebelum bertolak, aku memakan sedikit roti dan buah kurma. Jam 3.20 pagi bergerak ke masjid bersama kanak-anak tanpa disertai isteri.  Aku menyelak kain baju yang memenuhi tingkap untuk menjenguk ke luar jendela. Teryata tetamu Allah berbondon-bondon di jalan raya, ada yang balik dari masjid dan ada pula yang sedang menuju ke masjid. Sepagi begitu, tetamu Allah telah ramai memenuhi jalan raya menuju ke Haram. Seperti kebiasaan, doa dibaca di muka pintu bilik, memohon kami diberi rahmat dan kemudahan untuk solat di dalam masjid.

 Allahu Akbar ……. Darahku menyelinap ke seluruh jiwaku. memerhatikan betapa bersemangatnya tetamu Allah. Di jalan raya, kami berselisih dengan tetamu Allah yang berpakaian ihram dalam perjalanan balik ke tempat penginapan setelah melunaskan tawaf dan tahalul mereka. Di muka mereka jelas terpancar wajah kepuasan waima tampak keletihan.

Selepas tawaf sunat dan solat sunat tawaf, aku solat  subuh betul-betul di depan Hajrul Aswad. Selepas solat subuh, Allah memberi izin untuk aku bertawajuh di Hijir Ismail. Selepas keluar dari sana, sekali lagi  aku berpeluang untuk mendakap kelambu Kaabah . Aku dikelilingi oleh tetamu Allah berbangsa India yang juga meratap mencium kelambu Kaabah. Hati dan perasaan ini begitu sayu sambil merayu, "Ya Allah .... aku berharap,  ini bukanlah yang penghabisan untuk aku bertandang ziarah, jemputlah aku sebagai tetamu Mu untuk kunjungan yang berikut-berikutnya". Air mata tidak boleh dihitung lagi.

Jam 7.50, aku bergerak balik ke hotel setelah membeli mee goreng SR15.00 dan roti telur SR5.00 dan sarapan  bersama isteri. Anak-anakku tidak balik kerana meneruskan maraton iktikaf dan tawaf sunat di Haram. Setelah memasak nasi dan makan bersama isteri di bilik hotel. Aku dan isteri bergerak  ke masjid kira-kira jam  12.09 tengah hari dan kami berada di masjid sehingga isyak. Rasanya masa lapan jam berada di masjid untuk beriktikaf tidaklah begitu terasa. Selepas isyak, kami berkumpul untuk takmimat taaf wida dan taklimat perjalanan balik. Kami dijamu dengan nasi mandi kambing. Lensa kameraku mencuri beberapa rakaman foto dari pelbagai sudut. Aku balik dan mula mengemas barang hingga hampir jam 11.00 malam. Oleh kerana keletihan, aku biarkan isteri dan anak-anak mengatur bagasi kami sekeluarga.

Seperti malam-malam sebelumnya,  aku tutup tirainya dengan membaca doa sebelum tidur, membaca Qul Huu Allah 3 kali, Al-Falaq, An-Nas,  membaca dua kalimah sahadah, selawat dan membaca ayat kerusi.

Selasa 9 Jun 2015 (Hari terakhir-tawaf Wida)

Rutin keluar seawal pagi dari hotel menuju ke masjid, beriktikaf, sesekali keluar makan di D'saji dan sesekali minum kopi, pulang semula ke hotel lewat malam hanya untuk merehatkan badan dan membersihkan diri. Terasa dekat sangat diri ini dengan Allah apabila dapat bersolat berdekatan dengan Kaabah, bersujud di bawah pintunya menjadikan diri merasa terlalu kerdil. Air zam-zam menjadi minuman utama di sini. Setiap kalil berkunjung ke masjid, kami membawa botol air mineral kosong untuk diisi dengan air zam-zam buat minuman utama di bilik hotel.

“Ya Allah, aku memohon jangan kau cabut nikmat iman yang telah engkau anugerahkan kepada hamba-Mu yang kerdil ini. Aku juga memohon, agar engkau tidak memalingkan hati kami untuk terus bersujud di kiblat-Mu ini. Ya Rahman Ya Rahim, semaikanlah di jiwa hambaMu ini, keimanan yang ampuh, kesederan yang kukuh untuk terus mendambakan diri ini ke hadrat-Mu Ya Allah”

Seawal jam 2.01 pagi, aku bergegas bangun untuk menurunkan sembilan bagasi setelah membancuh sarapan pagi di bilik hotel. Kami turun lewat sedikit. Kami solat subuh di masjid secara berasingan kerana sebahagian pintu masuk telah ditutup dan berjanji akan bekumpul di lampu hijau untuk tawaf wida berenam. Subuh terakhir, aku tiada pilihan melainkan tawaf sunat di bulatan atas. Dengan jelas, aku dapat menyaksikan kepadatan dataran Kaabah dipenuhi oleh tetamu Allah. Selepas menamatkan tawaf sunat, aku memilih lokasi di depan pintu Kaabah untuk persediaan menunaikan solat subuh. Jelas kelihatan, petugas-petugas mengatur jemaah untuk solat subuh. Selesai solat, aku turun ke tempat yang dijanjikan untuk tawaf wida.

Tawaf wida berenam begitu lancar. Masing-masing melayan perasaan yang sukar untuk diungkapan. Mata ini bergenang dan tidak luput dari memandang Baitullah. Selepas solat sunat tawaf di Multazam, aku menghimpun keluargaku dan membaca doa terakhirku di depan Kaabah. Doa dibaca dengan tersekat-dosa dengan linangan air mata diaminkan oleh ahli keluarga dengan mata bergenang.

“Ya Allah….Aku awang datang untuk memohon ampun, ampunkanlah dosaku..... Ya Allah. Aku juga datang bersama isteriku, jika dia berdosa padaku, aku ampun dosanya, oleh itu Ya Allah ampunkan dosa dia. Aku juga datang bersama anakdan menantu, jika mereka berdosa padaku, aku ampun dosa mereka, oleh itu Ya Allah ampunkan dosa mereka, ampun dosa kedua ibu bapaku, Ya Allah”

Buah berserat penyedap juadah,
Juadah diperap di lumur lada,
Rasa berat kaki melangkah,
Bayangmu tetap berkampung di minda.

Saat duka

Rindu terhadapmu Baitullah tidak akan pernah padam. Aku akan terus merindui saat-saat manis minum air Zam Zam di hadapan Kaabah sambil berdoa diberi kesihatan, ilmu yang bermanafaat dan rezeki yang luas.

Rindu dendam terhadap kedua kota itu membara. Maka tidak hairanlah jika ungkapan-ungkapan yang dikemukakan berkait rapat dengan rasa cinta semasa di sana dan bersambung dengan rasa rindu akibat perpisahan tersebut. Memori sepanjang berada di Mekah dan Madinah kusulam indah jauh di sanubari ini. Hiba hati kerana terpaksa meninggalkan Tanah Suci. Semoga Allah Azzawajalla memberi peluang kepada hamba-Nya ini untuk menjadi tetamu-Nya di masa akan datang.

Sebelum menukar pakaian, aku akhiri mandiku di pagi itu dengan siraman sebotol kecil air zam-zam yang aku bawa tawaf wida di pagi itu. Seperti yang dijanjikan, kami menaiki bas kira-kira jam 8.21 pagi menuju ke Jeddah. Mutawif yang mengetuai rombongan kami membaca doa menaiki kenderaan dalam nada yang memilukan. Beliau memberi taklimat penerbangan dan memohon maaf bagi pihak pengurusan seandainya terdapat kepincangan sepanjang berada di Madinah dan Mekah. Bagiku taklimat itu tidak membawa makna apa-apa kerana aku sedang melayan perasaan rindu dendamku terhadap solatku di Haram, air zam-zam  yang sering membasahkan tekak tiap waktu ketika berada di masjid dan tawafku di dataran Kaabah. Menara jam yang menjulang ke angkasa sudah tidak kelihatan.

Kami singgah di Supermarket Cornice untuk berehat. Sempat berkongsi makan bakso dengan anak-anakku dan meneguk air berkarbonat. Aku juga merakam detik manis di Jeddah. Anak-anak juga membeli buah tangan di Jeddah. Kerana terpikat dengan keunikan rekaannya, aku membeli sepasang kasut jenama CAT sebagai kenang-kenangan. Kami berpisah dengan mutawif Haji Abdul Basit yang tidak dapat menyertai kami ke terminal. Ucapan maaf terakhirnya begitu meruntun hati ini, kerana sekian lama berada di Haramain, beliau bertugas tanpa mengira batas waktu. Beliau turun di pertengahan jalan dengan lambaian kesedihan. Aku tahu pasti, beliau juga sedih dan pasti merindui gelagat rombongan kami. Beliau tidak berganjak melambai kami sehingga bas kami bergerak meninggalkan beliau.

Kami menuju ke terminal haji untuk daftar masuk. Sebaik saja bas berhenti, kami mengeluarkan barang masing-masing menuju ke kaunter masuk dan membentuk  barisan untuk mendapatkan tiket masing-masing. Aku sekali lagi secara sukarela membantu memasukkan sebahagian barangan tetamu Allah. Pesawat berlepas pada jam 6.38 petang waktu Saudi.

Hasil pemerhatianku semasa kunjungan singkat di situ, rata-rata tetamu Allah khusuk beribadah tanpa mempedulikan hal-hal remeh lain, tidak keterlaluan aku katakan, kadangkala keluarga di tanah airpun kita tidak dirisaukan lantaran pengaruh ibadah di sana. Ia danggap berbaloi jika ibadah kita dibuat semaksima mungkin. Beribadah di sana menzahirkan nikmat yang luar biasa.

Memori

Alhamdulillah, selesai sudah ibadah umrah kami sekeluarga. Saya amat bersyukur kerana telah dijemput Allah S.W.T. untuk ke sana. Pada saat saya betul-betul perlu mencari kekuatan, ketenangan, dan kesabaran dalam mengharungi dugaan hidup di dunia ini. Sesungguhnya perancangan Allah S.W.T. itu adalah indah buat setiap umat-Nya.Sesungguhnya pemergian untuk ziarah, sesuatu yang tidak pernah membosankan.

Ia pengalaman terindah yang sukar diungkap dengan kata-kata. Sukar untuk dilakar, perincian pengalaman berada di dua kota suci tersebut, malar segar dan terlalu sukar dipadam dari memori ini. Hati bergetar, sangat berdebar. Ia suasana yang sangat-sangat berbeza, hati dan perasaan. Ketika dalam keadaan berihram. Dua helai kain putih yang tidak berjahit itu membawa pelbagai perlambangan. Tergambar betapa di Padang Masyar nanti, semua manusia mempunyai darjat serupa, tidak seperti di dunia fana yang mengkategori insan dengan pelbagai pandangan.

Rebung buluh masakan ibu,
Buluh tumbuh di balik batu,
Hancur luluh bersarang di kalbu,
Bilakah lagi dijemput ke situ.

Hati terasa hiba kerana tidak lagi boleh solat jenazah seperti selalunya kerana mengikut hadis riwayat Muslim, barang siapa menyembahyangkan jenazah maka baginya satu qiraat pahala. Dan apabila beliau turut serta menyaksikan pengebumiannya, maka baginya dua qiraat pahala. Pabila Rasulullah ditanya mengenai qiraat. Satu qiraat itu seperti besarnya Gunung Uhud (panjang gunung Uhud 7 kilometer).

Rinduku pada Baitullah bukan gemersik rindu yang dibuat-buat. Ia membuak dan lahir dari hati insan sekerdil aku. Percayalah, setiap insan yang pernah menjadi tetamu Allah, pasti memahami runtunan jiwa sepertiku, ingin dan ingin kembali menanam niat untuk ke sana untuk sekian kalinya.

Ya Allah …… balutan luka kerinduanku terhadap Raudah masih berbekas, kini  luka baru mula berdarah iaitu luka kerinduan terhadap Baitullah. Pesawat Royal Brunei  mendarat di Brunei jam 9.21 pagi waktu tempatan. Sementara menunggu bas untuk bergerak ke Hotel Orchid Garden Brunei, sempat solat dhuaa di Surau Lapangan Terbang Brunei. Allahu Akbar, suraunya setaraf masjid di tempat lahirku. Pendingin hawa terpasang dua puluh empat jam. Berehat seketika di Hotel Orchid manakala dua orang anakku mengambil peluang untuk melawat ke bandar Sri Begawan dengan kemudahan bas ulang-alik yang disediakan oleh pihak hotel

Pada petang Rabu, sempat solat jamak Maghrib dan Isyak di surau Lapangan Terbang Brunei dan makan malam sekitar kawasan surau. Pesawat Royal Brunei BI 829 mendarat di Kota Kinabalu jam 9.42 malam.

Aku perindu Raudah dan Baitullah

Ranting mengkudu dibakar abu,
Abu menyala tika bertungku,
Rasa rindu menusuk kalbu,
Tidak tertanggung jiwa ragaku.

Padi huma dipikul sarat,
Tampal tongkang pisau belati,
Menjadi memori sepanjang hayat,
Tidak lekang tersemat di hati.

Secara pribadi, aku ingin menjadi orang baru selepas ziarah ini. Biarlah orang di luar sana akan memandang sinis atau mentertawakan perubahan diriku. Bagi insan yang mentertawakan, rebutlah peluang ziarah selagi kita dipinjamkan usia oleh-Nya. Jangan sampai nanti seluruh isi dunia mentertawakan anda lantaran gagal ziarah setelah dipanggil pulang oleh-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tidaklah penghidupan dunia itu melainkan permainan dan kelalaian. Dan sesungguhnya negeri akhirat adalah lebih baik bagi orang-orang yang berbakti. Oleh kerana itu tidakkah kamu mahu berfikir.” (al-An’am: 32)

Sememangnya kesempatan menjejakkan kaki ke Tanah Suci, pasti melebihi kenangan menjejakkan kaki ke mana-mana pun destinasi lain. Semangatnya jauh berbeza. Aromanya tidak mampu digalang ganti dengan wang ringgit. Mengapa orang berlumba-lumba hendak ke sana? Jawapannya amat signifikan, Raudah ada di Masjid Nabawi Madinah bukan di Jogjakarta Indonesia ataupun Phuket Thailand, Hijir Ismail, Multazam, Rukun Yamani, Safa dan Marwah ada di Masjidil Haram Mekah bukan di Bollywood, ataupun di Beijing China. Nyatalah Baitullah bukan sekadar kiblat solat, malah kiblat perubahan sosial tetamunya. Sesunguhnya pemergian ziarah itu, tidak pernah membosankan.

Dalam kenangan

https://www.youtube.com/watch?v=bX1oh0F7JQA

Aduh ….. 1,001 pengalaman ziarah ke sana tersurat jauh di sanubari ini. Rasa rindu yang amat mendalam terhadap ziarah Mekah dan Madinah tidak lekang sampai bila-bila. Sungguh menusuk hati kerinduan tersebut. Pengalaman merasai nikmat bersolat depan kaabah cukup menyentap jiwa ini. Jiwa ini bagai dipalu dan hati ini sentiasa meronta-ronta hendak ke sana, jika boleh berulangkali selagi mendapat pinjaman nafas oleh-Nya. Betapa diri ini terasa teramat dekat dengan-Nya ketika berada di sana. Kini aku tidak lagi dapat menatap Baitullah seperti selalunya, apabila kaki berpijak ke Tanah Air, yang tinggal hanyalah sejuta kerinduan terhadapnya.

Akan tetapi kerinduan yang sebenar-benarnya jauh lebih syahdu dari apa yang aku coretkan. Aroma Mekah dan Madinah tidak pernah lekang dari mengetuk pintu hati kecil ini untuk sekali mahupun berulang kali memasang niat untuk kembali beribadah di sana. Terlalu rindu rasanya mengenang ketika aku duduk bersimpuh di hadapan Kaabah demi bertawajuh ke hadrat Allah.

Kerinduan bertawaf sambil memandang Baitullah sentiasa membara di peti ingatanku. Betapa luluhnya perasaan ini andainya kunjungan singkat itu merupakan kunjungan yang penghabisan buatku, akan tetapi di hati ini tetap berdoa agar dijemput untuk kunjungan yang berikut-berikutnya. Masih terasa betapa berombaknya debaran dada ini saat-saat pertama melihat Baitullah terpampang di depan mata. Masih masih terasa hangatnya linangan air mata ini tatkala bersujud di Multazam setelah menamatkan pusingan tawaf wajib. Masih diketuk hati ini betapa lantai marmar dibasahi oleh air mata yang mengalir tanpa diminta, dan masih terngiang di telinga ini, ungkapan Allahu Akbar yang meremangkan bulu tatkala melakukan istilam di pepenjuru Azrul Aswad. Sungguh hebat kesemua kenangan tersebut.

Jutaan terima

Andai ada pembaca yang berkelulusan tinggi, mungkin belum cukup bijak jika belum memasang niat untuk ziarah ke Mekah Madinah. Andai ada pembaca yang berharta, ziarahlah selagi harta itu dipinjamkan-Nya sebelum ditarik pada bila-bila masa. Andai ada pembaca yang berjawatan besar dan dihormati oleh orang keliling, ziarahlah bagi menilai diri sendiri betapa taraf hamba Allah serupa tatkala mengenakan kain ihram yang sama tanpa mengira pangkat, warga dan keturunan. Ketahuilah betapa hanya orang yang pernah menapak ke sana sahaja yang dapat menikmati keinsafan yang membaluti ego diri, menyelongkar keasyikkan beribadah yang mengesan di hati, melihat keagungan Kaabah yang tersaji di depan mata, mahupun menyurat memori yang bakal tersemat nun jauh di lubuk hati, memungkinkan memori itu menjadi sejarah yang tidak lekang selagi dipinjamkan nafas oleh ilahi.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih, terutamanya kepada keluarga saya, ipar duai saya dan rakan sepejabat yang sentiasa mendoakan keselamatan kami sekeluarga di sana. Tidak lupa juga terima kasih kepada peserta-peserta rombongan jemaah kami yang ramah dan sentiasa murah tangan untuk membantu ketika di sana.

Kepada rakan serombongan, mohon ampun segala kesilapan kami berenam. Aku sengaja kerap mendapatkan kerusi paling depan, bukannya tercatat namaku di sana, tetapi niatku ialah untuk melicinkan pergerakan turun naik bas bagi membolehkan aku merakam momen terpenting tiap orang rombongan NurMultazam. Kepada kenalan baru keluarga Mohd. Ishak Ag. Besar, Prof. Dr Humin dan isteri, Hj. Salimi dan keluarga, Tn Datu Raiman dan isteri, Tn Razak serta rombongan , Tn Lukim dan tiga ahlinya, Tn Zailani, Pak Nawi, keluarga adik Iqbal dan mereka yang tidak disebut, jika disebut agak ramai, tahniah dan salam persahabatan untuk kesemua anda. Mohon maaf juga kerana kami berenam jarang makan bersama dengan ahli rombongan, kerana lebihan masa kami gunakan untuk beriktikaf di dua masjid suci.

Kepada bekas-bekas muridku di SMK. Sanzac, sememangnya hadiah kalian yang merupakan telefon bimbit tika reunion 2 Mei lepas, banyak membantuku untuk bergerak di dua masjid tersebut. Moga anda kalian akan memperoleh tempias pahalanya. Aku tahu, kalian sentiasa mendoakanku sehingga aku kekal sehat hingga kini.

Kepada pemilik Nur Multazam. Mutawif HAji Abdul Basid  dan rakan-rakan, jutaan terima kasih kerana tanpa anda, kunjungan ke sana pasti sunyi. Kepada Mutawif Uataz Abdul Basit, anda yang terbaik. Sesungguhnya kerenah anda rakan serombongan merupakan roh yang menyumbang kekuatan untuk beramal dengan maksimum di sana. Kepada para pembaca di luar sana, coretan ini bukan untuk membangga diri, tetapi hanya sekadar berkongsi semangat dan pengalaman manis di Tanah Suci.

Terima kasih





No comments: