Wednesday, February 23, 2022

Travelog ibadah Norma Baharu, mencari keredhaan Allah 12-23 Februari 2022 ( 1443 H )

“Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia” - Surah Ali-Imran 3:96

Aku bukan siapa-siapa, melainkan insan yang lemah semata

Alhamdulillah, segala puji serta syukur aku panjatkan kepada Allah SWT, Tuhan semesta alam yang sudi menjemput aku, isteriku dan seisi rombongan menjadi tetamu-Nya. Salam dan selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad Rasulullah SAW serta keluarga dan sahabat baginda. Ya Allah, sesungguhnya ibadahku kerana-Mu semata-mata, “Labbaika Allahumma labik, labaika laa syaariikalaka labbaik,” bermaksud “Ya Allah, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala puji, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu…”.

Ibadah ziarah dan umrah di Norma Baharu memahat memori terindah dalam hidup ini. Ketika berdebar dan redha menunggu waima sama ada ia khabar bahagia mahupun khabar duka, hati tetap pasrah. Sejak sekian lama kita bernafas dengan selesa, tanpa sedar ia mencakar minda kita. Kurasa, andai kita terima hakikat itu dengan berkeluh-kesah, kita tidak akan beroleh apa-apa selain rugi yang berganda. Akan tetapi andai kita redha, pasti ada habuan berganda bakal kita terima. Kita bukan siapa-siapa. Andai kita marah dengan pihak berkuasa, pujuklah hati kita dengan membaca “Surah Al-Insyirah”, surah yang berjaya memujuk hati Rasulullah dan diwariskan pula kepada kita umat baginda untuk melisankannya.

Dengan rasa rendah diri, aku membulatkan tawakalku bagi berkongsi sekelumit pengalaman beribadah di dua kota suci-Nya dalam situasi Norma Baharu. Bagiku tiada salahnya andai kita berkongsi kerana berkemungkinan boleh menyuntik semangat untuk berziarah. Sesungguhnya aku menukil bukan untuk riak, angkuh, mahupun ujub tetapi hanya ingin berkongsi rasa. Waima kurasa aku bukanlah yang tersempurna, namun tetap berusaha untuk membongkar sekelumit pengalaman waima ia tidaklah sesendat yang diharapkan. Dalam perkongsian travelog ini, aku tidak berniat kepada puji puja anda, tidak pula mensesasi cerita, melainkan mengharap sepenuh redha-Nya. Mohon kemaafan andai saya terlebih bicara.

Mindaku sering diterjah oleh sejuta kerinduan

Sejujurnya, selepas Kerajaan Arab Saudi bertindak menutup Visa Umrah dan Visa Pelancong ke negaranya bermula pada 27 Februari 2020, kerjaan Malaysia pula bertindak memperkenalkan “Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 bermula 18 April diikuti Perintah Kawalan Arab Saudi bermula 23 Mac”, hati ini diterjah kerinduan apaila menyaksikan dataran Kaabah yang dahulunya tidak pernah sunyi dengan Duyufurrahman, kini menyepi. Di Malaysia, kes pertama berlaku pada 25 Januari 2020 di mana tiga orang warga China disahkan positif dirawat di Hospital Sungai Buloh. 3 Mac 2020, Arab Saudi dikejutkan dengan jangkitan pertama melibatkan rakyat mereka yang baru pulang dari Iran melalui Bahrain. Aku dihambat perasaan cemburu apabila 11 jemaah Malaysia (Emraz Travel) yang merupakan kumpulan pertama berpeluang melakukan umrah selepas kebenaran diberikan kepada rakyat Malaysia berkuatkuasa pada 18 Oktober 2021.

Sebaik-baik sahaja sebahagian jemaah Malaysia dikuarantin di Hotel Makarem Ajyad Mekah, itu merupakan petunjuk sesuatu harus dilakukan oleh kerajaan. Pelaksanaan ibadah umrah ditangguh selepas 8 Januari 2022 yang juga melibatkan tertangguhnya perjalanan ibadah umrah rombongan kami. Namun kami tetap redha kerana itu bukan kehendak insan biasa.

Allah Ya Allah, Engkau sehebat-hebat perancang. Surah Al An’aam (binatang ternak) ayat 17 dan 18 berbunyi, “Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, Maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” “Dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hamba-hamba-Nya. Dan Dialah Yang Bijaksana laga Maha Mengetahui.”

Allah menguji kepada sesiapa yang dikasihinya

Masa menunggu untuk ibadah umrah ziarah dibuka semula membolehkan aku untuk belajar sesuatu dan memantapkan pengetahuan diri sendiri. Hikmah yang aku pelajari daripadanya, iaitu hikmah bersabar. Mengapa kita tidak bersabar, sedangkan Rasulullah terpaksa menangguhkan ibadahnya selama setahun sehingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah. Baginda tetap bersabar. Penulis buku Ceritera Haji Wartawan Al Quran (Abdullah Bukhari Abd. Rahim Al-Hafiz), gagal untuk memperoleh jemputan Allah tahun 2014 dan terpaksa menunggu tahun 2015 untuk berhaji. Beliau diuji dengan beberapa ujian sebelum boleh berlepas ke Tanah Suci. Aku turut cemburu dengan kecekalan penulis buku Ustazah Basikal (Noradilah Mohd Sapie dan Ahmad Mohd Isa) yang bermusafir selama 15 bulan berbasikal dari Malaysia merentasi tiga belas negara semata-mata untuk berumrah.

Hikmah penangguhan, memberi ruang untuk aku menukil catatan berikut lantaran nombor yang muncul sekali bukan berulang kali:

Kosong dua kosong dua, dua kosong dua dua

Umpama di bahtera Nabi Noh
terbina empat mahligai
ambir tasbih, tahmid dan takbir menyinari tiap bucunya
di legarnya lima licung kolek empat roda, menanti setia
ditadbir nakhoda Bidadari Jannatun Naim
disinari tiga kelasi puteri tasliyah penyedap rasa
satunya menunggu di Firdaus-Mu

Allah Ya Allah
aku redha
seperti Engkau meredhai aku
termeterai satu perjuangan
terpasak satu ikatan
aku dambakan Mardhotillah-Mu
berhimpun di dalamnya
ke Firdaus-Mu tanpa dihisab

Hikmah keduanya, sempat melunaskan zakat pendapatan pada 3 Feb di mana aku sempat membeli Buku Teh Tarik Nasi Arab (Imam Muda Hassan), Jangan Buat Baik, Buat Yang Terbaik (Ustaz Dzul Ramli), dan buku Adab Berdamping Dengan Al-Quran (Imam Al Nawawi – Terjemahan), buku yang untuk diselit baca bersilih ganti dengan Talaqi di Tanah Suci dan semasa kuarantin di Kuala Lumpur.

Intipati terpenting kursus manasik di Surau Nahdatul Ilmiah Taman Semplang (6 Feb) ialah para DuyufurRahman diwajibkan untuk mengambil ujian PCR, passport tambahan untuk menunaikan ibadah umrah, di mana seawal pagi pada Jumaat 11 Feb, kami berkumpul di klinik Sunray di Asia City untuk ujian tersebut dengan kadaran RM170.00 seorang. Di dalam premis, Cik Marianah telah mula bertugas mengurus para duyufurrahman. Sempat berbual-bual dengan jemaah iaitu bapa kepada Muhammad Azim (Imam Muda), sepupu Muhammad Azim dan beberapa jemaah yang memang telah dikenali. Agak lucu, ujian dilakukan di luar premis dengan situasi malu-malu. Aku orang pertama mengambil kedudukannya untuk ujian PCR, diikuti oleh suriku. Terlihat juga olehku rakan serombongan, tetapi masih malu-malu untuk bertegur sapa.

Setelah menanti keputusan dalam debaran, jam 7.54 malam, aku dan isteri adalah kalangan 35 orang yang berkeputusan negative dan yang paling penting boleh berlepas ke Tanah Suci-Nya. Ini bermakna 6 orang berkeputusan positif.

Misiku

Aku bertekad untuk melakukan misi berikut, andai aku dijemput menjadi tetamu-Nya.

1.Solat syukur bila tiba di Mekah, Madinah dan Masjid-masjid lain.
2.Maraton dzikir (tasbih, tahmid dan takbir - di Mekah) dan selawat (di Madinah)
3.Memohon keampunan segala dosa-dosa dan dihimpunkan bersama keluarga di Jannatun Naim
4.Infaq
5.Puasa sunat
6.Melakukan ibadah yang jarang dilakukan di tanah air
7.Marathon solat-solat taubat, hajat, tahajud, witir dan dhuaa

Aku mulakan travelog ini dengan tiga rangkap syair;

Bermula dengan lafaz Bismillah
Ibadah ziarah empunya kisah
Niat di minda ditanam sudah
Akan kukunjung Mekah Madinah

Manasik ibadah kukunyah sudah
Di dalam hati tertanam pasrah
Demi mencari redanya Allah
Moga diterima segala ibadah

Sanak saudara kutinggal segala
Harta dan anak kuserah semua
Entahkah berpisah entah bersua?
Seratus peratus kuserah pada-Nya

Itinerari Sabtu 12 Februari 2022 - 10 Rejab 1443 H (Bermusafir meninggalkan rumah kediaman)

Langkah kaki ringan terasa
Di muka pintu doa kubaca
Sihat walafiat sepanjang masa
Tika di sana tika kembali ke pangkuan keluarga

Terjaga tepat jam 2.00 pagi untuk urusan seterusnya, mandi sunat ihram, solat tahajud, solat musafir, solat taubat, solat hajat dan diakhiri dengan solat witir. Usai mengambil sarpan ringan, dengan bagasi yang minima, yang terisi pakaian secukupnya, sedikit makanan binatang kesayangan peliharaan Saidina Abu Bakar, beberapa pasang capal, minuman buatan Malaysia yang tidak terjual di Haramain seperti Vico, Alicafee, kopi pra-campur, indo cafe,  teh tarik plus, ole-ole, ubat-ubatan, supliment, beberapa pasang sepatu, tiga "vaccuum Flash" dan komputer riba. 

Di muka pintu aku berdoa, “Subhanal lazi saharalana haza wamkunna lahumukrinin Wainna illa rabbona laamungkalibun,” “Maha suci Allah, yang telah mempermudahkan kenderaan untuk kami dan kami tidak ada kesanggupan mengendalikannya, kami semua akan kembali kepada Tuhan kami nanti. Ya Allah, selamatkan kami dalam perjalanan ini ke destinasi tujuan kami. Kurniai kami dengan kesihatan di dalam perjalanan, sihat semasa berada di Tanah Suci-Mu dan sihat selepas kembali ke Tanah Air”. Disantuni oleh orang buah hati ibu ayah yang kedua dan ketiga, yang mengiringi dengan doa dan ditinggalkan juga dengan doa.

Berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dalam keadaan yang amat ganjil iaitu semua duyufurrahman, petugas MAS dan keluarga yang menghantar menyarung pelitup muka. Masih sempat menyantuni suami kepada Hajah Salmah Estro dan Tuan Haji Samsul suami Puan Siti Sulhyati. Setiap duyufurrahman di berikan  fail yang berisi Passport dan dokumen lain seperti keputusan PCR dan sijil suntikan. Urusan kemasukan bagasi dilakukan oleh kakitangan Nurmultazam, Nuran dan Marianah. Kakitangan MAS meminta kami menunjukan aplikasi MySejahtera sebelum menyerahkan tiket penerbangan Kota Kinabalu Kuala Lumpur dan tiket penerbangan Kuala Lumpur Jeddah. Merakam kenangan dan mengaminkan doa yang dibacakan denagn perasaan syahdu yang teramat dalam. Mata mula bergenang. 

Berfoto di KKIA seawal pagi 12 Feb 2022

Usai berpeluk salam dengan anak-anak, jam 05.32 pagi, 35 orang Duyufurrahman NurMultazam melabuhkan badan di kerusi masing-masing dalam penerbangan MH 2637 (Boeing 737 800) menuju KLIA. Aku di kerusi 23C dan suriku 24F. Solat subuh di dada pesawat. Disatuni oleh paramugara dengan makanan hebat tetapi memohon untuk “Take away”.

Setibanya di KLIA, kami tidak perlu mengutip bagasi kerana bagasi kami terus sahaja dimasukkan ke pesawat yang akan membawa kami ke Jeddah. Sebelum naik ke lantai lima (lantai pelepasan), kami berdua ke kedai Eraman untuk membeli sedikit roti dan bun sebagai persediaan untuk mengalas perut. 

Hampir dua belas jam merehatkan diri di KLIA, aku memujuk diri kerdil ini untuk mensyukuri nikmat Allah yang berganda, rehat, melelapkan mata waima seketika di surau Airport. Makan tengah hari dengan bubur nasi MacDonald dan membuka makanan sajian MAS yang aku tapau semasa penerbangan KKIA ke  Kuala Lumpur. Sempat menyantuni saudara Abdul Rahman dan Tuan Haji Mohd Yassin, Rozian Moksan dan Mohammad Azim Ajilan

Jam 3.10 petang, 35 orang duyufurrahman Nurmultazam dengan semangat membara, berkumpul di laluan masuk untuk ke terminal antarabangsa, tetapi tidak dibenarkan (masih terlalu awal).  Hanya pada jam 5.00 petang, kami dibolehkan menaiki train ke terminal antarabangsa. 

Dalam keadaan berpakaian ihram, masih berkesempatan untuk solat sunat ihram. Allah Ya Allah, Engkau luangkan kesempatan untuk solat jamak Zohor Asar di Surau Airport. Syukur Ya Allah, Engkau berikan aku peluang melaungkan dua kali iqamat untuk solat Jamak Maghrib Isyak di Balai Berlepas Antarabangsa. Ruang menunggu dipenuhi oleh jemaah, kerana di skrin LCD memaparkan tiga penerbangan akan berlepas ke tanah suci pada petang tersebut. Dua  penerbangan menggunakan pesawat MAS satu penerbangan mengunakan pesawat Saudi Arabia. Terlihat olehku duyufurrahman dari Emraz dan Andalusia berhimpun dalam dewan menunggu. Kelibat pemilik Andalusia, Datuk Haji Daud Che Ngah juga kelihatan berlalu di depan kami untuk menaiki pesawat yang lebih awal dari kami.

Tangkai jantung bagaikan luruh
Kain ihram membalut tubuh
Aku akur total menyeluruh
Dada bergelojak umpama guruh

Di dada pesawat (MH 8024 Air Bus 330-200), kami disantuni oleh paramugara paramugari yang ramah ketika menyerahkan 'Hygiene Kit" kepada setiap duyufurrahman. Syukur Ya Allah, terima kasih atas kesudian Tuan Haji Mappiare yang sanggup berpindah kerusi bagi membuka lorong untuk aku duduk bersama-sama suriku.

Di kerusi 27 D dan aku 27 E, aku begitu sebak, kerana sejak beberapa hari lalu, Allah menguji rombongan kami dengan beberapa insiden. Bermula dengan perubahan tarikh keberangkatan, pengenalan SOP baharu iaitu jemaah umrah dikehendaki menjalani kuarantin empat hari di Kuala Lumpur, dan dikehendaki pula melengkapkan dos penggalak. Namun kami akur dan pasrah dengan kesemuanya lantaran telah menetapkan misi dan hasrat untuk menjadi tetamu Allah dan tetamu Rasulullah. Kami juga akur dengan perkhabaran SOP baharu yang diperkenalkan di dua kota suci tersebut.

Kami mengaminkan doa yang dibacakan di corong pesawat, “Allahumma anta sohibu fii saffar. Wa antal Haliffatu fiahli walmaali wall waladi ….” …Ya Allah, Engkaulah temanku dalam pelayaran. Engkaulah penggantiku, menjaga keluarga, harta, anak dan sahabat handai. ….

Pilihan tepat tetapi berdepan dengan cabaran

Bagi ku, masuk ke Mekah terlebih dahulu, kemudian baru bermusafir ke Madinah adalah sebaik-baik pilihan. Alasan saya ialah, jika masuk ke Mekah terlebih dahulu, kita lebih fokus. Apabila kita telah melengkapkan urusan umrah kita, sudah tentu kita akan berperasaan lega, dan tenang, tetapi  berkemungkinan berdepan masalah belum dapat menyesuaikan diri. Kemudian barulah memikirkan urusan-urusan yang seterusnya. Cabarannya jangan cakap, sememangnya kita bakal berhadapan dengan cabaran yang hebat, cabaran letih berada beberapa jam di dalam pesawat, cabaran berada dalam ihram dan cabaran letih selepas tawaf dan saie. Namun, percayalah, pabila kita telah berada di sana, apabila kita telah menelan pil sabar sebanyak-banyaknya, segala-galanya akan menjadi mudah. Ulanglah perkataan ini sebanyak tiga kali dengan penuh yakin, "Allah Ya Allah, aku mengerjakan umrah ini semata-mata kerana-Mu Ya Allah, semata-mata kerana-Mu Ya Allah, semata-mata kerana-Mu Ya Allah."

Apa-apa pun, sama ada masuk Mekah atau Madinah, bersyukurlah kerana Allah telah sudi menjemput kita menjadi tetamunya.

Bismillahi majreaha walmursaha, innarabbi laqafurrahim ………“Dengan nama Allah di waktu berangkat dan berlabuh, sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya, padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat, dan langit digulung dengan kekuasaan-Nya. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan.”

Sebaik-baik sahaja meninggalkan landasan jam 08.26 malam, aku bertindak mengunci pintu mindaku dari memikirkan hal-hal duniawi. Aku mencapai tasbih analog memulakan bacaan dzikir untuk penerbangan hampir sembilan jam. Di dada pesawat aku terkesan dengan ungkapan, “Sesungguhnya amalan yang pertama kali dihisab dari seorang hamba pada hari kiamat nanti adalah solatnya. Jika solatnya baik (sempurna), maka beruntung dan selamatlah dia. Namun jika rosak, maka rugi dan celakalah dia. Jika dalam solat wajibnya ada yang kurang, maka Rabb yang Maha suci lagi Maha Mulia berkata, ‘Lihatlah, apakah hamba-Ku memiliki solat sunat.’ Jika dia memiliki solat-solat sunat, maka solat wajibnya disempurnakan oleh solat sunat tadi. Lalu dihisablah semua amalan wajibnya sebagaimana sebelumnya.” Aku menyemai azam untuk menunaikan solat wajib di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram tanpa mangkir dan menambah pula dengan marathon solat-solat sunat, dan berdoa mudah-mudahan amalinya akan ada kesinambungannya ketika kembali ke tanah air.

Suasana di dada pesawat tidak sunyi dengan celoteh paramugara bernama Ramdzan. Bersuara lunak umpama chef Wan mengusik para DuyufurRahman dengan jenaka yang bermisi. Ketika menghantar makanan, aku memohon ehsan paramugari bertugas  untuk mengisikan  "vaccuum Flash" yang aku bawa dengan air kosong. "Jemput makan ya jangan segan-segan, ini saya yang masak," begitulah antara gurauan tuan Ramdzan disambut dengan gelak tawa duyufurrahman. Ada juga kalangan jemaah yang nakal. Mereka meminta ole-ole selimut dan bantal untuk dijadikan kenangan. "Minta maaf tuan haji minta maaf puan hajah, ini bukan saya sendiri yang empunyanya. Jika ia saya yang punya, insya Allah saya akan bagi." Sempat melelapkan mata beralaskan meja lipat pesawat.

Di pertengahan penerbangan, berkemungkinan di Lautan Hindi mendekati Semenanjung Arab, paramugara menghadiahkan setiap seorang dari kami dengan beg kecil berwarna biru tua "AMAL sumbangan MAS" yang berisi tasbih digital, sejadah plastik dan botol semburan wuduk."

Kurang praktikal

Di sepanjang penerbangan, pesawat amat stabil tanpa sebarang gegaran. Sejam sebelum pesawat mendekati Qarnul Manazil, pengumuman dibuat melalui corong pembesar suara pesawat untuk mengingatkan agar penumpang yang masih belum berpakaian ihram agar memakai kain ihram selepas pengumuman dibuat. Kelihatan sebilangan kecil duyufurrahman lelaki membuka beg dari rak penyimpanan untuk mengambil kain ihram. Ini kurang praktikal kerana dikhuatiri pesawat berkeadaan tidak setabil, berkemungkinan akan membahayakan penumpang-penumpang lain. Mereka bergegas menuju ke suatu lokasi untuk memakai kain ihram. Lagi sekali ini adalah kurang praktikal. Andai mereka menukar kain ihram di dalam tandas, adalah dikhuatiri kain ihram bakal terkena najis. Kebarangkalian akan berlaku, mereka akan beratur panjang untuk menunggu giliran, ini adalah melanggar SOP yang sedang dikuatkuasakan. Andai mereka memakai kain ihram di kawasan lain, ini juga tidak praktikal. Adalah dikhuatiri membahayakan diri sendiri serta penumpang lain, kerana andai pesawat bergoncang, tentu kedudukan mereka tidak stabil. Ini adalah perangai duyufurrahman dari agensi lain, tidak kepada jemaah Nurmultazam. Tahniah. 

Ketika pesawat mendekati Qarnul Manazil, pengumuman dibuat melalui corong pembesar suara pesawat untuk Duyufurrahman melafazkan niat umrah. Hati begitu tersentuh dengan mata bergenang ketika melafazkan niat umrah.

“Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala”.

Jejak kaki ke tanah Jeddah
Satu jam menuju Mekah
ke Masjidil Haram aku menjengah
hati berbunga tawaf mengelilingi Baitullah

Itinerari Ahad 13 Februari 2022 - 11 Rejab 1443 H (Membuka balutan kerinduan terhadap Baitullah)

Dengan izin Allah, pada jam 5.24 subuh (waktu Malaysia), jam 12.24 pagi (Ahad 13 Feb), pesawat mencecah bumi Jeddah. Dengan rasa sebak yang masih dapat dipertahankan, kami bergerak dengan menaiki apa yang aku namakan ‘Ero-train”, menuju ke ruang tuntutan bagasi. Pemeriksaan kemasukan di Airport Jeddah yang baru, amat licin. Aku melihat kelibat anaknda Haji Ali Amin (Mutwif yang sudah kami anggap sebagai anak kami. Aku memeluk beliau dengan mata bergenang dengan sapaan suara bergetar, “Apa khabar ayah?.” santunan anak Surabaya yang bermukim di Mekah.  Setelah suriku turut merapat, "Ini ibu kan, ibu apa khabar."

Aku menyerahkan buah tangan khusus yang dibeli di Sabah. Beliau dibantu oleh abang sepupu, Omar Faroq. Sempat menghulur khidmat pertama merakam foto berkumpulan di suatu lokasi. Syukur Ya Allah, Engkau beri aku kesempatan untuk membolehkan aku menyumbang khidmat pertamaku di Tanah Suci. Pegawai Arab tersebut mencapai telefon bimbitku untuk memindahkan foto berkumpulan kami ke telefon beliau. Aku risik-risik yang kononnya foto kami bakal digunakan untuk tujuan promosi pelancongan mereka.

Lapangan Terbang Jeddah

Dada beralun dan berdiri bulu roma tengkukku apabila mutawif menyebut kami sebagai Duyufurrahman (tetamu Allah) ketika bas mula bergerak (7.37 pagi waktu Malaysia) meninggalkan lapangan terbang Jeddah. Syukur Ya Allah, Engkau santuni tetamu-Mu dengan sambutan situasi yang begitu. Intipati padat tazkirah membuatkan aku terbuai dan menginsafkan diri yang kerdil ini, betapa Allah sudi menjemput kami untuk bertandang ke tanah suci-Nya, menjemput kami mengunjungi kota yang sarat dengan sejarah. Jutaan insan lain di luar sana juga mendambakan jemputan Allah. Mudah-mudahan mereka juga akan memperoleh jemputan dalam masa terdekat.

Jam 3.15 pagi waktu Saudi (baru putarkan jam mengikut waktu Saudi), bas berhenti bagi membolehkan rombongan dipakaikan gelang tangan Muasasah bewarna Merah, gelang sebagai passport untuk memasuki Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Seingatku, ini kali kedua kami memakai gelang muasasah. Kali pertama ialah ketika menunaikan haji. Mutawif membahagi-bahagikan minuman dan makanan, dan perjalanan diteruskan dengan tazkirah padat intipati.

Hati berdebar mendekati Mekah
Tidak sabar mendepani Baitullah
Kami menapak dengan zikirullah
Insan kerdil di sisi Allah

Tatkala bas melintasi bawah gerbang Rehal Al-Quran, mindaku diterjah rasa kekaguman yang tahap gaban apabila teringat akan keunikan Kitab Al-Quran yang memiliki 114 surah tetapi hanya terdapat 113 surah mencatatkan kalimah Bismillah di permulaan surahnya, kerana di Surah At-Taubah tidak dimulai dengan kalimah tersebut. Aku bermonolog sendiri akan ilmu yang aku pelajari melalui Ustaz Harun (Likas) yang menceritakan rahsia bagaimana Allah menyembunyikan kalimah Bismillah … iaitu terdapat di Surah Al-Naml (semut) ayat 30 yang menyebut ,”Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan sesungguhnya isinya; menyebut Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.” Iaitu isi surat yang dihantar oleh Burung Hud-Hud kepada Ratu Balqis Negeri Saba dimulai dengan kalimah Bismillah. Cerita melibatkan jin yang cerdik bernama ‘Ifrit’, yang membawa singgahsana Ratu Balqis kepada Baginda Nabi Sulaiman hanya dalam sekelip mata.

Allah perkenankan cita-cita yang terpendam di hati.

Sebenarnya, sejak dulu lagi kami mengidam untuk menginap di hotel yang dekat dengan Masjidil Haram. Dan pernah isteriku berdoa di depan Baitullah agar diberi kemudahan untuk menginap di hotel terdekat dengan masjid. Akhirnya, dengan asbab Norma Baharu dan dengan asbab perkenan Allah, ianya telah terijabah di tahun 2022.  Hotel Hilton Suite Jabal Omar, terletak di belakang Hotel Darul Al Tawhid, di kedudukan 50 meter dari dataran Baitullah. Menginap di hotel sedekat itu telah lama kami idam-idamkan.

Memudahkan urusan 

Setibanya di lobby hotel, aku membeli 2 kad sim (260 rial - ada juga kad sim yang harganya SR90 tiap satu). Pembelian kad sim amat diperlukan  sebagai passport untuk memasuki masjid di Mekah dan Madinah yang terikat dengan SOP yang ketat, bukan dengan niat untuk melayari internet dan bukan juga untuk bertitok segala.

Urusan  membeli kad sim selesai untuk semua jemaah semasa azan subuh di kumandangkan. Dapatkah anda bayangkan betapa lama masa terbuang hanya semata-mata untuk urusan tersebut. Urusan bermula dari jam 2.37 pagi sebaik-baik sahaja tiba di hotel hingga menjelang subuh. Ini kerana, hanya dua orang penjual melayani seramai 35 orang jemaah. Mujurlah susasana diselitkan dengan ruang gelak tawa akibat bahasa ayam itek antara kami dengan penjual sim. Mengapa tidak didatangkan tiga atau empat orang penjual sim, sudah tentu urusan akan selesai lebih cepat. Juga adalah tidak adil untuk menyalahkan pihak agensi dan mutawif, kerana mereka sibuk dengan urusan bilik penginapan. Mujurlah di saat-saat akhir, salah seorang penjual sim menelefon seorang lagi penjual untuk datang ke hotel kami.

Kami telah memperoleh apilakasi TAWAKKALNA yang berfungsi umpama MySejahtera di Malaysia dan ditambah dengan satu lagi apikasi yang dinamakan Eatmarna. Ada juga ibrah yang aku pelajari dari kelewatann tersebut di mana sebahagian kecil jemaah mencari pot melelapkan mata di sekitar kerusi yang ada di sekeliling kami. Dan sebahagian yang lain  silih ganti berfoto berdekatan dengan pancutan air di tengah-tengah lobi. 

Solat subuh dan solat syukur di bilik 1905

Kami memasuki Bilik 1905 aras paling tinggi.  Tatkala penghantar barang menghantar kami ke bilik, beliau menyatakan dalam Bahasa Inggeris, "Kamu sangat bertuah,' sedangkan aku dan suriku belum mengerti apa-apa. Beliau menunjukcara bagaimana memperlahankan volume ketika azan dan iqamat dikumandangkan. Rupa-rupanya, ada speker yang dihubungkan terus ke bilik-bilik hotel dari Masjidil Haram. Usai memasuki bilik aku terkedu tidak terkata hingga mengalirkan air mata setelah menyelak langsir, aku menyaksikan Baitullah yang kami rindui terpampang di depan mata. Suriku menyertaiku untuk menyaksikan apa yang terpampang di depan mata dengan mata bergenang.

Mengintai Baitullah dari bilik 1905

Bilik corner dilengkapi dengan kemudahan dua buah katil single, almari besar, strika kain, peti televisyen, kerusi meja, kemudahan tempat memasak (dapur), tandas yang luas dan peti ais mega. Kami menunaikan solat syukur dan solat subuh berjemaah. Doa kubaca agak panjang antara isinya memanjatkan sejuta kesyukuran terhadap jemputan Allah, mohon diampunkan segala dosa-dosa, mohon diampun kedua ibu bapa kami, mohon di tempatkan di Jannatun Naim-Nya, mohon dipeliharan kesihatan dan dipermudahkan urusan ziarah sepanjang permukiman di dua kota suci, mohon agar Covid segera berlalu pergi, mohon dijemput untuk kunjungan berikutnya bersama sahabat, kenalan dan jiran.

Penghuni lain duyufurrahman Nurmultazam di hotel ini ialah : Halimah Norbidin, Salmah Estro dan Marianah Mansur menginap di bilik 911, Riandam Arifin, Anitah Mustafa dan Mustapa Asma (1311), Mohd Yassin Yusop dan Latipa Kenneth (1310), J Jasree Jun dan Ali amin (610), Rozian Moksan dan Mohammad Azim Ajilan (611), Admi Watilan, Siti Rohani dan Tausin Edan (1406), Mohd Noor Aharudin dan Liteni Boilil (1805), Ehasna Mappiare dan Mappiare (1706), Abd Rahman Palasin dan Nurita M Noor (1806), Mandolin Koyou, Siti Mariam Jiniel, Jumriah Sulle dan Kuili Ejoh (1604), Siti Zamilah Latip, Tarintan Said dan Riam Dauda (1410), Dg Salamah Sirat dan Siti Sulhayati (903), Suria Sahada dan Mohd Azhar Ariffin (1605), Sudirman Suti dan Sapiah Abidin (1705)

Kami turun ke ruang makan dan terkedu melihat makanan yang pelbagai. Dimulai dengan makanan mewah di beberapa meja yang dipenuhi dengan pelbagai roti, buah-buahan, telur dadar, jus buah-buahan, bubur, nasi, dan pelbagai lagi. Usai sarapan dan usai taklimat ringkas oleh Mutawif  anaknda Haji Ali Amin (kami memanggilnya anaknda kerana beliau membahasakan menyantuni diri ini dan suriku dengan ungkapan "AYAH IBU" kekadang AYAH BONDA). "Permit ayah dan bonda boleh diguna?" Aku  hanya  mengangguk sebagai isyarat tiada masalah mengenai permit.

Dengan kami memakai “earphone” sebagai alat pendengaran,  para Duyufurahman Nurmultazam meninggalkan perkarangan hotel dengan laungan, “Labaikallah …” Bagiku, labaikkallah yang aku lantunkan bukan sekadar meninggalkan segala larangan ihram tetapi nun jauh di lubuk sanubari, aku mahu bumi Mekah menjadi saksi dakwahnya rasulullah yang diagungkan oleh seluruh umat Islam. Labaikallah yang aku lakukan, andai tidak setanding sekurang-kurang mirip kepada usahanya Rasulullah s.a.w yang sentiasa kasih pada umatnya. Aku berazam untuk melakukan kebaikan di setiap peluang yang aku miliki bukan memilih hanya beberapa peluang.

Di depan hotel, anaknda Ali memberikan taklimat ringkas di samping membenarkan kami untuk berfoto. Kami berjalan dengan langkah teruja dan perlahan disebabkan laluan ke Masjidil Haram tidak sesak. Kami bergerak dengan didahului oleh pihak pengurusan Muasasah yang membawa dan menunjukkan surat kebenaran menunaikan umrah kepada pegawai masjid. Allah ya Allah, betapa kami disantuni dengan begitu hormat. Ini bukan kerana yang lain selain kerana perkenan-Mu Ya Allah. Di hujung jalan, aku melihat Hotel Anjum yang suatu ketika dahulu terlihat deretan bas merah yang membawa jemaah ke Masjid Aiysah untuk bermiqat. Kini di jalan tersebut, tidak terlihat kelibat bas-bas merah tersebut. Kami pernah beberapa kali menaiki bas tersebut untuk bermiqat di Tanaim selepas subuh. Tenang, santai dan tidak sesak dan selesai tahalul selewat-lewatnya pada jam sembilan pagi.

Terbius tatkala Baitullah Al Haram terpampang di depan mata

Apabila tiba di depan pagar masjid, kami membaca doa iktikaf.

“Allaahumma yaa rabbal baitil’atiiq aatiq riqaabanaa wariqaaba aabaa inaa waummahaatinaa wa ikhwaaninaa wa aulaadinaa minan naari yaa zaljuudi walkaramani walfadli walmanni wal’ataai wal ihsaan”.

Aku terbius tatkala Baitullah Al Haram terpampang di depan mata kepala sendiri. Allahu Akbar… Allahu Akbar… Allahu Akbar… Masya Allah …….  Allahu Akbar… Allahu Akbar… Allahu Akbar… Masya Allah ……. Saat memandang bangunan kiblat umat Islam seluruh dunia, secara spontan lidahku mengungkapkan “Ya Allah, ampunkan segala dosa-dosku Ya Allah, ampun dosa kedua ibu bapaku dan ampun dosa anak isteriku, ampun dosa orang-orang kampungku, dosa guru-guruku dan dosa seluruh umat Islam sedunia. Masukkanlah kami ke dalam syurga-Mu tanpa dihisab dan kurniakanlah kami dengan umrah yang maqbullah”. Tanpa disedari kolam air mata mulai bergenang tatkala mendepani Kaabah. Dada beralun dan hati semakin sebak, berdebar, gembira, teruja, terharu, sedih, sayu silih berganti, lantaran Allah masih memberi peluang kepadaku dan suriku berada di Baitullah-Nya. Duyufurrahman lelaki melepaskan ihram sebelah kanan bagi menampakkan bahu mereka. "Syukur Ya Allah, aku sauhkan segunung kerinduan di rumah-Mu yang suci ini. Aku telan ubat kerinduan yang sekian lama aku peram nun jauh di sanubariku."

Kami bergerak dalam kumpulan. Sebelum lampu hijau, kami mengungkapkan, “Sahaja aku tawaf umrah tujah keliling, Lillahi Taala.” Di pepenjuru Hajar Aswad, kami melaungkan istilam, Bismillahi Ya Allah Allahu Akbar sambil memulakan putaran dengan menjaga agar bahu kiri tetap menghadap Baitullah. Tersembul rasa kerdil yang tidak terungkap dengan linangan air mata sebak. Muncul rasa ‘khauf’ yang menusuk sehingga menggetarkan seluruh anggota badanku kerana Allah permudahkan kami memulakan tawaf tanpa ada himpitan dari para Duyufurrahman, tanpa perlu mengelak dari tersiku rakan sebelah dan tanpa terlanggar keting orang yang ada di hadapan kita. Jelas terpampang  dalam jarak yang terlalu dekat, Hajrul Aswad di depan mata tanpa halangan. 

Dalam Surah Ar-Rahman berulang-ulang kali disebut ungkapan ini (31 kali), “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”. Allah turunkan Rahmat-Nya untuk kita menikmati suasana tawaf dalam keadaan Norma Baharu yang tenang, mendamaikan.

Foto usai menunaikan tawaf

Tiap kali beristilam, jelas ternampak Hajrul Aswad yang begitu dekat dengan diri ini, yang mana sebelum ini ia dikerumuni oleh manusia. Semasa musim berhaji, Hajrul Aswad tidak dapat dilihat lantaran jutaan jemaah yang bertawaf. Sewaktu istilam, suaraku hampir tidak terkeluar dibaluti dengan getaran dari dada yang amat dalam. Aku kerap merasakan betapa kerdilnya aku ini di hadapan-Nya, dan aku dapat rasakan seolah-olah Allah merekod tiap pergerakan kita dan aku merasakan seolah-olah Dia memerhatiku yang menyebabkan aku terbius sehingga menumpahkan takungan air mata keinsafan. Aku beristilam setiap kali melintasi lokasi Hajrul Aswad, yang begitu jelas kelihatan pada mata kasarku. Sukar menukilkan rasa yang terpendam nun jauh di sanubari hamba-Mu yang berdosa ini.

Hajat di hati umrah maqbullah
Tujuh keliling tawaf di Baitullah
Keesaan Allah tampak terserlah
Kepada Allah aku berserah

Di pepenjuru Hajar Aswad aku merayu
Semoga dikekal iman di dadaku
Sehingga jasad terbujur kaku
Moga tidak dibolak-balik hatiku

Di pepenjuru Rukun Yamani tangan ditadah
Mohon diampun dosa yang sudah
Air jernih tumpah mencurah
Moga doa dimaqbul Allah

“Ya Allah yang memelihara Ka’bah ini. Kami memohon, Engkau ijabahlah segala doa-doa kami. Merdekakanlah diri kami, ibu bapa kami, anak-anak kami, saudara-saudara dan seluruh umat Islam dari siksa neraka. Mudahkanlah kepada kami ketika melalui Titui Sirat-Mu.  Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang mempunyai keutamaan dan anugerah, sejahterakanlah diri ini, hapuskanlah dosa kami, tinggikanlah darjat kami, perbaiki segala urusan kami, bersihkanlah hati kami, terangilah liang lahad kami, liang lahad anak isteri kami dan keluarga kami .”

Tiap kali beristilam di pepenjuru Hajrul aswad (lampu hujau), aku mendongak ke arah Kaabah tanpa jemu-jemu. Aku gambarkan dengam kenyataan yang kubaca yang mengatakan setiap langkah akan di beri 70 ribu pahala, diampun 70 ribu dosa, diangkat 70 ribu darajat.

Menurut penceritaan sejarah dan juga riwayat-riwayat, Hajarul Aswad datang dari syurga dan warna asalnya adalah putih berkilauan tetapi ia telah bertukar hitam dipercayai kerana dosa² yang dilakukan oleh manusia. Menurut riwayat daripada Sa’id bin Jubair r.a, daripada Ibnu Abbas, daripada Ubay bin Ka’ab r.a, menerangkan bahawa Hajarul Aswad telah dibawa turun oleh malaikat dari langit ke dunia.

“Maha suci Allah dan segala kepujian adalah kepunyaan-Nya, tidak ada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah; Allah Yang Maha Esa. Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan-Mu Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar. Selawat dan sejahtera ke atas kekasih-Mu Rasulullah.

Ya Allah ya Tuhanku! Daku lakukan ibadat ini kerana beriman kepada-Mu dan mengakui kitab-Mu, menyempurnakan janji dengan-Mu dan menurut perjalanan (sunnah) nabi-Mu dan kekasih-Mu, Nabi Muhammad.

Ya Allah! Sesungguhnya daku meminta kepada-Mu keampunan, kesihatan yang sempurna dan penolakan yang berkekalan daripada bala bencana sama ada pada agama, dunia dan akhirat serta mendapat kemenangan dengan beroleh Syurga dan keselamatan dari api neraka.”

Setiap pusingan kami melintasi Maqam Ibrahim yang di dalamnya terdapat bekas telapak kaki Nabi Ibrahim. Kisah berlaku sewaktu Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail diperintahkan Allah untuk membina semula Kaabah. Oleh kerana tapak binaan Kaabah itu tinggi, maka Nabi Ibrahim pun menyusun naik batu-bata dan Nabi Ismail pula mengutip batu-batu yang besar. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan berkata, Wahai Tuhan kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya Engkau Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui” - Surah Al-Baqarah, ayat 127.

Sejak awal lagi, aku membayangkan untuk merebut peluang berdoa di beberapa lokasi maqbul doa di Mekah. Binaan Kaabah yang dikatakan setinggi 39 kaki setengah. Di dalamnya terbina tiga tiang dengan keluasan memuatkan 50 orang dewasa dalam satu masa. Suhu paling sejuk di Makkah ialah 10 darjah (bulan Februari) manakala suhu paling panas ialah 49.8 darjah (bulan Mei - Julai). Setiap tahun seramai 15 juta umat Islam akan berziarah ke kota Mekkah. Ka’bah dinamakan sebagai Bayt al ‘Atiq merupakan bangunan yang dibangunkan pada masa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail setelah Nabi Ismail berada di Mekkah atas perintah Allah SWT.

1. Multazam. Multazam adalah tempat yang paling utama dan mustajab berdoa. Kawasan Multazam ni adalah jarak di antara Hajar Aswad dengan pintu Kaabah. Sekiranya anda berpeluang mendekati kawasan ini, jangan lepaskan peluang dan berdoalah sepuas-puasnya.

Sebagaimana sabda Rasulullah saw:

"Multazam adalah tempat dikabulkan doa. Tidak akan ditolak doa seorang hamba di Multazam melainkan akan dikabulkan" - HR Ahmad

2. Hijir Ismail. Hijir Ismail pula adalah tempat kedua menjadi pilihan selepas Multazam. Tempat ini juga jarang sekali tidak penuh. Hijir Ismail adalah termasuk sebahagian dari Kaabah, sebab itulah kalau sedang tawaf, kita perlu berjalan di luar Hijir Ismail. Berdoalah sebanyak-banyaknya jika berkesempatan ketika berada di sini, akan tetapi semasa Norma Baharu kawasan tersebut ditutup kepada jemaah.

3. Depan Pintu Kaabah. Depan pintu Kaabah juga adalah antara tempat yang paling mustajab berdoa. Selalunya memang sangat sesak keadaan di depan pintu Kaabah. Banyak sekali manusia berasak-asak di kawasan ini. Jika diberi rezeki oleh Allah untuk anda berada di depan pintu Kaabah, jangan lepaskan peluang untuk berdoa dengan bersungguh-sungguh. Insya Allah doa anda akan dimakbulkan oleh Allah swt.

4. Rukun Yamani. Di Rukun Yamani dikatakan di sini Allah swt mewakilkan seramai 70 Malaikat untuk mengaminkan doa para jemaah.

5. Belakang Maqam Ibrahim. Di belakang Maqam Ibrahim adalah tempat kebiasaannya para jemaah melakukan solat sunat sebaik sahaja habis melaksanakan ibadah tawaf. Di sini juga adalah antara tempat mustajab berdoa. Maka perbanyakkanlah doa ketika anda berada di Maqam Ibrahim.

Apabila binaan sudah meninggi, Nabi Ismail pun menghulurkan batu besar yang cukup tinggi untuk diambil oleh ayah beliau Nabi Ibrahim sehingga siap pembinaannya. Dengan kehendak Allah SWT sebaik sahaja Nabi Ibrahim meletakkan kakinya di batu besar tersebut maka terlekatlah tapak kaki Nabi Ibrahim seperti yang dapat kita lihat pada hari ini. Peristiwa ini menunjukkan betapa besar kuasa Allah SWT dan sebagai peringatan kepada seluruh umat manusia.

Bekas kedua tapak kaki Nabi Ibrahim masih jelas kelihatan dan saiznya 27cm (panjang), 14cm (lebar) dan 10cm (dalam). Untuk memelihara makam ini maka sebuah kandang besi berbentuk sangkar burung telah dibina dan bekas tapak kaki baginda telah disadur dengan perak.

Setelah selesai pembinaan Kaabah maka Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim memanjat Jabar (bukit)  Qubbis, menyeru umat manusia menunaikan haji di Baitullah. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan serulah umat manusia untuk datang mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke (Rumah Allah) dengan berjalan kaki, dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh” - Surah Al-Haj, ayat 27.

Allah Ya Allah, tujuh pusingan dilakukan dengan tenang dan damai, sehingga aku dapat rasakan begitu sekejap kami lakukan tawaf pada kali ini. Aku berfikir, inilah ibrah dari pendemik Covid.

Berundur aku ke Multazam
Tangan kudepa kutanam azam
Sambil berdoa kuteguk zam-zam
Datang kesekian kalinya penuh iltizam

Saie dilakukan tujuh ulangan
Simbolisasi Siti Hajar dalam ingatan
Kasih ibu jadi pengajaran
Mencari air meredakan kehausan

Foto berlatarbelakang Baitullah Al Haram

Doa yang tidak main-main

Usai Tawaf, kami melakukan solat sunat tawaf di Multazam. Itulah rokuk, sujud pertamaku di Masjidil Haram. Mutawif Haji Ali Amin, memimpin doa yang agak panjang dan mengharukan. Terdengar menyelinap singgah ke gegendang telinga ini, isak tangis perlahan. Selepas itu aku memencilkan diri dan membaca doa-doa berikut:

“Ya Allah Ya Tuhanku! Sesungguhnya rumah ini rumah-Mu, Tanah Haram ini milik-Mu, keamanan ini kepunyaan-Mu, daku ini hamba-Mu, dan anak hamba-Mu di sini tempat orang berlindung dengan-Mu daripada api neraka, maka haramkanlah daging kami dan kulit kami daripadanya. Aku bersyukur kepada-Mu, yang telah menjemput aku dan isteriku ke rumah-Mu ini. Kami mohon, jangan Engkau jadikan ini kunjungan kami yang terakhir kali, jemputlah kami untuk kunjungan yang berikut-berikutnya.”

“Ya Allah Ya Tuhanku, Engkau ampunkanlah dosa-dosaku, dosa anak isteriku, dosa kedua ibu bapaku, dosa guru-guruku dan dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat. Engku mudahkan segala urusanku dan Engkau peliharakanlah kesihatanku. Engkau jadikanlah anak-anakku, anak-anak yang cemerlang dunia akhirat, anak yang bertaqwa dan anak yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya. Hidupkan dan matikanlah aku dalam keadaan iman yang sempurna. Hindarkanlah seluruh rakyat Malaysia terutama keluargaku dari Covid dan angkatlah ia ke langit dunia-Mu. Jadikanlah kami cintakan iman, hiaskanlah iman itu di hati kami dan jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang benci kepada kekufuran, derhaka dan maksiat, jadikan kami dari golongan orang-orang yang bijak.”

“Ya Allah ya Tuhanku! Peliharakanlah diriku, keluargaku, ibu bapaku daripada azab-Mu di hari yang Dikau bangkitkan hamba-hamba-Mu. Ya Allah ya Tuhanku kurniakanlah kepadaku dan keluargaku syurga tanpa dihisab.”

Itu adalah antara rintihan lisanku usai solat sunat tawaf di Multazam, dengan tangan kutadah ke atas langit terbuka dan dengan lelehan air mata keinsafan. Aku tidak berdoa dengan mata meliar ke seluruh dataran Baitullah, malahan tertumpu dengan khyusuk. Kerana doa yang sedemikaian adalah doa main-main mengikut Prof Haji Mohd Kamil Ibrahim, penulis buku terlaris “Usahawan Akhirat” dan beberapa buku-buku lain.

Usai meneguk air zam-zam, kami beredar ke laluan saie dengan memanjat sedikit, kerana lantai Saie di aras bawah belum dibuka. Situasi di laluan saie longgar dan tidak sesak. Jarak antara kedua bukit tersebut ialah lebih kurang 420 meter. “Sahaja aku mengerjakan saie umrah, tujuh kali ulang-alik kerana Allah Taala.”

Aku berdoa mengikut apa yang dilisankan Mutawif Haji Ali Amin:“Bismillahirrohmaanirrohiim. Innas safaa walmarwata min sya’aairillah. Faman hajjal baita awi’tamara falaajunaaha ‘alaihi ayyatawaafa bihimaa wamantatawwa’akhairan fa innallaaha syaakirun ‘aliim”. Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Safa dan Marwah sebagian dari syiar tanda kebesaran Allah. Maka barang siapa yang beribadah haji dan umrah ke Baitullah maka tidak ada dosa baginya mengerjakan saie’ di antara keduanya. Dan barang siapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaan hati maka sehungguhnya Allah Maha Penerima Kebaikan lagi Maha mengetahui.

DOA KETIKA BERADA DI SAFA DAN MARWAH SAMBIL MENGHADAP BAITULAH

“Allah maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Segala puji bagi Allah, Allah Maha Besar, atas petunjuk yang diberikan-Nya kepada kami, segala puji bagi Allah atas kurnia yang telah dianugerahkan-Nya kepada kami, tidak ada Tuhan selain Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan pujian. Dialah yang menghidupkan dan mematikan, pada kekuasaan-Nya lah segala kebaikan dan Dia berkuasa atas segala sesuatu. Tiada Tuhan selain Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya, yang telah menepati janji-Nya, menolong hamba-Nya, dan menghancurkan sendiri musuh-musuh-Nya. Tidak ada Tuhan selain Allah dan kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya dengan memurnikan (ikhlas) kepatuhan semata kepada-Nya walaupun orang-orang kafir membenci.”

Di lokasi lampu hijau, jemaah lelaki sunat berlari anak dan berdoa : “Rabbigfir warham wa’fu watakarram watajaawaz’ammaa ta’lam, innaka ta’lamu maalaa na’lam. Innaka antallaahul a’azzul akram”. Ya Allah ampunilah, sayangilah, maafkanlah, bermurah hatilah dan hapuskanlah apa-apa yang Engkau ketahui dari dosa kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui apa-apa yang kami sendiri tidak tahu. Sesungguhnya Engkau Ya Allah Maha Tinggi dan Maha Pemurah.

Usai tamat saie di Marwah, aku bertahalul dengan berdoa, “Ya Allah, aku memohon semoga Engkau berikanlah cahaya di akhirat nanti seperti mana sejumlah rambut yang aku gugurkan,”. Aku memberikan giliran untuk suriku menggunting sedikit rambut sambil membaca doa tahalul.

”Ya Allah, kami memohon agar diterima doa kami, maafkan dan ampunkanlah kami. berilah pertolongan kepada kami untuk taat dan bersyukur kepada-Mu. Janganlah engkau jadikan kami bergantung kepada selain dari-Mu. Matikanlah iman dan Islam secara sempurna dalam keredhaan-Mu. Ya Allah, rahmatilah kami sehingga mampu meninggalkan segala kejahatan selama hidup kami, dan rahmatilah kami sehingga tidak berbuat hal yang tidak berfaedah. Kurniakanlah kepada kami pandangan yang baik terhadap keredhaan-Mu wahai tuhan yang Maha Pengasih dari segala yang pengasih.”

Umpama Lapangan Terbang

Kami berjalan berbondon-bondon dengan langkah perlahan dan melalui laluan yang agak jauh kerana banyak sekatan-sekatan hadangan kiub plastik berwarna hijau, sambil  memerhatikan situasi yang amat mengesankan. Sentiasa ada pergerakan aliran keluar masuk Jemaah. Kumpulan yang memakai kain ihram, sudah tentu mereka yang akan melakukan tawaf, sedang yang lainnya berkemungkinan balik ke kediaman masing-masing. Yang berpakaian seragam, bertugas membersihkan masjid. Yang berpakaian seragam ala-ala tentera, bertugas mengawal situasi.

Matahari sedikit panas ketika kami bergerak meninggalkan kawasan dataran. Amat teruja, pintu masuk ke bangunan yang menempatkan hotel ada mesin scanner barang. Di legar ada kedai Dindwood, kedai kasut, kedai minyak wangi, di aras satu ada deretan beberapa kedai dan di aras dua ada kedai makan dan lain-lain. Di lorong masuk ke hotel juga ada mesin scanner barang.

Tiba di bilik, mandi, menanggalkan kain ihram dan menyarung jubbah. Sebelum zohor, menemankan isteri bergabung dengan kumpulan puan Yati, aku bergerak bersama Tuan Haji Mohd Yassin ke pintu yang agak jauh. Beroleh ruang solat yang menghadap Baitullah. Usai solat, kami bergerak balik ke hotel penginapan untuk makan tengah hari. Ketika bergerak untuk solat asar, aku pastikan suriku bergerak dalam rombongan, manakala aku bergerak sendirian. 

Usai mandi petang dan memakai pakaian jubah, kami meninggalkan bilik lebih awal untuk solat maghrib. Rutin biasa yang kami lakukan ialah membaca doa di balik pintu. "Ya Allah, selamatkan kami dalam perjalanan ke Masjid-Mu, izinkan kami beriktikaf dan berdoa di dalamnya. Peliharakanlah keamanan kami sepanjang berada di masjid-Mu." Kami menunggu di ruang bawah untuk membolehkan isteriku menyertai Hajah Halimah dan rakan-rakannya. Hati tersentuh dengan Rahmat Allah yang memberi aku peluang untuk marathon solat di masjid-Nya pada hari itu.

Balik dari masjid, jam 8.30 malam, aku singgah di kedai BinDawood untuk hanya membeli Red Plums dan Yellow Plums dan minuman Laban, Jambu Batu dan Champoin Maamoul. Walhal, terlihat olehku banyak buah-buahan seperti pisang, epal, buah delima, kiwi dan pelbagai lagi.

Usai makan malam, sebelum tidur, aku setkan jam loceng aku setkan tepat 3.00 subuh keesokan harinya. Sebelum melabuhkan tirai malam, kami saling ingat memperingatkan untuk membaca doa sebelum tidur, surah Al-Iklas 3 kali, Al-Falaq, An-Nas dan membaca kalimah syahadat.
 
Itinerari Isnin Hari ketiga 14 Februari 2022 - 12 Rejab 1443 H (acara bebas)

Syukur Ya Allah, aku bangun jam 1.30 dinihari (walhal jam loceng disetkan 3.30 pagi), lantas membaca doa bangun tidur, “Alhamdulillah hilazi ahayana ……….. “. Memulakan itinerari pagi ini dengan memasak air panas, sarapan dua keping roti. Kami teruskan rutin kami dengan membaca doa di balik pintu. “Ya Allah, mudahkanlah perjalanan kami menuju ke Masjid-Mu, kekalkan wuduk kami sehingga kami selesai beriktikaf di masjid-Mu. Jagalah lisan dan jagalah perilaku kami dan permudahkanlah kami untuk bersolat di dekat Baitullah-Mu”.

Jam 3.10 pagi, kami bergerak dengan berpegangan tangan (aku memakai sarung tangan untuk mengelak batal wuduk). Setibanya di masjid, Allah Ya Allah, semua pintu masuk masih ditutup, kecuali pintu umrah. Kami berundur ke kawasan ATM Bank Al Raji  memerhatikan situasi sekeliling yang masih lengang. Kami mencapai dua buah kerusi untuk duduk santai sambil memerhatikan pintu cek point menuj ke dataraan Kaabah. Di pintu tersebut, pemeriksaan Permit Umrah diperketatkan. Setiap Para Duyufurrahman memperlihatkan aplikasi Tawakalna mereka. Ada juga kalangan mereka yang gagal meloloskan diri di pusat tersebut. Lelaki andai tidak melilit ihram, sah tidak dibenarkan masuk. Aku teruja memperhatikan pembersih berpakaian hijau bertugas membuat semburan.

Usai terlihat kumpulan Puan Yati di luar pusat pemeriksaan, aku menghantar suriku untuk menyertai kumpulan duyufurrahman wanita, kerana kaum hawa lebih mudah memasuki masjid berbanding kaum Adam.  Jam pada masa itu mendekati 4.00 pagi. 

Aku mengajak sahabat umrahku, Tuan Haji Mohd Yassin ke pintu 91, kami menaiki eskalator yang membawa kami ke Roof Top setelah menyelak lenggan jubbah bagi memperlihatkan gelang merah yang kami pakai kepada petugas di cek point. Suasana di Roof  Top masih lagi lenggang. Oleh kerana masih dalam proses pengubahsuaian, pemandangan terus ke Baitullah terhalang oleh papan-papan dan tembok.

Usai solat tahaiyatul masjid, aku mengisikan masa sepertiga malam dengan solat tahajud, solat taubat dan solat syukur. Aku renung-renungkan maksud Surah Al Insan ayat ke 25 dan 26 berbunyi, “Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang. Dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepada-Nya dan bertasbihlah kepada-Nya pada bagian yang panjang di malam hari.” Aku basahkan lisanku  dengan dzikir dan diakhiri dengan solat sunat witir, sebelum solat subuh.

Kisah lucu

Paginya, kami balik ke hotel penginapan.  Kami tersilap pilih memasuki ruang makan. Terpilih ruang makan Jemaah Uzbekistan lantaran dikaburi oleh hampir 50 resepi antarabangsa. Usai mengisi makanan ke dalam pinggan, aku bergerak dari hujung ke hujung, namun aku gagal mengesan sahabatku Tuan Haji Mohd Yassin. Akhirnya dua orang duyufurrahman Uzbekistan mempelawa aku menyertai mereka, berkemungkinan mereka menyedari ada insan yang ganjil tersesat dalam kandang mereka. Kami hanya berbahasa ayam itek sambil meneruskan menghadap makanan.

Semasa solat zohor dan asar, aku bergerak solo setelah menghantar suriku ke pintu umrah. Seperti biasa, di cek point, aku menyelak lengan jubbah bagi memperlihatkan gelang merah yang aku pakai kepada petugas di cek point. Usai asar, aku bergunting pendek (SR15) sebelum balik ke bilik untuk memakai kain ihram. Kami berdua berjaya menguruskan permohonan kelulusan permit tawaf pada aplikasi tawakalna.

Tawaf sunat

Jam 5.00 petang, kami bergerak ke lantai Baitullah atas kelulusan permit yang telah kami peroleh. Anaknda Ali merapat dengan rasa kerisauan, "Ayah dan bonda punya permit ok kah? Aku menjawab ringkas. Petugas Muasasah mengiringi kami sehingga ke cek point yang kedua. Ini merupakan sedikit gambaran lain, betapa hanya mereka yang ada permit dibolehkan untuk bertawaf. Ini gambaran kecil, betapa hanya sebilangan kecil yang ada permit (buku catatan amal) sahaja yang akan dibenarkan memasuki Syurga Allah, bukan aplikasi Tawakalna rekaan manusia biasa.

Sebelum memasuki pintu  masjid, kami melalui pintu lantai bawah yang dikawal rapi (pintu 81, 82 dan 83 yang masih belum dibuka) dengan mata bergenang. Di situ kami pernah tidur bermalam, suatu kenangan yang sukar untuk digarapkan. Aku berbisik dalam hati kecilku, "Ya Allah, kembalikanlah situasi ibadah umrah kami kepada situasi asal seperti situasi sebelum pendemik." 

Sebelum lampu hijau, kami mengungkapkan, “Sahaja aku tawaf sunat tujah keliling kerana Allah Taala.” Di pepenjuru Hajar Aswad, kami melaungkan Bismillahi Ya Allah Allahu Akbar sambil memulakan putaran dengan menjaga agar bahu kiri tetap menghadap Baitullah. Langkah dimulai dengan Istilam iaitu Isyarat Tangan Mengucup Hajarul Aswad bermula di sudut Hajarul Aswad (Lampu Hijau) dengan sebak di dada.… 7 pusingan aku layan perasaan yang cukup dalam, suara yang berbalam-balam dan sayu yang mencengkam. Panas dek sinaran matahari petang tidak terasa, lantaran menghayati misi tawaf yang penuh dengan erti yang mendalam dan membekas di hati sanubari ini. 

Di lokasi Pancur Emas pada pusingan pertama aku berdoa untuk diriku sendiri, berdoa untuk isteri di pusingan kedua, berdoa untuk anak syurga di pusingan ketiga, berdoa untuk anaknda yang mengajar MRSM di pusingan keempat, berdoa untuk anaknda yang mengajar di SMK Bahang di pusingan kelima, berdoa untuk anaknda di Kementerian Perakunan di pusingan keenam, berdoa untuk ibu bapa, mertua dan rakan-rakan di pusingan ketujuh. Antara kandungan doa ialah memohon diampun segala dosa diri sendiri, anak isteri, ibu bapa dan keluarga, mohon dihimpun di dalam Firdaus-Nya dan dimasukkan ke dalamnya tanpa dihisab, dipermudahkan melalui titi sirat-Nya, diperbolehkan meminum air di telaga Al Kausar, dihidup dan dimatikan dalam keadaan iman yang sempurna dan dijemput kembali mengunjungi Al Haram dalam masa terdekat.

Mataku tidak terlepas dari memandang setiap sisi Baitullah. Misi terlangsai pada jam 5.54 petang namun kami tidak berganjak dari dataran masjid untuk menanti waktu solat maghrib dan isyak. Semasa menggetel tasbih digital bagi meneruskan misi bertasbih, aku teringat ungkapan yang dihantar melalui alpiksi Whatsapp yang lebih kurang berbunyi, andai bersedih carilah Allah bukan cari rakan taulan, andai bermasalah duduklah di sejadah bukan ke kelab hiburan dan andai ada masa terluang basahilah lisan kita dengan Al Quran bukan melayari WhatsApp, berSMS dan lain-lain.

Sebelum azan maghrib, anaknda Mutawif Ali Amin meminta kami merapat sedekat-dekatnya dengan Baitullah untuk membentuk saf. Allah Ya Allah, aku meloloskan diri untuk berada di saf keempat depan Pintu Baitullah. Usai solat, kami bertebaran kerana kawasan tersebut diguna untuk Jemaah untuk bertawaf. Mutawif berusaha keras untuk menghimpun semua Jemaah lelaki Nurmultazam agar tidak terpisah. Aku terima voice mail dalam nada yang kerisauan, “Ayah di mana, kita kumpul lagi di tempat tadi,” Aku melaporkan kedudukan terkini kepada beliau.

Tiada waktu Tahrim (larangan solat)

Wahai sahabat seiman, seperti yang saya katakan sebelum ini, misi keenam saya ialah melakukan ibadah yang jarang dilakukan di tanah air. Sahabat, seandainya anda menjejakkan kaki ke Masjidil Haram, jangan tinggalkan solat-solat sunat selepas menunaikan solat fardu, kerana di sini tiada waktu tahrim. Kita boleh melakukan apa-apa solat sepanjang masa dibandingkan di tanah air, kita tidak boleh menunaikan solat selepas solat subuh, tidak boleh solat selepas solat asar, kecuali solat qada. Hal ini tidak terpakai di Masjidil Haram, asalkan bukan solat tahajud di siang hari atau solat dhuaa di malam hari. Usai solat wajib 5 waktu, jangan terburu-buru meninggalkan masjid kerana kita diperbolehkan untuk meneruskan solat-solat sunat, umpamanya solat syukur, solat taubat, solat qadha, solat hajat dan lain-lain solat.

Usai azan isyak, sekali lagi kami membentuk saf dekat Baitullah, namun tidak sedekat semasa solat maghrib. Usai solat, kami terpisah kepada beberapa kumpulan. Aku berWhatsApp dengan Mutawif Ali. Beliau menghantar Voice Mail, “Ayah saya balik ke hotel untuk mengurus jemaah yang akan belanja di Pasar Kakiyah malam ini.”  Kami bedua tidak menyertai untuk berbelanja di Pasar Kakiyah.

Beroleh panggilan ayah untuk kali kedua

Semasa kami bergerak ke hotel dalam kumpulan kecil, aku menerima WhatsApp dari seseorang. Haji Ahmady Ali Uthman, “Ayah di mana, Ahmad tunggu ayah di dekat antara tandas dan Hotel Dar Al Taqwa.” Aku  ke lokasi pertemuan yang dijanjikan, setelah berpisah dengan kumpulan kecil tadi. Haji Ahmady Ali Uthman dan temannya mengucup dan memelukku sambil bertanyakan khabar masing-masing. “Ayah apa khabar, Ummi apa khabar”. Allah Ya Allah, beliau bukan datang dengan tangan kosong, tetapi membawa bakul berisi buah tangan. Amat terharu, belum pun sampai beberapa hari aku menyerahkan buah tangan kepada seseorang, Allah gerakkan untuk insan lain menunaikan secara “cash”, menghulur ole-ole kepada kami berdua. Kami berbual agak lama, sebelum mengiringi aku hingga ke pintu hotel. Aku berpesan, “Nanti kita jumpa semula sebelum ayah berangkat ke Madinah, sebab ayah ada buah tangan untuk Ahmad.” Sebelum berpisah, kedua-dua mereka mengucup tanganku.

Usai balik ke hotel,  aku singgah di Bindawood untuk membeli Goody Mayonnaise (memang agak mahal SR12.00 tetapi sedapnya berbeza dengan yang terjual di Malaysia) membeli Yaumi Bread  yang berlainan rasanya dari apa yang ada di Malaysia, membeli beberapa botol minuman termasuk Pomegranate (Buah Delima) dan membeli Ulker Deluxe iaitu biskut yang berintikan kurma (juga sedap). Kami menuju ke ruang makan. Makan malam yang mewah memikat selera makan kami. 

Usai tiba di bilik, aku membuka oel-ole dari anaknda Ahmady Ali Uthman iaitu Sejadah Raudah  (Minwal Al Madinah Al Munawarah Premium Raudah Mat) yang bertenun indah dan menyerahkan selendang kepada suriku.

Kebiasaaan di tanah air kami teruskan ketika berada di Haram. Kami berkongsi beberapa cerita manis semasa berada di dataran Baitullah, mendepaninya di depan mata dan solat sedekat-dekatnya dengan batu yang berselimut hitam. Sebelum tidur aku membaca doa sebelum tidur, membaca ayat Qul, Al Falak, An Nas, membaca tasbih, mambaca dua kalimah syahadah, membaca doa yang kita baca ketika tahayat akhir dan diakhiri dengan Ayat Kursi.

Itinerari Selasa 15 Februari 2022 - 13 Rejab 1443 H (puasa sunat - Ziarah luar pertama - miqat)

Kami terjaga jam 2.20 dinihari, membaca doa bangun tidur, “Alhamdulillah hilazi ahayana ……….. “. Aku memasak air panas, mandi dan bersiap-siap. Sahur tiga keping roti dan buah Red Plum. Lantaran atur cara program yang padat, aku tidak sempat puasa sunat Isnin tetapi masih sempat puasa sunat Hari Putih pada hari ini.

Rutin biasa, aku tadahkan tangan di balik pintu berdoa agar pemergian kami berdua diredahi dilindungi Allah. “Ya Allah, hari ini kami akan mengejakan umrah semata-mata kerana-mu Ya Allah, semata-mata kerana-Mu Ya Allah, semata-mata kerana-Mu Ya Allah, lindungi kami dalam perjalanan, kurniakan kami dengan umrah yang mabrur dan kekalkan wuduk kami sehingga kami selesai beriktikaf di masjid-Mu.” 

Kami bergerak ke masjid pada jam 3.55 pagi. Aku genggam erat tangan suriku, kerana aku memakai sarung tangan. Pagi ini, suriku tidak menyertai rakan-rakan lain malah mengikuti langkahku ke pintu 84. Apabila tiba depan pagar masjid, kami membaca doa iktikaf. Kami hanya menunjukkan gelang merah sebagai passport memasuki masjid. Gelang Merah muasasah, itu yang kami pakai. Di masjid kami juga terjumpa dengan pemakaian gelang yang warna yang berbeza mengikut muasasah masing-masing.

Suasana di dataran begitu mendamaikan tatkala menuju ke pintu 84.  Suasana ruang solat lantai satu masih kosong, di mana kami memilih ruang solat yang bersebelahan. Memulakan marathon solat, didahului dengan solat tahiyatul masjid, diakhiri dengan solat witir, dan tilawah.

Menjejaki tempat bersejarah

Jam 7.40 pagi, kami dikehendaki berkumpul di lobby hotel. Aku orang yang pertama menaiki bas bagi memilih kerusi yang strategik bagi membolehkan membuat rakaman foto pergerakan duyufurrahman, seolah-olah kerusi itu telah aku tempah sejak berada di Sabah lagi.

Bas meluncur menuju ke Jabal Tsur dengan pengisian tazkirah yang padat. Antaranya, sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah, terdapat beberapa kumpulan berhijrah secara sembunyi mendahului nabi. Akan tetapi Saidina Uthman hijrah secara terang-terangan. Ketika tawaf wada, beliau tawaf dengan berpakaian baju perang dengan menghunus pedang, penuh nekad dan tekad untuk berhijrah ke Madinah.

Foto dengan latar belakang Jabar Tsur

Setibanya di Gunung Tsur, aku merakam foto kenangan secara sukarela di kawasan tersebut. Gelagat peniaga jalanan menarik perhatianku. Rasanya, mereka ini bukan warga Arab Saudi. Mereka mencari sesuap nasi, harus disantuni dan disokong demi sesuap reziki. Anaknda mutawif Ali Amin merapat dan mula bersuara, "Ayah, mari ambil gambar. Kita belum ambil foto berdua." Kami berswafoto sakan di kawasan berkenaan.


Bas bergerak ke Jabar Rahmah.

Bas kami bergerak ke Arafah lokasi wukuf jemaah haji. Arafah terletak 25 kilometer di selatan Kota Mekah. Di tengah-tengahnya terdapat sebuah bukit yang dinamakan Jabal Rahmah yang sinonim sebagai lokasi pertemuan Adam dan Hawa. Sinopsis ceritanya bermula dengan penciptaan Nabi Adam yang dibangsakan sebagai bangsa Suryani seperti Nabi Syith, Nabi Idris dan Nabi Nuh. Jasad Nuh asal dari tanah yang diambil dari bumi Allah. Hanya Malaikat Izrail yang berjaya mengambil 3 unsur tanah di muka bumi Allah setelah kegagalan Malaikat Jibrail, Malaikat Mikail, dan Malaikat Israfil gagal berbuat demikian. 

Menyedari dirinya keseorangan, Adam memohon Allah seseorang sebagai teman. Allah ciptakan ibu Hawa dari tulang rusuk kiri Adam, akan tetapi mereka tidak boleh bersatu selagi tidak melunaskan mahar. Mahar yang dipinta ialah mengucap dua kalimah syadah.

Di kawasan tersebut, dibangunkan sebuah masjid Unik iaitu Masjid Namirah (Masjid Ibrahim) yang sebahagiannya terletak di tanah halal, manakala bahagian lainnya terletak di tanah haram.  Masjid Namirah  lokasi baginda Nabi Muhammad telah menunaikan solat jamak takdim zohor asar sebelum memasuki Arafah. 

Iblis mengoda Adam dan Hawa menyamar sebagai seorang tua menangis di luar pintu Syurga. Usai gagal memujuk burung merak yang gagal mencari pemegang kunci Syurga, iblis melompat masuk ke dalam mulut ular untuk memujuk Hawa memakan buah pokok larangan yang menyebabkan mereka berdua dikeluarkan dari Syurga ke bumi. Mereka dihantar ke lokasi yang berbeza. Nabi Adam mendapati badannya gelap tidak seperti ketika berada di Syurga. Allah memerintahkan agar Adam berpuasa pada 13, 14 dan15 hari bulan (bulan purnama). Puasa ini dinamai dengan Puasa Putih di mana akhirnya tubuh baginda kembali seperti sediakala.

Sebahagian jemaah Nurmultazam memanjat bukit Rahmah sedang kami hanya berlegar di lokasi kaki bukit memeriahkan jual beli di kawasan tersebut. Aku membeli tiga jenis kurma dan beberapa keping songkok. Sebelum bergerak, sempat membelikan suriku ais kerim Mekah.

Jam 10.41 pagi, bas bergerak ke Mudzalifah, lokasi mabit (persinggahan sekejap) bagi jemaah haji. Mudzalifah, 18 kilometer dari kota Mekah, tempat di mana Baginda Rasulullah meminta sepupunya al-Fadhal bin Abbas memungut batu untuk tujuan melontar. Baginda serta sahabat sempat membina sebuah masjid yang dinamakan Masjid al-Masy’aril Haram berhadapan dengan Bukit Quzah.

Bas kami meluncur ke Mina. Mina terletak kira-kira 5 kilometer dari kota Mekah. Semasa supir bas memperlahankan pemanduannya, aku berteka-teki sendiri di mana lokasi Rasulullah menyembelih sejumlah 63 ekor unta dengan tangan baginda sendiri, manakala selebihnya 37 ekor disembelih oleh Ali bin Abi Thalib. Usai selesai menyembelih baginda bertahalul dengan mencukur rambut baginda. Selanjutnya, baginda ke Mekah untuk melakukan Tawaf Ifadah dan kembali semula ke Mina untuk mabit 11, 12 dan 13 Dzulhijah. Baginda mengizinkan beberapa pengikutnya untuk nafar awal pada 12 Dzulhijjah, kerana mengutamakan warga emas yang kurang kudrat serta pengiring mereka untuk bergerak lebih awal meninggalkan tanah Mina. Usai solat subuh 14 Dzulhijah, baginda dengan isteri-isteri baginda kecuali Saffiyah, melakukan tawaf Wida dan kembali ke Madinah. Tiga bulan selepas itu, 8 Jun 632 Masihi (12 Rabiul Awal 11 Hijrah) baginda telah wafat.

Jabbar Tsur, bukit tempat Rasulullah bersembunyi

Buku Kaedah Khusyuk Berhaji dan Berumrah (Prof Madya Dr. Azaharuddin Sahil) mencatatkan keberadaan di Mina dikaitkan dengan mabit atau bermalam. Waima jemaah haji telah berada di Baitullah ketika siangnya, mereka perlu kembali ke Mina pada malamnya. Kemakbulan berdoa di Mina (lokasi mustajab doa) perlu disikan dengan tilawah, munajat, solat, dzikir dan tasbih. Di situ juga terdapat tiga jamrah iaitu Jamrah Al Sughra, Jamrah Wosta dan Jamrah Aqabah (kubra). Jarak antara Jamrah Al Sughra dengan Jamrah Wosta ialah 156 meter, manakala jarak antara Jamrah Wosta dengan Jamrah Aqabah ialah 116 meter. Jamrah Al Sughra dan Jamrah Wosta terletak di padang terbuka manakala Jamrah Aqabah hanya setengah lingkaran kerana lokasinya terletak di kaki bukit.

Bas kami bergerak ke Ji'ranah untuk menyarung kain ihram bagi melakukan umrah kedua. Keadaan tandasnya amat bersih dan aku boleh memilih tandas yang aku kehendaki. Hanya beberapa peniaga yang berjual-beli di kawasan tersebut. Suasana di dalam sepi dengan tidak sampai 20 orang Jemaah solat dan bertukar pakaian. Sempat solat tahaiyatul masjid, solat sunat ihram, solat taubat dan solat syukur. Di luar masjid aku membeli sebiji buah delima SR5.00 sahaja dibandingkan di Kota Kinabali RM21.00

Mengenang jasa ayahku

Aku niatkan ibadah umrah ini untuk arwah ayahku, kerana arwah ibuku telah bergelar hajjah. Aku bermonolog sendirian, tatkala membayangkan saat-saat kekalutan tatkala ibuku membanting tulang ketika menjadi ketua keluarga setelah arwah ayahku meninggal dunia ketika aku baru berusia sebelas tahun.

Pelbagai kerja dilakukan oleh ibu, seperti mengambil upah menanam padi, menuai padi, menangguk udang sungai, tumpang menjual ragi, sedang aku berada berjauhan menuntut ilmu di Pulau Pinang atas biaya Yayasan Sabah. Namun aku berasa puas, selepas berkerjaya, kami berdua adik beradik berjaya membalas jasa bakti ibu kami dengan membiayainya untuk menunaikan fardu haji tanpa bergolok-bergadai menjual harta peninggalan arwah ayah.

Pengorbanan ayahku

Ayahku menemui pencipta-Nya tatkala aku berusia 11 tahun (sekolah di darjah 5). Aku masih terlalu mentah ketika itu, almaklumlah orang kampung. Meningatkan arwah, aku bermonolog buat sekian kalinya. Betapa, belum pun puas aku bermanja dengannya …… dia pergi ke pangkuan ilahi. Bukan aku sekeluarga sahaja yang kehilangan, malah seluruh kejiranan kami yang merupakan adik beradik awrah dan ipar duai beliau. Mana tidaknya, keseluruhan kejiranan tidak lekang menerima infaq beliau. Rutin paginya membuka dua lukah yang di pasang di persisiran sungai. Lebihan ikan akan ditempiaskan kepada kejiranan selain dari beberapa ekor kucing kesayangannya. Begitu juga dengan infaq lain umpama tanam-tanaman. Arwah tidak kedekut dengan sedekah. Andai memetik sayuran yang ditanam di Kampung Semaji atau apa sahaja buah, beliau ringan tangan untuk menghulur kepada tetangga, umpamanya buah tarap, cempedak, nangka dan nenas, malahan buah itulah yang menjadi juadah surau kampung ketika di musim tadarus Quran.

Sepanjang ingatanku, ayahku seorang yang sangat kuat bekerja. Seawal pagi mengayuh basikal ke kebun sayur di Kampung Semaji yang terletak 1 setengah kilo meter dari kampung, dan meneruskan perjalanan ke Kampung Gadong jalan Kimanis untuk membersih getah. Sepulangnya ketika hampir maghrib membawa sebahagian sayur mayur untuk kami sekeluarga dan sedikit untuk jiran-jiran. Di kala musim bersawah, kami sekeluarga empat beranak akan menetap di Gubuk kecil Kampung Langkawit dan bermukim di Gadong Kimanis ketika cuti penggal ketiga. Itulah antara rutin tahunan kami sekeluarga. Kenangan terindahku di zaman kanak-kanak ialah menangis melalak apabila ayahku memaksa makan peria bercicah garam. Peria zaman dahulu tidak sepahit peria di zaman modern.

Aku pasrah dan tetap bersyukur. Aku menjadikan kekurangan kasih sayangnya sebagai penyuntik semangat untuk bangkit berusaha. Malangnya, lantaran kehilangan tempat bergantung, ibuku menghalangku untuk melanjutkan pelajaran ke Semenanjung Malaysia selepas lulus Darjah Enam sekolah rendah. Tetapi impian terlaksana jua apabila dapat juga belajar ke Pulau Pinang selepas menamatkan Sijil Rendah Pelajaran dengan cemerlang.

Masjid jin dan masjid pokok

Bas berhenti seketika apabila kami berada di kawasan permakaman Maala. Nun di atas bukit terdapat permakaman Siti Khadijah, suri hati Rasulullah. Mutawif memimpin kami membaca doa. Anaknda mutawif Haji Ali menceritakan sejarah Masjid Jin yang menyatakan sekumpulan jin mengucap dua kalimah sahadah kepada Rasulullah. Kami bergerak dan berhenti di kiri jalan di mana terdapatnya Masjid Pokok. Sejarah masjid pokok begitu sinonim dengan cerita bagaimana wakil  dari puak Quraish beradu tenaga dengan Rasullah. Janji asal mereka ialah puak Quraish akan memeluk Islam andai dikalahkan oleh nabi. Setelah tiga kekalahan, mereka memungkiri janji di mana pokok tempat di mana mereka beradu tenaga bersuara mengucap dua kalimah.

Usai makan tengah hari, kami bergerak masuk ke masjid. Petugas di cek point hanya memeriksa gelang merah beberapa orang dan melepaskan kami semua apabila salah seorang dari petugas menyebut, “Malaysia …. Malaysia,”….. Allah Ya Allah, sejuta syukur Ya Allah kerana Engkaulah yang telah mempermudahkan urusan ibadah kami. Kami sepakat untuk tidak membawa selipar semasa melakukan tawaf. Kami memilih suatu lokasi untuk solat berimamkan Imam Muda Mohamad Azim Ajilan. Alhamdulillah, hebatnya percaturan Allah, jemaah yang melakukan tawaf tidak terlalu ramai. 

Selesai tawaf maka kami pun teruskan solat sunat tawaf. Dapat solat betul-betul di depan Kaabah yang berjarak tidak sampai 50 meter dari kedudukan kami. Sebak jangan cakap. Tak sangka diri yang banyak dosa dipilih oleh-Nya berada di depan Kaabah yang terangung. Usai minum air zam-zam, kami berhimpun di suatu lokasi untuk bergerak ke ruang saie. Di pusingan ke-5 mendekati Marwah, kami membentuk saf untuk solat asar, kemudian bertahlul di luar pintu Marwah. Suriku hanya melakukan isyarat kerana aku sudah tiada rambut untuk digunting. 

Sebelum balik, kami membuat lawatan ke bekas rumah nabi yang kini telah dibangunkan bangunan perpustakaan. Kebanyakkan jemaahberjalan  berkaki ayam kerana selipar ditinggalkan di ruang masuk masjid.

Aktiviti malam

Petangnya aku bergerak bersama-sama Haji Mappiare dan menantunya bdul Rahman. Melalui pintu 84, kami bergerak jauh untuk solat maghrib dan isyak mendepani Baitullah Al Haram. Allah Ya Allah, betapa manisnya berada di kawasan itu di malam hari. Di Baitullah, jemaah umrah tidak putus-putus tawaf mengelilinginya, tetapi suasananya tetap longgar bagi membolehkan tawaf dilakukan dengan mudah dan santai. Ini adalah salah satu ibrah Pendmik Covid.

Malam itu, kami berkongsi cerita masing-masing, bercerita saat manis menjadi tetamu Allah, bercerita mengenai cabaran menunggu keputusn ujian PCR dan kemanisan beribadah waima baru beberapa hari bermukim di Majidil Haram.  Kesemua cerita manis itu akan kami simpan di peti simpanan kekal di hati masing-masing. Aku menyemak foto-foto dari HPku. Membaca doa tidur, Ayat Al Ikhlas, Al Falaq, An Nas, selawat, isighfar, membaca dua kalimah sahadah dan ayatul Kursi.

Itinerari Hari keempat Rabu 16 Februari 2022 - 14 Rejab 1443 H (Ziarah luar / Hudaibiyah)

Kami terjaga pada jam 2.05 pagi, dan meneruskan misi seperti sebelumnya. Hari ini kami berdua sepakat untuk tidak menyertai misi ziarah luar serta bermiqad di Hudaiybiah, tetapi memilih untuk solat dhuaa di Masjidil Haram.

Kami bergerak ke masjid pada jam 3.52 pagi. Tiap kali turun ke masjid, aku bawa "vaccuum Flash" untuk diisi dengan air zam-zam. Di Haramain, kami jarang minum air putih biasa melainkan meneguk air zam-zam menjadi kelaziman harian.  Amat mudah untuk memperoleh air zam-zam, kerana kadangkala di tengah laluan ke masjid kami kerap terjumpa ada insan yang menginfaqkan air zam-zam.

Apabila tiba depan pagar masjid, kami membaca doa iktikaf. Sebelum mendekati cek point, kami ternampak kelibat Mutawif Ahmady memimpin 5 orang duyufurRahman menuju ke cek point pintu Umrah. Sempat menghulur isyarat salam (tunduk dengan meletak tangan kanan ke dada) dan kami langsung menuju ke lantai satu Masjidil Haram. 

Setibanya di ruang solat melalui pintu 84, aku menghantar swafoto  ruang solat yang kosong kepada jemaah Nurmultazam. Aku melaporkan kepada anaknda Haji Ali Amin yang kami berdua tidak menyertai lawatan ke Hudaibiyah. Aku menunaikan marathon solat sunat Tahaiyatul Masjid, Solat Tahajud, solat taubat, solat syukur, solat witir dan marathon tasbih di Masjidil Haram. Aku membuka lembaran Al-Quran untuk memulakan tilawahku yang mana aku nanti-nantikan. Syukur Ya Allah, akhirnya aku berkesempatan mengucup Al-Quran di Masjidil Haram-Mu. 

Usai solat jenazah selepas solat subah, aku dan suriku meneruskan tilawah sementara menunggu Solat Dhuaa. Ruang solat lelaki hanya dihuni oleh tidak sampai lima orang. Hanya kelibat pembersih berpakaian hijau yang membingitkan halwa telinga. Mereka melaksanakan urusan pembersihan, sanitasi lantai serta karpet dan mengisi air pada tong-tong zam-zam.

Jam 7.20 pagi, kami menunaikan solat dhuaa. Syukur Ya Allah, Engkau rezikikan kami kesempatan untuk solat dhuaa di Masjid-Mu, dengan doa …. “Ya Allah, andai reziki itu masih di langit-Mu, turunkanlah kepadaku, andai kata reziki itu masih di bumi-Mu, keluarkanlah kepadaku, andai reziki itu masih jauh, dekatkanlah kepadaku, andai reziki itu masih sukar, mudkahkanlah kepadaku, andai kata reziki itu haram, Engkau sucikanlah untuk diriku, kurniakanlah reziki kepadaku sepertimana Engkau pernah kurniakan kepada hamba-hamba-Mu sebelum aku.” Semasa kami berdua meninggalkan masjid, ruang di luar masjid begitu lenggang. Hanya terlihat kelibat mereka yang berniat umrah sahaja yang menuju ke chek point yang dikawal ketat.

Selepas mandi, kami menuju ke Kompleks Safwa untuk sesuatu tujuan.  Beroleh panggilan ayah untuk kali ketiga semasa menemani suriku membeli minyak wangi. "Ayah haji, sini ayah. Ada banyak pilihan jubah di sini." Urusan di Kompleks Safwah, diakhiri dengan membeli nasi untuk makan tengah hari. Harga nasi beryani Pakistan dengan dua ketul ayam goreng SR24 cukup untuk makan tengah hari kami berdua.

Ruang luar masjid begitu lenggang dan tenang. Hari ini rutin berada di masjid agak lama, diisi dengan tasbih, marathon solat-solat sunat dan tilawah. Kami tidak mengunjungi kafe dan tidak terlihat kelibat duyufurrahman Nurmultazam di mana-mana, melainkan hanya mengikuti aktiviti mereka yang  ziarah ke Hudaibiyah melalui aplikasi WhatsApp.

Itinerari hari ini kami lengkapkan dengan merehatkan badan usai makan malam di lantai Satu. Malam yang agak santai, aku mengintip Baitullah Al Haram dengan menyelak langsir bilik kami.

Itinerari Khamis 17 Februari 2022 - 15 Rejab 1443 H - (Tawaf wada - Hibanya meninggalkan Baitullah)

Terjaga pada Jam 1.30 pagi, dan meneruskan rutin biasa memasak air, membancuh minuman panas sementara memberi peluang untuk suriku mandi. Mengemas barang. Aku membatalkan niat untuk berpuasa memandangkan bakal mendepani perjalanan yang agak jauh. Barang dimuat ke dalam dua beg biru NurMutazam dan empat beg lain. Hari terakhir ini, kami turun agak lewat iaitu jam 4.12 pagi. Di cek point, kami menyelak lengan jubbah bagi memperlihatkan gelang merah yang kami pakai kepada petugas. Allah Ya Rab, Syukur Ya Allah, mudahnya duyufurrahman dari Malaysia di mana pemeriksaan terhadap kami tidak terlalu ketat.

Usai masuk melalui pintu 84, kami menaiki eskalator yang membawa kami ke lantai satu seperti kelmarin. Usai menunaikan solat tahaitul masjid diikuti dengan marathon solat-solat sunat, aku mencapai Al-Quran. Hatiku terpukul ketika mendengar imam membaca ayat pada rakaat yang kedua. Bacaannya membuatkan aku terbuai hingga tidak terasa air mata bergenang. Ya Allah, lunaknya gema suara imam Masjidil Haram. Banyak kenangan yang terpahat di hati ini ketika berada di kota suci Allah.

Jam 9.30 pagi, kami bergerak masuk ke masjid. Kami membuka aplikasi Tawakalna masing-masing dan menunjukkannya kepada petugas di cek point, dan petugas hanya memeriksa gelang merah beberapa orang. Petugas berpakaian coloreng melepaskan kami semua. Aku  membawa bersama kantung plastik yang berisi dengan beberapa pasang capal dan meninggalkannya di rak kasut di dalam masjid. Kami hanya menyimpan sepasang capal untuk kegunaan tandas di hotel Madinah dan ketika kuarantin di Kuala Lumpur nanti.

Pagi ini aku mendepani bangunan berselimut hitam itu dengan hati penuh syahdu, sebak usah dihitung. Aku berfikir, bilakah lagi aku beroleh peluang keemasan ini. “Allah Ya Rab, janganlah hendaknya Engkau jadikan kunjungan ini yang terakhir buatku. Jemputlah aku sebagai Duyufurahman-Mu serta berilah aku kecukupan untuk kunjungan yang berikut-berikutnya. Engkau jemputlah juga anak menantuku, adik beradikku, ipar-duaiku, sahabat Geng Surau Al Mukminin, AJK Surau Al Mukminin, ahli group Islam Itu Indah dan semua insan yang mengenali diri ini berumrah mengunjungi dua kota suci-Mu.”

Kami mendekati lampu hijau untuk memulakan tawaf wida, "Bismillah Hirrahman Nirrahim, Ya Allah, aku menunaikan tawaf wida tujuh keliling kerana Allah Taala..." Langkah dimulai dengan Istilam iaitu Isyarat Tangan Mengucup Hajarul Aswad bermula di sudut Hajarul Aswad (Lampu Hijau) dengan sebak di dada.… 7 pusingan yang menyiksa aku layan perasaan yang cukup dalam. 7 pusingan kali ini tidak selaju langkah-langkah sebelum ini. Mataku tidak terlepas dari memandang setiap sisi Baitullah. Berderai air mata bila rasa alangkah kerdilnya diri kami ini di saat doa dipanjatkan di hadapan Baitullah agar doa ini diijabah dan di angkat oleh Allah swt...

Usai tamat pusingan yang ketujuh, kami berundur ke kawasan Multazam (lokasi makbul doa) untuk mengaminkan rentetan doa yang diketuai bacaannya oleh Mutawif. Di kiri kananku terdengar isak yang tertahan-tahan. Kami beredar dari Multazam menuju pintu keluar dengan mata masuk habuk. Kurasakan, semua orang merasai apa yang kami sedang rasai. Kami bererak dengan langkah perlahan dengan perasaan sayu yang amat dalam.

Kami sengaja memperlahankan langkah agar tepisah dari kelompok yang ramai, lantas berhenti di suatu sudut menghadap Baitullah. Aku menadah tangan sambil diaminkan oleh suriku, “Allah Ya Allah, Engkau ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa anak-anak kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa adik-beradik kami, dosa sahabat-sahabat kami, dosa seluruh kaum muslimin. Engkau mudahkan urusan kami, murahkan reziki kami, kurniakan kesihatan yang berpanjangan dengan keberkatan usia, Engkau jadikan anak-anak kami anak yang cemerlang dunia akhirat, anak yang berwawasan, anak yang senantiasa mendoakan ibu bapa, anak yang berjasa kepada agama, keluarga, negara dan bangsa, Hidupkan dan matikan kami dalam keadaan Islam yang sempurna, terhindar dari fitnah dazal, terhindar dari api neraka, Engkau masukkan kami ke Jannatun Naim-Mu bersama keluarga kami tanpa dihisab, Engkau permudahkann kami ketika melalui Titi Sirat-Mu. Allah Ya Rab, janganlah hendaknya Engkau jadikan kunjungan ini yang terakhir buat kami. Jemputlah kami sebagai Duyufurahman-Mu serta berilah kami kecukupan untuk kunjungan yang berikut-berikutnya. Engkau jemputlah juga anak-anak dan menantu kami, adik beradik kami, ipar-duai kami, jiran-jiran kami, sahabat Surau Al Mukminin, ahli group Islam Itu Indah dan semua insan yang mengenali diri ini untuk berumrah mengunjungi dua kota suci-Mu.”

Usai tawaf, di kawasan luar lif hotel, aku melepaskan dua helai kain ihram serta tali pinggang  untuk diserah kepada anaknda Ali Amin dan menyerahkan buah tangan untuk Omar Faroq. Jam 2.32 petang, aku menerima WhatsApp dari seseorang, Haji Ahmady Ali Uthman, “Ayah di mana, Ahmad tunggu ayah di depan hotel, di lokasi pertemuan yang kita janji.” Anaknda Haji Ali Uthman mengucup tanganku. Aku menyerahkan sehelai kain ihram dan menyerahkan buah tangan untuk beliau dan menyerahkan buah tangan untuk anaknda Muhammad Hudaifah (Ustaz Selendang Kuning), yang tidak sempat aku temui lantaran sibuk bertugas. Kami berpisah dengan pesanan, semoga beliau mendoakan aku dan keluargaku kembali ke Haramain untuk umrah yang berikut-berikutnya.

Ketawa berdekah

Kami berhimpun di lobby hotel untuk menunggu bas yang akan membawa kami ke destinasi berikutnya. Usai menaiki bas, Sebelum bas bergerak, kelihatan Mutawif Ali Amin meghitung jumlah jemaah. Tangannya mengepil sesuatu sambil membelek-belek sehelai kertas. " Beliau mula bersuara memanggil nombor bilik untuk mengutip bayaran bagi mereka yang memakan choklat dan minuman yang disediakan di dalam peti ais. Pada asalnya saya sendiri menyangkakan minuman itu adalah percuma. Para duyufurrahman ketawa memecahkan kesunyian bas, apabila wakil salah satu bilik membayar lebih SR100, dalam ingatanku untuk bayaran dalam empat tin minuman bergas, air mineral dan pelbagai choklat sambi berkata yang lebih kurang, “Sejak beberapa hari itu kami buka saja peti ais itu, tidak juga kami kacau, entah macamana, hari terakhir ini, kami kasih habis itu semua minuman dan coklat. Kami ingat ia percuma.”

Aku tampil ke depan bertanyakan yang adakah bilik kami juga dikenakan bayaran. Seingatku ada juga aku memakan coklat dan meminum setin cola beberapa hari lalu, namun tiada rekod. Aku lega. Allah Allah Ya Raab, rasanya pembersih tidak mengenakan sebarang bayaran kepada kami dengan asbab aku ada menyelitkan beberapa keping wang kertas di atas meja strika kain sebelum kami meninggalkan bilik penginapan.

Jam 3.18 petang, bas kami bertolak ke Madinah. Aku memandang Jam Besar dari kejauhan. Jam 3.43 petang, itulah kali terakhir aku dapat menyaksikan kalibat Jam Besar itu. Waima ia sudah lenyap dari pandanganku, namun kenangan mendepani Baitulah tidak akan terpadam dari memori terindah ini. Bas singgah di stesen keretapi laju untuk membolehkan kami seramai dua belas orang termasuk Puan Yati menaiki keretapi sedang yang selebihnya dua puluh tiga orang akan menaiki bas berkenaan untuk perjalanan enam jam ke Madinah. Ustaz Ali Amin menghantar kami hingga ke balai berlepas.

Tersasar

Syukur Ya Allah, kami berkesempatan untuk menunaikan solat jamak zohor asar. Kami bergerak agak jauh untuk ke koc ekonomi. Aku di kerusi 342 dan suriku 343. Suasana di dalam koc umpama berada di dalam pesawat ATR, dua kerusi sebelah kiri, di tengahnya laluan pejalan kaki dan di kanannya terdapat dua kerusi. Jam 3.58 petang, keretapi yang membawa aku dan suriku, Hjh Halimah Norbidin, Hjh Salmah Estro, Mohd Yassin Yusop, Latipa Kenneth , J Jasree Jun,  Rozian Moksan, Mohammad Azim Ajilan, Siti Sulhayati, Masnah Jun dan Rogayah Wahab, bergerak meninggalkan landasan dengan suhu di dalam koc 21 darjah. Sempat menghulurkan khidmat merakam foto di dalam keretapi laju.  Allah Ya Allah aku menaruskan misi keduaku iaitu Maraton selawat, walaupun misi dzikir (tasbih, tahmid dan takbir ) gagal mencapai target, cuma sejumlah sembilan ribu enam ratus. Keretapi berhenti di Jeddah pada jam 4.25 petang. Keretapi tiba di Madinah pada jam 6.20 petang. Kami disambut dengan dua buah teksi yang diuruskan oleh rakan mutawif Ali Amin. Sebelum meninggalkan terminal, beliau memimpin kami membaca doa safar.

Di Speed Train Mekah - Madinah

Kami tiba di hotel Muna Al Kareem yang sungguh unik tatkala azan bergema. Hotelnya bersetentang dengan Hotel Al Haram (Hotel Tabung Haji). Mata bergenang ketika mengimbau kembali kenangan menginap di Hotel Al Haram semasa menunaikan haji tahun 2015. Kenangan yang tidak pernah padam ketika menunggu van di luar Hotel Haram untuk ke Masjid Quba pada setiap pagi. Kenangan berlama di dalam masjid dan kenangan umpama berkelah di bawah payung gergasi sambil bersarapan bersama suriku, singgah menerpa minda ini.

Usai memperoleh kunci, kami menuju ke bilik 208, bilik corner dengan katil berkembar, cuma ada peti ais bersaiz kecil, ada almari besar tanpa strika kain, mujurlah kami ada membawa strika dari rumah.  Hotel unik yang mana di dalamnya seolah-olah berada di dalam satu lorong serombong ke atas.

Aku bergegas turun meniggalkan suriku di bilik untuk ke masjid. Di pintu masuk 338, cek point yang lebih ketat mengikut SOP. Pegawai polis berpakaian coloreng kelabu meminta kami  menunjukkan aplikasi tawakalna seorang demi seorang. Aku menuju ke pintu 21, mengambil kedudukan di saf yang jauh di depan, saf yang mendekati kawasan sempadan Raudah. Syukur Ya Allah, dengan sebaknya aku menyentuhkan dahiku buat pertama kalinya di karpet Masjid Nabawi pada jam 7.39 malam dengan SOP. Bukan minta puji, aku menghantar swafoto di dalam masjid ke group Nurmultazam, dan di balas oleh anaknda mutawif  yang melaporkan kedudukan bas mereka  masih berbaki dua jam untuk tiba di Madinah. Sempat solat tahaiyatul masjid, solat syukur, isyak, solat sunat awabin dan solat jenazah.

Usai bertemu isteri untuk makan malam, kami ke bilik untuk membersihkan diri, membongkar barang dan terlelap. Di hotel ini duyufurrahman Hjh Halimah Norbidin, Hjh Salmah Estro dan Marianah Mansur menginap di bilik 613, Riandam Arifin, Anita Mustafa dan Mustapa Asma (1012), Mohd Yassin Yusop dan Latipa Kenneth (420), J Jasree Jun dan Ali amin (1107), Rozian Moksan dan Mohammad Azim Ajilan (1003), Admi Watilan, Siti Rohani dan Tausin Edan (817), Mohd Noor Aharudin dan Liteni Boilil (120), Ehasna Mappiare dan Mappiare (211), Abd Rahman Palasin dan Nurita M Noor (511), Mandolin Koyou, Siti Mariam Jiniel, Jumriah Sulle dan Kuili Ejoh (413), Siti Zamilah Latip, Tarintan Said dan Riam Dauda (513), Dg Salamah Sirat dan Siti Sulhayati (816), Suria Sahada dan Mohd Azhar Ariffin (605), Sudirman Suti dan Sapiah Abidin (1008).

Itinerari Jumaat 18 Februari 2022 - 16 Rejab 1443 H (hari pertama di Madinah)

Terima kasih anaknda mutawif yang membantu kami menghantar empat beg di depan pintu hotel. Tatkala aku membuka pintu bilik di tengah malam, beg-beg kami diletak di pintu bilik. Aku terjaga di dinihari apabila terdengar voice mail mutawif, “Ayah masih tidur, kita kumpul di bawah untuk ke Raudah.”

Jam 2.30 pagi, kami jemaah lelaki berkumpul di luar hotel dalam suasana dingin mencokok tulang. Kami bergerak menuju ke pintu 338. Pemeriksaan agak ketat, waima mutawif telah mengemukakan surat pelepasan dari pihak muasasah, petugas tetap memeriksa aplikasi tawakalna di HP kami seorang demi seorang. Berjalan agak santai, namun jauh, hampir mengelilingi separuh Masjid Nabawi untuk sampai ke cek point kedua. Jam 3.30 pagi, kami tiba di cek point kedua dan di arah masuk ke petak dalam masjid. Sempat menunaikan rangkaian solat-solat tahaiyatul, solat syukur, solat hajat dan misi meneruskan selawat sebelum bergerak ke Taman-Taman Syurga dengan kawalan yang ketat. Aneh tapi benar, terlihat olehku ada beberapa jemaah bukan dari negara kita, cuba menyelit ke petak lain yang diyakini akan dipanggil masuk ke Raudah sebelum kumpulan dalam petak kami. Sebelum meminta kami untuk memasuki Raudah, pihak petugas mendatangi kumpulan berkenaan untuk kembali ke kumpulan asal mereka. Ingatan saya kepada bakal duyufurrahman yang akan datang, jangan cuba-cuba melanggar perintah PENGAWAL MASJID.

Memperoleh hadiah dari Allah

Kemasukkan Ke Raudah amat terkawal dan tidak berebut-rebut. Di Tama-Taman Syurga, petugas mengawal ketat jemaah mengikut SOP yang ketat. Jemaah di arah untuk berdiri  di ruang yang ditanda dengan dua tapak kaki. Masa solat yang diperuntukkan dalam 20 minit. Solatku di pertamaku di Taman-taman Syurga pagi itu diselubungi dengan sarat emosi (bahagia, hiba, sejuta debaran, sehamparan kesyukuran). Ketika meletakkan dahiku di sujud pertama di lantai Taman-taman Syurga, aku teringat peringatan Ayat Quran Surah As-Sajadah ayat 15 yang berbunyi, “Sesungguhnya orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami, adalah orang-orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat Kami, mereka bersungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhannya, sedang mereka tidak manyombongkan diri.” Allahu Akbar, betapa tenangnya jiwa ini tatkala berada di dekat jasad kekasih-Mu Ya Allah dalam situasi tidak sesak. Syukur Ya Allah, Engkau santuni para Duyufurrahman dengan mengamalkan penjarakkan, tidak berebut-rebut dan patuh SOP. Di Taman-taman Syurga aku sempat menunaikan solat taubat, syukur dan solat hajat. Aku merasakan diri yang kerdil ini telah memperoleh hadiah terindah dari Allah iaitu mampu solat dengan teramat-amat tenang. Hatiku cair tatkala berdoa di Taman Syurga tersebut. Mata bergenang akhirnya menitiskan air jernih, tanda sejuta kesyukuran masih berpeluang menjadi tetamu Rasulullah dengan idzin dari-Nya.

Waima tidak dapat aku pastikan, namun aku ada sedikit makluman tentang tiang-tiang yang terdapat di Taman-taman Syurga. Tanpa mengindahkannya, aku tumpukan solatku dan doaku dengan tenang dan penuh syahdu. Mata bergenang kerana diri ini disantuni dengan sebegitu rupa.

Hasil maklumat pembacaanku: berikut adalah antara tiang-tiang bersejarah yang terdapat di dalam Taman-taman Syurga yang hendak ku amat-amati andai berada di Raudah : 1. Tiang Sarir- (Pangkin) Tiang ini merupakan tempat Nabi Muhammad berehat. Terdapat pangkin tempat di mana Saidatina Aishah R.A menyikat rambut Nabi. 2. Tiang Ali / Tiang Pengawal-Tiang ini dahulu adalah tiang yang digunakan pengawal sebagai lokasi untuk mengawal rumah Nabi Muhammad S.A.W. Pengawalnya diketuai oleh Saidina Ali. 3. Tiang Wufud (Deligasi) -Suatu masa dahulu tiang ini digunakan oleh Nabi Muhammad untuk berjumpa dengan pemimpin deligasi luar yang datang ke Madinah untuk berjumpa dengan Baginda. 4. Tiang Aishah - Tiang ini sangat istimewa, tempat di mana Nabi Muhammad selalu mengerjakan solat Tahajut dan solat Taubat setiap malam. Tiang ini juga turut disukai oleh Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Kalau kita masuk ke Raudhah, cubalah memohon doa sebanyaknya di sini. 5. Tiang Abu Lubabah (Tiang Taubat) Tiang ini adalah tempat di mana Abu Lubabah berkata berbohong kepada Nabi Muhammad. Akibat rasa bersalah pada Nabi Muhammad, Abu Lubabah mengikat dirinya di tiang ini selama 3 hari. Dan tiang ini digelar tiang taubat Abu Lubabah. 6. Tiang Muhallaqah - (Tiang Wangi) Tiang ini dahulu adalah sebatang pokok kurma. Batang pokok ini menangis apabila dia ditukarkan dengan batang pokok yang baharu. Batang kurma itu berhenti menangis setelah dijanjikan akan bersama-sama dengan baginda di Syurga nanti.7. Mehrab Nabi - (Mehrab baharu) Di Mehrab inilah nabi solat berjemaah bersama sahabat baginda. Andai dapat bersolat di sini, dikatakan seolah-olah kita telah bersujud di telapak kaki Nabi. Di Mehrab ini juga Saidina Umar ditikam oleh Abu Lulu'ah Al-Majusi ketika sedang mengimamkan solat subuh.

Alahai, mana ada masa untuk memerhatika tiang-tiang tersebut, lupa segala-galanya akibat khyusuk dengan solat dan berdoa dengan tenang, “Allah Ya Allah, Engkau ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa anak-anak kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa adik-beradik kami, dosa sahabat-sahabat kami, dosa guru-guru kami, dosa jiran-jiran kami dan dosa seluruh kaum muslimin. Engkau mudahkan urusan kami, murahkan reziki kami, kurniakan kesihatan yang berpanjangan dengan keberkatan usia, Engkau kurniakan kepada kamu umrah yang maqbullah, Engkau jadikan anak-anak kami anak yang cemerlang dunia akhirat, anak yang berwawasan, anak yang senantiasa mendoakan ibu bapa, anak yang berjasa kepada agama, keluarga, bangsa dan negara dan hidupkan dan matikan kami dalam keadaan Islam yang sempurna, terhindar dari fitnah dazal, terhindar dari api neraka, Engkau masukkan kami ke Jannatun Naim-Mu bersama keluarga kami tanpa dihisab, Allah Ya Rab, janganlah hendaknya Engkau jadikan kunjungan ini yang terakhir buat kami. Jemputlah kami sebagai Duyufurahman-Mu serta berilah kami kecukupan untuk kunjungan yang berikut-berikutnya. Engkau jemputlah juga anak-anak dan menantu kami, adik beradik kami, ipar-duai kami, jiran-jiran kami, sahabat Surau Al Mukminin, sahabat setaman rumah pangsa, ahli group Islam Itu Indah dan semua insan yang mengenali diri ini untuk berumrah mengunjungi dua kota suci-Mu.”

Usai berada lebih kurang 20 minit di Taman-taman Syurga, kami meninggalkannya dengan kenangan yang membekas di hati. Kami beralih masuk ke dalam masjid. Aku memilih saf yang paling depan mengikut SOP iaitu berjarak antara satu dengan yang lain. Allah membuka ruang untuk aku menunaikan solat-solat sunat dan Talaqi. Alahai tatkala iqamat dilaungkan, saf yang tadinya berjarak dipenuhi oleh jemaah yang merebut peluang bersolat di saf  paling depan. Namun di hati ini penuh yakin, Allah akan melindungi umat-umat-Nya waima dalam situasi pendemik Covid.

Taman Syurga nama diberi
Terang menyerlah berseri-seri
Rahmat Allah tidak terperi
Teramat kerdil diriku ini

Kunjung ke sini hati berdebar
Menuju ke dalam perlu bersabar
Tidak perlu terkejar-kejar
Hati tabah benyakkan istigfar

Tatkala berada di ruang Raudah
Marathon solat tangan kutadah
Sarat emosi air mata tertumpah
Aku cair khyusuk beribadah

Assalamu alaika Ya Rasulullah
Salam sahabat kusampaikan sudah
Aku bersujud di ruang Kubah
Moga doa diperkenan Allah

Allah hadiahkan pelbagai nikmat seperti yang disebut berulang-ulang kali dalam Surah Ar-Rahman, “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” Mari kita bersama-sama muasabah diri kita masing-masing. Andai ada yang terkesan umpama sedih aktiviti hariannya terganggu, rasa bimbang tiada kecukupan dalam  perbelanjaan harian, risau mendepani penyakit atau lain-lain kerisauan, pujuklah hati kita dengan membaca “Surah Al-Insyirah”, surah yang berjaya memujuk hati Rasulullah dan diwariskan pula kepada kita umat baginda untuk membacanya. Begitulah hamba-Mu yang kerdil ini mengungkapkan seluas padang pasir kesyukuran atas nikmat jemputan-Mu.

Aku berbaris dari hujung ke hujung mengesan kerusi meja di mana isteriku bersarapan, sambil mematuhi SOP. Kami bergabung duduk semaja hanya berdua (ikut SOP) untuk menikmati sarapan yang menyelerakan. Usai sarapan, kami balik ke bilik. Aku terkedu melihat matahari terbit tatkala menyelak langsir bilik. Besar, bulat berwarna seakan merah bunga raya. Sempat merakam detik-detik indah itu yang lain dari pemandangan di tanah air, yang mana aku jarang melihat matahari terbit lantaran dilindungi oleh hutan mahu pun dilindungi gunung-ganang.

Jam 11.56 pagi, kami berdua bergerak ke pintu 338 untuk solat Jumaat. Di cek point, petugas melepaskan kami tanpa memeriksa aplikasi Tawakalna. Syukur Ya Allah, Engkau selalu mempermudahkan urusan kami tanpa kerenah petugas masjid yang berpakaian coloreng kelabu (polis tentera). Aku bergerak setelah kelibat suriku tidak kelihatan dari pandangan mata ini. Allah Ya Allah, Engkau rezikikan aku untuk berada di loksai roof top untuk solat Jumaat. Allah Ya Allah, usai solat tahaiyatul masjid, masih berkesempatan untuk solat dhuaa.

Khunafa

Semasa makan tengah hari, usai jumaat, kami menjumpai pencuci mulut yang terkenal di Tanah Arab iaitu Khunafa yang terselit antara puluhan hidangan makan tengah hari. Aku mencapai pinggan untuk merasai Khunafa setelah sekian lama aku dan suriku tidak merasanya. 

Sepulang dari solat asar, seperti yang dijanjikan, rombongan Nurmultazam berkumpul di luar pagar untuk aktiviti membeli-belah. Kami berdua memilih untuk bergerak sendiri. Ketika berlegar di lantai “Under Ground” bangunan Kompleks Hayah Al Taqwa (Bahauddin lama), sebelah Hotel Oberoi, kami berselisih dengan kumpulan yang diiringi oleh Anaknda Ali Amin. Besembang sejenak sambil menyapa kumpulan tersebut. 

Jubah Arab  (Thobe)

Semasa kami beredar ke kedai berdekatan di bawah Hotel Durrat Al Andalus  yang bernama Kedai Pakaian Al Hanan, aku mendapat sapaan  panggilan ayah untuk kali keempat. Panggilan ayah untuk kali keempat itu mengetuk pintu hati,  terkenang akan anak-anak di kampung halaman. Tiba-tiba hati terasa sebak merindui penggilan ayah dari anak-anak yang sudah seminggu  kami tinggalkan.

Di Kedai Pakaian Al Hanan, aku sempat berbelanja sehelai jubah untuk menantu dan membeli serban putih untuk rakan Talaqi Surau Al Mukminin dan membeli Jubah Arab (Thobe) berwarna hitam. Alhamdulillah, baru kali ini aku beroleh Thobe ialah jubah labuh pria yang memiliki kolar, dikenakan dengan tiga atau lebih kancing dan berbutang di pergelangan tangan. 

Jam 4.39 petang, kami meninggalkan kedai Al Hanan untuk balik semula ke hotel penginapan. Kami berdua naik ke balik, tetapi aku turun semula untuk menghantar pakaian ke pusat dhobi Madinah Express Laundry (SR32.00) di Under Ground Hayah Al Taqwa. Di sekitar Under Ground tersebut terdapat juga kedai gunting, kedai menjual makanan Arab, kedai jubah, kedai borong dan kedai minyak wangi. Sepulang dari dhobi aku terserempak dengan anaknda Omar Farouq dan membeli dua pasang songkok yang berjambul merah.

Ketika menuji ke pintu 338 untuk solat maghrib, aku terpegun menyaksikan suasana meriah di sekitar pintu 338 dan 339. Padang rata di hadapan kedai dan di kaki lima pintu pagar begitu meriah dengan keluarga bersama anak-anak mereka menunggu laungan azan untuk menyertai solat fardu maghrib. Bukan apa, anak-anak kecil masih belum diperbolehkan untuk solat di dalam masjid. Keluarga arab dan permastautin Madinah, berkampung di situ untuk menyertai solat berjemaah. Syukur Ya Allah, suasana asing itu menyedarkan diri yang kerdil ini, betapa solat berjemaah itu penting didirikan waima di mana saja asal boleh menyentuhkan dahi di sejadah. Mereka membawa bekal makanan dan minuman sambil membiarkan anak-anak mereka berkeliaran umpama berkelah di pasir pantai.

Usai solat isyak, aku dapat menyaksikan mereka masih belum mahu berlalu pergi bersama-sama keluarga mereka. Kerangan anak-anak jelas kelihatan dan kepuasan boleh berhimpun dan bermain bersama anak-anak kecil lain.

Semasa makan malam anaknda Mutawif  Ali Amin singgah di meja kami. Peluang kami gunakan untuk berkongsi mengenai masalah kami yang merindui suara anak pinak, akan tetapi gagal berbuat demikian kerana masaalah telefon. Rupa-rupanya, kad sim yang kami beli adalah untuk internet dan berWhatsApp sahaja. Dengan sukarela beliau berusaha mencarikan kami top up tambah nilai SR20. Jam 9.06 malam, Haji Ali menolong mengurus telefon bondanya. Kami berkesempatan menyerahkan resit memohon pertolongan beliau untuk mengambil pakaian dari dhoby.

Usai mandi, jam 9.15 malam waktu Saudi jam 2.15 pagi waktu Malaysia, suriku sempat bercakap dengan anak. Di hujung talian, terdengar suara mengantuk anak-anak, rupa-rupanya masa dinihari di Malaysia. Syukur Ya Allah, dari riak wjahnya, tergambar rasa puas waima berbelanja lebih dari SR10. Kami akhiri rutin malam tersebut dengan rentetan membaca doa sebelum tidur, Al Ikhlas, Al Falaq, An Nas, bersyahadah,  membaca ayat tashyahud akhirn dan ayat Al Kursi.

Itinerari Sabtu 19 Februari 2022 - 17 Rejab 1443 H (ZIARAH DALAM)

Terjaga pada jam 3.30 pagi, dengan amalan harian, membaca doa bangun tidur. Rutin biasa memasak air minuman panas tatkala menunggu giliran untuk membersihkan diri. Sebelum meninggalkan bilik, di balik pintu aku menadahkan tangan, berdoa “Ya Allah, lindungilah aku dalam perjalanan ke masjid-Mu, jagalah lisanku, jagalah perilakuku, kekalkan wudukku hingga aku selesai beriktikaf di masjid-Mu dan permudahkan aku untuk berada di Taman-taman Syurga-Mu”. Bergerak ke masjid semasa azan pertama dikumandangkan. Usai memasuki pintu 338, mataku terpaku ke kegemerlapan pencahayaan yang menyerlahkan apa yang disebut Masjid Nabawi, sambil melisankan doa iktikaf. Memandangkan jumlah jemaah ke masjid belum ramai, kami berdua menunjukkan aplikasi Tawakalna kepada petugas masjid berpakaian seragam pasukan keselamatan, sama seoerti apa yang berlaku di Mekah, cuma bezanya di Mekah, kita hanya perlu menunjukkan tag tangan yang dibekalkan oleh pihak Muasasah.


Lokasi Muzium Rasulullah

Usai memerhatikan kelibat suriku memasuki pintu wanita, aku masuk melalui masjid di pintu 21, kerana pintu 22 tidak di buka. Aku mengesan lokasi tong air zam-zam lantas meneguk air zam-zam dengan doa, “Allahhuma inni asaluka ilman nafiaan, wariqkan wa syiaan, wasyifaaan minkulli daan wasikaamin bisahmatika ya arhmar rahimin”, “Ya Allah, sesungguhnya daku bermohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, reziki yang luas dan penawar bagi segala penyakit. Dengan rahmat-Mu, Wahai tuhan yang maha pegasih lagi maha penyayang”.

Aku bergerak ke arah dinding pemisah antara lelaki dan wanita untuk ke saf yang menghampiri saf depan. Usai solat subuh, kami berkumpul di kawasan pintu 338. Waima memakai jubah ditambah dengan Vest Tebal, namun kedinginan tetap terasa sehingga gigi berlaga. Setelah bilangan jemaah mencukupi, kami bergerak ke arah hadapan Kubah Hijau. Kami berkumpul di situ untuk membaca selawat dan salam terhadap Kekasih Allah. Kami mengikuti apa yang dilisankan oleh Mutawif. Kami bergerak ke Muzium Rasulullah dan berfoto di kawasan tersebut. Aku bukan sekadar menyertai ziarah semata-mata, malahan mencari value (nilai) dari aspek spiritual bukan saja-saja. Nilai yang aku peroleh, betapa hebatnya orang yang bernama Muhammad (Rasulullah), sehinggakan sukar untuk mencari pengganti selepas kewafatan baginda. Kami berfoto di hadapan Muzium Rasulullah  yang dahulunya merupakan Muzium Al-Quran.

Ziarah dalam di siang hari
Aku menapak ketenangan dicari
Sepuluh kususun jari jemari
Mengenang Rasulullah tambatan hati

Rombongan duyufurrahman kemudian bergerak ke Masjid Awan, Masjid Saiydina Abu Bakar dan ke kawasan yang digelar Saqifah Bani Saadah. Perkampungan Saqifah Bani Sa’idah, tempat di mana berlakunya perlantikan penganti Rasulullah setelah kewafatan baginda. Aku secara sukarela merakamkan foto untuk memori kenangan. Di ketiga-tiga lokasi tersebut, para jemaah tidak melepas peluang untuk berfoto. Kami bergerak agak jauh ke pintu pagar, kerana bukan semua pintu pagar dibuka untuk urusan keluar masuk. Di pintu masuk, hanya jemaah hadapan yang menunjukkan aplikasi Tawakalna, sedang yang lain diarah masuk tanpa melihat aplikasi tersebut. Di perjalanan balik ke hotel, kami berdua memisahkan diri untuk solat dhuaa di suatu lokasi berkarpet bawah payung gergasi.

Sepulang dari solat zohor, aku membeli Al Quran dengan terjemahan Bahasa Inggeris SR 45.00 di kedai Buku Dar Alzaman. Usai makan tengah hari, aku membuat tukaran wang di belakang hotel kami RM800 bersamaan SR680. Usai solat maghrib, aku berpeluang membacakan Surah Yassin khusus ditujukan kepada isteri sahabat hajiku dari Tawau, Tuan Haji Munir yang  baru sahaja mengalami kehilangan isterinya yang menemui penciptanya.

Pahala mengalir masuk ke akaun akhirat

Sebelum jam 10.00 malam, duyufurrhman lelaki berkumpul di lobby hotel dan bergerak bersama ke pintu 338. Seperti saat-saat ke Raudah kali yang pertama, pegawai keselamatan di pintu 388 melakukan pemeriksaan yang amat ketat. Mereka bukan setakat memeriksa aplikasi Tawakalna, malah memeriksa permit masuk ke Taman-taman Syurga. Bergerak melalui arah kiri Masjid Nabawi, menuju ke arah lorong berbelit-belit yang disediakan. Mendekati masjid, kami menyaksikan barisan jemaah yang agak panjang. Di cek point yang kedua, lagi sekali telefon disemak untuk pemeriksaan permit masuk. Aku yang agak terkedepan, tersentak apabila telefonku dicapai oleh pegawai pemeriksa. Aku agak tergamam, dan mindaku berputar seribu persoalan. Alhamdulllan, setelah beliau membelek-belek telefon pintar Samsung Galaxsy Z Fold3  5G dengan membuka lipatan sambil menyeret aplikasi yang terdapat di dalamnya, rakan-rakan lain mengambil kesempatan menyusup masuk melintasi di belakangku tanpa pemeriksaan yang ketat. Alhamdullah permata-permata syurga yang menghadiahi ayah mereka dengan telefon tersebut sebagai hadiah hari lahirku tempoh hari. Mereka juga menghadiahkan telefon VIVO V23 5G kepada ibu mereka. Moga pahala akan mengalir masuk ke dalam akaun akhirat kalian kerana dengan kemudahan tersebut, rakan-rakan jemaah beroleh manfaat kerananya. Ayah juga mempergunakannya untuk merakan foto di sepanjang ziarah ini, dan acapkali ayah buka telefon itu untuk bertalaqi dengan mudah kerana tulisan ayat-ayat Qurannya tampak lebih besar bagi memudahkan untuk membacanya. Bukan tidak mahu memegang Quran Madinah, tetapi ada kemudahan lain yang tersedia.

Usai berada di petak menunggu, aku menunaikan beberapa solat-solat sunat. Sama seperti kunjungan yang pertama, hati bergetar, sayu, sedih dan mengucapkan sejuta syukur kerana Allah perkenankan kami untuk bersolat di bekas-bekas tapak kaki Rasulullah dan sahabatnya bersolat. Tergambar betapa sulitnya menyampaikan dakwah yang dilakukan oleh insan agung itu. Kami meninggalkan perkarangan msjid pada jam 12.05 malam.

Itinerari Hari ke-4 di Madinah Ahad 20 Februari 2022- 18 Rejab (Ziarah Luar)

Pagi ini kami terjaga pada jam 3.05 pagi. Dengan bertemankan botol kosong yang bakal diisi dengan air zam-zam, aku mengenakan sarung tangan, sebelum meninggalkan bilik jam 3.05 pagi, di balik pintu kami berdoa “Ya Allah, selamatkanlah kami dalam perjalanan menuju ke masjid-Mu, jagalah lisan kami, jagalah perilaku kami dan kekalkanlah wuduk sehingga kami selesai beritikaf di masjid-Mu.” Aku seberapa boleh berhajat untuk mengikut resam Rasulullah di mana setelah hampir berlalunya setengah malam, Baginda akan bangun berwudhu’ dan mendirikan Solat Tahajjud. Apabila berbaki 1/6 malam pula, Baginda akan kembali tidur untuk merehatkan badan. Baginda akan terus tidur sehinggalah mendengar laungan azan dari Bilal radhiyallahu ‘anhu untuk solat subuh.

Di perjalanan dari hotel ke masjid, aku genggam erat tangan suriku menuju ke pintu 338, aku dan suriku membaca doa iktikaf. Aku santuni suriku dengan menghantarnya ke ruang solat wanita selepas melalui pemeriksaann Tawakalna di pintu masuk dan hanya beredar apabila kelibat suriku tidak terlihat olehku. Usai minum air zam-zam, aku menunaikan solat tahaiyatul masjid, solat wuduk, solat tahajud, solat tubat, solat syukur dan solat hajat sebelum solat azan dikumandangkan. Balik dari masjid, melaram sarapan pagi yang berpulu hidangan, yang kadangkala sukar untuk membuat pilihan.

Usai mempersiapkan diri, kami berkumpul di luar hotel untuk ziarah luar Madinah. Seperti di Mekah, kami berdua memilih kerusi yang strategik bagi membolehkan aku bergerak turun dengan segera untuk membolehkan merakam setiap pergerakan jemaah. Ini adalah kerja sukarelaku, bukan untuk beroleh puji-puja. Urusan pahala atau sebaliknya, itu aku serahan kepada Allah. Aku cuma memikirkan, kenangan terindah berada di tanah suci untuk diimbau oleh setiap duyufurrahman.

Bas kami meninggalkan hotel menuju ke Masjid Quba. Dalam perjalanan yang panjang dari Mekah ke Madinah, baginda ditemani oleh sahabatnya Saidina Abu Bakar dan seorang jurupandu. Mereka bertiga tiba di Quba pada 8 Rabiulawal 1 Hijrah. Sementara menunggu ketibaan Saidina Ali bin Abi Thalib yang menyusul kemudian, baginda menginap di kediaman Khulthum Ibn Hidm (ketua kaum Amr bin Auf). Penduduk Madinah, menunggu dengan sabar dengan nasyid, “Anta syamsyu annta badru,  ……..” Air mata bergenang, bulu roma tegak apabila mutawif meminta kami sama-sama bernasyid. Ketika ketibaan baginda di situ, penduduk tempatan keliru, yang mana satu Rasul dan yang mana satu sayidina Abu Bakar. Dengan bantuan penduduk tempatan dari puak Ansar, terbinalah Masjid Quba. Aku sempat menunaikan solat tahaiyatul masjid, solat dhuaa dan solat syukur. 

Sedondon pinki di Ladang Kurma Majeed


Masjid Quba ziarah kedua
Masjid pertama dibina baginda
Solat di dalamnya berlapang dada
Pahala berganda yang aku damba

Padang Uhud tampak menyerlah
Lokasi perang penuh sejarah
Di situ air jernih tertumpah
Mengenang kisah paman Rasulullah

Lawatan diteruskan ke Ladang kurma untuk membeli kurma Ajwa Ilyah dan kekacang. Syukur Ya Allah, aku lunaskan pesan anak-anakku, aku santuni dua ekor kucing dengan makanan (frishkes) yang kami bawa dari Kota Kinabalu. Mereka makan dengan lahapnya. Bukan hendak berbangga, aku berhasrat agar apa yang kami lakukan menjadi ikutan kepada duyufurrahman yang akan datang.


Bas kami bergerak ke Jabal Uhud. Di kejauhan, aku mengintai gunung yang berbatu kemerah-merahan, lokasi di mana berlakunya peperangan yang berlaku pada 15 Syawal 3 Hijrah (Mac 625 Masihi). Syukur Ya Allah, kami berjaya menyantuni seekor kucing di Uhud. 

Bukit penuh sejarag 'Jabbal Uhud'

Di perjalanan balik, kami melintasi kawasan Universiti Madinah di mana terdapatnya Masjid Qiblatain (Masjid dua kiblat) yang lokasinya terletak di kampung Bani Salamah. Masjid tersebut terletak tujuh kilometer dari Masjid Nabawi, mencatat sejarah tersendiri. Suri yang bernama Ummitasyar berduka cita atas kematian anaknya. Baginda nabi beserta para sahabat mengunjungi keluarga tersebut bertujuan untuk menghiburkan mereka. Baginda dan rombongan dijamu dengan seekor kambing yang dimasak buat santapan rombongan. Usai makan tengah hari, baginda dan rombongan solat di masjid kawasan kampung Bani Salamah. Peristiwa yang berlaku pada 2 Hijrah (17 bulan selepas hijrah nabi), di mana Rasulullah mendapat wahyu Allah untuk mengubah kiblat menghadap Baitullah, dari kiblat sebelumnya yang menghadap Baitul Muqadis. Kami tidak singgah, malahan hanya mendengar penerangan mutawif pengiring. Semasa bas mendekati Masjid Nabawi, aku cuba mengintai-intai sebuah masjid yang dinamai dengan Masjid Bilal, namun tidak dapat mengesan di mana lokasinya.

Usaha mendambakan diri serta menikmati kemanisan beribadah di Masjid Nabawi, aku selang-selikan dengan membaca peneman setiaku yang merupakan mukzizat dari Allah iaitu membasahkan lisanku dengan membaca Al-Quran. Aku terkesan dengan sesuatu yang aku baca sebelum ini yang mengungkapkan, “Lakukanlah Tilawah Al-Qur’an sebelum terbit matahari. Alangkah elok sebelum mata melihat dunia siang, mata sebaiknya disajikan dengan membaca Al-Qur’an terlebih dahulu. Paling tidak jika sesibuk apapun kita, bacalah walau beberapa ayat dengan penuh penghayatan.” Aku menyambung tilawah Al-Quran untuk dikhatamkan. Tilawah tersebut telah aku mulakan beberapa minggu sebelum bertolak ke tanah suci.

Sebelum tidur, aku dan suriku menyusun barangan yang dibeli ke dalam beg besar sebagai pra persiapan. Sebelum tidur, aku berazam melangkahkan kaki ini ke masjid terlebih dahulu sebelum melangkah ke tempat lain, kerana masjid merupakan pusat keberkatan, bukan kerana panggilan muazzim tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah. Dan sesungguhnya Allah mengurniakan kemenangan dan kejayaan kepada mereka yang menambat hati mereka di masjid-masjid.

Itinerari Isnin 21 Februari 2022 Hari ke-5 di Madinah - 19 Rejab 1443 H (acara bebas dan puasa sunat Isnin)

Jam disetkan ke angka 3.10 pagi. Aku membaca doa sebelum tidur, Al Ikhlas, selawat dan Ayat Kerusi. Kami terjaga agak lewat sedikit, membaca doa bangun tidur, “Alhamdulillah hilazi ahayana ……….. “. Aku memasak air panas, mandi dan bersiap-siap. Sahur dengan memakan buah Red Plum, minuman Alitea, makan bun.

Rutin biasa, aku tadahkan tangan di balik pintu berdoa agar pemergian kami berdua diredahi dilindungi Allah. “Ya Allah, hari ini kami akan mengejakan umrah semata-mata kerana-mu Ya Allah, semata-mata kerana-Mu Ya Allah, semata-mata kerana-Mu Ya Allah, lindungi kami dalam perjalanan, kurniakan kami dengan umrah yang mabrur dan kekalkan wuduk kami sehingga kami selesai beriktikaf di masjid-Mu.”

Kami bergerak ke masjid pada jam 5.00 pagi, sambil menggenggam erat tangan suriku, kami menyusuri jalan di celah beberapa bangunan menuju ke Masjid Nabawi.. Suasana di dataran begitu mendamaikan tatkala menuju ke pintu 338. Hari ini cuaca tidak lagi sedingin hari-hari sebelumnya. Apabila tiba depan pagar masjid, kami membaca doa iktikaf. Kami hanya memaparkan aplikasi Tawakalna sebagai passport memasuki masjid. Urusan masuk melalui hanya satu pintu sahaja, amat perlahan dengan barisan yang agak panjang.

Di saat berada di dalam Masjid Nabawi, aku teringat apa yang dikatakan oleh Abu Dzaar, “Kekasihku Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan tujuh hal padaku iaitu : Mencintai orang miskin dan dekat dengan mereka, memerintah agar melihat pada orang di bawahku (dalam hal harta) dan janganlah lihat pada orang yang berada di atasku, memerintahkan padaku untuk menyambung tali silaturahim (hubungan kerabat) walau kerabat tersebut bersikap kasar, memerintahkan padaku agar tidak meminta-minta pada seorang pun, memerintahkan untuk mengatakan yang benar walau itu pahit, memerintahkan padaku agar tidak takut terhadap celaan saat berdakwa di jalan Allah, dan memerintahkan agar memperbanyak ucapan “Laa hawla wa laa quwwata illa billah” (tidak ada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah), kerana kalimat tersebut termasuk simpanan di bawah ‘Arsy.”

Zafron dan tasbih seribu biji 

Kami balik dari masjid tanpa berjanji bertemu di mana-mana lokasi kerana aku berpuasa. Memilih laluan lain iaitu di laluan bekas jam kecil dan perhentian bas, aku memasuki sebuah premis yang menjual tasbih dan pelbagai barangan lain. Aku membeli dua botol ZAFRON, makanan tambahan yang berasal dari Timur Tengah dan Kashmir. Sebotol berharga SR 25.00, masih murah jika dibandingkan dengan harga di Malaysia. Antara khasiatnya ialah terapi kepada Alzheimer, bertindak kepada gejala kemurungn, merawat asma, baik untuk kesihatan mata, mempunyai ciri-ciri anti kanser dan pelbagai lagi. Sesiapa yang hendak mengetahui kegunaan ZAFRON yang lainnya, sila rujuk kepada Bapa Google. Aku juga membeli dua tasbih luar biasa, iaitu tasbih 1,000 biji bukan yang biasa-biasa 99 biji kiraan.

Paginya,  kami sepakan untuk berjalan agak jauh menuju ke  Pasar Raya BinDawood untuk membeli buah tangan. Kami melintasi beberapa hotel seperti Hotel Ruve, Hotel Nozol Royal, melencong ke Al Rawda Royal Inn, sebelum ke BinDawood. Syukur Ya Allah, di perjalanan, aku santuni seekor kucing dengan makanan yang aku bawa sehinggakan tiga keluarga Malaysia di depan kucing tersebut tercengang :  "Haji bawa makanan itu dari Malaysia." Aku cuma mengangguk mengiakannya.


Menyantuni si Oawen


Sebelum tiba di Bindawood, kami mencari Kedai Makan Indonesia yamg berada di aras satu salah sebuah bangunan, namun mendapati ia belum lagi beroperasi. Aku agak terkilan di mana di situ terdapat makanan kegemaranku iaitu soup kaki kambing yang lemak berkerim.

Misi jubah Haramain 

Kami ke Pasaraya BinDawood di mana aku membeli Red Plum, Yellou Plum, 2 biji buah delima, 6 biji telur putih Arab, dan mainan cucuku. Di jalan pulang, kami singgah di Kedai High Mark (gedung jubah jenama Haramain) yang terletk di bawah Al Rawda Royal Inn, untuk membeli sehelai jubah Haramain, serban hitam, beg tambahan dan sehelai selendang untuk suriku. Jubah Haramain pada kali ini tidak mempunyai stok yang begitu banyak.

Petangnya aku membawa roti (bun) dan isian botol air zam-zam sebagai persediaan untuk berbuka puasa. Tiada hamparan seferah di musim Umrah Norma Baharu, tidak seperti kemeriahan berbuka sebelum-sebelum umrah yang normal. Di beberapa sudut, terlihat duyufurrahman berkumpul bersama beberapa orang untuk membuka hidangan tatkala azan dilaungkan. Terlihat juga olehku beberapa orang membawa kotak makanan yang kelihatannya seperti ayam, namun di mana mereka memperoleh makanan itu tidak aku ketahui. Kami berbuka di tempat masing-masing tanpa ada pelawa mempelawa seperti sebelum Covid. Solat maghrib lewat dimulakan bagi memberi peluang jemaah berbuka, Tidak berganjak dari kawasan itu, aku mencapai Quran yang berdekatan untuk talaqi sementara menunggu isyak. Sebak, selalunya di ruang kanan dalam masjid, puluhan anak-anak Madinah berkumpul dengan guru-guru masing-masing mentelaah Al-Quran. Manakala, lelaki dewasa berkumpul mendengar tazkirah dari guru-guru Al-Quran dan membaca terjemahan hadis. Ia bukan satu, malah bersahut-sahutan dengan guru dari kumpulan lain yang berdekatan. Ini adalah antara kesan SOP ketat di musim Covid.

Usai makan malam, kami balik ke bilik melakukan rutin seperti hari-hari sebelumnya. Jam 8.40 malam Voice mail yang dihantar ke telefonku terdengar suara, “Ayah di mana, sini di lantai 6, ada ujian PCR.” Suriku memberi laluan kepadaku terlebih dahulu. Dalam nada yang kerisauan anaknda Ali Amin bersuara “Ibu di mana?”. “Ibu tengah bersiap.” Ujian sampel PCR dilakukan oleh Pembantu Makmal bernama Dr. Enaam Junainah dari Almamlaka Labs. Berpeluang merakam sedikit foto kenangan di kawasan ujian PCR (PCR kali ke-2) di luar bilik tingkat 6, termasuklah merakam foto kenangan suriku tengah mengambil ujian.

Itinerari Selasa 22 Februari 2022 - 20 Rejab 1443 H - Hari terakhir di Madinah (ziarah Wada)

Terjaga dalam jam 3.33 pagi. Usai mandi, kami mula mengemaskan barang-barang untuk dibuatkan ke dalam beg. Usai meletakkan dua beg besar di luar bilik, kami bergerak ke masjid jam 5.05 pagi. Menuju ke pintu 388, seperti buasa membuka aplikasi Tawakalna. Usai melepasi pinu, aku menghantar suriku ke pintu wanita. Aku perhatikan kelibatnya dengan mata bergenang. “Terima kasih suriku, kerana telah hadir ke tanah suci ini dengan menemaniku. Hanya engkau sajalah yang faham akan kelibat insan sekerdil aku. Terima kasih atas kesudianmu menempatkan empat benih di alam kandunganmu. Apu berdoa nun jauh di lubuk hatiku yang paling dalam, kerana engkau sentiasa melengkapi kekurangan yang ada padaku. Ya Allah, Engkau masukkanlah kami ke Jannatun Naimmu untuk kami boleh berkumpul di dalamnya. Masukkanlah kami ke sana tanpa dihisab.” Aku bergerak dalam keningan subuh dalam mata yang berbalam-balam.

Usai membasahkan tekakku dengan air zam-zam, aku memilih satu kawasan yang tidak berapa ramai tetamu Rasulullah, di sudut kiri pintu 22 di kawasan mendekati saf terkehadapan. Aku menunaikan marathon solat di selang-selikan dengan doa. Doa yang paling utama, “Ya Allah, Engkau ampunkanlah dosa-dosaku, dosa keluarga, dosa kedua orang tuaku, dosa ibu dan ayah mertuku, dosa orang-orang kampungku. Aku mohon Ya Allah, aku mohon Ya Allah, aku mphon Ya Allah, jangan Engkau jadikan ziarah kali ini buat yang terakhirku, jemputlah aku ke sini dalam masa terdekat. Engkau jemputlah kesemua juga rakan kenalan yang mengenali diri ini. Engkau jemput mereka yang pernah tersakiti olehku serta Engkau jemput juga mereka yang pernah menyakitiku.”

Usai subuh, dalam situasi dingin yang mencokok tulang, kami berkumpul di dalam pintu 388 untuk ziarah wada. Kami bergerak dari sebelah kiri masjid ke kawasan betul-betul di hadapan kubah hijau. Di sana kami berhimpun dengan Mutif Ali Amin berada di baris yang paling depan mengetui bacaan selawat dan doa. Merafak salam perpisahan, “Assalamualaika Ya Rasulullah. Assalamualaika ya habibullah. Selawat dan salam ke atas mu junjungan besar dan kekasih Allah. Salamku aku teruskan untuk Saydina Abu Bakar dan Sayidina Umar Al Khattab. “Assalamualaika ya Saydina Abu Bakar. Assalamualaika ya Sayidina Umar Al Khattab.” “ Ya Rasulullah, hari ini aku akan berangkat meninggalkan-mu, aku mohon Ya Allah, jangan Engkau jadikan kunjungan terhadap kekasih-Mu ini sebagai kunjungan terakhirku. Aku mohon Engkau jemput aku berserta keluargaku untuk kunjungan berikutnya dalam situasi sehat tubuh badan.”

Moga ini bukanlah kunjungan terakhir kami

Ziarah wada seusai subuh
Hati di dalam sungguh tersentuh
Memori melekat di jasad dan roh
Aku kuatkan semangat yang runtuh

Sedih, sayu dengan seribu rasa tatkala mengungkapkan selamat tinggal untuk kekasih Allah. Berfoto dalam kumpulan dan mutawif memberi peluang untuk semua berfoto di kawasan tersebut. Sebelum meninggalkan kawasan tersebut, kami memisahkan diri untuk bergerak lebih ke depan untuk aku berdoa dengan diaminkan oleh suriku : Dimulai dengan bacaan Al Fatihah, “Allah Ya Allah, Engkau ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa anak-anak kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa adik-beradik kami, dosa sahabat-sahabat kami, dosa seluruh kaum muslimin. Engkau mudahkan urusan kami, murahkan reziki kami, kurniakan kesihatan yang berpanjangan dengan keberkatan usia, Engkau jadikan anak-anak kami anak yang cemerlang dunia akhirat, anak yang berwawasan, anak yang senantiasa mendoakan ibu bapa, anak yang berjasa kepada agama, keluarga, bangsa dan negara, hidupkan dan matikan kami dalam keadaan Islam yang sempurna, terhindar dari fitnah dazal, terhindar dari api neraka. Engkau masukkan kami ke Jannatun Naim-Mu bersama keluarga kami tanpa dihisab, Allah Ya Rab, janganlah hendaknya Engkau jadikan kunjungan ini yang terakhir buat kami. Jemputlah kami sebagai Duyufurahman-Mu serta berilah kami kecukupan untuk kunjungan yang berikut-berikutnya. Engkau jemputlah juga anak-anak dan menantu kami, adik beradik kami, ipar-duai kami, jiran-jiran kami, sahabat Surau Al Mukminin, ahli group Islam Itu Indah dan semua insan yang mengenali diri ini untuk berumrah mengunjungi dua kota suci-Mu. Ya Allah berikanlah kekuatan kepada kami, keluarga kami, barisan hadapan kami, dalam situasi mendepani Covid. Andaikata Covid ini Engkau turunkan bukan kerana murka-Mu tetapi kerana kasih sayang-Mu, angkatlah penyakit ini ke langit dunia-Mu dan hindarkanlah dari merebak ke dalam komuniti kami, keluarga kami dan rakan-rakan kenalan kami.”

 Ali Amin bersama bondanya dan aku,
berlatarbelakang kubah hijau

Gam Arab dan Habatus Sauda

Di perjalanan  meninggalkan masjid, aku singgah bersama suriku membeli aneka roti serta beberapa kekacang tambahan, kerana bagasi belum sampai ke had maksimumnya. Sebab pada malam sebelumnya, kami sempat menimbang bagasi dengan alat timbang yang aku bawa dari Kota Kinabalu.
Aku berkesempatan juga untuk membeli Gam Arab dan Habatus Sauda. Kami tersenyum melihat cengkih juga terjual di kedai tersebut. Wah, betapa prihatinnya peniaga-peniaga di situ.

Apa itu Gam Arab. Arabic gum mengandungi beberapa komponen yang menyebabkan ia bagus untuk kesihatan. Ia adalah sejenis bahan yang boleh didapati daripada pokok Acacia daripada jenis Acacia senegal dan Acacia seyal yang boleh ditemui di negara-negara tropikal dan subtropikal seperti di India, Afrika, Sudan dan Nigeria. Khasiatnya ialah mengawal paras gula dalam darah, menurunkan paras kolesterol, mengawal tekanan darah tinggi, berfungsi prebiotik Oleh kerana kandungan seratnya yang tinggi, arabic gum juga  mempunyai fungsi sebagai prebiotik. Prebiotik adalah bahan yang berperanan penting untuk meningkatkan jumlah probiotik atau bakteria baik di dalam usus sekaligus memberi pelbagai kebaikan kepada badan seperti membantu sistem penghadaman badan berfungsi dengan baik dan juga membantu penyerapan mineral di dalam badan, menyokong sistem pertahanan badan, mempunyai kesan perlindungan terhadap pembentukan ulser perut,  berfungsi arabic gum sebagai serat makanan juga boleh membantu penyembuhan ulser perut, mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi yang boleh membantu melawan radikal bebas sekaligus mencegah penyakit dan berpotensi untuk mencegah penyakit kanser seperti kanser usus. 

Aku bergerak solo ke kedai High Mark untuk menukar saiz baju yang agak ketat. Aku singgah membeli jubah untuk sahabat hajiku dari Tawau Tuan Haji Munir, di tambah dengan tiga helai sejadah mini Raudah (Al Raudah Rug buatan Mada Carpets) untuk permata-permata hati kami, dan menambah sehelai Jubah Arab (Thobe) berwarna cream.

Moga ini bukan kunjungan terakhir

Sebelum bergerak ke masjid untuk solat zohor, kami mengeluarkan bagasi ke luar bilik. Aku tidak berapa gembira tapi bukan curiga, lalu menurunkan beg-beg kami ke lobby hotel. Aku orang pertama yang berbuat demikian.

Ketika memanjat anak tangga bas, aku renung cuaca cerah bandar Madinah Al Munawarah. Angin sepoi sepoi. Langit agak cerah seumpama menanti doa dari kami. Tenang. Pengalaman yang sangat sangat tidak akan dilupakan. Banyak rentetan doa telah dilisankan sepanjang ziarah. Moga Allah angkat doaku dan doa-doa kami para duyufurrahman. Terlalu sedih hendak berpisah dengan Kekasih Allah. "Selamat tinggal kekasih Allah. Ya Allah, jangan Engkau jadikan ziarah ini yang terakhirku. Jemputlah aku, anak isteriku dan rakan-rakanku untuk kunjungan yang berikut-berikutnya." Sebak sangat. 

Jam 2.31 petang, bas bergerak meninggalkan hotel dengan mata masuk habuk. Kelibat kubah hijau terlihat olehku melalui tingkap bas pada jam 2.31 petang. 

Jam 2.53 petang, rombongan singgah di Sumur Aizik, iaitu tempat di mana Rasulullah menghirup air membasahkan tekak. Ia terletak 150 meter dari Masjid Quba. Syukur Ya Allah, sejak sekian lama memeram hajat yang terpendam di hati untuk ke sumur tersebut. Dengan izin-Nya, hajat tercapai di tahun 2022. Aku mencapai sebotol air buat sapuan kakiku yang lenguh dan menyapu muka. Sempat berswafoto di sekitar kawasan telaga.

Sebelum bas bergerak meninggalkan lokasi telaga, aku tampil ke depan menyerahkan beg sandang biru Nurmultazam yang terisi dengan beberapa buah tangan, sambil memeluk anaknda  Ali Amin, serta mencium pipi kanan dan pipi kiri beliau dengan satu bisikan, "Doakan ayah untuk kembali ke Haramain dalam masa terdekat.

Bergerak ke Lapangan Terbang dengan ucapan maaf dari Mutawif, ucapan Tuan Haji Mustafa selaku wakil duyufurrahman dan ucapan wakil jemaah wanita (babu Riam kalau tidak silap). Tiba di Lapangan Terbang Raja Aziz Madinah jam 4.36 petang. Cik Mariana membahagi-bahagikan keputusan PCR yang mencatatkan kesemua jemaah”‘Negatif.” Kami sempat solat asar di surau luar lapangan terbang. Sempat menghulur Ringgit Malaysia kepada kedua-dua mutawif yang sangat prihatin, yang membantu tanpa mengira waktu semasa berkampung di Mekah dan di Madinah.

Hati di dalam berkeluh resah
Lambai salam sebelum berpisah
Ku tinggal pergi kekasih Allah
Hati pedih bagai terbelah

Aku, suriku dan Puan Siti Sulhayati bergerak beriringan menuju ke pusat Cek-In. Puan Siti menyantuni suriku dengan pelbagai cerita yang gagal untuk aku curi dengar kerana mendorong troli yang agak berat. Proses cek-in yang lancar, waima dalam keadaan yang padat dengan Duyufurrahman. Syukur Ya Allah, pegawai penerbangan tidak begitu berkira dalam urusan berat bagasi, walhal berat bagasi kami sedikit melebihi 60 kilo. Syukur sangat-sangat Ya Allah, dengan perkenan-Mu segala urusan kami dipermudahkan semudah-mudahnya. Mereka meminta untuk kami membuka pelitup muka dan memeriksan MySejahtera kami. Di suatu laluan, anaknda Ali Amin memohon membantu kami untuk urusan cek-in air zam-zam kami. Sekali lagi aku memeluknya dan memeluk anaknda Omar. Puan Siti yang tidak ikut berlepas balik kerana menunggu rombongan seterusnya (4 Mac), sempat menyantuni kami dengan ramah.

Kami semua menuju ke ruang berlepas. Berpeluang menunaikan solat jamak maghrib isyak di surau airport di kawasan boarding room. Sempat makan  setapau ayam Al-Baik yang menyelerakan.

Di pintu masuk pesawat, kami disantuni oleh paramugara paramugari yang ramah ketika menyerahkan 'Hygiene Kit" kepada setiap duyufurrahman.  Aku duduk di tepi tingkap sebelah kanan kapal di kerusi 37K manakala suriku di kerusi 37H. Syukur Ya Allah, kami memperoleh kerusi berdua di tepi tingkap. Jam 9.44 malam MH8217 meninggalkan landasan Lapangan Terbang Raja Aziz Madinah.

Itinerari Rabu 23 Februari 2022 - 21 Rejab 1443 H

Tujuh warna kilauan bangkawat,
Anak saluang di dalam kolah;
Hati berdebar melihat megahnya pesawat,
Tidak sehebat debaran mendepani Baitullah.

Pesawat terbang dengan tenang menyantuni para duyufurrahman, dengan hidangan pertama nasi dan hidangan kedua aku meminta telor dadar. Jam 3.42 pagi azan subuh memenuhi segenap ruang pesawat. Kami hanya solat menghormati waktu kerana memikirkan ruang solat di pesawat amat terbatas.


Burung besi yang membawa kami kembali ke KL

Apabila teringat Surah Al Hijr (nama kota kaum Tsamud) ayat ke-98 dan 99, yang bermaksud : “Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah kamu orang-orang yang bersujud,” “dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (kiamat).” Aku meneruskan selawatku, waima ia telah mencapai target asalkum”sepuluh ribu selawat” .

Di dada pesawat aku sempat mencatat ungkapan berikut :

Di bawah aku mengintai kelibat awan umpama kain beripul
dari atas, mata bergenang dengan hai terpukul
mengapa sukar mengerti
di Haramain-Mu kelibat cucu-cucu mengetuk pintu hati
di tanah air, rindu Haramain menerobos jantung hati
sedetik berpisah rasa gelisah
tangan kutadah
Allah Ya Allah bawa daku kembali ke Haramain-Mu
untuk aku mengucup Hajar Aswad-Mu
untuk menapak jejak Siti Hajar
untuk aku sauhkan dahiku di Raudah-Mu
demi mengubat rindu itu

Tiada pengasingan antara jemaah Sabah dengan jemaah Semenanjung

Jam 11.02 tengah hari burung besi yang kami naiki mencecah landasan KLIA. Suasana sendat tanpa penjarakkan ketika mengisi borang. Oleh kerana hanya tiga barisan di peruntukkan, pergerakan untuk memasang gelang berjalan agak hambar. Mujurlah pengurus muda kami yang amat cekap, telah meminta kami untuk mengisi sesuatu maklumat penting (mengisi dalam HP) mengenai status ketibaan kami.  Lagi-lagi perkara inilah yang membantut kelicinan pemakaiann gelang. Satu lagi perkara yang melambangkan ketidakcekapan pegawai KKM di Airport KLIA, jemaah dari Sabah sepatutnya bukan memakai gelang, tetapi dipakaikan TAG. Beberapa orang kalangan kami termasuk saya dan isteri, telah dibawa semula ke lokasi pemakaian gelang untuk memotong gelang dan menggantikannya dengan Tag.

Usai berkumpul, kami menaiki train ke aras lima terminal 1. Kami beratur panjang untuk menjalani ujian PCR (kali ke-2) dan Tag kami dikembalikan kepada pegawai. Di sinilah masalah bercampuraduknya keputusan ujian PCR. Hal yang sepatutnya, jemaah Negeri Sabah diasingkan sejak mengisi borang di terminal antarabangsa lagi, sebab jemaah Sabah memerlukan keputusan PCR dengan kadar segera, untuk ke pusat kuarantin (Hotel Ibis), sedang mereka hanya perlu kuarantin di rumah masing-masing.

Mengapa tidak prihatin

Usai PCR, kami bergerak ke ruang menuntut bagasi. Sepatutnya bas yang menunggu ketibaan jemaah bukan jemaah yang menunggu bas. Agak membosankan menunggu ketibaan bas dalam keadaan perut yang sudah berkeroncong, waima telah makan di dalam kapal akan tetapi makanan di dalam kapal bukan sesuai untuk semua orang, lagi-lagilah warga-warga emas.

Saya berusaha ke kedai roti di aras yang sama tetapi dihalang memasuki kedai berkenaan kerana kami adalah orang yang dikuarantin dan berisiko tinggi (keterangan pegawai MAB yang menjaga kaunter masuk). Kami tatap akur. Tahniah dan terima kasih kepada beberapa jejaka yang muda belia, merekalah yang mengatur penyusunan beg ke perut bas. Akhirnya sebahagian beg yang besar terpaksa diangkut naik ke atas bas kerana ruang penyimpanan bagasi bas tidak seluas ruang penyimpanan bagasi bas-bas di Arab Saudi.

Agak lucu ketibaan kami di hotel Ibis Pudu, Kompleks Metro Pudu, Jalan Pudu Kuala Lumpur, bukan disambut dengan salam tetapi disambut dengan semburan bahan kimia. Agak lama juga menunggu untuk mendapatkan bilik, sambil mengadu yang perut kami tengah berkeroncong. Tiba di bilik 871, kami menunaikan solat jamak sebelum membongkar pakaian dan makanan untuk empat malam bermalam di Hotel Ibis, bilik yang bersetentangan dengan bilik kami menempatkan keluarga Tuan Haji Mustapa. Hasil PCR KLIA yang diterima agak lambat memaparkan 19 orang negatif dan beberapa orang lagi masih menunggu keputusan.

Menyeramkan

Suasana di dalam bilik adalah samar-samar, pagi, petang, siang dan malam. Bilik hanya dicahayakan dengan lampu-lampu LED berwarna kuning. Tingkap bersais luas tetapi kalau dibuka aurat kita akan terdedah kepada penghuni bilik di blok sebelah. Dilengkapi dengan peti ais kecil, airkon, kerusi rehat dan peti televisen tanpa almari baju. Kami tidak dibenarkan meninggalkan bilik masing-masing, apa lagi untuk berhubung dengan bilik jiran.

Tibalah masa untuk makan, agak cekap kerana makanan dihantar ke bilik agak cepat. Hidangan pertama menyelerakan kerana lauk ayam masak kicap kegemaran suriku, buah-buahan berserta dua botol jus. Boleh tahan. Loceng bilik dibunyikan dan muncul pula hidangan kedua untuk makan malam, Allahu Akbar, hidangan hampir sama nasi seakan-akan nasi goreng dengan sayuran hirisan kobis unggu dan sedikit salad. 

Begitulah rutin makanan kami selama empat hari. Macamana yang berkuarantin tujuh hari dan sepuluh hari. Semua kena akur, sabar dan bukan tidak mensyukuri nikmat reziki Allah (mkanan), akan tetapi bagi mewakili rombongan duyufurrahman Nurmultazam, biarlah kami sahaja yang menerima keadaan serupa ini tidak kepada orang lain. Kami berharap dan berdoa agar rintihan ini akan merubah pemikiran pihak hotel untuk membuat penambahbaikan kepada jemaah-jemaah yang seterusnya.

Sabahan bukannya memilih makanan tetapi tidaklah menepati selera Sabah. Kobis itukan ditanam di negeri Sabah. Makanan biasa bagi kami, waima kobis di Semenanjung dipetik dari Cameron Highand, namun tatap kubis juga. Tahniah, ada juga usaha untuk permohonan perubahan menu yang disediakan, tetpi ditolak mesra. Kami tatap akur. Akhirnya, penyertaan managment di dalam group Nurmultazam 12.02.2022 disingkirkan kerana tidak berfungsi tetapi lebih kepada menyakitkan hati. Aku memperoleh iktibar dari kuarantin tersebut iaitu membolehkan kami beristirehat bagi menyambung misi berselawat dan memenuhi masa dengan pengisian solat-solet sunat. Aku sendiri berjaya memulakan karya travelogku.  Cuma tatkala bersua dengan hari Jumaat, hati ini digaru-garu gelisah tidak dapat menghadirkan diri ke masjid untuk solat Jumaat.

Ibrah kuaratin

Empat malam dilalui seorang-seorang, mujurlah yang berkeluarga seperti aku, kami berdua menginap sebilik. Kekadang menggelikan hati pabila membaca perkongsian yang disalurkan melalui WhatsApp group. Agak lucu juga apabila sebahagian makanan yang diniatkan sebagai ole-ole dibongkar untuk dimakan semasa kuarantin. Sebahagian dari kami, ada yang memesan makanan melalui Grab Food bagi memenuhi selera dan ada yang menghubungi saudara yang tinggal di ibu kota bagi memesan makanan.

Masa yang agak lama di kuarantin membolehkan kami meneruskan sebahagian rutin di Haramain. Aku merefleksi diri sendiri, mengenali diri sebagai hamba Allah, mensyukuri akan hikmah-Nya. Sudah tentu ini bukan terjadi atas kehendak insan biasa. Ini adalah perancangan Allah yang maha hebat. Sekurang-kurangnya, masa senggang tersebut membolehkan kami merehatkan minda kami. Ia mendidik hati ini agar bersabar, bertenang dan bersyukur dan membuka ruang untuk aku memulakan penulisan travelog ini. 

Aku sempat berhubung dengan wakil rakyat kawasan Papar dan sempat menyuarakan beberapa pandangan. Aku mengirimkan dua rangkap pantun yang pembayangnya dalam bahasa ibondaku  untuk didendangkan di Sidang Perliman seperti di bawah 

Umpil bukan sebarang umpil, 
umpil dengan batang biabas; 
tampil bukan sebarang tampil, 
tampil untuk mengusul bahas.

Salimbada batapuk di dalam uras, 
lipat kain batapas-tapas; 
bahas diusul bukan dibidas, 
mohon pertimbangan di pihak atas.

Sejuta debaran

Hendak rujuk-rujuklah segera,
jangan si dia termanggu-manggu;
ku pujuk-pujuk tidurlah mata,
keputusan PCR debaran ditunggu.

Pagi 26 Feb, PCR terakhir (kali ke-4) sebagai passport untuk berlepas balik ke kampung halaman di Sabah dibuat seawal pagi. Oleh kerana SOP yang ketat, pegawai kesihatan klinik swasta (LAB MEDIC SDN BHD, Damansara Utama Petaling Jaya Selangor) mengunjungi bilik-bilik yang penghuninya berkeputusan negatif untuk dilepas pulang pada keesokkan harinya. Debaran dan dalam debaran, doa dipanjatkan sepanjang masa menunggu. Ini adalah ibrah terbesar Allah agar kita tidak leka dari memohon, berzikir kepada-Nya. Ramai kalangan kami tidak boleh melelapkan mata sehingga akhir kalam kami seramai 12 orang boleh berangkat balik ke kampung halaman. Keputusan kami terima pada jam 10.44 malam.

Kampung halaman (Ahad 27 Feb) “Selamat tiba ke tanah air “

Sebelum menaiki bas,  kami memperoleh pertolongan daripada anaknda Azahar mengisi data penting dalam telefon masing-masing. Al maklum, warga emas kurang jelas penglihatannya. Ini ditambah pula sebahagiannya adalah pengguna telefon pintar yang belum mesra alam. Telefon yang baru, dihadiahkan oleh anak-anak sebelum ke Tanah Suci. Pegawai kaunter yang bertugas mengedarkan surat pelepasan dari KKM kepada kami semua untuk dibuktikan di Airport ketik proses cek-in.

Jam 1.32 petang, 12 orang - Halimah Norbidin, Salmah Estro, Mohd Noor Aharudin, Liteni Boilil, Siti Zamilah Latip, Tarintan Said, Kuili Ejoh, Riam Dauda, Suria Sahada, Azahar, aku dan isteri, berlepas menaiki bas ke  KLIA. Makanan ada disediakan di hotel, akan tetapi sebahagiannya memilih untuk tidak membawanya. Aku dan isteri menyerahkan tapau makanan yang kami peroleh kepada pemandu bas.

Situasi di dalam bas ketika meninggalkan Hotel Ibis sunyi sepi, sedih kerana bilangan yang sedikit berlepas pulang ke Sabah, tidak seperti selalunya. Di pintu masuk ke KLIA, kami ditunggu oleh dua orang pegawai MAB yang meneliti telefon kami dan memeriksa isi butiran surat pelepasan dari klinik swasta yang kami bawa. Mujurlah beberapa jejaka yang berotot membantu kami untuk menyusun bagasi ke dalam troli. Seorang anak muda  yang bekerja di puast bandar, anak lelaki kepada salah seorang jemaah, juga banyak membantu kami.

Usai urusan cek-in beramai-ramai di kaunter B, kami mengajak rakan-rakan jemaah untuk makan tengah hari. Aku dan isteri makan di aras dua KLIA. Barulah merasa nasi putih dan ikan goreng selera orang kampung. Kami turun semula ke lantai satu (lantai ketibaan) untuk membeli bread, kekacang dan bun-bun. Kami memilih solat di suatu surau bersebelahan kedai menjual roti (Eraman).

Jam 6.17 petang, melabuh punggung di kerusi 22E dan kerusi 22F. Hati dihambat sedih melihat kerusi kosong di belakang kerusi kami. Burung besi MH2738 berlepas jam 7.00 malam, meninggalkan bumi Kuala Lumpur yang mengambil masa 2 jam 45 minit untuk tiba di KKIA. Tidak banyak yang kami lakukan melainkan meneruskan misi selawat waima telah mencapai target awalku. Semakin mendekat landasan Kota Kinabalu, pesawat mula terbang rendah dan aku merakam swafoto mengenai banyak kerusi kosong di belakang pesawat. Ketibaan kami di KKIA disambut dengan adik-adik KKM yang memeriksa MySejahtera kami. Semasa berbaris menuju ke balai tuntutan bagasi, terdengar di halwa telingaku rungutan dari seseorang apabila telefonnya disemak, “Apa lagi ini, saya mau pulang. Ini Sabah baini.” Usai mencapai bagasi dan bersalam-salaman sesama jemaah, di luar kami bukan sahaja ditunggu oleh ahli keluarga malahan kami disantuni oleh Tuan Haji Shamsul dan pembantunya Norhain  (pembantu Puan Yati). Keriangan cucuku menyambut ketibaan bersama anak-anak dan menantu mengakhiri travelog ini. Aku sampaikan salam Haji Ali Amin kepada ahli keluargaku

Jam 10.31 malam, 27 Feb, aku melaporkan Voice Mail kepada anaknda Haji Ali Amin mengenai  ketibaan kami di Kota Kinabalu, dengan selamat tanpa ada kekurangan. 

Khidmat lima bintang

Aku meletakkan lima bintang kepada pihak pengurusan Nurmultazam, yang memuaskan. Puan Siti yang sentiasa berada bersama-sama kami bagi memastikan keselesaan Duyufurrahman, begitu juga pembantunya yang pihatin (cik Mariana). Mutawif  pembimbing, anakanda Ali Amin tidak pernah jemu-jemu berada bersama-sama kami sedari awal ketibaan kami sehingga aku telah berada di rumah kediaman. Beliau dan pembantunya (Omar Faroq) bukan sekadar membantu dengan bantuan ala kadar, malah membimbing kami hingga ke tahap hendak pergi membeli-belah. Bayangkan  di saat-saat berada di rumah, jam 11.06 malam anaknda Ali menghantar dua voice mail kepadaku dengan suara bergetar sedih,  menzahirkan empati mengenai nasib sebahagian jemaah positif PCR. Beliau berdoa di depan Kaabah akan keselamatan rombongan dengan nada yang sebak. 
 
Allah pilih kami untuk mendepani banyak cabaran

Aku juga meletakkan tahap lima bintang terhadap kesabaran tinggi rakan serombongan, waima berada di situasi 12 jam di KLIA, melakukan tawaf ketika masih dalam situasi letih, namun tiada rungutan yang singgah di halwa telingaku. Jarak keluar dari Marwah untuk kembali ke hotel selepas tahalul, lumayan jauh, tetapi sanggup kami depani dengan tenang. Terpaksa melalui jarak jauh dengan halangannya berliku-liku dan berselekoh-selekoh, untuk ke Taman-taman Syurga bagi duyufurrahman lelaki juga didepani dengan rasa penuh syukur.  Ku dengar dari suriku berkata, jumlah jemaah yang dibolehkan menunaikan solat di Raudah dalam suatu-suatu masa terhad kepada  sepuluh orang sahaja. Hasil kesabaran tersebut, para duyufurrahman boleh berada lama di Taman-taman Syurga dengan tenang, aman dan selesa, berjarak mengikut SOP.

Duyufurrtahman sanggup mendepani kuarantin 4 hari (12 orang), ada yang 7  hari (19 orang) dan 3 orang kuarantin 10 hari, namun mereka tetap pasrah. Sebahagian kami mendepani 4 kali PCR dan yang lainnya 3 kali ujian PCR. Ujian PCR pertama ialah pada 11 Feb, sehari sebelum berlepas, ujian PCR ke-2, sehari sebelum berlepas balik ke tanah air, ujian PCR ketiga ialah sebaik-baik saja tiba di KLIA dan ujian PCR keempat sehari sebelum balik ke Sabah. Di keempat-empat ujian itu, keputusannya ditunggu dengan debaran yang memuncak. Syabas, sesungguhnya, ujian yang kita terima berkemungkinan tidak sampai lima peratus sepertimana ujian terhadap Kekasih Allah dalam menjalankan misi dakwahnya. 

Hebat dan manisnya pengalaman ini hanya dapat dirasai oleh rombongan kami (12-23 Februari). Tidak mungkin pengalaman ini, ada persamaannya dengan pengalaman rombongan duyufurrahman yang lain. 
Syukur Ya Allah, Engkau himpunkan rombongan kami (12-23 Februari) ini sebagai satu keluarga, waima datangnya dari pelbagai daerah sejauh Ranggu Tawau, Kinabatangan Sandakan, Kota Belud, Tuaran, Kimanis Papar, Petagas, Universiti Appartment Menggatal, Sembulan, Kepayan dan Kinarut. Aku sentiasa berdoa semoga kesemua ujian yang kami hadapi dengan sabar, akur dan tenang itu kelak akan menjadi asbab untuk Allah himpunkan kami di Jannatun Naim-Nya. 

Bukan kebetulan, tetapi Allah sebaik-baik perancang

Nombor dua belas melekat di minda ini. Kami seramai 35 orang bergerak ke ke Jeddah meninggalkan Kota Kinabalu pada 12 Feb 2022. Jemaah terdiri dari 12 orang lelaki 23 wanita. Menunggu di Lapangan Terbang Kuala Lumpur selama 12 jam, asalnya 12 jemaah menaiki train laju tetapi tinggal 10 orang, jam 12 tengah malam meninggalkan Raudah untuk kunjungan ke- 2 jam  dan seramai 12 orang kumpulan pertama balik ke Sabah pada 27 Feb . Bukan bangga tetapi sebak meninggalkan seramai 22 jemah yang tidak dapat balik bersama-sama kerana 19 orang jemaah balik pada 2 Mac dan 3 orang balik 5 Mac 2022. Sebenarnya, kami ibarat satu keluarga besar Nurmultazam.

Aku bukan yang terbaik, mungkin pengalamanku beribadah di Norma Baharu berbeza dengan pengalaman orang lain

Sebagai insan biasa-biasa, kita serupa. Tiada seorang insan pun di dunia ini boleh memberi jaminan bahawa ia pasti akan hidup pada keesokkan harinya tatkala ia melelapkan mata untuk tidur di malam harinya. Usia manusia hanya ada dalam pengetahuan-Nya. Oleh itu, mari kita ceria-ceriakan hidup kita yang tersisa. Usah berselisih pendapat mengenai vaksanisi dan usah mengadu domba. Betul kata Penulis buku “Be Cool” … Bonda Nor yang mencatatkan “Dedam itu ibarat pedang bermata dua …. kita melibas untuk melukakan orang lain, akan tetapi dalam masa yang sama kita akan ikut terluka.” Pujuklah hati-hati kita, nescaya segala masam manisnya beribadah di Norma Baharu akan menjadi kenangan semanis-manisnya. Kerinduan menyelak langsir bilik untuk mengintai Baitullah dari tingkat 19 serta kerinduan menyelak langsir untuk menikmati terbitnya matahari ketika di Madinah Al Munawarah amat berbekas di hati ini.

Kepada pihak pengurusan Nurmultazam, jutaan terima kasih kerana telah berjaya untuk merealisasikan impian kami berdua dan impian semua ahli rombongan. Kepada DuyufurRahman serombongan, mohon maaf andai terkesan dengan tingkahlaku kami berdua. Mungkin ada sebahagian sahabat akhiratku perasan yang kami berdua kerap berada di kedudukan nombor satu. Orang pertama membuat ujian PCR di Kota Kinabalu, orang pertama menaiki bas (booking tempat duduk), orang yang kerap di depan tatkala tawaf, orang yang pertama bertolak ke masjid dan sering mengambil saf yang agak di hadapan (perasan dan syok sendiri saja). Itulah yang Allah takdirkan kepada kami. Maafkan kami. Sesungguhnya, keriuhan kalian sepanjang ziarah di Norma Baharu merupakan pemangkin roh ziarah kami berdua. Kepada kalangan pembaca, kesudian anda untuk membaca hingga ke noktah akhir, terlebih dahulu dirakamkan ucapan terima kasih. Sebelum menutup kalam, maaf dipinta. “Bumi mana yang tidak ditimpakan hujan”. Andai dokumentasi ini dilihat sebagai ego pribadi saya, maafkan saya. Aku tidak mengharapkan puja puji atau pingat dunia, aku hanya mengharapkan agar perkongsian ini mampu melorong jalan kepada insan pembaca untuk menanam sekelumit niat untuk berziarah dalam masa terdekat. Bagiku, pengalaman mengerjakan ibadah umrah di Norma Baharu amat luar biasa harus dikongsikan sebagai pedoman bersama.

Akhir kalam, aku menyeru diriku sendiri dan kalian pembaca, untuk sama-sama berusaha wujudkan Taman-taman Syurga di rumah masing-masing. Kalian tentu berpengalaman bagaimana ribuan tetamu Rasulullah, berebut-rebut untuk ke suatu tujuan. Tetapi di Norma Baharu, bilangan yang terhad berada Di Taman-taman Syurga membolehkan kita beribadah dan berdoa dengan begitu tenang dan damai. Pabila berada di dalamnya, kita terbius dengan solat dan berdoa tanpa mengendahkan orang lain. Ikutlah sifat Rasulullah yang memilih untuk tidak murka malahan memaafkan musuh yang melukainya ketika berdawah di Thaif. Dengan badan yang penuh luka-luka, baginda mengangkat tangan dan berdoa, “Ya Allah, ampunilah kaumku kerana mereka tidak mengerti.” Oleh itu, sejuta maaf aku sembahkan andai nukilan ini menguris hati kalian.  Andai kita bersua di  mana-mana tempat selepas ini, tegur-tegurlah kami, kerana sukar untuk mengenali rupa sesama kalangan duyufurrahman yang bertopeng, yang hanya membuka pelitup muka tatkala menyuapkan makanan.

Penutup kalam, andai ada cerita kurang baik sepanjang ibadah ziarah, tinggalkan sahaja sebagai sejarah lampau dan bawalah balik cerita yang baik-baik sahaja.

Kini umrahku selesai sudah
Kita dididik cekal dan tabah
Sepulang ke rumah gandakan ibadah
Demi melengkap redha-Nya Allah

Senarai semak ibadah di Tanah Suci Norma Baharu yang aku garapkan :

1. Solat taubat, solat Dhuaa, Solat hajat, solat tahjud selepas solat-solat wajib beberapa minggu sebelum berlepas
2. Solat musafir sebelum di hari berlepas
3. Berdoa sebelum perjalanan
4. Menetapkan sejumlah selawat sedari meninggalkan tanah air sehingga ke Madinah
5. Sujud Syukur ketika tiba di Madinah, ketika tiba di Mekah, dan ketika tiba di tanah air
6. Menetapkan sejumlah dzikir ketika bergerak ke Mekah
7. Solat tahaiyatul masjid
8. Solat wuduk
9. Solat-solat wajib
10. Solat kabliah dan baadiah
11. Solat Qadha
12. Solat Taubat
13. Solat hajat
14. Solat syukur
15. Solat Dhuaa
16. Solat tahajud
17. Solat witir
18. Solat tasbih (tidak tercapai kerana SOP yang ketat)
19. Solat jenazah
20. Puasa Isnin dan Khamis
21. Tawaf tahaiyatul bait
22. Tawaf sunat
23. Tilawah al-quran
24. Berdoa agar dijemput untuk kunjungan berikutnya
25. Mohon ampun segala dosa
26. Infaq

Moga Allah Rabbul Jalil memberi balasan syurga buat sekelompok deretan penulis yang memangkin ibadahku dalam situasi berdepan pendemik Covid dan Norma Bahari seperti penulis Antologi Seminar Penulisan Mega “Berani Berhijrah” (Bonda Nor), Bekalan Perjalanan Terindah Haji, Umrah dan Ziarah (Shamsul Mohd Nor), Meludah Ke Langit (Bonda Nor), Be Cool, Pelan-Pelan Kayuh, Up To You (Bonda Nor and the geng), Himpunan Doa - Dzikir Ibadah Umrah & Haji (Tujuh Putri Barokah - Travel Umrah dan Haji - Jakarta Barat), Panduan untuk jemaah haji dan umrah (Jabatan Urusan Percetakan & Penerbitan Riyadh Arab Saudi), Kaedah Khusyuk Berhaji dan Berumrah (Prof Madya Dr. Azaharuddin Sahil), Kisah 25 Nabi-Nabi (Tarikuddin bin Hj. Hassan), Ustazah Basikal (Noradilah Mohd Sapie dan Ahmad Mohd Isa), Ciri-ciri Pencinta Nabi (Fadl Ilahi), Muhammad ‘Insan Paling Sempurna Pernah Dilahirkan’ (Dr. Kamilin Jamilin), Biografi Agung Rasulullah (Rusydi Ramli), Biografi Muhammad bin Abdullah (Zulkifli Yusof dan Noor Naemah), Install Pahala Un Install Dosa (Najmi Farisham), Tinta Haramain (Masnira Ramli), Embara Kasang (Masnira Ramli), Menanti Jemputan ke Tanah Suci (Ridzuan Zulkifly), dan buku Ceritera Haji Wartawan Al Quran (Abdullah Bukhari Abd. Rahim Al-Hafiz).

Hendak lintas, lintaslah saja, 
biarkan biduk mudik ke hulu; 
hendak tidur tidurlah mata, 
jangan igaukan PCR lalu.

Sekian, Allahu Alam.

No comments: