Monday, October 1, 2012

Peristiwa yang kurang diambil peduli

Suatu hari Nabi Isa telah bersabda kepada ibunya “Sesungguhnya dunia ini adalah kampung yang akan musnah dan sesungguhnya akhirat itu adalah kampung yang kekal. Oleh itu, marilah ibu (bersama saya)”

Setelah mendapat persetujuan, berangkatlah kedua beranak ini ke Bukit Lebnon. Tatkala sampai ke bukit tersebut, kedua beranak ini berpuasa pada siang hari dan solat di malam hari. Makanan mereka terdiri daripada pohon kayu dan kedua beranak itu meminum air hujan.

Setelah sekian lama berada di sana, suatu hari Nabi Isa turun dari gunung Lebnon untuk mencari daun kayu buat berbuka mereka berdua. Setelah baginda turun, Maryam didatangi oleh Malaikat “Assalamu Aliki ya Maryam, orang yang sangat patuh mengerjakan puasa di siang hari dan beramal sebelah malamnya”.

“Siapakah gerangan kamu ini, seluruh badanku menggeletar dan berasa takut apabila mendengar suaramu”.

Dijawab oleh malaikat ‘Aku malaikat yang tidak mempunyai belas kasihan kepada sesiapa pun baik anak kecil, mahupun orang tua atau sesiapa sahaja sebab aku adalah malaikat pencabut nyawa.”

Mendengar penjelasan malaikat itu, Maryam meminta tangguh sehingga kedatangan anaknya yang sedang mencari daun kayu.

Malaikat menjawab “Wahai Maryam, sebenarnya aku tidak diperintah untuk menurut kehendakmu, aku ini hanya hamba yang diperintah.”

Maryam menjawab “Wahai malaikal maut, kamu telah menerima perintah Allah Subahana Wataala, oleh itu laksanakanlah perintah itu dengan segera.”

Apabila Nabi Isa kembali pulang, baginda melihat bondanya sedang berada di tempat solat, lalu baginda meletakkan daun yang dibawanya dekat ibunya.

Setelah ibunya masih tidak berganjak, Nabi Isa pun berkata “Asalamu Alaiki ya bondaku, waktu malam telah tiba, orang berbuka telahpun berbuka dan telah berdiri untuk beribadah. Mengapakah bonda belum beribadah kepada Allah.”

Oleh kerana tiada jawapan, lalu baginda bersabda “Sesungguhnya di dalam tidur itu terdapat kelazatan.” Nabi Isa memandang kepada bondanya dan mendapati bondanya tidak makan apa-apa pun walaupun dua pertiga malam telah berlalu.

Setelah mengetahui bondanya telah menghadap Ilahi, lalu baginda turun untuk mendapatkan pertolongan Bani Israil memandi, mengkafan dan memakamkan bondanya.

“Wahai Isa, sesungguhnya di atas gunung itu terlalu banyak ular yang besar-besar lagi bermacam-macam jenis dan kawasan itu tidak pernah dilalui oleh nenek moyang kami sejak 300 tahun.”

Setelah gagal mendapat pertolongan, baginda naik semula ke bukit Lebnon dan mendapati ada dua orang pemuda rupawan. Setelah berbalas salam, baginda memohon bantuan dua orang pemuda kacak tersebut.

Lalu berkata salah seorang dari mereka “Aku adalah Malaikat Mikail dan sahabatku ini Malaikat Jibrail.” Lalu mengeluarkan barang-barang yang dibawanya.

“Bidadari jelita sekarang sedang turun dari syurga untuk memandi dan mengkafan Maryam.” Setelah Malaikat Jibrail selesai menggali kubur, jenazah Maryam yang telah disembahyangkan disemadikan.

Setelah selesai, Nabi Isa memohan kepada Allah untuk berkata-kata dengan ibunya. Setelah mendapat keizinan Allah, baginda mengunjungi makam bondanya, lalu bertanya “Ya bondaku, bagaimana dengan pembaringanmu dan bagaimana pula Penerimaan (kedatangan) Tuhan (Allah).”

Dijawab oleh Maryam “Tempat pembaringanku adalah sebaik-baik tempat pembaringan dan kembaliku adalah sebaik-baik tempat kembali. Sedang saya mengadap kepada Tuhan, saya tahu dia telah menerimaku dengan reda.”

“Bagaimana pula dengan rasanya ketika mati.” Jawab Maryam “Demi Allah yang mengutusmu sebagai nabi, sebenar-benarnya belumpun hilan rasa pedihnya mati, demikian pula dengan rupa malaikat maut, belum lagi hilang dari pandanganku.”

Fikir-fikirkan perkara di atas kerana ia pasti berlaku kepada kita semua. Banyakkanlah beramal sebelum terlambat dan bersedia menghadapinya.

Allahu Alam.

No comments: